Tuesday, May 31, 2011

Bahasa Malam

Nasharudin Anak Yatim Yang Dipujuk Undur

MAAFLAH kerana baru sempat buka blog dan membuat sedikit catatan. Entah sehari dua ini terasa sibuk sedikit. Saya tahu ramai yang sedang menanti di skrin laptop atau komputer untuk menjenguk dan membaca apakah catatan terbaru saya. Isu dinanti-nantikan tentulah mengenai muktamar Pas ke-57 yang akan berlangsung tidak sampai 72 jam lagi.

Macam-macam tersebar berita mengenai muktamar ini. Kedudukan calon-calon yang bertanding baik untuk jawatan timbalan presiden dan naib presiden juga semakin cemas dan gelisah. Yang sedang duduk atas kerusi bimbang takut kerusi mereka dilari orang manakala yang sedang mencuba untuk merampas kerusi, tidak kurang juga resah dan gelisahnya takut hasrat hati tidak kesampaian.

Tampaknya hawa panas berruap untuk kerusi timbalan presiden. Sejak pagi tadi hingga ke malam ini ada-ada saja panggilan ke telefon saya. Ada yang bertanya kenapa tidak up date blog dan ada yang memberanikan diri direct bertanyakan kedudukan mutakhir mengenai peluang calon-calon bertanding.

Sebelum jam 8:00 malam tadi dua orang wartawan dari dua portal berita menghubungi saya bertanyakan keadaan dan status calon. Untuk jawatan timbalan presiden saya menjelaskan, bahawa Mohamad Sabu nampak masih agresif berkempen. Mat Sabu tidak tarik berak dalam usahanya memenang hati perwakilan. Malahan kenderaanya sudah dicabut berak.

Pagi tadi dia bersama kira-kira 18 orang rakyat Kelantan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri untuk mendesak Najib supaya memberi royalti minyak kepada Kelantan. Perarakan kecil itu disertai Pengerusi Royalti Minyak Kelantan, Apandi Mohamad. Manakala Exco yang bertanggungjawab mengenai tuntutan tidak pula kelihatan. Kenapa?

Dua lagi calon Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Man nampaknya seperti biasa mendiamkan diri. Yang paling diam nampak tawakus di dalam soal ini Nasharudin. Manakala Tuan Ibrahim kandati diam tetapi kerja kempennya dilakukan oleh pihak lain. Perhatilah blog dan juga ruang sosial Fb banyak yang cuba memuji dan memberi kredit percuma Tuan Ibrahim.

Nasharudin dalam soal ini seperti anak yatim piatu, tidak ada mana-mana pihak yang bertindak menjadi tukang kempennya. Megenang nasib Nasharudin ini saya teringat kepada semasa kempen pemilihan timbalan presiden dua tahun lepas di mana nasib Nasharudin tidak ubah seperti Abdul Wahud yang mempunyai abang Abdul Wahid dan Abdul Wahad yang menganiayakannya.

Saya menganologikan beliau sebagai Abdul Wahud yang dipersendakan oleh si abang iaitu dua calon lawannya, Mohamad Sabu dan Husam Musa. Kenapa saya mengatakan begitu kerana awalnya beliau mendapat restu dan dijadikan kambing hitam untuk melawan Hassan Shukeri dan selepas itu Harun Taib. Tetapi apabila beliau menang, tempatnya itu hendak dibalas dengan mempersenda-sendakan keupayaan Nasharudin.

Kini Nasharudin menjadi anak yatim piatu pula. Mohamad Sabu khabarnya ada jemaah yang membantu kempen untuk kemenangannya. Ada ahli Parlimen yang terkenal sebagai ahli gerakan Islam menyebut secara terang-terangan yang dia memilih Mohamad Sabu. Sokongan kepada Mat Sabu buka tertutup tetapi sudah terbuka.

Sementara untuk Tuan Ibrahim pula ada kalangan tertentu yang berusaha supaya Nasharudin menarik diri dan memberi peluang kepada Tuan Ibrahim. Tuan Ibrahim juga dikait-kaitkan dengan Tok Guru Nik Aziz kerana beliau adalah anak sudara Nik Aziz. Adik Tok Guru, Nik Aishah telah berkahwin dengan Tuan Man. Ertinya secara tidak langsung Tuan Ibrahim ada dahan dan pokok untuk bernaung.

Ada seorang ustaz tua katanya sampai menangis tersendu-sendu kerana kononnya sayangkan kepada Nasharudin dan meminta agar Nasharudin menarik diri dari bertanding dan memberi peluang kepada Tuan Ibrahim. Ertinya air mata sudah digunakan untuk memperdayakan Nasharudin supaya berundur dan memberi laluan kepada Tuan Ibrahim.

Saya sedikitpun tidak hairan dengan ustaz tua ini kerana beliau sendiri pernah menuduh dan memfitnah saya secara mentah. Jadi kalau beliau sanggup menjadi barua kepada pihak tertentu agar meminta Nasharudin berundur ianya tidak pelik. Inilah pada saya walaupun seseorang itu bergelar ustaz, banyak ilmu agama tetapi kalau hilang pertimbangan maka berlaku sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

Khabarnya yang rayuan supaya Nasharudin tarik diri kian kencang dilakukan. Ia terlibat dengan tokoh-tokoh tertentu yang sepatutnya bersikap terbuka dan adil. Hairan kenapa mereka baru hendak berusaha agar Nasharudin tarik diri sekarang, tetapi tidak sebelum ini. Kalau mereka ikhlas dan punya intergriti, tindakan itu seharusnya dilakukan sebelum ini, sebelum Nasharudin menyerahkan borang penerimaan pencalonan. Apakah perkiraan mereka sebelum itu sudah salah?

Peliknya juga kenapa minta Nasharudin seorang yang menarik diri dan kenapa tidak dengan Mat Sabu. Apa mereka fikir Mat Sabu rapuh untuk di buat begitu? Saya percaya kalau pun Nasharudin menarik diri Mat Sabu tetap akan lawan, kerana perlawanan di benarkan dalam parti. Belum tentu lagi kalau Mat Sabu lawan satu sama satu dengan Tuan Ibrahim ustaz forum perdana itu boleh menang? Ingat Mat Sabu adalah ayam tambatan Pas.

Sebenarnya bagi bapa tiri atau mak tiri kepada Tuan Ibrahim tidak perlu merayu dan menggunakan tektik sampai menumpahkan air mata untuk memujuk Nasharudin menarik diri. Lawanlah. Kalau Tuan Ibrahim mempunyai kekuatan dan sokongan, lawan, tidak perlu gentar dan takut kepada sesiapa pun. Pejuang atau panglima yang berani dia tidak akan takut kepada sesiapa yang berdepan dengannya. Mereka juga tidak akan bermain dalam gelap atau menikam musuh dari belakang.

Ikhlas saya kata mulanya juga saya merasakan elok kalau Nasharudin menarik diri. Sudah tiga penggal beliau menjadi timbalan presiden, cukuplah. Elok kalau diserahkan kepada orang lain pula. Mungkin pencapaian Abdul Hadi Awang sebagai presiden lebih cemerlang kalau orang lain yang menjadi pembantunya?

Dan saya rasa beliau bersedia berbuat demikian kalau diaturkan usaha itu secara jujur, sopan dan ikhlas. Misalnya presiden dan musyidul am boleh panggil dan nasihat Nasharudin secara baik. Beliau yang menganggap kedua tokoh itu sebagai tok guru tentu akan mematuhi apa juga nasihat atas keyakinan nasihat itu benar dan berolehi keberkatan. Tetapi bila ada usaha secara gelap dan penuh tektikal rasanya elok kalau beliau tetap dengan keputusannya walaupun terpaksa hadapi kalah. Kata orang alang-alang berdakwat biar hitam, selup pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Saya sangat berharap semoga rayuan dan pujukan supaya Nasharudin menarik diri dihentikan. Hadapilah perlawanan itu dengan gentleman. Dalam mendapat jawatan ini jangan cuba mencari jalan mudah kerana sifat jawatan itu sendiri tidak ada yang disedekah kepada mereka. Tenguk Anwar Ibrahim walaupun berasap dengan fitnah, serangan berapi dari Najib dan UBN, namun beliau tetap juga lawan tanpa mengenal kalah.

Jadi kalau Tuan Ibrahim atau sesiapa saja mahu menang percuma dengan mudah elok mereka yang berundur dan jangan teruskan perlawanan kerana pemimpin yang kecut perut di hujung gelanggang tidak layak untuk jadi pemimpin. Begitu juga pemimpin yang hanya menumpang keramat dan tuah orang lain bukan pemimpin yang sejati. Saya tetap yakin bahawa Nasharudin atau Mat Sabu tidak akan memberi laluan percuma kepada Tuan Ibrahim dan mereka akan lawan ke titisan darah terakhir. Jadi selamat berlawan! [wm.kl.10:33 pm 31/05/11]

Monday, May 30, 2011

Catatan Senja

Sebuah Perjalanan Dan Satu Persinggahan

Huhh.. penatnya! Masih di pejabat untuk menyiapkan Siasah. Tumpuan agak lebih sikit kerana hendak fokus atau beri liputan menyeluruh dan berkesan keluaran sempena muktamar Pas Jumaat depan. Kebetulan pulak semalam balik Kelantan, bukan apa menghadiri kenduri anak buah. Penting juga hadir kenduri kerana waktu inilah untuk berjumpa dengan sanak saudara dari jauh. Memang berbalio ramai kenalan dan anak buah yang lama tak jumpa, dapat bersua muka semalam.

Ingat nak buat sikit catatan sebaik sampai rumah semalam tetapi badan letih sangat. Paspon hingga ke Subuh tak juga menjadi sebab duk edit dua tiga tulisan anak buah. Banyak pula fakta dan maksud yang dikehendaki tak sampai meleret-leret macam kain buruk kena air. Masa terbuang dengan kerja rutin memabukkan itu.

Sesudah agak rileks siki
t, dua call masuk dari rakan wartawan kanan sebuah akhbar arus
perdana berbahasa Inggeris, bertanyakan mengenai muktamar Pas. Minta takrufkan dia mengenai suasana muktamar, tanya peluang sapa akan menang dan kalah. Saya belum buat penilaian terakhir hanya pakai ramal mengikut rasa hati saja. Mungkin esok lus akan saya postingkan ramalan saya mengenai pemilihan dalam Pas.

Nak tahu bacalah akhbar dia esok dia akan keluarkan tulisan itu yang serba sedikit bersumbarkan saya. Selepas itu satu lagi call masuk dari rakan wartawan juga berbahasa Inggeris. Dia kata nak minta ulasan bagi dimasukkan dalam portal berita dikendali kawannya. Katanya saya relevan untuk beri ulasan, alasan saya orang lama. Saya dah tahu kata-kata itu bodekan supaya saya memberi ulasan.

Saya berilah ulasan. Antara yang ditanya mengenai sikap dan perangai Pas Terengganu dan Pas Kelantan. Apa yang dikehendaki ialah agar saya memberi pandangan tentang Hadi Awang dan Nik Aziz. Itu saja. Dia mahu saya katakan mereka ini bertelagah dan berbalah, dia akan tulis dan highlight kan itu.

Saya hanya kata mereka tidak bertelagah cuma berbeza dalam pendekatan. Mungkin kerana pengaruh psykologis di mana orang Kelantan dan Terengganu selalu bergaduh. Kalau dalam tahun 70-an bila pasukan bola Kelantan lawan Terengganu pasti akan bergaduh. Saya tidak tahu kenapa. Mungkin itu persepsi saja, walhal kedua orang Kelantan dan Terengganu lebih kurang saja, kalau bijak pun begitu kalau tidak bijak pun begitu. Saya tidak bersikpa pesmis dalam hal ini sebab bakal menantu saya orang Terengganu.

Jadi kerana dua panggilan rakan wartawan senior dan kanan itu menyebabkan masa saya untuk mencatat cerita dalam perjalanan semalam terhalang hinggalah kini ada ruang sedikit ini, sementara rihat...dan sambung lagi tugas hingga sampai kedengaran lagu.. "Bila lartu malam..".

Dalam perjalanan pulang ke KL semalam saya singgah di Kuala Krai, Ustaz Yusri mengajak makan roti tempayan di situ katanya sedap. Yusri ini pandai dia kata taukeh kedia itu peminat blog saya dan juga pembaca Siasah tegar. Jadi kerana ajakan itu saya pergi. Yusri ini pada saya seorang yang serba boleh dan kata orang Kelantan jenis 'pah laku'. Dia boleh masuk dalam apa-apa juga majlis. Sikap terbuka dan tidak berfikir jumud inilah pataut menjadi amalan dan tiruan.

Memang benar kata Yusri, roti tempayan sdr Razali (tuan kedai) memang sedap. Bukan saja lembut tetapi kari kambingnya juga juga mengancam. Mulanya takut untuk saya makan, tetapi atas jaminan kata tak mengapa, dua mangkuk sempat disapu. Alhamdulilah... tidak ada apa-apa side impac sampai kini.

Di kedai itu ada beberapa ahli politik lainnya ini menjadikan tambah ralik menyebabkan lewat untuk bertolak ke KL. Ada sama ialah Ketua Cabang PKR Kuala Krai cikgu Lan dialah yang membayar roti semalam dekat dengan seratus ringgit juga. Memang saya kenalnya dan dia juga seorang pejuangan Keadilan yang boleh tahan juga.

Ikut sama sdr Nawi adik kepada bekas ahli Parlimen Kuala Krai, Nasir. Nasir siap dengan latop melayar internet. Kata Yusri kedai Pak Li itu menjadi pengkalan orang politik Kuala Krai berhimpun terutamanya orang Pas. "Kalau abe Ti nak tahu perkembangan politik Kuala Krai singgaahlah sini," kata Yusri.

Memang benar. Dalam kesempatan itu macam-macam persoalan diajukan kepada saya, terutamanya isu yang ditulis dalam blog. Pak Li juga merupakan seorang penjenguk blog Merah Tinta yang aktif sampai semua yang saya tulis boleh diingat dan disebut satu persatu. Bahaya!

Rupanya hajat saya nak singgah di kedai roti tempayan itu kata Yusri sudah diberitahu oleh Pak Li kepada beberapa rakannya. Semacam nak track saya saja untuk menjelaskan beberapa isu yang tergantung dalam blog. Mereka hendak ambil kesempatan bertanya saya secara langsung.

Adalah beberapa isu yang saya sebut secara khas untuk mereka yang berhimpun di kedai Pak Li petang semalam. Saya harap mereka berpuas hati dengan apa yang saya jelaskan. Yang penting mereka mengenali akal budi saya dan prinsip hidup dan politik saya.

Sebaik meninggalkan kedai Pak Li, serang kawan lama semasa sama-sama merempak di Indonesia 80-an dulu pula telefon mengajak singgah dirumahnya. Tetapi kerana hari petang dan memandangkan perjalanan masih jauh saya terpaksa menolak dan kami berjumpa di pinggir jalan saja. Kawan lama saya itu ialah sdr Yunus.

Sebenarnya lama tidak berjumpa Yunus, kerana masing-masing sibuk tidak dapat berhubung di antara satu sama lain. Dan perjumpaan yang singkat menjelang Maghrib semalam sungguh menyeronokkan. Apa tidak berjumpa dengan Yunus teringatlah di zaman muda dulu sama-sama berdagang dan bergeladangan di rantau orang.

Yunus sama seperti saya tidak sempat membawa balik cewek Indon untuk dijadikan isteri, he he.

Tidak sangka hari ini Yunus sudah jadi orang besar dalam dunia pendidikan dan punya anak ramai, membiak. Dalam perjalanan saya menceritakan kepada isteri serba sedikit mengenai keistimewaan kawan ini dan bagaimana kegigihannya dalam menuntut ilmu sehinggakan sanggup naik kapal menunju ke Bandung. Di Bandunglah Yunus menggalas ijazah kalau tidak silap dalam pendidikan matemetik. [ttdi.kl.7:57 pm 30/05/11]

Friday, May 27, 2011

Sebelum Jumaat

Tidak Salah Kalau Ada Yang Pro Anwar, Kenapa?

ADA seorang politik gila bercakap perebutan jawatan dalam Pas yang akan terlaksana pada muktamar ke 57 minggu depan adalah perkadasan dan pertembungan di antara golongan ulama dan golongan pemuja Anwar - pro Anwar. Begitu rendah sekali analisa dan pemerhatian orang gila ini. Dia berkata demikian seolah-olah Pas sebuah parti yang diwakili oleh budak-budak yang cacat akal.

Sudah 57 tahun Pas berada di persada negara ni telah melalui berbagai liku dan luruh perjuangan. Pas bukan saja boleh dianggap matang, tetapi dalam sesetengah perkara sudah sampai ke peringkat terlampau matang, sehinggakan boleh membaca kilau di dalam kilat. Atau terkilas saja ikan di air Pas sudah dapat mengenal apakah jantan atau betia atau pun 'husna'.

Jadi apabila orang politik gila ini membuta tafsiran demikian ia adalah menunjukkan kedangkalan pemikiran beliau sendiri yang tidak dapat mengenali perjungan Pas sebetualnya. Mungkin kerana telah lama meninggalkan Pas maka perkembangan dan perubahan dalam Pas tidak sampai kepada akalnya.

Dia masih teroleng-oleng seperti dulu juga merasa syok sendiri kononnya akulah betul dan cara akulah benar.

Seperti ditegaskan oleh pemimpin Pas, tidak wujud kumpulan atau mana-mana puka tegar di dalam Pas, apa lagi kumpulan pro Anwar. Pas adalah satu kumpulan yang memperjuangkan Islam dan menentang kemungkaran dibawa oleh Umno khususnya. Itulah kumpulan Pas.

Adapun kenapa dilihat ia mirip kumpulan tertentu ialah kerana pendekatan dan aliran yang digunapakai. Ada yang mengambil pendekatan modern penuh tektikal, yang cuba mempraktikan berbagai teori baru dan ada yang masih mengambil pendekatan konsevertif dengan berlunak dan berdoa atau pun rigid dengan pendekatan lama. Ada juga yang menerima politik itu rencam ke mana dan apa saja boleh diterima pakai asalkan Pas mencapai kemenangan kerana matlamat di dalam perjuangan ialah untuk menang.

Tidak boleh nafikan ini berlaku. Saya sudah nyatakan perbezaan ini berlaku kerana latar belakang pendidikan dan terbiah mereka yang berada di barisan depan berbeza. Yang berpendidikan barat akan menggunakan pendekatan ala barat, yang berpendidikan Timur Tengah pula akan menggunakan pendekatan tradisi stail gerakan Islam. Dalam hal ini gerakan Islam di Mesir, Ikhwan Muslimim lah dijadikan contoh.

Kalau dihayati dan dilihat kedua-dua tektik dan pendekatan itu untuk mencapai matlamat yang sama, iaitu kemenangan Pas bagi membolehkan parti itu merealisasikan aspriasi perjuangan. Baik yang mengambil fahaman barat atau pun fahaman Timur Tengah, keduanya berpaksikan kepada syahadat Islam.

Sebab bagi mereka yang tidak memperakui ketauhidan Tuhan mereka tidak akan masuk ke dalam Pas awal-awal lagi, atau kalau pun mereka masuk dengan tujuan hendak mengucar kacirkan atau menumpang 'mangkok somping' dari Pas saja.

Sekiranya mereka yang berpendidikan sekular, ini tidak sedia akur prinsip dan dasar perjuangan Pas mereka tidak akan bersama Pas. Mereka lebih senang dan mesra dengan Umno seperti setengah kalangan profesional memilih Umno. Bukan itu saja mereka yang sekular yang memilih Islam ini juga kerana di dalam hati mereka sudah tertanam bibit atau kepcayaan bahawa Islam adalah cara hidup.

Bila mereka menerima Islam sebagai cara hidup ertinya mereka menggunakan perencah dan perasa Islam untuk membina negara. Seperti tukang masak bila mereka sudah mengambil satu jenis perencah atau perasa untuk membuat kueh, buatlah kueh itu dalam bentuk bagaimana pun tetapi perasa dan pencecah itu tetap ada. Nah begitulah juga golong sekular di dalam Pas.

Pulak, tidak semestinya apabila seseorang itu mendapat pendidikan Timur Tengah yang lebih tampak berbudaya Islam dengan perwatakan, pakaian dan budaya, boleh menuduh mereka adalah Islam tulen atau kaedah mereka tepat mencapai matlamat. Ia mungkin baik tetapi kaedah harus disesuaikan dengan keadaan di sini.

Kambing atau unta dari tanah padang pasir tidak boleh dipelihara dengan menggunakan keadaan di sini. Maka ia harus disesuaikan dengan membentuk iklim, permakanan dan suasana kehidupan kambing dan unta padang pasir. Sebab kalau kambing atau unta itu dipelihara seperti di padang pasir nescaya akan matilah kambing berkenaan.

Memahami gambaran ini, tidak adalah puak yang pro Anwar di dalam Pas dalam erti kata menerima prinsip perjuangan Anwar. Ertinya pro Anwar bukan menjadi bahaya kepada Pas, kerana pro itu adalah sokongan saja untuk memastikan Pas mendapat keuntungan. Sebagai parti siasah Pas harus bijak bertindak, bijak membuat perhitungan dan penilaian mengikut keperluan semasa. Pas mungkin sudah mengenal pasti bahawa aura Anwar kini kuat dan hebat, maka Pas peru ikut arus berkenaan untuk menumpang kemenangan.

Saya tidak kira kalau pun Pas menang setelah menumpang pengaruh dan auara Anwar Pas akan rela menyerahkan jawatan kepada Anwar. Kalau begitu maka bodoh amatlah cara Pas berpolitik.

Perkara ini harus difahami oleh ahli Pas dan tidak mudah terjebak dengan lontaran dan dakwaan pihak-pihak musuh termasuk orang gila politik tadi. Kalau orang Pas juga turut berfikir seperti orang politik gila itu maka rosaklah Pas kerana yang nyatanya orang itu sudah lama rosak hanya beliau belum menanggalkan selua dan bajunya saja lagi untuk berlarian di khayalak ramai. [wm.kl.11:00 am 27/-5/11]

Thursday, May 26, 2011

Sorotan Istimewa

Muslimat Perlu Menjadi Madu Yang Baik

[kemaskini] PAGI ini saya hendak beralih angin sedikit dengan memberi sorotan khas kepada politik muslimat Pas. Media massa atau pemerhati tampaknya tidak begitu terliuur untuk bercakap fasal politik muslimat alias wanita Pas ini. Apakah kerana kita masih terpengaruh dengan mind lama kita, bahawa wanita tetap wanita walaupun berusaha keras untuk menyamakan taraf dengan lelaki.

Atau pun kerana kita telah meletakkan wanita sebagai tulang rusuk kita maka ia tidak akan bertukar menjadi sebilah pedang selama-lamanya?

Ada benarnya juga. Kta tidak dapat membincangkan wanita jauh dari sempadan dan destinasi yang boleh dirungkai lelaki. Wanita tetap mempunyai batas dan sempadan yang konkrit. Ini bukan kerana sentimen gendar tetapi ini kerana hukum hakam dan hukum karma juga. Ia adalah ketetntuan azali.

Jadi usahlah muslimat Pas ingin bergerak melebhi dari mentara yang telah dipancang oleh Tuhan. Gunung yang tinggi hanya untuk lelaki saja, sementara kolam air mata milik wanita selamanya. Kalau ada seorang dunia melepasi punca itu ada keluarbiasaan. Ingatlah kita tidak boleh hidup dan lari dari norma-norma alam.

Apapun saya homati kepada perkembangan politik muslimat Pas mutakhir ini. Walaupun muslimat sudah terkalur dari serukup kejumudan akal dan faham, tetapi ia masih dapat bergerak mengikut ketentuannya. Manakala kemajuan baik dari segi besiasah, mengurus jemaah dan mengemudikan masyarakat jauh berbanding dengan dulu.

Mulsimat Pas masih dapat memainkan peranannya dengan wajar dan tidak menimbulkan subahat. Belum ada masalah dan kejadian direkodkan muslimat Pas membuat hal seperti mana wanita Umno, yang ada dirogol, bermain dengan suami orang hatta dibunuh atau terlibat dalam rasuah.

Tahniah kepada kepimpinan muslimat dan seluruh ahlinya kerana dapat mengawal politik muslimat dan mengekalkan muslimat sebagai wanita yang menyediakan makan minum dan merawat tentera yang cedera di bawah khemah di medan perang dengan baik dan prihatin. Iya walaupun di bawah khemah, tetapi muslimat Pas juga memasuki medan perang.

Politik muslimat Pas muasir ini dari juring (sudut) mata saya seperti air sungai yang tenang. Dari atas ia tidak nampak akan riak dan ombaknya. Tetapi di bawah ia berladum dan bergelora. Kalau kita tungging lihat ke dalam muslimat akan nampak pergolokan ini. Tetapi kenapa ia tidak menjadi rabak...?

Sekali lagi, kemampuan, ketenangan politik ini kerana muslimat berpegang kepada syariat. Mereka senantiasa insaf akan siapa mereka. Mereka tawaduk dengan hak diri terhadap oragnisasi yang mereka sertai. Inilah yang kita perlu dan patut dijadikan contoh kepada wanita di luar sana. Muslimat Pas secara tidak sedar menjadi modal kepada perjuangan kaum itu.

Kenapa dikatakan begitu, kerana kalau di Barat atau dalam Umno wanita mereka hanya memperjuang kebebasan wanita (woman lib), tetapi berlainan dengan Pas. Muslimat Pas memperjuang Islam setanding dan sebahu dengan lelaki. Mahu mengembalikan kedudukan wanita seperti mana dijamin oleh Islam. Mereka menuntut keadilan kepada wanita bukan untuk personal kaum itu tetapi keadilan untuk sejagat. Dalam muslimat Pas tidak ada kepentingan diri, dan desakan yang dibuat masih dalam lingkungan yang dizinkan.

Seperti dikatakan tadi walaupun di atas tenang, namun di bawah berombak dan bergerak. Tsunami kecil berlaku dalam politik muslimat Pas tetapi jarang diselami umum. Ini yang menyebabkan saya sedikit sukar untuk memahami kenapa dan mengapa ini berlaku?

Tetapi kerana saya menerima hakikat bahawa betapa baiknya wanita menerima madu-madunya tetapi dalam hati kecil perasaan semulajadi seorang manusia yang dicipta dengan nafsu tetap wujud dan memberontak, maka saya tidak merasa anih dengan apa yang berlaku.

Hanya wanita yang mempunyai ketahanan dan benar-benar faham akan hikmah dan takdir saja boleh menghadapinya. Begitu juga dengan muslimat Pas dalam soal berorganisasi. Mereka boleh duduk bersama tetapi rasa cemburu atas tujuan ingin membaiki keadaan atau merasa akulah lebih, aku boleh melakukan lebih dari kamu tetap ada.

Kenapa saya timbulkan ini, mengatakan politik muslimat berombak kerana jika diperhatikan setiap kali ada pemilihan mereka tidak terkecuali dari turun ke gelanggang ramai-ramai untuk merebut jawatan. Jawatan ketua muslimat Pas menjadi rebutan pada setiap kali ada pemilihan dua tahun sekali. Bermula di zaman Jamilah Ibrahim hinggalah ke era Noridah Salleh ia menajdi rebutan. Kenapa? Inilah yang saya selalu tanya dan inginkan jawaban.

Apa yang tidak kenanya. Apakah muslimat ingin menunjukkan kehebatan politik mereka dengan Umno secara bertanding? Atau ingin membuktikan bahawa demokrasi dalam muslimat lebih telus dan berani? Sebab walaupun berlaku pertandingan mereka tidak bercakaran, mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada media massa?

Kalau zaman dulu jawatan ini tidak dimianti. Saya ingat berapa lama Kak Chik Wan Asma Abdul Kadir (Allahyarham) dari Pasir Puteh menjadi ketua muslmat Pas Pusat. Selepas mengambil alih jawatan itu dari Sakinah Junid isteri Asri Muda (Allahyarham), jawatan itu dipegang hingga diambil oleh Jamilah Ibrahim.

Bermula selepas Jamilah jawatan itu dipertandingkan secara berturut-turut. Kalau tidak silap, Zainab Ibrahim isteri Harun Taib yang mencabar Kalsum atau Jamilah. Selepas itu Zainab pula dicabar oleh Azizah Khatib, kemudian Azizah Khatib pula dicabar oleh Noridah Salleh, dan hari ini Nordiah Salleh pula dicabar oleh Siti Zailah Yusuf.

Saya tidak tahu dan tidak juga faham kenapa ini berlaku? Bagi sesetengah orang dengan kerap berlakunya cabaran di kerusi nombor satu ia menggambarkan ketidak kemasan organisasi berkenaan. Kalau ini berlaku maka ia satu kerugian.

Melihat akan hal ini menyebabkan saya tertanya sendiri, adakah ia hobi muslimat atau memang ada yang tidak berpuas hati? Ataupun ada agenda lain bahawa muslimat sudah mula bergerak dan berkelompok seperti lelaki yang cuba memencilkan perpaduan kepada dua golongan mengikut aliran pendidikan dan fahaman serta teori politik? Atau sudah ada bayangan atau pun tanggapan di dalam wanita juga ada golongan Asiyah r.h dan golongan Hendon? Ada golongan yang hanya menjadi isteri yang pasit dan ada yang golongan yang menjadi isteri yang progresif?

Begitukah?

Dari satu segi dengan ada pertandingan ia boleh menyuburkan demokrasi. Tetapi kita juga perlu ingat kalau ia terlalu subur, umpama orang kalau subur sangat akhirnya ia tidak boleh melahirkan anak kerana peranakan (ovori) telah disaluti oleh lemak. Apapun paling saya harap muslimat Pas jangan mula capture di dalam oragnisasi mereka, ada dua kelompok dan golongan. Manakala kalau melihat kepada pertandingan sebelum ini ia bukan sangat menggambarkan keadaan itu.

Kerana ada kalanya ketua yang berlatar belakang agama ditentang oleh orang yang juga berlatar belakangkan agama. Di sini menyebabkan saya tidak faham kenapa tentangan itu perlu. Menjelang muktamar kali ini hendaknya muslimat Pas mencari satu formula atau pun ‘tangkai’ untuk mengelakkan taradisi penyuburan demokrasi yang melampau ini dihentikan.

Sebaiknya muslimat sebagai kaum ibu, berjiwa pendidik, pengasih dan penyayang menunjukkan akan persepkatan mereka, dengan menajadi ‘madu-madu’ yang baik dalam sebuah saf kepimpinan. [wm.kl. 10:00 am 26/05/11]

Menjejak Matahari

Kenapa Kita Takut Hadapi Realiti

SUDAH menjadi budaya dan pembawaan bangsa kita - Melayu tidak berani untuk berterus terang dan menghadapi reaiti. Kita suka berselindung ataupun berbohong walaupun apa yang kita bohongi itu sudah diketahui atau dapat dikesan oleh orang lain.

Kenapa kita tidak mahu jadi bangsa yang berani, berterus terang telus dan sedia menghadapi realiti? Kenapa?

Banyak kalau kita hendak perkatakan perkara ini. Ia berlaku setiap hari, malahan berlegar di sekeliling diri kita sendiri. Kita ada kalanya bukan saja berbohong kepada pihak ke tiga, orang lain tetapi kepada diri sendiri juga. Kalau sudah berbohong kepada diri sendiri itu peringkat sudah parah dan teruk sangat. Mungkin boleh dikategorikan berbohong kepada diri sendiri ini sebagai tanda munafik paling akhir.

Menurut agama tanda-tanda munafik ada tiga, berjanji mungkir janji, bercakap melewati batas dan diberi amanah dikhianati amanah di mana kalau ada ketiga-tiga tanda itu ia adalah muanfik tulen. Saya nak tambah kalau kita berbohong kepada diri sendiri itu menandakan kita sudah sampai ke peringkat munafik agung.

Saya nak rujuk hal ini - hal ketidakberanian kita dalam memperkatakan sesuatu yang mungkin kita tahu dan mungkin kita tidak tahu, kepada menteri yang jaga hal ehwal pengguna yang mengawal kenaikan harga barangan, itu Ismail Soberi Yaacob. Malam tadi di tv saya dengan dia mengatakan harga petrol dan gas LPG tidak akan dinaikan. Tidak ada tanda-tanda harga barangan itu akan dinaikan dalam sehari dua ini.

Dia menafikan dakwaan sesetengah pihak kononya harga barangan itu akan dinaikkan tidak lama lagi. Beliau rujuk kepada pembangkang sebagai berbohong kalau harga itu dinaikkan. Kenaikan atau tidak naiknya harga barangan itu katanya tidak ada kena menegena dengan pilihan raya?

Kenapa beliau bersilat kata dan memutuarkan lidah dengan sanggup mempertahanakan perkara itu dan menuduh pembangkang bohong? Kenapa? Kenapa beliau tidak mengiyakan saja atau mengatakan kemungkinan ia akan naik memandangkan masalah harga minya di pasaran dunia tidak stabil? Kan senang dan tidak timbullah polemik mengenainya.

Lebih mesra dan gentleman kalau beliau mengambil sikap mengiyakan begitu. Saya tidak nampak ia merugikan Soberi atau kerajaan. Sebaliknya dengan mempertahankan, mengatakan minyak tidak akan naik, sedangkan esok lusa atau selepas pilihan raya dinaikkan bukankah itu pembohongan. Bukan itu satu penipuan?

Janganlah hendak permainkan rakyat, berdolak dalih dengan harga barangan itu. Kita dan semua orang tahu yang harganya tidak dapat disekat dan dihalang kerana kedudukannya yang tidak statik. Rakyat sudah terbiasa dengan kata-kata dan cakap seperti tiu. Sebelum ini sudah pun berlaku, hari ini Soberi mengatakan minyak tidak naik, tup tup esok naik berdecun sampai 30 sen seliter.

Ini harga taarif eleterik juga akan dinaikan pada Jun ini. Tanda-tanda besar akan taarif eletrik akan dinaikan sudah nampak jelas. Dalam tv diputar dua tiga kali sehari iklan yang berbunyi 'makin banyak pembangunan makin banyak kuasa elterik digunakan'. Apa ertinya kata-kata itu, ertinya harga eletrik hendak dinaikanlah tu.

Saya secara peribadi tidak marah kalau harga minyak, gas atau elterik dinaikan. Itu adalah realiti. Tetapi yang kita marah ialah kenapa nak sembunyikan dan mencari alasan-alasan yang dangkal. Kita suka sangkit menjadi burung puyuh yang sembunyikan kepala tetapi punggung tertonggeng.

Misalnya setiap kali harga minya naik kita akan mengatakan harga petrol di tempat kita lebih murah berbanding dengan negara lain. Kenapa harus dibandingkan dengan negara lain, bukankan dengan harga berbeza itu menyeronokkan kita. Malangnya ada juga negara lain harganya lebih murah kita tidak pula menyebutnya. Inilah munafik.

Anihnya kalau ada barangan atau kos lain di negeri lain lebih murah kita tidak pula bandingkan dan cuba mencontohinya. Saya ambil mengenai duty eksasis kereta di Thailand ia jauh lebih murah berbanding dengan tempat kita sebagai contoh. Kereta Honda Civi 1.8 tempat kita berharga RM115,000. Manakala di Thailand hanya RM80,000. Jauh bezanya. Kenapa harga di Thailand murah kerana kerajaan Siam tidak mengenakan cukai untuk kerajaan sebanyak 30 persen.

Itu bab kereta lain-lain bab banyak lagi. Begitu juga dengan tol, di Thailand tidak ada Tol. Lebuh raya dari Narathiwat ke Bangkok lurus macam ular hidup, besar macam lorong gajah tidak ada pun tol dikenakan. Kalau tempat kita berderet pondok tol macam bangsal pisang goreng. Kenapa tidak ditirukan ini?

Sekali lagi dinyatakan usahlah kita berdolak dalih dan menyembunyikan sesutau dari rakyat. Jangan lari dari realiti sebab perbuatan itu sia-sia saja. Bak realiti ini saya nak sebut sedikit fasal ada sesetengah orang yang tidak suka kepada Cina dan India. Kalau boleh mereka nak humbankan Cina ke dalam laut.

Pada saya orang bersikap begini mereka yang tidak menyedari hakikat yang ada di sekelilingnya. Saya sering tanya kepada kawan yang bencikan Cina, ke manakah mereka hendak buang Cina? Jawabnya mudah saja suruh balik ke benua. Mereka lupa yang Cina itu juga sebahagian dari warga negara ini. Mereka lupa bahawa orang Cina atas kapastiti dan status yang ada boleh juga membuang Melayu ke laut.

Puak ini memang cerdik tetapi yang tidak boleh diikuti.

Jadi kata dan lakukanlah sesuatu itu walaupun pahit. Rakyat boleh menerimanya kerana rakyat juga tahu keadaan dunia hari ini. Dunia yang penuh dengan peperangan, adu domba perlumbaan ia tidak akan sunyi dan senyap dan kesannya akan terkena juga kepada kita. Rasanya kalau kerajaan berterus terang (dalam harga barangan) ia boleh mengurangkan masalah persepsi buruk kepada kerajaan oleh rakyat. Natijahnya orang akan mengatakan kerajaan kita sebagai jujur dan ikhlas, dan tidak menipu rakyat.

Falsafah saya; berterus terang itu lebih baik dari segala-galanya. [wm.kl.8:45 am 26/05/11]

Wednesday, May 25, 2011

Ada Sesuatu Yang Perlu Anda Ketahui Dalam Siasah

Seperti mana yang telah diduga awal-awal, Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengesahkan akan turut merebut jawatan Timbalan Presiden Pas. Nampaknya selain Mohamad Sabu yang lebih awal menunjukkan minat untuk mencabar Nasharudin Mat Isa, Pesuruhjaya Pas Pahang juga terliur berbuat demikian.

Gambaran awal bagaimana kedudukan jawatan dan siapakah bakal memenanginya ada dilakar dalam Siasah terbaru. Juga turut sebuah rencana yang mengulas atau mengupas sifat-sifat atau keperibadian yang harus ada kepada seseorang yang menjadi pemimpin Pas.

Turut sama termuat dalam Siasah kali ini ialah interviu eksklusif dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang telah melontarkan pandangan bahawa orang Melayu tidak akan dapat disatukan menerusi panji-panji politik? Menurut Tengku Razaleigh juga orang Melau masih belum terancam.

Untuk mengetahui kupasan lanjutan boleh baca dalam Siasah yang akan mula berada di pasaran esok. [wm.kl.7:41 pm 25/05/11]

Ulasan Khas

Husam Buat Ralat Perbetul Nawaitu Perjuangan

TAMPAKNYA ruang fikir yang saya berikan menerusi catatan (posting pada 23 April, dibawah tajuk "Mentafsir Kenyataan Husam Yang Mahu Memperkasakan Hadi" diberi perhatian dan dinilai baik oleh Husam. Di hujung catatan itu saya menulis; "Sesungguhnya masa masih tersisa kalau Husam mahu mengubah niatnya untuk ikut sama memeriahkan muktamar dengan bertanding mana-mana jawatan yang lebih tinggi daripada Jawatankuasa Agung."

Selepas sebulan saya memberi mesej itu akhirnya Husam mengeluarkan kenyataan yang saya kira mengembirakan para penyokongnya dan juga orang-orang Pas Kelantan. Nun jauh di Chengdu China, beliau membuat kenyataan ingin ikut sama merebut jawatan Naib Presiden yang pernah dimenanginya selama dua penggal.

Tidak syak lagi perubahan sikap dan ralat fikir Husam itu ekoran perubahan sikap dan pendirian Tuan Ibrahim Tuan Man yang hari ini telah menyatakan kesediaanya untuk bertanding jawatan timbalan presiden. Bermula dari keputusan inilah maka Husam turut mengubah sikap, dan belajar dari ulama? Kalau Tuan Ibrahim seorang ulama boleh mengalih kata, kenapa tidak dengan Husam lagi pun mereka dalam 'game' politik.

Apakah ini kebetulan, atau ada strategi, tidak perlu difikirkan. Yang penting demikianlah politik yang mana keputusan, kenyataan dan sikap tidak rigid. Pergaduhan juga tidak kekal hingga ke neraka! Ia boleh berubah-berubah mengikut masa dan keadaan. Perubahan ini pula bukan dosa, kerana politik itu sendiri unik dan mempunyai empat rukun yang mesti dilalui. Rukun itu ialah 4C.

Biarlah saya tidak mahu mengulas apakah Husam akan menang atau tidak. Itu perkara nombor dua. Yang penting beliau ikut sama memeriahkan muktamar dan memberi kepuasan kepada penyokongnya. Seperti mana katanya kesediaan itu membawa agenda untuk memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional. Saya rasa satu tag line menarik yang mana realitinya bukan mudah untuk diurus dan laksanakan. Alasan lain kata Husam kesediaan itu kerana Kelantan perlu ada seorang pemimpin diperingkat tertinggi.

Alasan benar dan tepat malahan itulah keperluannya kalau sesiapa bertanding jawatan tertinggi. Sebabnya Tok Guru Nik Abdul Aziz akhirnya akan meninggalkan juga serambi politik Kelantan. Kelantan adalah sebuah negeri yang menjadi pemandu kepada kerajaan Pas lain. Wajar ianya diurus tadbir dengan baik dan impaktif. Malahan ketika kali pertama saya menyokong beliau bertanding jawatan naib presiden tahun 2004 itulah juga alasannya dan nawaitunya untuk mencetakkan seorang pemimpin yang berkebolehan dan ada keupayaan. Begitu juga dengan penurunanya ke Kelantan untuk membantu pentadbiran Tok Guru yang pada masa itu dalam perhatian saya kurang bermaya.

Saya sangat berharap dengan turunnya Husam beliau boleh berpadu dengan beberapa pemimpin pelapis lain bagi menguat dan mempertahankan Kelantan. Sayangnya ia berjalan sekerat jalan saja, cita-cita dan impian murni yang saya sandarkan untuk menjadi penyalin kepada kumpulan 'Tiga Abdul" tidak menjadi. Salahnya bukan Husam seratus peratus tetapi orang lain juga yang semacam cemburu kepada kelajuan Husam dan gagal pula untuk mengikut rentak Husam yang bergerak secara bersendirian yang seakan tidak lagi mahu menolek kepada kawan-kawan.

Ternyata penurun Husam tidak sia-sia. Dalam sekelip mata sahaja dia dapat menjana ekonomi dan meletakkan Kelantan sebagai negeri popular. Kerajaan Kelantan dalam suasana hidup dan menjadi sebutan. Berbagai idea dan karya ekonomi yang dibuatnya. Walaupun ada setengahnya tidak berjaya kerana pelaksanaanya tidak ikhlas dan kompeten, tetapi yang nyata Husam telah berjaya mencetuskan satu suasana baru di Kelantan. Dalam kata lain Husam ada penyembah semangat untuk anak-anak muda.

Sekiranya Husam tidak membuat kesilapan-kesilapan kecil (sama ada disedari atau tidak) yang akhirnya mencacatkan dirinya, tentu Husam hari ini sudah menjadi tokoh yang hebat berada di setiap hati rakyat. Dalam tilikan saya beliau bukan sahaja material untuk setakat menjadi timbalan presiden Pas, tetapi presiden juga. Saya pernah mengatakan kepadanya yang saya ketika itu sedang mencipta malam untuk bermimpikan dia jadi presiden.

Tanpa prejudis dan mahu bernostalgik kisah dan kelukaan-kelukaan lampau, langkah Husam itu perlu dialu-alukan. Dalam soal ini jangan meletakkan kehendak peribadi sebaliknya mengutamakan kepentingan diri dan kerajaan negeri. Semua orang harus memberi semangat baru kepadanya dan mudah-mudahan dengan adanya cocokan semangat Husam akan kembali kepada tempat selayaknya.

Bagi saya langkah diambil Husam itu sesuatu yang bijak dan tentu sudah difikir semasak-masakanya. Langkah itu bolehlah disifatkan Husam mahu memperbetulkan semula kesalahan dan akan cuba untuk bangkit sekali lagi dari bawah dengan penuh kewaspadaan dan tawaduk. Jadi apa salahnya kalau beliau diberi peluang untuk mahasabah diri, kerana tidak terkecuali siapa di antara kita semuanya ada kesilapan. Kesilapan itu pula harus dilupakan kalau sudah ada niat untuk memperbetulkannya. [wm.kl.8:35 am 25/05/11]

Tuesday, May 24, 2011

Pengumuman

Esok tunggu ulasan berhubung perubahan fikiran Husam Musa yang mengumumkan untuk bertanding merebut jawatan Naib Presiden Pas? Apakah rasional dan justifikasi yang dibuat oleh Exco berkenaan? Apakah dengan kemasukan beliau itu boleh menganggu dan mencabar kedudukan Sallahuddin dan Mahfuz yang kini dikira selesa. Atau pun dengan kemasukan Adun Salor ini ia akan menanggalkan peluang untuk calon-calin Naib Presiden lain? Atau Husam terpaksa membayar mahal dengan keputusan itu.

Esok akan dipostkan. Salam. MSO.

Susupan Petang

Bekas PM Juga Ada Video Lucah?

Prolog: Saya tidak mahu mempercayai berita ini tetapi saya paparkan juga untuk tatapan umum. Sama ada hendak percaya atau tidak walahu'am. Orang yang membuka cerita ini tidaklah sampai bersumpah laknat untuk mengesahkan apa yang didakwa diketahuinya.

Mungkin ada yang bertanya kenapa saya dedahkan ini kalau tidak yakin? Inilah saya nak tunjuk dan nyatakan bahawa permainan video lucah bagi memburukkan seseorang bukan saja terbatas kepada orang-orang desprate dan sudah putus asa dan putus urat perut, tetapi para vvip juga. Mereka juga cenderong kepada aktiviti mungkar ini, video lucah digunakan sebagai senjata ugutan.

Semuanya bermula apabila kami berbual fasal politik dan terkait dengan video lucah membabitkan Anwar. Dia bertanya kepada saya, apakah sudah tenguk atau belum. Saya jawab tidak tenguk, alasannya mudah saja, kalau saya tenguk saya akan menjelaskan sama ada ia benar atau tidak.

Bila saya tidak tenguk saya berada dalam konfius, sama ada hendak percaya atau tidak. Saya bukan macam Tok Guru Nik Aziz mengatakan tidak walaupun tidak tengok. Saya faham kenapa beliau mengambil sikap begitu kerana tidak harus baginya untuk melihat maksiat dan juga menghebuhkannya. Bila beliau kata ia fitnah dan orang fitnah tidak akan bau syurga itu adalah kaedahnya. Iya usahkan nak tengok video lucah naka tengok 'burung didik' sendiri pun malu dan makruh.

Di sinilah bermula dengan kisah macam mana bekas PM juga ada video lucah. Ceritanya dia pergi ke pejabat bekas PM berkenaan, saja borak-borak. Memang dia selalu diajak oleh bekas PM berkenaan untuk berbual kosong. Kebetulan dia sudah pergi dan dia bertanya mengenai sesuatu yang diberi tahu kepadanya, iaini mengenai video lucah.

"Mana gambar tu saya nak tenguk?' kata dia kepada bekas PM itu tiba-tiba.
"Gambar apa!" kata bekas PM itu berhelah dan terkejut.
"Ala you jangan nak sembunyilah, I tahu you ada.."katanya.
"Tak adalah..." kata bekas PM itu.

Menurut orang itu muka bekas PM itu berubah. "Saya tahu dia berbohong kerana tengok mukanya pun saya nampak dia berbohong," katanya.

Gambar itu dia tidak terima dan bekas PM itu tidak beri kepadanya. Macam mana dia boleh tahu gambar itu ada dengan bekas PM itu apabila bodyguard bekas PM itu memberi tahunya.

Ceritanya bodyguard bekas PM itu telah dihantar khas ke bekas PM itu untuk mengambil (intip) gambar bekas PM berkenaan. Dia pergi bersama dengan bodyguard bekas PM itu juga. Ertinya misi ini menggunakan bodyguard sama bodyguard.

"You tahu gambar ini lebih lucah dari yang dikatakan video kucah membabitkan Anwar," katanya sambil tergelak kuat.

Saya hanya diam membisu. Dalam hati sama banyak hendak percaya atau tidak. Tetapi melihat kepada kesungguhan dia bercerita mungkin ada asasnya. Apa yang dapat disimpulkan di sini bahawa kerja-kerja sebar atau memilik video lucah ini adalah perkara biasa digunakan untuk mengukuhkan kedudukan dan kuasa, bukan saja dikalangan haprak dan wanita longkang tetapi vvip juga. Cis! [ttdi.kl 5:30 pm 24/05/11]

Monday, May 23, 2011

Pandangan Dari KL

Tiga Tokoh Ini Rasanya Layak Jadi Senator

SELEPAS saya postingkan catatan bertajuk siapa “Siapa dipilih jadi Senator Kelantan” dua tiga orang penjenguk bertanya kepada saya, siapakah gerangan mereka. Ada juga yang berani menelefon untuk mengetahuinya. Saya kata, saya tidak tahu, tapi mereka paksa juga, sambil beranggapan saya sudah tahu nama bakal senator berkenaan.

Memang saya tidak tahu cuma apa yang didengari Pas Kelantan sedang mengenal pasti beberapa nama baru untuk dilantik jadi senator sebab salah seorang senator lantikan kerajaan Kelantan sudah tidak akan disambung lagi. Manakala seorang lagi senator masih belum tamat tempoh penggalnya.

Saya juga tidak tahu kalau sudah ada mereka yang melobi untuk mendapatkan jawatan itu. Katanya sudah ada yang sering bertanya ke mana Tok Guru sembahyang untuk diekorinya. Saya tidak fikir kalau ada sanggup berbuat demikian kerana untuk dipilih jadi senator.

Sehubungan itu saya cuba merisik apakah sudah ada calonnya. Dan kalau ada apakah ianya sesuai atau sebaliknya. Saya sebagai rakyat Kelantan sangat mengharap mereka yang dilantik menjadi Ahli Dewan Negara nanti biarlah orang yang benar-benar ingin berkhidmat kepada rakyat dan bukan menjadikannya jawatan itu sebagai batu loncatan saja. Itu merugikan masa dan rakyat Kelantan.

Jadi apabila saya ditanya pandangan peribadi mengena kriteria calon, maka saya terpaksa menyuluh ke Kelantan melihat tokoh-tokoh yang berwibawa dan munasabah untuk dilantik menjadi senator.

Ada beberapa nama yang tersaul dek akal. Mereka ini bukan usahawan atau bangsawan, tetapi mereka yang setia dan banyak berkorban kepada parti. Mereka juga setia dan wala' kepada pemimpin dalam keadaan apa juga. Mereka juga telah teruji, ikhlas dan tidak mudah merajuk apabila sesuatu tidak diberikan kepada mereka.

Sebenarnya orang-orang seperti inilah patut dipilih dan dinilai untuk menjadi senator. Kalau perlantikan senator itu sebagai membalaskan jasa mereka kepada parti, orang inilah juga gerangannya. Mereka ini bukan baru dalam parti dan sudah lama berjuang untuk parti dan memikul amanah parti dengan penuh istiqamah.

Begitu juga ketaatan mereka kepada pemimpin juga tidak boleh dinafikan. Dari segi kebolehan dan profesional tidak terkalah kalau dibandingkan dengan senator jantan yang sudah tamat tempoh penggal pertama itu.

Tokoh yang saya maksud itu ialah Dr Izani Husin dari Pengkala Chepa Kelantan. Beliau merupakan ahli jawatankuasa Pas kawasan itu. Pernah dilantik menjadi Bendari Pas Kelantan. Sekurang-kurang dua kali disebut akan diletak bertanding di salah satu kerusi Dun di Pengkalan Chepa tetapi tidak pernah menjadi kenyataan.

Beliau juga pernah disebut untuk dilantik menjadi Pengurus PKINK dan juga Pengurus Eksekutif PMBK untuk mengganti tempat Ariffahami Abdul Rahaman. Tetapi kedua-dua itu tidak menjadi. Bagaimana pun Dr Izani tidak pernah kecewa dengan apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai takdir.

Secara peribadi beliau banyak membantu Tok Guru bila MB itu di dalam kesusahan. Beliaulah yang berdiri di belakang membela Tok Guru tatakala MB itu berserabut. Bagaimana pun peranan ini tidak pernah diketahui umum kecuali Tok Guru sendiri.

Seorang lagi ialah Dr Zulkefli Mohamad bekas Ketua Pas Kawasan Gua Musang. Sudah tiga kali bertanding dalam pilihan raya, namun semuanya kalah. Terbaru beliau diletak menjadi calon Pas pilihan raya kecil Galas, Gua Musang.

Zulkefli tidak pernah kecewa dan tidak pernah kata ‘heh..’ kepada parti yang memberi tanggungjawab untuk menentang Tengku Razaleigh. Beliau juga dikenali sebagai aktivis parti yang ulet dan rajin. Semasa menjadi ketua Pas kawasan Gua Musang beliau tidak pernah mis menghadiri mesyuarat badan perhubungan Pas di Kota Bharu. Kerajinan dan keikhlasan inilah kalau Pas ingin membalas jasa-jasanya dengan melantik senator. Perlantikan itu juga akan menjadi cenderamata untuknya walaupun ia bukan atas permintaannya.

Kalau Dr Zulkefli dilantik menjadi senator juga ia merupakan sejarah buat Pas kerana itulah ahli Pas Gua Musang yang pertama kali dilantik menjadi senator. Sebelum ini perlantikan senator berkisar kepada ahli-ahli parti di sekitar Kota Bharu sahaja.

Dalam pada itu ada seorang lagi tokoh yang gigih dan tabah dalam perjuangan. Beliau tidak pernah teralat dengan apa yang dialaminya. Tidak pernah menuangkan aktviti parti. Tokoh dimaksudkan itu ialah bekas Ahli Parlimen Jeli, Mohd Apandi Mohamad.

Selama tujuh tahun beliau terpaksa naik turun ke mahkamah atas tuduhan rasuah semasa menjadi ahli parlimen. Beliau hadapinya dengan bersendirian dan keluarganya. Tuduhan berupa fitnah yang dilemparkan kepadanya itu bukan kecil tetapi amat besar menimpa jiwanya. Calang-calang orang mempunyai daya dalaman seperti beliau. Pun begitu ia sedikit pun tidak menjejaskan semangat perjuangannya.

Walaupun Apandi boleh mencari jalan untuk menyelesaikan kesnya dengan tidak menentang Mustapa Mohamed di Jeli, tetapi beliau tidak berbuat begitu. Pernah terdengar ada tawaran secara lisan dibuat kepadanya agar kes itu diselesaikan. Namun beliau tidak pernah menerima. Mustapa dihadapinya juga dengan keyakinan Mustapa bukan saja musuh politiknya di Jeli tetapi musuh Pas.

Selama berdepan dengan risiko itu beliau menangis sendiri. Beliau tidak pernah merenget dan merintih apa lagi cuba menyalahkan parti. Setiap kali ke mahkamah untuk menghadapi perbicaraan beliau tidak pernah pun diiringi oleh penyokong Pas usahkan ribuan, belasan pun tidak. Kalau yang senantiasa menamaninya ialah para pemimpin dan ahli Pas Jeli saja. Tetapi itu bukan alasan Apandi untuk dia merasa kesal dan kecewa. Atas kesedaran menhaj perjuangan ditanggungnya risiko itu bersendirian penuh sabar.

Alhamdulih akhir kebenaran menjelama juga. Beberapa bulan lalu Apandi dibebaskan dari tuduhan yang cukup memakan hati dan jiwanya itu. Hari ini Apandi bersih sebersih bayi atas tuduhan itu dan semangat juangnya makin berkorbar-kobar.

Keistimewaan Apandi bukan itu saja. Dia juga dikenali sebagai dermawan di kalangan parti Pas. Selain itu dia juga seorang komited dan beriltizam. Peluang menjadi ahli Parlimen selama sepenggal 1999 – 2008 membuktikan bahawa Apandi seorang pembahas yang baik dan lantang di dewan rakyat yang setanding dengan Husam Musa, Ibrahim Ali dan lain-lain.

Kalau Pas mengenangkan jasa Apandi maka nama beliau tidak seharusnya tercicir dalam pemilihan untuk dilantik menjadi senator. Berbanding dengan dua nama tadi Apandi lebih berkelayakan kerana beliau sudah ada pengalaman. Lainlah kalau Apandi tidak berminat menjadi senator tetapi lebih suka menjadi ahli Parlimen.

Selain daripada tiga tokoh berkenaan saya tidak nampak ada lagi tokoh lain yang berwibawa. Kalau pun ada dan terliur untuk menjadi senator adalah mereka yang tidak cukup inci, kurang daripada 5 kaki 2 inci yang ilmu politiknya sebanyak darah nyamuk saja. Apakah salah seorang daripa mereka calonnya? Walahu’alam. [wm.kl.8:10 pm 23/05/05]