Thursday, May 10, 2007

Ulasan Semasa

Pertanyaan untuk Mahathir dan Ku Li.

MSO

BUAT kali kedua tanggal 6 Mei lalu Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li ) berada di atas satu pentas. Mereka bertemu atas pentas di Kota Bharu dalam majlis dinamakan ucapan tahunan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang mana presidennya Ibrahim Ali.

Kali pertama kedua veteran Umno yang pernah bermusuh itu berada di satu pentas sesudah kesekian lama hidup secara berasingan, ialah pada suatu majlis di Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya kira-kira tiga bulan lalu!

Di UM, Ku Li dijemput untuk memberi ucapan berkaitan dengan Pembangunan dan Falsafah Pendidikan di Era Tun Razak. Kehadiran Mahathir ke majlis itu agak mengejutkan dan membuka lembaran baru dalam agenda menyerang Abdullah Ahmad Badawi oleh Mahathir. Kesediaan Mahathir mendengar ucapan Ku Li menjadi satu bahan renungan dan kajian pemerhati politik.

Ekoran itu, apa yang berlaku di Kota Bharu minggu kepas, Ku Li lihat hadir untuk mendengar ucapan Mahathir sebagai balasan apa yang Mahathir lakukan di UM dulu. Ku Li berbalas besen kata orang Kelantan!

Bersungguh benarnya tampaknya ahli Parlimen Gua Musang itu untuk hadir duduk sepentas dan seterusnya mendengar ucapan Mahathir. Mengapa dikatakan begitu kerana pada waktu dan tarikh sama Ku Li sepatutnya menghadiri majlis “Ttemu Mata Anak-anak Kelantan” yang dianjurkan oleh Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) yang diadakan di Gombak.

Beliau telah pun menyatakan kesediaan untuk hadir dan iklan di Siasah telah pun dipasang. Jadi Apabila beliau sanggup meninggalkan majlis di Gombak itu dan terbang semata-mata untuk bersama Mahathir bermakna majlis itu lebih penting bagi Ku Li dalam konteks politiknya.

Tentunya kehadiran Ku Li itu bukan saja sebagai anak Kelantan yang senantiasa mnghormati kunjungan tetamu ke negerinya. Kalau setakat hendak menyambut Mahathir cukuplah Ibrahim Ali memberi layanan atau mengusung tandu menyambut Mahathir. Seribu orang menyambut Mahathir di Kelantan tidak sama nilainya dengan Ibrahim seorang!

Tetapi apabila Ku Li sendiri hadiri ia secara automatik menggambarkan kehadiran dan pertemuan itu membawa maksud lain. Kehadiran itu juga akan diterjemahkan dengan berbagai-bagai erti dan makna. Tentu dirasakan ada cerita berbobot di sebaliknya.

Seperti juga majlis di UM, ucapan Mahathir pada sore itu juga berbau nada dan wajah yang sama; mengkritik dan menyerang Abdullah. Walaupun kali ini beliau tidak menunding tepat ke muka Abdullah tetapi maksud dan tujuan tidak lari dari itu. Sekali lagi beliau telah menghantarkan mesej kepada umum sebagai kesenimbungan kritikan dan serangannya kepada Abdullah sebelum ini.

Kekalkan kerajaan PAS di Kelantan.

Antara lain mesej yang dihantarkan di Kota Bharu tempoh hari ialah agar rakyat menolak Abdullah. Mesej itu digulungkan dalam sepatah perkataan berbunyi; "rakyat harus menolak pemimpin yang lemah dan gagal menghapuskan rasuah". Bagaimana pun paling mengejutkan ialah apabila beliau juga meminta secara terbuka (ikhlas?) agar rakyat Kelantam mengekalkan kerajaan PAS di Kelantan sebagai mesej penting untuk kerajaan BN pimpinan cucu ulama itu.

Ucapan Mahathir seperti itu tidak menjadi pelek lagi. Dengan memahami sifat dan peribadinya yang tidak pernah akan berundur, berani dan konsisten terhadap apa yang dikerjakan, beliau akan terus menyerang Abdullah sehingga ke akhirnya. Beliau akan tetap menyerang Abdullah selagi nyawanya dikandung badan atau akan berhenti apabila Abdullah turun dari kerusi Perdana Menteri. Itu adalah sifat dan karektor Mahathir yang tidak sukar untuk difahami tetapi sukar bagi mencari justifikasi atas kelakuan anehnya itu.

Melihat keseluruhan tujuan majlis tempoh hari apa yang orang tidak faham ialah mengenai Tengku Razaleigh Hamzah itu sendiri. Apakah tujuan Ku Li hadir dan bersama Mahathir. Apakah yang Ku Li harapkan daripada aksi-aksi dan sihir politik Mahathir. Dan apakah Ku Li merasakan Mahathir menyediakan ruang khusus untuknya dalam percaturan politik pasca pencennya itu?

Ini yang membingungkan sedikit orang ramai termasuk pemerhati politik. Ataupun kehadiran Ku Li itu semata-mata mebalas atas kesudiaan Mahathir mendengar ucapannya di UM yang menyebabkan anak raja Kelantan itu terus merasa kagum dan termakan budi Mahathir. Apakah ianya setakat itu saja?

Sebagai seorang yang mengimpikan jawatan untuk menjadi Perdana Menteri, Ku Li tentu mengharapkan keuntungan jauh daripada itu. Kehadiran dan kesanggupan mengekori Mahathir menaiki tangga untuk menuju ke dewan tempat berlangsungnya majlis itu dibayar dengan harga yang cukup mahal. Kehambaan Ku Li selaku tokoh hebat di Kelantan suatu masa dulu dan dibesarkan dalam rumah berpagar tinggi menampakkan beliau masih meletakkan Mahathir masih lagi sebagai pemimpin dan kawan dikaguminya.

Persoalan lain, apakah Mahathir bersedia untuk membantu Ku Li dalam merealisasikan cita-citanya (Ku Li) di hujung-hujung waktu subsidi ini? Inilah pertanyaan atau pun perkara yang perlu dimuktamadkan oleh Ku Li. Sekiranya kehadiran beliau itu hanya biasa saja dan tidak membawa laba politik, rasanya tidak wajar untuk Ku Li teruskan untuk mencemari kaki dan menuruti bontot Mahathir atau menumpang bertepuk tangan bila setiap kali Mahathir menyerang Abdullah.

Gerakan politik dengki

Ku Li sepatutnya mengharapkan sesuatu daripada tindakannya itu. Paling penting beliau harus memastikan 'gerakan politik dengki' ke atas Abdullah hari ini menguntungkannya. Kerana itu beliau kena berterus terang mendapat signal daripada Mahathir. Beliau harus bertanya Mahathir apakah kesan daripada serangan Mahathir itu bakal memberi pulangan kepadanya.

Sekiranya Ku Li hanya menuruti (bersubahat) dengan Mahathir untuk menyerang Abdullah tanpa beliau mengutip labanya, perbuatan Ku Li itu sia-sia saja. Paling menyedihkan orang akan melihat Ku Li tidak ada prinsip dan mengikut apa saja yang dalang politiknya lakukan hatta prinsip dan kehormatannya hancur!

Mengapa saya berkata begitu, kerana natijah daripada tindakan Mahathir hari ini akan dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Sekiranya Abdullah akhirnya mengaku kalah dan tertekan atas desakan dan serangan Mahathir, tentulah yang akan mengisi kekosongan itu Najib Razak. Terlupakah Ku Li dengan kata-kata Mahathir yang beliau (Mahathir) menyesal kerana tidak terus memberi jawatan PM kepada Najib?

Sanggupkah Ku Li melihat telaga yang ditimba bersama Mahathir sesudah airnya kering ikan dipunggut Najib!?

Lainlah kalau Ku Li sudah merasakan dia tidak berpeluang dan tertakdir lagi untuk menjadi PM, beliau terus boleh bersekonngkol dengan Mahathir untuk mempercepatkan proses penurun Abdullah dengan mengubah naluri jiwa merestui Najib menjadi PM.

Namun yang diharapkan apa yang dilakukan Mahathir dan Ku Li sekarang ini ianya berdasarkan kepada suatu teori kononnya Mahathir kini sedang menggerakan revolusi pembersihan di dalam Umno di mana datelinenya ialah pada Julai kelak. Kalau kehadiran dan kebersamaan Ku Li itu berdasarkan teori itu, maka kehadiran Ku Li itu boleh dimaafkan kerana bekas Menteri Kewangan itu kini sedang berbuat sesuatu kebaikan untuknya.

Pun begitu perkara paling afdal sekiranya Ku Li rela untuk ditunggangi Mahathir dalam proses menurun Abdullah mereka harus menanda tangani satu perjanjian atau persetiaan secara legal bahawa mereka kini benar-benar bersama bergarak ke arah itu yang manfaatnya kelak dikecapi bersama !

No comments: