BERITA yang terpampang di akhbar dan skrin tv hari ini – Kelantan diarah bayar bayaran ganti rugi RM800 juta seharusnya tidak dipandang ringan oleh semua orang di Kelantan khususnya pemimpin politik. Walaupun arahan itu tidak semestinya dilaksanakan dan kerajaan negeri masih ada ruang untuk merayu, tetapi terimalah ia sebagai iktibar.
Ada mesej yang Tuhan hantar menerusi keputusan mahkamah itu untuk dihayati sebaik mungkin.
Seperti mana yang kita tahu keputusan arahan membayar pampasan RM800 juta tersebut satu sejarah bagi Mahkamah Tinggi di Kota Bharu dan satu jumlah terbanyak yang diputuskan oleh mahkamah sivil di negara ini. Benarlah Kelantan ini hebat dan unik!
Sejarah ini satu lagi keunikan Kelantan yang benar-benar mengakhiri kelendar tahun ini. Saya ingat kelendar tahun ini berakhirnya dengan sumpahan celaka, celaka, celaka blog tu... tetapi rupanya arahan membayar RM800 juta kepada syarikat Timbermine Sdn Bhd sebagai pengakhir tahun.
Mungkin ramai yang tidak tahu mengenai kes ini. Kes ini kes zaman kerajaan Pas di bawah pimpinan Datuk Ishak Lotfi menjadi MB lagi kira-kira 45 tahun lalu. Kes ini sudah pun dianggap berakhir oleh kebanyakan orang Kelantan. Malahan ada yang tidak ingat lagi termasuk anggota Exco sekarang ini. MB sekarang ini juga mungkin sudah lupa kerana terlalu banyak sangat berpolitiking.
Tahun 1964 kerajaan Kelantan memberi konsensi kawasan balak seluas 350,000 ekar (204,000 hektar?) untuk tujuan pembangunan di Kelantan kepada syarikat dari Singapura bernama Timber & Mine Industrial Corporation.
Tindakan kerajaan Kelantan itu adalah untuk membiayai pembangunan Kelantan yang dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan. Pilihan lain tidak ada melainkan terpaksa ‘mengadai’ kawasan balak. Syarikat berkenaan disamping mendapat keuntungan ia juga memberi pembangunan ekonomi dan sosial kepada Kelantan.
Ini bermakna konsensi itu untuk menbiayai kewangan pembangunan Kelantan yang nazak. Kerajaan Perikatan menuduh dan memfitnah kerajaan Kelantan ketika itu telah mengadai tanah itu tanpa mendapat sebarang faedah yang diperolehinya.
Fitnah jahat Perikatan itu menyebabkan kerajaan Kelantan terpaksa membawa kes itu ke muka pengadilan. Mahkamah kemudian memutuskan langkah kerajaan itu bukan gadai tetapi perjanjian biasa dengan mendapat keuntungan. Keputusan ini terkandung dalam Malayan Law Journal, 1968 Vol. 2 muka surat 129.
Disebabkan syarikat berkenaan telah melanggar atau tidak dapat memenuhi butiran perjanjian, kerajaan Kelantan mengkaji balik untuk membatalkan perjanjian itu. Bagaimana pun notis untuk membatalkan perjanjian itu tidak dapat dibuat kerana berlaku pertukaran kerajaan (MB) kepada Muhammad Nasir tahun 1974.
Bagaimana pun akhirnya kes (perjanjian) itu diselesaikan juga. Syarikat berkenaan bersetuju menerima imbuhan saguhati sebanyak RM3.5 juta. Wang pembayaran itu pun adalah pinjaman daripada kerajaan Persekutuan.
“Sesudah beberapa kali mengadakan rundingan, akhirnya kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya. Pihak syarikat Timber & Mine telah bersetuju menerima wang saguhati atau imbuhan sebanyak RM3.5 juta ringgit dan wang tersebut telah dipinjamkan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri. Masalah ini boleh dianggap telah selesai. Tetapi segolongan kecil daripada kalangan yang bertentangan tidak habis-habis menaburkan fitnah untuk melemahkan kerajaan negeri. Namun demikian usaha itu nampaknya tidak berkesan.” – Memoir Politik Asri: Meniti Arus.
Apakah syarikat Timber & Mine Industrial Corporation itu adalah syarikat Timbermine Sdn Bhd yang suah bertukar nama dan bertukar lembaga pengarah? Apakah syarikat itu kini menjadi milik Bumiputera dari Malaysia/ Kelantan? Dan apakah penyelesaian perjanjian itu wujud perjanjian baru yang memberi sebahagian kawasan konsensi itu?
Saya rasa begitu. Beberapa bulan sebelum ini saya sudah mendapat maklumat mengenai syarikat berkenaan telah menyaman Kerajaan Kelantan kerana melanggar perjanjian. Kerajaan kata penyampai maklumat itu sedang ‘bersusah hati’ dengan saman itu. Bagaimana pun ada yang mengambil remeh dan tidak berusaha mengatasinya dengan sewajarnya.
Persoalannya kini kenapakah kes ini tidak dipantau dan dipandang dengan sewajarnya? Kenapakah kerajaan negeri tidak berunding dengan syarikat berkenaan? Apakah peranan penasihat Undang-Undang Negeri dalam hal ini? Apakah penasihat undang-undang mengambil langkah tepat dan memberi pandangan dan nasihat yang tuntas? Menurut laporan kes ini difailkan pada tahun 2004, bermakna baru lima tahun.
Saya percaya kalau kerajaan mengambil berat kes ini tidak akan berkesudahan di mahkamah seperti hari ini. Mungkin kalau kerajaan didapati melanggari perjanjian (baru) bayaran yang diarahkan tidak sebanyak hari ini.