Kongres Keadilan dan Muktamar Pas mengait Ingatan!
Selama enam hari berada di Kathmandu banyak pengalaman baru yang diperolehi. Bandar kepadatan populasi sebanyak 2.5 juta ini menambah sedikit lagi rencah-rencah pengalaman kehidupan. Aktiviti sosialnya sesuatu yang menarik dan memberi keinsafan tersendiri.
Demikian budaya dan rencah ratus politiknya tidak kurang juga menarik. Ini menjadikan orang seperti saya dan pengkaji sosial politik akan leka untuk terus mengetahuinya. Apapun paling mempesonakan ialah mengenai alam semula jadinya yang menakjubkan!
Kathmadu khususnya dan Nepal amnya yang dikelilingi ribuan gunung ganang menyebabkan diri terulik dan melupai kepada keindahan dan nikmat kemerdekaan negara. Bagi pencipta alam – gunung ganang di sinilah syurga mereka.
Ingatan saya, dan begitu juga rakan lain, Ibrahim Ali, Yusuf Merah serta Nazaruddin kepada isteri dan anak-anak terlupa sekejap dek terhimbau dengan kehebatan dan keagungan gunung ganang di sini yang dirajai oleh Everest setinggi 8,848 meter dari paras laut.
Bagaimana pun negara sendiri tetap negara sendiri. Kata orang biar pun hujan emas di negeri orang namun lebih baik lagi hujan batu di negeri sendiri. Malaysia tetap diingati dan dikenang.
Dua perisrtiwa mengait ingatan.
Bagi saya selain anak dan isteri yang senantiasa bersarang di dalam benak, ada dua peristiwa yang menjadikan saya terkenang-kenang. Ia memanggil-manggil dan menyebabkan rasa terkilan kerana tidak dapat mengikutinya secara live seperti biasa.
Peristiwa itu ialah mengenang kongres parti Keadilan di Seremban.Inilah kali pertama sejak parti itu dizahirkan saya tidak dapat mengikutinya dari dekat. Insiden dan juga “kekacauan” kecil yang berlaku semasa kongres itu diadakan benar-benar mengusik hati.
Dari laporan yang dibaca menerusi internet, apa yang berlaku itu meninggalkan tanda tanya yang sukar untuk diulaskan dari sini. Tetapi ia menyebukan jiwa dan menimbulkan rasa kesal.
Berbicara mengenai kongres Keadilan, yang terkilan dan kecewa bukan kerana Anwar Ibrahim tidak dibenarkan memimpin parti berkenaan kerana halangan ROS, tetapi kerana sikap beberapa pemimpin parti berkenaan yang tidak menunjukkan keulitan perjuangan dan tidak cuba memahamilangkah perjuangan Anwar.
Tindakan Nalakarupan dan mereka yang sekupu dengannya sebelum ini – yang keluar keadilan sesuatu yang menyesalkan! Tindakan itu menyusah dan menganggukan Anwar Ibrahim untuk melakari jalan perjuangannya parti berkenaan. Walaupun saya sudah menjangkakan sejak awal lagi ke mana dan bagaimana tribulasi politik Nalakarupan, tetapi tidak mengira ia menyimpang sejauh itu.
Politik dan semangat perjuangan Nala yang hendak membela kaum India menerusi Keadilan seperti embun di hujung pagi saja. Bagaimana ia beriya dan glamor semasa hendak menyertai parti berkenaan begitulah juga glamor dan beriyanya beliau hendak meninggalkan Keadilan.
Kepada Keadilan hendaklah sikap insan seperti Nala ke atas Keadilan tidak akan melemahkan semangat perjuangan mereka. Api reformasi yang dihidupkan Anwar 11 tahun lalu tidak boleh terpadam oleh orang-orang seperti Nalakarupan itu.
Selain menghitung bagamana nasib Keadilan dan Anwar elepas ini, fikiran juga terusik dengan acah-acah yang berlaku menjelang muktamar Pas kali ke 53 di Kota Bharu sehari dua nanti.
Walaupun muktamar itu seharusnya memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pilihan raya umum, namun ia seperti tercemar apabila ada berlaku perlawanan dan perebutan jawatan orang nombor dua di dalam parti berkenaan. Ulah Harun Taib menentang Nasharuddin Mat Isa dikira terkeluar daripada nas?
Sebelum berlepas ke Napel pada 22 Mei, saya sudah mencari dimanakah logik dan keperluan untuk Ketua Dewan Ulama Pas itu menentang Nasharuddin Isa? Apakah sebab Nasharuddin tidak perform? Terlalu mudah untuk menghukum demikian kerana Nasharuddin baru memegang jawatan itu tidak sampai tiga tahun.
Kalau Harun atau sesiapa ingin bercakap mengenai tidak perform atau mampu menunjukkan keupayaan sebagai pemimpin di dalam Pas, soal itu bukan saja harus ditunding kepada Nasharuddin, sebaliknya banak lagi pemimpin atasan Pas yang tidak perform dan berdaya termasulah Abdul Hadi Awang sendiri selaku presiden.
Dalam konteks hari ini, saat Pas ingin meremajakan politiknya atau menjejaki realiti semasa, pemimpin muda tidak seharusnya mudah ditendang. Langkah Harun menentang Nasharuddin nampaknya cuba hendak menganggui proses berkenaan? Orang lama dan seuisa Harun harus memberi ruang dan peluang apakah tindakan mereka.
Apakah Pas ingin kembali dan surut ke belakang semula? Kalau soal prinsip atau dasar parti atau ingin menjaga Pas sebagai sebuah parti Islam yang murni dan suci, rasanya itu bukan alasan. Kesucian dan kemurnian Pas bukan saja milik ulama, ustaz tetapi a juga milik generasi muda, profesional dan seluruh ahli Pas lain.
Muktamar Pas di Kota Bharu ini membentangkan dua jalan kepada ahli Pas. Apakah mereka mahu terus ke kanan yang dirintis oleh orang muda yang lebih progresif, mencapai realiti atau ke lorong kiri yang sempit dan bergerak melawan arus?
Ke kanan bermakna Pas berjalan mengikut realiti sebagai sebuah badan politik, ke kiri sebagai jemaah yang hidup sebagai kelompok beragama semata-mata yang bertentangan dengan fisafah Pas sebelum ini bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan!
Sesungguhnya soal hendak mengimbangkan Pas tidak timbul sekiranya setiap ahli Pas berpegang kepada tali yang satu. Itulah yang sepatutnya, kecualilah di dalam Pas mempunyai berberapa mahzab di mana mazhab inilah yang menyebabkan menjadi penghalang kepada kemajuan parti berlambangkan bulan purnama penuh itu.
(Besok akan disiarkan diary perjalanan ke Napel).
Kathmandu, 28 Mei 2007,
5.00 pagi.
No comments:
Post a Comment