Kelewatan Projek Tempel Jambatan Sultan Yahaya
Perlu Laporan 'Hitam Putih'
DUA tiga hari lepas BN Kelantan telah mengadakan konvensyen tahunannya. Dalam konvensyen itu dibuat beberapa resolusi. Salah satu resolusinya ialah meminta kerajaan Kelantan membuat laporan 'hitam putih' mengenai projek Ladang Rakyat. Setopa anak Setawa (SS) telah membuat kenyataan mengenai resolusi berkenaan.
Menurut SS laporan itu perlu kerana timbul berbagai masalah dan tanda tanya di sebalik projek berkenaan. Beliau meminta kerajaan menjelaskan berapa perolehan hasil hutan, syarikat mana terbabit dalam mengendali projek berkenaan dan sebagainya.
Kelmarin SS sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MPTN) telah membuat lawatan ke projek tempel (tambahan) jambatan Sultan Yahaya Petra yang menghubungkan Kota Bharu dengan Wakaf Baru. Projek itu dimulakan pada tahun 2009 tetapi masih belum siap sampai ke hari ini. Katanya kerja menyiapkan sudah ke tahap 63 peratus.
Kelewatan projek itu menyusahkan para pengguna jambatan berkenaan. Kelewatan juga menyebabkan kos bertambah. Saya tidak tahu mungkin sudah ada yang termuntah kerana terpaksa berhinjut-hinjut kenderaan di jambatan berkenan terutama waktu pagi dan petang masa pergi dan balik kerja.
SS menjelaskan kelewatan itu disebabkan masalah teknikal. Antaranya kata SS ialah masalah pengambilan tanah, pemasangan paip air dan paip Tenaga Nasional dan juga masalah ketinggian tiang yang dipacak dalam sungai tidak mencukupi. Tidak ukur dulu ke?
Kalau dilihat kepada masalah teknikal disebut SS itu jelas ianya adalah kesilapan pihak yang mengendalikan projek berkenaan. Kenapa pihak JKR atau mana-mana agensi yang mengawasinya tidak mendalami kerja-kerja berkenaan. Apakah semasa menyerahkan plan ianya tidak diteliti dan disemak terlebih dahulu? Atau ia pakai beri begitu sahaja? Apakah prosuder biasa tidak dituruti? Atau pun projek itu ada keistimewaan-keistimewaan tersendiri?
Ada terdengar bahawa projek itu pakai beri saja atau dalam erti kata lain projek itu diberi secara runding terus. Kontrektor yang mendapat projek itu adalah kontrektor kroni, Umno. Apakah kerana ada sesuatu kepentingan projek itu diberi tanpa mengikut prosuder biasa? Kalau ini berlaku maka tidak hairanlah kalau berlaku masalah teknikal termasuk soal tiang pendek itu atau semin tak cukup.
Nampaknya begitulah. Soal teknikal disebut SS itu ada kena mengena dengan kesongsangan projek berkenaan diuruskan. Ada juga cerita mengatakan projek itu telah dijual awal-awal lagi. Kontrektor asal sudah pun sapu tangan dan kekenyangan di bilik hawa dingin. Kontrektor asalnya sudah lama bergedik kaki.
Penjualan projek itu katanya berlaku sebaik saja surat hasrat diberikan. Ertinya kesalahan teknikal berlaku awal-awal lagi. Apakah begini caranya UBN membahagikan projek?
Memandang projek berkenaan ada masalah, maka eloklah kalau laporan hitam putih dikeluarkan berhubung projek berkenaan. Orang ramai ingin tahu secara terpeinci kenapakah ianya lewat. Kata SS projek tempelan itu akan siap tahun depan. Harga projek itu kini seperti mana disebut SS ialah RM159 juta. Apakah boleh diberi jaminan ia akan siap tahun depan? Kalau ia tidak juga siap pasti kosnya akan bertambah lagi.
Jumlah asal juga sudah dinaikkan. Sebelum ini harganya tidak sampai ke tahap itu, tetapi setelah berlaku penjualan maka harganya dinaikan. Jadi pendedahan laporan hitam putih diperlukan untuk melihat sejauh mana projek itu diuruskan. Di sini orang menuntut SS mendedahkannya untuk menilai sejauh mana ketelusan dan juga integriti yang ada kepadanya.
Selama ini orang menganggap SS bersih, tegas, tidak korup dan seorang menteri yang begitu detail dalam membuat sesuatu perkara. Atas kapasiti itu maka kita minta beliau tunjukkan integriti beliau mengenai pembinaan projek tempel jambatan itu. Saya percaya kalau SS menyembunyikan fakta-fakta mengenai pembinaan itu, siapa pemilik projek itu kepada siapa dijual dan berapa nilainya, akan ada pihak-pihak di luar sana akan memberi butirannya secara tidak bertanggungjawab. Kalau semua 'jabil' dokumen itu keluar ia akan memalukan.
Jadi sebelum jabil projek tempelen itu dibuka elok SS mengambil tanggungjawab menyediakan laporan hitam putih mengenainya.
Selain itu (ini yang sedapnya..) ada juga cerita mengatakan berlaku tumbuk rusuk oleh pihak tertentu untuk melindungi masalah pembinaan jambatan berkenaan. Seorang ahli Parlimen dikatakan menerima sejumlah wang daripada seorang kontrektor berhubung projek berkenaan. Ahli Parlimen berkenaan diberi ganjaran supaya tidak membongkarkan masalah dan penyelewengan projek berkenaan.
Kalaulah orang yang tidak ada kena mengena secara langsung dengan projek berkenaan sudah terlibat dengan tumbuk rusuk, mungkin mereka yang berada di dalam projek berkenaan turut mengalami hal sama. Tumbukan yang mungkin berlaku bukan rusuk lagi, tetapi perut.
Apa pun sesuai dengan hasrat Setopa anak lelaki Setawa yang meminta kerajaan Kelantan menyediakan laporan hitam putih berhubung Ladang Rakyat, maka wajarlah kalau pihak UBN khasnya SS sendiri sebagai pengerusi MTPN juga menyediakan laporan hitam putih mengenai perjalanan projek tempelan jambatan Sultan Yahaya Petra itu dan juga projek-projek lain yang dikenadalikan UBN yang menimbulkan tanda tanya umum.
Kepada mereka yang ada maklumat lebih mengenai projek tempelan jambatan Sultan Yahaya Petra itu bolehlah berkongsi maklumat dan serahkan kepada SS. [wm.kl.7:12 am 04/05/11]
No comments:
Post a Comment