Tuesday, April 15, 2025

"Saya sudah berjanji, saya tidak boleh mungkir janji..." Pak Lah


BELASUNGKAWA 


Allahyarham Pak Lah.
SAYA tidak banyak moment dengan Pak Lah, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Bagaimana beliau antara sosok yang menjadi subjek penulisan dalam buku-buku politik saya awal tahun 1990-an. Pak Lah menjadi perhatian dan sorotan saya, apabila membicarakan soal pemimpin masa depan kerana beberapa hal yang lekat pada dirinya. 

Saya mula menyorot kepimpinan Pak Lah dalam buku: Antara Dollah, Anwar dan Sanusi Tuhan Pilih Siapa? (1992). Tiga nama ini adalah seangkatan dan menjadi pemimpin pelapis dikira layak dan pantas untuk mengambil alih tempat Dr Mahathir Mohamad selepas Tengku Razaleigh, Ghazali Shafei dan Musa Hitam tidak lagi relevan. 


Dalam buku itu saya memberi kredit besar untuk Pak Lah, dan maramalkan beliau akan jadi akan dipilih Tuhan.


Ramai juga yang judis dan merasakan mustahil memandangkan populariti Anwar Ibrahim mengatasi dan menjunjung langit kuasa politik Umno ketika itu.


Pesaing sebenar Pak Lah, adalah dengan rakan senegerinya Anwar Ibrahim. Anwar yang lebih dilihat menjadi perhatuan dan anak emas Dr Mahathir. Anwar menyertai Umno dengan hamparan karpet merah. Apa lagi tahun 1987 Pak Lah buat sedikit kekhilafan tidak bersama Mahathir dalam team A, sebaliknya bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain pemimpin dalam team B.


Pendirian Pak Lah itu menyebabkan beliau dipecat oleh Mahathir dari kabinet kandatipun Pak Lah merupakan seorang naib presiden bersama Anwar dan Sanusi. Untuk beberapa ketika beliau berada di luar kerajaan yang disifatkan beliau mengambil cuti tanpa gaji. Meskipun begitu Pak Lah utuh setia dengan Umno tidak menyertai Semangat 46.


Berkat kesabaran, tuah seperti datang menggolek kepada Pak Lah apabila tercetus pergolakan di antara Mahathir dengan Anwar tahun 1998, apabila Mahathir memecat Anwar daripada Umno dan jawatan kerajaan. 

Ledakan bom reformasi digerakan penyokong Anwar menganggu ketenteraman Mahathir menyebabkan Mahathir mencari pelindung dan penyelamat. Saat ini beliau teringat kepada Pak Lah lalu membawa Pak Lah masuk semula ke dalam kaabah politiknya, dengan melantikan Pak Lah sebagai timbalan perdana menteri, 1999. Secara tidak langsung boleh dimengertikan Pak Lah menyelamat Mahathir dari dikaramkan oleh arus Anwar.


Pak Lah seorang tokoh politik, pemimpin yang semua orang kenal, bersifat sedarhana dan tercermin dengan akhlak yang baik. Pak Lah dikenali orang baik. Sebagai cucu kepada Abdullah Fahim, individu yang bertanggungjawab menetapkan tarikh kemerdekaan negara 31 Ogos 1957. Pak Lah sangat menjaga susila baik keturunan, sebab itu dalam politik Pak Lah menjaga mulut dan lidahnya, bahasanya tidak pernah kotor.


Kelebihan Pak Lah bukan kepada pidato berapi api penuh retorik dan slogan, tetapi kepada patah patah ucapannya yang lemah lembut dan tawaduk.


Saya ada pengalaman dalam hal ini, macam mana beliau menafikan sangkaan saya kepadanya yang berdendam dengan Anwar kerana pernah berlaku sesuatu peristiwa di antara keduanya seperti mana diceritanya sendiri. 


Apabila sangkaan itu sampai kepadanya, beliau mengatakan dia tidak pernah marah dan berdendam dengan Anwar, ktanya; "itu budak itu (saya) yang kata."  Begitulah peribadi Pak Lah dan ini disahkan dengan satu peristiwa apabila beliau secara terbuka memaafkan Mahiaddin Yassin dalam ucapan penangguhan di PAU. "Mahiaddin Pak Lah maafkan kamu," katanya. 


Kata kata dan pengakuan Pak Lah itu boleh dibenarkan, kerana selepas beliau jadi PM, Anwar berhadapan dengan tribulasi perjuangan yang menyakit dan melelahkan, namun beliau sedikit pun tidak menggunakan kedudukannya sebagai PM untuk menyakiti Anwar. Hal ini diakui sendiri oleh Anwar dalam catatan rengkasnya semalam;


"Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah pribadi Pak Lah yang senantiasa memilih damai meski mudah untuk mambalas." 


Dan dalam satu perbicaraan saya tentang Anwar bersamanya, Pak Lah menyifatkan Anwar sebagai adik adiknya, "buat apa bergaduh dengan adik beradik," ujarnya.


Banyak contoh dan peristiwa Pak Lah kekal dengan kesedarhaan politiknya dan memakai pakaian sifat sabar dan istiqamah. Apabila Tengku Razaleigh tubuh Semangat 46, beliau tidak bersama sedangkan beliau adalah salah seorang dalam team B. 


Apabila dipecat dari kabinet beliau tawakus mendiamkan diri tanpa bertindak melakukan serangan balas. Untuk meneruskan hubungan dengan para penyokongnya, beliau membuka pejabat sendiri di bangunan KWSA di Jalan Raja Laut. Ketika ini saya kerap ke pejabatnya dan memberi secara percuma buku buku yang saya tulis mana mana ada subjek mengenainya.


Masa dipecat dari kabinet adalah masa peralihan yang serit dan sepi buat Pak Lah. Beliau hidup seperti orang biasa, tidak ramai berkawan dan mendekatinya. Pernah dalam satu majlis di DBP  beliau bersendirian berada di barisan belakang tanpa diberi apa-apa fasalitis oleh penganjuran meskipun beliau bekas menteri dan masih naib presiden Umno. 


Ternyata kesabaran dan istiqamahnya dengan parti, membawa berkat kepadanya, akhir beliau diajak ke pangkuan Umno dengan peranan besar. Peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim daripada Umno membawa tuah kepadanya bila dilantik menjadi Timbalan Perdana  Menteri. 


Bintang politik Pak Lah terus bersinar, selepas menjadi PM apabila Mahathir berundur. Pilihan raya 2004 adalah kejayaan besar buat UBN dan paling manis kepada Pak Lah. Rakan-rakan yang sebelum ini menjauhi kembali semula mengerumuinya, itulah lumrah. 


Pak Lah seorang yang tidak mahu dan tahu bergaduh dengan sesiapa, berbaik dengan semua orang. Tidak reti mencaci maki orang. Semasa menjadi PM, suasana politik orang Melayu terutama pergeseran Pas dengan Umno tenang dan damai. Usaha menyatukan Melayu dengan mewujudkan Perpaduan Melayu secara global dilakukan dizamannya. Namun sayang ada sedikit kekangan menyebabkan ia gagal walaupun cuba diteruskan Najib Razak. 


Apapun bagi saya, paling terkesan dan nostalgik ialah semasa beliau jadi PM, Anwar Ibrahim yang dipenjara pada zaman regim Mahathir dibebaskan oleh mahkamah. Walaupun ketentuan itu tanpa campur tangan langsung Pak Lah dalam perundangan, tetapi pembebasan Anwar, berlaku diera Pak Lah.


Selain itu Pak Lah juga seorang berpegang kepada janji. Beliau tidak akan mungkir apa yang dilafazkan. Misalnya beliau telah berjanji untuk melepaskan jawatan kepada Najib Razak (2009) sebagai PM. Disebabkan ada keraguan dan kebimbangan terhadap kemampuan Najib, disamping untuk membuka peluang kepada Anwar, ada permintaan agar beliau menarik balik janji itu. Tetapi beliau tetap dengan janjinya.


Semasa pertemuan eksklusif Pak Lah dengan Anwar di Hulu Kangat yang diaturkan pihak sebuah madrasah di sana, dicelah celah keramaian saya sempat berbicara dengan Pak Lah. Saya minta beliau batalkan janji untuk berikan laluan kepada Najib dan hendaklah terus memegang jawatan. Sebelum itu saya juga ada mengutuskan surat kepadanya menerusi Setiausaha Politiknya Ramzi Abdul Rahman. 


Tetapi apa kata Pak Lah, "saya sudah berjanji dengan Najib, saya tidak boleh mungkiri. Bersambung. [wm.kl.11:20 am 15/04/2025]


Sunday, April 6, 2025

Fitnah senjata tertua didunia

RENUNGAN


"Fitnah itu lebih tajam daripada mata pedang".

Fitnah merupakan salah satu perbuatan bertindak menjadi senjata untuk menjatuh ataupun mengkhianati seseorang atau sesebuah kuasa.  Senjata ini dikira tertua dan paling zalim dan berkesan. Natijah dari perbuatan ini ia sangat hina, jauh lebih hina daripada persundalan atau pengelandangan.


Kelanjutan perbuatan itu sampai ke hari ini penggunaanya. Ia tidak dapat dicegah atau dihalang mungkin membawa sampai ke kiamat selagi ada manusia tidak berhati perut, tidak punya akal budi dan mempercayainya ia relevan. Apakah sesudah mati nanti baru perbuatan atau senjata ampuh ini akan hilang?


Perbuatan ini terkhusus dilakukan oleh makhluk bernama manusia saja, kerana makhluk lain seperti haiwan, tumbuh tumbuhan, bukit bukau, gunung ganang, sungai dan lautan tidak dapat berbuat fitnah atau menggunakan senjata itu untuk meneruskan survive.


Dalam  negara ini, senjata fitnah ini digunakan sejak beratus tahun lalu, khasnya dalam zaman awal tamadun lagi. Jatuh atau tumbangnya kerajaan Melaka sehingga kegemilangannya ghaib adalah gara gara fitnah. Akibat fitnah berlaku perbalahan dan peperangan, bunuh membunuh sesama sendiri akhir meruntuhkan empayar Melayu.


Dalam kehidupan di dunia moden hari ini, fitnah turut menyuburkan dunia seperti titik hujan dimusim tengkujuh. Alat ini semakin laku. Dengan adanya kemudahan teknologi maklumat (IT) hari ini seperti internet dengan pelbagai aplikasi, fitnah menjadi makin hebat dan tidak terkawal lagi. Sesiapa pun tanpa memiliki ilmu tinggi atau kepakaran mampu menggunanya asalkan ada sedikit rasa tidak malu, tahu dosa dan pahala dan punya kebodohan, tidak matang tamadun dapat melakukan fitnah dengan mudah. Senjata fitnah boleh dilancar dari jauh oleh sang hipokrit. ia terjual persis mercun dan bunga api menjelang raya.


Hari ini fitnah semacam makanan atau air yang punyai perisa yang lazat yang menyegarkan. Dalam medsos, di semua platform penuh dan bertebaran dengan fitnah. Ia bergerak seperti siang dan malam, atau berputar bagaikan galaksi atau planet seperti matahari dan bumi. Pergerakkan secara istiqamah tidak terhenti walaupun sedikit. Hanya kita merasakan ia statik, sebenarnya tidak, ia tetap bergerak. Begitulah fitnah memakan kehidupan kita seharian bagaikan membiaknya sel kanser.


Dalam politik moden negara ini, kalau boleh dicatat fitnah bermula di era Dr Mahathir Mohamad, apabila beliau menjadikan fitnah sebagai senjata ampuh apabila terdesak untuk menghalang sekaligus menghancurnya Anwar Ibrahim yang dirasakan menjadi ancaman dan penghalang kediktatorannya.  


Fitnah itu dilancar dengan satu konspirasi terancang peringkat tertinggi. Anwar difitnah dengan seribu kebejatan dan kehinaan, perasuah, menjadi agen Yahudi, skandal dan paling terkutuk melakukan liwat. 


Walaupun sebelum ini sudah diguna senjata ini terutama dalam politik di Kelantan tahun 1960an tetapi ia tidak sedahsyat sewaktu digunakan untuk menghancurkan Anwar.


Di Kelantan dulu Allahyarham Mohd Asri Muda difitnah jual balak dan punya kekayaan di Indonesia. Ia setakat itu sahaja, tidak ada fitnah mengenai skandal sexsual. Sebaliknya apa yang dilakukan ke atas Anwar lebih dari itu. Beliau dituduh seorang sodomi, melanggan pelacur berbagai bangsa dan sebagainya.


Fitnah ke atas Anwar merupakan ibu kepada fitnah dalam konteks politik di Malaysia. Fitnah terhadap Anwar dari satu sisi lebih besar dan hebat dari fitnah yang dilakukan ke atas penguasa dan kerajaan Melayu Melaka dahulu. Fitnah itulah yang membiak hari ini. Fitnah itulah menjadi kepala air. Cuba selidik suasana politik negara ini bila ia berkucah. Bukankah diera Dr Mahathir?


Penyebaran fitnah di zaman Mahathir sangat dahsyat, bagaikan seperti ribut taufan dan tsunami. Ia dilancarkan bagaikan peluncuran kapal angkasa, menggegarkan seluruh negara dan dunia. Semua media dunia melaporkan berita fitnah tersebut.  Fitnah kepada Anwar menjadi butir zikir waktu itu. Ia bukan sahaja tersebar di lorong-lorong sepi, tetapi ikut dianginkan ke dalam surau dan masjid. Buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM turut menjadi bahan kuliyyah beberapa orang Imam. 


Kerana fitnah itu negara bergolak apabila Anwar bersama rakyat yang benci perbuatan itu bangkit melawannya. Hunjaman fitnah ke atasnya ditepis dan beliau sesekali tidak mengaku kalah. "Benar tetap benar, lawan tetap lawan", menjadi tagline jihadnya sehinggalah kebenaran itu berada dipihaknya. Namun benih dan semangat fitnah tidak mudah lupus ia terus menjalar digunak pakai sebagai senjata wajib dalam politik merebut kuasa hingga ke saat ini. Fitnah itu menjadi inspirator kepada orang orang selepas itu, yang dapat dikesan hari ini.


Apa yang berlaku hari ini, fitnah bermaharajalela bermula dari pemulaan dilakukan Mahathir itu. Ia kian subur dan membiak dengan bantuan pelbagai peranti hari ini.


Tengoklah hari ini fitnah menjadi senjata semua orang tidak kira kecil atau besar. Ia dibidik oleh orang di bandar dan di kampung. Oleh orang cerdik atau separuh cerdik.  Orang yang tahu hukum hakam dalam agama dan natijah fitnah juga ikut sama memikul dan mengandar senjata fitnah dengan jari sedia dipincu. Senjata fitnah ini akan memakan sesiapa sahaja dihadapan tanpa mengira bangsa.


Justeru saking hebatnya penggunaan senjata fitnah ini pihak berkuasa perlu mengambil langkah tegas dan menyeluruh membasminya. Ia tidak boleh dilihat sebagai suatu budaya baru kerana ia merosakan seluruh rangka dan struktur negara nanti. 


Jika perlu digubal suatu undang undang pencegahannya, guballah tanpa menunggu sebelum ia melarat. Undang undang sedia ada, seperti undang sivil, (sedition act) akta hasutan, SOSMA dan sebebagainya nampaknya tidak memberi bekas kepada pemikul senjata finah ini. Melalui undang undang dan akta yang sedia ada sedikit pun tidak menggerunkan mereka.


Dalam masa sama para agamawan khasnya para Mufti perlu memainkan peranan aktif memberi nasihat dan juga menceritakan akan bahaya fitnah ini, seperti mana yang sering mereka ungkapkan, "fitnah itu lebih bahaya daripada pedang".  [kl. wm. 5:35 pm 06/04/2025]

Tuesday, March 25, 2025

Lawak bodoh Hamzah Zainuddin

ULASAN LEWAT 
 
TIBA TIBA sahaja timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainuddin buat lawak bodoh dalam podcast Keluar Sekejap (KS) bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan yang Bersatu boleh bekerja dengan Umno demi untuk negara dan bangsa Melayu. 
 
Katanya Bersatu dan Umno punyai matlamat dan tujuan perjuangan sama, kenapa tidak boleh bersatu.
 
Bagi setengah orang mendengar lawak itu perkara biasa. Tetapi jauh di lubuk hati orang menyuarakannya, ia ada maksud tersendiri. Ada sebab musabab kenapa dia sampai mengeluarkan lawak bodoh demikian.
 
Sebenarnya lawak itu bukan sembarangan, ada motif yang lebih bermakna dari itu. Jika tidak ada sesuatu yang mendesak lawak seperti itu tidak diadakan, masakan ia keluar, kerana didengari ramai dan boleh memberi tafsiran Bersatu kini dalam kepenatan. 
 
Secara psikologis sesuatu yang sedang bermain di minda seseorang ia akan tersebut di mulut tanpa disedari. Hati berdetap mulut tersebut. Itulah yang berlaku kepada Hamzah.
 
Yang menjadi persoalan dengan lawak itu, kalau Bersatu benar-benar kuat, betul sebuah parti diminati ramai seperti didakwa, kononnya orang sentiasa memintanya ambil alih kerajaan, untuk apa perlu bergantung harap dan mahu menumpang kasih dengan Umno. Dia boleh bersendirian tanpa mengharap tali hayat. Bukankah antara matlamat dan nawaitu penubuhan Bersatu dulu kerana hendak bunuh Umno?
 
Tetapi apabila Hamzah tidak dapat sembunyikan apa yang berlaku, maka terkeluarlah lawak berkenaan yang memberi faham kepada umum yang kedudukan Bersatu khasnya, dan amnya Perikatan Nasional (PN) dewasa ini dalam kepenatan dan kepanasan. 
 
Bagi saya, saya tidak melihatnya sebagai lawak, tetapi itu sesuatu yang diperlukan oleh Bersatu. Bahawa Bersatu waktu ini sedang mencari tali hayat atau partner baru selepas ia melihat apa yang berjalan sekarang (PN) hubungan dengan Pas tidak seutuh mula-mula dahulu. Semacam ikatan Bersatu bersama Pas dalam PN sedikit terburai.
 
Apa digeruni Hamzah (Bersatu) Pas akan meninggalkan mereka bila-bila masa sahaja. Perkembangan Pas terutamanya ditunjukkan pimpinan mereka di negeri-negeri dikuasai Pas sangat merisaukan Bersatu. Hubungan baik MB Kelantan Nassaruddin Daud, Sanusi Mohd Nor Kedah dan Samsuri Mokhtar Terengganu dengan PM Anwar Ibrahim tidak disenangi dan dibimbangi Bersatu. Kemesraan mereka bertiga itu dengan Anwar lain macam sahaja. Terbaru Anwar mengumumkan peruntukan untuk bayar bonus raya kepada 14,000 kaki tangan kerajaan Terengganu. 
 
Walaupun ketiga MB itu terpaksa merai Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mendapat peruntukan, tetapi kelakuan mereka agak menjolok mata buat mereka. Kurangnya kenyataan dan sindiran sinis daripada MB-MB itu amat ,mencurigaikan Hamzah dan Bersatu.
 
Selain itu beberapa kejadian dalam kedua-dua parti itu sekarang ini juga dikira menjadi faktor hubungan tidak seerat dahulu. Setelah menyedari itu menyebabkan Bersatu perlu bertindak mencari rakan baharu untuk survive dalam pilihan raya akan datang hatta walaupun kena menjilat ludah untuk bersama Umno.
 
Bersatu, atau Hamzah seperti sudah dapat menghidu nasib diri tidak berapa lama Pas akan meninggalkan Bersatu begitu sahaja. Banyak pertunjuk dan perkembangan muasiri ini yang kebimbangan itu akan menjadi realiti.
 
Pertelingkahan dalam melantik Setiausaha Agung PN, selepas ditinggalkan Hamzah adalah puncanya. Katanya Pas tidak senang dengan pelantikan Azmin Ali sebnagai Setiausaha Agung. Presidenn Pas Abdul Hadi Awang kecewa dengan kejadian itu yng merasakan Pas dijadikan tikus putih mainan kucing hitam oleh Bersatu.

Mahiaddin dituduh memungkir janji dengan Pas kerana tidak memberi jawatan itu kepada Pas. Pas telah mencadangkan nama Samsuri Mokhtar untuk dilantik sebagai Setiausaha Agung apabila Hamzah meninggalkan jawatan itu.

Sebalik apa yang berlaku Mahiaddin umumkan nama Azmin semasa mesyuarat penuh PN. Sebelum mesyuarat khabarnya Hadi dan beberapa pemimpin lain berjumpa dengan Mahiaddin dan bersetuju untuk melantik Samsuri sebagai Setiausaha Agung. Tetapi keadaan berubah apabila dalam mesyuarat Mahiaddin mengumumkan senarai lantikan pimpinan PN yang sudah tersedia di atas mejanya, dan nama Samsuri diganti dengan nama Azmin.

Kejadian itu sangat mengecewakan Hadi dan Pas sampai Samsuri yang memegang jawatan Bendahari PN telah diarah melepaskan jawatan berkenaan untuk memberi signal buat Mahiaddin.

Itulah antara punca ketegangan hubungan Pas dengan Bersatu menyebabkan rasa hormat dan kepercayaan kepada Mahiaddin dan Bersatu makin terhakis. Sebelum ini Pas sudah terkena dengan Mahiaddin yang mendakwa PN sudah cukup JEMELOH untuk tubuh kerajaan. Hakikatnya PN tidak mencukupi jumlah. Hadi terjerat tekak dalam kejadian itu.

Hadi dibaham malu besar dengan "pembohongan" itu kerana beliau sudah pun memberi tahu para wartawan yang mengerumuninya dengan bangga mengatakan "cukup jumlah, cukup jumlah, bahkan melebihi". Alih-alih yang membentuk kerajaan bukan PN tetapi PH bersama BN. Kejadian itu adalah ketergangguan fikiran Hadi pertama yang meninggal trauma besar kepada Bersatu dan Mahiaddin.

Jadi perkembangan dan suasana yang berlaku itulah menyebabkan Hamzah kini sudah mula mengatur pelan baru untuk menyelamatkan diri dan parti dengan membuat lawak bodoh untuk bersama Umno. Hahahhaha....[wm.kl. 11:57 pm 24/03/2025]
 

Sunday, March 23, 2025

Sepintas lalu sejarah Keadilan Kelantan

CATATAN 
[Kemaskini 25/3/25]

APABILA digoogle untuk mengetahui sejarah penubuhan Parti Keadilan Nasional kemudian Parti Keadilan  Rakyat (PKR) Kelantan tidak ditemui. Ini bermakna tidak ada orang yang menulis mengenai sejarah penubuhannya menyebabkan tiada data mengenanya di dunia maya. 

Rombongan pimpinan Keadilan Kelantan
melawat Vietnam.
Enjin pencarian juga  tidak dapat menemuinya. Laman sesawang Keadilan Kelantan ada sekadar ada, hanya ada satu saja posting mengenai barisan kepimpinan terkini. Laman itu tidak membantu langsung menyediakan maklumat tentang parti itu.

Sejarah penting dalam hidupan, apa lagi dalam sesebuah perjuangan seperti parti Keadilan, Reformasi. 

Seharus para ahli tahu mengenai latar belakang dan sejarah parti yang disertainya barulah ia dapat menjiwa perjuangan itu. 

Tanpa membaca sejarah, roh perjuangan itu tidak menjerap ke dalam jiwa. Tidak hairanlah kalau ramai ahli parti itu wujud seketika saja kemudian hilang dan muncul kembali bila dalam keadaan-keadaan tertentu, terutamanya saat pertandingan atau menjelang pilihan raya.

Kebetulan saya sedikit sebanyak mengetahui sejarah penubuhan Keadilan di Kelantan peringkat awal di tahun 1999 dan turut terlibat dengan proses menggempur rakyat menyokong penubuhannya. Tentu ada hairan macam mana saya boleh turut memain peranan menghidupkan Keadilan di Kelantan. 

Saya bukan aktivis politik, tetapi hanya penulis dan pengamat politik kerdil. Tetapi kerana simpati dengan nasib dialami pencetusnya Anwar Ibrahim, yang dizalimi Dr Mahathir Mohamad serta terpesona dengan idealisme perjuangannya mengajak saya ke situ. Hubungan baik saya dengan hampir semua pemimpin Pas Kelantan digunakan untuk memudahkan proses penubuhan itu. 

Sesuai dengan saat pemilihan parti ketika ini wajar kalau dinukilkan serba ringkas sejarahnya untuk tatapan umum khasnya oleh generasi kini. Sekurang-kurang apabila ditanya mengenai Keadilan Kelantan mereka dapat menjawabnya, dan tahu akan susur galurnya. Paling penting menjadikan sejarah ini sebagai aspirasi atau petunjuk untuk membuat pilihan pemimpin kelak.

Penubuhan Keadilan Kelantan.

Penubuhan Keadilan di Kelantan sejajar dengan penubuhan Keadilan di peringkat negeri-negeri lain juga. Selepas ia sah didaftarkan sebagai sebuah parti, tahun 1999, proses pengembangannya dilakukan. Kelantan tidak terkecuali. Pada masa itu tidak ramai yang minat untuk menyertai Keadilan. Masing-masing meragui akan keupayaan parti berkenaan. Tidak kurang ada yang gelak dan sinis dengan penubuhan Keadilan di Kelantan dan bertanya berapa bulan ia boleh bertahan, apa lagi kerana ia dipimpin oleh kaum Hawa, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Lantaran itu tidak ada yang mahu ke depan bagi memimpin Keadilan Kelantan. Mereka yang menyertainya kebanyakan adalah rakan-rakan baik Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada ABIM itu pun saling tolak menolak. Manakala dari Umno sebilangan kecil sahaja yang berani untuk bersama Keadilan. Bahkan pendukungnya dari Umno tidak bersama apabila Anwar dipecat. Tidak ada veteran Umno bersama Keadilan di Kelantan melainkan anak-anak muda dari kepemudaan Umno.

Allahyarham Ustaz 
Muhamad Mustafa
Namun yang ramainya daripada kalangan ABIM. ABIM lah yang menyambut kehadiran Keadilan di Kelantan. Diperingkat penaja 
penubuhan Keadilan (PKN) ia disertai seratus peratus oleh anggota ABIM Kelantan dan bantuan dan sokongan daripada Pas. 

Pengerusi penaja ialah Nik Aziz Nik Hassan, timbalannya Ustaz Mohamad Mustafa, manakala setiausaha ialah Nik Ismail Nik Yusof yang juga setiausaha ABIM Kelantan dan dilantik juga menjadi ketua Cabang Kubang Kerian.

Selepas itu pengerusi bertukar tangan kepada Ustaz Mohamad sekejap sebelum berpindah kepada Nik Mahmood Nik Hassan.

Dalam pilihan raya tahun 1999 Ustaz Mat Mustafa menjadi calon Keadilan di kerusi parlimen Peringat berlawan dengan Annuar Musa. Dengan bantuan Pas beliau menang kerusi Peringat. 

Selain Ustaz Mat Mustafa ada beberapa kalangan ABIM lain yang ikut serta. Individu yang paling saya ingat ialah Wan Abdul Rahman. Selebihnya beberapa rakan Anwar sewaktu sama-sama membangunkan Yayasan Anda di Kuala Lumpur, antara Mohd Zaki Abdul Rahman dan Haji Ismail seorang PIMPINAN Umno peringkat bahagian Ketereh. 
  
Ustaz Mohamad memimpin Keadilan seketika sahaja. Beliau lebih terserlah sebagai seorang ulama atau pendakwa ketimbang politik. Ketidakupayaanya menyebabkan pengerusi Keadilan bertukar tangan kepada Nik Mahmod Nik Hassan, seorang ahli perniagaan dan juga bekas Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). Nik Mahmood tidak pernah bergulat dalam politik, menyebabkan Keadilan tidak begitu berkembang.

Selepas beberapa tahun tempatnya diambil alih oleh Saupi Daud sebagai pengerusi. Saupi adalah antara pengikut setia Anwar dalam Umno, beliau ketika itu ahli jawatankuasa Umno bahagian Tumpat. Gara-gara menyokong Anwar beliau dipecat dari Umno. Semasa Keadilan dibawah pimpinnya Keadilan mencapai kejayaan besar di Kelantan dengan memenangi tiga kerusi parlimen, Machang (Saifuddin Ismail Nasution), Ketereh (Abdul Aziz Kadir), Kota Bharu (Ramli Ibrahim) dan Tanah Merah beliau sendiri. Sebuah kerusi negeri, Dun Guchil juga dimenangi.

Kekalahan Keadilan pada pilihan raya seterusnya (2008) menyebabkan Keadilan kembali suram. Ekoran ini kepimpinan Keadilan Kelantan sekali lagi bertukar tangan kepada Abdul Aziz Kadir berpindah kepada Saifuddin Nasution Ismail kemudian kembali kepada Aziz. Masa dibawah Aziz ini memeritkan kerana beliau bertanggungjawab untuk memulihkan semula semangat parti setelah mengakami kekalahan teruk tahun 2004, dimana Keadilan menang hanya satu kerusi saja di parlimen Permatang Pauh saja. 

Situasi ini benar benar mencabar Aziz. Namun dengan dukungan kekawan beliau berjaya memulih semangat parti. Antara usahanya Aziz pernah membawa kepimpinan peringkat negeri dan cabang ke Vietanam untuk melawat negera negara repblik sosialis itu.

Tragedi yang menimpa Keadilan dengan peristiwa Langkah Sheraton menyebabkan Keadilan Kelantan kehilangan ketua apabila Abd Aziz meninggal Keadilan untuk bersama Zuraidah Kamaruddin yang bersekongkol dengan Azmin Ali mengkhianati parti. Keadilan jadi seperti yatim piatu, persis pokok kehilangan baja, renggas. 

Parti itu kembali seperti asal, tidak ada siapa terliur untuk memimpinnya.

Saat inilah muncul Supardi Md Noor menjadi pengerusi. Awal penyertaan Supardi dilihat dapat menggerakan parti berpandukan kepada pengalamannya dalam politik. Beliau adalah bekas Pemuda Umno Kelantan dan pimpinan bahagian Tanah Merah. Kebetulan pula dia dilihat berharta.

Malang apa diharap tidak kesampaian seperti dibayangkan. Supardi tidak mampu membawa kejutan dan melonjokkan Keadilan. Beliau menyertai Keadilan seperti suatu "pelarian" sahaja apabila gagal untuk menguasai Umno Tanah Merah. Beliau tidak serius kerana dalam pilihan raya ke 14 beliau sendiri lari lintang pukang dari bertanding. Pilihan raya ke 15 baru beliau bertanding di Parlimen Tanah Merah kalah. 

Menyedari ketidak-mampuannya itu menyebabkan jawatan pengerusi ditukar sekejap kepada Nik Nazmi Nik Ahmad, namun Nik Nazmi juga tidak menemui rentak untuk membina kekuatan Keadilan walaupun dia seorang menteri dan parti sudah memerintah menyebabkan hendak tidak hendak pengerusi diserahkan semula kepada Supardi buat kali kedua.

Pemilihan.

Kini Keadilan sedang proses memilih kepimpinan peringkat cabang. Ahli parti berpeluang untuk memilih tokoh-tokoh baharu sebagai pengganti pimpinan peringkat cabang dimana setengah yang ada kini tidak menunjukkan kemampuan, bak akar setelah ketiadaan rotan. Rata-rata yang ada dalam Keadilan, kini generasi atau lapisan kedua yang jahil mengenai perjuangan Keadilan.

Kebanyakan yang menggerumuni Keadilan hari ini setelah Keadilan menjadi kerajaan. Boleh dianggap mereka aktif berpolitik dengan menyertai atau menyokong Keadilan setelah Keadilan menjadi sebahagian kerajaan Madani hari ini.

Untuk merebut jawatan ketua cabang, AMK dan Wanita ramai muka-muka baru generasi kedua  setengahnya semasa Reformasi mereka masih dalam perut ibu, menawarkan diri untuk dipilih jadi pemimpin. Sebenarnya itu tidak menjadi masalah, lumrah dalam kehidupan apa lagi politik, dimana ada gula di situ ada semut. 

Ramai tokoh muda yang menawar diri bertanding mempunyai latar belakang pendidikan dan profesional; doktor, peguam, guru, aktivis sosial dan lain. Perkembangan ini baik menandakan Keadilan sedang digilai. Selain itu ada juga beberapa kerat yang datang dari Umno menjenguk Keadilan untuk mendapat apa-apa peluang atas bekerjaaan.

Hanya satu perkara harus diingati pemimpin yang hendak dipilih nanti, mereka bakal memikul amanah dimasa depan. Ketua-ketu cabang nanti merekalah akan bertanggungjawab kepada parti. Tidak mustahil juga mereka bakal menjadi calon pilihan raya akan datang.

Makanya pilihlah yang berkualiti, betul-betul menunjukkan komiten kepada parti dan mempunyai bakat kepimpinan dan ada pengaruh setempat. Paling penting individu yang berintegriti, berpengetahuan dan benar-benar mahu berjuang. Jangan pilih berdasarkan meterial. [wk.kl. 6: 57 pm 22/03/2025].

 Nota: Sesiapa yang arif mengenai sejarah penubuhan Keadilan Kelantan boleh berkongsi maklumat dengan penulis bagi melengkapkan penulisan ini. 

Tuesday, March 18, 2025

Pas seperti rumput Israel

PANDANGAN


ELEMAN atau cara Pas berpolitik memperalatkan agama menjolok dan sangat bahaya apabila tegal memutar belit dan mengelirukan hukum hakam agama. Untuk menang Pas sanggup melakukan apa sahaja sampai ada individu Pas selamba menukarkan rasuah jadi sedekah, fitnah jadi sunat, bidaah jadi amalan. Kenyataan itulah menyebabkan parti itu dikatakan mengkeladaikan agama.


Pas bukan sahaja setakat bersikap demikian, ada kalanya ia mempunyai ciri ciri bersikap fanatik dan akstrime sampai sanggup mati. Pas menanamkan doktrin melampaui kepada pengikutnya demi untuk mendapatkan kuasa, sanggup mentakfirin pihak tidak akur dengannya. Dengar seruan atau tagline dipakai Pas dalam membangkitkan semangat meremangkan roma. Ada mirip babarisme.


Bukan itu sahaja, kebendulan Pas berpolitik juga memual dan meloyakan. Pas hari ini tidak professional dan waras lagi. Ia seperti terdesak kerana tidak selari dengan arus tan tuntutan semasa. Semua yang kerajaan laksanakan tidak baik dimatanya dan dinafikan. Mereka mencari apa jua cara untuk menidaknya. 


Matlamat Pas diwujudkan untuk menegakkan kebenaran dan menentang kemungkran sudah dawas. Semangat tolenrasi dan diplomasi, jiwa tasamuh sudah tiada dalam Pas. Kehemahan juga sudah tanggal daripada Pas.


Pas banyak tidak waras dalam semua hal ini. Namun dalam keadaan tidak waras ini Pas ada kekuatan sendiri, bijak menggunakan kelemahan orang Melayu atau membawa sikap baru kepada Melayu dalam beragama agar menerima doktrinnya. Parti satu ini licik menggunakan kesempatan dan peluang yang ada, mencuri kesempatan atas kedangkalan setengah Melayu itu sendiri.


Salah satu cara ialah penampilan mereka yang berbudayakan Islam. Mereka tahu psikologi orang Melayu akan mudah terpesona dengan wajah dan budaya orang yang dianggap sebagai Islam apabila berjubah dan serban. Pas mengambil kesempatan (beridentiti) kerana itu mereka pakai jubah berserban dan berkopiah. Padahal pakaian itu adalah costume, bukan asas iman dan takwa. Namun dari setengah Melayu naif minda mengira itulah Islamik yang dicari.


Kerana Pas tahu pengikutnya di bawa teruja dengan cara itu maka mereka limpias kosmetikkan diri mereka dengan cara begitu. Dengan bedak dan gincu Islam. Sedar atau tidak, langkah Pas itu bahaya. Ia sebuah penipuan dalam terang. Kerana itu sudah sampai masanya tindakan dan cara Pas berpolitik itu wajar ia dicegah, kalau perlu digubalkan undang undang atau akta khas untuk mencegah Pas, jangan lewat lakukan segera sebelum terlambat.


Mengambil sikap membiarkan Pas atas pertimbangan ia parti orang Melayu, mungkin tidak tepat kerana peluang itu akan diambil kesempatan untuk mereka kembangkan doktrin sesat parti itu. Sikap Pas yang keras dan langka ini tidak akan berubah. Walaupun kerajaan Madani dibawah Anwar Ibrahim bersikap terbuka dan memberi peluang tetapi tidak diendahjan, makahan semakin galak memperolok olokkan Anwar.


Hari ini mereka kemas bertapak di negeri peratus Melayunya tinggi, sedikit masa lagi mereka akan menjalar ke negeri Melayu yang peratusnya separuh tidak mustahil akan menaklukinya.


Membiarkan Pas tak ubah seperti membiarkan untuk melihat masa depan negara yang suram dan boleh menganggu kesuburan dan kehormonian bernegara. Barang kali tepat kalau saya ibaratkan Pas ini tak ubah seperti rumput Israel, atau nama saintifiknya, cenchurs ciliaris.


Dari kalangan petani rumpu ini cukup bahaya dan sangat menganggu. Keberadaanya mengancam tanaman dan merosakkan struktur alami tanah, kerana ia bersifat menakluki. Rumput ini cepat merebak dan merosakan tanaman dan juga tanah. Segala air dan nutrien dalam tanah dikepahnya menyebabkan tanaman kekurangan air dan nutrisi.


Sejarah rumput ini juga menarik dan ada semacam kesamaan dengan Pas. Ia berasal dari padang pasir. Ia bersifat invasif kerana cepat merebak. Kalau dibiarkan ia akan merampas hak tanaman lain. Bukan itu sahaja keberadaanya juga merosakkan struktur tanah dan ekosistem pertanian.


Demi kesuburan tanah dan juga keamanan apa jua tanaman, maka rumput ini hendaklah dihapuskan atau sekurang kurang dibatasi dari berkembang dengan diadakan sekatan atau pun undang undang khusus. Perlu diracun. Atau cari alternatif lain agar kehadiran rumput ini dapat dimanfatkan dengan menggunakan teknologi politik yang canggih. [wm.kl. 2:53 pm 18/03/2025]

Monday, March 17, 2025

Apa yang boleh ditiru daripada DAP?

ULASAN 


Ng Kor Ming, Gobind Signh, Lim Guan Eng
dan Teressa Kok.
PARTI PARTI Melayu baik Umno, Pas, Keadilan dan Amanah wajar mengikut jejak langkah parti DAP dalam melakukan perubahan menyuntik semangat ke dalam parti mereka agar kelihatan subur dan evergreen sepanjang masa dengan menukar dan menyusun barisan kepimpinan mengikut kehendak semasa. 

 

Anggota DAP tidak teragak-agak untuk memberi kesegaran kepada parti itu apabila kepimpinan sedia ada sudah tepu dan dirasakan tidak bergerak seiringan masa mengganti barisan pemimpinnya dengan pemimpin pelapis generasi baru. Keberanian dan tindakan parti itu menyebabkan DAP dilihat sebuah parti dinamik dan progresis. 

 

Menerusi kongres ke-18 Ahad lalu, DAP telah buat perubahan (reform) besar terhadap barisan kepimpinan mereka untuk tiga tahun mendatang 2025 – 2028, dengan bukan sahaja mengenepi dan merehatkan pemimpin veteran atau yang dilihat sudah kehabisan energi dengan membariskan saf kepimpinan baru generasi ketiga G3 yang lebih menyakinkan.


Perubahan itu memperlihatkan DAP bersedia untuk menongkas arus masa depan politik yang kian mencabar dan tidak berpuas hati dengan pencapaian yang ada. DAP sebuah parti yang membuat muhasabah kepimpinannya. 

 

Yang jelas kekuasaan atau dinasti LIM (Lim Kit Sing) yang menguasai parti itu sejak berdekad lalu kini sudah tiada lagi, apabila anaknya yang dianggap sebagai Putra DAP Lim Guan Eng yang bertanding CEC berada di tempat keempat corot dalam pemilihan 30 orang CEC parti itu. Lim menguntip 1,719. 

 

Bukan itu sahaja adiknya, Lim Hui Ying juga turut tewas untuk menganggotai badan eksekutif itu.  

 

Hampir semua generasi kedua G2 yang sebaya dengan Guan Eng sudah terbuang. Setengah daripada mereka mengambil jalan berlalu awal dengan tidak bertanding. Hanya seorang dua sahaja daripada 30 CEC yang terpilih, antaranya Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kuan Yow. 


Sebahagian besar CEC kini dibarisi oleh pemimpin muda generai G3, seperti, Datuk Ng Swee Lim Steven Sim, Hannah Yeoh, Ramkarpal, Syahredzan Johan, Wong Kah Woh, Howard Lee, Vivian Wong, Chan Foong Hin, Arulkumar, Yeong Shefura dan lain-lain.

 

Dengan kedudukan itu hegomoni Lim dalam DAP sudah berakhir. Dalam penyusunan kabinet baru semalam Guan Eng dilantik sebagai penasihat parti. Pelantikan itu dilihat sebagai penghormatan atas jasa-jasanya.

 

Tempat beliau sebagai pengerusi disandang oleh ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo yang mendapat undi tertinggi 2,785. Manakala tempat Gobid sebelum ini sebagai timbalan pengerusi diberikan kepada ahli Parlimen Telok Intan Ngo Kor Meng yang menjadi regu perubahan bersama Anthony Loke. Loke pula dilantik menjadi Seriausaha Agong untuk penggal kedua. 

 

Penolakan DAP kepada Guan Eng sesuatu yang tidak mengejutkan, dan memberi gambaran parti itu tidak mengamalkan pengkultusan kepada pemimpin mereka. Padahal kalau hendak dikira kepada jasa dan pengorbanan Guan Eng mungkin tidak terlawan oleh pemimpin lain.

 

Beliau pernah dipenjara kerana prinsip perjuangan dan kemanusiaan DAP apabila membela seorang nenek yang cucunya menjadi mangsa kebuasan nafsu manusia politik. Bukan itu saja Guan Eng juga keluar masuk penjara beberapa kali dalam usaha mengarus perdanakan DAP dengan membangkitkan isu-isu sosial dan hak asasi.  

 

Tetapi itu bukan ukuran bagi DAP untuk terus mengekalkan Guan Eng, apabila cara beliau berpolitik sudah tidak sesuai dengan kehendak dan tuntutan semasa terutamanya dalam membina negara bersama kerajaan, maka beliau perlu ditolak.

 

Pembentukan empayar oleh dinasti juga tidak dibenarkan oleh parti itu. Pertuduhannya di mahkamah atas isu rasuah sedikit sebanyak mencacatkannya.

 

Penolakan terhadap Guan Eng dan amnya dinasti Lim itu jelas menunjukkan DAP bukan sahaja menolak politik kronisme dan nepotisme, tetapi juga tidak sedia mengamalkan politik mengkultus atau mendewa-dewa keramatkan pemimpin. Perhambaan politik tidak dibenar berlaku dalam DAP.

 

Selain itu perubahan yang berlaku itu memperlihatkan anggota DAP juga tidak menilai hubungan persahabatan bagi mengekalkan seseorang pemimpin berlapuk dikerusinya. Apa lagi untuk melantik mana-mana pemimpin yang sudah tidak popular untuk menjadi ketua, itu bukan budaya DAP.

 

Bagaimana pun apabila DAP merehatkan Guan Eng bukan bermakna mereka melempar terus putera DAP itu, namun sebagai tokoh hebat dalam DAP, Guan Eng tetap akan disanjung dan dihormati seperti mana diperkatakan Anthony Loke bahawa DAP tetap akan mengingat akan jasa dan pengorbanan Guan Eng untuk DAP.

 

Ironinya, Guan Eng pula dalam kenyataan selepas penolakannya, merayu agar semua anggota DAP merapatkan syaf dan memberi dukungan penuh kepada Loke. Kenyataan dan akuan diberikan Guan Eng itu menunjukkan politiknya understanding. Beliau mengucapkan tahniah kepada Loke. 

 

Sebenarnya hal demikian juga boleh dilakukan oleh parti Melayu. Mereka tidak perlu mengekalkan seseorang pemimpin atas dasar senioriti atau mengenang jasa dan pengorbanan seseorang. Hubungan sebagai kawan karib tidak sewajarnya dijadikan sandaran dan alasan untuk terus mengekalkan seseorang itu yang relatif lemah dan tidak mampu memimpin.

 

Harus difahami semua orang berjasa dan berbakti kepada parti. Namun yang perlu diutamakan masa depan parti, bukan nasib seseorang. Apa guna mengekalkan pemimpin yang menyebabkan parti hilang kredibiliti dan lesu daya tarikan (attractive) untuk ramai. Dalam keadaan ini DAP meletakkan keutamaan parti lebih dari segala-galanya, dan mereka juga insaf dan sedar bahawa generasi mendatang mahukan pemimpin yang bergerak seiringan dengan zaman. 

 

Selalu dijadikan alasan jika diadakan pertandingan dalam parti untuk buat perubahan ia dibimbangi akan berlaku perpecahan. Pertandingan akan membawa perpecahan. Perpecahan itu berlaku kalau masing-masing enggan mengaku kelemahan diri, meremehkan orang lain dan merasa diri hebat dan tidak ikhlas kepada parti.

 

Apa yang dialami DAP itu, khasnya Guan Eng dan kumpulannya yang ditolak secara total boleh dijadikan iktibar. Walaupun beliau ditolak dan dikira kalah, tetapi secara terbuka beliau merayu semua anggota parti agar memberi sokongan kepada Loke dan barisan kepimpinannya. Apa yang dipamerkan Guan Eng itu, itulah sikap dan sifat seorang pemimpin sejati. 

 

Sesungguhnya semangat yang ada kepada DAP wajar diikuti oleh parti-parti Melayu yang skepitikal untuk melakukan perubahan dan menukar pemimpin kerana dibimbangi berlaku perpecahan. [wm.kl. 3:57 pm 17/03/2025]