Friday, July 31, 2015

Najiib sedang cari idea untuk hadapi serangan balas Muhyiddin

SEBELUM JUMAAT

Petang ini Najib Razak akan mengadakan pertemuan tertutup dengan Pengerusi Perhubungan Umno negeri-negeri yang mana ia dilihat sebagai penjelasan terperinci berhubungan tindakan mengejut yang dibuatnya memecat Muhyuddin Yassin sebagai TPM Selesa lalu.

Walaupun pengerusi perhubungan negeri-negeri sudah menerima hakikat yang berlaku lebih 72 jam lalu, tetapi ada yang berasakan tindakan Najib itu sebagai janggal. Makanya Najib perlu memberi justifikasi atas tindakannya.

Pertemuan petang ini juga dilihat sebagai langkah susulan sebagai menghadapi sebarang kemungkinan serangan balas daripada Muhyiddin dan penyokongnya yang tidak berpuas hati dengan tindakan Najib itu. Apa ditunggu Najib ialah gerak balas dari Dr Mahathir Mohamad. Sehingga kini Dr Mahathir masih belum berbuat apa-apa ekoran pemecatan Muhyuddin itu.

Thursday, July 30, 2015

Jawatan TPM memang ghanimah buat Zahid

ULASAN 

Kata Zahid Hamidi perlantikan beliau sebagai pengganti Timbalan Perdana Menteri mengganti Muhyiddin Yassin bukan merupakan satu ghanimah atau pun habuan. Itulah ulasan dan tanggapan Zahid sebaik beliau diumumkan akan menjadi timbalan perdana menteri. Kenapa Zahid memilih ayat dan perkataan itu? Ghanimah.

Dari segi psikologisnya apabila seseorang itu bercakap mengenai sesuatu tajuk dan tema tertentu, bermakna dia bergulat dalam tajuk atau tema tersebut. Kalau dia berada di luar tema dan tajuk itu dia tidak akan bercakap mengenainya. Zahid akan memilih perkataan lain untuk menyanjungi dirinya. Bolehlah difahami bila Zahid menggunakan tajuk dan tema itu dia dibayangi tema dan tajuk itu.

Tuesday, July 28, 2015

Apakah tindakan Muhyiddin seterusnya?

ULASAN MALAM

Rombak kabinet diumumkan Najib Razak tengah hari tadi dan penyingkiran Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri terus menjadi bahan percakapan umum. Kisah ini akan terus menjadi topik hangat seminggu dua ini. Walaupun pengumuman itu muktamad, tetapi ulasan dan pandangan terhadap kabinet baharu itu akan terus berlaku dengan berbagai pandangan dan persepsi mengenainya.

Ada beberapa perkara yang menunjal-ninjal kepala orang ramai khususnya pemerhati politik ekoran rombakan kabinet itu. Antaranya apakah Ahmad Zahidi Hamidi yang dilantik menjadi TPM mampu untuk memperkuatkan kedudukan Najib? Apakah Zahid dapat memastikan Najib dan Rosmah akan aman daripada dikritik? Dan ini penting, apakah isu 1MDB tidak akan timbul lagi.

Muhyiddin reda dipecat sebagai TPM

KENYATAAN

Muhyuiddin diberi pelukan semangat oleh isterinya..
Muhyiddin Yassin reda dengan keputusan Najib Razak menggugurkannya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Katanya walaupun tidak menjadi TPM tetapi beliau tetap akan memegang tangugngjawab sebagai Timbalan Presiden parti dan akan berusaha untuk menyakinkan rakyat kepada Umno.

Dalam satu kenyataan ringkas dikeluarkannya, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Najib yang memberi kepercayaanya menjadi timbalan pedana menteri sejak 2009 sehingga berakhir tengah hari ini.

Beliau mengakui sebagai TPM beliau bertanggungjawab menggubal dasar dan menjalankan polisi kerajaan tetapi dalam isu 1MDB beliau ada prinsipnya tersendiri.

Zahid Hamidi TPM Malaysia yang baru

TERKINI

Dalam sekelip mata jawatan Timbalan Perdana Menteri berubah. Mohd Najib Razak telah mengumumkan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamid sebagai timbalan perdana menteri dan sekaligus menyaksikan Muhyiddin Yassin digugurkan.

Katanya perubahan yang dibuat satu keputusan yang berat dan terpaksa dilakukan untuk membolehkan jemaah menteri bergerak sebagai satu pasukan.

Muhyiddin malam semalam meneruskan serangan ke atas Najib dimana serangan itu adalah paling parah berhubung isu 1MDB.

Beranikah Najib gugurkan Muhyiddin? Tidak..

REAKSI                                                                                        

Kolam politik negara beralun sedikit hari ini ekoran spekulasi Najib Razak akan melakukan rombakan kabinet. Katanya, Najib sudah pun menghadap Yang diPertuan Agong menyerahkan senarai Kabinet baharu. Najib dilaporkan akan mengumumkan Kabinet baru hujung minggu ini.

Dalam desas desus itu timbul beberapa nama yang kononnya akan keluar dan yang akan masuk. Antaranya ialah nama Muhyiddin Yassin dikatakan akan digugurkan, bersama sekurang-kurang dua menteri lain, Shafei Afdal dan juga Hasan Malik.

Sehubungan itu muncul nama lain yang akan dinaikan pangkat menjadi menteri penuh, antaranya Ahmad Maslan, Mahadzir Khalid dan seorang ahli parlimen dibawa masuk menjadi timbalan menteri. Ada juga yang bertukar kementerian. Bagaimana pun nama Annuar Musa dan Tengku Razaleigh Hamzah tidak tersenarai dalam spekulasi ini.

GHB, Pas ibarat air hujan yang mengalir ke laut

RENUNGAN PAGI                                                                          

Politik seharusnya dilihat dalam kerangka yang luas dengan fikiran penuh terbuka dan waras. Apa juga yang berlaku dalam politik ia tidak rigid dan statik. Politik itu sendiri boleh ditafsirkan sebagai hidup. Sifat sesuatu yang hidup ia bergerak, berkembang, membesar dan melalui pancaroba dan mengalami tribulasi tersendiri secara lumrah.

Sesiapa yang membekukan politik, orang itu tidak layak untuk bermain politik. Politik akan hidup dan berjaya ditangan mereka yang berfikiran terbuka, gigih dan kreatif menyusun arus alur gelombangnya. Politik ada gelombang elteriknya sendiri yang perlu dikawal penuh cermat dan sistemetik.

Monday, July 27, 2015

Muhyiddin sudah tiup peluit serang Najib

ULASAN                                                                                          

Muhyiddin Yassin, pening.
Ucapan Muhyiddin Yassin semasa merasmi mesyuarat agung Umno bahagian Cheras malam tadi yang menyentuh berbagai aspek dan pandangannya dalam isu 1MDB dan isu-isu ekonomi dan kewangan adalah sangat penting dan merupakan satu mesej jelas yang perlu dilayani.

Apa yang dituturkan Muhyuddin itu, khasnya mengenai isu 1MDB  adalah perulangan kepada apa yang pernah disebut sebelum ini termasuk dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan juga dalam Perhimpunan Agungnya.

Pernyataan malam tadi mengenai isu itu adalah penegasan daripadanya dan ia merupakan petanda bahawa timbalan presiden Umno itu tidak boleh berkompromi lagi dengan isu 1MDB yang kian membarahi kredbiliti Umno dan kerajaan pimpinan beliau bersama Najib Razak.

Saturday, July 25, 2015

Gantung The Edge dan The Edge Financial tidak selesai masalah

ULASAN

KDN menerusi Ketua Setiausaha Kementerianya Alwi Ibrahim memberi tiga sebab kenapa penggantung ke atas The Edge Weekly dan The Edge Finacial Daily digantung selama tiga bulan bermula 27 Julai.

Nazir Razak
Pertama menurut Alwi, kerana cara dan laporan kedua akhbar itu memberi persepsi buruk kepada syarikat 1MDB yang ada kaitan langsung dengan kerajaan Malaysia.

Kedua kerana, maklumat yang dilaporkan meragukan dan belum disahkan dan ia menggemparkan pemikiran umum dan mungkin boleh mendatangkan kemudaratan awam.

laporan yang diterbitkan turut bersumberkan maklumat yang diragukan dan belum ditentukan kesahihannya, yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan boleh/mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam dan kepentingan negara. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kdn-perjelas-3-sebab-permit-the-edge-digantung#sthash.anVgaJK1.dpuf
Dan ketiga, kerana isu itu sedang dalam siasatan oleh satu badan khas, maka tidak wajar pemberitan negatif berterusan kerana ia tidak adil kepada 1MDB.

Friday, July 24, 2015

Hadi dan Najib sama-sama terdesak untuk pagar diri

SUSUPAN PETANG                                                                                          

Serupa tetapi tidak sama Najib Razak dan Abdul Hadi Awang dalam usaha untuk mengekalkan kedudukan dan menjaga wibawa parti mereka mengambil tindakan tergesa-gesa yang tidak popular. Najib yang terhimpit dengan isu 1MDB sudah terdesak sehingga sanggup menggunakan berberapa akta termasuk Akta Hasutan 1948 untuk menutup kebusukannya dari terus beruap.

Dua buah akhbar The Edge dan The Edge Financial digantung permit penerbitan selama tiga bulan. Sebelum itu SKMM telah bertindak menyekat portal Sarawak Report dan memberi ugutan kepada mana-mana pihak yang menyiarkan maklumat mengenai 1MDB akan dikenakan tindakan.

The Edge dan The Edge Financial Daily
The Edge dan The Edge Financial Daily
The Edge dan The Edge Financial Daily
Beberapa orang (yang sebenarnya) dijadikan kambing hitam disebalik pendedahan penyalahgunaan wang 1MDB juga telah ditangkap dan disiasat dibawah akta hasutan. Mereka juga dihalang untuk bergerak bebas ke dalam negeri dan dan juga diluar negara. Antara mereka yang disekat perjalanan ke luar negeri ialah Pengerusi DAP Selangor Tony Phua dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Kelahiran GHB hasil permukahan politik sesama sendiri

HURAIAN                                                                                   

[kemaskini] Perlancaran Gerakan Harapan Baru (GHB) yang akan muncul sebagai sebuah lagi parti politik baru di negara ini menggelisahkan beberapa pihak tertentu. Yang pastinya ialah daripada Pas sendiri kerana hampir seratus peratus mereka yang terlibat dengan GHB itu merupakan bekas pemimpin dan ahli Pas. Paling membimbangkan Pas, kerana tawaran atau bentuk perjuangan GHB ini bersifat progresif, peduli massa dan serasi dengan jiwa anak-anak muda.

Pakatan sudah relai? 
Memerhati kepada beberapa majlis membabitkan GHB kehadiran anak-anak muda telah memeriahkan suasana. GHB berpotensi menjadi sebuah gelanggang massa, masa depan yang ditangani anak-anak muda.

Kenapa mereka (bekas pemimpin Pas) mengambil keputusan yang mendukacitakan itu, dan satu situasi yang tidak menenangkan keadaan Pas; umum sudah sedia maklum, akan sebab musababnya. Saya tidak bercadang untuk menghuraikannya lagi di sini secara lebih mendalam dan tuntas bagi mengelak saya bias. Cuma apa yang hendak disebut tuduhan mereka kecewa sehingga membentuk wadah baru adalah subjektif sekali.

Wednesday, July 22, 2015

Projek untuk dana pertahankan Kelantan?

EKSKLUSIF
 
Seorang ahli perniagaan asal Kelantan dikata diberi kontrak memajukan sebidang tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan syarat kontrektor berkenaan akan menyediakan dana kepada Pas Kelantan untuk mengekalkan kerajaan Kelantan pada pilihan raya akan datang.

Tanah yang diperuntukan itu merupakan bekas tapak kilang sebuah syarikat luar negara yang sudah tamat tempoh pajakannya. Nilai tanah yang terletak di Bangsar itu mencecah ratusan juta ringgit.

Penganugerahan tanah berkenaan kepada kontrektor asal Kelantan itu masih belum terdedah kepada umum. Bagaimana pun cerita mengenainya sudah menjadi cakap-cakap dalaman.

Kontra pemberian itu jelas menunjukkan sudah ada persefahaman awal di antara Umno dengan Pas untuk sama-sama menerajui Kelantan.

Dalam pada itu ada maklumat mengatakan perundingan awal untuk memberikan tanah itu kepada ahli perniagaan berkenaan melibatkan salah seorang ahli parlimen dari Kelantan? [wm.kl.9:05 pm 22/07/15]

Pas terdesak perlu "bertakup" dengan Umno

ULASAN PAGI                                                                                                

Pengumuman dibuat oleh Anwar Ibrahim yang akan melancarkan pembentukan Pakatan Baru (Pakatan 2:0) yang melibatkan beberapa Ngo dan juga Gerakan Harapan Baru (GHB) memberi tekanan kepada Pas dibawah pimpinan baru yang diketuai oleh Abdul Hadi Awang dan memerlukan tindak balas segera.

Sudah pasti pembentukan Pakatan 2:0 itu tidak akan merangkuli sama Pas. Diramalkan pengumuman pembentukan Pakatan 2:0 akan dibuat sebaik selesai pendaftaran parti baru yang diusahakan oleh GHB kini.

Seperti mana dibayangkan oleh Anwar menerusi kenyataan disampaikan menerusi peguamnya, Pakatan 2:0 itu akan menampilkan Ngo seperti Ikram, Abim, Bersih yang akan berkolobrasi dengan PKR dan DAP. Manakalan parti baharu yang sedang diusahakan oleh GHB akan mengganti tempat Pas.

Tuesday, July 21, 2015

GHB tidak perlu kalau sekadar hendak hancurkan Pas

PANDANGAN IKHLAS                                                                                     

Semasa pulang berhari raya di Kelantan saya didatangi oleh beberapa peminat politik kampung dan juga rakan-rakan yang hadir pada majlis almuni Sekolah Menengah Rantau Panjang bertanya mengenai masa depan parti baharu yang bakal dilahirkan oleh Gerakan Harapan Baru (GHB).

Himpunan GHB di Dewan Perniagaan Cina KB, penuh.
Walaupun saya tidak mahu bercakap fasal GHB kerana tiba-tiba perasaan menjadi sebak, - mengenang musibah menimpa Pas, tetapi terpaksa juga saya menjawab setidak-tidaknya untuk memuaskan hati mereka, dan sebagai basa basi kerana lama tidak bertemu kawan dan juga guru-guru.

Apa lagi, pada malam raya ketiga ada himpunan GHB yang berlangsung di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu Kelantan. Himpunan itu rupa-rupanya menjadi "viral" dalam kepala sesetengah rakyat Kelantan dan ia dinanti-nanti untuk melihat sejauh mana jaya atau sebaliknya himpunan itu. Kononnya majlis itu akan dijadikan sebagai indikator kepada masa depan GHB dan juga nasib Pas Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.

Isu jatuhkan Najib sudah dispin

SUSUPAN PAGI                                                                         

Tampaknya para pendokong Najib Razak tidak mudah kekeringan idea dalam merekayasakan strategi untuk mempertahankan perdana menteri itu. Serangan Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib juga bukan mudah untuk mencapai kemuncaknya. Mahathir diletakkan sebagai dewa penyabut nyawa Najib, tetapi sehingga kini masih gagal.

Satu-satu masa keadaan menunjukkan kedudukan Najib sangat mencemaskan, tetapi sekejap kemudian Najib seakan mendapat kekuatan baharu semula. Lantaran itu saya menyifatkan peperangan di antara Najib dan Mahathir tak ubah seperti perbalahan antara bokbon dengan ular senduk, di mana mereka sama handal dan punya senjata rahsia masing-masing.

Terbaharu berlaku pemanipulasian keadaan, atau pun spin - memusingkan keadaan sebelum ini kepada keadaan baharu yang menampakkan simpati kepada Najib Razak. Dalam usaha ini menyebabkan isu utama mengenai kehilangan wang 1MDB sebanyak RM42 billion dan juga "pencurian" wang dikatakan ada kaitan dengan 1MDB sebanyak USD700 juta (RM2.62 billion) sudah mulai hilang dengan tektik pemusingan isu ini.

Thursday, July 16, 2015

Selamat Hari Raya Aidifitri

Assamualaikum wbh bbt. Di sini saya mengambil peluang mengucap selamat hari raya Aidifitri kepada penjenguk blog saya beragama Islam.

Selamat juga kepada penjenguk bukan Islam dan semoga kita sama-sama merayakan hari kemenangan ini. Kemenangan yang dicapai oleh mereka yang berjuang melawan nafsu adalah untuk terus menegak kebenaran dan membuang kebatilan. Ia adalah untuk memastikan dunia ini aman dan damai dan mengepung kita dalam kesejahtraan.

Justeru keamanan itu adalah untuk sekalian penghuni di dunia ini.

Selama beberapa hari menyambut hari raya ini, mungkin blog ini tidak akan di isi seperti selalu. Insya-Allah selepas raya nanti saya akan kembali berblog seperti biasa. Doakan kesihatan dan kesejahteraan saya. Terima kasih atas perhatian dan sokongan para penjenguk sejak tujuh tahun lalu kepada blog ini. Wassalam Mso. SELAMAT HARI RAYA.

Wednesday, July 15, 2015

Rombakan kabinet - Tengku Razaleigh boleh bantu Najib

OLE OLE AIDIFITRI                                                                                         

Dua topik yang menjadi perbualan rancak semasa menjamu selera selepas selesai tahlil untuk arwah Cik Puan Nur Yuonne Low Abdullah isteri Tengku Razaleigh Hamzah dan solat terawih di kediaman Tengku Razaleigh di Langgak Gol Kuala Lumpur malam tadi, iaitu mengenai ura-ura Najib akan melakukan rombakan kabinet dan perihal parti baharu Harapan Baru.

Hishamuddin bertukar kementerian?
Tahlil untuk Allahyarham Cik Puan Nur itu sempena genap 40 hari pemergiannya, pada 5 Jun 2015.

Dua topik ini menjadi perhatian para pemerhati dan politician veteran yang hadir. Ia juga termasuk menjadi minat bekas pegawai tinggi polis dan beberapa orang diplomatik dan ahli korporat. Pegawai polis berkenaan yang duduk semeja dengan  saya tidak habis-habis membuat tenunan nasib mengenai masa depan politik negara mengikut profesionalnya.

Begitu sekali dia bimbang kepada masa depan politik orang Melayu apabila Umno kini dalam keadaan pemimpinnya ditimpa berbagai-bagai masalah dan tidak stabil.

Tengku Razaleigh seru henti bertengkar yang tidak berfaedah

PERUTUSAN                                                                                                      

Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyeru rakyat Malaysia khasnya mereka yang prihatin dengan masalah negara agar berhenti berbalah serta bermain politik sebaliknya merapatkan saf dan berkerjasama mempertingkatkan keupayaan dan potensi dalam membangun negara.

Tengku Razaleigh Hamzah
Dalam perhatian Tengku Razaleigh, perbalahan dan pertengkaran tidak memberi apa-apa faedah kerana ia tidak dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku. Beliau merujuk kepada beberapa isu kewangan yang melanda negara dan sangat menekan rakyat seperti 1MDB dan GST yang sudah menjadi buah mulut.

Tengku Razalegh membuat seruan itu dalam perutusan khas sempena menyambut Hari Raya Aidifitri 2015 yang dikeluarkan malam ini.

Berhubung dengan kemelut kewangan seperti isu 1MDB, beliau berharap semoga akan ada budiman yang bermaruah untuk memberi keterangan dan penjelasan bersabit isu itu untuk mententeramkan keadaan.

Tuesday, July 14, 2015

Kerinduan Pas kepada Umno persis rindunya penagih kepada dadah

SUSUPAN TENGAHARI                                                                                    

Pimpinan Pas yang baharu menolak keras andaian mengatakan mereka akan membawa parti itu bergabung dengan Umno. (Diramalkan penggabungan ini paling lewat akan berlangsung dalam menghadapi pilihan raya akan datang). Dakwaan itu ditolak pagi dan petang walaupun gelagat dan sikap yang ditunjuk mencerminkan yang Pas kini lebih mesra dengan Umno berbanding dengan PKR. DAP sudah pun dihalau jauh.

Saya tidak tahu apakah kenyataan dan pendirian yang dibuat oleh ketua parti itu yang mempertahankan Najib Razak dalam beberapa isu termasuk isu 1MDB, atau seruan-seruan agar Najib diberi peluang dan berdoa untuk kesejahteraanya, bukan satu indikator positif ke arah membawa Pas untuk berkerja sama dengan Umno.

Monday, July 13, 2015

Harapan saya biarlah mereka berjumpa di pintu syurga

DERAIAN RASA                                                                                          

Kebimbangan dan ingatan saya agar tiada perbalahan dalam Pas, serta seruan saya supaya tidak ada orang mengucapkan selamat tinggal kepada Pas selepas muktamar ke-61 di Kuala Selangor awal Jun lalu, tampaknya akan menjadi kenang-kenangan sahaja. Rasa bimbang dan seruan itu tidak dipedulikan, dan peringatan saya tidak membawa apa-apa makna.

Sidang media perlancaran GHB, foto "curian" dalam facebook.
Hari ini kumpulan yang kalah dalam perebutan jawatan dalam muktamar itu kemudian disingkirkan terus dari kepimpinan parti telah melancarkan wadah baharu untuk mereka meneruskan perjuangan yang dinamakan Gerakan Harapan Baru (GBH). Perlancaran GHB itu dilihat ke arah penubuhan parti baharu bagi kumpulan berkenaan. Ia akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

Saturday, July 11, 2015

Pas - DAP rasmi putus sudah kasih sayang

ULASAN SABTU                                                                                           

Sedikit ruang tersudut dan harapan yang ada untuk melihat hubungan Pas dan DAP dipulihkan demi mengekalkan semangat Pakatan Rakyat sudah berakhir semalam apabila Majlis Syura Ulama (MSU) telah membuat ketatapan menerima usul Dewan Ulama dan Pas kawasan Tumpat yang mencadangkan Pas memutuskan hubungan kerjasama politik dengan DAP.

MSU menerusi kenyataan dibuat Setiausahanya Nik Muhammad Zawawi Salleh membatalkan tahalul syiasi - kerjasama Pas dengan DAP. 

Peristyharan rasmi oleh MSU itu boleh dianggap sebagai, (kalau) perceraian di antara Pas dengan DAP ia sudah pun disahkan dengan surat. Sudah ada sijil perceraian. Pas dan DAP masing-masing bebas berkahwin lain dengan sesiapa yang disukai kerana mereka sudah mendapat perlepasan perceraian secara undang-undang. 

Friday, July 10, 2015

Azmin lulus hadapi ujian air di Selangor

SUSUPAN PETANG                                                                                     

Penstrukturan semula industeri air di Lembah Kelang yang dimuktamadkan hari ini sekaligus memberi gambaran kemampuan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dalam menyelesaikan kemelut yang bertele-tele itu yang selama ini mencengkam perasaan rakyat.

Azmin lulus.
Dengan termeterainya perjanjian persefahaman (MoU) di antara kerjaaan Selangor dengan keerajaan Persekutuan itu membolehkan kerajaan Selangor menangani sepenuhnya masalah air di Selangor.

Perjanjian persefahaman itu ditanda tangani hari ini di Putra di antara kerajaan Selangor dan kerajaan Persekutuan yang mana ianya diketuai oleh Ketua Setiausaha KeTTHA, Loo Took Gee dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohammad Khusrin Munawi.

Azmin bersama barisan Exco dan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menyaksikan perjanjian bersejarah itu.

Thursday, July 9, 2015

Warkah Ramadhan buat Abdul Hadi Awang (Akhir)

Tuan, berundurlah demi kebaikan PAS

Tuan surat saya bahagian yang ke-4 ini adalah surat panjang Ramadhan terakhir buat Tuan. Sebagai mengakhiri surat ini saya dengan sukacita dan penuh insaf setelah meneliti dan mengkaji segala perkembangan mutakhir dalam PAS, mencadangkan agar Tuan berundur daripada memimpin PAS. Usah prejudis dengan cadangan dan gesaan ini. Ia dibuat untuk kemaslahatan semua.

Saya jamin Tuan kalau Tuan mengambil tanggungjawab dan amanah ini Tuan tidak akan dipaluti dosa bahkan Tuan akan dialu-alu dan disanjung tinggi.

Sesuatu yang Tuan kena sedar dan insaf kemenangan besar yang diraih dalam muktmar lalu bukan lesen untuk Tuan terus berada di situ. Megah untuk jadi presiden. Kemenangan itu bukan segala-galanya. Tuan pun tahu kemenangan itu bukan dibuat seccara adil dan tepat berdasarkan pencapaian dan keupayaan (prestasi) Tuan sebagai presiden PAS selama ini. Dalam erti kata lain kemenangan itu bukan suatu pengikhtirafan tulen atas kemampuan Tuan.

Wednesday, July 8, 2015

Najib perlu bersumpah nafikan tidak ambil duit 1MDB

RENUNGAN MALAM                                                                                      

Najib bukan saja perlu berdoa, tetapi bersumpah laknat juga.
Cadangan ini tidak begitu praktikal tetapi setidak-tidaknya Najib Razak boleh meredakan prasangka buruk umum terhadapnya waktu ini yang dikatakan telah menyelewengkan wang syarikat pelaburan strategik 1MDB sebanyak USD700 juta atau RM2.62 billion.

Cadangan dimaksudkan, ialah Najib perlu melafazkan sumpah laknat berbiunyi Walahi, Wabilah dan Wataliahi.

Sumpah ini pernah melafazkannya sewaktu beliau diasak dan dikaitkan dengan pembunuhan kejam perempuan Mongolia Altantuya Shaariibuu beberapa tahun lalu. Najib didakwa kononnya mengenali perempuan berkenaan jadi beliau juga dibabitkan dengan pembunuhan kejam peragawati beranak satu itu.

Penyertaan empat anak muda beri suntikan kepada PKR

ULASAN                                                                                                            

Rafizi mengumumkan kemasukan empat anak muda ke PKR.
Pengumuman secara rasmi penyertaan seorang penceramah bebas dan tiga pimpinan mahasiswa ke dalam PKR hari ini memberi petanda jelas bahawa perkembangan dan pergolakan dalam Pas waktu ini tidak menjadi perhatian golongan muda.

Hari ini Wan Jin Wan Husin penceramah bebas dan bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama Pas Selangor bersama Ahmas Syukri Razab, Mohammad Zaki Abdul Shukor dan Muhammad Hasny Hasni diumumkan menyertai PKR.

Apakah "nota persefahaman" sudah mulai dikaji?

REAKSI                                                                                            

Pergolakan yang berlaku dalam Pas hari ini nampaknya tidak membimbangkan seorang Naib Presiden Pas, Idris Ahmad (foto) yang parti itu akan kehilangan kerajaan mereka di Kelantan. Idris berkeyakinan kerajaan Pas Kelantan akan dapat dipertahankan.

Alasan mudah diberikan oleh beliau, keyakinan itu berdasarkan kepada orang Kelantan mempunyai sentimen yang tinggi kepada agama.

Selain itu Pas Kelantan juga mempunyai ahli yang ramai? Apakah sentimen keagamaan itu akan menyelamatkan kerajaan Pas kali ini? Dan benarkah Pas mempunyai keahlian yang ramai? Dakwaan ini perlu dihuraikan mendalam secara empirikal.

Tuesday, July 7, 2015

Mungkin Mahathir sedang berbicara panjang dengan Muhyiddin

ILUSI                                                                                                                    

Barang kali sebaik sahaja Jawatankuasa Khas yang menyiasat dakwaan WSJ berhubung berlaku pengaliran wang 1MDB sebanyak USD600 juta mengumumkan enam akaun milik orang tertentu yang dipercayai kepunyaan Najib Razak dibekukan semalam, Dr Mahathir Mohamad terus menghubungi Muhyiddin Yassin.

"Hallo, Muhyiddin, ni Mahathir.."
"Iya Sir..."

Mungkin dalam percakapan itu Mahathir meminta Muhyiddin bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Najib. Buat permulaan ialah memangku jawatan perdana menteri.

"You kena siap sedia.."

Iya, sekiranya siasatan selanjutnya menemui bukti lebih jelas bahawa akaun yang dibekukan itu sah milik Najib tidak teragak-agak lagi Najib dengan penuh sukarela perlu berundur secara sukarela atau pun setidak-tidaknya bercuti. Kalau beliau bercuti Muhyiddin akan dilantik menjadi pemangku perdana menteri.

"I am, ready sir..."

Malam lailatu qadar sudah tidak bererti lagi bagi Najib

POJOK PETANG - Qublaikhan (3)

Nampaknya sepuluh malam terakhir Ramdhan ini bukan merupakan saat-saat dinanti dan membahagiakan perdana menteri Malaysia Najib Razak. Pengumuman oleh jawatankuasa khas, mengenai pembekuan enam akaun yang dipercayai terlibat dalam menarik masuk wang 1MDB, benar-benar menganggu kosentrasi Najib untuk beribadat.

Mungkin bagi Najib soal mengejar "lailatu qadar" tidak menjadi kepentingan utama lagi. Doa-doa panjang beliau selepas solat mungkin meminta agar dirinya terbabas dari malapetaka yang berlaku sekarang ini.

Desahan kata dan persepsi bahawa dia telah melakukan jenayah mungkin terngia-ngia di telinganya. Mungkin serentak itu juga mata Najib telah ternampak jejak besi dan tembok batu. Atau pun dia "terkelih kelih" dan ternampak nampak yang Anwar Ibrahim sedang memanggilnya.

Cuma Qublaikhan hendak minta pihak keselamatan negara perlu perketatkan pintu keluar dari negara ini. Semua sempadan dan laluan tikus juga hendaklah ditutup serapi mungkin. Begitu juga kawalan di pelabuhan dan lapangan terbang serta pengkalan haram seperti di sungai Golok dan Munduk juga diawasi dengan penuh siaga.

Jangan ada mana-mana halekopter terbang malam atau jet peribadi dibenar berada dilandasan untuk take off. Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan.

Terfikir dalam kepala Qublaikhan, kalaulah formula persaraan Najib yang dikemukakan sebelum April lalu seperti mana MSO tulis dalam blognya diikuti, mungkin Najib dan Rosmah masih boleh sambut Aidifitri seperti biasa dan sempat mengayakan dengan fesyen baju raja 2015.

Qublaikhan - sudah cari daun palas untuk buat ketupat.

Anwar: Penjara Bukan Pusara

PROGLOG                                                                                                           

SUDAH lebih 100 hari Anwar Ibrahim meringkuk dalam penjara dihimpit keseksaan dan dimamah kehancuran. Beliau menanggung segala keseksaan dan derita bersendirian. Dia mengulik nestapa diri dan membangun kekuatan jiwa kesendirian. Namun, dia tidak pernah menyesal terhadap apa yang berlaku. Jauh sekali berputus asa dan kecewa. Suaranya tetap bergema dan memecah tembok batu memesankan salam dan menebarkan seruan jihad setiap masa terluang. Lawan tetap lawan...!

Anwar: Penjara bukan pusara.
Anwar tidak pernah pasrah kepada takdir, beliau tidak mahu sampai ke pita penamat (finish line) dalam perlarian juangnya yang sudah dilewati ribuan kilometer.

Reformasi membela rakyat diteruskan. Api refomasi yang dinyalakan 17 tahun lalu tidak akan mudah padam, selagi ia tidak membakar lumat menjadi debu segala penyelewengan, ketidakadilan, kezaliman pemerintah ke atas rakyat, ia diteruskan.

Monday, July 6, 2015

Husam cadang Muhyiddin ambil alih pentadbiran negara

KENYATAAN                                                                                                      

Bekas Naib Presiden Pas, Husam Musa hari ini menggesakan Muhyiddin Yassin mengambil alih pentadbiran negara sesegara mungkin daripada tangan Najib Razak.

Sehubungan itu juga Husam menggesa semua pihak melakukan sesuatu agar Najib berundur demi untuk menyelamatkan negara daripada menjadi lebih teruk.

Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada blog ini sekejap tadi, Husam menyebut; negara kini benar-benar dalam keadaan sangat kritikal pertama kali seumpamanya apabila Perdana Menteri selaku ketua pengurus negara dilingkari tanda-tanda penyalahgunaan kuasa yang amat dahsyat.

Iftar Ramadhan temukan anak-anak Rantau Panjang di rantauan

CATATAN                                                                                                             

Malam tadi pertama kali berbuka diluar, beriftar bersama dengan Anak-anak Rantau Panjang di perantauan. Itulah kali pertama untuk tahun ini saya berbuka puasa di luar. Beberapa jemputan untuk berbuka di luar, tidak saya penuhi. Malas dan kurang angin.

Bersama Ghazali Ismail dan Abdullah Mat Yassin.
Kehadiran saya semalam pun kerana kesungguhan anak muda bernama Azram Ahmad yang menghubungi saya secara peribadi memaklumkan majlis itu dan berharap hadir sama.

Sudah tentu Azram menjemput saya kerana mengetahui saya juga termasuk dalam kelompok Anak-anak Rantau Panjang yang berada di perantauan. 

Najib belum saman WSJ, mungkin ada perundingan?

SUSUPAN PAGI                                                                                             

Pembatalan Najib Razak untuk membuat kenyataan bagi menyaman akhbar Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa beliau telah "memakan" wang 1MDB bernilai AS$700 juta pada malam tadi menyebabkan persepsi dakwaan akhbar itu sebagai benar akan terus membelenggu diri perdana menteri itu.

Najib malam ini dilaporkan memberi tempoh beberapa hari lagi untuk mengambil tindakan kepada WSJ yang dikatakan telah memfitnah beliau "memakan" wang syarikat berkenaan. Beliau memberi tahu wartawan malam ini di Semenyih di daerah dimana rakannya terkorban apabila halekopter jatuh dan terbakar, akan berunding dan mendapat nasihat daripada para peguamnya terlebih dahulu.

Sebelum ini Najib beriya-iya untuk mengumumkan tindakannya akan menyaman akhbar berkenaan serta mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang memfitnah beliau kononnya "memakan" wang 1MDB. Gambaran yang diberikan sebelum ini seolah-olah Najib sudah memutus dan nekad untuk saman WSJ untuk membersih dirinya.

Saturday, July 4, 2015

Jerat jenayah bakal menjerut leher Najib

RENCANA SABTU                                                                                            

Tidak sampai 24 jam Najib Razak terus melakukan "senaman duduk bangun, bangun duduk" untuk menjawab dakwaan Wall Street Journal (WSJ) yang kononnya berbilion ringgit wang dari syarikat 1MDB telah mengalir senyap ke dalam akaun peribadinya. Angka yang disebut oleh WSJ ialah sebanyak AS700 juta bersaman dengan RM2.67 billion.

Najib, bukan menangis tetapi hidung berair.
Dengan terdedahnya maklumat gelap tentang Najib itu, menyebabkan perdana menteri yang dalam proses hendak digiringkan itu berada dalam lingkaran kawat jenayah yang agak tebal. Kalau dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya sebelum ini boleh dipersoalkan, tetapi kali ini tidak mudah dirungkaikan.

WSJ bukan sembarangan media. Ia adalah daily kewangan, ekonomi, politik liberalisme yang terhebat di dunia yang mendedahkan pelbagai skandal bertaraf dunia. Setiap sen atau dolar yang mengalir secara haram di pasaran bebas yang berlaku dalam mana-mana institusi diintip dan hiduinya.

Friday, July 3, 2015

Mari tenguk senaman punggung

 POJOK PETANG - Qublaikhan (2)

Negara yang dinamakan MSO sebagai negara "tigatujuhkosongsatutujuh" menjadi ruih lagi hari ini dengan cerita kononnya berlaku aliran wang meragukan statusnya bernilai AS700 juta (RM2.67 billion) ke dalam akaun peribadi Najib Razak.

Kejadian itu didakwa berlaku pada tahun 2013, sebelum pilihan raya umum ke-13. Memandangkan tempoh kejadian itu ketika pilihan raya, menyebabkan ada dakwaan ia digunakan untuk perbelanjaan pilihan raya bagi BN pada tahun itu.

Bagaimana pun pendedahan yang dibuat oleh Wall Street Jorunal dan Sabah Report itu telah dinafikan oleh pendokong Najib. Pihak 1MDB sendiri juga menafikan, katanya tidak ada aliran wang ke dalam akaun Najib Razak berlaku.

Penafian oleh pihak 1MDB itu menyebabkan Qublaikhan tersenyum dan ketawa sendiri kah.. kah kah.... Betapa bodohnya penafian itu. Siapa hendak percaya kepada penafian itu. Duit yang masuk ke dalam akaun Najib itu tentulah duit tidak halal, masakan pihak 1MDB hendak mengaku. Bukankah penaung kepada syarikat itu ialah Najib?

Selain itu ada seorang menteri yang selalu buat kenyataan "bodoh-bodoh ubi setelor" juga menafikan, minta jangan percaya dengan laporan itu. Tentu lepas ni ramai lagi menteri akan bangkit menunjukkan jantan dan kesetiaan kepada Najib termasuk seorang timbalan menteri cerdik pucuk paku itu. Mereka akan bangun macam senaman punggung dalam kelas Tadika, bangun duduk, duduk bangun, untuk membela Najib.

Bagi Qublaikhan, senang sahaja untuk menghentikan cerita ini. Najib perlu saman Wall Street Jorunal dan Sarawak Report, habis cerita. Keberanian Najib menyamakan kedua media itu, akan memberi gambaran dakwaan itu tidak berasas. Adakah Najib berani?

Qublaikhan - Menanti ulasan daripada kawan Qulaikhan pula, iaitu Mahathir Mohamad.

Warkah Ramadhan buat Abdul Hadi Awang (3)

Gema penubuhan parti baru

Tuan muktamar Pas ke-61 lalu yang berjalan dalam keadaan kotor telah meninggalkan bekas yang busuk kepada PAS hari ini. Mereka yang kalah seakan sudah berpatah arang untuk tidak bersama PAS lagi. Apa yang saya bimbangkan sebelum ini tampaknya akan menjadi kenyataan. Awal-awal lagi saya sudah mengatakan kalau tidak kena lagu, pemilihan dalam PAS yang tanpa dikawal dengan tertib menyebabkan yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu.

Saya menganalogikan pemilihan dalam PAS lalu seperti tindakan puak Serb di Bosnia cuba melakukan ethnic cleansing, ke atas kaum Bosnia Muslim. Serb mahu hapuskan ethnic itu dan mahu hidup secara memonopoli bumi Bosnia - Hazegovina. Peristiwa yang berlaku di Eropah Timur 10 tahun lepas itu sungguh mengerikan dan satu pembunuhan manusia yang paling dahsyat.

Thursday, July 2, 2015

Husam akan bercakap fasal politik selepas Ramadhan

KHABAR PETANG                                                                          

Husam ketika melawat Kg Aring dilanda banjir.
Bekas Naib Presiden Pas, Husam Musa akan bercakap soal politik selepas bulan puasa ini. Katanya sepanjang bulan puasa ini kita rihat dahulu sambil menumpukan kepada ibadah di sepanjang bulan Ramadhan ini.

"Insya-Allah selepas raya nanti kita akan berjumpa, dan bercakap soal politik seperti biasa," ujarnya ketika dihubungi.

Kebebasan bersuara di Malaysia, bebas selagi tidak gugat pemerintah

SESUDAH SUBUH                                                                          

Kebebasan bersuara di negara ini masih lagi menjadi polimek dan dakwa dakwi serta tuntutan antara pihak pemerintah dengan rakyat. Pemerintah yang ditunjangi parti UBN tetap mengatakan bahawa Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara sesuai dengan apa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Bahagian 2 Perkara 10, Fasal (1)(a) mengenai kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan.

Ia juga kononnya sesuai dengan prinsip demokrasi yang menjadi amalan negara ini sejak tahun 1955.

Sebaliknya di pihak rakyat terutamnya para pemuka demokrasi, pemimpin parti politik, pertubuhan awam, sosial dan sebagainya yang berjuang membela rakyat masih menafikan negara ini belum ada kebebasan bersuara sebenarnya. Suara mereka dan aktiviti sosial mereka masih dihalang dan disekat dengan pelbagai peraturan dan akta yang digubah dan perkemaskan dari masa ke semasa.

Gara-gara tindakan tidak ikut peraturan Kias kena bayar RM200 ribu

LAPORAN LEWAT                                                                                          

Che Ibrahim dapat RM200 ribu sejuk-sejuk.
Gara-gara bertindak berdasarkan sentimen politik dan enggan berunding, Kolej Islam Sultan Ismail Petra (Kias) institusi pengajian agama milik kerajaan negeri Kelantan terpaksa membayarkan RM200,000.00 kepada bekas pekerjanya Che Ibrahim Mohamed apabila diarah oleh Mahkamah Perusahaan.

Bayaran kepada Che Ibrahim Mohamed bekas Penolong Pendaftar Kias itu hendaklah dibuat dalam tempoh 14 hari.

Che Ibrahim sebelum ini mendakwa hilang pendapatan ekoran tindakan bekas majikannya itu, bolehlah membelanjakan wang menang kes itu sebagai perbelanjaan untuk hari raya dan bersedekah. 

Wednesday, July 1, 2015

Maaf kerana biarkan blog sunyi dan sepi

Perhatian. Beberapa hari blog saya sunyi sepi tanpa diisi dengan apa-apa catatan. Maaflah sehari dua ini agak sibuk dan keletihan sedikit. Ada beberapa kematian dalam keluarga saya.

Malam kelmarin bergegas balik ke Kelatan dan malam tadi balik semula ke Kuala Lumpur. Dua hari lepas ke Bahau Negeri Sembilan dan sebelum itu kematian di Pasir Mas, Kelantan.

Banyak persoalan politik yang masih belum terjawab. Mengenai Pas, dan juga masa depan Pakatan Rakyat. Yang tidak kurang juga menariknya politik di Kelantan, mengenai Pas dan Umno. Kelantan menjadi tumpuan permerhati ekoran perkembangan yang berlaku dalam Pas kini. Persoalan yang diajukan apakah Pas mampu mengekalkan kerajaan Kelantan.

Ada cerita yang menarik untuk dikupas mengenai Kelantan ini, ialah sejauh manakah kebenaran dan keberangkalian Pas akan berkerjasama degan Umno dalam pilihan raya ke-14. Dan kalau kedua parti itu berkerjasama, apakah ianya menjadi pengikat kerjasama Pas - Umno diperingkat kebangsaan.

Inysa-Allah saya akan cuba menyorot perkembangan politik dan Kelantan dan meninjau sejauh manakah kemungkin kerjasama Pas - Umno akan berlaku. Wassalam Mso.