Sunday, April 29, 2007

Pilihan Raya Ijok

Ijok Kenangan dan Kebimbangan.

MSO
PILIHAN RAYA kecil Ijok kelmarin (Sabtu, 28 April) bukan saja mencatat sejarah sebagai pilihan raya yang tertinggi peratus keluar mengundi, sebanyak 83.3%, tetapi ia juga turut mempamirkan beberapa elemen yang membimbangkan dan bakal menghitamkan politik dan demorkasi negara ini.

Memang sebelum ini tidak ada pilihan raya kecil sejak tahun 1959 peratus keluar mengundinya sampai 80%. Paling tinggi pun ialah antara 70% - 80% saja. Selalunya pengundi yang berada di luar kawasan enggan atau berat untuk pulang memangkah. Misalnya di pilihan raya kecil Batu Talam 67.32% manakala di Pengkalan Pasir 77.6% dan Machap 74.35% saja.

Apabila peratus di Ijok tertinggi, malahan lebih tinggi daripada peratus pilihan raya umum 2004, sebanyak 71% ia menimbulkan berbagai pertanyaan dan tanda tanya.

Timbul rasa tidak munasabah dan logik di sebalik angka itu. Retentan itu maka wujudlah persepsi buruk, bahawa berlaku sesuatu yang tidak elok – penyelewengan dan penipuan secara hidup-hidup!

Sebelum ini pun pihak pembangkang (BA) telah menaruh kebimbangan mengenai fenomena yang tidak baik itu. Hantu... ya, pengundi hantu telah dibimbangi akan menjadi perosak kepada kemurnian demokrasi di Ijok. Pihak BA awal-awal lagi telah mengenal pasti sebanyak lebih 1,000 orang yang diklasifikasikan sebagai pengundi hantu.

Berdasarkan itu juga penasihat Keadilan, Anwar Ibrahim sudah mengarahkan agar petugas-petugas pilihan raya BA menangkap mana-mana hantu yang cuba menyusup masuk ke bilik pengudian.

Apakah ketinggian peratus keluar mengundi itu disebabkan ramainya hantu? Dari satu maklumat pihak polis (SB) seperti mana dibisikkan oleh seseorang kepada saya; katanya pengundi hantu telah dibawa masuk dua malam sebelum mengundi. Tektik dan cara pengundi hantu ini dibawa masuk bukan dengan bas, tetapi dengan kereta pacuan empat roda dan kereta persendirian.

Maklumat itu boleh dipercayai. Pembawa pengundi hantu nampaknya telah menukar tektiknya kerana modul operandinya sebelum ini sudah dikesan!

Menurut beliau (pemberitahu maklumat) yang ke Ijok pada malam terakhir itu merusi lebuh raya Rawang, ratusan buah kereta (pacuan empat roda dan kereta persendirian) di lebuh raya itu yang masuk ke Ijok sehinggakan lebuh raya berkenaan jadi sesak dan jam.

Jika diamat dan dipadankan dengan apa yang diberi tahu, termasuk pesanan Anwar, maklumat polis tadi dan juga kenyataan Khir Toyo@Erdikrono yang mengatakan BN ada 2,000 pengundi luar, ada kebenarannya sejarah peratus tinggi itu disebabkan oleh pengundi hantu.

Bagaimana pun persoalan hantu itu kita tinggal di situ. Biarlah ianya diselesaikan oleh pihak parti politik dan juga SPR yang beriya menegakkan tidak ada pengundi digolongkan hantu dalam senarai pemilihnya.

Masa depan demokrasi yang membimbangkan

Apa yang hendak dicatatkan di sini mengenai senario pilihan raya Ijok yang penuh bersejarah itu. Seperti dikatakan tadi, ia bukan saja mencatat sejarah peratus keluar mengundi tertinggi, tetapi beberapa fenomena dan elemen lain yang berlaku pada sepanjang pilihan raya berkenaan.

Dalam pengamatan saya, apa yang berlaku di Ijok mengejutkan. Tidak pernah aksi-aksi dan gelagat yang berlaku di pilihan raya kecil itu saya saksikan dalam pilihan raya kecil lain. Rasanya hampir 20 pilihan raya kecil yang saya hadiri dan terlibat menjadi pemantau, suasana yang wujud di Ijok tidak berlaku dalam mana-mana pilihan raya kecil.

Apa yang dimaksudkan ialah mengenai aksi, tindak tanduk dan juga kerenah penyokong kedua-kedua parti politik yang agresif dan bertindak di luar batas kesopanan adat dan agama. Bentuk tekanan dan torture psikologi sudah melampau di Ijok. Ada unsur-unsur pilihan raya di Ijok itu dimonitorkan oleh para samseng dan mafia?

Suasana tidak menyenangkan dan mendukacitakan berlaku sejak hari penamaan calon lagi. Pada hari penamaan calon 19 April, sudah terjadi perang mulut yang memalukan dan lontar melontar botol, kayu dan sebagainya antara kedua penyokong BN dan BA. Belaum pernah berlaku keributan seperti itu pada hari penamaan calon. Biasanya pada hari penamaan calon masing-masing boleh kontrol perasaan dan bersikap profesional.

Perasaan penyokong masing-masing menjadi meledak terus di sepanjang sembilan hari kempen. Ia membawa kepada hari mengundi. Sejak awal-awal lagi sudah ada berita dilaporkan seorang penyokong BA kena pukul dan cermin keretanya dipecahkan. Bermakna bumi Ijok pagi-pagi lagi sudah disirami darah.

Kejadian itu tentulah telah memanaskan hati para penyokong BA. Tentunya para penyokong BA secara diam-diam menyimpan dendam dan mencuri peluang untuk membalasnya! Memang benar... selepas kejadian itu beberapa kejadian lain berlaku. Cubaan untuk menghalang kenderaan para pemimpin juga berlaku. Penyokong menjadi semakin liar, berani dan emosi.

Apa yang yang sempat saya saksikan sendiri ialah di dua pusat pembuang undi, di Sekolah Agama Ijok, dan Sekolah Kebangsaan Bukit Badong.

Di kampung Ijok saya tidak sanggup untuk berlamaan di situ kerana tidak tegal melihat gelagat penyokong BN yang mencaci, memaki hamun dan memperli para penyokong BA. Bahasa dan gelagat para penyokong BN terdiri daripada anak-anak muda – Putera Umno dan Puteri Umno sungguh memalu dan mengaibkan.

Mereka sudah hilang maruah diri sebagai bangsa Melayu beradat. Gelagat dan aksi mereka lebih buruk daripada gelagat kera dan beruk di dahan pokok. Kempen cintailah bahasa dan bersopan santun langsung tidak menyerap ke dalam diri mereka. Mereka tidak ada perasaan segan silu lagi untuk mencaci calon BA, Khalid Ibrahim dan Anwar Ibrahim. Antara kata-kata yang sempat didengar ialah, Khalid bodoh, tidak pandai cakap, rasuah... dan cacian kepada Anwar pula termasuk apa yang berlaku di Sanggang dulu.

Nasib baik penyokong dan perayu undi BA yang berdiri tidak sampai 50 meter dari tempat penyokong BN tidak mengikut retak dan bersikap dewasa. Mereka hanya memerahati dan lihat sahaja gelagat haiwan para penyokong BN itu. Kalaulah penyokong BA mengikut retak, mungkin pertumpahan darah akan berlaku.

Suasan hangat demikian juga berlaku di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bukit Badong. Kata mengata, laung melaung kata-kata kesat berlaku antara satu sama lain. Kalau di Sekolah Agama Ijok penyokong BN agresif, di Bukit Badong, penyokong BA yang lebih agresif. Ketika Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim keluar dari pusat pengundian itu para penyokong BA melaungkan Norita...Norita ke atah Shahidan.

Di Bukit Badong inilah juga berlaku penahanan dua buah bas berplat Penang yang disyaki membawa pengundi hantu. Para penyokong BA telah bertindak menghalang bas-bas berkenaan. Kekecohan dan ketegangan bermula apabila kereta penyokong BA yang berada di hadapan bas berkenaan dipecak dan dikemekkan.

Beberapa orang penyokong BA hilang kawalan dan terpaksa dikawal oleh pihak polis apabila mereka terlalu emosi dengan apa yang berlaku. Sikap polis yang seolah-olah menunjukkan berlembut daripada menghalang bas itu menyebabkan penyokong BA naik angin. Setelah kedatangan Ezam Mohammad Nor, barulah keadaan reda.

Kejadian itu menyebakan keadaan menjadi riuh randah, dan laluan terkandas kira-kira hampir setengah jam. Selepas bas berkenaan diiring dan dibawa ke balai polis oleh Ezam dan penyokong BA baru keadaan kembali tenang.

Demikianlah panorama mengenai apa yang berlaku di Ijok semalam. Merenungi kepada apa yang berlaku ia sungguh membimbangkan. Ada tanda-tanda menunjukkan pilihan raya dan demokrasi negara ini semakin tidak sihat. Ada petanda bahawa di masa akan datang, pilihan raya yang sentiasa panas itu akan diwarnai dengan noda-noda yang memalu dan menggerunkan.

Antara unsur-unsur yang dapat dikesan pada pilihan kecil Ijol selain daripada elemen biasa; sogokan, rasuah pengundi dengan projek, sekat dan ugutan, ialah elemen gansterism. Kalau diperhatikan kepada gelagat anak-anak muda yang menjadi penyokong politik khsusnya BN itu, politik dan pilihan raya kita di masa akan datang bakal hitam.

Fenomena negatif ini perlu ditangani segera. Dalam hal ini para tokoh politik dan pemimpin perlu memantaunya. Mereka perlu mendidik penyokong masing-masing supaya bersikap profesional dan rasional sesuai dengan kehendak Perdana Menteri Malaysia dan bangsanya menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang!

Pihak SPR dan polis yang sekaligus bertanggungjawab mengendali dan menjaga keselamatan juga seharusnya memperbetulkan tindak tanduk mereka. Kita percaya kalau pilihan raya telus, jujur dan mengikut garis-garis yang ditetapkan kekcohan dan emosi meluap begitu tidak akan berlaku.