Thursday, May 31, 2007

Catatan Dari Kathmandu II

Rombongan Merdeka del’ Everest di Jamuan Malam.

SELEPAS melalui pahit getir menghadapi cabaran untuk menuju ke puncak tertinggi di dunia (8,850 meter) , dan puncak itu berjaya ditawan pada 22 Mei lalu, malam tadi kesemua pendaki Everest negara dan rombongan terdiri team perubatan, team kaji selidik dari Universiti Teknologi Mara (UITM) diraikan dalam satu majlis makan malam khas di hotel Annapurna di sini.

Majlis itu disusun secara spotan yang diaturkan oleh Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Datuk Ibrahim Ali bagi pihak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun majlis itu ringkas, tetapi ia sungguh meriah dan sangat bermakna kepada rombongan eksepidisi negara kerana itulah majlis pertama seumpama itu bagi meraikan kejayaan mereka.

Turut sama hadir pada majlis berkenaan ialah, Duta Besar Malaysia di Nepal, Mahinder Singh bersama empat orang pegawai keduataan dan para petugas sokongan pendaian (Sherpa). Majlis ringkas itu bermula dengan jamuan makan yang diserikan dengan ucapan kemudian upacara memotong kek.

Apa yang membuatkan anggota rombongan eksepidisi itu teruja, di samping mereka dijamu dengan nasib berani kambing, setiap mereka juga menerima cederamata peribadi daripada Ibrahim berupa, batu permata Nepal dan baju kemeja T yang bercapkan wajah keenam pendaki.

Turut sama menerima cederamata daripada Ibrahim ialah Ketua Eksepedisi, Datuk Khalid Yunus dan Mahinder yang menerima sehelai baju kemeja T sebagai kenangan.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Ibrahim Ali kerana menghargai kejayaan rombongan eksepedisi mencapai puncak Everest,” ujarnya.

Katanya walaupun anugerah itu tidak seberapa, tetapi ia membawa erti yang besar kepada beliau dan anak buahnya. “Apa yang perlu dilihat bukan harga atau nilai hadiah ini tetapi yang perlu dilihat ialah hati orang yang memberinya,” katanya dengan nada terharu.

Ibrahim pula ketika menyampaikan kata-kata ringkasnya, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak tentu gembira dengan apa yang dicapai oleh para pendaki negara itu.

“Kejayaan ini dicapai sewaktu mereka mentadbir negara, dan tentu mereka sangat bangga dan gembira atas pencapaian ini,” katanya lagi.

Ibrahim yakin selepas ini kerajaan akan turut meraikan kejayaan ini apabila semua pendaki pulang ke tanah air kelak.

Dr Mahathir pula dalam mesejnya menerusi SMS menurut Ibrahim sambil mengucapkan tahniah atas kejayaan pendaki Malaysia, mengatakan hanya mereka yang cekal dan berani saja akan berjaya dalam hidup.

Wednesday, May 30, 2007

Berita Lewat

Rombongan Ekspedisi Everest Malaysia selamat turun.

MSO
LUKLA (Nepal): Kira-kira jam 11.00 pagi atau 2.15 petang waktu Malaysia (28 Mei) kesemua 31 rombongan epkspedisi Everest (Merdeka de' Everest) negara selamat sampai di Lukla (tempat mereka memulakan ekspedisi) dalam keadaan selamat dan semua sihat kecuali ada setengah ahli rombongan mengalami batuk-batuk kecil terutama ketua ekspedisi Datuk Khalid Yunus.

Ketibaan mereka itu disambut oleh Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Datuk Ibrahim Ali bersama dan tiga ahli rombongannya Yusuf Merah dan Nasarudin Rais.

Walaupun sambutan itu sederhana di mana hanya kain sepanduk sebesar 4 x 6 meter yang tertulis tangan namun ia membawa makna besar kerana itulah satu-satu kain sepanduk yang mengalu-alukan kejayaan rombongan negara berkenaan.

Ibrahim yang tiba di Nepal sejak 22 Mei semata-mata untuk menyambut kejayaan rombongan ekspedisi itu, terus memeluk Khalid sebaik saja Khalid dan rombongan tiba dan bersalaman dengan kesemua para pendaki dan ahli rombongan lain.

Terharu
Khalid kelihatan terharu atas kehadiran Ibrahim dan rombongan serta mengucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi datang dari jauh semata-mata untuk menanti ketibaannya dan rombongan.

“Terima kasih kepada Yim, (Datuk Ibrahim) dan rakan kerana sudi untuk datang menyambut kepulangan kami,” ujar Khalid yang masih keletihan. Beliau kelihatan kurus dan wajah berubah serta berat badannya juga susut sebanyak 13 kg.

Dalam ekspedisi menawan gunung tertinggi di dunia itu kesemua enam orang pendaki mencapai puncak Everest kecuali Khalid yang terpaksa diturunkan kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

Khalid dinasihat oleh doktor agar tidak meneruskan perjalanan setelah berada kira-kira lebih 6,000 meter atau kurang 1,500 meter lagi untuk mencecah punck Everest.

Enam pendaki yang berjaya sampai ke punca Everest ialah, Idris Said 52, Ahmad Reduan Rozali 25, Ahmad Fakhri Abu Samah 26, Marina Ahmad 26, Muhamad Rafiff Kori 28, dan Mohamad Fauzan Hassan, 40.

Ketika ini kesemua rombongan ekspedidi berada di Kathmandu, mereka berlepas dari sini pagi tadi, kira-kira jam 9.30 pagi waktu Malaysia. Jarak antara Kathmandu – Lukla kira-kira 500 km.

Malam ini kesemua ahli rombongan akan menghadiri majlis makan yang disediakan oleh Ibrahim Ali bagi pihak bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah hotel terkemuka di Kathmadu.

Rombongan ekspedisi akan berlepas pulang ke tanah air 6 Mei hadapan.

Sementara itu Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai kejayaan enam orang Melayu rakyat Malaysia termasuk seorang wanita (Marina Ahmad) berjaya menawan Everest secara serentak, ia merupakan satu kejayaan besar kepada negara yang seharusnya dikongsi bersama oleh 25 juta rakyat Malaysia.

“Saya rasa bangga dan terharu atas kejayaan rombongan ekspedisi negara yang diketuai Datuk Khalid Yunus. Inilah sejarah untuk negara kita,” ujarnya.

Tambahnya sejarah semacam ini hanya berlaku dan boleh dilakukan oleh orang-orang gigih dan tidak mengenal apa itu kesusahan dan sanggup mengadai nyawa.

Dalam pada itu beliau mencadangkan agar mereka diberi anugerah khusus yang bertaraf negara sebagai penghormatan atas kejayaan rombongan berkenaan.

Nukla, Nepal. MSO.

Monday, May 28, 2007

Catatan Dari Kathmandu

Kongres Keadilan dan Muktamar Pas mengait Ingatan!

Selama enam hari berada di Kathmandu banyak pengalaman baru yang diperolehi. Bandar kepadatan populasi sebanyak 2.5 juta ini menambah sedikit lagi rencah-rencah pengalaman kehidupan. Aktiviti sosialnya sesuatu yang menarik dan memberi keinsafan tersendiri.

Demikian budaya dan rencah ratus politiknya tidak kurang juga menarik. Ini menjadikan orang seperti saya dan pengkaji sosial politik akan leka untuk terus mengetahuinya. Apapun paling mempesonakan ialah mengenai alam semula jadinya yang menakjubkan!

Kathmadu khususnya dan Nepal amnya yang dikelilingi ribuan gunung ganang menyebabkan diri terulik dan melupai kepada keindahan dan nikmat kemerdekaan negara. Bagi pencipta alam – gunung ganang di sinilah syurga mereka.

Ingatan saya, dan begitu juga rakan lain, Ibrahim Ali, Yusuf Merah serta Nazaruddin kepada isteri dan anak-anak terlupa sekejap dek terhimbau dengan kehebatan dan keagungan gunung ganang di sini yang dirajai oleh Everest setinggi 8,848 meter dari paras laut.

Bagaimana pun negara sendiri tetap negara sendiri. Kata orang biar pun hujan emas di negeri orang namun lebih baik lagi hujan batu di negeri sendiri. Malaysia tetap diingati dan dikenang.

Dua perisrtiwa mengait ingatan.

Bagi saya selain anak dan isteri yang senantiasa bersarang di dalam benak, ada dua peristiwa yang menjadikan saya terkenang-kenang. Ia memanggil-manggil dan menyebabkan rasa terkilan kerana tidak dapat mengikutinya secara live seperti biasa.

Peristiwa itu ialah mengenang kongres parti Keadilan di Seremban.Inilah kali pertama sejak parti itu dizahirkan saya tidak dapat mengikutinya dari dekat. Insiden dan juga “kekacauan” kecil yang berlaku semasa kongres itu diadakan benar-benar mengusik hati.

Dari laporan yang dibaca menerusi internet, apa yang berlaku itu meninggalkan tanda tanya yang sukar untuk diulaskan dari sini. Tetapi ia menyebukan jiwa dan menimbulkan rasa kesal.

Berbicara mengenai kongres Keadilan, yang terkilan dan kecewa bukan kerana Anwar Ibrahim tidak dibenarkan memimpin parti berkenaan kerana halangan ROS, tetapi kerana sikap beberapa pemimpin parti berkenaan yang tidak menunjukkan keulitan perjuangan dan tidak cuba memahamilangkah perjuangan Anwar.

Tindakan Nalakarupan dan mereka yang sekupu dengannya sebelum ini – yang keluar keadilan sesuatu yang menyesalkan! Tindakan itu menyusah dan menganggukan Anwar Ibrahim untuk melakari jalan perjuangannya parti berkenaan. Walaupun saya sudah menjangkakan sejak awal lagi ke mana dan bagaimana tribulasi politik Nalakarupan, tetapi tidak mengira ia menyimpang sejauh itu.

Politik dan semangat perjuangan Nala yang hendak membela kaum India menerusi Keadilan seperti embun di hujung pagi saja. Bagaimana ia beriya dan glamor semasa hendak menyertai parti berkenaan begitulah juga glamor dan beriyanya beliau hendak meninggalkan Keadilan.

Kepada Keadilan hendaklah sikap insan seperti Nala ke atas Keadilan tidak akan melemahkan semangat perjuangan mereka. Api reformasi yang dihidupkan Anwar 11 tahun lalu tidak boleh terpadam oleh orang-orang seperti Nalakarupan itu.

Selain menghitung bagamana nasib Keadilan dan Anwar elepas ini, fikiran juga terusik dengan acah-acah yang berlaku menjelang muktamar Pas kali ke 53 di Kota Bharu sehari dua nanti.

Walaupun muktamar itu seharusnya memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pilihan raya umum, namun ia seperti tercemar apabila ada berlaku perlawanan dan perebutan jawatan orang nombor dua di dalam parti berkenaan. Ulah Harun Taib menentang Nasharuddin Mat Isa dikira terkeluar daripada nas?

Sebelum berlepas ke Napel pada 22 Mei, saya sudah mencari dimanakah logik dan keperluan untuk Ketua Dewan Ulama Pas itu menentang Nasharuddin Isa? Apakah sebab Nasharuddin tidak perform? Terlalu mudah untuk menghukum demikian kerana Nasharuddin baru memegang jawatan itu tidak sampai tiga tahun.

Kalau Harun atau sesiapa ingin bercakap mengenai tidak perform atau mampu menunjukkan keupayaan sebagai pemimpin di dalam Pas, soal itu bukan saja harus ditunding kepada Nasharuddin, sebaliknya banak lagi pemimpin atasan Pas yang tidak perform dan berdaya termasulah Abdul Hadi Awang sendiri selaku presiden.

Dalam konteks hari ini, saat Pas ingin meremajakan politiknya atau menjejaki realiti semasa, pemimpin muda tidak seharusnya mudah ditendang. Langkah Harun menentang Nasharuddin nampaknya cuba hendak menganggui proses berkenaan? Orang lama dan seuisa Harun harus memberi ruang dan peluang apakah tindakan mereka.

Apakah Pas ingin kembali dan surut ke belakang semula? Kalau soal prinsip atau dasar parti atau ingin menjaga Pas sebagai sebuah parti Islam yang murni dan suci, rasanya itu bukan alasan. Kesucian dan kemurnian Pas bukan saja milik ulama, ustaz tetapi a juga milik generasi muda, profesional dan seluruh ahli Pas lain.

Muktamar Pas di Kota Bharu ini membentangkan dua jalan kepada ahli Pas. Apakah mereka mahu terus ke kanan yang dirintis oleh orang muda yang lebih progresif, mencapai realiti atau ke lorong kiri yang sempit dan bergerak melawan arus?

Ke kanan bermakna Pas berjalan mengikut realiti sebagai sebuah badan politik, ke kiri sebagai jemaah yang hidup sebagai kelompok beragama semata-mata yang bertentangan dengan fisafah Pas sebelum ini bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan!

Sesungguhnya soal hendak mengimbangkan Pas tidak timbul sekiranya setiap ahli Pas berpegang kepada tali yang satu. Itulah yang sepatutnya, kecualilah di dalam Pas mempunyai berberapa mahzab di mana mazhab inilah yang menyebabkan menjadi penghalang kepada kemajuan parti berlambangkan bulan purnama penuh itu.

(Besok akan disiarkan diary perjalanan ke Napel).
Kathmandu, 28 Mei 2007,
5.00 pagi.

Thursday, May 24, 2007

Wira Kelantan

Anak Kelantan Berjaya Cecah Kaki di Island Peak Himalaya.
KATHMANDU (Nepal): Berkat keazaman, kecekalan dan minat yang mendalam akhirnya Asyran Raeof Amran, 30 berjaya mencecahkan kaki di kemuncak Island Peak Himalaya yang ketinggi 6,160 meter dari paras laut.

Asyran mendaki secara solo berjaya sampai ke ‘pulau’ yang penuh salji itu pada jam 2.15 waktu tempatan atau kira-kira jam 5.30 waktu Malaysia pada 18 Mei lalu.

Beliau yang merupakan anak Kelantan yang membuat pendakian secara solo pertama
yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Kelantan dikira memecah rekod kerana membuat pendakian tanpa sebarang latihan dan pengalaman secukupnya.

“Saya merasa seperti dalam mimpi saja dan tidak percaya telah berjaya menjejakkan kaki di Island Peak”, begitulah ujarnya ketika ditemui di sini sebaik tiba dari Lukhla malam tadi (25 Mei).

Asyran yang yang masih keletihan dan sebahagian mukanya bergelupas berkata semasa berada di puncak berkenaan berkata beliau seolah-olah berada dalam mimpi dan tidak mempercayai bahawa beliau sudah mencecah kaki di situ.

Sebelum ini anak ke empat dari enam orang adik beradik itu tidak pernah mempunyai pengalaman mendaki mana-mana gunung sebagai latihan seperti kebanykan pendaki lain lalui dan mendaki ke puncak Island itu adalah yang pertama kali.

Asyran yang sudah beristeri dan mempunyai empat orang anak berasal dari Kampung Banggul, Kota Bharu mula mendaki ke puncuk Island pada 6 Mei lalu bermula dari Lukhla menuju ke Kakptha kemudian tiba di Base Camp Everest sebelum turun untuk mengambil jalan ke puncak Island.

Semasa di Base Camp katanya, beliau sempat berjumpa dengan rombongan pendaki Everst Merdeka Malaysia yang diketuai Datuk Khalid Yunus yang sedang bersiap sedia untuk membuat pendakian.

Apa yang menakjubkan Asyran lagi ialah beliau berjaya mencecah kaki ke Island Peak dalam tempoh satu hari saja berbanding dengan jangka masa biasa diambil kebanyakan pendaki selama tiga hari.

“Saya tidak percaya apa yang telah saya lalukan, dan saya bersyukur kepada Allah,” ujarnya berkali-kali.

Kejayaan Asyran itu turut diakui dan dikagumi sendiri oleh Furi G Sherpa yang menguruskan pendakiannya.

“Apa yang dicapai Asyran sungguh mengkagumkan saya,” kata Furi.

Mencerita detik-detik pahit getir di sepanjang pendakian itu Asyran menjelaskan beliau terjatuh sekali kerana dipukul ribut salji bagaimana pun tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Kejadian ini berlaku sewaktu turun tiba-tiba kaki saya tergelecah menyebabkan saya terjatuh dan tubuh saya bergantungan beberapa minit,” ujarnya. Waktu itu beliau tidak ingat lain kecuali berdoa kepada Allah.

Sementara itu Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Datuk Ibrahim Ali yang berada di sini sejak 22 Mei lalu melahirkan rasa bangga atas kejayaan wira Kelantan itu dan menyifatkan kejayaan itu adalah kejayaan rakyat Kelantan.

“Saya bangga dan mengucapkan tahniah kepada Asyran kerana menjadi anak Kelantan pertama berjaya mencecahkan kaki ke Island Peak dalam keadaan serba kekurangan,” ujarnya.

Menurutnya apa yang dilakukan Asyran membangga negeri Kelantan dan semangat yang ada kepadanya patut dijadikan contoh. “Saya harap selepas ini Asyran akan mendaki Everest pula,”

Satu majlis ringkas meraikan kejayaan Asyran itu telah diadakan oleh Ibrahim di sebuah restoran terkemuka di sini yang turut dihadiri sama oleh pengurus pendakian Asyran, Furi G Sherpa, Yusuf Merah serta beberapa yang lain.

Kata Ibrahim MTRK akan mengadakan majlis khas sebagai meraikan Asyran di Kota Bharu minggu hadapan.

Wednesday, May 23, 2007

Catatan Dari Kathmandu

Kathmandu Tidak Secantik Manisha Koirala

MSO
TANGGAPAN pertama sebaik menjejak dan melihat Bandar Kathmandu, Nepal ingatan kembali kepada Golok di Thailand ataupun Saigon di Vietnam ataupun Ranggon di Myammar. Suasana dan sekitarnya yang buruk dan klasik, menggambarkan Kathmandu ketinggalan kira-kira setengah abad di belakang negara membangun lain, seperti negara kita.

Sistem jalan raya yang kelam kabut dan bentuk kenderaan yang out of date serta ditambah dengan keadaan jalan yang berdebu, berlubang dan berabuk menjadikan pamandangan Kahtmandu begitu buruk dan huduh persis di pekan cowboy.

Binatang ternakan seperti lembu dan kambing berkeliaran di tengah-tengah jalan raya tanpa mempedulikan lalu lintas lain. Kehadiran bintang ini seolah tidak dikawal oleh boroh bandarannya menunjukkan betapa bandar ini masih bebas dan kejap dengan budaya dan tradisi.

Ketiadaan bangunan moden dan bandar yang tidak terancang menjadikan panorama Kathmandu berselerakkan. Ini pula ditambah dengan sistem pendawaian eletrik yang masih konversional yang menggunakan tiang kayu atau batu. Berserabutan macam perut ayam!

Melihat atau mengunjungi bumi Manisha Koirala yang berpendudukan sebanyak 25 juta jiwa ini bukan untuk melihat pembangunan ataupun menikmati ketinggian seni bina warisan bangsanya! Tidak ada. Jelasnya bumi Nepal atau Kathmandu tidak secantik dan semanis Manisha Koirala.

Di sini tidak ada apa yang boleh dibanggakan dari segi pembangunan ataupun infrastrukturnya, melainkan gunung ganang dan banjaran Himalaya yang memiliki gunung Everest, gunung yang tertinggi di dunia.

Mungkin kalau ketiadaan Everst, Nepal sendiri tidak akan dilewati dan dikunjungi sesiapa dan Nepal masih sepi dalam sejarah kunonya? Demikianlah adilnya Tuhan memberi kelebihan kepada sesebuah negara berbeza antara satu sama lain.

Melihat kepada rupa paras Nepal khasnya Kathmandu yang comot dan kelam kabut, sudah pasti kota berpendudukan lebih 2.3 juta nyawa ini mempunyai pelbagai aktiviti sosial dan menyimpan 1001 jenis cerita hidup manusia.

Tekaan itu tidak meleset apabila menjelang malam, bandar yang kelabu usang, cerahnya samar-samar dan berbukitan ini menjadi riuh rendah dengan alunan muzik, dominanya irama Hindi. Bar atau kelab malam berselerakan di sini yang menyajikan pelbagai jenis tarian. Disepanjang jalan Durbar Marg, berdekatan hotel penginapan saya, de l’Annapurna terdapat tidak kurang 10 buah bar atau kelab desco.

Keadaan malam yang gelap gelita di sini seharusnya menjadikan kita merinding bulu roma untuk berjalan atau meninjau ataupun mencari kedai kopi di celah-celah bangunan berwajah usang. Namun panaroma itu sangat kontras dengan hakikatnya.

Berjalan di segenap jalan di Kathmandu ini, ataupun berada di mana-mana kesesakan manusia di sini kita tidak merasa cemas dan bimbang. Berada dalam kesesakan orang ramai di sini tidak seperti kita berada di Chow Kit Road, ataupun di Tanah Abang di Jakarta ataupun di Sardar, Karachi. Rasa bimbang, poket akan dicopek ataupun ditodong dengan pisau (rompakan) tidak ada sama sekali.

Di sini jenayah seakan menakuti manusia! Inilah antara keanehan dan kehebatan Nepal yang memiliki peribadi tinggi penghuninya. Kemiskinan dan kemelaratan hidup manusia di sini tidak mencipta jenayah!

Di jalan tidak ada pengemis yang meminta seperti mana berlaku dikebanyakan bandar-bandar Asia lain. Di sini saja menunjukkan rakyat Nepal tahu berdikari dan rela hidup dalam kesedarhanaan.

Sifat peramah rakyat Nepal dan sentiasa senyum kepada pelancong memberi ketenangan dan keselesaan kepada sesiapa juga. Mungkin atas sifat semulajadi inilah juga menyebabkan rakyat Nepal menjadi pilihan penjajah British suatu masa dulu untuk mengambil orang Nepal menjadi pengawal keselamatan untuk menjaga ladang atau pun lombong mereka di tanah-tanah jajahan taklukkan mereka termasuk di Malaysia.

Selain memiliki budi pekerti tinggi rakyatnya, dua perkara yang tidak boleh dilupakan bila menyebut Nepal ialah mengenai makanan dan batu permatanya. Tanpa banyak dipromosi Nepal mempuyai masakan dan risipi yang menarik dan citarasanya sesuai dengan selera orang Asia.

Batu permatanya pula memang terkenal sejak ribuan abad dulu lagi. Harga yang dijual di kedai-kedai emas atau kedai permata di sini jauh lebih murah berbanding dengan yang telah di eksport ke luar seperti di Makkah. Contohnya harga tali leher (loket) permata yang terjual di kedai emas di sekitar Masjid Haram dengan RM3,000 di sini baru RM1200 saja.

Catatan: Saya bersama Datuk Ibrahim Ali dan sdr Yusuf Merah di Nepal untuk merai kejayaan pendaki negara yang diketuai Datuk Khalid Yunus mengapai puncak Everest. Salam. Kathmandu, 23 Mei 2007.

Monday, May 21, 2007

Teka Teki Politik

Ketua Bahagian Mana “Main” Dengan Ketua Puteri

Persoalannya: Seorang Ketua Umno Bahagian di Kelantan dikatakan mempunyai hubungan sulit (skandal) dengan bekas Ketua Puteri Umno di sebuah bahagian di negeri berkenaan juga. Skandal ini berlaku semasa ketua bahagian berkenaan masih lagi menjadi ketua bahagian.

Bagaimana pun Keua Puteri Umno berkenaan sudah pun menjadi Ketua Puteri di suatu bahagian Umno.

Ketua Bahagian berkenaan telah beberapa kali membawa Ketua Puteri berkenaan ke luar negeri. Bukan setakat ke Indonesia tetapi hingga ke Eropah. Ketua Puteri Umno itu memang menjadi rebutan dan namanya tersohor di kalangan pemimpin Umno kerana glamournya.

Semasa kejadian ini berlaku sekitar tahun 2000 – 2005. Ketika itu ketua Puteri itu masih lagi belum bersuami. Hasil hubungan ketua Puteri dengan ketua bahagian itu menjadikan dia kaya-raya, mewah dan mempunyai berberapa asset. Barang kemas, kegemaran wanita Kelantan tidak payah diceritakan lagi, gelang sampai sekerat lengan, loket sampai penuh tengkok.

Kisah perhubungan sulit antara ketua bahagian dengan ketua puteri ini diketahui oleh ahli-ahli Bakti iaitu Persatuan Isteri-Isteri Menteri. Isteri bekas seorang timbalan menteri pernah menceritakanya hal ini kepada suaminya.

Adalah dipercayai kisah ini juga dalam pengetehuan Pengerusi Umno Kelantan Annuar Musa.

Siapakah Ketua Bahagian dan Ketua Puteri berkenaan?

Di sini diberikan klu untuk sesiapa berminat mencari jawabannya.
a)
Ketua Bahagian itu kini berada dalam kedudukan selesa didalam politik baik di Kelantan maupun di peringkat Nasional.
b)
Ketua Puteri berkenaan kini sudah pun bersuami, menjadi isteri kedua kepada salah seorang tokoh korporat.
c)
Ketua bahagian itu bukan Datuk Annuar Musa.
d)
Ketua Puteri itu bukan dari bahagian Tumpat.
e)
Ketua Bahagian berkenaan sudah bergelar Datuk.
f)
Ketinggian ketua bahagian itu kira-kira 5 kaki 1 inchi saja.
g)
Eksesori kesukaan Ketua Bahagian itu ialah memakai topi.

Jika anda kalian bijak bistari jawablah teka teki ini. Kalau anda tidak dapat menemui jawabannya hubungan saya untuk mendapat jawabannya menerusi email. Selamat mencuba!

Saturday, May 19, 2007

Teropong Ke Muktamar PAS ke-53

Rentetan Isu Sekular Dalam Pas

MSO

SAYA tidak mengerti dan tidak tahu untuk apa dan mengapa tiba-tia bloger Roslan SMS menulis mengenai faham sekular dan bersungguh cuba menjelaskan apakah definasi fahaman berkenaan. Apakah ia bertolak daripada suatu keadaan di dalam sebuah parti politik, (Pas) maka menyebabkan beliau terpanggil dan gelisah untuk menulis perihal sekular itu.

Memahami tulisan pendek dalam blognya itu, seolah ada pihak kurang senang dengan golongan sekular di dalam Pas dan Roslan pula nampak cuba mempertahankan golongan berkenaan. Kalau benar telahan ini maka di dalam Pas kini sedang bertarung dua aliran ‘sekular’ dan agama yang lebih senang disebut ‘al-ulama’.

Atau isu sekular itu sengaja dilaungkan menjelang muktamar Pas ke- 53 yang akan melibatkan pemilihan tahun ini. Apakah isu sekular dijadikan isu kempen untuk golongan agama (ulama) di dalam Pas dalam berhadapan dengan golongan profesional yang terdiri dari pemimpin pelapis bawah 50 tahun?

Saya tidak mahu dan berhajat mengulas lanjut dan mentafsirkan apa ‘menatang’ sekular itu. Perkataan ini cukup popular suatu masa dulu sehingga menimbulkan tanggapan negatif. Sekular semacam dianggap sebagai golongan menolak agama dan berada di birai neraka! Pengertian sekular itu cukup simple sampai pemakai baju kot dan tie adalah sekular!

Cukuplah dengan apa yang dijelaskan oleh Roslan yang dipetik daripada beberapa sumber. Kepada saya soal sekular atau ulama tidak penting dalam konteks politik bagi Pas. Harus diingat Pas bukan jemaah dakwah yang berjihad secara fizikal menggunakan pedang dan panah, kuda dan gajah serta menjadikan gua-gua tempat berlindung. Tetapi Pas adalah organisasi politik yang turut terikat dengan suasana dan keadaan semasa – sekular yang berdafatar dengan pertubuhan Malaysia.

Sepatutnya soal sekular dan ulama tidak timbul lagi kerana sebagai sebuah organisasi Pas mempunyai perlembagaan. Perlembagaan adalah rangka dan juga sempadan yang membataskan mana boleh dan mana yang tidak boleh untuk dilakukan dalam acuan perjuangan. Secara automatiknya ahli Pas harus terikat dan berjuang bagi memenuhi kehendak pelembagaanya.

Fasal 5 Perlembagaan Pas seperti dipetik Roslan iaitu; Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah” sangat jelas mengenai maksud dan intipati perjuangan Pas. Semua ahli Pas perlu fokus kepada untuk mencapai matlamat itu tanpa memikirkan soal titik bengit seperti isu sekular, syiah dan sebagainya.

Tiada jurang dalam demokrasi.

Dalam sistem demokrasi, nilai sesuatu undi itu bukan terletak kepada sekular atau ulama, kapatilis, sosialis, syiah atau itu ateis. Undi antara mereka ini sama sahaja, satu suara satu kuasa. Justeru kesemua aliran pemikiran ini dalam konteks demokrasi tidak ada keistimewaan dan tegak sama tinggi dan duduk sama rendah! Hatta bodoh dan cerdik kadang-kadang tidak ada jurang dalam demokrasi!

Berdasarkan realiti itu semua faham dan mazhab di dalam Pas seharusnya duduk sesaf dan sepakat menggerak perjuangan untuk menafikan kuasa mungkar berdasarkan realiti dan juga masalah siasah yang dibenarkan undang-undang.

Mereka yang mementingkan aliran atau fahaman atau puak (assobiyah) dalam kontreks demokrasi seperti hari ini adalah mereka yang tidak faham demokrasi. Mereka belum masak dengan demokasi dan menyertai demokrasi kerana mewarisi daripada orang terdahulu yang turut terpesong dalam memahami demokrasi sihat dan cerdik.

Pemimpin Pas yang berusia 60 tahun ke atas seharusnya sudah matang dengan demokrasi Malaysia yang penuh dengan kerencaman; hantu, jembalang, hipokrasi, rasuah dan sebagainya. Tetapi bila masih ada yang bercakap soal sekular, soal tidak syariah dan sebagainya jelas menunjukkan mereka tidak matang meskipun terperam berdekad lama dalam guni bernama demokrasi.

Pemikiran seperti itu masih jauh ke belakang dan tidak sesuai untuk turun ke gelanggang politik yang semakin sofistikated mutakhir ini.

Golongan yang mempertahankan kemurnian aliran pemikiran serta uslub konservatrif didalam strategi jihad seharusnya tidak menyertai demokrasi, maksudnya dalam hubungan itu tidak perlu menyertai pilihan raya yang penuh dengan bobrokan itu.

Alasan orang peankut.

Tetapi jelasnya mereka menerima juga demokrasi walaupun pada hakikatnya mereka menolak dari ukuran ilmu mantik yang mereka miliki. Mereka menerimanya dengan menggunakan alasan demokrasi/pilihan raya hanya satu-satu jalan yang dibenarkan untuk menatakan perjuangan. Sebenarnya itu hanya alasan saja dan orang-orang yang penakut dan tidak masak dengan pegangannya selalu berkata demikian untuk melindungi kejahilan murakab.

Tanggapan mengatakan penyertaan pilihan raya sebagai suatu keperluan dan satu-satunya jalan pada masa ini hanya alasan saja. Kalau kita utuh dan nekad berpegang kepada kesucian (konservetif) tadi dan tidak mahu berpalit dengan noda sekular, seharusnya kita memulau pilihan raya. Atau jika sayang untuk meninggalkan Pas, mereka menjadi pendokong di luar dan tidak sebagai calon. Tetapi kalau menurut fekah itu pun dikira bersubahat.

Namun nampaknya golongan menolak sekular ini tidak juga berbuat demikian malah galak merebut dan melobi untuk menjadi calon pada pilihan raya.

Berhubung dengan pertembungan di dalam muktamar akan datang, apakah sekiranya golongan ulama kosevertif menang mereka bersedia memulaukan pilhan raya dan mengambil pendekatan perjuangan dengan berdoa, bersolat hajat dan berlawan tanpa helah!

Sebenarnya soal sekular, tidak Islami dan profesional ini isu yang memeningkan dan menjelaskan kerencaman pandangan di dalam Pas. Selepas Pas berusia lebih setengah abad, masalah furuk ini tidak patut wujud lagi. Kegagalan Pas menyelesaikan dalam mencari persamaan dan persepakatan antara aliran ini mencerminkan kelemahan Pas dalam meletakkan pemikiran pemimpinnya dalam satu wadah.

Tidak hairanlah kalau Pas masih kalah menghadapi pilihan raya dan senantiasa mudah digoyahkan musuh kerana bukan saja fizikal tidak bersatu, tetapi pemikiran masing-masaing juga saling simpang menyimpang antara satu sama lain. Lebih malangnya pertelingkahan itu pula atas sifat-sifat yang remeh temeh seperti siapa lebih Islam dan tidak Islam.

Wednesday, May 16, 2007

Menjelang Muktamar PAS Ke-53

Psywar dan Kebodohan Sudah Mula Menerawang.

MSO

APA yang dibimbangkan oleh sesetengah pihak dalam Pas sekiranya pemilihan parti diadakan pada muktamar tahun ini ia akan menganggu fokus untuk menghadapi pilihan raya umum menjelang tiba tampaknya sudah menampakkan tanda-tanda kebenarannya. Kebimbangan itu seperti akan menjadi kenyataan dan Pas akan menerima musibah yang mereka sendiri doakan.

Pemimpin tertinggi Pas berbeza pandangan dalam soal ini. Sesetengahnya, khasnya golongan yang dilabelkan sebagai profesional tidak begitu setuju pertandingan diadakan demi menjaga keutuhan parti. Mereka memberi alasan dan kebimbangan kalau berlaku pertarungan apa lagi diperingkat pucuk pimpinan tertinggi ia menyebabkan tumpuan Pas untuk menghadapi pilihan raya akan terganggu.

Bukan itu saja, mereka bimbang pertandingan itu kelak akan dieksploitasikan oleh pihak musuh parti itu untuk mendakyah kepada umum bahawa keadaan di kalangan pemimpin Pas tidak seiya dan sekata. Kalau itu berlaku Pas terpaksa mengambil sedikit masa untuk menjelaskan kepada ahlinya dan ini menyebabkan Pas membuang masa.

Mereka ini lebih meletakkan kepentingan parti daripada kepentingan diri sendiri ataupun jawatan. Mereka berpendapat jawatan dan perebutan kuasa boleh dilakukan pada tahun lain dan tidak perlu disegerakan. Tentunya juga buat masa ini tidak ada apa-apa kelemahan kepimpinan hari ini untuk ditukar segera kecualilah di barisan pegawai kerja di pejabat agung parti itu ternyata lemah dan tidak mampu menjalankan tugas parti seperti diharapkan.

Jadi rubber stamp.

Setengah pegawai di pejabat agung berkerja menanti arahan dan menjadi rubber stamp tanpa sedikitpun menggunakan akal atau cuba berfikir sendiri apa yang patut dilakukan. Setengahnya memegang jawatan kerana disuruh dan bukan atas kemahuan sendiri dan pemilihannya berasaskan peribadi namun tidak kepada merit. Bagaimana pun para pegawai itu boleh dilantik selepas muktamar dan jawatan-jawatan itu tidak terlibat dengan pemilihan.

Manakala pihak yang mahukan pemilihan diadakan tidak bersetuju dengan alasan itu dan tetap mahukan pemilihan diadakan seperti biasa. Bagi mereka yang kebanyakannya bekas penyandang dan terdiri dari golongan tua dan berfikiran konservetif menggunakan alasan permilihan itu perlu untuk Pas tidak dilihat sama seperti Umno iaitu tidak demokratik.

Sebenarnya alasan itu tidak pratikal dan bukan bijaksana kerana dalam saat-saat Pas mahu berhadapan dengan pilihan raya Pas seharusnya mengelakkan pergaduhan sesama sendiri yang bakal timbul ekoran pemilihan itu. Apa dibimbangkan (sebab ahli Pas ada perasaan dan nafsu) kalau berlaku perlawanan ia akan meninggalkan kesan kalau tidak sampai patah, tetapi yang tentunya ia akan menggelupas.

Ahli Pas tidak maksum dan tidak semua ikhlas dan suci dalam perjuangan. Tidak semua juga ahli-ahli Pas menerima tarbiyah (memimjam istilah Pas) di dalam perjuangan. Masih ada ahli Pas yang bernafsu dan berpegang kepada pegangan yang ekstrim. Jadi dalam realiti seperti itu Pas tidak seharusnya merealisasikan demokrasinya secara bodoh tanpa berhati-hati dan melihat kepada muslihat pihak musuh yang senantiasa mencari jalan untuk memecahkan benteng Pas.

Apakah ahli-ahli Pas hari ini benar-benar masak dengan politik dan juga perjuangan? Kalau ahli Pas sudah terdidik secara Islam, menaati pemimpin dan menjaga maruah parti tentulah seruan yang dibuat oleh Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz pasti akan diikuti. Siapa lagi yang “suci” dan “mulia” kedudukannya di dalam Pas selain Mursyidul Am. Mursyidul Am adalah jawatan tertinggi.

Pandangan Nik Aziz tak dihirau.

Tetapi nampaknya seruan Nik Aziz juga diengkari. Nik Aziz sendiri dalam hal ini berpandangan jauh dan bijaksana dan tidak yakin kepada tarbiyah ahli Pas apabila beliau bersetuju agar pemilihan tahun ini ditangguhkan. Namun sayang, seruan dan pandangan beliau itu tidak dihiraukan. Di Kelantan sendiri berlaku pertandingan melibatkan dua kawasan iaitu di Pasir Mas dan Pasir Puteh. Apakah pihak yang mengengkari pandangan Nik Aziz itu sudah dicocok awal-awal?

Tidak ada guna sesen pun bagi Pas kalau mereka berjaya menunjukkan ianya sebuah parti demokratik tetapi dari sikap demokratik itu akhir ia merosakan parti itu sendiri.

Apabila berlaku demikian timbul juga suara-suara dari pihak yang mahukan pertandingan diteruskan kononnya pihak yang tidak bersetuju itu sayangkan kepada kedudukan mereka. Mereka takut jawatan yang disandang kini akan terlepas. Tuduhan dan dakwaan ini sudah membuktikan betapa politik di kalangan sesetengah orang Pas tidak suci dan tidak bersih.

Yang merasakan pertandingan itu tidak perlu bukan saja pemegang jawatan, tetapi orang lain juga termasuk pemerhati dan mereka yang mahu melihat Pas berjaya. Rasanya soal sayang jawatan tidak timbul di dalam Pas kerana jawatan dalam Pas tidak bersifat komersial! Kalau Pas sudah merasakan ahlinya cukup tarbiyah sehingga merasakan pertandingan tidak akan memecah belahkan parti, bagaimana pula boleh menuduh ada orang yang sayangkan kedudukan?

Seperti mana dikatakan tadi kebimbangan perpecahan itu akan menimbulkan masalah nampak sudah bermula. Mulai petang semalam sudah tersebar mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyenaraikan serangkai nama-nama calon yang perlu dipilih dan menggurkan beberana nama lain. Kumpulan itu disenaraikan sebagai pasukan “Penyelamat Pas”. Nama-nama yang disenaraikan itu mempunyai sifat tersendiri dan ia sangat kontras dengan sebahagian kalangan pemimpin Pas lain. Ada mirip rupa wajah Islam dalam senarai berkenaan.

Konotasi nama yang diberikan kepada kumpulan itu “Team Penyelamat” boleh ditafsirkan oleh musuh bahawa Pas kini berada dalam keadaan darurat. Sebenarnya pentafsiran yang bakal wujud dari kebodohan Pas sendiri inilah yang tidak dimahui dan perlu dielakkan.

SMS ini pasti akan tersebar luas dua tiga hari nanti. Tentulah juga pihak yang tidak termasuk di dalam senarai itu akan menjawab dan menyenaraikan pasukan mereka. Kalaupun mereka tidak menjawab tetapi penyokong masing-masing akan berusaha untuk membela mereka. Bila balas membalas berlaku, di sinilah kebimbangan perpecahan akan terjadi dan musuh akan terus menyelinap dan akan menyanyikan lagu Pas sudah berbalah dan berpecah.

Kerja Umno.

Mengenai SMS itu tidak mungkin ada pihak yang sanggup mengaku dan tetap akan menafikan mereka yang punya kerja. Tetapi kalaulah ianya datang dari orang Pas sendiri alangkah dikesalkan. Jelas menunjukkan perangai orang Pas lebih kurang sama dengan orang Umno. Kalau Umno menggunakan kempen kotor dan melebih-lebih, orang Pas juga berbuat hal demikian.

Bagi menenangkan otak biarlah ahli Pas pelu menerima SMS berkenaan bukan datang dari Pas, tetapi dari pihak musuh Pas. Sudah semestinya musuh Pas akan mengambil peluang ini seoptimanya untuk melemahkan Pas kerana mereka tahu kekuatan Pas hari ini boleh dihancurkan dengan pergaduhan sesama sendiri. Jadi mereka terus akan menjadi syaitan untuk menghasutkan Pas.

Kebimbangan pemilihan pada muktamar ke- 53 bermula pada 1 - 3 Jun hadapan boleh meninggalkan kesan buruk sudah terasa. Sekiranya kesan ini meluas dan memberi impak buruk kepada Pas, maka pihak yang mahukan pertandingan diadakan tahun ini kenalah bertanggungjawab dan sekaligus menangkiskan serangan-serangan yang bakal dilakukan ke atas Pas selepas ini. Apapun masa masih tersisa untuk Pas memikirkan secara hikmah bagaimana perlunya pertandingan itu ditangguhkan dan semangat syura yang menjadi kebanggaan Pas selama boleh dipraktikkan!

Tuesday, May 15, 2007

Untuk Apa Membelek Luka Lama!

PETIKAN SIASAH




MSO

SEJARAH adalah cermin kepada kehidupan. Ia bertindak menjadi penunjuk dan pemandu kepada perjalanan hidup sesuatu bangsa. Sekiranya bangsa itu berjalan tanpa petunjuk atau tidak mempunyai papan tanda (cermin) pastilah perjalanan bangsa itu akan tersesat dan menyeleweng.

Sebagai cermin ia akan menunjukkan (reflash) semua benda termasuk objek dan juga perasaan yang pernah dirakamnya. Bagaimana ia dicatat atau dilukiskan itulah juga yang akan dinilai dan dihayati. Sejarah sebenarnya tidak berbohong.

Generasi yang mahu berkembang ialah generasi yang tidak melupai latar sejarah. Generasi atau masyarakat yang senantiasa mengingati peristiwa lampau sebagai teladan dalam hidup, pasti akan berjaya dan selamat apa lagi kalau ianya bukan setakat mengingati saja tetapi mempraktikan sesuatu yang baik dalam kehidupan yang digali dari sejarah itu.

Atas perinsip dan kepentingan itu maka apa juga peristiwa yang berlaku perlu dirakam untuk dijadikan bekalan kepada masyarakat akan datang. Dan dokumen sejarah itu perlu dihayati untuk diambil iktibar. Itulah sepatutnya berlaku.

Dalam hal ini peranan penulis sebagai perakam sejarah sangat penting. Mereka perlu menulis dengan penuh keadilan berlatarkan kebenaran tanpa cuba membuat andaian atau pun analisa bagi kepentingan mana-mana kelompok. Perakam atau penulis demikian boleh mengundang bahaya kepada bangsa dan negaranya!

Justeru peranan perakam dan penulis sangat besar sekali. Ditangan merekalah hitam atau putihnya sejarah itu. Sebagai orang yang mendapat sumber dan penyalin peristiwa ke atas kertas mereka bertanggungjawab sepenuhnya. Kejujuran dan keikhlasan sangat diperlukan.

Bohong kepada diri sendiri.

Sekiranya perakam itu mahu mengolah mengikut sentimen naluri dan apa yang diingini ia akan terbawa ke arah itu. Sejarah itu akan dibaca mengikut cerita dan lukisannya sehinggakan menyimpang jauh dari hakikatnya. Dari segi etika penulis berkenaan sudah berbohong kepada dirinya sendiri kerana tidak menulis sesuatu yang benar.

Pun begitu kalau ia menulis sesuatu yang benar namun natijahnya boleh mengundang bencana ia juga dianggap sebagai penulis yang tidak mempunyai kebijaksanaan. Penulis yang bijaksana itu ialah yang menitik beratkan apakah manfaat kepada umum daripada apa yang ditulis atau dicatatkan itu.

Sejauh manakah penulis itu harus berbudi kepada dirinya sendiri dengan bersikap benar? Apakah kerana semata-mata mahu menjaga kebenaran itu maka ia rela membakar dirinya, bangsanya dan negaranya sendiri? Di sinilah dilema dan juga peranan besar kepada penulis yang memerlukan kebijaksanaan untuk menghuraikannya.

Saya terpanggil untuk mengungkitkan ini ekoran muncul sebuah buku yang mengulas dan menganalisa berhubung peristiwa 13 Mei yang berlaku hampir 40 tahun lalu. Buku ini kononnya mendedahkan maklumat terbaru berhubung tragedi itu yang tidak pernah dipecahkan sebelum ini.

Penulis berkenaan telah mendakwa menumui beberapa maklumat baru di London mengenai tragedi itu yang sebelum ini tidak didedahkan kepada umum. Ia baru diperolehi selepas 30 tahun tragedi itu bila mana maklumat itu dihalalkan untuk tatapan umum. Segala maklumat itu diperolehi di Pejabat Rekod Awam di Landon.

Berlandaskan kajian penulis itu yang disandarkan kepada maklumat terbaru itu, beliau telah mengandaikan punca tragedi yang meragut 196 naywa itu berlaku ialah kerana adanya pakatan untuk merampas kuasa oleh Tun Abdul Razak Hussein daripada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Dengan menimbulkan spekulasi itu penulis berkenaan menafikan bahawa tragedi itu berpunca dari gelagat pembangkang (Cina) adalah karut marut.

Walaupun ia tidak menyimpulkan secara tegas, tetapi gambaran yang diberikan daripada maklumat itu menunjukkan ada perancangan untuk rampas kuasa yang dilakukan oleh apa yang dinamakan sebagai kapitalis di kalangan Umno.

Bagaimana pun tidak disebut secara jelas dan spesifik siapakah kapitalis atau tokoh kapitalis itu. Daripada apa yang diketahui andaian itu semata-mata berdasarkan kepada maklumat berupa catatan wartawan asing yang memerhati kejadian berkenaan.

Melemahkan bukti rasmi

Maklumat berupa andaian itulah yang diperbesarkan oleh penulis berkenaan. Agak bahaya apabila dalam masa sama ia cuba memadam ataupun melemahkan bukti rasmi yang telah tiga dekad diterima oleh masyarakat Malaysia mengenai bagai mana cetusan tragedi berkenaan.

Apa yang menjadi pengetahuan umum tragedi itu meletus apabila orang Cina dari parti pembangkang (Gerakan) berarak selepas mereka menerima kemenangan besar dalam pilihan umum 1969. Dalam perarakan itu juga orang Cina telah menunjukkan sikap yang tidak manis dan bersemangat Malaysia sambil berarak atas lori mereka membawa penyapu sebagai simbul untuk menyapu (bersih) orang Melayu sambil mengejek-ejek!

Itu yang diterima. Tetapi apa yang dibawa oleh penulis berkenaan yang didakwa sebagai penemuan baru ialah, tragedi itu bermula daripada orang Melayu yang berselidung di sebalik hajatnya untuk merampas kuasa dengan menjadikan orang Cina sebagai mangsa.

Kesimpulan ringkas yang dapat dibuat dari pendedahan atau versi terbaru tragedi 13 Mei itu ialah ianya berpunca daripada sikap tamak orang Melayu (Tun Razak) untuk memiliki kuasa dengan memperalatkan bangsa lain sebagai alat mencapai tujuannya!

Sekali lagi dijelaskan, kita menghormati penulis dan perakam sejarah. Tetapi dalam konteks penulis dan pendedahan seperti tadi yang boleh menyebabkan timbul rasa kurang senang pihak tertentu apakah erti dan untungnya?

Dalam konteks tragedi seperti 13 Mei itu kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana penulis dan pengkaji sejarah seperti itu. Mereka mungkin bercakap benar, tetapi mereka tidak tidak peka kepada suasana semasa dan kerencaman warganegara ini. Apakah penulis tidak memikirkan kesan dan implikasi daripada tulisan itu?

Bersifat provokatif.

Pada saya apapun alasan bentuk yang dipaparkan itu bukan tulus dan ikhlas mendedahakan sejarah tragedi itu namun ianya ada motif lain di sebalik penulis bersifat provokatif itu.

Lantaran itu timbul tanda tanya untuk apakah catatan dalam versi sebegitu rupa? Kalau ianya boleh menimbulkan suasana tidak elok adalah baik kalau sejarah yang cukup sensitif dan nostalgik itu tidak ditulis lagi. Bukan saja sejarah seperti itu namun sejarah-sejarah lain juga.

Kebebasan dalam bentuk apa pun tetap ada sempadannnya. Agama adalah sempadan kehidupan zahir dan batin manusia. Undang-undang sivil adalah sempadan kehidupan manusia sesama manusia di dunia. Bayangkan bagaimana kalau sempadan itu tidak ada semuanya akan hancur!

Jika kita melewati mentara atau batas-batas tadi jelas kita bergerak melampaui batas-batas normal. Dan apabila kita sudah melanggar kebiasaan, maka kita tidak dihormati lagi. Lebih jauh apabila kita melanggari batas-batas itu menyebabkan kita menjadi semakin tidak normal yang akhirnya menjadikan kita tidak siuman. Bila kita sudah gila, apalah erti dan makna hidup ini?

Thursday, May 10, 2007

Ulasan Semasa

Pertanyaan untuk Mahathir dan Ku Li.

MSO

BUAT kali kedua tanggal 6 Mei lalu Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li ) berada di atas satu pentas. Mereka bertemu atas pentas di Kota Bharu dalam majlis dinamakan ucapan tahunan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang mana presidennya Ibrahim Ali.

Kali pertama kedua veteran Umno yang pernah bermusuh itu berada di satu pentas sesudah kesekian lama hidup secara berasingan, ialah pada suatu majlis di Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya kira-kira tiga bulan lalu!

Di UM, Ku Li dijemput untuk memberi ucapan berkaitan dengan Pembangunan dan Falsafah Pendidikan di Era Tun Razak. Kehadiran Mahathir ke majlis itu agak mengejutkan dan membuka lembaran baru dalam agenda menyerang Abdullah Ahmad Badawi oleh Mahathir. Kesediaan Mahathir mendengar ucapan Ku Li menjadi satu bahan renungan dan kajian pemerhati politik.

Ekoran itu, apa yang berlaku di Kota Bharu minggu kepas, Ku Li lihat hadir untuk mendengar ucapan Mahathir sebagai balasan apa yang Mahathir lakukan di UM dulu. Ku Li berbalas besen kata orang Kelantan!

Bersungguh benarnya tampaknya ahli Parlimen Gua Musang itu untuk hadir duduk sepentas dan seterusnya mendengar ucapan Mahathir. Mengapa dikatakan begitu kerana pada waktu dan tarikh sama Ku Li sepatutnya menghadiri majlis “Ttemu Mata Anak-anak Kelantan” yang dianjurkan oleh Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) yang diadakan di Gombak.

Beliau telah pun menyatakan kesediaan untuk hadir dan iklan di Siasah telah pun dipasang. Jadi Apabila beliau sanggup meninggalkan majlis di Gombak itu dan terbang semata-mata untuk bersama Mahathir bermakna majlis itu lebih penting bagi Ku Li dalam konteks politiknya.

Tentunya kehadiran Ku Li itu bukan saja sebagai anak Kelantan yang senantiasa mnghormati kunjungan tetamu ke negerinya. Kalau setakat hendak menyambut Mahathir cukuplah Ibrahim Ali memberi layanan atau mengusung tandu menyambut Mahathir. Seribu orang menyambut Mahathir di Kelantan tidak sama nilainya dengan Ibrahim seorang!

Tetapi apabila Ku Li sendiri hadiri ia secara automatik menggambarkan kehadiran dan pertemuan itu membawa maksud lain. Kehadiran itu juga akan diterjemahkan dengan berbagai-bagai erti dan makna. Tentu dirasakan ada cerita berbobot di sebaliknya.

Seperti juga majlis di UM, ucapan Mahathir pada sore itu juga berbau nada dan wajah yang sama; mengkritik dan menyerang Abdullah. Walaupun kali ini beliau tidak menunding tepat ke muka Abdullah tetapi maksud dan tujuan tidak lari dari itu. Sekali lagi beliau telah menghantarkan mesej kepada umum sebagai kesenimbungan kritikan dan serangannya kepada Abdullah sebelum ini.

Kekalkan kerajaan PAS di Kelantan.

Antara lain mesej yang dihantarkan di Kota Bharu tempoh hari ialah agar rakyat menolak Abdullah. Mesej itu digulungkan dalam sepatah perkataan berbunyi; "rakyat harus menolak pemimpin yang lemah dan gagal menghapuskan rasuah". Bagaimana pun paling mengejutkan ialah apabila beliau juga meminta secara terbuka (ikhlas?) agar rakyat Kelantam mengekalkan kerajaan PAS di Kelantan sebagai mesej penting untuk kerajaan BN pimpinan cucu ulama itu.

Ucapan Mahathir seperti itu tidak menjadi pelek lagi. Dengan memahami sifat dan peribadinya yang tidak pernah akan berundur, berani dan konsisten terhadap apa yang dikerjakan, beliau akan terus menyerang Abdullah sehingga ke akhirnya. Beliau akan tetap menyerang Abdullah selagi nyawanya dikandung badan atau akan berhenti apabila Abdullah turun dari kerusi Perdana Menteri. Itu adalah sifat dan karektor Mahathir yang tidak sukar untuk difahami tetapi sukar bagi mencari justifikasi atas kelakuan anehnya itu.

Melihat keseluruhan tujuan majlis tempoh hari apa yang orang tidak faham ialah mengenai Tengku Razaleigh Hamzah itu sendiri. Apakah tujuan Ku Li hadir dan bersama Mahathir. Apakah yang Ku Li harapkan daripada aksi-aksi dan sihir politik Mahathir. Dan apakah Ku Li merasakan Mahathir menyediakan ruang khusus untuknya dalam percaturan politik pasca pencennya itu?

Ini yang membingungkan sedikit orang ramai termasuk pemerhati politik. Ataupun kehadiran Ku Li itu semata-mata mebalas atas kesudiaan Mahathir mendengar ucapannya di UM yang menyebabkan anak raja Kelantan itu terus merasa kagum dan termakan budi Mahathir. Apakah ianya setakat itu saja?

Sebagai seorang yang mengimpikan jawatan untuk menjadi Perdana Menteri, Ku Li tentu mengharapkan keuntungan jauh daripada itu. Kehadiran dan kesanggupan mengekori Mahathir menaiki tangga untuk menuju ke dewan tempat berlangsungnya majlis itu dibayar dengan harga yang cukup mahal. Kehambaan Ku Li selaku tokoh hebat di Kelantan suatu masa dulu dan dibesarkan dalam rumah berpagar tinggi menampakkan beliau masih meletakkan Mahathir masih lagi sebagai pemimpin dan kawan dikaguminya.

Persoalan lain, apakah Mahathir bersedia untuk membantu Ku Li dalam merealisasikan cita-citanya (Ku Li) di hujung-hujung waktu subsidi ini? Inilah pertanyaan atau pun perkara yang perlu dimuktamadkan oleh Ku Li. Sekiranya kehadiran beliau itu hanya biasa saja dan tidak membawa laba politik, rasanya tidak wajar untuk Ku Li teruskan untuk mencemari kaki dan menuruti bontot Mahathir atau menumpang bertepuk tangan bila setiap kali Mahathir menyerang Abdullah.

Gerakan politik dengki

Ku Li sepatutnya mengharapkan sesuatu daripada tindakannya itu. Paling penting beliau harus memastikan 'gerakan politik dengki' ke atas Abdullah hari ini menguntungkannya. Kerana itu beliau kena berterus terang mendapat signal daripada Mahathir. Beliau harus bertanya Mahathir apakah kesan daripada serangan Mahathir itu bakal memberi pulangan kepadanya.

Sekiranya Ku Li hanya menuruti (bersubahat) dengan Mahathir untuk menyerang Abdullah tanpa beliau mengutip labanya, perbuatan Ku Li itu sia-sia saja. Paling menyedihkan orang akan melihat Ku Li tidak ada prinsip dan mengikut apa saja yang dalang politiknya lakukan hatta prinsip dan kehormatannya hancur!

Mengapa saya berkata begitu, kerana natijah daripada tindakan Mahathir hari ini akan dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Sekiranya Abdullah akhirnya mengaku kalah dan tertekan atas desakan dan serangan Mahathir, tentulah yang akan mengisi kekosongan itu Najib Razak. Terlupakah Ku Li dengan kata-kata Mahathir yang beliau (Mahathir) menyesal kerana tidak terus memberi jawatan PM kepada Najib?

Sanggupkah Ku Li melihat telaga yang ditimba bersama Mahathir sesudah airnya kering ikan dipunggut Najib!?

Lainlah kalau Ku Li sudah merasakan dia tidak berpeluang dan tertakdir lagi untuk menjadi PM, beliau terus boleh bersekonngkol dengan Mahathir untuk mempercepatkan proses penurun Abdullah dengan mengubah naluri jiwa merestui Najib menjadi PM.

Namun yang diharapkan apa yang dilakukan Mahathir dan Ku Li sekarang ini ianya berdasarkan kepada suatu teori kononnya Mahathir kini sedang menggerakan revolusi pembersihan di dalam Umno di mana datelinenya ialah pada Julai kelak. Kalau kehadiran dan kebersamaan Ku Li itu berdasarkan teori itu, maka kehadiran Ku Li itu boleh dimaafkan kerana bekas Menteri Kewangan itu kini sedang berbuat sesuatu kebaikan untuknya.

Pun begitu perkara paling afdal sekiranya Ku Li rela untuk ditunggangi Mahathir dalam proses menurun Abdullah mereka harus menanda tangani satu perjanjian atau persetiaan secara legal bahawa mereka kini benar-benar bersama bergarak ke arah itu yang manfaatnya kelak dikecapi bersama !

Friday, May 4, 2007

Catatan Pasca Pilihan raya Ijok

Bila Anwar marahkan Khairy

MSO
Antara seribu kejadian dan peristiwa di Ijok yang paling menarik ialah apabila Anwar Ibrahim menyerang dan membelasah Khairy Jamaluddin. Walaup
un serangan itu bersifat politik dan perlu dinilai dari sudut politik, ia tetap mengejutkan.

Selama ini Anwar tidak pernah menyerang atau mengatakan Khairy seteruk itu. Kalau pun beliau menyebut tentang Khairy tetapi masih berlapik dan sipi-sipi saja.

Tetapi serangan malam terakhir kempen pilihan raya Ijok itu berlainan. Nampak bersungguh. Malam-malam sebelumnya tidak ada kedengaran yang Anwar membelasah atau menyerang Khairy maupun bapa mertuanya Abdullah Badawi (Pak Lah). Apa yang menjadi sasaran ialah Najib Razak saja.

Saya mengikuti sebahagian besar ceramah politik Anwar dalam pilihan raya kecil Ijok itu. Misalnya ceramahnya di Bukit Badong, di Pekan Ijok dan di Batang Berjuntai. Anwar tidak pun menyentuh nama Khairy dan Pak Lah.

Seolah-olah Khairy tidak muncul dan menjadi pemain utama dalam kempen BN. Orang juga terheran-heran mengapa Anwar tidak menyentuh batang tubuh Khairy, sedangkan Khairy dikatakan antara orang (pemuda) paling aktif berkempen di Ijok. Umum juga menunggu Khairy yang menjadi public figure ketika ini dibelasah oleh Anwar di Ijok.

Tetapi apabila malam terakhir ketika berceramah di hadapan kaum Tionghua di Pekan Ijok, Anwar telah membelasah dan mengkritik Khairy sampai keluar perkataan yang sangat pedih untuk didengar sungguh mengkagetkan. Malam itu Anwar mencemuh dan memperkecilkan Khairy walaupoun usianya setahun jagung tapi memilik kekayaan berjuta ringgit.

Budak biadap

Terlucut juga perkataan biadap yang dihembur Anwar kepada Khairy. Semua yang mendengarnya terkejut musang. Nampaknya Anwar marah benar pada Khairy di malam tersebut? Apakah yang tidak kena atau Anwar terdesak ketika itu melihat partinya yang sudah lemah dan kekalahan sudah terbayang di juring mata?

Yang jelasnya, Anwar membantai Khairy selepas Khairy mengatakan Anwar membisu mengenai pembelian saham Guthrie oleh Khalid Ibrahim. Anwar begitu sensitif sekali terhadap perilaku Naib Ketua Pemuda itu. Kebetulan pula siang harinya, mertua Khairy, Pak Lah turut turun ke Ijok untuk memberi semangat kepada jentera pilihan raya BN.

Apa yang mengejutkan dengan bidasan Anwar terhadap Khairy itu kerana sebelum ini orang melihat mereka berdua tidak bermasalah. Malahan Khairy dikatakan sedang berusaha untuk membawa Anwar masuk semula ke dalam Umno. Khairy dikatakan sedang bermain mata dengan Anwar dan sedang membina terowong bawah tanah bagi Anwar masuk ke dalam Umno.

Khairy dikatakan memerlukan Anwar sebagai god fathernya di dalam politik. Kahiry memerlukan seseorang taukeh dalam politik untuk menjamin masa depannya. Dalam konteks ini Anwar adalah sosok paling sesuai bagi Khairy menjadikan sebagai junjung politiknya.

Peranan dan juga gerak geri Khairy sudah terhidu oleh pemimpin Umno lain termasuk Najib. Kerana itulah Najib telah memberi isyarat agar megawasi gerak geri Khairy. Tetapi si Khairy ini bukan kecil anak. Apabila disudah tahu gerak gerinya diperhati, beliau mula mengubah haluan dan mengalih strategi.

Apakah tindakan Anwar membelasah Khairy di malam terakhir itu sebahagian daripada strategi untuk menyelamatkan Khairy disebotaj oleh geng Najib? Walahualam!

Terjumpa Khairy

Pada hari megundi (28 April) ketika pemimpin Keadilan dan BN mengerumuni balai polis Ijok kerana membuat report mengenai penahan sebuah bas yang disyaki membawa pengundi hantu di Bukit Badong, saya sempat bersua dengan Khairy yang terkial-kial di pintu pagar balai polis bersama gengnya. Turut sama taukeh 'mat rempit', Abdul Azeez Abdul Rahim.

Saya memberanikan diri dan bertanya Khairy mengenai tindakan Anwar yang mencemuhnya itu.

“Kata Anwar bantai you malam tadi, betulkah?” Aju saya kepada Khairy.

“Tak ada… tak ada,” balasnya biasa dan selamba saja.

“I dapat maklumat teruk dia belasah you, sampai kata you biadap dan sebagainya,” tekan saya lagi.

“Tak ada… I.. tak dengar apa-apa pun,” balas Khairy lagi menafikan apa yang berlaku tanpa mengerutkan kening.

Saya tidak bertanya panjang dan terus menyimpul, bahawa pemuda hitam tampuk mangis ini pandai juga berpolitik. Dia dapat mengawal perasaanya dan tidak mudah termakan dengan apa-apa hasutan.

Saya tetap percaya Kahiry sudah pun tahu yang Anwar membelasahnya malam itu.Sudah pasti ada orang memberi tahunya kalau dia sendiri tidak hadir pada ceramah Anwar itu.

Apabila beliau menafikan dua kali, dan tidak memberi apa-apa respon apa lagi menunjukkan sikap jengkil kepada Anwar ketika itu, ternyata Khairy orang yang boleh tahan muka dan terlinga. Telinganya tidak muda pedih mendengar apa-apa yang tidak baik mengenainya. Mungkin kerana itulah maka beliau boleh bertahan walaupun seluruh Malaysia telah mencemuh dan memurkainya termasuk Mahathir Mohamad.

Persoalanya apakah dengan penafian itu sudah ada persefahaman (understanding) antara Khairy dengan Anwar? Anwar perlu berbuat begitu untuk menutupi rasa curiga Najib mengenai usaha Khairy untuk membawa Anwar menyertai Umno.

Bagaimana pun sekiranya babak di Ijok itu benar.. ini membawa senario baru dalam politik pembangkang. Suasana itu tentulah ditunggu pembangkang yang selama ini mahu memutuskan impian dan harapan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri menerusi Umno.

Persepsi hubungan antara mereka berdua menjadi subur sejak pemergian Khairy ke rumah Anwar untuk menguruskan pemerosesan passport Anwar suatu masa dulu. Orang beranggapan kalau tidak ada mengada, masakan menantu PM pergi ke rumah bekas TPM! Dari babak itulah orang menyimpulkan Kahiry dan Anwar ada sesuatu....

Dan apakah sesuatu itu sudah berakhir bila Anwar bertindak memarahkan Khairy, atau ianya suatu episod yang sedang dimualakan!