Anak Kelantan Berjaya Cecah Kaki di Island Peak Himalaya.
KATHMANDU (Nepal): Berkat keazaman, kecekalan dan minat yang mendalam akhirnya Asyran Raeof Amran, 30 berjaya mencecahkan kaki di kemuncak Island Peak Himalaya yang ketinggi 6,160 meter dari paras laut.
Asyran mendaki secara solo berjaya sampai ke ‘pulau’ yang penuh salji itu pada jam 2.15 waktu tempatan atau kira-kira jam 5.30 waktu Malaysia pada 18 Mei lalu.
Beliau yang merupakan anak Kelantan yang membuat pendakian secara solo pertama
yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Kelantan dikira memecah rekod kerana membuat pendakian tanpa sebarang latihan dan pengalaman secukupnya.
“Saya merasa seperti dalam mimpi saja dan tidak percaya telah berjaya menjejakkan kaki di Island Peak”, begitulah ujarnya ketika ditemui di sini sebaik tiba dari Lukhla malam tadi (25 Mei).
Asyran yang yang masih keletihan dan sebahagian mukanya bergelupas berkata semasa berada di puncak berkenaan berkata beliau seolah-olah berada dalam mimpi dan tidak mempercayai bahawa beliau sudah mencecah kaki di situ.
Sebelum ini anak ke empat dari enam orang adik beradik itu tidak pernah mempunyai pengalaman mendaki mana-mana gunung sebagai latihan seperti kebanykan pendaki lain lalui dan mendaki ke puncak Island itu adalah yang pertama kali.
Asyran yang sudah beristeri dan mempunyai empat orang anak berasal dari Kampung Banggul, Kota Bharu mula mendaki ke puncuk Island pada 6 Mei lalu bermula dari Lukhla menuju ke Kakptha kemudian tiba di Base Camp Everest sebelum turun untuk mengambil jalan ke puncak Island.
Semasa di Base Camp katanya, beliau sempat berjumpa dengan rombongan pendaki Everst Merdeka Malaysia yang diketuai Datuk Khalid Yunus yang sedang bersiap sedia untuk membuat pendakian.
Apa yang menakjubkan Asyran lagi ialah beliau berjaya mencecah kaki ke Island Peak dalam tempoh satu hari saja berbanding dengan jangka masa biasa diambil kebanyakan pendaki selama tiga hari.
“Saya tidak percaya apa yang telah saya lalukan, dan saya bersyukur kepada Allah,” ujarnya berkali-kali.
Kejayaan Asyran itu turut diakui dan dikagumi sendiri oleh Furi G Sherpa yang menguruskan pendakiannya.
“Apa yang dicapai Asyran sungguh mengkagumkan saya,” kata Furi.
Mencerita detik-detik pahit getir di sepanjang pendakian itu Asyran menjelaskan beliau terjatuh sekali kerana dipukul ribut salji bagaimana pun tidak mengalami apa-apa kecederaan.
“Kejadian ini berlaku sewaktu turun tiba-tiba kaki saya tergelecah menyebabkan saya terjatuh dan tubuh saya bergantungan beberapa minit,” ujarnya. Waktu itu beliau tidak ingat lain kecuali berdoa kepada Allah.
Sementara itu Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Datuk Ibrahim Ali yang berada di sini sejak 22 Mei lalu melahirkan rasa bangga atas kejayaan wira Kelantan itu dan menyifatkan kejayaan itu adalah kejayaan rakyat Kelantan.
“Saya bangga dan mengucapkan tahniah kepada Asyran kerana menjadi anak Kelantan pertama berjaya mencecahkan kaki ke Island Peak dalam keadaan serba kekurangan,” ujarnya.
Menurutnya apa yang dilakukan Asyran membangga negeri Kelantan dan semangat yang ada kepadanya patut dijadikan contoh. “Saya harap selepas ini Asyran akan mendaki Everest pula,”
Satu majlis ringkas meraikan kejayaan Asyran itu telah diadakan oleh Ibrahim di sebuah restoran terkemuka di sini yang turut dihadiri sama oleh pengurus pendakian Asyran, Furi G Sherpa, Yusuf Merah serta beberapa yang lain.
Kata Ibrahim MTRK akan mengadakan majlis khas sebagai meraikan Asyran di Kota Bharu minggu hadapan.
No comments:
Post a Comment