Sunday, September 12, 2010

Laporan Terkini

Tiada Sidang Tergempar Dun Kelantan Esok - Nasaruddin


[kemaskini] Maklumat terbaru diterima Ahli Majlis Meyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan bersidang esok. Apakah mesyuarat Exco esok ada kena mengena dengan desas desus mengenai pemasyhuran Tengku Mohamad Faris sebagai sultan Kelantan tidak dapat dipastikan. Mesyuarat exco esok adalah diluar kebiasaanya. Selalunya Exco Kelantan bersidang pada setiap Rabu. Bagaimana pun mesyuarat exco boleh dipanggil bila-bila masa atas keperluan tanpa notis.

TIDAK ada sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (Dun) esok seperti mana dilaporkan sebuah media arus perdana. Saya baru bercakap dengan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud (foto) yang memaklumkan setakat jam 9:10 pagi tadi beliau tidak menerima apa-apa notis dari Setiausaha Dewan yang memaklumkan Dun akan bersidang esok.

Katanya Dewan akan bersidang seperti biasa pada bulan November depan. Kebiasaannya juga kalau sidang Dewan hendak diadakan ia akan dinotiskan sekurang-sekurang seminggu. Mengenai sidang tergempar juga beliau tidak tahu menahu.

Akhbar berkenaan melaporkan dari maklumat yang diperolehi sidang Dewan akan diadakan tergempar pagi esok yang dipercayai ada kena mengena dengan desas desus kononnya upacara pemasyuran Tengku Mohammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai sultan Kelantan menggantikan ayahandanya yang gering sejak lebih setahun lalu.

Upacara itu akan diadakan di Istana Balai Besar jam 11:30 pagi esok. Bagaimanapun desas desus itu masih menjadi misteri dan lebih kepada provokasi saja.

Sekiranya apa yang diperkatakan itu menjadi satu kenyataan ia mengembirakan seluruh rakyat Kelantan. Sudah molek benar kalau Tengku Faris dimasyurkan sebagai sultan bagi menggantikan ayahandanya. Beliau sememangnya layak memandangkan Faris adalah anakanda pertama Sultan Ismail Putera bersama Tengku Anis Abdul Hamid.

Rakyat juga sudah berkenan benar dengan tingkah laku Tengku Faris. Baginda seorang yang merendah diri dan perangai ini disukai rakyat jelata dan pelbagai lapisan masyarakat. Beliau sering turun menemui rakyat tanpa protokol. Baginda juga disenangi oleh para pegawai kerajaan negeri.

Mudah-mudahan saja upacara pemasyuran baginda akan berjalan lancar kalau pun tidak esok dalam masa terdekat. Dengan berlakunya upacara itu maka pergeseran istana Kelantan akan selesai dengan baiknya. Daulat Tuanku! [wm.kl.10:15 am 12/09/10]

No comments: