Thursday, September 30, 2010

Susupan Petang

Umno Pulau Pinang Lebih Islamik?

SYABAS diucapkan kepada 50 warga emas di negeri Pulau Pinang yang telah mengembalikan semula wang yang diberikan kepada mereka oleh kerajaan negeri menerusi projek membantu kemiskinan kerana ia disyaki dari hasil judi. Sesiapa pun tidak mahu makan wang haram. Kata orang tua-tua kalau memakan rezeki atau wang haram menyebabkan pintu hati akan gelap.

Warga emas itu itu masing-masing diberi RM100 seorang. Ini bermakna sebanyak RM4,000 wang bantuan kemiskinan itu dikembalikan. Apakah hanya 40 orang itu saja berbuat demikian dan yang lain menerima dan memakan wang berkenaan?

Apa yang dilakukan oleh warga emas itu menunjukkan pendirian umat Islam. Mereka tidak mahu bersubahat dalam apa saja yang boleh merosakkan akidah mereka. Segala amal ibadat lain akan terbatal kalau diri seseorang itu masih bergelumang dengan maksiat dan judi. Jadi langkah warga emas itu setidak-tidaknya merupakan protes bahawa perjudian harus ditentang kerana ia haram dari sisi agama Islam.

Bagaimana pun tindakan itu tidak cukup setakat dilakukan warga emas berkenaan saja. Itu adalah permulaan. Kalau ia serius tindakan lanjut perlu dilakukan oleh mereka. Dalam hal ini pihak yang menguruskan pengembalian wang itu iaitu Umno. Dan bukan saja warga emas harus menolak wang judi golongan muda juga wajib berbuat demikian.

Sampai masanya Umno bukan saja prihatin mengenai hal itu di Pulau Pinang saja. Sebalik ia harus diperluaskan ke negeri-negeri lain juga, termasuk Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan ataupun Sabah dan Sarawak. Perlu diingat perjudian bukan berlaku di Pulau Pinang saja tetapi di negeri lain juga wujud perjudian. Kena pastikan wang judi tidak tersalah disedekahkan kepada umat Islam.

Di Pahang, Genting adalah pusat perjudian terbesar dan tertinggi di negara ini. Molek kalau MB Pahang, Adnan Yaacob turut memantau apakah wang dari Genting itu jangan sampai turun ke bawah dan diberikan kepada warga emas atau kanak-kanak di Bentong atau Pekan. Umno Pahang kena pasti dan intai apakah ada wang Genting sampai dimakan oleh orang Islam Pahang atau tidak.

Begitu juga dengan institusi perjudian yang cambah di segenap bandar dan pekan negara ini. Kedai toto, lumba kuda, empat nombor ekor, pelacuran dan macam-macam lagi juga perlu dipantau. Umno kena bertindak dan berusaha agar segala institusi judi itu dihapuskan. Jangan hanya tegas dan serius di Pulau Pinang saja tetapi di negeri lain dibiarkan bermaharajalela.

Umno sebagai parti yang memerintah bertanggungjawab terhadap akidah umat Islam sdeluruhnya. Dalam hal ini molek juga kalau modus operandi membenteraskan wang haram dilaksanakan oleh Umno Pulau Pinang itu diajar kepada Umno negeri-negeri lain. Umno kena ingat bukan Melayu di Pulau Pinang saja ingin masuk syurga, tetapi Melayu lain juga.

Kalau perlu Umno boleh lantik Umno Pulau Pinang menjadi ketua dalam membenteraskan judi di negara ini. Adalah kesal kalau usaha Umno di Pulau Pinang itu bermotifkan politik semata-mata nak burukkan kerajaan Lim Guan Eng saja. [wm.kl.9:00 pm 30/09/10]

Menghurai Kata

Siapa Pengarah Pilihan Raya Pas di Galas?

TAMPAKNYA Umno telah mendahului Pas untuk menghadapi pilihan raya kecil Galas. Belum apa-apa Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya. Bila masa pula Tengku Razaleigh kembali menjadi penting bagi Umno. Bila masa pula nama Tengku Razalegih tercokol dalam kepala Muhyiddin? Tut tut Tengku Razaleigh dihubungi untuk menerima perlantikan secara terhormat itu dan diberitakan telah bersetuju.

Biarlah saya tidak mahu mengulas panjang sebab dalam posting sebelum ini saya telah menyentuh mengenai kedudukan Tengku Razaleigh dalam pilihan raya berkenaan. Pada saya keadaan Tengku Razaleigh macam kereta mati dalam gear untuk menghadapi pilihan raya berkenaan. Dengan sikap dan pendirian beliau bersama kerajaan negeri mengenai isu royalti sebelum ini menyebabkan beliau sukar untuk 'bergerak' kalau benar beliau menjadi pengarah.

Tetapi di sini apa yang hendak saya fokus ialah kepada Pas. Kalau Tengku Razaliegh menjadi Pengarahnya, siapakah pula di pihak Pas? Apakah ianya langsung akan diberikan kepada Pengarah Jabatan Pilihanraya Negeri, (JPN) Abdul Fatah Haron ataupun diperingkat pusat kepada Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man? Sebelum ini Pas mengganti-gantikan pengarah pilihan rayanya di kalangan pemimpin tertinggi Pas.

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa pernah menjadi pengarah pilihan raya. Jika tidak silap semasa berlaku pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Hulu Selangor.Sallahddin Ayub juga pernah diberi tanggungjawab menjadi pilihan raya semasa di Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Manakala Mustapa Ali menjadi pengarah pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Jadi semua orang-orang penting Pas sudah menjadi pengarah dan menunjuk bakat dan kebolehan masing-masing. Memang cara Pas menyerahkan tugas itu elok kerana ia merupakan latihan untuk menambahkan pengalaman kepada para pemimpinnya. Mereka itu kelak akan menjadi orang penting Pas suatu masa nanti.

Tetapi bagaimana untuk pilihan raya kecil di Galas kali ini. Saya rasa Pas perlu merombak status quo yang ada hari ini. Pas harus memulakan di Galas dan menguji akan perubahan ini. Umum tahu pengarah pilihan raya kecil Manik Urai diserahkan kepada Fatah Haron atas kapasitinya sebagai Pengarah JPN. Ia dibantu oleh Wan Abdul Rahim Wan Abdullah sebagai penasihat setia. Memang kena kalau pengarah utama diambil dari kalangan pemimpin Kelantan sendiri.

Pas menang di Manik Urai tetapi dengan majoriti tipis 65 undi. Banyak kepincangan semasa pilihan raya berkenaan yang menjadi sebutan dan kenangan. Sejak awal lagi ia dimulai dengan rasa konfident yang tinggi, ego dan penuh sentimen yang mana akhirnya memakan diri sendiri. Pengarah telah merasakan pilihan raya itu haknya dan dia berkuasa penuh sehingga menghalang pemimpin luar untuk memasuki Manik Urai. Belum pernah berlaku di mana-mana pilihan raya pemimpin luar Pas dihalang masuk ke Kelantan. Sikap ataupun keputusan diambil pengarah pilihan raya itu sesuatu yang luar biasa dan penuh prejudis.

Kata Wan Abdul Rahim pilihan raya Manik Urai adalah pilihan raya lokal, bukan nasional. Itulah alasan yang diberikan. Gara-gara itu menyebabkan pemimpin luar terasa malu dan terhina dengan arahan berkenaan.

Ternyata pendekatan dan tektik digunakan Fatah dan Wan Abdul Rahim itu tidak berhasil. Ia memakan diri sendiri. Beliau juga masih bermain dengan cara psywar cara lama untuk mempengaruhi pengundi. Isu-isu yang dimainakn juga tidak begitu membuka selara. Hanya isu royalti minyak yang dicetuskan oleh Husam Musa (foto) saja dianggap dapat membuka mata pengundi.

Sebenarnya cara Fatah dan Abdul Rahim sudah out of date - lapok. Pemikiran dan strategi mereka juga tidak konteporari. Tektik dan strategi yang mereka gunakan mungkin sesuai dan berkesan untuk tahun 60-an dan 70an tetapi bukan di alaf baru ini. Di zaman pengundi sudah celik minda dan celik IT, tektik dan strategi begitu sudah tidak boleh dipakai lagi. Di sinilah kelemahan bilik gerakan Pas yang diketuai Fatah gagal mengesani dan menganalisa keadaan pengundi.

Hari ini pengundi mudah mahukan hujah dan fakta. Mereka mahu mendengar jawaban dan bidasan bermutu oleh pemimpin terhadap pihak lawan. Mereka mahukan idea dan mahu menilai idea. Kalau pemimpin tidak dapat mengemukakan idea baru, tidak kreatif mereka akan ditolak. Seseorang pengarah harus mendahuui masa, arif dan bijak untuk mempersonakan orang ramai serta mematahkan hujah pihak lawan dengan fakta.

Retorik atau lawak jenaka dalam mematah hujah sudah tidak memberi kesan lagi. Jenaka dan seloka Abu Nawas juga sudah tidak memberi impak besar. Tetapi cara itulah nampaknya digunakan Fatah setiap kali membuat kenyataan atas kedudukan sebagai Pengarah Pilihan Raya Kelantan. Lagipun kalau Fatah menjadi pengarah ia boleh menimbulkan masalah dengan Pas. Fatah dikatakan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusuf. Keadaan ini boleh menganggu jentera pilihan raya Pas dari kalangan Muslimat kerana Zailah adalah ketua muslimat Kelantan.

Benarlah apa yang disunggung oleh sdr Sabree Shafii di dalam blognya yang meminta Pas menilai semula keberkesanan Fatah dan Wan Abdul Rahim sebagai pengarah pilihan raya. Saya rasa pandangan Sabree itu ikhlas demi melihat Pas menang cemerlang dalam pilihan raya itu nanti. Kalau beliau mahu lihat Pas tewas sudah tentu beliau akan memuja dan memuji kehebatan Fatah!

Dalam pada itu saya melihat Pas Kelantan memiliki sosok yang boleh dilantik menjadi pengarah untuk pilihan raya Galas kali ini. Ada dua tokoh yang saya nampak boleh diberi kepercayaan dalam hal ini dan mereka berkelayakan. Mereka ialah Takiyuddin Hassan dan Husam Musa. Kebetulan pula mereka sebaya dan dianggap sebagai pemimpin yang akan meneruskan perjuangan Pas di masa depan.

Ada beberapa keistimewaan kepada mereka. Dari segi kelulusan dan pengalaman melayakkan mereka. Mereka adalah pemimpin tertinggi Pas Kelantan. Takiyuddin pernah memeganf jawatan Ketua Penerangan dan Setiausaha Badan Perhubungan. Sementara Husam adalah Timbalan II Pesuruhjaya. Sejauh mana kemampuan mereka perhatikan kepada gerak kerja mereka dan kenyataan yang mereka keluarkan berdasarkan fakta dan hujah yang kemas. Mereka bukan jenis beretorik. Kerja mereka juga ada sistem, ada analisa, ada rumusan dan kesimpulannya.

Saya rasa Pas boleh mencuba untuk memberi kepercayaan kepada mereka menguruskan pilihan raya di Galas kali ini. Sesuai dengan kedudukan Husam sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan diberi tanggungjawab untuk menguruskan logistik peringkat negeri manakala Takiyuddin menguruskan logistik peringkat pusat sesuai dengan kedudukannya sebagai Penolong Setiausaha. Dalam erti kata lain mereka harus duduk sebilik.

Walaupun tokoh-tokoh seprerti ini sudah berkemampuan dan mempunyai ketrampilan dalam mengendali pilihan raya tetapi Pas nampaknya belum pernah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada mereka. Justeru elok kalau di Galas ini tanggungjawab mempertahankan kerusi berkenaan digalaskan ke atas bahu mereka.

Dalam masa sama Fatah, Wan Abdul Rahim atau Abdul Halim Abdul Rahman (kumpulan Tiga Abdul) kalau tidak mahu rehat tetapi boleh diberikan tugas hanya sebagai penampal poster sahaja dan bukan berada di bilik gerakan. Dengan pengalaman lama mereka sudah pasti mereka akan mampu untuk menampal poster walaupun di atas puncak pokok balak di Galas. [wm.kl.8:20 30/09/10]

Selepas Subuh

Cadangan Takiyuddin Perlu Disokong

ADA 'kuliha'nya juga cadangan Penolong Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan (foto) supaya kerusi Galas yang kosong kini diserahkan saja kepada Pas. Umno tidak payah bertanding. Katanya Takyuddin kalau benar Umno yang melaungkan soal perpaduan kerusi itu sepatutnya diserahkan kepada Pas sebagai bukti keikhlasannya.

Kalau cadangan itu menjadi realiti ia boleh mengurangkan pergeseran antara kedua buah parti tersebut. Saya nampak cadangan itu ikhlas dan postif. Ia bukan bermakna Pas takut menghadapi pilihan raya berkenaan. Dan jika Umno sedia bermain politik secara profesional ia juga tidak merugikan parti berkenaan, malahan akan dilihat sebagai bijak.

Sebelum ini pun Umno pernah tidak bertanding di pilihan raya kecil Dun Penanti di Pulau Pinang. Umno menggunakan alasan kerana kerusi itu bukan kosong kerana kematian tetapi disengajakan disebabkan PKR ingin menguji kedudukannya. Walhal apa yang berlaku kekosongan kerusi Penanti itu apabila Adunnya mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Dr Mansor Othman menjadi timbalan ketua menteri Pulau Pinang.

Walaupun kerusi Galas kosong kerana kematian wakilnya, Che Hashdim Sulaima Isnin lalu, tidak jadi masalah kalau Umno mengambil sikap positif. Banyak faedah dan untungnya kalau Umno sedia memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Pas. Pertama ia boleh mengendurkan ketegangan antara Pas dengan Umno seperti mana kata Takiyuddin. Kedua ia boleh menyelamatkan banyak wang rakyat dan juga kerajaan. Ketiga sikap politik terbuka dan jilah itu boleh menguatkan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Selalunya dalam pilihan raya kecil kedua parti akan mengeluarkan wang yang banyak. Tenaga dan masa juga banyak dihabiskan di sepanjang berkempen. Kerajaan (SPR) juga terpaksa menggunakan wang yang banyak. Bukan itu saja kerajaan harus membayar elaun polis, tentera dan pegawai-pegawai lain yang terlibat menjaga keselamatan di sepanjang pilihan raya berkenaan.

Sekiranya tiada pilihan raya perbelanjaan ini semua boleh dijimatkan dan tidak akan berlaku pembaziran.

Bukan itu saja, sudah sampai masanya parti politik negara ini bersikap profesional dan waras. Tidak mengikut perasaan dan hawa nafsu. Di pihak Umno khasnya perlu menyedari walaupun mereka memerlukan kemenangan bagi menunjukkan kekuatan di Kelantan, tetapi kemenangan itu tidak membawa apa-apa erti. Kedudukan Pas di DUN Kelantan begitu selesa waktu ini. Lainlah kalau kerusi itu milik Umno, ia perlu dipertahankan demi menjaga maruahnya.

Dalam hal ini begitu juga dengan Pas. Sekiranya berlaku kematian di kerusi Umno, Pas hendaklah memberi laluan mudah kepada Umno. Biarlah Umno memiliki semula kerusi itu tanpa tentangan Pas. Sama seperti kedudukan Pas hari ini kalau Umno terus memiliki kerusinya ia tidak menjejaskan kedudukan Pas selaku kerajaan.

Saya rasa persefahaman politik sebegini disukai ramai orang. Ketegangan yang berlaku semasa pilihan raya kecil kadang membawa kepada hal-hal jenayah sesuatu nyang dikesalkan dan tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

Mungkin Umno akan berkata kalau pun mereka memberi laluan, pilihan raya tetap juga akan diadakan. Sudah pasti akan ada mereka yang teringin gambar mereka diletak dipokok kayu akan bertanding sebagai calon bebas. Tidak mengapa kalau itu berlaku. Calon bebas apalah sangat yang ada kepada mereka.

Hari ini kemunculan calon bebas tidak dipadang sebelah mata pun oleh pengundi negara ini. Rakyat hanya memilih dua parti saja, sama ada BN atau Pakatan Rakyat. Betapa bebas cuba mempamerkan dan mengatakan mereka ada agenda - membela itu dan membela ini orang akan tetap menganggap ianya sebagai pengacau. Apa lagi mereka yang menjadi calon bebas itu wibawa dan syaksiahnya boleh dipersoalkan.

Duhai parti politik Pas dan Umno mulailah sesuatu yang baik itu dalam pilihan raya kecil Galas ini. Ia memang sukar untuk dimulakan begitulah fitrah alam ini. Tetapi setelah ia dimulakan selepas itu ia akan jadi perkara biasa. Lakukanlah perubahan ke atas senerio politik kita. [wm.kl.7:10 am 30/09/10]

Wednesday, September 29, 2010

Susupan Petang

Kalau Adun Kulim Dirasuah RM5 Juta Berapa Pula Rasuah Ahli Parlimen?

MENURUT Raja Petra Kamaruddin dari kertas siasatan oleh SPRM terhadap Adun Kulim, Lim Soo Nee didapati Adun berkenaan mengesahkan dia ditawarkan RM5 juta agar meninggalkan parti. Tawaran itu dibuat oleh bekas MB Kedah Mahadzir Khalid.

Kertas siasatan SPRM itu adalah sumber yang sah dan tidak boleh dipertikaikan. Sekiranya kertas itu benar seperti mana didedahkan ini bermakna memang ada usur rasuah berlaku di Kedah. Kalau dakwaan Adun berkenaan bohong dia boleh dikenakan tindakan.

Persoalan yang bermain di kepala hari ini, kalau Adun dirasuah sebanyak RM5 juta, berapa pula nilai rasuah yang diterima oleh Ahli Parlimen? Di negeri Utara itu ada ahli parlimen yang belut dan meninggalkan parti. Apakah ahli parlimen berkenaan telah menerima rasuah yang menyebabkan beliau sedia mengkhinati parti? Ataupun tindakan beliau itu ikhlas bukan kerana menerima sebarang upahan?

Rasanya penjenguk sekalian dapat menilai hakikat ini sebaik mungkin. Sifir atau fromula yang boleh diberikan begini; seseorang itu tergila nak jadi wakil rakyat kerana hendakkan kedudukan. Di samping itu mahukan elaun kalau parlimen sekitar RM7 ribu hingga RM13 sebulah dan kalau Adun sekitar RM3 ribu hingga RM5 ribu sebulan.

Jadi kalau ada orang tawar RM5 juta atau memberi satu 'kelegaan' yang sangat didambakan kenapa beliau tidak perlu mengambilnya? Bukankah dengan wang itu dia boleh hidup senang, beli ubat kencing manis ataupun melawat Eropah dua kali setahun. Beli motosikal besar dan mengendung si janda yang asal Temerloh Pahang. (Up nak tahu cerita lanjut sila hubungan MP Indra Mahkota, Azan Ismail dan lawyer Md Radzi Mustafa).

Tentu sekali dia mahu. Jadi dakwaan Anwar Ibrahim sebelum ini kononnya ada wakil rakyat yang lompat parti kerana dibayar jutaan ringgit adalah benar bukan gurauan. Pendedahan dibuat Raja Petra itu adalah bukti jelas. Dan kalau perlu isu ini perlu dibongkar seluas-luasnya. [wm.kl. 7:15 pm 29/09/10]

Susupan Pagi

Muhyiddin Bagi Bola Tanggung Kepada Saifuddin?

MUNGKIN Muhyiddin Yassin tidak menyedari bahawa cabaran beliau kepada Saifuddin Nasution Ismail supaya mendedahkan petulang luar yang cuba mengkucar kacirkan mesyuarat peringkat cabang parti itu merupakan hantaran bola tanggung kepada Saifuddin. Sudah pasti bola itu akan dismash melenting oleh Setiausaha Agung PKR itu.

Barang kali juga Muhyiddin lupa mengenali kebolehan dan kehebatan Saifuddin dalam silat sulit politiknya. Kalau umpamakan pemain bulu tangkis, Saifuddin boleh bermain di semua keadaan, di net, base line ataupun rally.

Saifuddin dikenal sebagai seorang ahli politik yang bercakap bersandarkan fakta dan hujjah. Beliau tidak beretorik. Cakap-cakapnya tidak kosong dan ada nilai. Sebab itu Saifuddin tidak suka bercakap dan 'berlebel' atau berkokok berdaung seperti orang lain. Apa yang dicakapkan adalah fakta.

Atas kelebihan yang ada kepadanya itulah beliau diberi kepercayaan oleh Anwar Ibrahim untuk memikul tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Sallahuddin Hashim, bekas Setiausaha Agung PKR yang meletak jawatan kemudian menjadi promoter menghancurkan PKR. Sebenarnya track record Saifuddin juga sudah lama menyerlah sebelum ini. Beliau pernah menjadi orang penting dalam Pergerakan Pemuda Umno sewaktu Zahid Hamidi (bukan Zaid *** ****) menjadi ketuanya. Kalau tidak silap Saifuddin adalah setiausahanya kalaupun tidak ketua penerangan.

Apabila Muhyiddin mencabar agar Saifuddin mendedahkan siapa petulang yang dimaksudkan oleh Saifuddin itu ia menggembirakan Saifuddin sendiri. Saya percaya berdasrakan pengalaman mulai malam ini Saifuddin sudah menyusun bahan buktinya di samping memperkemaskan segala maklumat yang ada.

Barang kali Saifuddin akan menanti masa sesuai saja untuk menjawabnya. Beliau akan membiarkan Muhyuddin dan mana-mana pemimpin Umno memberi bola tanggung. Sudah pasti apabila Saifuddin mendedahkan bukti baik berbentuk audio video serta cetakan itu menyebabkan semua akan menganga nanti. Apakah kalau Saifuddin berjaya menyahut cabaran itu Muhyiddin akan sedia memohon maaf atau meralatkan cabarannya?

Dengan kedudukkan sebagai timbalan presiden Umno dan TPM, Muhyiddin tidak sepatutnya mencabar Saifuddin. Kerja mengkritik dan membedal PKR tidak payah dilakukannya. Serah sajalah kepada beberapa bekas ahli PKR yang kini mencari makan dalam Umno yang kerjanya memang sesuai untuk memburukkan Umno walaupun mereka tidak ada locas standi untuk bercakap mengenainya.

Berikan tugas itu kepada mereka, dan tambahkan elaun mereka bekerja mengkritik PKR. Muhyiddin tidak patut ikut sama mencampur kerja-kerja huduh begitu.

Tugas sebagai TPM masih banyak. Muhyiddin perlu bercakap macam mana hendak menyakinkan pelbor asing ke negara ini. Beliau perlu membantu Najib bukannya membiarkan Najib terkotang kanting sendirian. Jadilah seorang TPM yang membantu bukannya yang menyusahkan Najib. Muhyiddin sepatutnya bersama Najib sebab Najib ketuanya dan bukan beriringan dengan Mahathir Mohamad.

Begitu juga dakwaan bekas timbalan Setiausaha agung PKR, bernama Janapala Prumal itu juga saya yakin Saifuddin ada jawabanya. Cabaran Janapala itu juga akan mengena kepalanya sendiri. Masakan sebagai ahli sebuah parti politik beliau tidak mengetahui mengenai status dirinya. Sepatutnya sebagai timbalan setiausaha agung beliau tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Mustahil kalau Janapala tidak mengetahui pemecatannya sebagai ahli PKR pada Feb 2009. Beliau juga mungkin tahu kenapa pemecatan itu dilakukan. Surat pemecatan tidak diterima itu cuma alasan saja untuk dijadikan bahan berita kepada media. Sebagai orang yang berada di bawah dagu bekas setiausaha agung lama Janapala tentu menghidunya kalaupun tidak melihat tindakan dikenakan kepadanya.

Bukankah ada surat pemecatan yang ditulis oleh Sallahuddin Hashim yang tersimpan dalam fail setiausaha agung? Kalau orang luar seperti saya atau orang lain tahu mengenai kedudukan sebenarnya Janapala, kenapa beliau sendiri tidak tahu mengenai dirinya.

Kerana itu pada saya aksi dan ulah Janapala itu tidak lain sebagai sukarelawan untuk menimbulkan kelama kabut dalam PKR saja. Peranananya samalah dengan beberapa orang bekas anggota PKR yang telah meninggalkan parti berkenaan tetapi masih tergilak talak untuk memperkatakan PKR. Mereka itu sepatutnya bercakap bagaimana hendak menyalamatkan Umno bukannya bercakap bagi mempbertulkan PKR. Apakah mereka tidak diberi peranan selayaknya dalam Umno menjadikan mereka merepek meraban menghentam PKR?

Berbalik kepada cabaran Muhyiddin tadi, saya ingin sebut satu saja sebagai menjawab cabarannya. Satu maklumat yang masuk kepada saya, di sebuah cabang PKR di Kelantan ada orang Umno yang cuba merosakkan sebuah cabang PKR berkenaan dengan menyamar sebagai ahli PKR bertanding merebut jawatan ketua.

Nasib baik kejahatan orang berkenaan disedari. Menjelang pertandingan disebarkan maklumat mengenai status orang berkenaan menunjukkan dia seorang ahli Umno. Katanya orang ini diupah oleh Umno untuk membuat kacau dalam PKR. Mungkin Muhyiddin boleh merujuk kepada partinya dan melihat senarai ahli-ahli Umno yang diutuskan khas mengkhianati mesyuarat cabang PKR. Atau mungkin juga kejadian ini sebahagian bukti yang ada dalam simpanan Saifuddin. [wm.kl.11:00 am 29/09/10]

Tuesday, September 28, 2010

Ulasan Awal

Pilihan Raya Kecil Galas Menyulitkan Tengku Razaleigh

PEMERGIAN Che Hashim Sulaima semalam tidak dapat tidak ada hikmah dan rahmat di sebaliknya. Disebalik Tuhan menyanyangi Allahyarham, mungkin Ianya juga ingin memuliakan hamba-Nya yang lain. Kerja Tuhan tidak dapat diteka dan ditebak oleh sesiapa. Penuh rahsia bagi yang buta tetapi terang ternyata bagi yang makrifat dengan-Nya.

Dalam konteks pilihan raya dan demokrasi, pilihan raya kecil di kerusi berkenaan tidak dapat dielakkan. Apabila pilihan raya kecil diadakan di Dun Galas sedikit sebanyak ia akan meletakkan semula Tengku Razaleigh Hamzah di atas takhta politik. Tentu nama Tengku Razaleigh akan menjadi penting dan diingat dengan tiba-tiba sebaik saja SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Ini kerana Gua Musang dikenali sebagai kubu kuatnya. Adun Galas adalah satu daripada tiga Adun yang terletak di bawah Parlimen Gua Musang yang dikuasai Tengku Razalegih Hamzah sejak 36 tahun lalu. Dalam hierarki Umno pula beliau masih ketua bahagian Umno Gua Musang.

Pengaruh Tengku Razaleigh sudah berakar umbi di situ. Tengku Razaleigh menguasai parlimen berkenaan sejak tahun 1974 dengan menenanginya tanpa bertanding. Malahan di Kelantan beliau adalah satu-satu ahli parlimen yang paling lama.

Sebagai orang berpengaruh dan berakar umbi di situ sudah tentu pengundi di Galas masih setia kepada beliau. Mulutnya masih masin di Galas dari kalangan penduduknya terutamanya ahli Umno. Orang Asli sudah pasti menjadi penyokong utamanya. Selamanya mereka berajakan kepadanya.

Apakah Tengku Razaleigh yang sebelum ini sudah dilupakan dan dibiarkan Umno dan BN akan didatangi kembali? Beliau akan diingatkan semula dan tenaga dan baktinya diperlukan oleh Umno untuk merampas kerusi Galas itu?

Jika Umno tidak ada maruah mereka akan mendekati Tengku Razaleigh. Akan memujuk dan merayu Tengku Razaleigh agar berkempen untuknya. Tetapi apakah Tengku Razaleigh bersedia berpatah balik, membantu Umno yang sudah melupainya? Mungkin itu akan diperhitungkan semula oleh Tengku Razaleigh. Sekiranya beliau ingat apa yang Umno lakukan kepadanya tidak mudah untuk Tengku Razaleigh mencemar duli bagi membantu Umno dan BN.

Tengku Razaleigh sudah lama dipermainkan oleh Umno. Baik di zaman Mahathir Mohamad menjadi presiden terbawa kepada Abdullah Badawi jadi presiden hingga ke Najib Razak menjadi presiden. Tengku Razaleigh tidak diberi peranan penting sesuai dengan pengaruh dan kebolehannya. Beliau dilupakan dan dianggap sebagai Quran buruk dalam Umno.

Kalau Tengku Razaleigh mengenangkan segala perbuatan Umno itu beliau tidak akan bersedia untuk membantu Umno. Pun begitu sukar untuk diramalkan. Tengku Razaleigh terkenal sebagai seorang pemimpin yang berakhlak dan begitu menghormati kepada perjuangan Umno. Beliau membubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno kerana beliau sayang kepada Umno. Malangnya pengorbanan itu tidak dinilai sewajarnya oleh Umno. Akhirnya beliau jadi ulat bulu saja dalam Umno.

Apakah bagi memastikan Tengku Razaleigh membantu BN dalam pilihan raya itu nanti tiba-tiba Tengku Razaleigh akan diberi peranan besar. Ataupun Umno akan memberi boat penyelamat buatnya bagi memulihkan cita-cita politiknya? Rasanya sangat mustahil.

Tetapi kalau beliau merasakan sudah cukup dia memperhambakan diri kepada Umno sedangkan pengorbanan itu tidak dibalas setimpal, Tengku Razaleigh akan mengambil sikap mendiamkan diri kalau pun tidak berhasrat untuk mengajar Umno pada pilihan raya berkenaan.

Namun melihat kepada hati budi dan kelembutan hati seorang anak raja ini, tidak mungkin beliau hanya akan menjadi pemerhati saja di pilihan raya itu, apa lagi akan bersama Pas. Beliau akan turun juga berkempen untuk Umno. Dan kalau itu terjadi peluang Umno memenanginya cerah tetapi Tengku Razaleigh sendiri pula akan menjadi ular air kehabisan lumpur untuk melindungi warna politiknya kalau beliau sedia membantu Umno.

Dari sisi lain kalau Tengku Razaleigh sedia melupai perbuatan Umno kepadanya apakah beliau sedia untuk menafi balik kata-kata dan pendiriannya berhubung dengan royalti minyak? Sebelum ini Tengku Razaleigh dilihat senada dengan rakyat Kelantan dalam menuntut royalti minyak yang dinafikan oleh Umno. Beliau pernah duduk bersama pemimpin kerajaan Kelantan atas pentas dalam memperjuangkan itu.

Sudah pasti tape ucapan dan video majlis beliau ketika menyatakan pendirian berhubung royalti minyak itu akan ditayang di semua pos pilihan raya kecil Galas nanti. Apakah Tengku Razaleigh sendiri menafikan semula kata-kata itu kerana ingin membantu Umno? Tegasnya pilihan raya Galas sedikit sebanyak menjadi Tengku Razaleigh serba salah. Bagaimana beliau menghadapi situasi itu sama-samalah kita tunggu. Politik itu serba mungkin dan janji dan ikrar dalam politik tidak boleh dipercayai. Apakah Tengku Razaleigh juga memilik warna macam pelangi, bermacam-macam. [wm.kl. 6:00 28/09/10]

Selepas Subuh

NGO Itu Boleh Uji Kekuatan Di Galas

JENAZAH Adun Galas, Che Hashim Sulaima telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan kampung kelahirannya di kampung Kerinting, Gua Musang lewat tengah malam tadi. Berakhirlah riyawat hidup seorang hamba Allah. Berakhir juga liku-liku perjuangan beliau atas muka bumi ini. Semoga Allah memberi kerahmatan kepada rohnya. Juga didoakan Allah memberi kekuatan iman kepada keluarganya dan penyokong partinya menghadapi takdir yang sudah ditentukan itu.

Kini kerusi Galas sudah terbuka untuk dipenuhi. Speaker Dun Kelantan akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan itu. SPR pula akan bermesyuarat menentukan pilihan raya baru dalam tempoh 60 hari.

Sudah pasti Pas akan mempertahankan kerusi berkenaan. Dan sudah tentu juga BN akan meletakkan calonnya. Musuh tradisi itu akan bertarung sekali lagi. Diharapkan semoga perjalanan pilihan raya itu nanti berjalan dalam keadaan dan suasana penuh tertib. Tolonglah...

Di sini apa yang hendak disentuh, ekoran kekosongan kerusi itu ia juga memberi peluang kepada sebuah NGO yang kini sedang mempersiapkan diri untuk menjadi parti politik. Kononnya NGO itu kini mendapat sambutan kalangan Melayu. Keahlinanya sudah sampai puluhan ribu. Ia juga mendakwa memperjuangkan Melayu. Walaupun kebanyakan ahlinya terdiri ahli Umno dan bekasannya, tetapi mereka sudah tidak mempercayai kepada Umno.

NGO ini mendakwa perjuangan mereka hendak membela Melayu. Dalam masa sama mengutuk perjuangan Pas dan PKR. Kononnya kedua parti itu tidak mempertahankan Melayu malahan mengkhianati perjuangan orang Melayu.

Nah sekarang ini dengan kekosongan kerusi Galas moleklah kalau NGO itu mencuba sejauh mana kekuatan mereka. Mereka boleh menguji apakah mereka diterima atau pun tidak. Orang ramai mahu tengok sejauh mana kekuatan mereka apakah suaranya sama lantang dengan suara yang dilaungkan.

NGO itu boleh letak calon mereka kalau benar mereka berani dan mendapat sokongan. Kalaupun mereka tidak dapat bertanding atas lambang NGO berkenaan kerana ianya masih belum didaftar sebagai parti politik, mereka boleh guna apa-apa lambang yang dibenarkan SPR. Mereka boleh guna lambang payung ataupun harimau ataupun beruk ekor pendek.

Begitu juga kalau mereka tidak ada calon kerana tidak ramai ahli NGO itu di Gua Musang, mereka boleh pinjaman mana-mana ahli Umno atau sesiapa yang mendaftar sebagai pengundi dalam Dun Galas. Rasanya tidak ada masalah untuk NGO berkenaan mendapatkan calon. Keluar sedikit wang tentu ramai yang kepingin menjadi calon. Orang Asli juga boleh dipinjam oleh NGO itu untuk menjadi calonnya. Lagipun perjuangan mereka untuk memperkasakan kaum peribumi. Orang Asli juga merupakan peribumi negara ini.

Sekiranya dalam pilihan raya ini NGO itu 'mengelip' dengan menyokong BN nampaklah ianya hipokrit. Nampak sangat ia penipu. Dan nampak sangat kemarahan kepada Umno kini adalah sadiwara sahaja. Kita mahu tengok apakah NGO berkenaan berani ataupun akan menjadi hidung tidak mancung pipi pula tersorong-sorong akan menyokong calon BN.

Semasa berucap di stesen kereta api dua tiga hari lalu pemimpin NGO itu mendakwa mereka juga mendapat sokongan dari Cina dan India dan semua kaum. (Anih juga kalau Cina dan India di Kelantan kalau boleh bersetuju dengan perjuangan rasis NGO berkenaan). Tidak mengapa, kita terima ianya sebagai benar. Kalau begitu NGO berkenaan tidak perlu gerun untuk meletak calon di Galas. Cina, India dan Orang Asli di sana akan menyokong mereka.

Taburan pengundi di Galas boleh dianggap sebagai terbuka dan tidak begitu berpihak kepada mana-mana kaum. Ia bukan monopoli Melayu spenuhnya. Daripada 10,330 pengundi yang berdaftar pada tahun 2008 orang Melayu mewakili sebanyak 65.81%, China 22.03%, India 1.81% dan lain-lain 10.32%. Kedudukan ini masih terbuka.

Kalau NGO itu merasakan orang bukan Melayu juga menyokong mereka, mereka tidak perlu takut untuk turut sama bertanding di Galas. Galas akan menjadi petanda sejauh manakah NGO itu diterima rakyat. Sebaliknya kalau NGO itu tidak berani meletakkan calon maka jelas suara lantang yang dikeluarkan oleh pemimpin NGO berkenaan tidak ubah seperti suara dalam tempayan budu sahaja, di mana talunnya lebih kuasa suara sebenarnya!

Sama-sama kita memerhati tindak tanduk dan hipokrasi NGO berkenaan dalam pilihan raya kecil Galas nanti. [wm.kl. 7:20 am 28/09/10]

Monday, September 27, 2010

Susupan Petang

PKR Diganggu Kerana Ia Kuat

[kemaskini] ADA untung dan gunanya PKR membuka peluang kepada ahlinya di peringkat bawahan untuk memilih pemimpin. Sistem yang diperkenalkan PKR ternyata meriah walaupun ada beberapa kecacatan. Ini biasa kerana sistem berkenaan pertama kali diperkenalkan. Kasut mahal pun kalau pertama kali dipakai akan 'mengigit' dan 'mengeteik' tumit atau ibu jari.

Paling bermakna ia menjelaskan kedudukan sebenar parti itu dimuka umum. Dengan adanya sistem pemilihan itu kini orang mulai celek mata dengan kekuatan PKR dan pengaruhnya yang makin melata di seluruh negara. Pergaduhan dan kekecohan di beberapa buah cabang semasa proses pemilihan menunjukkan parti berkenaan mendapat perhatian. Orang mula melihat PKR sebagai parti yang bakal mengugat Umno dan bakal menunjunag pemerintahan di masa akan datang bersama Pas dan DAP.

Sebelum ini orang merasakan PKR hanya parti melukut saja. Ia dianggap sebagai tongkol kayu yang hayut dalam lautan luas. Tidak ada siapa yang pedulikannya. Mesyuarat atau kongresnya sebelum ini tidak pernah mendapat sorotan dan ulasan 'live' apa lagi dari pihak lawannya. Namun hari ini setiap aktiviti dan mesyuarat cabang PKR mendapat sorotan dan ulasan. Untuk apa memantau mesyuarat PKR kalau ia tidak membimbangkan?

Yang jelasnya hari ini PKR mempunyai cabang di 212 kawasan parlimen di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Paling mengejutkan juga semua cabang itu aktif. Ini terbukti bila mana semua cabang mengambil bahagian dalam proses pemilihan pemimpin masing-masing. Ini bermakna hanya 10 kawasan Parlimen saja yang ketiadaan cabang PKR.

Pihak media yang memberi gambaran kekecohan di persidangan peringkat cabang itu untuk memburukkan parti berkenaan. Sebalik dari sisi lain ia menjelaskan PKR berkembang maju.
Pergaduhan dan kekecohan biasa itu itu sekaligus menggambarkan ahli PKR masih aktif dan elemen demokrasinya jelas. Lagi pun soal pergaduhan dalam pemilihan ini semua parti sekular kecoh melainkan Pas. Malahan apa yang berlaku dalam Umno lebih teruk apabila sampai ada yang melepaskan tembakan.

Kalau mereka tidak aktif dan cabang tidak mempunyai ahli yang mencukupi korom mesyuarat, sudah pasti tidak akan ada kekcohan. Ketua dan jawatankuasa cabang boleh dilantik begitu saja. Tetapi bila ada pencalonan, pemilihan dan perbalahan ia menunjukkan PKR wujud di sesuatu kawasan itu dengan keahlian yang banyak.

Mengenai kekecohan ini kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail ianya sengaja dilakukan bagi mesebotaj mesyuarat PKR. Gunanya untuk memberi gambaran yang PKR kalut. Kekecohan itu dilakukan dan diunsuri oleh orang luar yang dengki dan sakit hati melihat kepesatan PKR. Ada juga kedapatan kekecohan itu didalangi Umno untuk menjahamkan PKR.

Manakala satu lagi bukti menunjukkan PKR kuat dan menghantui pemikiran musuhnya apabila beberapa pemimpin Umno termasuk Muhyiddin Yassin tidak senang duduk dengan perkembangan dalam PKR muasir ini sehingga turut sama mengulasnya. Kata Muhyiddin kekecohan itu menunjukkan kelemahan PKR dan tidak mampu memerintah negara. Kenapa Muhyiddin mengaitkan kekecohan itu dengan memerintah negara?

Untuk apa Muhyiddin sibuk untuk mengulas mengenai PKR? Kalau PKR bermasalah Muhyiddin sepatutnya lega kerana ia memberi peluang kepadanya untuk berdepan dengan Najib Razak. Jelas sekali ulasan Muhyiddin itu menggambarkan kebimbangan beliau. Perkembangan menerusi pemilihan ini menyedarkan Muhyiddin bahawa PKR bersemangat dan orang ramai mulai menaruh keyakinan kepada parti itu dan perlahan-lahan meninggalkan Umno.

Sekiranya tidak ada perasaan itu baik Muhyiddin atau sesiapa saja tidak wajar menyetuh PKR kerana pemilihan itu adalah urusan peribadi mereka. Dan kalau pun mereka yang pernah menjadi ahli parti itu atau dipecat ingin mencari sedikit wang, carilah dengan cara lain dan bukannya menganggui urusan PKR. Perbuatan mereka itu nampak sangat tidak gentleman dan tidak memahami parti politik demokrasi. [wm.kl. 8:00 am 27/09/10]

Balasungkawa

Adun Galas Kembali Ke Rahmatullah

ADUN Galas Che Hashim Sulaiman, 47 yang dilaporkan nazak tengah hari tadi telah kembali ke Rahmatullah di Hospital Pakar Kampung Baru (KBMC), Kuala Lumpur kira-kira jam 4:30 petang tadi. Menurut Exco Kelantan, Takiyuddin Hassan jenazahnya akan dibawa balik ke Gua Musang dan dikebumikan malam ini juga.

Berada di hospital menziarahi Allahyarham ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan beberapa pemimpin lain. Turut sama berada ialah rakan-rakan Allahyarham dari Kelantan.

Dijangka Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengimani solat jenzah malam ini. [wk.kl.6:50 am 27/09/10]

Maklumat Terkini

Adun Galas Nazak

KEADAAN Adun Galas, Che Hashim Sulaima kini dalam keadaan kritikal. Satu sumber dalaman Pas memberitahu beliau yang menghidap penyakit kanser kini berada di Hospital Pakar Kampung Baru (KBMC). Beliau dimasukkan ke hospital itu beberapa hari lepas dan keadaannya semakin kritikal sejak.

Che Hashim menghidap knser urus dan pernah mendapat rawatan di China. Beliau juga sering berulang alik ke hospital sejak lebih setahun lalu.

Beberapa pemimpin tertinggi Pas termasuk Penolong Setiausaha, Takiyuddin Hassan kini berada di hospital berkenaan. Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa juga sedang dalam perjalanan ke KBMC.

Sehubungan itu semua pihak diminta berdoa untuk kesejahteraan beliau.

Dalam pilihan raya umum lalu Che Hashim memenangi kerusi Galas yang terletak dalam parlimen Gua Musang. Beliau mengalahkan Saufi Deraman dari BN dengan mendapat 4,399 undi manakala Saufi 3,753. Dun Galas merupakan satu-satunya DUN yang dimenangi Pas. [wm.kl.1:03 am 27/09/10]

Mata Memandang Hati Memerhati

Bas YKK Ini Siapa Yang Punya?

SAYA kurang pasti dan tidak pula mahu menyiasatnya cuma kepada sesiapa yang mengetahui hal ini bolehlah tolong beri penjelasan.

Semasa saya berkereta menuju Bandung dari Jakarta melalui lebuh raya, Jakarta - Bandung ketika melewati sebuah tol saya ternampak sebuah bas berbadan biru dan putih yang dibadannya tertulis besar huruf YKK.

Sebegitu melihat bas ini dan membaca YKK saya teringat kepada sebuah yayasan di sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung.

Yayasan itu juga menggunakan singkatan dengan huruf sama YKK. Apakah bas yang saya lihat itu ada kena mengena dengan yayasan berkenaan? Atau ia hanya kebetulan sahaja. Dan kalau ia ada kaitan dengan yayasan berkenaan ia tidak memelikkan kerana pemimpin atau pengerusi yayasan berkenaan kerap berkunjung ke negara ini. Sekali sebulan katanya wajib bukan makruh lagi.

Beliau juga sering kelihatan di beberapa buah pusat hiburan di Jakarta. Beliau juga khabarnya ada rangkaian perniagaan di Indonesia. Seorang kawan sering berkunjung ke kelab hiburan ala-ala padang pasir itu juga pernah terserempak dengan pemimpin berkenaan. Katanya dia juga turut merakam gambar pengerusi yayasan itu yang sedang dikeliling dua tiga gadis genit Indonesia, asal Sundal.

Kepada sesiapa yang mengetahui akan hubung kait bas ini dengan yayasan berkenaan maklumlah. Atau ceritakan sedikit apakah yayasan berkenaan telah melabor dalam perniagaan di Indoneisa untuk menambahkan pendapatan yayasan berkenaan demi rakyat? Dan kalau ia satu pelaboran berapa banyakkah keuntungan yayasan berkenaan.

Ataupun telah berlaku penyalahgunaan wang yayasan berkenaan. Difahamkan juga yayasan berkenaan pernah memiliki wang yang banyak hampir RM30 juta. Ia digunakan untuk menjadi tabung kepada sebuah parti politik bagi menghadapi pilihaan raya. Tetapi yang malangnya wang dan kedudukan yayasan ini hanya untuk individu tertentu saja walaupun matlamat penubuhannya untuk membantu rakyat tidak kira warna bendera.

Kalau Mat Maslan tahu sila-silalah berkirimkan SMS kepada saya! [wm.kl.10:45 am 27/09/10]

Catatan Kecil

Gerlong Sudah Tidak Sehebat Dulu

TIDAK banyak cerita dan balada dari 'kisah seribu satu cerita' dari Indonesia kali ini. Sebenarnya kalau ingin menulis kisah, peristiwa dan apa-apa saja mengenai Indonesia ia tidak akan kehabisan.

Selamanya Indonesia memiliki berbagai-bergaia cerita; dari cerita nyata membawa ke cerita ghaib, dari cerita ghaib membawa ke alam nyata! Terserah kepada kita bagaimana mahu mengulas dan mentafsirkan dan apa tujuannya.

Kadang-kadang apa yang berlaku atau kedapatan di Indonesia sukar untuk dipercayai tetapi nampak jelas di depan mata. Indonesia banyak dengan mistik dan misterinya. Keadaan ini menyebabkan mereka yang lemah akal dan iman sering tertipu dengan kerenah dan ulah Indonesia.

Selalunya kalaupun ada tujuan lain ke negara berkenaan, saya akan mencuri ruang untuk mencari cerita dan menulis mengenai Indonesia untuk dikongsi bersama. Kali ini saya datang dengan tugas khas menjadi pemandu pelancong dan juga jurufoto kepada dua anak perempuan saya Ernny dan Esmah dua kawan sekerjanya Siti dan Aida.

Mulanya mereka mengatur rencana sendiri untuk ke Jakarta. Tetapi saya tidak percaya dengan Jakarta, dan terpaksa mengambil masa menenami mereka. Indonesia ya... memang baik, 'penghormat', tetapi di celah dan sisi itu ada banyak manusia jalang, curang dan penipu. Sesiapa yang belum biasa di sana mudah akan dikapor atau ditipu begitu saja. Hidup-hidup... penipuan di Indonesia bukan di malam hari tetapi disiang bolong. Kata-kata adalah modal paling ampuh bagi mereka memperdaya pelancong.

Penipuan di Indonesia boleh bermula di mana-mana saja. Di lobi hotel, atas teksi... sampailah ke kawasan pelancongan ataupun dipusat-pusat membeli belah. Justeru kena waspada dan hati-hati. Jadi kerana anak saya bersama kawan sekerjanya tidak pernah ke sana, maka mereka belum ada formula mengenai Indonesia dan gaya hidupnya, maka perlu mendampingi mereka bagi mengajar beberapa formula untuk ke Indonesia.

Kerana tugas itu, seperti dibilang tadi saya tidak berkesempatan untuk mencari bahan bagi disajikan kepada penjenguk sekalian secara gratis. Malahan ke tempat segelintir rakyat Indonesia mencari 'rejeki' dengan mengambil upah mengayang Malaysia iaitu di Kuningan pun saya tidak lewat. Bukan takut kena usir, tetapi ketiadaan masa. Saya sama sekali tidak akan gentar kepada Indonesia...

Cuma semasa ke Bandung saya berkesempatan melaram ke Jalan Gegerkalong atau Gerlong di mana disinilah bermukimnya manusia bernama Abdullah Gymnastiar atau dimesrai dengan nama Aa Gyam yang membawa satu pembaharuan mengubah suasana dan gelaran dilokasi berkenaan.

Dulu kawasan ini katanya kawasan yang penuh maksiat, dikenali dengan gudang maksiat. Hingga muncul Aa Gyam yang telah diberikan hidayah dan taufik oleh Allah mengajak manusia di sekitarnya supaya kembali kepada Allah. Aa Gyam bolehlah dianggap sebagai 'nabi' yang diutuskan Allah untuk membenteras maksiat dan mengajak manusia kembali kepada Allah.

Memang cara Aa Gyam berdakwah menarik perhatian umum. Bentuk pengajarannya bukan memberi pendidikan lisan atau mengenalkan manusia dengan hukum hakam, tetapi beliau terlebih dahulu menguruskan jiwa (qalbu) manusia. Beliau mengenalkan manusia dengan dirinya sendiri baru mengajak mengenai Muhamamd dan penciptanya. Inilah kelainan menyebabkan dakwah ataupun pengajaran Aa Gyam menarik perhatian dan berkesan. Ia lain dari yang lain.

Kerana kehebatan Aaa Gyam dan dakwahnya diterima menyebabkan Gerlong menajdi maju dan model kepada kumpulan lain. Gerlong akhirnya mempunyai identitinya sendiri dan dikenali sebagai kawasan Islam.

Gerlong seakan memiliki masyarakat dan negerinya tersendiri. Semua institusi keagamaan di situ ada, dari masjid kepada pasateran, sekolah agama dan juga pajak gadai Islam. Malahan kedai-kedai menjual peralatan Islam dan cara pengurusannya juga dibuat mengikut Islam. Pendeknya Gerlong menjadi sebuah negara Islam kecil di Indonesia. Corak pemaikian yang diamalkan Aa Gyam itu memakai surban dan jubah juga menjadi ikutan.

Kegemilangan Aa Gyam dan Gerlong disebut dimana-mana. Ia juga menjadi daya tarikan kepada pelancong dan secara tidak langsung menyumbangkan pendapatan penduduk setempat. Kerana itu kawasan ini pada hari tertentu terutamanya di hari diadakan kuliah pengajian, penuh sesak sehingga kawasan sepanjang jalan Gerlong itu sudah tidak mampu menampung kedatangan orang ramai.

Itu dulu sekitar tahun 90-an. Kehebatan Gerlong atau Aa Gyam malangnya tidak berpanjangan. Kini kehebatan itu sudah menirus. Semua ini gara-gara Aa Gyam yang telah berpoligami dengan gadis belasan tahun. Perkahwinan Aa Gyam itu menjadi kontroversi dan ianya diambil kesempatan oleh musuh Islam menghancurkan pemangunan bikinan Aa Gyam itu.

Sebahagian besar kaum perempuan yang mengikuti pengajiannya dan menjadi peminatnya dari jauh marahkan kepada Aa Gyam.

Media massa yang anti syariah Islam juga mengambil kesempatan memainkan isu berkenaan. Menghebuhkan dan memfitnahkan kononnya perkahwinan Aa Gyam dengan gadis itu sebagai untuk melepaskan ledakan nafsu. Ternyata peranan media itu berjaya, dalam beberapa ketika saja 'kesucian' dan kewarakan Aa Gyam runtuh.

Gerlong yang satu masa dulu dibendongi orang ramai tetapi kini sudah lenggang. Kebetulan pada masa saya mengujungi kelmarin hari Jumaat. Seharusnya pada haru itu Gerlong dilimpah manusia, tetapi yang memenuhi masjid Darut Tauhid milik Aa Gyam hanya di kalangan orang sekitar itu saja. "Tidak banyak orang luar yang berasak untuk solat Jumaat di sini seperti dulu," demikian tutur Riyan pemandu kereta sewaan kami. [wm.kl. 9:30 am 27/09/10]

Sunday, September 26, 2010

Ulasan Isu

Bila Zaid Diinterviu Minggun Malaysia

DALAM akhbar Mingguan Malaysia terbitan Utusan Melayu hari ini ada menyiarkan temuramah Zaid Ibrahim yang menyentuh khusus mengenai isu perebutan jawatan dalam PKR khasnya mengenai perebutan jawatan timbalan presiden PKR yang akan tertumpu kepada beliau dengan Mohamad Azmin Ali. Wakaupun ada seorang lagi calon Mustafa Kamil Ayub tetapi perlawanan hakikatnya kini adalah antara Zaid dengan Azmin.

Saya sedikit terkejut dan tidak sangka kalau Zaid memilih media itu untuk dijadikan wadah baru kempennya.

Saya juga seorang terbuka dan berpegang kepada profesional. Tetapi bagi saya sikap terbuka dan liberal Zaid dalam memilih akhbar berkenaan untuk meluahkan perasaanya dan sedikit sebanyak menjelaskan hasratnya bertanding tidak begitu tepat dan boleh memberi kesan negatif kepadanya juga.

Zaid mungkin dapat meluahkan segala hajatnya, atau tidak mempunyai media lain untuk berbuat demikian maka beliau perlu menerima akhbar berkenaan. Tetapi sepatutnya sebelum beliau menerima akhbar berkenaan beliau seharusnya menghitung dulu apakah kesediaan untuk diinterviu oleh akhbar itu memberi keuntungan kepadanya atau pun tidak. Beliau juga sepatutnya pandang belakang melihat apa yang telah akhbar itu lakukan kepadanya dan juga partinya itu.

Sebagai ahli politik Zaid bukan saja perlu tegas dan berani tetapi beliau juga kena bijaksana. Beliau tidak boleh melihat atau merasakan sikap terbuka dan profesional yang ada kepadanya, juga ada kepada orang lain. Beliau perlu melihat sentimen ahli PKR dengan akhbar berkenaan. Bukankah akhbar berkenaan ditolak oleh PKR dan dari keadaan itu apa sebenarnya yang Zaid harapkan dari interviu berkenaan. Justeru saya melihat yang untung daripada interviu berkenaan akhbar itu, bukannya Zaid. Interviu itu juga tidak lebih daripada perbuatan Zaiud untuk melepas geramnya saja.

Saya tidak mahu mengatakan Zaid terperangkap ataupun sengaja 'mencari' akhbar berkenaan sebagai perlarian untuk meluahkan isi hatinya. Yang jelasnya akhbar berkenaan adalah musuh kepada parti PKR terutamanya akhbar yang membenci penasihat parti itu sepanjang masa. Malahan beliau sendiri pernah menjadi sasaran parti berkenaan seewaktu pilihan raya kecil Hulu Selangor. Kebebasan dan sikap profesional Zaid dalam hal ini belum boleh diterima ahli PKR secara umumnya. Di sini Zaid tidak pandai meraba perasaan ahli PKR yang diharap akan menyokongnya. Jadi apa alasannya? Tentu Zaid ada alasan lain yang tersendiri.

Mungkin pengkhianatan akhabr berkenaan kepadanya boleh dimaafi Zaid. Mungkin akhbar itu sudah membuat apologi senyap kepadanya. Ataupun ada kontra terhadap tindakan Zaid sebelum ini terhadap akhabr berkenaan. Di mana kalau tidak salah Zaid cadang menyaman akhbar berkenaan kerana dirasakan memfitnahnya. Apakah dengan mendapat ruang untuk berkempen menerusi interviu itu akhbar berkenaan mendapat kebebasan dari disaman Zaid?

Dalam situasi kini bila Zaid menggunakan akhbar berkenaan ia tidak mendapat kebaikan. Ahli PKR yang membenci akhbar berkenaan akan marah. Hampir semua pemimpin PKR dicemuh oleh akhbar berkenaan. Ahli tidak akan membaca akhbar berkenaan jadi mesej yang hendak disampaikan mnerusinya tidak akan sampai ke bawah.

Jadi saya tidak tahu dimanakah relevansinya Zaid sedia untuk diinterviu oleh akhbar berkenaan. Apakah kerana rasa frustnya sudah memuncak maka beliau tidak ada pilihan lain melainkan bercakap kepada akhbar berkenaan. Apakah Zaid tidak bertanya kepada penasihatnya sebelum berbuat demikian ataupun beliau bertanding tanpa ada mana-mana pihak mengurusnya?

Di sini dalam memaraih simpati, lawannya agak cerdik darinya. Saya pasti akhbar berkenaan akan cuba mendapatkan Azmin untuk diinterviu untuk dilagakan antara keduanya dengan tujuan berlaku berontakan kepimpinan dalam parti itu. Sudah tentu Azmin tidak akan melayaninya. Dan penolakan Azmin itu menyebabkan ahli PKR melihat Zaid rapat dengan akhbar berkenaan. Di sinilah imej Zaid akan jatuh dan keikhlasn Zaid juga akan diperkatakan. Ringkasnya langkah Zaid memberi muka kepada akhbar berkenaan tidak fasal-fasal menguntungkan Azmin.

Zaid barangkali lebih arif dalam politik manusia sering tidak rasional. Seseorang yang ingin terlaku rasional dan terbuka serta tegas juga akan menjadi mangsa kepada dirinya sendiri. Dalam politik kena tahu arah tiupan angin dan peka membaca keadaan serta selera penyokong dan ahli. Dalam politik tidak ada keikhlasan, kejujuran dan kebenaran. Yang ada ialah tipu muslihat, adu domba dan juga munafik setiap saat. Dunia politik (humanisme dan materialisme) itu sendiri adalah kloni subur para munafikun.

Justeru kalau Zaid berlawan dengan Azmin dan menggunakan akhbar berkenaan kerana ingin menunjukkan sikap terbukanya, sikap profesionalnya, beliau telah salah dan melakukan kesilapan besar dalam politik yang berteraskan kepada prinsip 4C.

Saya sangat membimbangi bila Zaid mengadakan temuramah dengan akhbar berkenaan menyebabkan semangat para penyokongnya yang kecewa dengan akhbar berkenaan akan menurun. Saya lihat dari Interviu apa diperolehi Zaid hanya meluahkan rasa hatinya saja tidak lebih dari itu.

Pada saya apa yang Zaid inginkan dari PKR dengan apa yang beliau lakukan itu sia-sia saja. Berdasarkan itu saya cukup pasti selepas ini kalau beliau kalah beliau akan meninggalkan PKR atas alasan perjuangan parti itu tidak mampu memenuhi kehendaknya. Atau setidak-tidaknya kerajinannya seperti mana hari ini akan tergenjat sedikit. Selalunya perangai orang politik tidak mudah berubah walaupun di rendam dalam tujuh lautan. Saya sudah lama memerhati hal ini. [jkt 6:00 am 26/09/10]

Omelan Dari Jakarta

Ibrahim Dan Mahathir Sedang Menanti Keretapi

SEMALAM khabarnya bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dibawa ke Kelantan oleh Perkasa dan bersyarah (mengepek) di setesen keretapi Pasir Mas. Maklumat lanjut belum sampai kepada saya. Mungkin majlis di birai setesen keretapi itu tidak dihadiri oleh sumber-sumber saya di sana atau mereka tidak 'berani' menghantar SMS sebab saya berada di luar. Jadi tidak ada maklumat yang tuntas dan mendalam mengenainya.

Dari laporan sebuah proral berita mengatakan jumlah yang hadir hanya 5,000. Jumlah ini dikira lumayan juga walaupun targetnya 20,000. Cukuplah bagi sebuah NGO yang baru berusia dua tahun. Boleh diagakkan yang 5,000 itu hampir separuhnya mereka yang datang dari luar, yang menjadi pengikut Mahathir dari Kuala Lumpur. Atau mereka sebahagiannya adalah pengawal Mahathir bagi mengawal Mahathir takut kena sembur spray sekali lagi di airport. Jadi tidak hairanlah kalau jumlahnya 5,000. (Jangan lupa formula media yang saya berikan).

Selalunya begitu lah. Ada yang pergi dengan tanggungan duit sendiri dan ada juga yang dibayar duit minyak oleh pihak tertentu. Eloknya juga hari minggu ramai-ramai berkereta ke Kelantan setidak-tidaknya dapat menghilangkan stress di KL dan menambahkan pendapatan orang Pasir Mas.

Saya tidak tahu pula apakah Pak Mat Tapai, Jusoh Senget, Lah Buncit, Mail Botak ataupun Minah Budu, Lijah ikan pekasam dan Midah Gagak, ikut sama dalam perhimpunan itu. Biasanya orang-orang ini adalah antara penyokong tetap Ibrahim Ali di Pasir Mas. Di mana dan ke mana saja Ibrahim Ali bersyarah orang-orang ini akan heret untuk menjadi tukang sorak. Bagi mereka ada untungnya kalau ikut majlis Ibrahim kerana sesen dua duit akan masuk ke dalam poketnya boleh buat beli etok dan kacang butir buat anak dan cucu.

Tidak mengapa kalaupun orang tidak ramai, yang penting kedua mereka (Ibrahim dan Mahathir) dapat bersyarah dan berucap. Dasar orang politik kalau tak bercakap sehari akan pening kepala dan perut akan masuk angin. Jadi tanpa mengira orang ramai atau tidak, mereka akan bercakap dan meluahkan apa saja yang bersekang di hulu hati. Kalau dapat tepukan dan sorakan lagi membanggakan mereka. Tak kiralah dari parti mana mereka.

Ada dua perkara yang berlaku di pinggir setesen keretapi itu semalam dari laporan akhbar. Pertama Mahathit terus mengepek kepada Nik Aziz manakala Ibrahim pula mendedah rahsia hatinya yang hendak jadi Menteri Besar Kelantan. Selmba saja Ibrahim mendedahkan rahsia itu dengan mengatakan, kalau dia jadi MB Kelantan, Kelantan akan jadi lebih baik. Bermankanya beliau menjadi riuh randah macam katak memanggil hujan selama ini rupanya dia nak jadi MB Kelantan. Tak sangka Ibrahim ada cita-cita itu. Macam orang buta nak tengok pelangi.

Saya setuju kalau Ibrahim jadi MB. Memang dia seorang kreatif dan banyak idea. Dia juga pemurah. Kelantan akan maju malah lebih maju dari Selangor dan Perlis kalau Ibrahim jadi MB Kelantan. Pasti Kelantan akan ada lebuh raya, airport bertarf internasional bukan saja Boeing 747 boleh mendarat di Kelantan tetapi Concord juga akan turun di KB.

Begitu juga dengan KDNK rakyat Kelantan akan bertambah hingga mencecah 9.9% setahun. Balak Kelantan juga akan terpelihara sebab kerajaan Ibrahim tidak menggalakkan penebangan hutan. Ibrahim ada sumber kewangan lain untuk memajukan Kelantan. Dia cukup hanya berkata sim silabim ala bra kada bra saja, maka Kelantan akan bertukar menjadi negeri bertatahkan emas dan diperlimbkan dengan intan permata.

Tetapi soal apakah rakyat Kelantan obses kepada keistimewaan dan kepandaian Ibrahim itu. Ini menjadi masalah. Bagi mereka yang meletakkan dunia di depan mungkin bersetuju dengan Ibrahim. Tetapi mereka yang mengambil dunia dan akhirat mungkin akan berfikir banyak kali.

Mereka sedar siapa dia Ibrahim. Sejauh mana ilmunya mengenai agama. Orang Kelantan kuat beragama. Agama adalah menjadi pegangan sejak berabad lalu. Ini menjadi masalah kepada Ibrahim. Dalam memilih pemimpin apa lagi MB mestilah mereka mahukan orang yang tahu sedikit sebanyak mengenai agama. Mampu dan layak menjadi imam sembahyang bukan saja setakat jadi imam di kedai kopi dan di lounge hotel. Semua MB sebelum ini hafiz alQuran (khatam) termasuk juga Mohammad Yaacob. Mereka bukan dari kalangan buta al Quran.

Apakah Ibrahim hafiz? Tahu al Quran. Boleh diangkat menjadi imam? Ini payah sikit untuk Ibrahim jadi MB Kelantan. Kecuali beliau tahu semua ilmu itu dan tarafnya dalam bidang agama setanding dengan bekas MB Kelantan itu. Mungkin kriteria ini tidak penting dan utama, tetapi ia menjadi penambah nilai khusus untuk jadi MB di Kelantan.

Jadi berdasarkan hakikat itu jangan mimpi untuk Ibrahim jadi MB Kelantan. Harapan yang diluahkan itu tidak lebih dari angan-angan saja dan sebuah ilusi orang yang kehilangan arah tuju. Bagi rakyat Kelantan mereka tidak mudah terpesona dengan kenyataan Ibrahim itu kecuali bagi mereka yang sama perangai dan moral politiknya sepertinya. Mereka yang waras dan cukup sifat bukan saja tergelak dengan angan-angan Ibrahim itu tetapi pasti akan muntah billa beliau menyebut demikian.

Angan-angan untuk jadi MB Kelantan itu samalah perbuatan orang yang membuat sesuatu tanpa mengukur badannya sendiri. Kandatipun Ibrahim dicatat sebagai orang yang banyak membuat sejarah dan keanihan, namun saya tidak yakin angan-angan itu akan menajdi sejarah, melainkan sebuah seloka di musim hujan saja.

Majlis yang diadakan berhamopiran setesen keretapi itu juga ada makna dan signifikannya sendiri, apakah ia memberi simbolik bahawa Ibrahim dan juga Mahathir sedang bersiap sedia untuk dibawa dari dari Kelantan dan juga persada politik selepas ini. Ibrahim dan Mahathir hanya sedang menanti keretapi saja untuk berlalu jauh dari hati rakyat. Jadi sementara menanti ketibaan keretapi maka mereka berbual-bual kosonglah. [jkt 4:45 am 26/09/10]

Friday, September 24, 2010

Renungan Dari Jakarta

Siapa Yang Perlu Diragui Sebenarnya?

BILA ada individu rakyat Kelantan yang mengambil inisiatif untuk membawa 40 orang ulamak ke Makkah untuk mengadakan munajak khas berhubung royalti minyak ada orang yang tidak berkenaan dan bersetuju angin. Katanya peruntukan sebanyak RM400 ribu adalah terlalu banyak dan sepatutnya wang itu dibelanjakan kepada fakir miskin.

Kata orang itu kalau bawa fakir miskin sekurang-kurangnya sudah lepas tanggungjawab fardu ain mereka.

Saya tidak fikir orang berkata demikian dan meragui mengenai projek itu tidak faham dan dapat membezakan antara ulamak dengan fakir miskin. Tujuan munajak itu adalah untuk mendapat hak Kelantan yang dinafikan oleh kerajaan Persekutuan. Kalaulah wang royaliti sebanyak RM800 juta itu dibayar ia bukan saja dapat meringankan beban fakir miskin tetapi seluruh rakyat Kelantan.

Saya juga tidak tahu apakah munajak fakir miskin lebih afdal daripada munajak para ulamak? Rasanya orang berkenaan lebih cerdik daripada Umno. Umno menerima kemasukan 40 ulamak dan bukan 40 fakir miskin. Sepatutnya Umno juga perlu menerima 40 fakir miskin.

Apakah matlamat dan tujuan ini pun tidak dapat dibaca oleh orang berkenaan. Bagaimana anda menjadi seorang wakil rakyat kalau perkara seperti ini tidak dapat difahami akan maksud dan tujuannya. Atau membezakan antara si fakir dengan ulamak.

Saya tidak mahu mengulas mengenai kebebalan dan kebodohan orang berkenaan yang menentang usaha untuk membawa 40 ulamak itu. Pada saya orang itu hanya sengaja menunjukkan kebodohannya tanpa diminta sesiapa. Saya hanya tersenyum bila mana orang itu melahirkan rasa bimbang mengenai tabung berkenaan. Kononnya beliau seorang jujur dan ikhlas dan membenci perkara mungkar seperti menyonglapkan wang.

Ujar orang itu yang syok sendiri kononnya dia jujur dan ikhlas, dermawan dan budiman, pasal wang ini budak pun berebut yeop. Ertinya dia tidak percaya wang itu diuruskan dengan betul mencapai tujuannya itu. Saya cukup tahu kenapa orang itu berkata begitu dan bimbang dengan masalah keselamatan wang, sebabnya orang berkenaan cukup memahami dan ada tawarikh mengenai hal-hal mungkar begitu.

Orang berkenaan banyak pengalaman dan arif mengetahui kisah penggelapkan wang. Dia juga tahu kisah bagaimana orang menggunakan agama, beri ceramah agama, baca hadith dan ayat Quran atas mimbar masjid untuk dapatkan wang. Dia juga tahu bagaimana cerita orang menjalankan kutipan derma untuk seorang anak kawan yang sakit, kemudian wang itu hilang begitu saja.

Orang itu juga ada pengalaman dan mengetahui bagaimana seorang calon ilihan raya menghantar SMS meminta wang untuk perbelanjaan pilihan rayanya tetapi akhirnya wang berkenaan tidak sampai satu senpun dan orang lain yang membayar segala perbelanjaan.

Mungkin kerana orang itu ada pengalaman, tahu segala kisah menyebabkan dia bimbang dengan penganjur munajak berkenaan akan melakukan penyelewengan seperti mana diketahuinya.

Di sini saya tidak mahu mengatakan penganjur tabung munajak itu seorang malaikat. Tetapi dia inilah yang pernah membantu seorang wakil rakyat yang dikenakan tindakan petisyen di mahkamah. Pernah menghabiskan wangnya sendiri membantu seorang kawannya yang bertanding dalam pilihan raya. Malahan pernah diajak menjadi saksi kepada petisyen terhadap seorang wakil rakyat.

Beliau diajar supaya bercakap bohong, menipu mahkamah dengan menjadi saksi atas pembelaan dalam kes petisyen berkenaan. Allah Al Azim ... petisyen berkenaan tidak berlaku disebabkan ada perundingan. Kalau tidak kawan yang budiman itu akan turut sama terjebak melakukan kejahatan dan penipuan kepada mahkamah.

Justeru orang ramai yang membaca laporan mengenai kebimbangan orang berkenaan berhubung dengan projek membawa 40 ulamak ke Makkah itu boleh menilai sendiri siapa yang korup, siapa yang penipu dan siapa yang hipokrit dalam hidupnya. [jkt 7:00 am 24/09/10]

Dari Jakarta

Jakarta Tidak Mancat Dan Tidak Ada Keributan

SEWAKTU hendak berangkat ke Jakarta tengah hari semalam, isteri saya risau mengenai perjalanan saya ke Indonesia kali ini. Kata dan tanyanya, macam mana nak ke Jakarta sambil menghulurkan akhbar Utusan Malaysia. Mungkin isteri saya risau sebab saya ke Jakarta kali ini bersama dua anak perempuan dan dua orang rakannya. Selalunya isteri tidak pernah risau dan merunggut ke mana saja saya nak pergi.

Dia tahu jenis perjalanan dan stail saya. Sangkut beg atas bahu ambil passport menuju airport tanpa diberi tahu ke mana destinasi saya. Sesudah sampai ke tempat baru saya memaklumkan di negeri mana saya berada. Itulah stail saya sejak 25 tahun lalu. Isteri sudah sangat faham dan arif mengenai kehidupan saya.

Teringat pada satu tahun isteri saya masih dalam pantang kerana melahirkan anak perempuan kedua saya, saya telah meninggalkan mereka kerana mengembara ke beberapa buah negara hingga ke Afrika. Hampir dua bulan saya mengembara. Bayangkan bagaimana keadaanya, waktu itu tidak ada kemudahan hand set dan internet. Kemudahan duit juga masa itu kurang. Sebulan tanpa mendengar dan mengetahui apa-apa berita kedua pihak.

Sebenarnya saya bernasib kerana mendapat isteri yang faham dengan perjuangan dan keanihan saya. Ke mana saya nak pergi tidak pernah terhalang. Isteri cukup memahami kehidupan seorang wartawan, apa lagi wartawan politik. Saya sering mengatakan dalam hidup seseorang lelaki (suami) penyumbang utama kejayaanya dan ketenangannya hidupnya adalah isteri. Kalau isteri 'beronar' maka akan beronarlah segala-galanya.

Berbalik kepada hal Jakarta tadi, mungkin disebabkan kerana terpengaruh dengan laporan Utusan itu menyebabkan isteri sedikit bimbang. Semasa hendak berlepas ke airport saya menyilau akhbar berkenaan. Penuh dimuka depannya laporan mengenai keganasan puak Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang marahkan kepada Malaysia. Katanya puak Bendera yang kini sedang 'jajan' dengan motosikal berkempen membenci Malaysia disamping melakukan aksi membakar Jalur Gemilang.

Ada gerun terdetik dalam hati mengenai laporan itu. Dan sewaktu atas kapal terbang beberapa orang pelancong Malaysia, - yang pertama kali ke Jakarta menyatakan kebimbangan itu. Seorang pelancong menjelaskan, kalau bukan kerana tikit dah dibeli awal-awal dia akan membatalkan perjalanan ke Indonesia setelah membaca laporan akhbar itu.

Benarlah kata orang apa yang didengar dan dibaca tak sama dengan apa yang dilihat dan dirasai. Jangan mudah percaya kepada laporan akhbar. Saya awal-awal lagi sudah merasakan akhbar berkenana ada agendnya sendiri. Cara laporan itu, meluahkan kebencian dan bukannya cuba mengawal keadaan.

Saya selalu mempersoalkan mengenai media negara kita berhubung aksi puak Bendera ini. Pendedahan dan pemberitaannya negatif dan sengaja mahu membangkitkan kemarahan rakyat kita kepada mereka - Indonesia. Kita sudah tahu aksi nakal dan biadab itu dilakukan segelintir manusia yang menerima upahan. Tetapi kenapa kita harus memepdulikannya. Rasa tidak sepatutnya kita cuba memberi gambaran yang seluruh rakyat Indonesia begitu.

Masih ada banyak orang Indoensia yang baik, ramah dan sedia membantu. Tidak menipu ataupun memutar belitkan meter teksi. Atau yang menjadi amanah kemudahan dalam masa sama menjadi pelacur sampingan dan jemputan. Tetapi bila corak laporan begitu menyebabkan ia meninggalkan perasaan benci dan rasa takut rakyat Malaysia kepada Indonesia. Ia menggambarkan seolah-olah Indonesia selalu menjeler lidah kepada kita.

Dalam sepanjang perjalanan dari bandara (airport) Seokrno-Hatta, saya tidak terdengar sepatah pun pertanyaan dari pemandu teksi berhubung tindakan Bendera itu. Begitu semasa di hotel di kala bersimbang dengan beberapa tetamu hotel dari kalangan rakyat Indonesia, tidak sepatah pun terkeluar pertanyaan mengenai aksi Bendera itu. Malahan bila diajurkan soal itu masing-masing kelu tidak mengetahui apa. Tidak ada juga bayangan kecurigaan mereka kepada kita.

Jelas tindakan kumpulan Bendera itu tidak disebar meluas di sini. Ia hanya menjadi berita penting dalam media tertentu saja. Dari sini boleh disimpulkan bahawa rakyat Indoneisa tidak berhajat untuk berperang dengan Malaysia, cuma media kita saja melebih-lebihkan laporan mengenai tindakan puak Bendera itu yang memberi gambaran hubungan negara antara berdua dalam keadaan tegang.

Sejak aksi itu muncul saya bertanya sendiri, untuk apa kita melaporkan segala kejadian dan aksi dilakukan puak Bendera itu. Perlu apa kita memberi publisiti murah kepada mereka. Apakah kita mahukan rakyat kita bangkit dan marah dengan Indoensia? Dan kalau begitu tujuan media kita apakah rakyat kita bangkit? Sejak timbul kisah Bendera itu tidak ada apa-apa dari mana-mana pihak di negara kita yang bertindak balas membakar Sangkakala.

Jadi yang bergaduh dengan Indoensia terutamanya dengan puak Bendera itu bukan seluruh rakyat kita tetapi media yang cuba mengajak kita menyerang Indonesia. Tepatnya yang benci melampau kepada Bendera adalah sebilangan kecil media kita.

Saya yakin kalau media kita profesional dan bijak dalam mengawal keadaan dan ada niat untuk tidak mencetuskan rasa kurang senang terhadap Indonesia, media kita akan gelapkan kegiatan Bendera yang tidak bertamadun itu. Biarlah mereka laku apa saja dan kita jangan respos kepadanya. Lagak puak bendera itu persis budak kecil, kalau kita terus mengiku 'erel'nya maka ia akan jadi semakin menjadi-jadi.

Makanya media kita harus mengembalikan fungsi dan peranan mereka sebagai pemandu pemikiran ummah dan bukannya menjadi penghasut di siang hari. [jkt 5:30 am 24/09/10]

Thursday, September 23, 2010

Menikam Harapan

Zaid Patut Jadi Hero Negara Bukan Champion Dalam Parti

APABILA Zaid Ibrahim membuat keputusan untuk tidak merayu kepada Umno atas pemecatannya dan selepas itu mengumumkan kemasukannya ke dalam PKR banyak orang merasa gembira dan bertuah. Kedatangan Zaid ke dalam PKR dikira akan menyemarakkan lagi perjuangan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan BN. Apa yang diharap, pengalaman jahat, provokasi, politik wang, rasuah di dalam Umno yang dilalui dan dialami Zaid akan digunakan untuk menempelak BN seluruhnya. Zaid akan menjadi senjata ampuh untuk membunuh Umno.

Selain itu orang melihat langkah Zaid bersama pembangkang dan meninggalkan kedudukan lumayan sebagai menteri satu tindakan berani beliau dan menggambarkan beliau seorang pejuang tulen. Orang yang ingin melihat keadilan, kebenaran dan benci kepada penyelewengan dan salah guna kuasa yang diratah UBN selama ini. Orang sudah benci!

Tanpa mempersoalkan bagaiman atau kronologi beliau melepaskan jawatan menteri dan dipecat dari parti, orang di luar khasnya penyokong Pakatan Rakyat mengangkat Zaid sebagai seorang berprinsip, berani, telus, tidak mementingkan diri dan kedudukan. Beliau mulai dilihat atau diletakkan bakal menjadi hero baru pembangkang. Beliau diharap menjadi wira membela rakyat tertindas. Itulah ilusi umum.

Memang Pakatan Rakyat terutamanya PKR memerlukan orang seperti Zaid. Apa lagi PKR telah kehilangan beberapa jagohan termasuk jagohan kampung yang perut leper dan tetapi pelahap. Kekosongan yang ditinggalkan mereka itu dikira akan dipenuhi oleh Zaid. Hati penyokong PKR dan Pakatan Rakyat dikira terubat dengan kehadiran Zaid.

Zaid memang diterima dengan seadanya dan sesuai dengan profesionalisme dimilikinya. Dia diletakkan terus ke dalam saf kepimpinan tertinggi PKR. Beliau menjadi ahli Biro Politik, biro tertinggi dalam membuat dasar dan menentukan hala tuju parti. Beliau dilayan sama tinggi dan sestatus timbalan presiden dan naib-naib presiden.

Tidak cukup itu, dan atas kepercayaan kehebatan serta wibawa beliau juga beliau diberi tugas untuk menguruskan Pakatan Rakyat sebagai penyelaras. Ini tugas besar sebenarnya di mana beliau seolah bertindak menjadi Setiausaha Agung kepada Pakatan Rakyat. Sudah pasti sekiranya Pakatan Rakyat menjadi sebuah komponen sah beliaulah menjadi Setiausaha Agungnya.

Kemajuan terus dicapai oleh beliau apabila diberi kepercayaan untuk menghadapi calon BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor. Kepercayaan PKR kepada beliau satu penghormatan yang memerlukan pengorbanan bukan kecil. PKR terpaksa berkorban dan turut sama kehilangan beberapa ahli jagohan kampung (perut leper dan pelahap) apabila beliau diberi kepercayaan. Hakikat ini patut disedari Zaid dan hendaklah dijadikan bahan renungan jiwa buatnya.

Iya tidak terhenti di situ saja. Bintang dan tanggungjawab beliau semakin bertambah, terbaru beliau dilantik pula menjadi Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Lebih ironisnya beliau mengambil tempat Mohamad Azmin Ali.

Sebenarnya dengan kedudukan itu semua sudah cukup untuk Zaid menunjukkan bakat, komitmen dan melakukan sesuatu kepada PKR dan Pakatan Rakyat dalam usaha gagasan untuk memerintah Malaysia. Zaid seharusnya tidak perlu sibuk dengan hal-hal yang akhirnya menyerlahkan beliau sebagai tamak ataupun inginkan kepada kuasa lebih besar dalam waktu terdekat yang mana menatijahkan perbalahsan sesama sendiri.

Beliau boleh menjadi hero dengan jawatan itu semua. Misalnya beliau harus mencari ikhtiar bagaimana kedudukan Pakatan Rakyat kemas, mantap dan kuat. Tugas menyelaras bukan saja setakat untuk memastikan ROS meluluskan pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai parti politik. Kita dianggap bijak kalau kita boleh menyelaras, menyusun dan memperkuatkan ikatan parti-parti Pakatan Rakyat tanpa ianya dilulus sebagai sebuah parti. Di sinilah orang akan menilai kerja dan kebolehan kita.

Agak malangnya, tugas-tugas dan harapan diberikan kepada Zaid itu sedikit terbengkalai apabila beliau kini berkucah dalam pergolakan untuk menjadi Timbalan Presiden PKR. Beliau nampak lebih menumpukan kepada agenda diri sendiri daripada agenda parti. Beliau banyak berusaha menjadi champion dalam parti bukannya hero dalam negara. Bukan tidak boleh beliau bertanding, dengan nilai dan wibawanya beliau layak. Tetapi untuk apa? Zaid harus bertanya diri sendiri dulu sedalam-dalamnya untuk mengambil keputusan itu. Itu sepatutnya.

Saya nampak alasan yang diberikan untuk mengembalikan kuasa presiden adalah semata-mata alasan setelah alasan lebih besar tidak ada. Apakah Zaid mengira selama ini Wan Azizah Wan Ismail gagal mengemudikan parti secara berkesan kerana beliau dihalang atau kuasanya dirogol? Dan ikhlas saya tanya, apakah Zaid mempercayai seorang wanita seperti Azizah mampu untuk mengemudi bahtra sebesar PKR yang menjadi tunggak kepada Pakatan Rakyat kalaupun Azizah diserahkan tanggungjawab itu sepenuhnya?

Zaid juga tahu selama ini Azizah hanyalah lambang kepada presiden sebenar. Sebagai simbol juga Azizah tidak mungkin dapat atau berkuasa melakukan lebih dari itu.

Rasanya Zaid sendiri tidak percaya dan tahu sejauh mana kemampuan Azizah. Selain itu beliau juga tahu bahawa kuasa Wan Azizah sebagai presiden siapa yang memakan dan memamahnya. Bukankah Anwar? Jadi kalau Anwar yang memakan dan memamahnya, kenapa Zaid harus bingkas memeprsoalkan kedudukan Azizah terhalang. Makanya itu cuma alasan semata.

Kalau begitu kenapa Zaid tidak saja bertanding jawatan presiden? Kenapa timbalan presiden?

Dalam satu hal saya tidak senang dengan sikap Azmin terhadap semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor. Pada saya Azmin jelas mensebotaj Zaid dan salah satu faktor kekalahan Zaid ialah bila Azmin tidak berperanan sepatutnya dan melumpuhkan sebahagian jentera pilihan PKR. Azmin perlakukan begitu kerana bimbang dengan Zaid. Kemenangan Zaid di Hulu Selangor boleh mengancam periok politiknya dalam PKR. Makanya beliau kena usaha kalahkan Zaid dalam tidur.

Tetapi itu bukan alsan besar untuk Zaid membenci Azmin dan menjadikan pertandingan merebut jawatan timbalan presiden satu peluang terbaik buatnya. Beliau harus melalui pertandingan ini dengan tenang tanpa menimbulkan kerosakan kepada parti. Beliau harus menumpukan kepada Azmin saja disamping mendedahkan apakah misi dan visi beliau. Zaid sepatutnya meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan untuk menjatuhkan Azmin.

Beliau tidak boleh menjadi 'bas ekspress' dalam PKR. Beliau harus menjadi bas henti-henti terlebih dahulu. Beliau tidak perlu bertanding jawatan timbalan presiden, apa lagi atas alasan peribadi kerana tidak senang dengan Azmin. Beliau boleh menyokong mana-mana calon lain kalaupun beliau tidak setuju dengan Azmin dan bukan terus memandu bas ekspres - bertanding jawatan itu. Bila beliau bersikap memandu bas ekspress orang akan nampak yang beliau ingin lekas sampai!

Pun begitu, tidak menjadi masalah. PKR mengamalkan demokrasi tulen (kononnya). Zaid boleh bertanding dan sesiapa saja boleh bertanding. Tetapi dalam kempen janganlah terkeluar kata nesta, andaian dan provokasi yang boleh merosakkan parti ianya tidak baik. Kenapa harus emosi sangat. Hadapilah pertandingan sebagai satu ruang yang halal dan hadapi dengan sikap kekeluargaan. Misalnya membaitkan orang lain sebagai alat kempen adalah tidak bagus. Kritikan terbuka Zaid kepada Syed Husin Ali sesuatu yang mendukacitakan.

Saya mencatatkan ini kerana ada bahasa dan lenggok Zaid yang pada saya tidak elok kepada PKR. Ketegasan dan ketelusan Zaid dalam mempertahankan prinsipnya ada kalanya tidak tepat dan ini memberi masalah kepada PKR sendiri. Sesuatu yang selama ini orang tidak tahu, kini ia sudah terbuka dan terbahar bila Zaid menghuraikannya dalam mempertahakan tindakannya. Zaid juga tidak boleh merasakan tindakannya bersama PKR satu pengorbanan besar yang tak mungkin dilakukan orang lain. Beliau harus ingat beliau bersama PKR sesudah penyokong dan pemimpin PKR lain telah menyeberang sungai darah dan airmata.

Justeru diseru kepda Zaid agar tenang menghadapi pertandingan merebut jawatan timbalan presiden ini. Serahkan kepada ahli tanpa banyak provokasi dan muslihat. Tirulah sifat dan sikap seorang lagi calon, Mustapa Kamil Ayub yang diam dan tidak berbuat sesuatu yang boleh memberi imej buruk kepada parti. Bersikap sedarhana dan bersifat tasamuh itu lebih baik ia dari agresif dan penuh emosi.

Jika ini tidak dikawal dan berlebihan kemungkinan apa yang saya bimbangi sebelum ini akan jadi kenyataan. Sesungguhnya parti PKR itu sudah terlalu penat dan letih untuk berdepan dengan satu lagi perpercahan. Apa lagi Anwar sendiri juga sudah tidak daya untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kekadang kesian melihat Anwar dalam dia bergelut dengan masalah dirinya sendiri, (kes mahkamah) beliau juga kena tangani masalah parti bukan saja dalam PKR adakalanya masalah membabitkan Pas dan DAP.

Sebenarnya kalau semua orang sayangkan parti dan sayangkan Anwar jangan cipta masalah tetapi cubalah hindarkan masalah dari timbul. Zaid dan Azmin adalah aset besar untuk Anwar dan PKR. [wm.kl.8:00 am 23/09/10]

Selepas Subuh

Rahsia Siapa Abdul Rahim Terbongkar?

PAGI ini saya menerima satu e mail dari seorang penjenguk yang menamakan dirinya Hero yang memberi alamat sebuah blog yang dibangunkan oleh syarikat I'DA WorldGroup Sdn Berhad syarikat dimana orang bernama Abdul Rahim Abdul Wahab menjadi pengerusi eksukutifnya.

Apa yang tertera dalam blog ini ialah beberapa keping gambar Abdul Wahab dalam majlis perlancanran Misi Perdana de Everest - Tibet 2011 yang berlangsung di Dewan Felda, Jalan Gurney yang dilancarkan Perdana Menteri, Najib Razak pada 25 April lalu.

Gambar beliau dalam majlis berkenaan mungkin boleh menyingkap misteri pemberian replika cek bernilai RM4 billion atas nama Pas Malaysia yang kini menjadi buah mulut di Kelantan. Jika diperhatikan juga gambar lelaki bertongkat dan juga sebelah kakinya tertutup dengan kaki seluar yang meleret ke lantai. Semacam rahsia besar di sebalik kaki seluar labuh sebelah itu.

Tafsirkanlah dengan mata kepala kita sendiri apakah yang berlaku itu (penyerahan replica chek RM4 B) sebuah realiti atau pun satu ilusi semata-mata dan jangan mudah mempercayai laporan media penghasut. Kata orang gambar mempunyai seribu makna dan tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata. Hanya jauhari yang mengenali maknikam seperti mana juga hanya Mat Maslan mengenali Felda! [wm.kl.7:00 am 23/09/10]


Orang berkenaan sedang bersalam dengan Shabery Chik, Menteri Beliau dan Sukan, perhatikan kaki kanan lelaki berkenaan.

Orang berkenaan bersalam pula dengan Khalid Yunus, Presiden Pendaki Malaysia, perhatikan kaki seluar sebelah kanan orang berkenaan.Orang berkenaan bergambar ramai, den gan diapit oleh seorang perempuan bertudung dan seorang yang lowos.

Wednesday, September 22, 2010

Ulasan Kejadian

Sebutir Lagi Bom Kapur Diletupkan Di Kelantan

[kemaskini] SEMALAM saya agak sibuk sedikit dan tidak dapat memberi reaksi kepada kejadian satu 'letupan bom' di Kota Bharu tentang pemberian wang sebanyak RM4 billion kepada kerajaan negeri dan Pas Kelantan oleh sebuah syarikat yang berhati murah. Ramai yang bertanya saya sejauh mana kesan letupan bom berkenaan. Apakah ianya menyebabkan banyak kematian dan kecederaan serta kesan kepada negeri Kelantan. Semalam sepanjang hari melayani seorang wakil rakyat dan rombongan yang mengadakan kunjungan peribadi ke atas saya. (Macam pembesar pulak).

Beberapa orang dan penjenguk blog menelefon secara personal meminta saya memberi ulasan dan mencari punca kenapa bom berkenaan meletup atau diletupkan. Rata-rata kesal atas apa yang berlaku walaupun jauh di sudut hati ianya sukar untuk dipercayai dan menganggap pemberian itu satu taktik murahan yang hanyir.

Kelantan negeri Serambi Makkah yang mana ketua pentadbirannya Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala Sultannya pula, Sultan Mohamad ke V yang warak, zuhud dan berjiwa rakyat. Persoal itu tidak percaya dengan apa yang berlaku itu namun kerana ia disiarkan dalam akhbar sedikit sebanyak meresahkannya.

Jadi pagi ini saya akan memberi reaksi dan mengulas kejadian letupan bom berkenaan. Sebenarnya mereka yang waras akan menolak dengan mudah terhadap apa yang dilaporkan itu. Bagi mereka yang ada akal dan sisa otak bersih dan masih berfungsi tidak pun perlu mempersoalkan mengenai iya atau tidak tentang perkara itu. Ia boleh tolak secara automatik tanpa banyak mencari masa dan ruang mempersoalkannya.

Tetapi bagi mereka yang cenderong dan ada niat buruk kepada kerajaan negeri Kelantan dan Tok Guru akan cuba 'mengogeh-ogehkan' perkara itu supaya ia nampak benar dan betul. Pada saya pemberian replika itu tak ubah sebagai bom palsu saja digunakan oleh orang yang putus ikhtiar.

Secara logik apakah ada manusia yang akan memberi derma kepada sebuah kerajaan dan parti sebanyak itu. RM4 billion bukan jumlah yang kecil. Lagipun proposal yang dikemukakan oleh syarikat berkenaan untuk mendapatkan projek di Tumpat itu masih pun belum ditengok oleh Nik Aziz sebagai MB Kelantan. Memang katanya proposal itu ada di atas meja Tok Guru dan Tok Guru tidak pun membacanya jauh sekali meluluskannya.

Munasabahnya, seperti mana jelas Nik Aziz, dia tidak tahu, kerajaan tidak tahu dan surat cat pun tidak dibuat macam mana derma itu boleh diberikan atas maksud hendak membalas budi? Kerja ini samalah kerja seorang budak yang tergila Siti Nurhaliza si penyanyi itu satu masa dulu. Kerana dia tergila-gilakan kepada Siti Nurhaliza dicetakkan kad undangan kahwin mengatakan dia nak kahwin dengan Siti. Walhasil Siti Nurhaliza usahkan bertunang dengannya, kenal pun tidak dengan budak lelaki itu. Nah begitu jugalah orang yang memberi derma itu lebih kurang budak lelaki yang tergilakan Siti Nurhaliza itu saja. Hukum dan nilailah sendiri.

Negara Malaysia atau mana-mana kerajaan negeri dan parti politik di dunia tidak pernah menerima pemberian sebanyak itu. Begitu juga tidak ada raja dan orang kaya yang 'ngor' - ngor ini gak yang tolol bodoh dan bebal - di dunia ini yang membelanjakan wang sebanyak itu. Tiba-tiba ada seorang manusia bernama Abdul Rahim Abdul Wahab Melayu asal Malaysia sanggup menghulurkan derma sebanyak itu ia satu yang aneh bin ajaib binti tak masuk akal dan s/o gila.

Siapa dia Abdul Rahim pengerusi Eksekutif I' DA World Group Sdn. Bhd (I'DA World) ini? Apakah dia seorang terkaya Malaysia yang disenaraikan bersama Ananda Krishnan atau Robert Quok, ataupun Lim Goh Tong, Nazim Najib, Mokhzani Mahathir dan lain-lain? Rasanya tidak. Jadi kalau dia bukan orang kaya, apakah logik dan munasabah orang yang entah dari mana datang itu boleh mendermakan wang sebanyak itu?

Itu sebab saya kata dia ini kurang empok. Sekiranya dia memiliki wang sebanyak itu beliau tidak perlu menderma kepada Kelantan untuk mendapat projek, cukup dia gunakan wang itu untuk makan dia bersama anak beranaknya. Peruntukan tahunan negeri Kelantan untuk masa 10 tahun pun tidak mencecah ke angka itu. Kalaulah dia menjadi saya dengan wang sebanyak itu saya tidak akan dermakan kepada Nik Aziz atau Pas sebaliknya saya gunakan untuk mengambil kerajaan negeri Kelantan, lagi bagus.

Hanya orang yang tidak waras dan tidak sihat saja akan mempercayai perkara berkenaan. Bagi mereka yang waras akan tergelak dan ketawa dengan apa yang berlaku. Bahawa ada satu lagi drama ataupun babak badut di Kelantan. Entah kenapa di Kelantan sejak akhir-akhir ini pun banyak berlaku perkara yang aneh manih.

Baru-baru ini ada seorang gadis mengaku keturunan Puteri Saadong. Riuh randah orang Kelantan dibuatnya sampai para kerabat raja Jembal berhimpun untuk mencari "DNA" terhadap gadis berkenaan. Walhal awal-awal lagi ia sudah nampak lucu dan bohong tetapi tetap juga dipedulikan. Inilah satu kelemahan orang Kelantan tidak mudah hendak menolak sesuatu yang tahyul, bidaah walaupun nas dan dalil pembohongannya sudah terang benderang.

Jadi dakwaan oleh orang bernama Abdul Rahim memberi wang kepada kerajaan Kelantan dan parti itu juga salah satu lagi babak aneh yang melucukan di Kelantan. Ia tidak lebih daripada babak untuk mencukupkan senarai pelbagai keanehan di Kelantan.

Siapa dia Abdul Rahim ini? Dari maklumat yang diperolehi beliau seorang yang bercita-cita besar untuk jadi seorang usahawan berjaya. Dia sudah lama mendekati keluarga Tok Guru. Katanya dia mendakwa dan memberi tahu kepada orang ramai yang dia baik dengan semua keluarga Tok Guru. Dia juga mendakwa kenal rapat dengan para menantu Tok Guru.

Katanya satu masa dia mendakwa dia adalah keluraga Che Yah.. cik Yah.. cik Yah ni gat isteri Tok Gurulah, Datin Sabariah Ishak. Katanya dia pernah meminta projek tertentu kononnya untuk kepentingan anak menantu Tok Guru. Dia menggunakan nama Tok Guru dan keluarganya untuk kepentingan dirinya. Beliau pernah meminta bantuan seseorang untuk mendapatkan tanah seluas ratusan ekar daripada kerajaan Kelantan.

Selain dari itu dia ini juga dikatakan menjadi alat dan diperalatkan untuk menjauh dan merenggangkan hubungan Tok Guru dengan seorang Exco Kelantan. Ahli keluarga Tok Guru hendaklah faham peranan orang ini bagi mengelakkan keburukan lebih teruk.

Senario ini boleh memberi faham siapa dia ini dan apa jenis orang ini. Senario ini juga akan menjawab kenapa berlaku kejadian yang tidak masuk akal itu tetapi boleh mengejutkan orang ramai dan menyebabkan Umno tersenyum?

Sebenarnya Nik Aziz perlu cemas dan tidak perlu jelas mengenai kejadian itu kerana orang ramai boleh fikir secara logik mengenai kejadian dan laporan terhadap kejadian itu.

Masakan wang sebanyak itu yang hendak diberikan kepada kerajaan Kelantan dan parti, ketua kerajaan dan ketua parti tidak tahu. Anih bukan? Apa pula peranan dan fungsi Nik Din untuk menerimanya sebagai mewakil kerajaan dan parti? Di sini saja bagi mereka yang tahu sistem pentadbiran dan tatsusila hidup sudah merasa janggal dan pelik.

Apa yang boleh difahami di sini babak itu adalah satu perangkap untuk memburukkan imej Tok Guru dan kerajaan Kelantan. Jelas di sini adik Nik Abdul Aziz bernama Nik Din Nik Mat itu sudah menjadi alat dengan tujuan tertentu. Alangkah dayusnya mereka yang memperalatkan adik Nik Aziz kerana beliau seorang yang jujur, ikhlas dan tidak tahu sepak terajang politik. Salahnya di sini orang menganjurkan majlis berkenaan.

Apa yang saya nampak di sini ianya sudah diplankan demikian rupa. Buat replika cek besar-besar tulis derma untuk Nik Aziz atau Pas atau kerajaan negeri kemudian 'pukul gambar' dan masukan dalam surat khabar. Tujuannya biar Umno dan musuh Pas ulas. Dan itulah nampaknya yang berlaku pagi ini bila baca akhbar penjilat punggung. Abdul Rahim bukan saja berjaya memperdayakan Nik Din dan mempermainkan Nik Aziz tetapi ikut sama mempermainkan akhbar-akhbar tertentu yang menyiarkan berita berkenaan. Seharusnya Editor memeriksa dan menilai sejauh mana logiknya kejadian itu sebelum ianya disiarkan apa lagi bagi memberi gambaran Nik Aziz dan kerajaan korup.

Sekali lagi, kalau kita melihat dan menilai wibawa beberapa oknum yang mengulas dan mempersoalkan perkara itu dalam akhbar ia wajar ditolak awal-awal lagi. Orang yang mengulas atau cuba memainkan isu itu juga tidak mempunyai kecerdikkan dan pengetahuan secukupnya dalam hidup mereka. Mereka ini sebenarnya sudah 'dawas'. Kalau mereka ini jenis haiwan mereka tak ubah macam biawak saja boleh libas dan memakan apa benda yang melintas di depan asalnya perut mereka membuyut.

Begitulah selalunya menimpa orang bodoh yang cuba hendak bercakap menunjukkan kecerdikan... ia jadi tambah bodoh. Dia akan cakap apa saja walaupun apa yang dicakapkan itu diketawakan orang. Ada yang meminta SPRM menyiasat pemberian itu kononnya hendak menceritakan kepada dunia kerajaan Kelantan dan Pas sebuah kerajaan yang korup dan parti korup.

Kalau pencadang itu cerdik ada sedikit ilmu ataupun lulus Empat Thanawi tentu dia akan merasa malu untuk membuat desakan demikian. Apakah dia faham bahawa replika itu sudah mempunyai nilai sebanyak RM4 billion. Replika ialah tiruan cek saja yang biasanya dibuat daripada kertas atau polistrim yang harganya tidak sampai RM50.

Rasanya SPRM tidak jadi sebodoh mereka yang suruh menyiasat kes berkenaan. Tidak tahulah kalau sewaktu penambahbaikkan ke atas SPRM yang dibuat baru lalu boleh memsabitkan pemberian replika seperti itu tidak pula saya tahu. Dan kalau ianya boleh disabitkan sangatlah melucukan dan jadilah taraf SPRM itu sama rendah mutu dan darjat dengan orang yang mendesak agar kerajaan Kelantan di siasat ekoran babak lucu dan anih itu.

Melihat kepada maksud perbuatan orang bernama Abdul Rahim itu jelas ia cuba memberi imej buruk kepada Kerajaan Kelantan dan ada unsur-unsur jenayah. Barang kali dalam proses untuk menyapu arang yang dilakukan itu kerajaan Kelantan, Pas dan Nik Aziz sendiri wajar membuat laporan polis ke atas kejadian itu. [wm.kl.8:15 am 22/09/10]