Monday, June 30, 2008

Berita Baru

Anwar Sudah Meninggalkan Kedutaan Turki

ANWAR Ibrahim telah mengambil keputusan bijak keluar daripada perlindungan di Kedutaan Turki selepas hampir 32 jam berada di sana. Beliau telah pulang ke rumahnya di Segambut. Dengan keluarnya Anwar dan malam ini beliau dijangka akan memberi amanat kepada penyokongnya di pejabat PKR di Petaling Jaya, bermulalah satu episod baru dalam kehidupan Penasihat PKR itu.

Sudah tentu amanat malam ini penting sebagai perasmian untuk memulakan perjuangan baru menentang difitnah terbaru ke atasnya yang masih versi lama.

Penjelasan Anwar malam ini sangat dinanti-nantikan dan bakal memperlihatkan warna perjuangan Pakatan Rakyat selepas ini.

Nampaknya sudah menjadi surat takdir Anwar kena bermula daripada kosong semula setelah dikatakan sudah hampir untuk mencapai kejayaan membentuk kerajaan pada 16 September depan.

Apakah kes fitnah baru ini sebagai penyambungan kepada fitnah 10 tahun lalu? Dan Abdullah Ahmad Badawi serta Mohd Najib Razak akan merestui apa yang dirasmikan Mahathir Mohamad?

Yang jelasnya rakyat terkejut dengan apa yang berlaku. Setengahnya sudah letih dan ada yang tidak berdaya untuk terus bergerak lagi. Rakyat yang cintakan damai terpaksa mengorbankan banyak masa untuk membela, mengangkat dan juga memahami tindak tanduk Anwar.

Apakah demkikian sunatullah betapa pahitnya dan berlikunya jalan ke puncak?

Apa lagi untuk bergerak dari garis awal semula sesuatu yang memeritkan. Lebih malang kepada rakyat yang mendokong perjuangan Anwar kalau takdir beliau sekali lagi terpaksa disumbat ke dalam penjara atas tuduhan serupa ke atasnya.

Sama-sama berdoa semoga bayangan hitam itu tidak akan berlaku. Semoga Anwar diberikan kebebasan dan kesaksamaan dalam menyiasat laporan huduh yang dibuat oleh manusia bernama Mohd Saiful Bukhari Azlan itu. [wm.kl 8:45 pm 30/06/08]

Laporan Lewat

Teringatkan Anwar Pusing-Pusing Disekitar Jalan U-Thant

JAM 12:30 tengah malam tadi saya pusing-pusing di sekitar Jalan U-Thant di Ampang. Menijau apa yang berlaku dan ada di sekitar kedutaan Turki di situ. Anwar dikatakan berada di kedutaan itu. Berlindung atas alasan mejaga keselamatan dirinya. Kononnya keeselamatannya terancam. Anihnya kenapa tidak ada laporan polis? Apakah alasan polis tidak boleh dipercayai maka laporan polis tidak buat?

Bukankah laporan polis itu sebagai bukti bahawa ada laporan berhubung hal berkenaan. Samada polis nak siasat atau tidak itu soal lain. Seharusnya Anwar atau ada orang lain yang bertindak bagi pihaknya membuat laporan polis. Dakwaan yang dibuat itu serius!

Suasana di Jalan U-Thant lenggang sahaja ketika itu. Ada satu sekatan jalan raja dengan lima orang anggota polis di simpang ke kedutaan Turki. Orang ramai yang berhajat untuk menghampiri kedutaan Turki harus parking kereta di persimpangan berhampiran sekatan jalan berkenaan.

Menurut polis yang berkawal keadaan di kedutaan Turki ketika itu sudah lengang. Menurut anggota polis baru sekejap tadi Ahli Parlimen Padang Serai, Golbalkrishnan kelihatan keluar dari kawasan kedutaan itu. Manakala wartawan masih terus berkampung di perkarangan kedutaan berkenaan.

Saya tidak menghampiri dan berpatah balik. Dalam kepala berlambak beribu persoalan dan pertanyaan yang masih belum tidak dapat dihuraikan.

Itulah suasan tengah malam tadi sekitar jam 1:00 pagi.

Persoalannya apakah Anwar masih berlindung di kedutaan Turki? Atau beliau sudah tidak berada di situ. Rasa hairan juga timbul, kenapa beliau harus berlindung di kedukaan asing itu.

Kalau hanya dengan alasan keselamatannya terancam rasanya kurang munasabah. Masakan 1,000 orang para pemuda 'berani mati' Angkatan Muda Keadilan tidak boleh dan mampu mempertahankannya?

Apabila Anwar berlindung terus di situ dan tidak tampil memberi kenyataan akhbar menyebabkan berbagai persoalan timbul. Ada kekeliruan di sebalik itu. Keadaan itu menyebabkan orang membuat berbagai andaian dan persepsi.

Kini pun di kedai-kedai kopi sudah ada yang mempersoalkan kemunasabahan dakwaan mengenai keselamatannya. Ada juga yang bertanya kenapa Anwar kelihatan begitu takut dan gelabah kali ini? Kalau hanya kerana beliau tidak mempercayai polis dan kehakiman, tindakan seperti itu rasanya kurang tepat.

Anwar harus berani, tegas dan telus. Lagipun beliau masih belum disiasat. Laporan yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan itu masih belum disahkan betul atau tidak. Polis sedang menyiasat dari segala sudut. Jika Anwar tidak bersalah beliau tidak perlu takut dan mengambil tindakan yang boleh menyebabkan orang jadi keliru.

Anwar perlu tampil dalam kadar segera. Tidak ada kesudahan kalau beliau terus berlindung di kedutaan Turki. Masyarakat, para pengikut dan penyokongnya di luar sedang menunggu. Rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat juga setia menanti untuk menerima arahan bagi membuat persiapan untuk membentuk kerajaan baru!

Usah risau dan rungsing kalau kita tidak bersalah, penyokong dan rakan setia tidak akan melarikan diri. Lagipun fitnah itu harus ditentang oleh sesiapa sahaja. Anwar kena yakinkan dirinya sendiri.

Satu hal lagi beliau kena berhati-hati dalam tindak tanduk melawan fitnah kali ini. Walaupun modus operandinya sama, namun tindakan dari beliau harus berbeza. Seperti dikatakan tadi apa yang berlaku kini masih kelabu dan setakat ini kita menerimanya sebagai fitnah round kedua.

Round kedua ini round penentuan baik kepada Anwar sendiri dan juga kepada Kerajaan BN. Kalau Anwar menang dalam fitnah ini kerajaan BN para kospirator kena mengaku kalah. Sebaliknya kalau Anwar yang gagal, maka tamatlah riwayat beliau dalam kerier politiknya. Anwar seakan mengetahui apakah tujuan 'fitnah' berkenaan ditebarkan, ianya untuk mematikan kerier politiknya.

Keadaan ketika ini masih kelabu dan mengharu birukan! [wm.kl. 12:30 pm 30/06/08]

Sunday, June 29, 2008

Berita Malas

Nasib Anwar Tidak Menentu

UNTUK tempoh enam jam saya tidak mengikuti dan ingin mengetahui apa-apa perkembangan mengenai laporan polis Pegawai Khas Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari yang mendakwa diliwati Anwar dan menjadi isu hangat pada masa ini.

Sekejap tadi saya baru selesai menghadiri mesyuarat penaja Persatuan Bumiputera Perihatin (Perkasa) dekat sebuah restoran di Taman Melawati.

Sejak pagi tadi dan menjelang tengah hari banyak sms dan panggilan masuk, semuanya ingin bertanya perihal Anwar. Dan sekarang ini pun telefon terus berdering.

Saya malas angkat bukan kerana apa, kerana sudah letih akal dan fikiran. Sudah sedikit buntu. Isu Anwar tidak pernah habis dan kini ia benar-benar menebuk kepala.

Saya ambil keputusan untuk tidak peduli kerana ingin tenang fikiran. Mencari jawaban menerusi akal sendiri serta membuat analisa dan rumusan terhadap berbagai sumber yang masuk.
Maaflah kepada pemanggil kalau saya malas menjawab.

Sekejap lagi saya akan ke Kedutaan Turki di Jalan Utan Ampang, di mana Anwar katanya berada di situ. PKR telah memutuskan melindungi Anwar di situ kerana kedudukannya dalam bahawa. Jadi sebelum Maghrib saya akan ke sana untuk menjenguk apa yang berlaku.

Kepada penjenguk yang rindukan kes Anwar ini dapat mengetahui serba sedikit perkembangannya nanti. Dan saya akan menulis sebuah analisa awal mengenai apa yang hangat dewasa ini. [wm.kl 6:45 pm 30/06/08]

Ulasan Isu

Ka Ting, Kong Choy sudah Abdullah, Najib Bila Lagi?

ONG KA TING dan Chan Kong Choy telah membuat keputusan untuk tidak mengekalkan jawatan masing-masing sebagai Presiden dan timbalan MCA pada kongres kebangsaan parti tersebut Ogos depan.

Menurut keduanya mereka berbuat begitu kerana bersedia untuk memberi laluan kepada muka baru memimpin parti berkenaan. Keputusan Ka Ting dan Kong Choy itu mengejutkan pemerhati politik namun ia tidak mengejutkan politik kaum Cina.

Ka Ting dan Kong Choy adalah dua orang pemain politik yang tahu mengukur cuaca dan meramalkan apa yang akan berlaku esok. Mereka juga bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

Umpama mereka sedang berada dalam keadaan hujan lebat kalau mereka tidak awal-awal naik ke darat mereka akan dihanyutkan bah.

Apa yang mereka katakan itu sebagai alasan saja. Tindakan itu itu dipercayai kerana mereka sedar kalau mereka terus memimpin MCA menyebabkan parti itu terus berhadapan masalah kehilangan kepercayaan masyarakat Cina.

Tahniah kepada keduanya. Dan bagaimana pula dengan Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak? Bila lagi mereka ingin menurut jejak langkah kedua rakan mereka itu? Apakah Abdullah dan Najib masih merasakan Umno kuat?


Kalau MCA yang menjadi komponen BN merasakan cuaca dan iklim masa depan BN boleh membahayakan diri kenapa tidak Abdullah dan Najib berifkir yang sama. Esloklah serentak dengan persaraan Ka Ting dan Kong Choy, Abdullah dan Najib juga mengikutinya dari belakang untuk menyelamatkan diri daripada dihanyutkan bah besar politik Malaya.

Seperti mana barisan muda dalam MCA sedia untuk mengganti Ka Ting dan Kong Choy begitu juga dengan Umno barisan mudanya atau tokoh-tokoh veteran lain yang lebih berwibawa sudah bersedia untuk memikul tugas dan tanggungjawab Umno. [wm.kl 10:40 am 30/06/080

Sabda Ahad - Berita Panas

Anwar Difitnah Round Kedua?

PAGI ini Kuala Lumpur diliputi mendung. Wajah dan iklim alam hitam dan dingin. Hujan juga turun rintik-rintik seakan air mata anak dara menangis kerana merintih mengenai nasib malangnya dicabuli kekasih.

Saya sendiri juga rasa malas untuk bangun dan menulis apa-apa dalam blog. Namun kerana kewajiban dan hidup perlu berjuang saya paksakan juga diri untuk membuka blog dan menghantar mesej ini kepada penjenguk sekalian.

Sejak jam 2:00 pagi tadi saya tidak habis-habis menerima sms dan panggilan telefon. Semua mengenai berita yang menggemparkan hari ini, seperti mana yang terpampang di akhbar. Bukan soal Ong Ka Ting dan Chan Kong Choy tidak mahu bertanding mengekalkan jawatan masing-masing selaku presiden dan timbalan presiden, tetapi kerana laporan polis ke atas Anwar Ibrahim kononnya bekas TPM itu melakukan lewat sekali lagi.

Kali ini giliran salah seorang pegawainya bernama Mohd Saiful Bukhari Azlan pula mengakui diliwati Anwar di sebuah kondominium. Menurut laporan polis kali terakhir beliau dilewat Anwar ialah pada 26 Jun lalu.


Kenyataan akhbar Anwar Ibrahim

29 hb Jun 2008, SHAH ALAM, MALAYSIA


Laporan polis yang dibuat terhadap saya awal pagi ini adalah satu rekaan semata-mata. Saya percaya kita sedang menyaksikan ulangan pendekatan sama yang digunakan terhadap saya pada tahun 1998 apabila tuduhan palsu dibuat dengan paksaan. Nyatalah ini satu tindakan terdesak oleh regim Barisan Nasional untuk menghalang usaha rakyat Malaysia menuju kebebasan, demokrasi dan keadilan.

Laporan palsu ini dirancang oleh pihak-pihak berkepentingan untuk menyerang saya sebagai satu serangan balas terhadap bukti yang saya perolehi mengaitkan Ketua Polis Negara Musa Hasan dan Peguam Negara Gani Patail dengan perbuatan salah laku, termasuk usaha pemalsuan bukti-bukti kes yang melibatkan saya pada tahun 1998-99. Serangan jahat ini tidak akan menghalang saya dari mendedahkan bukti-bukti tersebut kepada awam.

Saya menyeru rakyat Malaysia untuk bangun menentang kuasa-kuasa menindas
yang akan digunakan oleh kerajaan pada hari dan minggu-minggu berikutnya. Kita
menjangkakan pihak media, badan kehakiman dan pihak polis akan tunduk di bawah
telunjuk serta arahan pemerintah.

Rakan-rakanku rakyat Malaysia- kita telah mengambil langkah berani pada 8hb Mac 2008 untuk mara demi harapan baru untuk kebebasan dan keadilan untuk semua rakyat. Gerakan rakyat untuk perubahan mesti terus maju dengan segala kekuatan dan keberanian.

ANWAR IBRAHIM


Tentu berita berkenaan menggemparkan! Anwar pagi tadi juga telah membuat penafian dan menyebut laporan itu adalah untuk memburukkan kerier politiknya.

Malam tadi saya tidak melayani berpuluh panggilan dan sms yang masuk ke telefon saya. Tidak tahu kenapa. Hati kecil saya merasakan apa yang berlaku itu sama seperti yang berlaku tahun 1998 dulu. Nampaknya skrip lama dibuka kembali untuk dipentaskan dengan menggunakan watak-watak baru kecuali heronya sahaj sama Anwar Ibrahim.

Sejejar itu juga sms memberi tahu Anwar akan ditangkap malam tadi. Pihak PKR sendiri yang menyebarkannya. Ahli PKR dikehendaki berhimpun di sebuah hotel di Shah Alam kerana Anwar berada di situ. Tujuannya mungkin untuk melindungi Anwar!

Tidak logik! Kalau berdasarkan laporan Saiful itu polis ingin menahan Anwar, ia tidak menusabah. Polis tentu ada strategi dan tektik lain untuk berbuat demikian kalau ia pun laporan itu benar. Masakan dalam jam sama juga sebelum siasatan sepenuhnya atas laproan Saiful polis sudah mahu bertindak.

Jadi kerana suasana itu saya tidak layan dan merasakan hebahan menerusi sms itu hanya untuk menambah gemparkan lagi keadaan.

Jadi saya tidur dalam keadaan lena tidak lena.

Pagi ini tidak ada apa maklum terbaru mengenainya kecuali laporan akhbar. Sms dari kekawan juga masuk dan bertanya, namun saya tidak membalasnya kerana berita dan kedudukan sebenarnya belum pasti.

Setakat jam 9:30 ini kita hanya perlu menerima apa yang dilaporkan oleh akhbar. Jangan percaya apa-apa berita liar dan tidak bertanggungjawab.

Semua pihak juga diharap bertenang dan tidak membuat berbagai spekulasi yang memburukkan lagi keadaan semua pihak. Kita tengok permainan seterusnya. Sekiranya skrip yang dipentas tahun 1998 dimainkan sekali lagi ini bermakna ada orang yang merasa gerun dan takut dengan kehebatan politik dan networking Anwar Ibrahim.

Apa yang dapat dibuat rumusan awal mengenai laporan itu mungkin kerana pegawai Anwar itu ada masalah dengan Anwar. Mungkin juga beliau adalah talibarut kepada musuh-musuh Anwar Ibrahim. Namun saya mengira ia lebih kepada masalah peribadi yang dihadapi oleh Saiful Bukhari.

Kemungkinan beliau menjadi mangsa seperti mana Sukama, Azizan Abu Bakar atau Munawar juga tidak boleh dinafikan. Dan kalau plot itu digunakan ini bermakna satu lagi konspirasi untuk memburutkan reputasi Anwar disaat beliau hendak dinobatkan sebagai PM.

Sebenarnya banyak spekulasi dan andaian yang boleh dipandankan dengan apa yang berlaku itu. Namun kerana kita menunggu maklumat selanjutnya usahlah kita bermain dengan segala spekulasi itu. Kita tunggu sehingga lewat petang di mana Anwar dijangka akan membuat kenyataan akhbar meganya menjelaskan perkembangan terbaru itu. [wm.kl 9:30 am 30/06/08]

Saturday, June 28, 2008

Salam Sejahtra

PKR dan Pas Bermasalah Kecil

DUA hari saya tidak mengisi apa-apa bahan untuk blog ini, Khamis dan Jumaat. Sibuk sikit dengan kerja-kerja rutin lain. Banyak isu yang tertinggal dan tidak dapat dirakam dalam blog ini untuk renungan dan bahasan para penjenguk. Antara banyak isu itu ada dua isu yang saya rasa belum basi untuk diperkatakan serba ringkas.

Pertama mengenai kekecohan kecil dalam PKR ekoran tindakan berdarah muda oleh orang bernama Yahya Shaari. Nampaknya gara-gara darah muda orang ini yang membongkarkan kelemahan bekas bosnya, (kerana marah) Khaliad Ibrahim telah dipergunakan oleh orang lain.
Apa sudah jadi sekarang?

Yahya sudah letak jawatan sebagai Setiusaha Khas kepada MB kerana hilang kepercayaan kepada Khalid Ibrahim. Rasa hilang kepercayaan itu bukan kerana apa, kerana Khalid terlebih dahulu hilang kepercayaan kepadanya atas sebab yang umum sudah tahu.

Khabarnya ada perkembangan lain. Yahya sudah mengakui kesilapannya bertindak secara emosi, dan sedia mengendurkan serangan kepada Khalid setelah Penasihat PKR Anwar Ibrahim campur tangan penuh diplomasi dengan mengatakan tenaga dan fikiran Yahya masih diperlukan.

Baguslah kalau begitu. Ahlan wasalan salawatu nabi! Dalam keadaan sekarang bukan masa untuk semua pihak bergaduh. Kesalahan yang Yahya lakukan itu sudah cukup memberi pengajaran kepadanya. Lain kali hendaknya beliau tidak akan terkhilaf lagi mengulangi perkara yang sama.

Almaklumlah baru menang, semangat semua orang pun penuh macam bulan purnama. Semua orang juga jadi bengkeng dan garang tidak tentu fasal. Baru dapatkan kuasa katakan! Nak tengok diri masing-masing tengoklah gaya kera yang baru dapat sekuntum bunga dan sekeping cermin. Terkenyen-kenyen tersenyum-senyum. Itulah kita!

Apapun sekiranya Yahya menarik balik keputusan yang dibuat dengan penuh bersemangat anak muda itu ia satu kelemahan beliau. Dengan apa yang beliau jerit dan kumpulkan orang untuk mendengar rintihannya beliau tidak boleh kembali ke tempat asalnya itu. Beliau kena berada di tempat lain.

Diharap PKR akan memberi ruang dan tugas lain sewajar kepadanya. Jangan pula masukkan dalam peti sejuk sudahlah. Tenaga beliau masih diperlukan. Dan sesiapa pun kalau bertaubat dia harus dimaafkan. Manusia tidak maksum dan bumi mana tidak ditimpa hujan. Lepas ini isu Yahya hendaknya tidak kedengaran lagi. Biarlah Ezam Mohd Noor berangan sendiri.

Di sini diingatkan juga kepada Ezam selepas anda disahkan menjadi ahli Umno (kelmarin) jangan mencampuri soal PKR dan Anwar lagi. Ezam patut tumpukan bagaimana hendak memperkukuhkan kedudukan bos barunya Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri. Jangan pula Abdullah dilanggar lari oleh Najib Razak.

Isu kedua yang hendak disinggung secara ringkas di sini ialah mengenai penafian Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mengenai berita tentang Pas sedang berunding dengan Umno. Menurutnya itu fitnah semata-mata dan mainan akhbar. Sekali lagi media massa nampaknya dijadikan kambing hitam, bukan kambing Jamnapari!

Orang yang bijak dan panjang akal mungkin dapat mengesan mengenai apa yang ada dalam dada Hadi dan sekitarnya. Kenyataan Hadi yang dibaca timbalannya, Nasharudin Mat Isa itu dibuat di Parlimen setelah Mursyidul Am parit itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju kalau Pas mengadakan rundingan dengan Umno.

Kata Nik Aziz kalau Pas bergabung dengan Umno parti itu akan jahanam. Saya kurang faham macam mana boleh jahanam! Takkan sampai ke situ sekali dan bahlulnya minda orang Melayu.

Kita faham maksudnya... ahli akan marah. Tetapi apakah semua ahli akan marah? Bukankah ada ahli yang bersetuju dan komited untuk mengadakan kerjasama? Secara ikhlas saya juga rasakan kerjasama tidak wajar diadakan, dan Pas perlu tumpukan kepada Pakatan Rakyat. Rakyat memberi mandat dalam pilihan raya lalu kepada parti-parti Pakatan Rakyat untuk menggantikan Umno.

Kena dan elok kalau Pas, PKR dan DAP menghormati keputusan rakyat itu!

Namun dari sudut lain kenyataan Nik Aziz itu agak berat sikit. Apakah itu pendapat dirinya ataupun pendapat orang lain. Nik Aziz rasanya bercakap mengenai ini menggunakan lidah orang lain. Ada skrip yang dihulurkan kepadanya? Siapakah yang menjadi tukang tarik lidah Nik Aziz? Sebagai ulama yang tenang, berpandangan jauh dan lebih memikirkan kesejahteraan umum beliau tidak boleh bercakap dalam nada angkuh begitu. Peranan al ulama ialah membawa kebaikan dan menyatukan ummah.

Seperti saya jelaskan sebelum ini Pas jangan pandang Umno jijit sangat. Dalam keburukan parti itu (Umno) ada secebis kebaikan. Begitu juga dalam kebaikan Pas, ada setompok keburukan.

Kerja yang patut dilakukan oleh semua pihak kini ialah buang cebisan yang busuk dalam Umno itu dan buang setompok keburukan dalam Pas itu. Sisa-sisa kebersihan dan kebaikan yang ada itu hendaklah disatukan. Pas dan Umno perlu bersatu atas cita-cita Melayu dan Islam.

Kepada Hadi pula kenapa perlu merasa malu dan gabra kalau memang ada cadangan untuk membawa Pas bergabung dengan Umno? Hadi tidak perlu takut dan ralat sebab beliau presiden. Kuasa presiden lebih besar daripada kuasa Naib Presiden! Presiden adalah pemimpin. Pemimpin wajar mengemukakan pandangan dan menunjukkan daya kepimpinannya.

Kalau Hadi berjaya membawa Pas berkerjasama dengan Umno ia menjadi legasi kepadanya. Macam Arwah Fadzil Noor duduk sepentas dengan Mahathir Mohamad dalam membicarakan topik Rakyat Palastin. Fadzil ada sejarah, Hadi kena cipta sejarah.

Dan dalam konteks kerjasama untuk kepentingan Melayu dan Islam ini saya sangat bersetuju dengan pandangan awal Hadi sebelum ini, iaitu jangan fikirkan soal Umno - Pas sahaja, tetapi apa harus difikirkan soal Melayu dan Malaysia seluruhnya.

Perbincangan yang paling afdal untuk membawa ketenangan dan kedamaian politik Malaysia ialah melibatkan semua parti pembangkang (Pakatan Rakyat) dengan BN, jangan terpisah-pisah seperti dirangka sekarang ini sebab ia menimbulkan prangsangka yang merbahaya kepada Pakatan Rakyat. Titik! [wm.kl 10:00 am 28/06/08]

Wednesday, June 25, 2008

Pojok Pagi

Polis Pakai Tafsiran Sendiri

BETAPA dangkalnya alasan seorang konstabel polis bernama Che Sidek Omat Mat Hassan yang memberi alasan kenapa beliau saman seorang pelajar pondok di Pasir Puteh kerana kesalahan tidak pakai topi keledar walaupun pelajar berkenaan memakai serban ialah kerana pelajar berkenaan masih belum lebai.

Menurut kaedah motosikap (Topi Keledar) pengecualian diberikan kepada haji, sikh dan lebai daripada memakai topi keladar.

Berpandukan kaedah yang disenaraikan itu jelas pelajar pondok itu bukan haji, sikh... tetapi apakah ukuran Konstabel itu yang pelajar itu belum lebai itu tepat? Tahukan konstabel itu apakah ciri-ciri lebai?

Yang ingin ditanya di sini apakah kalau pelajar berkenaan pakai serban dan jika berlaku kemalangan kepalanya akan cedera disebabkan tahapnya belum lebai. Dan apakah kepala sikh dan haji walaupun pakai serban kalau belanggar kepalanya selamat?

Kadang-kadang tindakan polis lucu dan dangkal. Kerana berlaku hal-hal demikianlah menyebabkan kita merasakan ada kalangan anggota polis yang diberi tanggungjawab menjaga keselamatan, keamanan bertindak disebaliknya, menyusahkan orang ramai!

Tidak hairanlah kalau semalam juga dilaporkan seorang anggota polis diremen kerana merogol tahanan perempuan! [wm.kl 7:10 am 25/06/08]

Tuesday, June 24, 2008

Laporan Lewat

Anak Sanusi Bangkitkan Tentang Anwar
Anwar Dalam Kacamata Tiga Rakannya

TIGA ahli panel forum Suntik Semangat Satria Pasca PRU-12 mempunyai pandangan berbeza dan tersendiri mengenai keperibadian dan gaya politik Anwar Ibrahim berdasarkan hubungan peribadi mereka sebagai kawan baik dengan bekas TPM itu.

Bekas ahli Parlimen Parit Sulong Rohanie Ahmad, bekas Exco Pemuda Umno, Mazlan Harun dan ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali tidak sekata dalam memberi tafsiran politik terhadap bekas TPM itu.

Ketiga-tiga mereka adalah antara orang-orang yang rapat dan menjadi kawan baik dengan Anwar, tetapi tidak bersama Anwar setelah Anwar ditimpa musibah dipecat dari Umno oleh Mahathir Mohamad pada 3 September 1998.

Menurut Rohanie, Anwar mempunyai rupa politik yang berbagai-bagai dan tidak mudah untuk diikuti dan difahami oleh kawan-kawannya.

Beliau yang mendakwa orang keempat yang dihubungi Anwar untuk memberi tahu mengenai pemecatannya (Anwar) sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, kata Rohanie Anwar seorang yang pandai berpura-pura dalam politik dan seorang yang yakin dengan apa yang dilakukannya.

Rohanie tidak langsung mengutuk Anwar sebaliknya berkias dengan menekan beliau cukup faham dengan Anwar dan menjelaskan mengapa beliau tidak bersama Anwar walaupun dipelawa menyertai PKR.

Bagi menunjukkan betapa Rohanie penting dalam hidup Anwar, Anwar meminta jasa baiknya sebagai Pengerusi BBC BN ketika itu agar membantunya dengan berbuat sesuatu bagi menyelamatkan keadaan, namun ia tidak berhasil.

Menurut Rohanie beliau turut sama memberi nasihat kepada Anwar agar tidak mengadakan demonstrasi untuk menjatuhkan Mahathir Mohamad sebalik mengundurkan diri dengan mengerjakan umrah, tetapi tidak dipedulikan Anwar.

Berbeza dengan Mazlan yang agak prejudis dengan Anwar, anak bekas Ketua Pemuda Umno (Haron Idris) itu baginya keperibadian Anwar sungguh teruk sehingga baginya Anwar tidak layak untuk dilantik menjadi walaupun sebagai ketua kampung.

"Secara peribadi bagi saya Anwar tidak layak untuk dilantik menjadi ketua kampung," tegasnya. Pandangan itu menurutnya berpandukan kepada hubungan peribadi beliau dengan Anwar Ibrahim dan rekod-rekod dicatat olehnya.

Mazalan mendakwa beliaulah bertanggungjawab membawa Anwar masuk dalam Umno untuk menentang sepupunya Suhaimi Kamaruddin untuk jawatan Ketua Pemuda Umno, mengakui mengenai kehebatan Anwar yang boleh berbuat apa saja demi kepentingan politiknya.

Mazlan merujuk kepada dakwaan Anwar yang kononnya akan mengambil alih kerajaan hari ini dalam masa terdekat bukan sesuatu yang ganjil dan mustahil. "Saya tahu kehebatan dan kebolehan Anwar, apa yang beliau suarakan itu bukan sesutau yang mustahil," katanya sambil mengingatkan agar jangan hairan kalau sesuatu mengejutkan berlaku kelak.

Manakala Ibrahim Ali pula cuba mengelakkan daripada memberi persepsi negatif kepada Anwar walaupun majlis hari itu inginkan pandangan demikian.

Ibrahim mengelak dengan mengatakan biarlah Anwar dengan perjuangannya (PKR) manakala ahli Umno pula perlu menumpukan perhatian kepada perjuangan memperkasakan dan memperbetulkan parti berkenaan yang sudah lari dari landasan perjuangan sebenarnya.

"Saya harap tuan-tuan tidak memikirkan soal Anwar, biarlah dia dengan perjuangannya. Paling penting tuan-tuan jaga parti tuan-tuan yang sudah hendak hancur itu," ujar Ibrahim.

Isu mengenai Anwar timbul apabila ia dibangkit oleh Ikram Sanusi (anak Sanusi Junid) ketika soal jawab yang ingin pandangan ketiga ahli panel berkenaan mengenai keperibadian, stail dan arah tuju politik Anwar Ibrahim.

Ikram secara tidak berlapik melahirkan rasa tidak puas hati kepada Anwar yang disifatkan sebagai pendurjana bangsa. Majlis forum berkenaan annjuran Gerakan Rakyat Cekal Perak Selatan kelolaan Nasarudin Mohd Raios dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri daripada kalangan Pemuda Umno berlangsung di sebuah hotel di Teluk Intan 22 Jun lepas. Forum itu dipengerusikan oleh Zakir.

Mulanya Sanusi Junid salah seorang ahli panel tetapi menguzurkan diri pada saat akhir. Beliau diganti oleh Mazlan Harun. [wm.kl 6:30 am 25/06/08]

Peristiwa

Tok Guru Rasmi Pajak Gadai Islam (Ar Rahn) Pertama Di Luar Kelantan

PAJAK Gadai Islam atau Ar Rahn pertama di luar Kelantan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam. Pajak gadai yang terletak di Jalan Raja Laut berhadapan dengan Pejabat Agung Pas itu merupakan cawangan ke 12.


Ar Rahn yang mula ditubuhkan pada tahun 1992 kini mempunyai 11 cawangan meliputi seluruh daerah di Kelantan.

Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Wan Yahya Wan Salleh cawangan kedua dan ketiga di luar Kelantan akan ditubuhkan di Bangi dan Rawang Selangor.
Selain itu Ar Rahn juga akan dikembangkan di beberapa bandar besar seperti Alor Star, Penang tidak lama lagi.

Penubuhan Ar Rahn sebagai alternatif dan tanggungjawab fardu kifayah untuk menyelamatkan umat Islam terperangkap dalam kredit konvensional yang terlibat dengan riba.

Turut hadir sama ialah Speaker DUN Kelantan Nasaruddin DAud, timbalan Speaker, Mohd Zaki Ibrahim dan beberapa ahli Exco Kelantan serta Ahli Parlimen Kota Bharu Wan Abdul Rahim dan ahli Parlimen Rantau Panjang Zailah Yusuf. Foto atas: Nik Aziz tiba di perkarangan Ar Rahn di Jalan Raja Laut. [wm.kl 7:30 pm 24/06/08].

Ulasan Isu

Anwar Usah Layan Yahya Shaari

KEJADIAN Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Yahya Shaari disiasat oleh BPR kerana dikatakan telah menyalahgunakan kuasa meluluskan tander punggut sampah dalam Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) bakal menimbulkan masalah kepada PKR Selangor jika ianya tidak diselesai dengan baik.

Semalam pegawai berjanggut renggah ( jarang) itu telah pun melepaskan jawatan sebagai Pegawai Khas selepas beliau menerima surat penggantungan jawatan itu. Beliau nampaknya tidak puas hati dengan tindakan penggantungan yang dikenakan ke atasnya itu.

Tindakan beliau melepas jawatan itu betul, kerana mesej pengganggung itu sendiri ialah untuk memberi isyarat agar beliau melepas jawatan dengan baik apabila beliau disiasat oleh BPR. Dan nampaknya beliau peka dengan isyarat berkenaan.

Namun perkembangan selepas itu nampaknya kurang sihat dan tidak mencerminkan tindakan mereka yang pernah menimba pengalaman dari gerakan Islam.

Ahli PKR harus memahami sebaik-baiknya mengenai isu ini. Ada dua isu yang timbul dalam hal ini. Penggantungan alias pemecatan pegawai berkenaan dan siasatan oleh BPR. Apa yang kena faham kenapa pegawai itu digantung ialah kerana beliau disiasat oleh BPR. Siasatan belum selesai lagi walaupun MB pada suatu masa cuba membela dan melindungi aib pegawai itu dengan mengatakan siasatan sudah selesai dan tidak ada kes.

Teryata siasatan belum selesai lagi dan masih berjalan. Kalau sudah selesai dan pegawai itu tidak bersalah kenapa beliau digantung?

Maka wajar kalau pegawai itu digantung untuk membolehkan siasatan berjalan dengan lancar. Selain itu untuk menjaga integriti Kerajaan Pakatan Rakyat. Tidak sesuai sangat kalau orang yang disyaki rasuah berada di dalam pejabat sebuah kerajaan bersih dan telus seperti pejabat MB Selangor itu. Keadaan itu samalah pencuri yang berada di bawah ketiak alim ulama.

Pegawai berkenaan hendaklah insaf dan peka dengan keadaan. Salahnya di sini dari beliau juga kerana menulis surat sokongan sedangkan ia tidak mempunyai kuasa berbuat demikian. Kalau tidak banyak dan sampai boleh dihukum lima hingga 10 tahun penjara namun beliau telah menyalahgunakan kedudukannya. Apakah beliau tidak membaca piagam perkhidmatan dan juga bidang tugasnya sebelum duduk di kerusi jawatan itu?

Pegawai berkenaan nampaknya mengamok, membuat protes dan cuba mengheretkan masalah peribadinya jauh ke dalam parti. Beliau tidak perlu membuat kenyataan dan protes demikian. Beliau hanya ahli dan berkedudukan sebagai Setiausaha Perhubungan PKR Selangor, di mana statusnya dari segi keahliannya sama saja. Sama-sama membayar yuran yang nilainya sama.

Beliau tidak boleh merasakan hebat, penting dan seolah kalau bukan kerana beliau PKR Selangor tidak akan menang. Kalau itulah perasaan yang menekan dirinya, itu silap. PKR dalam keadaan sekarang akan kuat dan terus mendapat sokongan rakyat. Rakyat tidak menyokong mana-mana individu tetapi apa yang disokong aspirasi dan cita-cita PKR bersama Pakatan Rakyat.

Sesiapa yang memperjuangkan dirinya, beliau akan tewas dan kalah. Tidak ada siapa akan mempedulikan kita. Jadi cadangan hendak jumpa Anwar dan membawa protes batinnya itu tidak betul. Apakah lagi kalau Anwar tidak melayannnya beliau bercadang pula untuk meninggalkan PKR seperti Ezam Mohd Noor, makin tidak betul. Lihat apa sudah jadi pad Ezam penghormatan umum kepadanya sudah hilang. Seribu kali dia memburukkan Anwar dunia tidak akan mempercayainya kecuali dunia Umno.

Dan Anwar Ibrahim juga tidak payah layan ahli-ahli yang lebih memikirkan soal diri sendiri daripada agenda perjuangan untuk rakyat. Kalau beliau turut melayani tuntutan-tuntutan peribadi, ia tidak akan habis kerana semua manusia akan berbuat demikian.

Cuma perlu diingatkan kepada Anwar kalau hendak layan dan dodoi kerana PKR kini sudah memiliki sedikit kuasa dodoilah mereka yang ikhlas dan bersusah payah semasa berdemon mempertahan dan memperjuangkan agendanya dulu.

Jalan baik bagi pegawai berkenaan ialah bersikap tawaqus dan insafkan diri. Serahkan diri kepada Allah dan sekiranya siasatan BPR mendapat beliau tidak bersalah nah... muncullah semula sebagai pemimpin hebat yang bersih, tahu menghormati orang dan jangan bercakap berdolak dalih. Kalau kita benar kenapa kita harus menjadi penakut dan bukankah kita berjuang kerana Allah dan bukan kerana lain dari itu? Cuba hayati makna dalam doa iftitah. [wm.kl 11:00 am 24/06/08]

Enekdot Politik

Kerajaan Jangan Merasa Selesa

KEMENANGAN kerajaan mendapat keputusan majoriti terhadap usul yang dibentangkan berhubung isu kenaikan harga minyak dan penstrukturan semula subsidi boleh disifatkan kemenangan ketiga bagi kerajaan dalam siri pengudian dilakukan di Parlimen.

Kedudukan kini ialah 3 kerajaan 0 pembangkang.

Sebelum ini pihak kerjajaan menang dalam pengundian untuk memilih jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat dan juga pemgundi meluluskan Rang Undang-Undang Pembekalan 2008 dalam sidang sebelum ini.

Dalam pengundi itu kerajaan mendapat 92 undi manakala pembangkang 60 undi.

Semalam dalam pengundian secara belah bahagi berhubung usul mengenai kenaikan harga minyak kerajaan menang lagi dengan mendapat 129 undi berbanding 78 undi bagi pembangkang. Kesemua ahli Parlimen kerajaan termasuk Perdana Menteri turut mengundi.

Empat orang pihak pembangkang tidak hadir dan begitu juga dengan dua ahli Parlimen SAPP dari Sabah tidak mengambil bahagian. Pembangkang seakan tidak bersedia untuk bersingsing lengan dalam pengundi kali ini sebablah itu empat ahli Parlimennya tidak hadir.

Wakil Bebas, Ibrahim Ali turut mengundi membantah usul berkenaan.

Pihak kerajaan boleh bergembira dengan kemenangan itu. Bagaimana pun perlawanan masih belum selesai. Masih banyak siri-siri penngudian yang akan dilakukan di sepanjang Parlimen kali ini ke-12 ini.

Diprcayai selepas ini akan ada beberapa siri pengundi lagi yang menjadi perhatian umum dan mencemaskan pihak kerajaan.

Apa yang ditunggu dan menjadi kemuncak kepada siri pengundi seumpama itu ialah terhadap usul undi tiak percaya kepada Perdana Menteri. Pembangkang yang sudah berkira untuk berbuat demikian akan melakukan suatu hari kelak.

Sudah pasti usul itu tidak akan dikemukakan dalam minggu pertama persidangan ini. Pembangkang mungkin masih belum bersedia sepenuhnya dan masih membuat perkiraan. Kita yakin apabila semuanya sudah selesai dan beres usul itu akan dibentangkan dan saat inilah kemucak kepada siri-siri pengundian belah bagi itu akan berlaku.

Bila? Sama-sama kita ke rumah Pak Belalang bertanyakannya! [wm.kl 10:00 am 24/06/08]

Monday, June 23, 2008

Laporan Lewat

Senerio Politik Umno Perak
Akar Umbi Lebih Berani Daripada Ketua Bahagian

EKSPIDISI Tengku Razaleigh Hamzah ke Pulau Pinang dan Perak Sabtu dan Ahad lepas dalam rangka mendekati akar umbi Umno bagi memperkasakan Umno selepas dilanda 'taufan Nargis' dalam pilihan raya umum ke-12 lalu membawa berbagai makna dan kesan tersendiri.

Kesanggupan bekas Menteri Kewangan itu untuk turun padang bagi menyuntik semangat ahli untuk mendapatkan semula sesuatu yang hilang - (lima buah negeri) mendapat respond baik daripada ahli Umno akar umbi.

Di beberapa tempat yang disinggahi Tengku Razaeigh beliau diberikan sambutan meriah dalam majlis dinamakan Sepetang Bersama Tengku Razaleigh.

Perubahan segera

Di majlis yang diadakan di bandaraya Ipoh yang dikhaskan untuk ahli Umno akar umbi Bahagian Ipoh Timur dihadiri lebih 500 orang. Melihat semangat kepada suasana majlis itu mencerminkan ahli Umno akar umbi begitu mengharap agar Tengku Razaleih dapat melakukan sesuatu perubahan segera untuk masa depan parti berkenaan.

Manakala di Teluk Intan kira-kira 2,000 ahli akar umbi yang hadir untuk berdialog dan berintraksi dengan Tengku Razaleigh. Menerusi dialog yang berlangsung lebih dua jam bertempat di sebuah hotel itu terserlah harapan akar umbi yang meletakkan pengharapan tinggi kepada bekas Menteri Kewangan itu berusaha untuk memulihkan Umno.

Ada ahli yang secara jujur memohon agar Tengku Razaleigh mengambil alih segera kepimpinan Umno daripada Abdullah Ahmad Badawi yang mereka sifatkan sudah tidak berdaya lagi khasnya merubah masa depan negara ke arah lebih cemerlang dari apa yang ada sekarang.

Dari berbagai soalan dan pertanyaan dilontarkan oleh ahli akar umbi kepada Tengku Razaleigh termasuk yang ingin tahu apakah perubahan dan harapan yang bakal beliau sumbangkan sekiranya dipilih menjadi presdien Umno.

Dalam jawabannya, Tengku Razaleigh menjelaskan antara perkara pokok yang beliau akan lakukan ialah mengembalikan kuasa Umno kepada rakyat. "Kita mahu rakyat menjadi raja bukan pemimpin menjadi diktator," jawab beliau.

Dalam pada itu juga katanya beliau akan mencadangkan supaya tempoh seseorang memegang jawatan dihad kepada masa tertentu dan tidak begitu lama. Begitu juga calon-calon dalam pilihan raya akan diserahkan kepada ahli menentukannya, bukanya orang di keliling pemimpin menentukan.

Ahli begitu seronok dan tertarik dengan janji dan formula baru yang dibentangkan oleh ahli Parlimen Gua Musang itu. Ahli juga dapat merasakan keikhlasan dan keseriusan Tengku Razaleigh untuk memancu Umno menjadi parti bermartabat seperti awal dulu.

Seorang ahli Umno Bota dari bahagian Parit secara terbuka dan emosi mengundang Tengku Razaleigh agar turun ke kawasannya. "Saya minta Tengku turun ke kampung saya dan di sana nanti ribuan akan sedia menunggu kehadiran Tengku," kata ahli berkenaan.

Apa yang disuarakan oleh ahli Umno itu mencerminkan suara dan aspirasi ahli akar umbi yang sudah bersedia mahu melihat perubahan dalam Umno dan Tengku Razaleigh sebagai agen perubahannya.

Tengku Razaleigh sendiri nampak begitu berpuas hati dan gembria dengan sambutan di majlis berkenaan. Majlis berkenaan anjuran Gerakan Rakyat Cekal Perak Selatan yang dikelolakan oleh bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Bagan Datoh, Nasarudin Mohd Rais.

Pun begitu ada sesuatu yang dirasakan tempang pada majlis berkenaan bila mana tidak ada seorang pun ketua bahagian yang berani hadir. Kecuali ketua Umno bahagian Lumut, Zambry Abdul Kadir yang hadir pada pertemuan di Ipoh. Itupun kehadiran Zambry bagaikan pencuri yang ingin melindungi diri, takut-takut.

Belum dihayati

Keadaan ini agak mendukacitakan. Ternyata belum ada kebebasan dan kemerdekaan di kalangan ketua-ketua bahagian. Mereka masih takut dan terikat dengan kuasa yang mereka cipta sendiri. Maknanya kemerdekaan masih belum dihayati dan difahami kerana mereka ternyata takut dengan tekanan dan ugutan oleh 'pihak berkuasa' dalam Umno.

Paling mendukacita setengahnya bukan saja tidak hadir tetapi dikatakan turut sebotaj majlis pertemuan itu dengan mengadakan majlis-majlis lain. Misalnya ada seorang ketua Umno bahagian tiba-tiba saja menganjurkan majlis perjumpaan dengan perserta PPRT kononnya bagi membicangkan masalah rakyat termiskin.

Bagaimana pun yang hadir khabar semuanya kalangan pemimpin peringkat bahagian yang tidak layak menerima skim berkenaan.

Bukan itu saja, kerana takut dan lebih mementingkan tembolok sendiri juga seorang ketua yang sebelum ini beriya menyatakan untuk hadir dan berjanji dengan Tengku Razaleigh sendiri namun batang hidup pun tidak kelihatan. Alasan diberikan kerana terpaksa hadir ke majlis lain anjuran Umno.

Keadaan inilah menyebabkan seroang bekas Ketua Umno Bahagian kesal dan marah dengan sikap ketua-ketua bahagian Umno yang dianggapnya sebagai tidak tahu adab dan tidak beradab.
Katanya kalau pun ketua bahagian tidak mahu menyokong Tengku Razaleigh tetapi sekurang-kurangnya mereka hadir sebagai menghormati Tengku Razaleigh sebagai tetamu dan menghormatinya sebagai tokoh pemimpin terulung Umno. "Inilah yang dikatakan tidak tahu adab dan tidak beradab!"

Lantas itu bekas ketua Umno itu mempersoalkan apakah soal-soal adat dan budaya dalam pertubuhan Umno sebuah pertubuhan siasah Melayu kini sudah tidak ada lagi?

Barangkali benarlah kata Dr Mahathir Mohamad, bahawa Umno kini akan boleh diubah sekiranya ahli-ahlinya berani. Dan menurutnya ahli yang berani kini hanya peringkat bawahan sahaja, manakala ahli yang berjawatan tidak boleh diharap lagi. Kata Mahathir mereka lebih menjaga periuk nasi mereka daripada masa depan Umno.

Mengambil iktibar atas kenyataan Mahathir itu ahli Umno akar umbi masih tetap boleh mengubah Umno, caranya ialah mereka perlu mengubah ketua-ketua mereka yang penakut, pentingkan diri dan masih belum merdeka itu terlebih dahulu.

Sudah pasti kalau akar umbi Umno bersedia melakukan perubahan suasana dalam parti itu yang kini dikongkongi oleh mereka yang pengecut dan mementingkan perut sendiri akan Umno boleh berubah dan seorang presiden baru akan menunggaki Umno. [wm.kl 7:30 am 24/06/08]

Coretan Dari Parlimen

Unsul Kenaikan Harga Minyak Dibentang di Parlimen Petang ini

SEKALI lagi Parlimen menjadi tumpuan ramai pagi ini. Sejak jam 9:30 pagi lagi suasana di lobi Parlimen sudah mulai sibuk. Ia dipenuhi oleh pemerhati, wartawan dan juga penyokong parti pembangkang dan kerajaan. Ini semua gara-gara desas desus kononnya satu usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi akan dikemukakan oleh pihak pembangkang.

Desas desus ini timbul ekoran kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee yang telah mengumumkan dua orang ahli Parlimenya hilang kepercayaan kepada Abdullah Ahmad Badawi.

Kata Teck Lee kedua ahli Parlimennya itu bersedia menyokong usul undi tidak percaya kepada Abdullah.

Bertolak dari itu para pemerhati, wartawan dan 'peminat' Parlimen telah membuat andaian satu usul undi tidak percaya terhadap Abdullah akan dibentangkan di Parlimen hari ini sebaik Parlimen memulakan sidangnya.

Ramai yang mengira pihak pembangkang akan membawa usul berkenaan. Bagaimana apa yang jelas tidak ada notis dari mana-mana ahli Parlimen yang mengemukakan usul berkenaan.

Sebalik apa yang berlaku hari ini ialah satu usul dari pihak Kerajaan berhubung dengan kenaikan harga minyak dan juga tindakan Kerajaan berhubung langkah-langkah bagi menjamin sumber makanan mencukupi untuk mendapat sokongan Parlimen apabila isu kenaikan minyak telah menimbulkan kemarahan rakyat.

Usul itu akan dibawa oloh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Shahrir Abdul Samad. Ia dijangka akan dibentangkan lewat petang ini.

Satu perbahasan mengenai usul berkenaan akan dibincang hingga ke malam apabila sidang hari ini disambung hingga ke malam untuk membolehkan usul berkenaan dibahas panjang lebar.

Selepa itu satu undi belah bahagi akan dibuat untuk menentukan sama usul berkenana diterima atau ditolak.

Pembangkang dikatakan sekali lagi akan sepakat untuk menolak usul berkenaan. Penolakan itu sebagai mesej kepada Abdullah Ahmad Badawi bahawa beliau ditolak oleh Parlimen. Bagaimana pun disebabakn pihak kerajaan telah membuat persediaan rapi untuk menghadapi usul ini diyakini usul berkenaan akan diterima dengan undi majoriti dari kalangan ahli Parlimen BN.

Sesuatu yang menarik dan ditunggu apabila usul ini diundi secara belah bagi nanti apakah calon bebas dari Pasir Mas dan dua daripada Sabah itu akan bersama pembangkang atau berkecuali? [parlimen. 3:34 pm 23/06/08]

Sunday, June 22, 2008

Laporan Lewat

Laporan Mahathir dan Ku Li Gempur Perak Esok!

SEMALAM dan hari ini saya tidak mengisi apa-apa maklumat dan catatan di blog ini. Sebaik sesampai ke rumah sekejap tadi saya membuka laptop dan melihat beberapa pesanan yang ditinggalkan dalam email bertanyakan kenapa tidak ada apa-apa catatan. Sebenarnya satu hari setengah sejak pagi semalam ke Perak Darul Riduan.

Saya ke Perak bukan untuk menghadiri perkahwinan anak Menteri Besar Mohd Nizar Jamaluddin tetapi untuk melihat majlis yang syarahan Mahathir Mohamad di Dewan Palang Merah dan Bukan Sabit Merah di Ipoh dan majlis syarahan Tengku Razaleigh Hamzah di Ipoh dan Teluk Intan.

Sewaktu melalui kediaman menteri besar berkenaan saya melihat orang ramai berpusu-pusu memasuki rumah MB berkenaan. Sementara bulatan yang menuju ke kediaman berkenaan juga berlaku kesesakan. Beberapa orang pegawai polis trafik juga kelihatan turut berkawal di hadapan pintu masuk ke kedimaan MB berkenaan.

Saya merasakan kedua majlis dihadiri Mahathir dan Ku Li di Perak itu penting bagi melihat sejauh mana sambutan akar umbi Umno terhadap kedua majlis ini. Sebab kedua pemimpin ini sedang hebat menentang kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Mahathir tidak habis-habis mengkritik dan mengerakkan minda akar umbi ahli Umno bawahan agar menyingkir Abdullah. Manakala Ku Li pula mencari sokongan untuk mendapat pencalonan bagi membolehkan beliau menentang Abdullah sebagai jawatan presiden.

IsnyaAllah saya akan memberi ulasan kedua majlis yang dihostkan oleh pemimpin ini esok. Ada beberapa kenyataan oleh kedua pemimpin berkenaan mengejutkan kita di samping beberapa tip politik Umno semasa yang menarik perhatian umum. [wm.kl 11:20 pm 22/06/08]

Friday, June 20, 2008

Berita Cekup

Siapa Menteri Jumpa Anwar di Singapura?

SEBUAH berita yang masih terbungkus dan menjadi misteri, seorang menteri Kabinet telah menemui Anwar Ibrahim di Singapura beberapa minggu lepas.

Apa yang dibincangkan tidak diketahui tetapi pertemuan antara kedua mereka yang merupakah sahabat baik tentu ada rahsia tersendiri.

Anwar telah pun mendedahkan pertemuan berkenaan tetapi tidak menyebut secara jelas.

Anwar hanya membayangkan seorang menteri Kabinet dan ramai yang mempunyai telahan ianya adalah dari MCA.

Tidak! Menteri yang dikatakan menemui Anwar itu bukan dari MCA tetapi dari Umno.

Seorang ahli korporat yang turut berada di Singapura ketika itu dalam rangka mengajurkan satu sesi temu press (sidang akhbar) Anwar dengan para ahli perdagangan dunia mengesahkan akan pertemuan berkenaan.

"Saya tidak pasti apakah mereka telah membuat temu janji lebih awal, tetapi menteri berkenaan memang menginap di hotel sama dengan Anwar dan saya nampak mereka berlalu dari satu tempat berdua-duaan," kata ahli koprorat berkenaan buila ditanya mengenai hal itu.

Kebetulan ahli koporat berkenaan menghubungi saya lewat petang tadi untuk bertukar fikiran berhubung perkembangan politik di Sabah.

Tambah ahli korporat itu Anwar telah menyebut secara sepintas lalu berhubung peristiwa itu dan sudah pasti akan didedahkan tidak lama lagi.

Bagi ahli korporat berkenaan pertemuan menteri Kabinet berkenaan penuh bermakna dalam keadaan sekarang ini dan ianya men jadi perhatian.

"Saya memang mengenalinya tetapi tidak mahu mengulas mengenai perkara ini. Biarlah sama-sama kita tunggu," katanya lagi sambil turut menolak telahan bahawa seorang menteri Kabinet dari MCA yang berjumpa Anwar itu. [wm.kl 7:50 pm 20/06/08]

Sajak

BURUNG TUKANG DAN BANGSAKU

Burung tukang itu
terus menukang
kung – kung – kung
membaikti kecacatan
nasibnya
bagaikan bangsaku
berbicara mengindahkan
bingkai sejarahnya
yang retak dan renyut.

Burung tukang itu
terus bertukang
kung – kung – kung
menyiapkan
kerja ruji tradisinya
bagaikan bangsaku
berkhayal
martabat kebangsaannya
yang kian merendah.

Burung tukang itu
terus bertukang
kung – kung – kung
mengusik bayang-bayangnya sendiri
di cermin dirinya
bagaikan bangsaku
mencari rahsia tersembunyi
yang sudah lama dihafalinya

Burung tukang itu
terus bertukang
kung – kung – kung
dari pagi ke petang, dari petang ke pagi
membawa ke malam
bagaikan bangsaku
berdebat dan menjerat mengenai masa depan
mengharap terang
yang sudah menjadi suram.

Burung tukang itu
terus bertukang
kung – kung – kung
bagaikan bangsaku
tidak pernah habis berdoa dan berzikir
mencari berkat di dunia
daripada Tuhan yang kadangkala menghilang
untuk generasi mendatang.

MSO
Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
12/06/08

Ulasan Isu

Abdullah Jadi Baik Kerana Takut

MSO

NAMPAKNYA Abdullah Ahmad Badawi dan BN mengambil pendekatan bertenang dan tawaqus dengan tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) yang meninggalkan komponen BN. Kata Abdullah selepas dewan tertinggi BN mengadakan mesyuarat tergemparnya, tidak ada apa-apa tindakan dan hukuman diambil ke atas parti berkenaan.

Alasan Abdullah ialah kerana keputusan SAPP itu dibuat oleh presidennnya, Yong Teck Lee secara peribadi. Dalam kaca matanya SAPP tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam konteks BN hari ini.

Begitu juga menurut Abdullah kedua ahli Parlimen parti itu, Chua Soon Bui (Tawau) dan Eric Majimbun (Sepaggar) tidak akan dikenakan apa-apa tindakan kerana mereka tidak melakukan kesalahan dalam Dewan Rakyat.

Katanya BN hanya akan memutuskan tindakan ke atas SAPP apabila pihak dewan tertinggi BN mendapat kata putus atau laporan daripada jawatankuasa tertinggi parti berkenaan.

Betapa baik dan tulusnya Abdullah dan BN dalam menghadapi isu SAPP dan dua ahli Parlimennya itu. Abdullah begitu tenang dan tidak mudah melatah dalam menangani isu berkenaan. Ini menggambarkan akan kehebatan dan ketinggian akal budi Abdullah selaku khalifah!

Apakah begitu?

Beliau seolah samar dan kabur dengan apa yang berlaku. Apakah ini hakiki dan kenyataan hidup Abdullah dan pemimpin BN sebelum ini tidak mudah menghukum sesuatu itu yang tidak jelas kesalahannya di mata zahir?

Apakah tindakan Yong Teck Lee mengumumkan partinya keluar BN itu bukan kesalahan dan kedua ahli Parlimennya berada dalam majlis itu dan menandatangani surat bersetuju dengan keputusan diumumkan itu sebagai tidak bersalah? Teck Lee juga secara beterus terang menjelaskan yang partinya hilang kepercayaan kepada Abdullah sebagai perdana menteri.

Apakah bentuk-bentuk kesalahan dalam BN kini sudah diubah dan pelanggaran disiplin seperti mengecam pimpinan BN secara terbuka itu dihalalkan? Peraturan dan disiplin sebelum ini sudah dirobah?

Membuat kenyataan keluar dari BN secara rasmi bukan kesalahan! Dan kenyataan yang dibuat oleh presidennya dianggap sebagai kenyataan individu. Apakah bezanya Teck Lee sebagai individu dan beliau sebagai presiden parti? Bukankah presiden parti berhak dan berkuasa ke atas partinya seperti juga Abdullah ke atas Umno? Walaupun ada ahli Umno mahukan Abdullah berundur namun beliau tetap berdegil kerana beliau berkuasa ke atas parti!

Hebat kepimpinan dan daya pimpinan Abdullah kerana boleh berkompromi dengan keadaan itu.
Namun apa yang menjadi sedikit tanda tanya bila Abdullah seakan menghansut agar pemimpin SAPP menentang keputusan Yong Teck Lee itu apabila beliau menyarakan supaya SAPP perlu mengambil tindakan ke atas Yong Teck Lee. Dalam erti kata lain ada provokasi supaya Teck Lee ditentang dan digantikan dengan orang lain.

Arahan dan hasutan Abdullah itu nampak songsang dan tidak berapa sihat. Masakan ahli SAPP bersedia untuk menentang dan melawan Yong Teck Lee. Sebagai sebuah parti siasah sudah pasti Teck Lee dan SAPP telah berfikir panjang sebelum mengambil keputusan itu. Kita tidak percaya politik Cina akan mengikuti stail politik Melayu di mana pengikut sering mengkhianati pemimpin.

Mengenai keengganan Abdullah dan BN untuk menghukum SAPP dan kedua ahli Parlimennya bukan kerana BN baik jauh sekali bersikap profesional, tetapi kerana takut dengan suasana sekarang menjadi lebih buruk lagi.

Abdullah tahu kalau pun dia menghukum Teck Lee tetapi ia tidak boleh menakutkan orang lain. Hukuman yang bermotifkan politik tidak akan digeruni sesiapa. Apa lagi sipenghukumnya pula hilang upaya dan kredibiliti.

Jadi apa yang berlaku dalam mesyuarat tergempar BN semalam ialah mencari jalan untuk membendung yang carit agar tidak bedah dan beharap agar tindakan permulaan dilakukan SAPP itu tidak akan merebak dan berjangkit kepada koponen BN lain.

Cuba kalau BN dan Abdullah tidak berada dalam keadaaan genting seperti sekarang. Sudah tentu tidak ada amaran dan nasihat lagi kepada Teck Lee dan SAPP. Tentu keputusan yang konkrit akan diambil. Bukankah sebelum ini semua pemimpin BN telah mengutuk Yong Teck Lee? Sudah pasti Teck Lee dan SAAP dipecat dari BN. Itulah juga persepsi umum apabila tiba-tiba BN mengadakan mesyuarat tergempar.

Perhatikan apa yang berlaku kepada parti Pas tahun 1974 dulu. Kesalahan yang Pas lakukan ketika itu tidak sampai lima peratus daripada apa yang SAPP lakukan. Pemimpin Pas, Allahyarham Mohd Asri Muda tidak pernah membuat kenyataan celupar terbuka seperti Teck Lee. Pas hanya cuba mengembangkan sayapnya di kawasan-kawasan tertentu. Itupun masih berlandaskan kepada semangat permaufakatan dalam BN.

Apa jadi kepada Pas. Pas ditendang dan diterajang daripada BN. Mengapa Pas diperlakukan begitu ialah kerana ketika itu BN berada dalam keadaan kuat dan merajai politik Malaysia ketika itu.

Tetapi hari ini dalam keadaan genting, bak telor di hujung tanduk dan hanya menanti masa sahaja untuk kerajaan BN yang ditulangi Umno hancur, menyebabkan para pemimpinnya menjadi baik dengan tiba-tiba. Menjadi ikhlas dengan tiba-tiba. Walhal apa yang sedang diselindungkan oleh Abdullah di sebalik tidak mahu mengambil tindakan ke atas SAPP dan Teck Lee itu ialah kerana takut dan bimbang dengan situasi hari ini.

Kita yakin Teck Lee dan SAPP tetap dengan keputusannya. Walaupun apa orang cemuh dan makinya keputusan itu tepat dan benar. Ia juga kena pada masa dan ketikanya. Soalnya Teck Lee tamak dan lebih mementingkan diri sendiri tidak menjadi persoalan kerana semua ahli politik termasuk Abdullah, Anwar, orang baju petak-petak merah dan seisapa pun semuanya mempunyai kepentingan diri sendiri! [wm.kl 11:00 20/06/08]

Thursday, June 19, 2008

Berita Terkini

Nik Aziz Ziarah Jenazah Ibu Annuar Musa

Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat diberitakan turut menziarahi jenazah ibu Annuar di Bukit Marak yang kembali ke rahmatullah pagi ini sebaik dimaklumkan kematian itu.

Nik Aziz turut mengucapkan takziah kepada keluarga Annuar Musa dan berharap reda atas takdir ilahi. Bagaimana pun kehadiran Nik Aziz itu tanpa Annuar Musa bersama kerana Annuar dikatakan sehingga berita ini ditulis masih berada di luar negeri.

Ketika ibunya menghembuskan nafas terakhir Pengerusi Kada itu berada di sebuah bandar di negara jiran. Tidak diketahui pula bila bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu meninggalkan tanah air.

Menurut sumber rapat dengan Annuar, beliau (Annuar) menghadapi masalah untuk pulang segera kerana masalah penerbangan. Satu usaha dilakukan pihak tertentu untuk membawa Annuar pulang ke Malaya. Sebuah helikopter akan diterbangkan khas bagi membawa balik Annuar.

Jenazah Hajjah Che Bidan Awang Chik 96 akan disembahyangkan malam ini. [wm.kl 1:20 am 19/06/08]

Balasungkawa

Ibu Annuar Musa Kembali Kerahmatullah Pagi Ini

IBU Annuar Musa, Hajjah Che Bidah Awang Chik telah kembali ke rahmatullah di rumahnya anaknya di Bukit Marak, Bachok kira-kira jam 10:00 pagi ini. Allahyarhamah meninggal kerana sakit tua.

Allahyarhamah lebih mesra dengan panggilan umi berusia 96 tahun meninggalkan tujuh orang anak empat perempuan dan tiga lelaki.

Annuar adalah anak yang kedua.

Jenazah Allahyarahamah akan disembahyangkan malam ini di rumah salah seorang anaknya di Bukti Marak, Bachok. Semoga Allah s.w.t mencucuhi rahmat ke atas roh arwah. Al Fatihah. [wm.kl. 11:20 am 19/06/08]

Silang Minda

Alwi Muncul di Majlis Ku Li

SEMALAM berlangsung majlis memperkatakan Pasca Pilihan Raya Ke-12 : Politik Melayu dan Masa Depan di sebuah hotel di Ampang Selangor. Majlis itu menampilkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pemberi ucaptama yang tunggal.

Sebelum Ku Li berucap majlis itu didahului dengan makan malam.

Majlis itu dianjurkan oleh Umno Bahagian Titiwangsa pimpinan Drs Sulaiman Mohamed. Bagaimana pun beliau tidak hadir, difahamkan berada di Tamasik. Namun anak buahnya yang mengendalikan majlis itu dengan jaya dan sempurna.
Janganlah disoalkan kenapa Sulaiman tidak hadir apakah kerana takut atau hendak lindung diri atau memang beliau ada urusan segera dan penting di Temasik itu.

Yang hadir kira-kira 300 orang terdiri daripada ketua-ketua cawangan dalam bahagian Titiwangsa dan beberapa ketua cawangan dari bahagian lain termasuk Cheras. Majlis itu sebenarnya cuba menghimpunkan ketua-ketua cawangan Umno dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpurn bagi mendapat input selepas Umno dilanda bala dalam pilihan raya umum lalu.

Apa yang hendak diceritakan di sini bukan fasal ucapan Ku Li yang sudah dikira basi dan berulang-ulang malam tadi. Di mana Ku Li pergi itulah bunyi dan gaya tutur bicaranya. Memperkatakan nasib orang Melayu yang seperti telor di hujung tanduk, Umno yang sudah tidak kuat dan tidak lagi bersemangat. Selain itu fasal ekonomi yang lemah dan tidak berdaya tahan.

Semua itu dirumuskan oleh Ku Li sebagai kesalahan Abdullah Ahmad Badawi. Natijah dari itu sekiranya Umno ingin kembali kuat dan menjadi juara kepada orang Melayu maka Abdullah kena ditukar atau pun dijatuhkan dan digantikan dengan beliau!
Itu hakikinya.

Itulah mauduk dan tema ucapan bekas Menteri Kewangan itu. Dan malam tadi Ku Li nampak begitu la'ih dan letih sangat mungkin kerana banyak pusing Malaya.

Seperti dikatakan tadi, apa yang hendak ceritakan di sini ialah bukan ucapan Ku Li itu dan signifikan majlis itu kepadanya, tetapi satu kejadian kebetulan yang boleh dianggap mengejutkan dan sempat menarik perhatian mereka yang hadir.

Sewaktu majlis itu bersurai dan Ku Li menunju ke bilik persidangan akhbar, orang ramai berpusar-pusar di luar dewan berborak sama sendiri dan membuang gian menghisap rokok sementara selesai Ku Li beri sidang akhbar sebelum sama-sama meninggalkan hotel berkenaan.

Ketika inilah tiba-tiba muncul Setiausaha Politik Perdana Menteri, Md Alwi Che Amat bersalaman dengan orang ramai. Kemunculan yang entah dari mana itu mengamankan banyak orang. Apa lagi melihat Alwi bersalam dan berpelukan dengan setiap orang yang dihampirinya, ia makin merujakan.

Alwi yang lahir di Makkah memang beradat begitu, mersa, suka bergurau dan berterus terang. Dia juga 'bobok' kata orang Kelantan.

Banyak yang tidak tahu dari mana kemunculannya mengira Alwi turut berada dalam majlis berkenaan dan mendengar upan dan celoteh Ku Li.

Saya juga mulanya mengira begitu. Dan tidak mustahil kalau Alwi berbuat begitu kerana beliau seorang yang outspoken dan mesra alam. Kalau beliau pergi ke Parlimen beliau akan bermesra dengan siapa saja tanpa mengira bangsa parti. Adakalanya dia berada di tengah-tengah kelompok ahli Parlimen Pas.

Mula saya menyangka mungkin beliau datang lewat dan mengambil tempat tersorot di belakang. Datang untuk mengintip majlis berkenaan. Itu dugaan awal.

"Ana ada mesyuarat Risda di sini tadi, jadi bila selesai turun dan nampak orang ramai. Semua kawan-kawan jadi singgah sekejap," jelas Alwi mengenai keberadaanya di situ. Ruanya beliau datang mesyuarat Lembaga Pengarah Risda.

"Kalau ana tak ada urusan lain tadi, ana masuk juga dengar," katanya gelak sambil bersalaman dan berpelukan dengan Nik Azmi Ku Li. (Ku Li ada seorang saja Nik dalam dunia ini, iaitu Nik Azmi).

Dan sewaktu merka berpelukan saya sempat mendengar kata Nik Azmi; Alwi orang kita... dia menyokong Ku Li, di luar saja.... tak suka dalam hati sokong Ku Li.." kata Azmi sambil menepuk bahu Alwi.

"Kita sokong semua orang kita tak nak gaduh dengan sesiapa pun. Islam mengajr kita berbaik-baik dengan semua orang", jawab Alwi pantas menghuraikan kata-kata Nik Azmi.

Ternyata Alwi seorang yang 'pah laku'. Ramai yang bersalaman dengannya. Usaz Ibrahim Azmi dan Tengku Azlan Sultan Abu Bakar antaranya yang turut berpelukan dan bermesra dengan Alwi.

Bagaimana pun ada juga yang alergik dengan Alwi. Ini diakui sendiri Alwi, katanya sebelum berlalu ke keretanya; ana pelik orang kita ni ada juga yang tak nak sambut salam saya... pelik. Ante cakaplah... cara tu tak profesional...," Alwi menyebut nama orang itu tetapi saya tidak akan menulisnya. Alwi nampak kecewa benar dengan hamba Allah seorang ini. [wm.kl 10:10 am 19/06/08]

Wednesday, June 18, 2008

Enekdot Politik

Satu Lagi Kerabat BN Akan Ikut Jejak SAPP
Satu Dari 14 Makmum Sudah Mufaraqah Imam Hadhari

ORANG paling terkjut dengan keputusan Parti Maju Sabah (SAPP) yang mengumumkan keluar dari gabungan BN hari ini ialah (18 Jun 2008) Abdullah Ahmad Badawi. Keputusan itu memberi signifikan kepada Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN.

Alasan parti itu keluar BN kerana mereka hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

Tidak percaya ini adalah kes berat. Ia samalah dengan makmum tidak percaya kepada imam. Apabila makmum hilang keyakinan kepada imam, maka makmum itu akan bertindak mufaraqah – meninggalkan imam berkenaan daripada meneruskan sembahyang bersama.

Tindakan parti pimpinan Yong Teck Lee mufaraqah Abdullah itu samalah dengan tindakan makmum meningalkan imam dalam sembahyang. Dalam konteks ini Teck Lee dan ahli partinya sudah tidak mempercayai dan yakin kepada Abdullah lagi selaku perdana menteri dan juga pengerusi BN.
Justeru Abdullah harus dan memang kena terkejut. Dalam beliau asyik ‘mengimamkan sembahyang' dan setiap saat mendakwa dia seorang imam berwibawa dan alim, khusyuk tiba-tiba ada makmum yang bertindak meninggalkannya.

Anihnya juga sebelum ini Abdullah tidak tahu menahu yang parti berkenaan akan meninggalkan BN. Isyarat yang Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) berikan juga tidak dipedulikan. Kalau benar Abdullah tidak tahu seperti mana dakwanya ini bermakna beliau memang tidak layak menjadi pengerusi sebuah gabungan seperti BN itu.

Malu dan aiblah kalau seorang pengerusi tidak mengetahui apa yang sedang berlaku dalam periuk nasi rumah tangganya! Dalam konteks politik apa yang berlaku itu sebagai temparan kepada kepimpinan Abdullah apa lagi SAPP bercadang untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Abdullah di Parlimen.

Ekoran peristiwa malang itu, apa yang membimbangkan Abdullah ialah apabila seorang makmum sudah mufaraqah pemerintahannya maka ia pasti akan diikuti oleh makmum yang lain. Kalau gabungan BN kini boleh dianggapkan sebagai sebuah jemaah sedang mendirikan solat dengan jemaah seramai 14 orang dan solat itu sedang diimami oleh Imam Hadhari Abdullah Badawi kini salah seorang makmumnya sudah meninggalkan imam berkenaan.

Tentu ada sebab-sebab dan hujah kemas mengapa makmum berkenaan mengambil langkah yang dihalalkan itu. Sekiranya imam berkenaan benar-benar sudah batal dan tidak dapati diikuti tidak mustahil makmum-makmum lain juga akan turut sama memufaraqah sembahyang berkenaan dan mencari imam lain. Perlu diingat mengikuti seorang imam yang melakukan perbuatan membatalkan sembahyang menyebabkan sembahyang kita juga akan turut terbatal kalau tidak meninggalkannya!

Dalam hubungan tindakan Teck Lee itu kalau Yong Teck Lee nampak akan kesilapan dan kesalahan Abdullah, tentu pemimpin parti lain juga ikut nampak sama dan kemungkinan akan mengambil tindakan sama seperti parti Maju Sabah itu.

Kemungkinan dan perkembangan inilah yang menakut dan merisaukan Abdullah. Sudah pasti sejak semalam Abdullah sudah mula mengubah tabiat hidupnya daripada banyak tidur kepada banyak jaga. Abdulah tidak lagi boleh terlalu lena kerana keadaanya sudah terdesak dan mencemaskan.

Bayangkan apa akan jadi kepada gabungan BN kalau selepas ini ada dua tiga buah lagi parti gabungannya bertindak meninggalkan BN? Seperti mana dakwa pemimpin PKR, Mohd Azmin Ali terdapat dua buah parti komponen BN yang akan bertindak keluar BN. Dakwaan Azmin itu sudah menjadi kenyataan.

Sementara itu dari maklumat tertentu, terdapat satu komponen BN dikatakan bakal mengambil tindakan sama seperti Parti Maju Sabah lakukan itu. Komponen itu kali ini datangnya dari Semenanjung. Pasti sekali lagi desas desus ini menyebabkan Abdullah semakin tidak boleh tidur.

Ada dua parti dari Semanjung yang menampakkan tanda-tanda akan keluar BN, kalau tidak Gerakan ia mungkin MCA.

Sudah pasti maklumat ini akan dinafikan oleh para pemimpin Umno seperti terjadi ke atas Parti Maju Sbaah itu. Naib Presiden Umno Mohd Ali Rustam mengatakan pendedahan yang dibuat Ku Li berhubung tindakan parti Maju Sabah itu sebagai gimik saja.

Nah... sekarang apa sudah jadi Yong Teck Lee benar-benar membawa SAPP keluar dari BN. Apakah yang berlaku itugimik lagi? Ataunya memang benar-benar mengagapkan pemimpin Umno! Kita tunggu perkembangan selanjutnya.... [wm.kl 2:30 am 19/06/08]

Kata Balas

Dewan Pemuda Pas Hanya Mempertahankan Maruah Dirinya

EMAIL blog saya nampaknya 'diserang' bertalu-talu selepas saya postingkan rencana di bawah yang mempersoalkan mengenai pendirian Ketua Dewan Pemuda Pas Sallehudin Ayub berhubung konsert yang akan menampil Ella dan Mas Idayu pada 6 Julai depan.

Saya tidak berhajat dan memberi komen kepada semua email yang masuk. Nampaknya sikap pengirim pro kontra, ada yang menyokong dan ada yang tidak setuju. Dan secara terang-terang seorang penjenguk bernama Rouslan Mohtar telah memberi ingatan kepada saya agar tidak beritndak seperti rakan saya Roslan SMS yang bersikap sinis kepada konsert berkenaan.
Berikut saya poskan sepenuhnya email sdr Rouslan Moktar tanpa diedit;

KONSERT ITU DIADAKAN SEMPENA PERLAWANAN BOLASEPAK PIALA SULTANSELANGOR....IA DIADAKAN SEBELAH PETANG SBLUM PERTANDINGAN BOLASEPAKBERMULA...CARA SUADARA TULIS SEOALAH OLAH KONSERT ITU AKAN DIADAKANPADA MALAM MENYAMBUT 100 TAHUN PEMERINTAHAN PAKATAN RAKYAT. HALLOBRADER....SAYA HARAP SUADARA TAK JADI MCM ROSLAN SMS TU....JANGANLAHMENAMBAH KEBENCIAN ANAK ANAK MUDA KEPADA PAS...

Terima kasih kepada sdr Rouslan atas ralat itu. Tidak sesekali niat saya nak menimbulkan kebencian anak muda kepada Pas. Tetapi sdr dan sesiapa juga kena faham dan mengerti bahawa Pas berbeza dengan DAP dan PKR. Pas ada prinsip dan dasar perjuanganya sendiri. Teras perjuangan Pas ialah Quran dan Hadith.

Saya percaya anak muda yang bersama Pas mereka yang memahami dasar-dasar Pas. Apapun kerana timbul kekeliruan di kalangan anak muda tentang dasar dan prinsip Pas ini kerana sikap pemimpinnya yang cuba mengubah perinsip dan dasar ini perlahan-lahan.

Kerana inginkan kuasa dan sokongan Pas bersedia membuka dirinya untuk disesuaikan dengan keadaan. Bersikap liberal dalam perjuangan tidak menjadi masalah, tetapi kalau sampai mengadaikan prinsip ia memalukan.

Dalam hal ini baik Roslan SMS, Pemuda Pas Selangor, Dewan Muslimat yang membantah konsert berkenaan kerana mereka ingin kekalkan identiti Pas sebagai harakah dan siasah Islam. itu sahaja.

Dan bantahan (pertahanan) itu adalah hak mereka saya rasa. Sebab kalau pun ada sesuatu yang tidak kena atau pun menyimpang daripada perjuangan baik DAP atau PKR mereka juga akan turut sama menentangnya. Lihat sikap Karpal Singh dalam berhadapan dengan isu negara Islam yang dibawa Pas, ianya lebih keras lagi apabila Pengerusi DAP itu pernah berkata kalau Pas hendak laksanakan Islam langkah dulu mayatnya.

Orang Islam (mujahidin) dalam menegakkan kalimah Allah bukan saja sanggup melangkah mayat yang bergelimpangan tetapi bersedia menerima apa saja termasuk syahid! [wm.kl 7:00 pm 18/06/08]

Lepas Rasa

Apa pendirian Sallahuddin mengenai konsert Ella dan Mas Idayu?

SEHINGGA jam 4:00 petang ini saya masih belum dengar atau terbaca dalam mana-mana blog mengenai komen atau kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas,Sallehudin Ayub (foto) berhubung konsert yang akan menampilkan Ella dan Mas Idayu (goyang politik), yang akan diadakan pada 6 Julai hadapan sempena sambutan 100 hari kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor khabarnya telah menghantar memorandum membantah konsert yang akan menampilkan dua penghibur itu atas alasan ia boleh mengundang keruntuhan moral. Sehubungan itu Dewan Pemuda Pas meminta agar kerajaan Selangor mengkaji balik akan kesesuaian konsert berkenaan.

Ternyata bantahan Dewan Pemuda Pas itu menimbulkan berbagai reaksi dan bingkasan tidak senang dari berbagai pihak. Ia juga dengan mudah telah dieksploitasikan oleh pihak tertentu untuk melagakan Pas dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dan sekaligus melagakan Pas dengan pihak istana.

Mereka yang tidak senang dengan kerajaan Pakatan Rakyat akan mencari helah dan alasan bagi memburukkan keadaan. Konsert itu telah dijadikan umpan yang cukup baik bagi menimbulkan suasana keruh yang akhirnya meretakan paduan Pakatan Rakyat. Sebuah akhbar yang terang-terang tidak mesra Islam (Pas) telah memainkan isu ini seluasnya bagi meretakkan hubungan Pas dengan rakan dalam Pakatan Rakyat.

Anihnya dalam hal ini akhbar Utusan Malaysia yang dibaikot secara rasmi oleh kerajaan Pakatan Rakyat nampaknya rasional dan tidak cuba mengambil kesempatan memburukkan keadaan dengan isu ini. Tidak ada laporan-laporan yang melampau akhbar berkenaan dalam hal ini.

Yang nampak melampau ialah akhbar The Star, yang sudah diketahui perangai dan agenda tersembunyi mereka. Akhbar ini nampaknya sengaja menimbulkan hal-hal yang kelihatan tersembunyi untuk menarik perhatian umum dengan niat busuk dan jahat yang jelas. The Star nampak sinis kepada Pas!

Berbalik kepada bantahan Dewan Pemuda Pas Selangor tadi, ia mendapat sokongan Dewan Muslimat Pas Selangor. Ketuanya Wan Hasrina Wan Hassan telah memberi komen dan turut sama membantah konsert berkenaan. Wan Hasrina berpendapat dan menuntut perkara sama seperti Dewan Pemuda Pas Selangor agar konsert itu dinilai semula dan penampilan Ella dan Mas Idayu itu ditarik balik.

Apa yang mereka protes kerana konsert itu bertentangan dengan semangat dan nilai-nilai perjuangan Pas. Kerana itu mereka menentangnya. Ada logiknya kalau mereka membantah konsert berkenaan. Masakan Pas sebagai sebuah parti Islam bersedia untuk berkompromi dengan hal-hal demikian. Dan Pas sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat seharusnya mereka juga dihormati.

Cuba bayangkan bagaimana pemimpin Pas yang setengahnya berserban dan berjubah hendak hadir ke konsert berkenaan. Bagi pemimpin Pas yang memakai kupiah mengikut musim tidak menjadi masalah. Mereka boleh hadir dan menonton konsert itu tanpa ada masalah. Kalau perlu kena kilas kupiah pun mereka bersedia! Tetapi bagaimana bagi mereka yang istiqamah dengan budaya itu?

Sudah pasti kerana majlis itu sempena sambutan 100 hari pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat maka pemimpin Pas akan dijemput sama. Misalnya bagaimana gayanya kalau Nik Abdul Aziz Nik Mat, Harun Taib atau Dr Haron Din berhajat untuk menghadiri konsert berkenaan. Hendak tidak hendak mereka kena tengok dan tonton juga. Takkan semasa atas pentas mereka hendak tutup muka daripada melihat goyangan politik Mas Idayu!

Iya mereka boleh memilih untuk tidak hadir. Dan saya yakin kalau diupah sekalipun mereka tidak akan hadir. Dalam hal ini tujuan mentiadakan Ella dan Mas Idayu bukan saja untuk membolehkan Nik Aziz dan Harun Taib hadir, tetapi lebih penting mengelakkan berlakunya masalah gejala sosial dan keruntuhan moral yang bakal terbit dari konsert itu seperti mana yang dicerminkan oleh Dewan Pemuda dan Muslimat itu!

Jadi apabila Ketua Pemuda Pas Pusat Sallehuddin Ayub masih membisu mengenai isu ini ia menghairankan. Sallehudin belum mengeluarkan sebarang komennya! Mulutnya seakan terkunci. Yang bersuara ialah timbalanya, Nasrudin Hassan. Apakah Sallehudin tidak peka mengenai hal ini dan bersetuju dengan langkah kerajaan Pakatan Rakat Selangor itu?

Ataupun kerana beliau ahli Parlimen yang 'lantang' di Parlimen maka beliau kena mendiamkan diri dan menunjukkan sikap liberal? Saya percaya kalau bantahan itu ke atas konsert anjuran Kerajaan Barisan Nasional, tentu Sallahdudin akan ke hadapan dan menjadi tidak cukup mulut untuk mengomennya.

Dalam hal ini Sallehuddin jangan bersikap double standard. Jangan kerana maksiat itu dilakukan rakan sendiri maka ia perlu didiamkan sebaliknya kalau maksiat itu dilakukan musuh maka ia perlu diheboh dan ditentang dengan suara mengegar alam.

Saya bimbang kalau Sallehudin memilih isu untuk bercakap, ia boleh memberi musibah kepada kerjaya politiknya. Sallehudin ingat Pemuda Pas tidak akan mudah terpesona dengan jawatannya sebagai ahli Parlimen, sebaliknya mereka lebih perhatikan komitmen, sikap dan iltizam Sallehudin dalam memperjuangkan Islam.

Saya bimbang kalau Sallehudin cuba bermain play save dalam politik beliau akan menghadapi masalah suatu hari nanti. [wm.kl 4:15 pm 18/06/08]

Tuesday, June 17, 2008

Sebelum Beradu

Enam “teori” Politik Yang Menjadi Perhatian Umum

KALAU boleh dinamakan sebagai teori politik Malaysia mutakhir, ada enam teori yang bakal mengejutkan politik Malaysia dewasa ini. Teori-teori ini merupakan isu-isu yang memenuhi menu perbualan ahli dan pemerhati politik pada masa ini. Dan ia juga bakal merubah senerio politik negara.

Pemerhati yang bertaraf intelektual juga menunggu-nunggu teori atau isu ini dengan penuh tanda tanya dan sukar untuk membuat hepotesis mengenainya.
Ilmu sains politik dan sejarah politik yang mereka hafal juga tidak dapat membayangkan yang mana satukan antara enam teori ini akan menjadi realiti atau mendahului antara satu sama lain. Kedudukannya bernisbah 50 – 50.

Pertama ialah mengenai 30 ahli Parlimen BN yang dikatakan akan lompat menyertai pembangkang – Pakatan Rakyat.

Teori ini boloehlah dinamakan teori Anwar Ibrahim sebab ianya dicetus bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Anwar dakwa ada 30 ahli Parlimen BN akan bersama Pakatan Rakyat. Masa yang dinanti dan dipacak ialah 16 September sempena hari penubuhan Mayalsia.
Sehubung itu pembentukan kerajaan baru Kerajaan Pakatan Rakyat akan dibentuk pada tarikh berkenaan dan sekaligus mengakhiri zaman kekuasaan Umno dan Barisan Nasional di Malaysia.
Walaupun teori ini dianggap gimik oleh pihak BN tetapi ia tetap membimbangkan BN. Teori ini menjadikan anggota BN sendiri berbelah bahagi dan yang tidak nyenyak tidur.

Kedua ialah mengenai usaha di kalangan Pas yang kini sedang mengatur dan mencari ruang untuk berbaik dengan Umno. Dengan menggunakan alasan politik Melayu dalam situasi bahaya dan kedua parti itu perlu berbaik demi menjamin kesenimbungan politik dan masa depan Melayu, Pas dikatakan bersedia untuk berbincang dengan Umno, begitu Umno menanti Pas membuka mulut saja.

Untuk tujuan itu Majlis Syura di mana statusnya paling tinggi dalam hierarki organisasi Pas dikatakan telah mengeluarkan pandangan bahawa tidak menjadi kesalahan Pas berbincang dengan Umno. Pandangan majlis syura itu dilihat sebagai satu perkembangan baru dalam senerio politik Pas.

Justeru ada pihak bertindak atas pandangan majlis syura berkenaan berusaha secara individu oleh pemimpin Pas termasuk pemimpin tertinggi. Presiden Pas, Abdul Hadi Awang juga dikatakan tidak melarang usaha menyatukan Pas dengan Umno. Usaha ini sedang dilakukan tetapi secara senyap.

Titik tolak kepada usaha ini juga dibuat kerana mereka tidak percayai kepada ketulusan dan sikap politik orang yang diletakkan untuk mengepalai kerajaan Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim. Berpandukan kepada pengalaman lalu Pas begitu waspada dengan political animal Anwar Ibrahim.

Kalau ada di kalangan Pas merasa serit dengan peristiwa Pas ditendang dari BN tahun 1974 dulu, begitu juga ada di kalangan tokoh Pas merasa perit dengan Anwar Ibrahim semasa Penasihat Umum PKR itu menjadi orng nombor dalam Umno kira-kira 12 tahun lalu.
Lantaran itu wujud percanggahan pendapat di kalangan Pas mengenai perkara ini. Mereka yang percaya dan bersikal liberal mempercayai kepada Anwar dan menolak apa juga usaha dan alasan agar dicari pendekatan dengan Umno. Sebaliknya mereka yang sangsi kepada Anwar cuba mencari alternatif baru dengan menghulurkan tangan persahabatan dengan Umno.

Yang bakal menentukan apakah usaha pendekatan Pas dengan Umno ini berjaya atau tidak ialah ahli-ahli Pas sendiri. Dipercayai muktamar Pas tahun ini akan membuat ketetapan berhubung langkah-langkah ini dan sekaligus menjadi muktamar berkenaan panas dan hangat.

Adalah diyakini muktamar akan memutuskan bahawa pakatan dengan Umno mungkin ditamatkan. Ini kerana sikap Mursyidul Am Pas yang berkali-kali menjelaskan beliau (Pas) sudah serit untuk berbaik dengan BN. Suara dan pandangan Mursyidul Am Pas sering diterima walaupun tidak betul tetapi atas nama dan kapasitinya sebagai Mursyidul Am jarang ahli Pas membantahnya.

Ketiga, mengenai pergolakan di dalam Umno, di mana ada usaha oleh puak-puak Mohd Najib Razak untuk menjatuhkan Abdullah secara terhormat. Mereka berusaha agar pelan peralihan kuasa berlaku sebelum Disember ini dimana Najib diharap akan mengambil tempat Abdullah.
Gerakan ini sekarang proaktif di mana ia disertai sama oleh Muhyiddin Yassin. Muhyiddin yang akan mendapat tuah dan laba besar daripada peralihan kuasa ini dikatakan bergerak sekali dengan Najib. Para penyokong dan pencacai politik Muhyiddin bergabung tenaga secara tidak nyata dengan orang-orang Najib.

Tindakan Muhyiddin yang menistyharkan beliau akan merebut jawatan timbalan presiden adalah strategi beliau memaksa Najib berganjak ke atas. Tektik dan politik Muhyuddin ini katanya sudah dicurigai Abdullah menyebabkan Abdullah kini benar-benar tidak senang dengan tindak tanduk politik Muhyiddin.

Manakala Muhyiddin kini dikatakan berada dalam dilema sekiranya Najib tidak berganjak beliau bakal menghadapi masalah. Bidalan kerana santah pulut bianasa kini katanya sedang melanda Muhyuddin.

Keempat mengenai usaha Ku Li untuk melawan Abdullah. Ku Li kini sedang mengatur dan mencatur politik dalaman Umno untuk membolehkan beliau layak bertanding merebut jawatan presiden Umno. Apakah Ku Li bnerjaya melepasi sekatan yang mengenakan kuota 30% itu ataupun tidak. Dalam usaha ini Ku Li sudah menjejajah hampir ke seluruh negara bagi memastikan beliau cukup pencalonan untuk menentang Abdullah. Sekiranya Ku Li mendapat 58 pencalonan, ia sesuatu yang menaraik dan ada yang menjangkakan keadaan itu menyebabkan Abdullah akan menerima nasib seperti Ghafar Baba dalam tahun 1993 dulu sewaktu diasak oleh Anwar Ibrahim.

Kelima ialah mengenai kemungkinan Anwar Ibrahim akan kembali kepada Umno. Walaupun Anwar menafikan kemungkinan ini tetapi ia tidak mudah diterima oleh umum. Ada keperluan dan logik kalau kemungkinan ini berlaku. Keperluan dan kekosongan dalam politik semasa membawa kepada kemungkinan itu.

Abdullah tidak mustahil akan berkomplot dengan Anwar dalam mengukuhkan kedudukannya sekiranya beliau mendapat tentangan daripada Najib. Kalau Najib terikut dengan pandangan Muhyuddin sehingga merempuhnya, tidak mustahil Abdullah akan mengundang Anwar menyertai Umno.

Kemasukan bekas orang kanan Anwar ke dalam Umno, Mohamad Ezam Mohd Noor, membuka lagi ruang dan perkiraan ke arah itu. Walaupun Ezam menjelaskan kemasukannya ke dalam Umno tidak ada kena mengena Anwar sebalinya kerana beliau tidak berpuas hati dengan kepimpinan Anwar dalam PKR kini, itu hanya kenyataan politik yang boleh ditafsirkan dengan berbagai tafsiran.

Keenam, apakah ada parti komponen BN yang akan meninggalkan komponen itu dalam masa terdekt ini. Khabar angin tersebar luas kononnya ada sebuah parti komponen akan meninggalkan BN. Perkara ini bukan diuar-uarkan oleh pihak pembangkang sebali ianya dinyatakan sendiri oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Walaupun ada parti-parti tertentu telah menafikan dan sekekaligus menyatakan kesetiaan mereka kepada BN, namun semua itu tidak dapat menutup percakapan umum mengenai perkara itu. Hari ini mereka boleh menafikan, tetapi esok lain jadinya. Sudah banyak keadaan demikian berlaku dan inilah menyebabkan orang ramai tidak mudah untuk mempercayai apa saja cakap malah janji dan sumpah dalam politik.

Kesimpulan antara teori-teori itu yang manakah akan berlaku dalam waktu terdekat ini. Sama-samalah kita menunggunya. Bleh jadikan juga keenam-enam itu tidak akan menjadi kenyataan dan hanya asap dan kabus sahaja. [wm. Kl 12:10 am 17/06/08]

Monday, June 16, 2008

Analisa Isu

Pas Perlu Komited Laksanakan Perundangan Islam

SEMALAM saya telah tersilau mengenai berita berhubung kenyataan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Azman Sapawi yang memberi tahu, Dewan Pemuda Pas kini dalam proses merangka perundangan Siasah Syariah untuk dilaksanakn di negeri-negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Katanya satu jawatankuasa khas telah dibentuk untuk tujuan itu.

Cadangan itu saya kira positif dan tidak terlalu lewat untuk dilaksanakan dan ia satu tanggungjawab perlu disegerakan. Seperti juga sdr Roslan SMS yang telah mengulas dan menghulurkan ucapan tahniah kepada Azman menerusi blognya, saya juga ingin mengucapkan syabas kepada Dewan Pemuda Pas, khas Azman Sapawi atas inisiatif, amanah dan tanggungjawab itu.

Rasanya perundangan Siasah Syariah itu perlu untuk dijadikan panduan kerajaan Pakatan Rakyat bagi dilaksanakan di negeri-negeri pemerintahannya bukan ditunjangi Pas seperti Kelantan. Walaupun Kedah dan Perak menteri besarnya daripada Pas, tetapi negeri berkenaan nampak sedikit kekok untuk melaksanakan perundangan demikian.

Misalnya Azizan Razak (MB Kedah) dikenali sebagai pemimpin Pas yang vokal terhadap Islam namun sejak jadi MB ini beliau seakan sudah mula mengalami kelemahan bateri dan nada cakapnya juga sudah berubah dan daya tolenrasinya juga semakin baik!

Cuma saya merasa sedikit pelit kenapa pengumuman perkara sepenting itu dibuat oleh Naib Ketua Pemuda dan bukan Timbalan atau Ketuanya sendiri? Apakah sudah ada pembahagian tugas (kuota) dalam Dewan Pemuda Pas, isu-isu semasa mencakupi ekonomi, sosial diserahkan kepada ketuanya Sallahudin Ayub, soal-soal membawa memorandum diserahkan kepada timbalannya, manakala soal-soal berhubung dengan keagamaan dan perundangan Islam atau yang boleh menimbulkan kontroversi diserahkan kepada Naib Ketua, Azman Sapawi.

Sebenarnya cadangan yang diumumkan oleh Azman itu perkara besar dan perlu diberikan keutamaan dan penekanan. Pemuda sebagai sayap kanan dalam parti sepatut menjadi pendesak kepada badan induk melakukan sesuatu tindakan ke arah mencapai agenda perjuangan. Dewan pemuda patut menjadi pihak yang memantau, mencetus dan mengasak agar agenda parti dilaksanakan.

Adakalanya sikap Pemuda, khasnya sikap ketua lebih lembut daripada muslimat, tidak menggambarkan beliau memimpin satu ketumbukan dalam pasukan. Sallahuddin dalam beberapa penampilannya tidak membawa watak pemuda yang berani dan agresif sebaliknya lebih bersifat seperti pakar perunding sakit puan ataupun mirip kepada guru yang mengajar tatanegara di sekolah dewasa.

Kemungkaran boleh dicegah menerusi berbagai makenisme antaranya dengan memberi kesedaran (dakwah) dan penguatkuasaan undang-undangan (hukuman).

Cadangan Dewan pemuda itu ada hubungan langsung dengan penguatkuasaan undang-undang. Setelah kerja-kerja menyedarkan (bukan engagement) dilakukan eloklah kalau udang-undang dirangka bagi tujuan pencegahan segala macam kemungkaran.

Bagaimana pun dalam hal ini apa yang menjadi persoalan saya ialah apabila Azman mengatakan undang-undang yang bakal dirangka itu akan dibuat mengikut kesesuaian negeri-negeri berkenaan. Apa yang saya faham bahawa undang-undan Islam itu sesuatu yang tetap (rigid) sebab ianya berpandukan kepada Quran dan hadith. Hukum Allah tidak boleh diganjak ataupun dikurangkan sedikitpun.

Saya kurang faham bagaimana bentuk penyesuaian itu nanti. Apakah akan ada pembakian ke atas undang-undang atau hukum dengan mengubahnya menjadi lebih ringan? Ataupun penguatkuasaan larangan arak atau judi misalnya tidak boleh dilakukan ke atas mana-mana negeri yang nisbah rakyatnya banyak melakukannya.

Maksudnya kalau di negeri berkenaan banyak rakyat menggunakan arak dan berjudi maka larangannya dikecualikan?

Tegasnya kita tidak mahu nanti rangka perundangan itu dibuat untuk memenuhi tuntutan politik apa lagi kerana atas dasar menghormati pihak tetapi biarlah ianya dilakukan kerana perintah Allah. Maksud firman Allah yang berbunyi hendaklah kamu menghukum sesuatu itu kerana Allah bukan kerana perkara lain!

Usaha Dewan Pemuda itu juga seharusnya disokong oleh semua entiti dalam Pas. Tidak diserahkan kepada Pemuda sahaja untuk bercakap dan memperjuangkannya manakala entiti atau organ lain seperti Dewan Ulama dan Dewan Muslimat membisu. Lebih-lebih lagi Pas induk juga perlu memainkan peranan bagi meletakkan perundangan Islam (Siasah Islamiah) di negeri-negeri berkenaan penting. Semua pihak hendaklah sepakat dan seiya sekata.

Sekiranya ada individu ataupun pemimpi yang merasakan soal ini boleh menjejaskan hubungan baik Pas dengan Pakatan Rakyat pemimpin itu hendaklah terlebihi dahulu dikanunkan dengan udang-undang Islam yang sudah sedia ada! [wm.kl 11:00 am 16/06/08]

Sunday, June 15, 2008

Ulasan Peristiwa

Apabila Ku Li Menepuk Rostrum

TENGKU Razaleigh Hamzah (Ku Li) adalah antara tokoh dan pemimpin yang sederhana. Walaupun beliau berdarah ningrat, namun sifat-sifat ego sebagai keluarga bangsawan tidak dipamerkan dan seolah beliau tidak sedikipun mempunyai keistimewaan itu.

Ku Li pandai menyesuaikan dirinya dengan masyarakat kebanyakan. Kalau dipangkal namanya tidak ada perkataan “Tengku”, mungkin orang tidak percaya dia adalah seorang putra raja.
Tanyalah siapa yang mengenali dan pernah mendekatinya akan merasai hakikat itu kecuali mereka yang ada masalah personal dengannya. Beliau sangat humble dan bersahaja. Pakaian casualnya sudah boleh menjelaskan kesederhanaan itu. Di majlis-majlis separuh rasmi beliau sering mengenakan baju kemeja bertangan pendek yang lolos dan berseluar longgar.

Demikian juga dengan kenderaanya. Dari dulu sampai kini beliau masih menggunakan kenderaan lama. Tidak mungkin beliau tidak mampu untuk membeli Cyran seperti dimiliki anak-anak Mahathir Mohamad atau Hishamuddin Hussein yang bernilai jutaan ringgit itu.
Beliau boleh makan dan duduk berbicara dengan sesiapa sahaja, di mana dan keadaan apa saja. Beliau juga seorang pendengar yang baik. Tidak mudah mematahkan hujah orang walaupun tidak logik dan menyakinkannya. Perbualannya yang sesekali dibumbui ketawa dan serius itu menjadikan orang mudah terlekat hati dan merasai kemesraannya. Berdiri di hadapan Ku Li kita tidak dipisahkan oleh apa-apa status!
Itulah tanggapan secara umum mengenai Ku Li.

Tetapi pagi tadi ketika berucap pada majlis pertemuan dengan ahli Umno akar umbi di bahagian Gombak, di Taman Melawati benar-benar mengejutkan saya apabila beliau menepuk rostrum lebih dari tiga kali. Saya tidak percaya yang berbuat begitu Ku Li. Selalunya yang suka menempuk rostrum ialah Ibrahim Ali atau pun Muhammad Sabu. Apabila ianya dilakukan Ku Li ia benar-benar merujakan. Mesti ada sesuatu yang serius sehingga Ku Li juga bersikap seperti Ibrahim Ali!
Apa yang menjadikan Ku Li tiba-tiba naik angin pagi tadi ialah apabila membicara soal peralihan kuasa dalam Umno. Kenyataan Abdullah Ahmad Badawi di Kota Bharu kelmarin dan diulangi di Terengganu semalam yang mengatakan tarikh peralihan kuasa dari beliau (Abdullah) kepada Mohd Najib Razak telah pun ditentukan. Kenyataan itu menjengkil dan kurang disenangi Ku Li.
Beliau ada hujah dan alasan kenapa tidak merasa kecewa dengan tindak tanduk Abdullah itu. Bagi Ku Li Abdullah tidak berhak membuat sebarang janji untuk atau pandai-pandai hendak melepaskan kuasa atau jawatan (Perdana Menteri) kepada timbalannya atau sesiapa saja.

Ini kata katanya, apa yang dibuat Abdullah itu tidak pernah menjadi amalan Umno sebelum ini dan bertentangan dengan perlembagaan parti. "Jawatan bukan milik seseorang dan tidak ada dalam perlembagaan Umno tidak ada peruntukan yang boleh berbuat begit," ujarnya.

Tambahnya lagi kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti bukan keistimewaan untuk berbuat demikian. "Walaupun dia Perdana menteri namun dia tidak ada hak untuk bercakap nak serah kuasa pada sipolan sipolan,” katanya dengan kesal sambil melepaskan tumbukan ke rostrum.
Menurut bekas Naib Presiden UmnO itu yang berhak untuk melantik sesiapa juga jadi perdana menteri ialah Yang di-Pertuan Agong. Perkara ini adalah hak dan kedudukan dalam perlembagaan negara.
Bagi Ku Li tindakan Abdullah itu jelas melanggar peruntukan perlembagaan dan secara tidak langsung ia juga cuba menafikan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Justeru menurutnya kalau ahli-ahli Umno menerima juga peralihan kuasa yang dicadangkan Abdullah itu ini bermakna bodohlah ahli Umno. “Kalau kita menerima juga peralihan kuasa itu maka bodohlah kita,” jelas ahli Parlimen Gua Musang itu.
Bagaimana pun sarannya sekiranya ahli Umno tidak dapat menerima peraturan yang tidak ada dalam peruntukan perlembagaan itu maka ianya hendaklah ditolak.

Ku Li nampak benar-benar serius dalam soal ini. Kalau tidak masakan beliau sampai menepuk rostrum berkali-kali. Topik yang menjadikan beliau naik angin sehingga menepuk rostrum juga ialah semasa menyentuh soal sistem kuota yang diperkenalkan dalam Umno. Sistem itu menurutnya tidak menghormati hak dan kebebasan ahli dan menyekat kebebasan demokrasi di dalam Umno.

Menurut Ku Li sistem itu patut dihapuskan dan mereka yang menerimanya adalah mereka yang pengecut dan takut kepada bayang-bayang sendiri. "Kalau kita benar-benar merasakan kita layak apa hendak ditakutkan kepada perlawan, kita lawan..." ujarnya. Dalam pada itu beliau sekali menegaskan, apa juga halangan namun beliau tetap akan lawan.

Apabila Ku Li menepuk rostrum, tepukan itu bukan kerana dirinya kerana kebetulan beliau hendak bertanding pada Disember hadapan. Tetapi tepukan dan geraman itu ialah untuk kebaikan Umno.

Seperti kata beliau, kalau beliau jadi PM, beliau tidak akan duduk lama di situ beliau hanya sekadar hendak menghabiskan sisa-sisa usianya demi perjuangan.

“Saya tidak bercadang untuk duduk lama, tetapi sekadar menghabiskan sisa-sisa usia untuk perjuangan...” jelas beliau. Beliau juga menyatakan sekiranya beliau jadi presiden parti segala peraturan yang tidak demokratik itu akan dihapuskan dan pemegang jawatan juga akan dihadkan mengikut tempoh tertentu.

Berpandukan kepada track record serta sikap dan sifat Ku Li sebagai pemimpin, jelas bahawa tepukan rostrum yang dilakukan pagi tadi bukan untuk dirinya semata-mata sebaliknya yang lebih penting beliau berbuat demikian bagi menyedarkan ahli Umno yang dilihat sudah begitu lemah dan mudah hanyut dalam arus kebendaan sehingga menerima apa saja keputusan pemimpin meskipun bertentangan dengan perlembagaan parti. [wm.kl 15/06/08]