Sunday, November 30, 2008

Susupan Senja

P Raya Kecil Kerusi Kuala Terengganu
Anwar Beri Jaminan Akan Kerja Keras

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) akan memberi sokongan sepenuhnya kepada mana-mana calon Pakatan Rakyat yang akan diletakkan bertanding dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu yang akan diadakan 58 hari dari sekarang.

Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim memberi jaminan itu ketika berucap menggulung perbahasan pada hari akhir kongres nasional parti itu di Stadium Melawati Shah Alam sekejap tadi.

Menurutnya, pihaknya akan mematuhi apa-apa saja keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat berhubung parti manakah yang akan meletakkan calon.

"Di sini saya tegaskan bahawa Kadilan akan memberi sokongan sepenuhnya untuk merampas kerusi berkenaan," ujarnya.

Beliau memberi reaksi itu apabila ada perwakilan yang mahu supaya kerusi Parlimen Terengganu itu diserahkan kepada PKR.

Tegas Anwar kerana kerusi itu tradisinya adalah hak Pas pihaknya menghormati apa yang akan dipersetujui kelak. "Apa yang penting ialah kita kena rampas kerusi berkenaan," tegasnya disambut tepukan bergemuruh.

Kerusi Parlimen berkenaan kosong ekoran kematian wakilnya, Razali Ismail 62, Jumaat lepas selepas terjatuh ketika bermain badminton di Institiut Aminuddin Baki di Bentong, Pahang.

Sementara itu beberapa nama telah disebut dari kalangan Pas untuk berhadapan dengan Umno. Dua nama dari kalangan tokoh veteran Pas ialah Mustafa Ali dan Wan Mutalib Embong. Mustafa adalah Pesuruhjaya Pas Terengganu.

Selain dua nama itu terdapat beberapa nama lain dari kalangan pemimpin muda Pas Terengganu yang dikatakan layak untuk dipertimbangkan. Satu sumber Pas Terengganu menyebut kedua nama pemimpin pelapis itu akan dimasukkan dalam senarai calon Pas. [wm.kl 7:30 pm 30/11/08]

Saturday, November 29, 2008

Airmata Marhaen

Perlu kepedulian wakil rakyat
Pasangan suami isteri dan dua cucu tiada tempat berlindung


SEANDAINYA hari ini kawasan Dewan Undangan Ulu Kelang atau Parlimen Gombak sedang berhadapan dengan pilihan raya sudah tentu nasib sepasangan suami isteri, Sarif Niat, 73 dan isterinya Siti Ramlah Yaacob, 50 bersama dua cucunya, Mohd Zulkeranian 8 dan adiknya Siti Amira 5 tidak akan mengalami nasib malang yang dilaluinya sejak lapan hari lalu.

Pasangan itu bersama cucunya kini terbiar dan ketiadaan tempat berlindung apabila rumah sewa mereka diambil semula oleh tuan rumahnya dan tidak mampu untuk mendapatkan rumah sewa baru.

Lantaran itu mereka berempat tumpang berteduh di birai bengkel kimpalan besi di No 35 Jalan AU, Lembah Keramat, Ulu Kelang.

Sekiranya saat ini berlaku pilihan raya di kawasan itu sudah pasti Pemuda Umno, Puteri Umno, pasukan kebajikan MCA, Gerakan, MIC dan segala macamnya akan datang. Tentu juga pasukan amal dan badan kebajikan Pas, Keadilan dan DAP akan ikut sama datang untuk membantu dan memberi pertolongan. Pendeknya semua berebut-rebut menawarkan khidmat dan menaburkan seribu janji indah.

Bahkan mungkin keluarga itu tidak akan terbiar sampai lebih 48 jam mereka akan disediakan rumah atau pun sebuah khemah khas didirikan seberapa segera yang boleh. Begitu juga puteri Umno dan muslimat Pas tentu ada yang sedia menemani keluarga itu untuk membasuh kain baju dan memasakan serta menjaga kedua orang cucu pasangan itu.

Tetapi disebabkan tiada pilihan raya maka tidak ada siapa yang sudi menjenguknya dan memberi bantuan meringankan beban mereka. Atau mungkin juga nasib malang mereka itu masih belum diketahui umum.

Pasangan suami isteri bersama dua cucu itu terbiar sejak lebih seminggu lalu. Nasib baiklah tuan punya bengkel berkenaan bersimpati dan bermurah hati membenarkan laman bengkelnya dijadikan tempat berteduh sementara.
Sampai bilakah nasib pasangan bersama dua cucu itu akan terbiar? Tidur berlantaikan simen yang berlapikkan kotak, ditiup angin dan ditimpa hujan siang malam serta makan tidak menentu?

Menurut tuan punya bengkel berkenaan yang dikenali dengan nama Ameza beliau sudah pun membawa perkara itu kepada pengetahuan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Adun Ulu Kelang Selasa lalu. Tetapi malangnya masih tiak ada apa-apa tindakan sehingga hari ini.

Menurutnya pegawai di pusat berkenaan sudah pun meninjau dan mengambil gambar nasib malang pasangan berkenaan.

Menurut Ameza beliau merasa terkilan dengan jawaban pihak Pusat Khidmat berkenaan yang seolah-olah tidak mengambil berat masalah dihadapi keluarga berkenaan.

Katanya beliau ada meminta agar diberikan mana-mana Dewan atau rumah transit sementara kepada keluarga itu mendapat rumah tetapi berbagai alasan diberikan termasuklah kononnya kunci Dewan itu di bawah jagaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). "Cara mereka menangani masalah ini menyedihkan!" ujarnya.

Sementara itu dalam tinjauan saya ke tempat itu keadaanya sungguh menyedihkan dan tidak sepatutnya ia berlaku. Sewaktu saya tiba kedua cucunya berkeliaran di tepi longkang salah seorang tidak berbaju sedang bermain dengan seekor katak puru (Saleintia).

Timbul persoalan apa jadi dengan parti politik yang sebelum ini berbueh mulut menjanjikan dalam manifesto mereka untuk membantu dan memberi kesejahteraan kepada rakyat. Baik BN dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat semuanya berjanji untuk membela rakyat. Dengan apa yang dialami keluarga Sarif dan Ramlah bersama cucunya itu jelas janji manis itu tidak ke mana.

Daripada apa yang diceritakan oleh pasangan itu, mereka dulu menyewa di sebuah flat berhampiran dengan kadar RM420 sebulan tetapi terpaksa keluar kerana tuan rumah itu ingin rumahnya.
Disebabkan ketiadaan wang untuk membayar rumah sewa baru yang memerlukan deposit sehingga RM1,500 menyebabkan beliau terpaksa ‘mengemis’ menumpang di tepi bengkel berkenaan.
Asalnya mereka adalah setinggan di tebing sungai di AU Lembah Keramat itu. Bagaimana apabila kerajaan membangunkan kawasan itu dengan mendirikan bengkel (IKS) mereka tidak disenaraikan untuk mendapatkan salah satu bengkel berkenaan. Alasan yang diberikan kerana mereka tidak berkemampuan untuk menjalankan apa-apa perusahawan.

"Manalah saya nak dapatkan RM1,500 untuk deposit air, api sedangkan gaji saya hanya RM850 saja. Kalau setakat nak bayar sewa bulanan sekitar RM400 mungkin boleh. Jadi terpaksa saya duduk di sini dulu," cerita Sarif mengenai kemampuannya dengan harapan tuan punya bengkel yang ditumpangi itu akan memberi masa untuk beliau berikhtiar mencari rumah baru.

Beliau sendiri mengakui sudah ke pejabat salah seorang wakil rakyat tetapi tidak menemuinya dan beliau akan mencuba sekali lagi.
Ditanya apakah mereka tidak ada waris, Sarif menjelaskan beliau ada abang dan kakak, semuanya tinggal di Sabak Bernam. Untuk menyarakan kehidupan dia sekeluarga beliau bekerja sebagai jaga di sebuah kilang berdekatan bengkel berdekatan dengan gaji RM850 sebulan. Isterinya yang berasal dari Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan tidak berkerja.
Di samping kena menyara dua cucu, keluarga itu juga mempunyai tiga orang anak, seorang lelaki berusia 16 tahun yang bekerja mengambil upah mencuci kereta dan pelbagai kerja lain manakala seorang anak perempuannya sedang menuntut di Politeknik di Kok Lanas, Kelantan.
Kehidupannya jadi makin terbeban sejak sebulan lalu apabila anaknya meninggalkan dua orang cucunya itu dan ghaib bersama suaminya tanpa sebarang berita hingga ke hari ini. Ketika ditanya ke mana mereka, Sarif kelihatan berat mulut untuk bercakap mengenai anaknya itu.

Zulkeranian bersekolah di darjah dua manakala adiknya Siti Amira bersekolah di tadika.

Keadaan tempat pasangan itu menumpang teduh tidak selamat dan merbahaya terutamanya kepada dua cucunya itu yang seirng merayau memandangkan di belakang bengkel itu terdapat sungai di mana airnya dalam dan deras apabila hujan turun.
Menurut Ameza sungai itu juga sering kali menelan korban, untuk tahun ini seorang kanak-kanak telah menjadi mangsa.

Adalah diharap kepada pihak-pihak berkenaan supaya memberi perhatian segera kepada nasib pasangan itu tanpa saling harap mengharap antara satu sama lain dan melihat warna kulit.
Sesungguhnya apa yang berlaku kepada Sarif dan Ramlah bersama cucunya itu tidak patut berlaku lagi jika dikenangkan kepada janji-janji parti politik dalam manifesto mereka dalam pilihan raya lalu yang mana semuanya berjanji untuk membawa kesenangan dan membantu rakyat. [wm.kl 4:00 pm 28/11/09]

Fokus Khas

Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu
Uji Kemantapan Hubungan Pas dan Keadilan

PILIHAN RAYA kecil untuk kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan tidak lebih daripada 60 hari dari sekarang. Pilihan raya ini terpaksa diadakan ekoran kematian ahli Parlimennya, Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada Jumaat lalu.

Pilihan raya ini adalah pilihan raya kecil kedua selepas pilihan raya umum ke-12 lalu. Pilihan raya kecil pertama ialah di Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang apabila wakilnya Dr Wan Azizah Ismail mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sama seperti pilihan raya kecil Permatang Pauh, pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu penting dan akan signifiken dan tafsiran tersendiri. Ia akan menjadi medan menguji kekuatan dua gergasi politik Melayu Umno dan Pas. Kedua pihak sangat terdesak untuk memenangi kerusi yang mempunyai jumlah pengundi seramai 80, 325 orang itu.

Pilihan raya kecil itu nanti juga memberi makna tersendiri kepada Pas khasnya dan Pakatan Rakyat umumnya. Ia akan menguji sejauh manakah kekuatan semasa Pas. Ini kerana kerusi berkenaan adalah diperuntukan kepada Pas. Pas akan menjadikan keputusan pilihan itu sebagai satu kayu ukur baru untuk menguji kekuatannya selepas berlangsungnya pilihan raya umum.

Begitu juga dengan Umno. Parti itu pula merasakan penting kerana ia bakal menentukan apakah parti itu akan terus mendapat kepercayaan atau tidak. Kalah bermakna ia akan diterjemahkan Umno sudah mengalami penghakisan imej dan pengaruh sebagai sebuah parti yang dominan sebelum ini.

Kepada Umno usaha mengekalkan kerusi berkenaan dilihat lebih berat daripada Pas untuk merampas kerusi itu. Jika kalah ia memberi kesan psikologi tinggi buat Umno bukan saja di Terengganu tetapi di seluruh negara. Tambahan lagi BN/Umno baru saja malu dengan kekalahan teruk di Permatang Pauh.

Kekalahan itu nanti juga turut memberi kesan kepada Timbalan Presiden Umno Mohd Najib Razak secara peribadi. Kalah menang ia akan dikaitkan dengan Najib. Kalau kalah pemerhati akan melihat Najib tidak berkeupayaan untuk membawa perubahan dalam Umno. Kekalahan juga menyebabkan orang akan mengukur Najib masih tidak dapat menandingi pengaruh dan ketokohan Anwar Ibrahim seandainya Anwar turut sama komit dengan pilihan raya itu.

Dalam pilihan raya lalu, Allahyarham Razali Ismail (Umno) memenangi kerusi berkenaan mengalah dua calon, Mohammad Sabu dari Pas dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti kecil, 628 undi saja. Beliau mendapat 32, 562 menakala Mohamad Sabu 31,934 dan Maimun Yusuf 685 undi.

Daripada bedah siasat yang dibuat oleh pihak Mohamad Sabu kekalahan tipis beliau itu ialah disebabkan pengundi Melayu (Terengganu) tidak menerima calon luar. Rakyat Terengganu tidak seperti rakyat Kelantan akan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada siapa juga calon yang diletakkan oleh Pas di negeri itu. Kesemua calon luar yang bertanding di Kelantan dalam pilihan raya lalu menang.

Penganalisa dari Terengganu berpendapat sekiranya anak tempatan diletakkan di kerusi berkenaan, kerusi itu mungkin menjadi milik Pas. Apa lagi pada pilihan raya 1999 Pas memenang kerusi berkenaan menerusi calon mudanya Syed Azman Syed Ahmad.

Persoalan kini siapakah calon yang bakal diletakkan oleh Pas? Walaupun sudah ada suara yang mahukan Mohamamd Sabu dipertaruhkan sekali lagi, nampaknya bukan senang untuk Pas Terengganu menerima permintaan itu. Pas Terengganu tentu perlu membuat perhitungan mendalam kerana pilihan raya itu penting bagi dijadikan penanda aras kepada pengaruh Pas masa kini.

Pesuruhjaya Pas atau bos Pas Terengganu, Mustafa Ali barangkali ada percaturan sendiri. Beliau juga harus berwaspada dan berusaha sebaik mungkin bagi merampas kerusi berkenaan. Dalam suasana beliau semakin dilihat tidak relevan dan ditolak di Terengganu kerana faktor terlalu 'veteran' Mustafa perlu melakukan sesuatu yang ajaib dalam pilihan raya kecil itu nanti. Sekiranya Pas berjaya merampasnya, tentulah kemerosotan wibawanya akan pulih sedikit dan ini akan meletakkan beliau masih relevan untuk terus berperanan dalam Pas.

Berdasarkan suasana ini saya kira tidak mungkin Mohamad Sabu akan diletakan semula. Tentulah seorang tokoh dari Terengganu akan diberikan tanggungjawab. Dalam hal ini tidak mustahil kalau Pas meletakkan Adun Batu Buruk, Syed Azman Syed Ahmad (foto) untuk menjadi calon. Apa lagi Syed Azman pernah menjadi ahli Parlimen di kerusi berkenaan. Kalau ini berlaku ia akan menjadi terbalik kod, di mana kalau di Permatang Pauh BN/Umno meletakkan seorang Adun untuk bertanding menentang Anwar, iaitu Arif Shah Omar Shah.

Tertakdir Syed Azman dicalonkan ia tidak sukar untuk Pas Terengganu menarik seberapa ramai pemimpin Keadilan untuk turun berkempen kerana Adun Batu Buruk ini mempunyai hubungan dan reputasi baik dengan Keadilan khasnya dengan Penasihatnya, Anwar Ibrahim.

Biarlah kita serahkan kepada kebijaksanaan Mustafa Ali dalam mencatur untuk meraih kemenangan kali ini. Tetapi persoalan yang besar dilihat di sebalik pilihan raya itu nanti ialah apakah ia mendapat sokongan padu daripada komponen Pakatan Rakyat? Ini yang penting.

Sekiranya kerusi itu diserahkan kepada Pas, apakah Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) akan sedia membantu? Apakah kekompatan sokongan kalangan Pakatan Rakyat akan berlaku? Mungkinkah keadaan yang berlaku di Permatang Pauh terjadi, di mana pilihan raya membabitkan Anwar itu tidak mendapat dokongan semua pemimpin daripada Pas!

Pada pilihan raya kecil Permatang Pauh lalu semacam ada pihak yang tidak memberi sokongan kepada Keadilan menghadapi pilihan raya berkenaan? Mustafa Ali sendiri bersama beberapa pemimpin lain tidak turun berkempen untuk Anwar? Apakah kali ini giliran pemimpin Keadilan pula berbuat demikian di pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu sebagai membalas dendam?

Persoalan ini sedikit sebanyak akan menentukan kalah menang calon Pakatan Rakyat (Pas)dalam pilihan raya kecil itu nanti. Justeru Mustafa Ali mempunyai tugas berat menghadapi pilihan raya berkenaan. Beliau perlu memerahkan kebijaksnaan bagai mana mengatasi masalah atau kerumitan yang bakal timbul. Penting juga, boleh dikatakan kesuksesan atau sebaliknya pilihan raya itu kelak akan menentukan masa depan politiknya baik di Terengganu maupun di peringkat pusat.

Justeru untuk kebaikan semua pihak pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu boleh dijadikan medan baru untuk menautkan kembali hubungan di kalangan sesetengah pemimpin Pas dengan sesetengah pemimpin Keadilan terutamanya antara Mustafa Ali dengan Anwar Ibrahim. Bagi Anwar dirasakan sekiranya beliau dijemput tidak ada sebab untuk beliau menolak kerana kemenangan calon Pakatan Rakyat nanti membawa tuah besar kepadanya.

Sekiranya Anwar masih terkilan kerana semasa beliau menghadapi musuh di Permatang Pauh tidak semua pemimpin Pas membantunya terutama dari Terengganu, namun beliau kena ingat kepada budi dan jasa dua orang besar dalam Pas iaitu Husam Musa dan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membantunya. Nik Aziz meskipun bertongkat masih mengagahi diri mengiringi Anwar ke penamaan calon.

Dan apa yang paling baik, Keadilan dan Pas yang kini kelihatan tidak berapa lendik wajar menjadikan pilihan raya itu kelak sebagai acuan untuk meluruskan semula salah faham dan salah silap mentafsir gerak politik antara keduanya sehingga membawa sedikit rasa gelisah di kalangan penyokong bawahan. Semoga! [d' kota 10:00 pm 28/11/08]

Friday, November 28, 2008

Sayang Islamku

Masjid RM10 Juta Jemaah Empat Orang!

SESAMPAI di pekan Bentong, Pahang waktu azan Maghrib berkumandang. Niat untuk meneruskan perjalanan dan melakukan jama' taqdim di pertengahan jalan menuju ke rumah terbatal. Saya dan dua lagi kawan singgah menunaikan sembahyang jama' ta'khir, Maghrib dan Islam.

Dalam lembayung senja bayangan masjid itu masih kelihatan. Sebenarnya keindahan dan kehebatan masjid itu yang menggamit kami untuk singgah. Masjid yang terletak di atas bukit itu adalah antara majid yang tebaru di negeri Pahang Darul Makmuar dan begitu artistik. Bentong adalah Parlimen yang mana merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri Pelangai di mana MB Pahang, Adnan Yaacob bertakhta di situ.

Sembahyang di mana-mana pun boleh dan sah. Dari sebuah masjid besar bernilai jutaan ringgit atau pun di sebuah surau yan diperbuat daripada kayu hutan, nilai dan maksudnya sama saja. Darjah dan pahalanya tidak berbeza kecuali di tiga buah masjid, masjidil Haram di Makkah, masjid Nabawi di Madinah dan masjid al-Aqsa di Baitumuqadis.

Apa yang penting ialah sembahyang yang merupakan ibadat wasilah (penghubung) hamba dengan penciptanya (Allah) dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawaduk. Atau dalam erti kata lain sembahyang itu sampai mencecah dasar hakiki falsafahnya.

Tidak ada erti apa-apa pun kalau sembahyang di sebuah masjid yang indah dan gah namun sembahyang itu tidak sampai kepada hakikatnya. Ibarat memakan sebiji buah hanya diluaran saja tetapi tidak merasai kelazatan di dalamnya.

Sembahyang seumpama itu hanya tidak lebih daripada melaku ritual ibadat sahaja bagi mengelakkan daripada tidak diprejudiskan orang yang kita mengabaikan sembahyang. Sebab itu Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, sembahyanglah seperti mana aku sembahyang; sama dari segi fiilinya dan sama dari falsafahnya.

Kebetulan pula semalam betis dan paha terasa sakit dan pegal-pegal. Dalam keadaan terhinjut-hinjut menaiki tangga ke halaman masjid saya memerhati hampir ke seluruh laman masjid. Ianya indah sekali. Di langit juga sudah mengerdik beberapa bintang kejauhan dan kesayupan. Pemandangan di lembayung senja di masjid itu akan menjadi lebih indah lagi kalau bulan sudah bersembur dari atas langit menjamah menaranya yang tinggi. Begitu fikir saya...

Dalam suasana berbalam masjid itu kelihatan putih dan bersih. Ketinggian dari paras jalan raya berhampiran di sisinya saya mengira hampit 60 kaki. Ketinggian ini menjadikan kedudukan masjid itu sungguh strategik dan nampak kehebatannya. Ia memberi gambaran seolah seluruh penduduk di pekan itu sangat megah dan bangga dengan kewujudannya.

Manakala begitu menjenguk ke dalamnya melihatan ruang yang luas dan lapang, hati terus disuapi sebuah kepuasan membanggakan. Terasa hati menjadi dekat dengan kaki Tuhan dan sebuah ketenagan menggolek ke dalam diri. Memang tidak ada tempat yang boleh memberi ketenangan segera melainkan berada dalam sebuah masjid. Di sinilah mahalnya nilai sebuah masjid yang dianggap sebagai rumah Allah di mana rahmatNya melimpah-limpah kepada seseorang yang melangkah masuk ke dalamnya.

Apa tidaknya surau adalah bayangan kepada sebuah masjid, masjid pula adalah bayangan kepada tiga masjid teragung di dunia; masjidil Haram, masjidi Nabawi dan masjid al-Aqsa.

Jika jiwa resah, perasaan diganggu masalah duniawi, masuklah ke dalam masjid. Ambil wuduk dan masuk dan beriktikah di dalamnya selama yang mahu. Tuhan berada di mana-mana, tatapi mata Tuhan sangat hampir pada mereka yang berada di dalam rumahNya. Masjid adalah tempat perlarian daripada kesibukan duniawi yang paling aman dan menenangkan.

Entah, bukan magic... sebaik melangkah ke dalam masjid indah itu rasa pegal di betis dan paha hilang secara tiba-tiba. Inilah istimewanya rumah Tuhan ia memberi semangat anih yang menyebabkan kita menjadi kuat dan gagah dengan tiba-tiba.

Menurut seorang teman yang tahu seluk belut dan memilik ilmu binaan, kos masjid itu katanya sekitar RM10 juta. Tetapi saya percaya kos itu lebih daripada anggaran beliau itu. Jika diperhatikan kepada proses pembinaan sesuatu projek diamalkan oleh kerajaan BN.

Biasanya harga di make-up sampai 30 persen hingga 50 persen kerana untuk dibayar kepada beberapa tol (penyangak dan penyamu) yang sedang menanti. Nilai tol alias rasuah itu pun diberi mengikut kelas-kelasnya. Keadaan inilah menjadikan harga sesebuah projek itu menjadi bertambah dan berlipat kali ganda. Contoh paling klasik ialah bagaimana jambatan di Tendong Pasir Mas harga sebenar RM80 juta kemudian menjadi RM160 juta!

Apakah amalan itu juga berlaku dalam pembinaan rumah Allah?

Sesudah selesai mendirikan soal jama' taqdim dan meratahi ketenangan dan terulik dengan rasa kegum dengan masjid itu baru tersedar apa yang berlaku. Ini diluar logik kalau hendak diceritakan, namun itulah hakikatnya. Jemaah yang sedang mengikuti imam solat jemaah semalam hanya tujuh orang saja. Tiga daripadanya ialah termasuk saya dan dua orang teman. Bermakna jemaah asli ialah empat orang saja. Imam juga saya percaya diimport dari luar berdasarkan kepada pelek sebutan dan bacaannya.

Saya tidak percaya dan mengira salah pandang. Lama saya memerhati ke segenap penjuru masjid bimbang takut pandangan terlindung. Sah jemaah hanya empat orang saja. Angka ini kontras dengan pembesar suara yang dipasang dan juga keluasan masjid yang dianggar boleh memuatkan 5,000 jemaah.

Rasa hiba dan pilu tiba-tiba menghimpit tangkai hati. Kenapalah jadi begitu. Untuk apa masjid dibina sebesar dan semewah itu kalau jemaahnya hanya empat orang saja? Apakah itu bukan pembazir namanya ataupun umat Islam hanya mahu menjual syiar Islam saja tetapi umatnya kering dan kontang dengan air keimanan?

Fikiran berputar mencari penyebabkan kenapa masjid itu miskin dengan jemaah. Mungkin sifir atau kesimpulannya bias! Tetapi inilah yang berlaku. Saya kira kalau Adnan Yaacob turun menjadi imam ia tentu akan ramai dan bilangan jemaah itu akan bertambah. Apabila pemimpin berada di hadapan maka akan ramailah pengikutnya. Pengikut akan melihat kepada tindak tanduk pemimpin kerana mereka menjadi ikutan dan dan idolanya.

Apa lagi disaat Umno sedang dalam edah memilih pemimpin kini. Jika Adnan Yaacob turun mungkin kesemua kumpulan G7 dan jawatankuasa Umno bahagian akan turun. Kalau mereka ini ikut menjadi jemaah pasti bilangan jemaahnya melebihi 30 orang. Pemandangan seperti semalam tentulah tidak akan berlaku dan mencalitkan sebuah keaiban di hati.

Kenapa masjid Pulau Melaka senantiasa penuh sesak dengan jemaah. Jawabannya gampang kerana orang yang menjadi imam ialah pemimpin nombor satu negeri. Orang ramai berebut untuk menjadi makmum kepada pemimpin seperti mana Tok Guru Nik Abdul Aziz itu.

Jadi untuk menyelesaikan masalah kekurangan jemaah di masjid Bentong yang indah dan besar itu, cuba-cubalah Adnan Yaacob naik ke masjid itu dan berada di hadapan menjadi imam, sebagai imam Islam Hadhri pun tidak mengapa. Tentu jemaahnya akan bertambah dari bilangan yang saya lihat semalam, hanya empat orang dan lima termasuk imam. (Saya harapan apa yang saya lihat semalam hanya kebetulan saja dan tidak pada hari sebelum dan selepasnya). Khlas! [wm.kl. 6:00 am 28/11/08]

Iktibar Sejagat

Ariel Sharon Sudah Membusuk Tapi Masih Bernafas

SEORANG penjenguk blog merah tinta telah mengirimkan sekeping gambar menunjukkan bekas Perdana Menteri Israeil, Ariel Sharon yang terlantar tidak sedarkan diri dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.

Keadaan bekas PM yang pernah dikutuk oleh seluruh dunia itu kerana kezalaman terhahap rakyat Palestin sungguh menyedihkan. Beliau dikatakan sudah tidak sedarkan diri sejak berminggu lalu. Tisu-tisu badannya juga sudah mula mereput dan berbau busuk.

Sebuah laporan majlis dipetik, Doktor di Hospital Hadasa telah memasukkan Ariel Sharon ke dalam ruang pembedahan untuk operasi menyambungkan beberapa bahagian usus perutnya yang rosak dan telah merebak ke bahagian lain.

Apa yang menkajubkan, dan ini boleh menbimbulkan keinsafan kepada kita, meskipun dalam keadaan nazak begitu Sheron masih bernyawa lagi. Apakah ianya sengaja diberikan umur panjang dalam keadaan yang tidak sepatutnya beliau bernafas (berdasarkan foto) bagi memberi keinsafan kepada kita semua!

Gambar yang dikirimkan kepada blog ini adalah petikan dari majalah Qiblati Vol 01/No 09 Mei Jun. Terima kasih kepada penjenguk yang mengirimkan gambar ini untuk dikongsi bersama. [wm.kl 10:30 pm 27/11/08]

Thursday, November 27, 2008

Selamat Berangkat

Presiden Pas Tunai Haji

PRESIDEN Pas, Abdul Hadi Awang bersama isterinya siang tadi selamat berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan Haji dengan menaiki penerbangan komersial (MAS). Ikut bersama Abdul Hadi ialah Ketua Pemuda Pas, Sallahuddin Ayub bersama isteri dan Setiausaha Politiknya.
Abdul Hadi selama berada di Makkah akan menjadi tetamu kerajaan Arab Saudi.

Satu penerbangan bersama Abdul Hadi ialah Pengerusi Shapadu, Sharani. Sebelum menaiki pesawat kedua mereka dikatakan bersembang lama di bilik menunggu.

Beberapa pemimpin Pas turut berada di lapangan terbang untuk mengucap selamat jalan kepada Abdul Hadi. Antara mereka ialah, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas, Mustapa Ali, timbalannya yang juga ahli Parlimen Kota Bharu, Wan Abdul Rahim.

Ikut sama menghantar Abdul Hadi ialah Yang Dipertua Pas Kawasan-Kwasan di seluruh Selangor dan Unit Amal Wilayah Persekutuan.

Abdul Hadi dijangka berada di Makkah selama dua minggu dan dijangka akan turut mengadakan pertemuan tidak langsung dengan beberapa pihak dari Malaysia.

Sebagai rekod Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sudah tiga hari berada di Makkah manakala Setiausaha Politik Perdana Menteri, Alwi Che Amat akan berangkat ke Makkah lusa. [k trg. 8:00 pm 27/11/08]

Wednesday, November 26, 2008

Terlambat Posting

Bila lagi Nik Aziz hendak berhenti
Jangan Jadikan Orang Kempunan


KATA Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat keadaan politik semasa menyebabkan beliau tidak boleh melepaskan jawatan. Bagaimana pun katanya kalau ada desakan daripada parti beliau akan melepaskan jawatan itu sesegera mungkin. "Masih tak terdengar di telinga saya lagi orang suruh saya berhenti, kalau ada saya akan berhenti la ni (now) juga!".

Ada dua mesej ataupun maksud dari marfum kata-katanya itu. Pertama beliau tidak akan berhenti meskipun keadaanya kini dalam keuzuran selalu sakit dan berjalan kini pun dengan bertemankan tongkat. Maknanya beliau tidak akan mengalah dengan keadaan almiah dirinya itu dan mungkin akan meneruskan tugas dan tanggungjawab hatta sedang baring.

Kedua, jika parti berkehendaklah beliau berhenti beliau akan akur dan melepaskan jawatan itu.
Apakah keadaan politik semasa yang beliau maksudkan itu? Hendak dikatakan Pas Kelantan kini dalam keadaan kritikal seperti tahun 2004 dulu di mana Pas memerintah Kelantan dengan kelebihan satu kerusi saja, tidak lagi.

Kedudukan Pas kini sungguh selesa. Pas kini mendapat majoriti mewah di DUN Kelantan dengan mendapat 38 kerusi daripda 45 kerusi. Masalah kerajaan Pas akan tumbang dengan cara berlaku penyemberangan dan pembelian kerusi tidak akan berlaku lagi. Pas dalam keadaan stabil dari segi kerusi pada masa ini.

Apakah masalah politik semasa yang beliau maksud dan sembunyikan itu? Apakah kerenah Pas di bawah masih bercakaran sesama sendiri itu yang dikatakan masalah semasa yang tidak memungkinkan Mursyidul Am berumur 78 tahun itu melepaskan jawtaan MB yang dipegang selama 18 tahun itu?

Umum sudah tahu bahawa ada orang yang berangan dan disebut-sebut untuk menjadi MB Kelantan. Orang ini sudah membuat persiapan dari semua sudut mental dan fizikal sejak beberapa tahun lalu. Dia juga sudah membina tapak politik dan kelab penyokong (penyoraknya) sendiri. Masalaah calon tidak timbul lagi kerana tokoh ini sudah ada dan sudah lama bersiap sedia untuk mengambil alih kerusi Tok Guru berkenaan.

Cuma apa yang menjadi masalahnya orang ini tidak mendapat sokongan semua pihak di Kelantan. Ada yang bergurau menyifatkan angan-angan itu tidak lebih dari angan-angan Mat Jenin yang sukar menjadi kenyataan. Beliau memang popular diperingkat pusat tetapi sayang tiak mendapat sokongan Pas Kelantan sendiri.

Daripada 14 kawasan Pas Kelantan tidak sampai tiga kawasan yang cocok atau bersetuju kalau beliau diangkat menjadi MB menggantikan Nik Abdul Aziz. Hampir semua Yang Dipertua Pas Kawasan kurang senang dan tidak sebulu dengannya. Setengah Ketua Kawasan bernazar akan sembelih gajah kalau orang ini menajdi MB. Pada saya nazar itu teruk sangat dan sudah takabul.... walaupun ia ingin menunjukkan betapa orang ini bermasalah untuk dilantik menjadi MB.

Jadi kalaulah itu masalah semasa yang dimaksudkan, Nik Aziz boleh mengatasinya. Beliau kena mencari jalan dan berikhtiar bagiaman supaya Pas akar umbi menyokong orang berkenaan. Lagipun beliau sendiri dikatakan bermiant dan kagum dengan gerak kerja orang berkenaan. Beberapa kali beliau telah terlepas cakap memuji kehebatan dan kepintaran orang itu dalam menjana ekonomi dan membawa pendekatan baru politik Kelantan.

Nah tunggu apa lagi. kalau sudah berkenaan ‘kahwin’ sahaja. Nik Aziz boleh lakukan. Dengan kedudukannya sebagai tok guru dan MB beliau boleh menyihirkan orang Pas Kelantan agar menerima orang itu.

Kalau beliau sungguh sayangkan kepada orang itu beliau perlu melakukan sesuatu. Beliau tidak boleh membiarkan begitu lama orang itu terjeruk dengan perasaannya untuk jadi MB. Tunggu lama-lama tidak baik juga. Jika diibarakan kepada orang perempuan kkalau dibiarkan lama-lama ia akan menjadi anak dara tua. Bila sudah jadi anak darah tua benihnya kurang subur dan jika mengandung pun banyak implikasinya.

Jadi kalau benar mahukan orang itu jadi MB biarkan ketika benihnya subur; semangat dan keinginannya tinggi jangan sesudah orang itu sudah tidak bersemangat lagi.

Sebenarnya masalah orang itu tidak akan disokong oleh akar umbi tidak menjadi masalah. Saya yakin kalau sesiapapun diberikan kedudukan dan kuasa dia akan disokong. Orang ada kuasa (lebih-lebih lagi MB) sepertilah orang yang memilih beras dan mempunyai banyak sagu. Tabur saja beras dan belah saja sagu tentu akan bercemperian ayam dan itik menerkamnya. Jadi sementara Nik Aziz ada beras dan sagu buatlah sesuatu.

Dan kepada Tok Guru juga tidak baik kalau menjadi MB lama-lama. Alasan beliau mengatakan tidak ada desakan daripada Pas, rasanya kurang tepat. Dengan kapasitinya hari ini siapalah dalam Pas yang berani dan sampai hati nak nasihatkan beliau. Jadi kita sebagai orang bijaksana dan tahu melihat panjang pendek bayang kita ketika di mana matahari berada harusnya bertindak sebelum orang lain menunjukkinya.

Ikhlas dikatakan saya bimbang takut terjadi apa-apa kepada Tok Guru seperti terjatuh sewaktu bersyarah atau sedang mengajar baru nak berhenti ia adalah satu keadaan yang tidak seharusnya berlaku.

Yakin dan percayalah walaupu tidak menjadi MB beliau tetap akan dipuja dan dihormatinya kerana status beliau bukan saja sebagai tokoh politik tetapi yang lebih penting ialah beliau menjadi seorang tok guru. [klia 11:30 am 26/11/08]

Tuesday, November 25, 2008

Luahan Simpati

Kisah Ahli Penyampuk dan Speaker Senget Sebelah

ADA waktu-waktu sikap ahli Parlimen pembangkang begitu keras dan menjolok mata. Banyak yang saya kurang setuju dengan telatah dan penampilan sesetengah ahli Parlimen pembangkang, terutamanya yang suka menyampuk percakapan ahli lain. Perangai suka menyampuk ini tidak mudah untuk dibuangkan mungkin perangai ini diwarisi sejak dari mereka kecil lagi. Perangai asal penyakiti keturunan!

Pantang orang bercakap dia menyampuk, lepas itu dia ketawa. Macam main-main saja, tidak serius dan menggambarkan seorang ahli profesionali! Disebabkan perbuatan yang kurang manis inilah kadang-kadang isu yang penting terbiar begitu saja dan isu lain yang remeh temeh pula diperdebatakan bagaikan nak rak. Berlakunya perbalahan sehingga menjadikan Parlimen macam pasar ikan gara-gara perbuatan suka menyampuk tidak senonoh ini.

Dalam perhatian saya ada beberapa orang ahli Parlimen yang terkena saka penyakit ini. Mereka datang dari kedua belah pihak, pembangkang dan juga pihak kerajaan. Kewujudan ahli suka nyampuk ini sering kali ada pada setiap kali penggal Parlimen. Semacam species ini senantiasa saja ada dan sukar pula untuk dibasmikan. Mereka menjadi pelengkap Parlimen Malaysia.

Dari pihak pembangkang, ahli yang suka menyampuk ialah ahli Pokok Sena dan Padang Serai. Mereka ini terkenal dengan karektor menyampuk ini. Mereka tidak boleh mendiamkan diri ada-ada saja yang beliau nak celah dan sampuk orang yang bercakap. Malahan sikap ahli Padang Serai lagi dering apabila beliau boleh melangkah menghampiri speaker dan membisikan sesuatu. Beliau menjadikan speaker seperti rakan main gulinya semasa kecil.

Begitu juga dengan wakil Pokok Sena. Perangainya melucukan! Pernah seorang wakil Kerjaaan menyamakan telatah beliau seperti binatang atas pokok. Bahasa yang dikeluarkan juga kurang beradab dan tidak menandakan ciri-ciri seorang wakil Islam. Kononnya dengan menyampuk itu dia melawak, tetapi lawakan itu menyerlahkan dirinya yang sebenarnya.

Baik kalau mereka berdua (Padang Serai dan Pokok Sena) ini selepas habis ahli Parlimen atau sesudah tidak menang dalam pilihan raya kelak mereka bergabung tenaga tubuhkan kumpulan lawak boleh ganti Jamali Shadat dan Hamid Gurkha.

Manakala di pihak kerajaan pula dua juga ahli yang dikenali terkenal dengan menyampuk dan suka menjerit dan memperli ahli lain. Mereka ialah wakil dari Kinabatangan dan Batu Pahat. Kadang kala jeritan mereka mengalahkan ungka dan orang utan dalam rimba. Keadaan mereka menjadikan spekaer, pusing kepada dan terpaksa membekalkan panado dalam saku setiap kali melangkah masuk ke Parlimen.

Kelantangan melampau mereka ini menyenakkan telinga pemerhati mendengar. Pernah sekali wakil dari Batu Pahat kerana vokal tidak menentunya diherdik oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Anwar memintanya supaya belajar agama dan tahu berada bila bercakap atau berhujah.

Jadi kedua pihak ada wakil-wakil yang layak berada dalam kandang serkas. Bagaimana pun dalam melayani watak-watak dan telatah ini ada semacam tidak kena dilakukan speaker. Speaker seperti tidak bersikap adil dalam hal ini dan menggunakan kuasanya sebagai Speaker untuk melakukan diskrimiansi dengan membela ahli Parlimen Kerajaan dan muda terasa dan bertindak ke atas ahli pembangkang.

Benar ada kalanya lagak pembangkang melebih-lebih tetapi apa kurangnya dengan ahli Parlimen kerajaan. Namun yang selalu dikenakan hukum ialah ahli pembangkang. Tindakan memberi gambaran tidak baik kepada seorang sepeaker yang harus adil, bijaksana dan peka dengan keadaan.

Misalnya kejadian siang tadi di mana menyebabkan ahli Puchong, Gobind Sing Deo digantung sidang selama dua hari adalah kesilapannya bermula dari tindakan speaker yang tidak adil dan bersikap senget sebelah dalam tindakannya.

Jelas dalam sidang tadi Timbalan Speaker Wan Junaidi Tuanku Jaaffar gagal menjadi speaker yang bijak dan terpalit dengan emosi dalam melayan ahli Puchong itu. Beliau sepatutnya tidak bertindak menggantung wakil Puchong berkenaan berdasarkan amarah tanpa fakta yang kemas.

Beliau harus meneliti kenapa wakil Puchong itu jadi emosi dan menjerit-jerit macam orang kejar pencuri. Puncanya ialah dari speaker sendiri. Keputusan dibuat Wan Juniaidi untuk tidak meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamad Nazri Aziz supaya meminta maaf atas kekhilafannya adalah kurang tepat.

Alasan digunakan beliau kerana Nazri tidak berniat hendak mengeliru dan berbohong di Parlimen berhubung kedudukan kelima hakim yang menerima bayaran ex-gratia sebanyak RM10.5 juta itu tidak kena dan relevan dengan apa yang berlaku.

Mungkin betul Nazri tidak berniat begitu dan tidak perlu dihadapkan ke jawatankuasa khas Parlimen. Tetapi dengan memutuskan begitu saja tanpa memberi apa-apa amran kepada Nazri yang tidak peka dengan fakta itu tidak adil. Kalau Wan Juniadi bijak beliau harus memanggil Nazri agar memohon maaf kepada Parlimen atas kesilapan itu. Contoh klasik yang beliau petik hal sama pernah dilakukan oleh ahli Parlimen negara asing juga tidak menyakinkan untuk menerima tindakannya Nazri atau beliau itu sebagai betul.

Begitu juga alasan diberikan Wan Junaidi yang Nazri tidak tahu mengenai fakta bukan jalan penyelesaian. Jawaban itu sendiri menjelaskan Nazri gagal menjalankan tuagsnya sebagai Menteri. Sepatutnya selaku menteri Nazri tahu segala maklumat itu (berhubung pembayaran ex-gratia dan kedudukan hakim yang menerima wang itu) dan kalau beliau confius beliau boleh menangguhkan menjawab persoalan itu. Beliau selilidiki dulu kemudian baru memberi jawaban.

Apa yang dilakukan Timbalan Speaker menggantungkan wakil Puchong dan tidak memanggil wakil Padang Rengas itu satu tindakan bagi menyelamatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu. Ada benarnya juga bila wakil Puchong memperkatakan yang speaker cuba melindungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri?

Kesimpulannya setiap keributan yang berlaku dalam Parlimen (kecuali dilakukan si penyampuk) adalah kesilapan dan kelamahan speaker juga. Ada kalanya speaker sendiri yang mendorong ke arah berlarutannya pergaduhan dan pertegangan leher di Parlimen. Saya nampak kadang kala speaker ingin bertindak menjadi Backbanchers.

Bagi menjamin kewibawaan spaeker dan kewibawaan Parlimen saya rasa elok kalau speaker termasuk dua timbalannya belajar dan menimba pengalaman speaker-spear sebelum ini yang jelas lebih adil dan profesional.

Salah seorang bekas speaker yang boleh dicontohi dan sering disanjung tugasnnya ialah Allahyarham Tan Sri Zahir Ismail. Baik Wan Junaidi atau Pendikar Amin Mulia rajin-rajinlah membuka semula rakaman persidangan Parlimen sewaktu Allahyarham menjadi speaker. Belajarlah dari Tan Sri Zahir yang berhemah, lemah lembut tetapi tegas itu.

Ingatlah wibawa sesebuah negara dan demokrasi itu terletak kepada Parlimen; pincang Parlimen maka pincanglah negara dan demokrasi. [d' kota kl. 11:15 pm 25/11/08]

Jiwa Manusia

Susahnya Menjadi Cerdik Di Kalangan Bodoh!

MENJADI cerdik seribu kali lebih baik daripada menjadi bodoh! Tapi kalau cerdik tetapi menipu dan menyusah orang lain seribu kali tidak guna daripada menjadi bodoh yang baik, tidak mempedulikan orang.

Kali ini saya nak berborak di luar kotak pemikiran biasa, iaini fasal kita yang cerdik ini. Yang tahu menggunakan otak atau melihat sesuatu itu bukan sekadar melihat seperti mana mata ikan kering melihat lautan luas. Seribu kali terpandang lautan terbetang luas pun ikan kering itu tidak akan berusah menggerakan diri untuk terjun ke laut. Kenapa...?

Kadang-kadang teringin untuk tidak mahu jadi cerdik. Kerana dengan cerdik menjadikan kita akan berfikir sebelum menerima sesuatu perkhabaran dengan seadanya saja. Bila kita cerdik kita akan kaji, periksa dan nilai apaklah ia benar atau sebaliknya. Berbeza kalau kita bodoh, ia senang sahaja, biarkan saja otak berkembang dalam tempurung kepala tanpa menggunakannya biarkan ia penuh dengan lemak dan minyak.

Kenapa susah menjadi cerdik, pelik? Bukankah dengan cerdik itu boleh menyelamatkan kita dari ditipu dan diperbodohkan. Cerdik di sini maksudnya kita 'react' kepada sesuatu kejadian. Kita bangkit menilai dan mengkajinya. Menyebabkan kita berfikir dan mencari rumusan kemudian membuat kesimpulan. Dan apabila yang kusut itu tidak menemukan penyelesaian kitaakan menjadikan sebal dan merasa bodoh sendiri.

Saya ambil contoh mengenai isu mengenai senaman yoga yang heboh dipertuturkan sehari dua ini. Senaman itu telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, ianya haram. Lantas ia tidak digalak dilakukan secara sistemetik oleh umat Islam kerana bimbang boleh merosakkan aqidah.

Menurut majlis fatwa itu sekurang-kurang ada tiga asas senaman itu boleh membawa kepada kecacatan aqidah. Antaranya ialah keran ia ada usur mentera jampi, dan usaha (maditasi) penyatuan dengan Tuhan. Tuhan di sini dirujuk kepada Tuhan (Hindu ) sebab yoga itu sendiri sebahagian daripada ritual keagamaan Hindu.

Sepatutnya apabila Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan begitu ia diterima sebagai muktamad dan diamalkan. Kerana keudukan majlis fatwa itu samalah dengan majlis-majlis lain berkuasa ke atas sesuatu bidang. Apabila majlis telah memutuskan demikian ia tidak boleh dipertikaikan lagi.

Sebaliknya keadaan ini tidak berlaku kepada majlis fatwa itu. Masih ada yang mempertikaikan dan mempersoalkan apa yang diputuskan oleh majlis fatwa itu. Bukan setakat itu saja ada yang sampai buat report polis, menyinis dan membantahnya secara langsung. Aksi-aksi itu menggambarkan ilmuan dan mulut ulama sudah tidak dihormati lagi.

Kenapa ini berlaku? Inilah yang saya sebutkan tadi sepatutnya kita jadi bodoh dari hal-hal sebegini menyebabkan kita tidak akan persoalan terhadap apa yang berbangkit. Kalau kita bodoh senang saja apa yang para alim ulama putuskan kita terima, tidak mempersoalkanya lagi. Atau kita langsung tidak mempedulikannya baik tentang ia atau salahnya.

Tetapi kerana kita cerdik, kita menggunakan otak, maka bila berhadapan dengan perkara seperti fatwa itu dipersoalkan maka kita jadi gila sendiri berfikir kenapa ini berlaku. Kita menjadi mangsa keadaan antara benar dengan tidak, terjempit dicelah si pakar dengan sijahil.

Kenapa masih ada yang mempertikaikan keputusan majlis fatwa. Apakah apa yang dibuat itu tidak tepat? Apakah majlis fatwa tidak ada kredibiliti untuk memutuskan perkara itu?

Keadaan inilah membingungkan! Dan seperti saya katakan tadi, perasaan bingung dan tolol ini hanya menimpa diri kita yang berfikir saja. Bagi mereka yang tidak berfikir, tidak merasa apa-apa, malahan sesetengah itu berlaku tidak pun disedari atau dibiarkan saja berlalu. Tidak percaya tanya si tolol dan disboh di jalanan.

Untuk menhindarkan diri dari polemik sebegini menyebabkan sesekali teras ingin membawa diri ke lemah itu; menjadi orang yang tidak mempedulikan kepada perkara-perka melibatkan diri orang lain dan alam sekitar. Sesekali terasa ingin menjadi manusia yang bodoh dan sinting saja. Barangkali orang bodoh sangat sesuai untuk berada di negara ini kerana kerajaan sendiri kadang-kadang bebal dan lembu dalam tindakan-tindakan dan praktikalnya. [wm.kl. 7:30 pm 25/11/08]

Celoteh Murai 18

Kalau Tededah Malulah

Murai jadi terkicit.... (terberak) apabila membaca gesaan Ketua Wanita Johor, Halimah Mohamed Sadique yang berbadan langsing dan lawa itu agar wanita Umno tidak menelanjangkan pergerakan itu dengan mendedahkan keburukan danmelakukan fitnah terhadap Rafidah Aziz dan Shahrizat Jalil yang akan 'bertarik' rambut Mac depan.

Aik....lain sikit bunyinya gesakan Halimah ini. Kenapa ya? Apakah Halimah sudah dapat menghidu ada orang akan mendedahkan rahsia atau hal-hal peribadi Ketua dan Naib Ketua Wanita itu? Kata orang kalau tidak ada mengadakan masakan tempua bersarang rendah. Selaunya bila ada kilat akan adalah guruhnya walaupun hujan belum tentu turun.

Kalau nak burukan antara satu sama lain siapa yang akan memulakannya? Siapakah yang hendak mendedahkan keburukan dan membuat fitnah? Untuk pengetahuan Halimah biasalah kalau ada pertandingan hal-hal titik bengkit pun dijadikan isu. Takkan Halimah tidak tahu, calon akan melakukan apa saja untuk memastikan kemenangan masing-masing.

Tapi Murai rasa Halimah tidak perlu bimbang sangat, rasanya masih ada wanita Umno yang beriman dan kelihatan solehah dalam pergerakan itu. Yang tutup rambut itu... tentu lebih nampak sopan daripada yang membuka rambut. Orang-orang macam dua anak Ibrahim, Kamilia dan Mashitah itu adalah wanita yang bukan saja cantik, bersopan tetapi mereka juga kelihatan solehah dan beriman.

Orang-orang seperti Kamilia, Mashitah itu tidak mungkin sanggup melakukan apa yang lebih daripada sepatutnya. Mereka tahu halal haram baik dari sisi agama dan juga sisi undang-undang. Apa lagi Kamilia sudah mnang tidak bertanding, tidak ada sebab dia akan mendedahkan keaiban orang lain. Manakala Mashitah pula tidak terlibat dengan pertandingan. Mereka bolehlah menasihati wanita Umno daripada terlajak seperti dibimbangi Halimah itu.

Apabila Halimah membuat gesaan itu tentu Halimah sendirti tahu siapa yang ada rahsia dan siapa yang tidak ada rahsia! Halimah tentu juga tahu wanita mana yang main dengan laki orang ataupun berfoya-foya di luar negara? Halimah juga tahu bagaimana seorang ketua wanita dibelasah oleh madunya di sebuah kompleks membeli belah tidak lama dulu.

Begitu juga Murai rasa Halimah ada simpan SMS seorang ahli politik yang miang dan mencuba...cuba... dan mencuba... cuba itu. Tentu! Dan tak ingat ke...?

Kalau Halimah tidak mengetahui rahsia-rahsia dan hal peribadi itu pasti beliau tidak berkata demikian. Bab kata pepatah hanya jauhari mengenali maknikam. Apapun Murai harap kalaupun berlaku perang Salib dalam wanita Umno nanti janganlah sampai tarik dan senjah kelubung merah atau melodeh kain. Jagalah. Ah... malulah kalau hal-hal dalam kain terdedah kepada umum. Wanita Umno juga kena ingat mereka bukan lagi puteri.... kalau puteri tu.... (tak boleh juga).

Apabila sudah ada yang hendak lawan dan yang hendak kena lawan maka berlawanlah dengan cara berkawan-kawan. Ingat-ingatlah pesanan Halimah Sidique itu... jangan sampai terlanjang, jangan!

Murai: Ada simpan gambar seorang wanita Umno dengan jantan bukan muhrim dalam suasana romantik!

Monday, November 24, 2008

Pas Selangor

Kenapa Pas Selangor Dirombak?
Saari dan Khalid Digugurkan.

(kemaskini) TIBA-TIBA saja Pas Selangor membuat rombakan ‘Kabinetnya’. Tiada pula kedengaran apa-apa yang tidak beres yang berlaku dalam Pas negeri berkenaan dalam tempoh sehari dua ini. Selama ini - selepas pilihan raya umum Badan Perhubungan Pas Selangor berada dalam keadaan aman damai saja. Perpaduan dan ukhwan Pas Selangor kuat dan bersemangat.

Kalaupun ada sedikit pergolakan ialah menjelang pembentukan Kerajaan Selangor selepas pilihan raya umum lalu. Ada sedikit perselisihan pendapat, ada yang merasakan Pas lebih baik membentuk kerajaan bersama Umno atas kepentingan Melayu manakala ada yang merasakan tidak dan lebih baik Pas meneruskan pembetukan Kerajaan dengan PKR dan DAP sebagai untuk tidak melukai hati rakyat yang memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Apapun selepas itu, isu itu selesai. Kedua pihak yang berselisih pandangan akhirnya akur kepada kehendak semasa, iaitu Pas harus membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP menerusi Pakatan Rakyat.

Jadi apabila Jumaat lalu, Badan Perhubungan Pas Selangor dirombak ini menyebabkan pemerhati politik sedikit terjungkit dan tercari-cari apakah sebab musababnya maka ia dirombak. Apa lagi rombakan itu melibatkan Timbalan Pesuruhjaya, Abdul Khalid Samad dan Ketua Penerangan, Saari Sungip.

Kedua mereka adalah orang penting dalam Pas Selangor. Khalid juga ahli Parlimen kawasan Shah Alam, manakala Saari Sungip ADUN kawasan Ulu Klang. Kelantangan Khalid dalam membangkitkan isu-isu rakyat di Parlimen (yang kadangkala kontras dengan minda Pas) menjadikan ahli Parlimen itu sebagai aset Pas Selangor untuk di masa depan.

Begitu juga dengan Saari Sungip. Aktivis sosial ini nampak begitu menekankan soal-soal kemanusiaan yang harus diperjuangkan oleh Pas. Walaupun beliau dilihat tidak ekstrim tetapi merupakan seorang yang kuat berpegang kepada doktrin Islam moderate.

Sebagai anggota Dewan Harian, merekalah yang menentukan gerak nadi Pas Selangor. Segala keputusan penting termasuk berhubung peranan Pas dalam kerajaan Pakatan Rakyat turut melibatkan pemikiran mereka berdua.

Tempat Abdul Khalid itu diganti oleh Ahli Parlimen Ulu Langat, Che Rosli Che Mat. Che Rosli ialah bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis dan bekas Yang Dipertua Pas Ulu Langat. Melihat kepada jawatan yang pernah disandang itu beliau mempunyai pengalaman dan ada kesesuaian untuk menjabat jawatan itu.

Manakala tempat Saari Sungip diganti oleh Roslan Shahir, (foto bawah) yang juga Setiausaha Akhbar Presiden Pas. Roslan juga merupakan Yang Dipertua Pas Kelana Jaya dan salah seorang barisan pemimpin pelapis Pas Selangor yang rajin menumpahkan idea dan bersikap konservetif. Sebelum pilihan raya lalu, Roslan sudah menjawat jawatan itu. Jawatan itu diserahkan kepada Saari selepas Roslan dilantik menjadi setiausaha akhbar Presiden Pas kerana bimbang beliau tidak dapat memberi tumpuan kepada jawatan berkenaan.

Sudah pasti Dr Hassan ada alasan tersendiri kenapa rombakan perlu dilakukan dan melibatkan dua individu itu. Apakah peranan Saari sebagai Ketua Penerangan tidak berfugsi dengan baik maka beliau ditukar, diserahkan balik kepada Roslan? Ataupun ada sesuatu yang sedang beralun antara beliau dengan timbalannya, Khalid menyebabkan ia perlu diganti dengan Che Musa?

Dalam sesebuah organisasi kalau ketua tidak sehaluan dengan timbalan apa lagi kalau orang nombor dua pandai bertindak sendiri dan bersikap lebih sudu dari kuah memang menimbulkan masalah. Sukar untuk seorang ketua menjaga anak buah yang cerdik dan cuba menguruskan diri sendiri tanpa mengambil kira suara majoriti dan tidak tahu menghormati parti.

Apakah situasi itu yang berlaku di sekitar Khalid Samad? Sebab jika diperhatikan kepada beberapa tindakan dan kenyataan Khalid sebelum ini ia menggambarkan beliau seorang yang berbuat mengikut kepalanya saja dan seorang yang terlalu outspoken sehinggakan adakalanya sikap itu menimbulkan masalah kepada parti. Kerana ketelusan yang diingini sampai rahsia parti yang tidak sepatutnya didedahkan ikut sama diluah. Dia juga seorang yang vokal dalam memperkatakan sesuatu yang tidak 'semakan' dengan kepalanya.

Khabarnya pertukara jawatan dan rombakan itu diterima sebulat suara oleh kesemua anngota badan perhubungan Pas Selangor. Tidak ada apa-apa bantahan. Walaupun itu adalah hak prerogetif Pesuruhjaya, namun Hassan katanya membincangkan soal rombakan itu dalam mesyuarat terbuka bagi mendapat pandangan semua ahli Badan Perhubungan. Kedua mereka yang terlibat dengan pertukaran itu juga turut hadir dan menerima dengan baik keputusan itu.

Seperti mana dilaporkan media massa, alasan rombakan untuk memantapkan lagi Pas Selangor dan bagi memastikan segala polisi dan dasar Pas seperti mana termaktub dalam perlembagaan dan diputuskan parti berjalan dengan lancar.

Ada desas desus mengatakan rombakan itu sebagai pembersihan mereka yang menyokong Anwar Ibrahim? Apakah tanggapan itu benar? Memang mereka ini dilihat rapat dan banyak memberi masa kepada Anwar Ibrahim. Saya sendiri kerap melihat kehadiran Khalid Samad ke rumah Anwar bersama beberapa pemimpin Pas lain yang dilihat ‘bau-bau bachang’ dengan Anwar.

Tetapi saya fikir pemecatan itu bukan kerana sebab itu. Keakraban dan keyakinan Khalid kepada ketokohan Anwar untuk jadi PM saya rasa bukan alasan tepat kenapa beliau harus ditiadakan dalam badan perhubungan Pas Selangor. Pemergian Khalid ke rumah Anwar dan keakrabannya dengan Anwar tidak wajar dijadikan hujah. Kalau Khalid mendatangi Anwar sebagai kunjungi orang mengkagumi Anwar apalah salahnya?

Begitu juga kalau pemergian atau keakraban Khalid dan pemimpin lain dengan Anwar dalam rangka untuk menjayakan projek 16 September tidak wajar kalau mereka dihalang apa lagi ianya diambil tindakan. Bukankah pemergian dan penglibatan mereka itu untuk memastikan kerajaan BN tumbang dan bukankah itu juga cita-cita Pas selama ini?

Cuma apa yang salahnya kalau penglibatan secara eksklusif itu tanpa premisi daripada parti ia adalah salah. Apa lagi kalau ada yang melebihkan Anwar daripada presiden sendiri, ia tidak patut berlaku. Kerana setiap yang berjemaah itu harus akur dan taat kepada jemaah! Harus berwalad kepada ketua dalam jemaah bukan ketua di luar jemaah, meskipun betapa baik dan idealnya dia.

Apapun yang pasti rombakan itu ada sebab-sebab lebih rahsia dan munasabah. Kalau tidak masakan Pas Selangor rela mengorbankan mereka. Jika dilihat rombakan itu berlaku selepas Pas mengadakan retreat di Langkawi 7 dan 9 November lalu mungkin tindakan merombak badan perhubungan itu terilham di Langkawi.

Mungkin ada sesuatu berlaku di Langkawi kalau tidak masakan rombakan itu dibuat selepas kepulangan dari pulau sumpahan itu. Bagaimana pun sukar untuk dikatakan apa yang berlaku di pulau lagenda itu. Tetapi yang jelasnya selepas pulang dari Langkawi membuatkan hati Hassan Ali terbuka untuk merombak badan perhubungan Pas. Mungkinkah ada seseorang yang hadir pada retreat itu telah menimbulkan masalah! [wm.kl. 6:45 pm 24/11/08]

Sunday, November 23, 2008

Celoteh Murai 17

Orang Melayu Macam Penghidap Kencing Manis

MURAI naik kesian dan simpati kepada orang berbangsa Melayu di negeri Murai bermukim ini. Kesian.... kesian sungguh! Murai tengok orang Melayu seperti dalam keadaan berkrisis sesama sendiri dalam mencari nilai dan identiti diri yang beransur hilang. Macam-macam yang keluar dari kepala orang Melayu dalam usaha hendak memartabatkan diri mereka.

Apakah orang Melayu sudah kekeringan idea dalam memikirkan nasib mereka?

Bila Lim Guan Eng sudah menunjukkan taringnya di Pulau Pinang negeri yang dibawah pemerintahannya dengan menamakan jalan-jalan di Pulau Pinang dalam tulisan Cina dan Tamil, orang Melayu jadi melenting-lenting macam keropok lekur dalam kuali panas. Bukan main lagi dengan hembur dan lepaskan kegeraman kepada Guan Eng.


Murai percaya kalau mereka terjumpa Guan Eng jalan bersendirian mereka akan pukul Guan Eng sampai tersungkur makan tanah.

Tengoklah surat khabar kepunyaan orang Melayu dari kelompok Umno hari ini (23 November). Baca petikan di muka depannya. Kata-kata dan komen mereka macam pahlawan tikam tak lut bakar tak hangus saja lagaknya.

Kata orang Melayu dari Melaka, apa yang dibuat Guan Eng itu dengan menamakan jalan dengan berbagai bahasa tidak pernah berlaku di dunia ini.


Murai nak jawab kepada orang Melayu dari Melaka itu, kini ia suah bermula di Malaysia. Khasnya di Penang. Itulah kehebatan dan kejayaan Guan Eng. Tidak sampai setahun memerintah Pulau Pinang sudah dapat membuat sesuatu menurut nalurinya dan idealisme perjuangannya tanpa perlu memikirkan perasaan orang macam orang dari Melaka itu.

Murai percaya selepas ini Guan Eng akan melakukan sesuatu yang lebih daripada itu. Sesuatu yang disifatkan sebagai tidak pernah berlaku di mana-mana dalam dunia ini.

Berkata pula seorang lagi Melayu tindakan Guan Eng itu degil dan tidak bertanggungjawab. Murai tolong nak jawab kepada Melayu seorang ini, dia profesor dan juga berasal dari negeri pahlawan yang hilang (pahlawan penakut), (Melaka) juga. Untuk melakukan sesuatu yang besar dan berat seseorang itu kena degil dan keras kepala. Apa yang Guan Eng buat itu dia bertanggungjawab kepada parti dan ethniknya. Tanpa bersikap keras kepala ia mungkin tidak akan berjaya.

Macam nak pecahkan batu atas gununglah, kalau asyik duk guna air dan angin saja tak menjadi, sesekali kena pakai bom atau 'boldrozar'.

Manakala seorang lagi Melayu, asalnya dari Kelantan... berkata tindakan kerajaan Pulau Piangn itu angkuh dan tidak ada masalah kalau mereka batalkan rancangan itu.

Menghimpun semua kata-kata orang Melayu itu, apa yang Murai rasakan mereka meluahkan perasaan saja. Mereka hanya boleh berkata-kata tetapi tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Sikap mereka itu samalah seperti penghidap dabetis yang kadar gulanya sudah melebihi hak. Jadi apabila mereka cuba nak kawal gula dalam tubuhnya sudah tidak berhasil lagi.

Jadi orang Melayu hari ini sepertilah orang kena kencing manis. Sudah tidak ada penawar lagi kecuali setakat bertahah saja sebelum maut datang menyambar. Selalunya bila dah kena kencing manis ia akan berjangkit pada jantung, buah pinggan dan silap hari bulan jadi 'bolel' (buta).

Murai jamin bagi Guan Eng tidak pun merasa apa-apa dengan kata-kata itu. Apa yang dilemparkan itu bak mencurah garam ke laut saja. Yang penting semasa papan tanda jalan itu dibangunkan tidak ada siapa berani mencegah atau mecabutnya balik. Jadi setakat berkata-kata ia tidak memberi bekas samalah dengan tindakan anjing menyalak bukit. Bukit tidak akan runtuh pun.

Pada Murai kalau ketiga orang Melayu itu benar-benar berani pergilah ke Pinang dan cabut papan tanda itu! Berani ke? Kalau kita benar-benar pahlawan cubalah, usah takut kepada penjara. Keberanian Guan Eng sudah pun teruji beliau dah pun meringkuk dalam penjara kerana mempertahankan kebenaran yang diyakini.

Biarlah di sini Murai hendak ingatkan kepada orang-orang Melayu seperti yang dipetikkan kenyataan mereka oleh akhabr itu, berhentilah berfikir mengikut rasa sebaliknya kembalilah kepada realtii. Mereka harus faham kenapa orang Melayu tidak tergerak (berdegis) untuk mengikuti seruan mereka kerana perjuangan mereka itu tidak relevan lagi.

Maka elok sangatlah kalau mereka termasuk Umno juga melakukan perubahan, pandangan dan pegangan. Nah, Murai rasa untuk tidak sakit kepala mulai hari ini jangan lagi kita berjuang untuk mencari idetiti dan nilai diri yang sudah hilang itu. Marilah kita sama-sama menjadi mahkluk macam robot yang bergerak kerana mengikut monitor tuannya! Ha...haha.

Murai: Didik anak sejak dari dalam telor lagi.

Perspektif Diri

Kongres PKR: Persiapan ke arah memerintah Malaysia

MINGGU depan giliran Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula akan mengadakan kongres nasional tahunannya. Kongres ini merupakan kali ke-5 selepas Keadilan bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Sudah tentu kongres kali ini akan menjadi tumpuan ramai. Ada beberapa sebab kenapa kongres ini diramal bakal hangat dan menjadi fokus umum baik dari ahli, penyokong dan pemerhati.

Pertama, inilah kongres pertama selepas pilihan raya umum ke-12 yang membawa kejayaan besar kepada PKR. Tidak boleh dinafikan kejayaan yang dicapai dalam pilihan raya lalu jika diukur kepada pencapaian itu meletakkan PKR menjadi parti kedua terbesar selepas Umno.

Di Parlimen Umno mempunai 83 kerusi manakala PKR 31 di mana hampir separuh daripada kerusi Umno. Berbanding dengan PAS yang mempunyai 23 kerusi manakala DAP 28 kerusi.

Sekiranya kejayaan dalam pilihan raya umum ke-12 itu mampu dipertahankan tidak mustahil PKR akan menjadi parti masa depan dan pilihan rakyat negara ini yang seterusnya menjadi parti peneraju kerajaan?

Situasi dan realiti itu menyebabkan kongres pada 28 dan 30 November bertempat di stadium tertutup, stadium Melawati, Shah Alam dijangka menarik perhatian umum. Kehadiran pemerhati dan sambutan kongres berkenaan juga mungkin akan meningkat berbanding dengan kongres-kongres sebelum ini. Apa lagi tempat berlangsungnya kongres itu selesa jika dibandingkan dengan tempat berlangsungnya kongres sebelum ini.

Sebelum ini PKR menghadapi masalah mendapatkan peremis untuk mengadakan kongres mereka. Bukan semua hotel mewah atau dewan umum bersedia memberi ruang kepada PKR. Lantaran itu PKR terpaksa mengadakan kongres mereka di merata tempat termasuk di tempat yang tidak berapa sesuai disebabkan kesulitan itu. Kerana tidak ada pilihan maka kongres terpaksa juga diadakan. Satu ketika PKR pernah mengadakan kongres di Dewan Tokong Cina di Ipoh.

Alhamdulilah walaupun tempat kongres tidak selesa dan dilengkapi dengan kemudahan prasarana seperti hawa dingin dan sebagainya sambutan tetap hangat dan membanggakan. Semangat untuk melakukan perubahan dan pembaharuan menjadikan segala kepayahan dan kesusahan itu dialpakan.

Kalau di Dewan Tokong Cina sambutan hangat dengan kehadiran ribuan orang, apa lagi di tempat yang selesa seperti stadium Melawati di Shah Alam itu tentu ia akan bertambah hebat dan meriah. Lagipun tempat itu bolehlah dianggap sebagai peremis PKR sendiri. Selangor kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat di mana PKR sebagai tulang belakangnya. Pengerusi PKR Selangor, Abdul Khalid Ibrahim adalah Menteri Besar. Kedudukan itu tentu akan diambil kesempatan sebaik mungkin untuk berkongres dalam keadaan selesa dan penuh bermakna.

Seperti dikatakan tadi, inilah kongres atau perhimpunan rasmi pertama PKR selepas selesai pilihan raya umum Mac lepas. Sudah tentu kongres kali ini berbeza dari segi penampilan, semangat serta komitmen kalangan ahli. Keinginan ahli untuk menghadiri kongres itu akan jadi bertambah ghairah. Lantaran itu ia diharap akan menghasilkan natijah yang bermakna dan bukan sebagai gelangang untuk beretorika dan melepas hawa saja.

Kongres kali ini tidak melibatkan pemilihan. Peluang ini memberi ruang banyak kepada ahli atau perawakilan untuk membahas, membincangkan dan merangka pelan tindakan parti setidak-tidaknya menjelang pilihan raya umum ke- 13 akan datang. Peluang baik ini juga hendaknya dimanfaatkan untuk mengemukakan idea lebih inklusif demi masa depan parti berkenaan yang diharap menjadi alternatif kepada rakyat seluruhnya.

Seperti mana dirancangkan kongres itu akan bermula dengan kongres Angakatan Muda dan Wanita pada 28 November. Kedua persidangan ini akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PKR, Syed Hussein Ali. Ia kemudian akan diikuti dengan kongres nasional tahunan. Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail akan merasmikan kongres manakala Penasihat Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptamanya.

Menjadi amalan dan kebiasaan ucapatama dan ucapan asar penasihat akan menjadi landasan pemikiran dalam merangka strategi parti untuk beberapa tahun akan datang. Para perwakilan akan mengupas dan mendalami kedua ucapan berkenaan. Adalah dijangka, baik presiden atau penasihat akan menumpukan kepada agenda untuk memapatkan parti, meningkatkan kualiti kepimpinan dalam rencana persediaan menjadikan PKR sebagai sebuah parti bakal memerintah Malaysia.

Beberapa isu berbangkit dari kalangan Pakatan Rakyat, khasnya mengenai tanggapan sesetengah pemimpin PAS terhadap pendekatan politik atau dalam menguruskan pentadbiran kerajaan milik Pakatan Rakyat seperti di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah akan turut sama diperjelaskan bagi mengelakkan tidak timbul salah anggap yang boleh melemahkan Pakatan Rakyat.

Apakah mengenai nasib penasihat PKR itu yang kini sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah akan turut sama dibincangkan? Seperti mana umum ketahui Anwar kini sedang berhadapan dengan tuduhan liwat kali kedua dan perbicaraan masih dijalankan. Memandangkan akan berlaku perubahan kepimpinan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) ada kemungkinan Anwar juga akan turut memberi huraian mengenai masa depan politik serta persiapan menghadapi serangan dan propaganda baru BN di bawah kepimpinan baru itu.

Dalam pada itu ada beberapa isu atau perkara yang harus diberikan penekanan oleh para perwakilan sekelian ini termasuklah;1. Permatapan PKR sebagai sebuah oragnaisasi bakal menulangi kerajaan.Kongres perlu membincang bagaimana atau kaedah untuk memantapkan kedudukan PKR sebagai sebuah parti bakal menjadi tulang belakang kepada kerajaan di masa akan datang. Untuk ini PKR perlu menambah nilai ahli (mental dan fizikal) dan juga wilayah rangkaian PKR di seluruh negara. Justeru adalah sesuai kalau PKR merancang menambahkan bahagian parti itu di seluruh negara mengikut kawasan Parlimen sebanyak 222. Ataupun sekurang-kurang PKR perlu mempunyai 200 bahagian di seluruh negara.

Untuk mewujudkan ini PKR tidak ada masalah kerana ia tidak ada apa-apa halangan. PKR yang sifatnya sebagai parti pelbagai bangsa dengan Melayu menjadi tunggaknya boleh mengembangkan sayapnya ke mana juga wilayah kerana ia tidak terhalang seperti mana parti-parti lain yang bersifat konservetif.2. Semangat setia perjuangan dan rela berkorban.

PKR perlu menanam dan menguatkan semangat setia kawan, persaudaraan sesama ahli dan rela berkorban untuk kemenangan perjuangan. Dalam konteks ini mana-mana ahli yang meresakan mereka tidak mampu untuk menjanakan (memimpin bahagian) perjuangan hendaklah rela dan ikhlas menyerahkan jawatan kepada rakan yang boleh dirasakan mampu menggerakan parti.

Jangan kerana semata-mata ingin menjadi ketua atau dengan harapan dengan kedudukan itu akan mendapat habuah, seseorang penjawat jawatan itu terus kekal dengan kelemahannya tanpa menghiraukan nasib parti.3. Tambah keahlian.Sesuai dengan kedudukannya bakal menerajui kerajaan di masa akan datang, PKR perlu menambahkan keahlian. Mesti ada kempen atau program khas secara holistik untuk mengajak anak-anak muda khasnya menjadi ahli parti.

Sasaran keahlian PKR harus melebihi tiga juta. Dengan memiliki ahli yang ramai, PKR boleh meneliti dan memilih mereka untuk dilantik sebagai kader ataupun jentera pilihan raya. Kelemahan yang ketara kepada PKR ialah jentera pilihan raya, di mana di sesetengah tempat PKR hanya menumpang jentera rakan mereka, terutamanya Pas. Kelemahan ini perlu diperbaiki dan diperkemaskan.4. Penjelasan mengenai beberapa isu berbangkit.

Kongres ini hendaklah digunakan untuk menjelaskan beberapa isu berbangkit yang tidak difahami oleh ahli. Antara isu ini ialah hubungan dengan rakan Pakatan Rakyat. Perselisihan faham dalam PAS berhubung sifat dan peranan PKR dalam Pakatan Rakyat perlu dijelaskan. PKR harus menyatakan sikap yang menyakinkan PAS.

Penjelasan ini penting kerana kekeliruan mengenainya menyebabkan pandangan umum tidak yakin terhadap kemantapan dan kemampuan Pakatan Rakyat.5. Buang budaya Umno.Ahli PKR perlu membawa dan mengamalkan buadaya baru. Budaya lapok dan merosakkan akhlak dan pertubuhan yang diwarisi dari Umno hendaklah dibuang dan diharamkan dalam PKR.

Menyertai parti untuk mendapat projek haruslah dikikis dan jangan sesekali bawa budaya dan pemikiran itu dalam PKR. Ini penting kerana PKR kini sudah mempunyai kerajaan negeri dan ada kuasa. Jangan pula berlaku perebutan jawatan, kontrak, jawatan-jawatan dalam PBT, agensi dan sebagainya.

Itulah antara perkara yang perlu dibincangkan dan diberi perhatian oleh para perwakilan kongres. Mudah-mudahan kongres ke-5 merangkap ke-9 itu nanti akan memberi impak besar kepada parti PKR amnya dan kepada penasihat umumnya Anwar Ibrahim. Selamat bersidang. [wm.kl 3:00 am 23/11/08]

Saturday, November 22, 2008

Dalam Hujan

Menilai Lidah Calon Ketua Pemuda Umno

DUA calon Ketua Pemuda Umno, Mukhriz Mahathir dan Mohammad Khir Toyo masing-masing masang janji mereka tidak akan menerima apa-apa tawaran untuk memegang jawatan dalam Kabinet sekiranya mereka menang sebagai Ketua Pemuda kelak.

Keduanya mahu jawatan itu untuk mengukuhkan parti bukannya sebagai tikit untuk menjadi menteri Kabinet. Mukhriz mahu menggunakan jawatan itu bagi mengukuhkan parti di samping menyelesaikan berbagai isu yang menimpa Umno dewasa ini. Lantaran itu katanya beliau tidak berminat dengan jawatan menteri.

Kenyataan itu membayangkan Mukhriz mempunyai iltizam tinggi untuk membawa Pemuda Umno ke era kegemilangan seperti sebelum ini. Ataupun anak bekas PM itu menyedari bahawa tahap kekuatan atau wibawa pergerakan itu kini semakin merudum.

Manakala Khir Toyo pula mahu menjadikan Pemuda sebagai kumpulan pendesak yang berani dalam mengemukakan hujjah. Mungkin dalam pemerhatian bekas MB Selangor itu pemuda di era Hishamuddin pondan dan mandul; penakut dan tidak peka kepada isu-isu membela Melayu.

Pengkauan mereka berdua berbau ilkhlas dan jujur! Itulah pejuang sebenar dan pemuda bangsa yang sayangkan negara dan partinya. Mereka memberi gambaran mereka meletakkan kepentingan parti melebihi daripada segala-galanya. Syabas dan tahniah!

Berlainan pula dengan Khairy Jamaluddin. Sehingga ini ahli Parlimen Rembau itu belum menyatakan pendirian berhubung perkara itu. Cuma dalam satu interviu dengan Siasah beliau ada menyebut soal jawatan bukan sesuatu yang ditagih tetapi terserah kepada Perdana Menteri kelak.

"Saya tidak fikirkan soal jawatan, tetapi terserah kepada Perdana Menteri yang akan menentukan," begitu kata Khiry dalam interviu dengan akhbar Siasah.

Di sini Khairy agak berlapik dalam kenyataanya. Beliau tidak menolak terus seperti mana kedua calon itu. Ada sedikit kebijaksanaan beliau dalam hal ini. Khairy tidak menjadikan soal penolakan jawatan sebagai modal kempen dan daya penarik perwakilan.

Mengapa begitu, mungkin Khairy tahu sifat politik sebelum seseorang mendapat kuasa apa lagi dalam usaha mendapatkannya mereka hanya berkata yang senang dan disuaki ramai. Tetapi bila lepas menang segala-galanya akan berubah. Mungkin menantu PM itu tidak mahu munafik kepada perwakilan dan dirinya sendiri. Sudah banyak ahli politik tidak mengotakan katanya dan ada setengahnya rela menjadi saleintia.

Apapun kita mengharap pengakuan kedua calon Ketua Pemuda itu betul dan benar. Ia bukan sekadar untuk dijadikan daya tarikan atau modal kempen saja. Jangan pual selepas ini apabila sudah menang mereka akan berarak ke rumah PM atau menggunakan berbagai teknik untuk melobi untuk dilantik menjadi menteri Kabinet.

Jangan pula dipaksa PM selepas ini agar melantik mereka dan menuntut jawatan Kabinet itu dengan alasan itu adalah hak Ketua Pemuda Umno. Jangan pula menggunakan soal tradisi dan percedent untuk mendapatkannya. Kita berharap mereka akan berpegang teguh dengan kata-kata itu. Apakah mereka berjanji kalau mereka diminta juga untuk memegang jawatan dalam Kabinet mereka tetap akan menolaknya?

Pun begitu bagi saya, kenyataan dan pengakuan Mukhriz dan Khir Toyo itu tidak lebih daripada gimik saja. Jika dilihat kepada suasana yang berlaku dalam Umno, kenyataan itu tidak lebih daripada untuk memperesonakan perwkilan Umno saja. Umum tahu bahawa setiap kaki orang politik yang melangkah dalam kancah politik cita-cita mereka ialah untuk memiliki jawatan tertinggi. Apakah setelah berhabis ratusan ribu mereka akan lupakan begitu saja peluangnya?

Jadi adalah anih dan ajaib kalau sesudah menang menjadi Ketua Pemuda kelak, kalau mereka enggan mengambil kesempatan itu. Selalunya Pemuda Umno diberikan kuota untuk menduduki Kabinet.

Beberapa Ketua pemuda sebelum ini termasuk Hishamuddin Hussein mendapat tuah dan layanan istimewa kerana beliau memegang jawatan itu, kecualilah Ahamd Zahid Hamidi yang terlepas kerana beliau tidak sehaluan dengan Perdana Menteri ketika itu. Kalau Zahid besedia untuk menjadi pak pandi kepada Mahathir beliau juga akan dilantik menjadi menteri.

Hishamuddin Hussein kalau beliau bukan Ketua Pemuda, mungkin beliau tidak akan merasai bagaimana sedap dan bahagiannya duduk dalam Kabient. Kerana jika dilihat kepada kebolehan dan kemampuannya untuk beliau jadi mandol di kebun teh di Johor pun belum tahu layak lagi.

Justeru itu pengakuan Mukhriz dan Khir Toyo itu sebagai gimik saja. Mungkin kalau Khir Toyo menang ketua pemuda beliau tidak mahu memegang apa-apa jawatan dalam Kabinet kerana beliau tidak menjadi ahli Parlimen. Khir terpaksa kena tunggu sehingga beliau dilantik senator ataupun menajdi ahli Parlimen dulu. Ini berlainan dengan Mukhriz yang kini sudah menjadi ahli Parlimen. Saya berani jamin kalau Mukhriz menang tidak sampai lima hari dia akan masuk ke dalam Kabinet!

Apakah kerana kedudukan itu maka Khir membuat kenyataan demikian? Apabila Khir sudah menyuarakan demikian maka beliau kena berpegang kepada kata-kata. Jika beliau langgar kata-kata itu pasti kalau beliau menang tidak sampai sepenggal beliau akan kena sapu.

Jadi di sini Khairy nampak ada sedikit keikhlasan dan tidak berhipokrit. Beliau tidak mengeluarkan kata-kata yang sukar untuk dipraktikan bila sampai masanya anti. Khiry lebih gentleman. Apakah berdasarkan sikap awal ini ia akan memberi peluang kepada ahli dan perwakilan Pemuda untuk menilai siapa yang ikhlas, hipokrit ataupun awal-awal lagi cuba menipu mereka! [d'kota kl. 5:25 pm 22/11/08]

Friday, November 21, 2008

Ilusi Bangsa

Cerita Dalam Sebuah Kelas

DALAM sebuah kelas Sekolah Kebangsaan di sebuah kampung agak pedalaman, seorang cikgu perempuan sedang memberi maklumat semasa kepada murid-muridnya. Ditangannya terpegang sebuah surat khabar Melayu popular. Bagi penduduk sekitar sekolah itu hanya itulah satu-satu surat khabar yang sampai ke kampungnya.

Akhbar itulah menjadi peyambung mereka dengan dunia luar dan pembekal maklumat terkini yang dulu sangat dipercayai tetapi kini semakin diragui!

Menjadi rutin bulanan cikgu muda ini akan menggunakan akhbar sebagai alat pembelajaran sabagai selingan dan mempelbagaikan bentuk pembelajaran. Kebetulan hari ini berita mengenai kenyataan seorang yang dibabitkan membunuh wanita asing disiarkan di muka depan. Berita yang disiarkan secara meluas itulah dijadikan topi pembelajaran.

"Murid-murid sudah baca akhabr ini?" tanya cikgu itu sambil mengangkat tinggi-tinggi akhbar berkenaan.

"Tidakkk......! jawab murid-murid serentak. Ada yang menggeleng kepala sambil mata merenung ke arah surat khabar yang sedang dibelek-belek cikgu muda itu.

"Di sini.... dalam akhbar ini ada cerita menarik, iaini kenyataan oleh seorang yang baru dibebaskan oleh mahkamah daripada bersubahat membunuh seorang perempuan beranak satu. Kisah ini berlaku nun jauh di ibu kota negara kita. Cikgu ada beberapa perkara dan persoalan yang hendak dikongsikan dengan kamu semua," kata cikgu itu bersedia untuk mengemukakan persoalan. Beliau mahu menguji sejauh mana kepekaan dan kebijaksanaan anak-anak murid tersayangnya itu.

"Pertama, si tertuduh itu menafikan bahawa ada seseorang yang dikaitkan dengan wanita yang dibunuh kejam itu mengenali wanita asing itu. Apakah kamu percaya atau tidak?"

"Tidakkk...!" jawaban murid serentak seolah mereka sudah mengetahui latar belakang berhubung cerita itu. "Kami tidak percaya!" tambah mereka dengan lebih tegas dan jelas lagi.

"Kedua, kata tertuduh yang dibebaskan itu, sejak dibebaskan dia tidak pun berhubung dengan seorang yang turut dikaitan dengan pembunuhan wanita itu, baik menerusi telefon atau SMS, kamu percaya atau tidak?" tanya cikgu itu.

"Tidakkkk...," jawab semua 30 orang murid itu seakan sebelum habis cikgu itu membaca soalan itu mereka ramai-ramai sudah menjawab.

"Ketiga, kata tertuduh yang bebas itu sesiapa percaya kepada berita mengata orang itu ada kaitan dengan perempuan yang dibunuh itu, adalah bodoh... apa pandangan kamu semua mengenai hal ini?"

"Selalunya orang cerdik menipu orang bodoh dan orang bodoh ditipu orang cerdik, cikgu!" jawab murid-murid itu menyebabkan cikgu itu terpinga-pinga. Kali ini mereka menjawab secara simbolik pula.

"Keempat, kata orang yang dibebaskan itu, wanita yang dibunuh itu tidak ada kena mengena dengan kontrak pembelian kapal selam.... di mana kontrak ini juga ada kena mengena dengan lelaki yang dikaitan dengan wanita yang dibunuh itu.... apa pendapat kamu mengenai hal ini?"

"Cikgu, kata emak saya sesiapa yang berak di tengah jalan dia tidak akan mengaku! Orang itu sudah berak tengah jalan cikgu..!" kata seorang murid berkepala jambul disambut dengan hilai ketawa melucu sampai ada murid yang terkencing. Lucu tetapi betul! Cikgu muda itu juga turut tersipu-sipu dengan telatah muridnya yang seorang ini. Geli dan lucu.

"Ke lima tertuduh yang dilepaskan itu tidak mahu menceritakan bagaimana mula dia mengenali wanita yang dibunuh itu apabila ditanya pemberita. Katanya itu tidak penting. Agak-agak kamu kenapa dia enggan memberi tahu perkara sebenarnya?"

"Dia takut tembelangnya pecah cikgu!" laung satu suara tersudut. "Kalau sudah pecah nanti orang semua tahu apa sebenarnya yang terjadi," balas murid lain pula berketurunan India.

"Baiklah, cikgu nak tanya kamu semua... berdasarkan beberapa persoalan tadi apa yang kamu fikir mengenai laporan ini dan mengenai orang yang dituduh kemudian dibebaskan itu," kata cukgu itu untuk mencari kesimpulan

"Hanya dia saja yang tahu cikgu apa sebenrnya yang berlaku. Hari ini dia boleh berhelah dengan seribu daya dan kebebasan yang baru dinikmatinya itu. Besok di akhirat besok dia akan menceritakan perkara yang sebenarnya berlaku!" jawab anak muridnya serentak penuh dengan bijaksana dan tegas.

Cikgu muda yang belum kahwin itu (tetapi sudah ada calon) tersenyum sendiri. Dia menyemak segala jawaban dan sikap anak muridnya. Dia puas. Puas kerana walapun usia mereka belum baligh (mereka adalah dari kelas tadika Kemas yang terletak dibawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar), tetapi sudah dapat membuat penilaian sendiri.

Mereka rupanya tidak mudah percaya apa yang dilaporkan dan apa-apa yang keluar dari mulut seseorang walaupun seseorang itu kaya dan berkedudukan dan kelihatan sangat pintar dan licit. Bagi mereka integriti seseorang itu bukan pada status tetapi kepada akhlak dan kejujurannya.

Sebelum cikgu itu keluar untuk ke bilik guru dia berdoa biarlah kesemua muridnya itu kekal dengan kecerdikan, bersemangat tinggi dan mempunyai pemikiran yang kritis. Semoga. [wm. kl 6:00 am 21/11/08]

Thursday, November 20, 2008

Wanita Umno

Jalan Terbaik Rafidah Batalkan Niat Tanding Ketua Wanita

AKHIRNYA Shahrizat Abdul Jalil akur juga kepada nasihat dan pandangan agar beliau melanggar ketuanya Rafidah Aziz untuk jawatan Ketua Umno. Hari ini 'Juhi Chaula' (pinjam gelaran diberikan Mat Sabu) itu sudah membuat keputusan muktamad dia akan tanding ketua wanita. Keputusan itu dikira tepat dan satu keputusan bijaksana.

Rafidah khabarnya akan membuat kenyataan esok ekoran perkembangan terbaru mengenai keputusan Shahrizat itu. Mungkin malam ini beliau sedangn berSMS dengan kumpulan penyokongnya terdiri daripada beberapa ketua wanita negeri dan bahagian yang tegar menyokongnya. Mungkin mesyuarat menerusi SMS sedangn berlaku kini. Tentu juga ada berbebagai pandangan yang diajukan untuk difikirkan oleh Rafidah menjelang hari esok.

Jelasnya malam ini adalah malam paling resah dan sedih buat Rafidah. Malam beliau tidak lena tidur sementara menunggu hari esok. Esok beliau tidak dapat berbuat apa-apa lagi selain daripada menjawab dan menentukan samada akan bertanding atau tidak. Besok beliau akan menjadi buruan para wartawan.

Di sini saya ingin kongsikan sedikit pandangan untuk Rafidah. Pada saya elok kalau beliau menarik diri dari meneruskan hasratnya untuk terus memimpin wanita hingga Jun depan. Rafidah hendaklah lupakan cita-citanya untuk menganggotai Kabinet, Mohd Najib Razak. Cukuplah.... hari akhir baginya sudah sampai. Bila takdir sudah menyapa kita apakah yang boleh dilakukan lagi selain kena pasrah.

Untuk berundur, carilah justifikasi dan ayat-ayat yang mujarab agar ianya tidak menunjukkan kita ok. Reka dan fikirkan alasan yang munasabah agar ianya diterima sebagai adil dan tidak menunjukkan beliau terdesak dan merasa tewas di siang hari.

Dibimbang kalau beliau meneruskan juga hasrat itu beliau akan malu besar. Sudah pasti kalau beliau berlawan dengan Shahrizat beliau akan tewas. Keadaan kini sudah berubah hampir 360 darjah. Mereka yang sebelum ini menyokongnya juga sudah bercakap lain nada dan membuat ralat. Biasalah pendirian orang politik hanya seteguh pokok lalang saja. Apa lagi kalau wanita pula ... ia boleh rebah dan bertukar arah dengan airmata.

Dalam pada itu Rafidah kena insaf dan sedar diri. Banyaklah beristighafar dan mahasabah diri. Beliau juga tidak perlu kesal dan sedih dengan apa yang berlaku. Beliau harus berpuas hati dengan pencapaiannya selama ini ini. Sudah lebih 20 tahun beliau menjadi Ketua Wanita. Semua jawatan, kedudukan dan pangkat diperolehi dengan kedudukan itu. Mahalan Rafidah dianggap bertuah kerana walaupun pernah kalah dalam merebut jawatan itu namun beliau berjaya bangkit kembali. Sejarah dan kejayaan dicapai Rafidah jarang berlaku kepada wanita lain.

Terimalah masa kini adalah masa perubahan. Biarkan wanita membuat perubahan dengan bebas dan mengikut naluri mereka. Kalau pucuk pimpinan Umno sendiri boleh berubah kenapa tidak dengan wanita Umno?

Selain itu Rafidah kenal insaf bahawa walaupun beliau merancang dengan pelan itu namun Tuhan juga akan menentukannya. Penentuan Tuhan penuh hikmat dan ada rahsianya yang jarang diketahui manusia. Sebab itulah orang tua pesan agar berhati-hati bukan saja dijalan raya tetapi dalam tindak tanduk kehidupan kita yang lain juga.

Nasib yang diterima Rafidah kini sama dengan Muhyiddin Yassin yang menyokong pelan peralihan kuasa. Muhyiddin mengharap dia akan menang tidak bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, tetapi, tahu-tahu dua calon lain sedang menantinya, Mohd Ali Rustam dan Muhammad Taib. Begitu juga dengan Rafidah beliau membayangkan dengan kelicitan itu beliau akan menang tidak bertanding, tahu-tahu Shahrizat ubah pendirian dan akan menentangnya. Inilah yang dikatakan politik!

Makanya baik Rafidah dan Muhyiddin dan orang sewaktu dengannya kena ingat. Sebijak-bijak mausia bijak lagi Tuhan. Pada saya apa yang berlaku ke atas mereka itu kerana kifarah Tuhan atas perbuatan mereka menganiayai orang lain.

Kalau sebeluk ini mereka seronok dan ketawakan kerana desakanlah akhirnya Abdullah Ahmad Badawi berundur awal, nah kini Abdullah pula akan menggeleng kepala dan tesenyum panjang melihat nasib Rafdiah dan Muhyiddin yang tidak mendapat laluan mudah itu. Begitulah hidup ini kita sebenarnya saling ketawa mengetawakan antara satu sama lain.

Jadi untuk tidak malu besar, esok Rafidah perlu buat kenyatan menarik diri dan berudur daripada pergerakan wanita Umno. Manalah tahu kalau beliau berundur dengan baik beliau akan terus dihormati sebagai serikandi wanita Umno. Jangan pula esok beliau jadi emosional, menangis dan marah-marah.... apa lagi turut sama mengikuti jejak Mahathir ikut sama keluar dari Umno. Janganlah..... Jangan marah!

Sebelum tidur tahniah kepada Kamilia Ibrahim kerana menang tidak bertanding. Itulah yang dikatakan kebijaksanaan dan hasil tegas dengan prinsip! [wm.kl 10:45 pm 20/11/08]

Ulasan Isu

Penjelasan 'Rojak' Tidak Akan Lenyap Persepsi Buruk Kepada Najib

ROJAK Baginda (Abdul Razak Baginda) telah tampil ke khayalak media hari ini. Setelah kesekian lama ditunggu bekas tertuduh bersubahat membunuh Altatuya Shaariibuu itu akhirnya mempunyai kekuatan untuk berdepan dengan media. Beliau ditemani dan didamping oleh peguamnya di sepanjang sidang akhbar khas.

Seperti mana dipetik antara apa yang dicurahkan dalam sidang akhabr sulungnya itu, Rojak menafikan yang Mohd Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor terlibat dengan pembunuhan Atantuya. Menurut Rojak Najib dan Rosmah juga tidak kenal pun dengan Altantuya.
Bagi Rojak apa yang dilemparkan kepada Najib dan Rosmah itu adalah fitnah. Justeru beliau meminta supaya menghentikan fitnah itu. Kata Rojak pihak yang melemparkan fitnah itu tidak ada bukti kukuh untuk mengaitkan dengan Najib dan Rosmah.
Di sini kita tidak boleh mempertikaikan apakah kenyataan Rojak itu benar atau tidak. Bagaimana pun orang ramai berhak meragui akan kata-katanya itu. Persoalan timbul kerana kenapa Rojak terus menafikan pembabit Najib dan Rosmah dan seterusnya meminta menghentikan fitnah sebaik dibebaskan oleh mahkamah.
Tindakan ini menyebabkan orang akan mempunyai pandangan seorang kepada beliau termasuk akan menuduh pembebasan itu ada campurtangan Najib?
Lantaran itu rayuan Rojak tersebut tidak akan mudah diyakini. Seperti mana kata Rojak penuduh fitnah kepada Najib dan Rosmah itu tidak mengemukakan bukti kukuh mengenai fitnah itu, maka Rojak juga perlu mengemukakan bukti kukuh bagi menafikan kemungkinan penglibatan Najib.

Tuduhan ke atas Najib dan Rosmah berhubung pembunuhan itu perkara besar. Ia dibuat dalam akuan bersumpah. Perkara ini di peringkat perbicaraan. Jadi kenyataan dan juga rayuan Rojak itu sama sekali tidak boleh diterima dan dipercayai. Perlu diingat orang bersalah seperti orang lemas akan mengguna dan mengambil kesempatan apa saja untuk menyelamatkan diri.

Untuk meleraikan ini elok bagi Rojak mencerita secaca detail kepada umum bagaimana penglibatan beliau dengan Altantuya dan kenapa sehingga wanita Mongolia itu dikaitkan dengan Najib. Apakah asas-asas dan kemungkin membawa kepada keadaan itu!

Kalau setakat menafikan secara kering begitu ia tidak akan menyelesaikan masalah. Persepsi umum bahawa Najib dan Rosmah terlibat tetap bersarang dalam minda orang ramai. Maka kalau Rojak yang yakin Najib boleh jadikan Perdana Menteri yang baik seperti mana katanya, silalah buat pendedahan secara kronologi sehingga segala tanggapan buruk itu terhakis dalam kepala rakyat. [wm.kl 11:00 am 20/11/08]

Wednesday, November 19, 2008

Angin Kedah

Azizan Razak Sudah Mula Diintip Masalah

AZIZAN Abdul Razak (foto) yang dikenal antara pemimpin Pas yang bersikap keras dan payah berkira kini sedang menghadapi ujian dan cabaran selaku Menteri Besar. Setelah menjadi MB dan ketua pentadbiran selama lapan bulan hari ini Azizan mula merasai bagaimana sejuk panas menjadi MB.

Beberapa isu yang berlaku di sekitar dirinya menguji sejauh manakah ketahannnya. Apakah beliau mempunyai antibody yang kuat bagi menghadapi segala cabaran itu atau sebaliknya akan larut dengan masalah itu.

Ia juga menguji tahap kesabaran selaku pemimpin. Yang penting dalam soal ini apakah beliau bijak menangani beberapa masalah yang timbul.

Misalnya isu mengenai kouta 50 peratus pemilikan rumah untuk Bumiptera yang dicadangkannya menarik dan panas ketika ini. Cadangan ini sesuatu yang baik dan dikira itulah perjuangan beliau untuk meningkatkan kemajuan Bumiputera di negeri Jelapang Padi itu. Mungkin cadangan itu juga dibuat setelah menyedari banyak tanah rizab Melayu telah dibangunkan dengan rumah.

Tetapi nampaknya cadangan ini ditentang banyak pihak. Ia bukan saja dari pembangkang, Umno dan BN, tetapi dari rakan Pas dalam Pakatan Rakyat sendiri, PKR dan DAP juga. Tentunya tindakan ini memeranjatkan Azizan dan Pas. DAP dan PKR tidak setuju dengan cadangan berkenaan dan meminta ia dikaji balik atau dibatalkan.

Penentangan ini satu cabaran kepada Azizah secara peribadi. Beliau nampaknya berang mengenai hal ini sampai melarang dan mecabar sesiapa yang tidak bersetuju dengannya agar tidak campur tangan. Kepada PKR dan DAP beliau minta supaya tidak campur tangan dalam urusan negeri Kedah. Dan beliau juga berkata beliau tidak perlu hormat dan patuh kerana teguran itu bukan dari bosnya. Menurutnya beliau hanya patuh dan hormat kepada pandangan partinya saja.

Alasan lain yang beliau berikan kerana beliau tiak mencampuri urusan kerajaan PKR di Selangor dan kerajaan DAP di Pulau Pinang. Secara langsung bidasan itu ditujukan kepada Mohamad Azmin Ali, Naib Presiden PKR dan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP yang turut memberi pandangan mengenai cadangan itu dan meminta ianya dikaji semula.

Begitu juga khabarnya apabila ada syarikat perumahan yang meramalkan akan menghadapi kesan dengan cadangan itu ingin menyamannya sekiranya ia diteruskan, beliau terus melenting dan menjawab dengan mengatakan bersedia meringkukkan dalam penjara sekiranya polisi itu salah.

Jawaban itu menunjukkan sikap dan peribadi Azizan Abul RAzak.

Telatah dan sikap ditunjukkan Azizan Razak itu menjelaskan prinsip dan stail hidupnya. Dia mempertahankan apa yang beliau buat. Dan memang beliau berhak membuat apa saja kerana beliau adalah ketua kerajaan.

Dalam isu ini dan juga beberapa isu yang berlaku di sekitar Azizan, terkesan oleh saya beliau seperti bersendirian. Tidak ada mana-mana pihak menyokong atau memberi semangat dan simpati kepadanya. Di kalagan pemimpin Pas Kedah sendiri tidak nampak ada yang membuat kenyataan menyokong dan mempertahkan polisi baru itu. Sepatutnya keadaan tidak berlaku dan sebagai MB para Exco perlu tampil mempertahankannya.

Ini satu keadaan yang aneh dan ganjil. Apakah suasana ini menunjukkan Azizan bergerak bersendirian di Kedah? Ataupun ada individu di Kedah yang sengaja membiarkan masalah itu kerana motif tertentu? Apakah ada elemen yang cuba merosak dan memburukkan Azizan di Kedah?

Adalah dibimbangi kalau masalah ini berterusan, Azizan akan terjeruk dalam masalah demi masalah. Beliau tidak akan menjadi Menteri Besar yang popular dan akan banyak mencipta masalah. Kalau ini berlanjutan lama kelamaan Azizan akan lapuk dan usang dengan sendirinya.

Khabarnya yang tidak menyenangkan lagi apabila kalangan akar umbi Pas juga mulai mempertikaikan beberapa tindakan politik Azizan. Terutamanya janji untuk menerapkan nilai Islam dalam pemerintah Kedah menjadi pertikaian dan ditunggu-tunggu oleh rakyat. Sudah banga merunggut mengenai kelewatan melaksanakan hal ini.

Ada beberapa perkara mudah yang boleh dilakukan tetapi tidak dilaksanakan. Misalnya pengharaman judi, arak, penjualan nombor ekor, toto, penutupan aurat dan sebagainya. Mereka mendakwa untuk mengharamkan segala kejadian judi dan maksiat ia bukan memerlukan peruntukan tetapi cukup dengan iltizam MB itu saja. Ada yang bersenda kalau perkara yang tidak memerlukan modal pun susah dilaksanakan apa lagi untuk melaksanakan projek bernilai jutaan ringgit?

Perlu diingat angan-angan untuk menguatkan kuasa syariat Islam itu menjadi siulan Azizan sebelum ini. Azizan dikatakan banyak berselindung di sebalik istana untuk tidak melaksanakan apa yang janjinya sebelum ini. Sikap berlindung di sebalik istana begitu tidak patut diamalkan. Azizan perlu segera mengatasi segala sungutan ini. Kalau beliau masih berdegil dan tidak mempedulikan rintihan rakyat dibimbang masalah akan kian bertompok di dirinya. [wm.kl 8:00 pm 19/11/08]