Wednesday, December 30, 2009

Harapan Dihujung Malam

Molek Kalau Husam Nak Jumpa Keluarga Nik Aziz

KALAU tidak silap pendengaran dan pandangan saya dalam berita Astro Awani 7:45 tadi ada dilaporkan kesediaan Husam Musa untuk berjumpa dengan anggota keluarga Tok Guru Nik Aziz. Kita fahamlah kalau kenapa Husam perlu berjumpa dan dan merendah diri. Saya rasa saya orang paling gembira kalau ini menjadi kenyataan. Tanpa boleh disembunyikan kemelut yang menimpa Pas Kelantan kini adalah antara Husam satu pihak dengan Tok Guru satu pihak yang berwakil walikan beberapa orang keluarganya.

Dengan membelakangkan sentimen peribadi dan melihat masa depan parti Pas, saya rasa wajar kalau Husam mengambil tanggungjawab gentlemen begitu. Jalan terbaik saya kira. Mungkin ada pihak yang merasakan ia sudah terlewat untuk Husam berbuat demikian sesudah nasi hendak menjadi bubur. Mungkin ada juga yang menyifatkan Husam sudah sangat terdesak!

Tetapi dalam politik tidak ada istilah terlewat. Seseorang itu harus bijak. Kalau kamu tidak mampu untuk menentang arus kamu harus mengikut arus. If you don't beat them you must join them. Pragmatif adalah satu tindakan yang baik dalam politik. Kita harus melakukan sesuatu untuk menyelamatkan sesuatu.

Saya optimis kalau Husam bersemuka dengan anggota keluarga Nik Aziz masalah, kekeliruan yang bercelaru kini tidak akan terus berlaku. Dalam hubungan ini tentulah dengan anggota utama Putra Politik dan Puteri Politik Nik Aziz; Nik Abduh dan Nik Amalina. Anak-anak lain saya rasa tidak begitu berperanan dalam politik ayah mereka seperti mana disangkakan.

Kalau dulu Nik Abduh selalu dikaitkan mempengaruhi ayahnya, kini Nik Amalina pula bila Puteri Politik itu membela suaminya. Sebenarnya sejauh mana Nik Abduh mempengaruhi ayahnya masih boleh dipersoalkan. Apakah dengan beliau hanya mengatakan ada penasihat sesat itu sebagai sudah interfere dalam politik. Begitu juga apakah dengan Nik Amalina menulis penuh emosi maka ia perlu diberikan reaksi berlebihan walhal dia membelai suaminya saja.

Kalau diperhatikan, penyusunan badan perhubungan Pas Kelantan siapa yang mempengaruhi siapa? Apakah pemilihan Mohd Zaki Ibrahim sebagai Setiausaha atas telunjuk Nik Abduh atau Nik Amalina. Begitu juga dengan pengguguran Bendahari Pas satu masa dulu Dr Izani Hussein, pengguguran Ketua Penerangan, Takiyuddin Hassan adakah kerana telunjuk dan suara Nik Amalina.

Begitu juga dalam soal meletakkan calon dalam pilihan raya baik anak negeri dan orang luar siapa yang mempengaruhi Nik Aziz. Apakah Nik Abduh atau Nik Amalina? Rasanya tidak. Ada suara lain yang lebih mempengaruhi dan mengelus janggut Nik Aziz dalam hal ini. Kenyataan yang tertabir di depan mata tidak boleh dikambusi dan jangan cuba mengambusnya.

Saya sendiri tidak nampak seluas mana pengaruh Nik Abduh terhadap Nik Aziz baik dalam kerajaan dan parti. Begitu juga sejauh mana pula Nik Aziz meletakkan kepentingan keluarga terutama menjaga kepentingan Putra Politiknya itu. Saya tidak nafikan ini berlaku dan saya telah tegur, tetapi seluas mana dan sejauh mana ia menganggui urusan politik dan kerajaan. Apapun saya tetap menolak dengan sesetengah tindakan Nik Aziz yang sebegitu.

Saya bersetuju dengan tindakan melantik Ariffahmi itu sebagai silap. Saya pernah ucapkan kepada Ustaz Yahya Othman yang Ariffahmi bakal menyusahkan Tok Guru. Ariffahmi jelas kurang senang dengan saya. Nah ternyata hari ini apa yang saya bimbang telah menjadi masalah dan polimek.

Tetapi kalau Nik Abduh saya tidak nampak. Jika Nik Abduh menganggui politik ayahnya dan menggunakan ayahnya sudah tentu dia tidak kalah semasa berdepan dengan Abdul Latiff Abdul Rahman merebut jawatan Ketua Pemuda. Saya kira Latiff juga tidak berani menentang Nik Abduh yang berpangkat abang itu kecuali beliau dihalak. Nik Abduh tidak cuba menggunakan pengaruh ayahnya dan mempengaruhi ayahnya untuk mempertahannya walaupun saya ada mencadangkannya dengan meminta Tok Guru Nik Aziz panggil Latiff dan Abduh bersemuka bertanyakan keperluan dan relevensi mereka bertanding.

Saya kira kalau Husam berperanan mengelakkan pertarungan Latiff dan Abduh saya rasa prejudis kedua-dua pihak tidak membesar dan menimbul masalah. Kalau pun Abduh tidak senang dengan politik Husam, ia tidak membesar selepas beliau kalah. Husam patutnya faham dan tahu membaca psikologis Abduh sebagai orang politik. Tetapi sayang Husam tidak nampak ini dan tidak fikir pertarungan itu bakal memberi kelukaan juga kepadanya. Mungkin kedudukannya dan kasih yang Nik Aziz beri kepadanya tidak memberi bekas kalau suatu hari Nik Abduh dan keluarganya menyerang Husam.

Biarlah apa yang berlaku itu sudah berlaku. Persepsi yang timbul itu ada betul dan ada tidaknya. Hari ini kalau Pas Kelantan khasnya Husam hendak menyelesaikan masalah berjumpalah dengan anggota keluarga Nik Aziz. Yang menjadi masalah alias musuh kepada Husam bukan orang lain kini, tetapi keluarga Nik Aziz. Begitulah tanggapan umum dan cuba diangkat ke atas oleh Husam dan orang-orangnya.

Husam sudah mengenali musuhnya yang sebenarnya. Kini terserah kepadanya untuk menyelesaikannya. Sekali lagi Husam terlewat dalam membaca penghalang masa depan politiknya. Lama sebelum ini semasa Aceh dilanda Tsunami (2004) saya sudah menasihati Husam supaya tidak bermusuh dengan Abduh. Beliau harus mendekati Abduh kerana Abdulah bakal menjadi generasi politik kepada Tok Guru.

Tidak boleh tidak, sebagai orang politik Nik Aziz pasti mahukan zuriatnya menerusi pesaka politiknya. Dalam perhatian saya, Nik Abduh adalah orangnya. Bagaimana pun Husam cuba mendekati dan menaja abang Abduh, Nik Omar. Saya tidak tahu apakah sebab musabab kedua mereka tidak boleh duduk sekali.

Untuk mendekati dan memesrakan Husam dengan Abduh saya pernah mencadangkan supaya Husam memberi wang kepada Abduh dan minta Abduh ke Aceh bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa tsunami. Dengan cara itu hubungan mereka akan terjalin. Nik Abduh bukan ego sangat dan dia juga harus bergantung kepada dahan politik lain selain ayahnya. Beliau sendiri tahu bahawa dahan politik yang ampuh selepas ayahnya, antaranya ialah Husam.

Tetapi Husam hanya pandangan dingin saja dengan nasihat saya. Nampaknya apa yang saya bimbangkan telah menjadi kenyataan. Hari ini apabila Husam menimbulkan atau memberi mesej supaya ada pemisahan antara kepentingan keluarga dengan kepentingan negeri, (family matters dan state matters) bermakna beliau sedang berhadapan dengan risiko yang saya bimbangkan selama ini.

Kesimpulannya apabila Husam memberi jaminan bersedia berjumpa dengan anggota Nik Aziz harapnya ia menjadi kenyataan. Berjumpalah sebagai anak beranak. Sebolehnya Tok Guru ada sekali dan mendengar apakah punca menyebabkan anggota keluarganya marah kepada Husam, dan dengar juga apakah sebabnya maka Husam berkecil hati dengan keluarganya. Baik Husam dan keluarga Nik Aziz harus meletakkan kepentingan parti dan kerajaan di depan. Dan hasil perjumpaan itu nanti mestilah ada give and take. Saya mencatatkan sebegini kerana inilah saya sebenarnya. [d'kota kl 9:00 pm 30/12/09]

2 comments:

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum. Tuan, Dalam saya meluahkan kebimbangan saya semalam, pagi ini nampak pula sinar baru. Mungkin inilah keunikan Kelantan, PAS, Pemimpin PAS dan ahli PAS yang memang tak ada dalam kumpulan lain.

oarang_susah said...

salam pagi..
haji ti.. tau tak air mata saya hampir menitis baca posting haji ni.. selamanyer ini lah yang saya harapkan.. dan kalau haji tie masih ingat saya pernah hantar komen yang menyatakan bahawa saya sgt2 menyanyangi 3 orang ini di kelantan.. haji ,husam, dan tok guru sbb saya percaya jika 3 ni mcm awal dulu kelantan akan terus di tang PAS.. saya berharap moga 2010 ni kita melihat sesuatu yg baru dikelantan yang lebih harmoni..