Sunday, November 16, 2008

Dirgahayu Tok Guru Bhg 1

Rencana Khas Sempena 18 Tahun Nik Abdul Aziz Jadi MB
Sejarah dan Kehebatan Seorang Agamawan

OKTOBER lepas genap 18 tahun Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 77 menjadi Menteri Besar Kelantan. Usianya ketika beliau mengangkat sumpah sebagai MB 59 tahun. Beliau dilantik menjadi MB Kelantan pada 21 Oktober apabila PAS berjaya menumbangkan kerajaan BN pimpinan Muhammad Yaacob pada pilihan raya umum ke - 8. PAS yang bergabung dengan Parti Melayu Semangat 46, Hamim dan Berjasa membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menyapu bersih kesemua 39 kerusi DUN dan 13 Parlimen.

Kedudukan kerusi mengikut parti ialah, kerusi DUN, PAS 24, Parti Melayu Semangat 46 13, masing-masing satu Hamim dan satu Berjasa. Manakala untuk kerusi Parlimen, PAS, 6 kerusi dan Semangat 46, 7 kerusi.

Perlantikan itu sesuai dengan kedudukannya sebagai Pesuruhjaya Pas negeri Kelantan. Nik Abdul Aziz mengambil alih jawatan itu pada tahun 1978 daripada Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda yang melepaskan jawatan berkenaan dalam keadaan terdesak. Beliau menguasai parti sepenuhnya pada tahun 1982. Dengan kedudukan itu beliau mengemudikan PAS Kelantan.

Perlantikan Nik Aziz itu melakar sejarah buat dirinya sendiri, kepada PAS dan rakyat negeri Kelantan seluruhnya kerana beliaulah satu-satunya Menteri Besar yang berlatar belakangkan pendidikan agama bergelar ustaz. Beliau mendapat pendidikan peringkat tertinggi di Darul Ulum Deobond India dan Azhar Mesir dengan memperolehi ijazah dan master dalam bidang Bahasa Arab dan Perundangan Islam.

Perlantikan Nik Aziz itu merupakan Menteri Besar Kelantan yang ke-7 dan yang pertama dari kalangan agamawan atau berpendidikan agama yang mampan. Menteri Besar Kelantan pertama ialah Tengku Hamzah Zainal Abidin, (1947- 1953) kedua, Nik Ahmad Kamil, (1953- 1958), kedua mereka merupakan Menteri Besar sebelum Merdeka dan dari Perikatan.

Menteri Besar ketiga ialah Ishak Lotfi Omar (1959 – 1964), keempat, Mohd Asri Muda (1964 – 1974), kelima, Muhammad Nasir (1974 – 1978), manakala keenam Muhammad Yaacob (1978 – 1990). Keenam-enam MB ini berlatar belakangkan sekular dan tidak bergelar ustaz.

Jika dibandingkan dari segi jangkamasa (tempoh) ternyata Nik Abdul Aziz mengatasi ke semua bekas MB itu. Keenam MB tersebut berkhidmat tidak sampai tiga penggal atau mencecah lebih sepuluh tahun. Mungkin rekod yang dimiliki Nik Abdul Aziz kini sukar untuk dipecahkan oleh sesiapa saja menjadi MB Kelantan selepas ini.

Perkhidmatan Nik Abdul Aziz kini sudah memasuki tahun ke 19 dan jika beliau berhajat untuk meneruskan perkhidmatannya sehingga pilihan raya akan datang beliau mungkin akan menyamai rekod perkhidmatan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

Sekiranya beliau akan mengundur diri menjelang pilihan raya ke -13 yang dijangka pada 2011 atau 2012 bermakna beliau akan menjadi MB selama lebih tiga dekad dan akan menjadi MB kedua yang lama berkhidmat selepas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang kini sudah berkhidmat selama 27 tahun.

Dalam pada itu kemunculan Nik Abdul Aziz menjadi MB ia juga secara tidak langsung memartabatkan golongan agamawan dan ulama. Kapasiti beliau sebagai ustaz yang kemudian dinobatkan dengan panggilan “tok guru” menjawat jawatan itu secara tidak langsung menaikan martabat dan darjat golongan agama di mata masyarakat.

Apa lagi kejayaan dan keberkesanan kepimpinan dan pentadbirannya membuktikan bahawa golongan agama – berpendidikan Islam, berbudaya jubah dan serban juga mampu mentadbir dengan baik. Sesungguhnya golongan agamawan tumpang merasa bangga atas kejayaan dicapai Nik Abdul Aziz.

Justeru kedudukan ataupun pandangan seorang kepada golongan ulama sebelum ini sudah berubah. Dengan kejayaan dan sejarah dicatat Nik Abdul Aziz, ulama sudah dilihat sebagai golongan yang mampu untuk menjadi pemimpin ataupun duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan golongan sekular dan profesional duniawi yang memonopoli jawatan dalam politik.

Tanpa disedari kedudukan dan kejayaan Nik Abdul Aziz juga telah menyuntik semangat kepada golongan Islam tradisional untuk menjadi lebih yakinkan diri sendiri dan bersaing sama dengan golongan sekular yang sering mengakui mereka lebih layak dan pakar mentadbir.

Dalam konteks ini kejayaan Nik Abdul Aziz itu bolehlah dianggap MB itu adalah tokoh pencerahan semula era ulama dan Islam yang sekaligus merungkaikan ikatan rasa rendah diri dan inferiority compleex dari kalangan lulusan agama.

Rahsia kejayaan dan keutuhan pengaruh.

Kejayaan dan ketahanan Nik Abdul Aziz menduduki kerusi itu tanpa pergolakan ialah hasil gabungan dua unsur; personalitinya dan polisi dan dasar Islam yang dibawanya. Nik Abdul Aziz tidak hipokrit dengan Islam dan tegas serta mengemukakan pendekatan Islam dengan mudah (bukan paksaan) yang dicerminkan menerusi akhlaknya sendiri. Beliau seorang hamba yang muslim dan pratikal, pemimpin yang mutaqim.

Kehidupannya yang zuhud, bersifat tawaduk, merendah diri dan tidak bertukar bulu selepas menjawat jawatan MB, menyebabkan rakyat teruja dan terpesona serta melihat beliaulah pemimpin yang memimpin dengan akhlak dan bukan dengan slogan. Yang bersedia mengkesampingkan kepentingan diri dan taqwa kepada Allah.

Ini sesuai dengan fitrah Islam dan juga apa yang ditunjuki oleh Junjungan Agung Nabi Muhammad s.a.w. yang menawan dan menakluki musuh dengan akhlak dan bukan harta benda, kehebatan, kuasa dan keegoaan dengan duniawinya.
Sebaik beliau menjadi MB beliau terus memperkenalkan beberapa polisi dan pendekatan baru ala beliau – stail Nik Abdul Aziz. Beliau merubah secara perlahan-lahan sehingga mereka yang tidak fokus kepada pentadbirannya tidak akan merasai perubahan demi perubahan yang dilakukan oleh beliau secara evolusi yang mengesankan.

Perubahan itu bermula dari bawah; dari perkara sekecil-kecilnya seperti amalan tidak membazir eletrik dengan menutup suiz lampu sewaktu rihat sehinggalah kepada melarang pemberian hadiah atau cenderamata dan seterusnya kepada penghapusan judi dan maksiat dan pemansuhan pemberian kawasan balak secara tertutup.

Dalam menerapkan stail pemerintahannya, Nik Abdul Aziz seorang yang bijak dan bangkit (responsif) kepada suasana semasa. Tindakannya juga halus dan bersahaja menyebabkan masyarakat tidak ditimpa satu kejutan budaya yang dibawa itu kandatipun sesetengahnya agak baru dan kontras dengan nilai semasa. Ini berlaku kerana sebelum beliau menerapkan sesuatu pendekatan baru kepada diri orang lain, baik rakan politik atau kerajaan beliau terlebih dahulu mengamalkannya untuk menjadi teladan kepada umum.

Mengingati kepada tindakan atau kaedah Nik Abdul Aziz ini samalah dengan apa yang diperlakukan oleh Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda ingin menyuruh para sahabat mencukur rambut sebagai meraikan kejayaan termaterainya perjanjian Hudaibiyah. Rasulullah tidak menyuruh sahabat berbuat demikian sebaliknya beliau terlebih dahulu membotakkan kepalanya sehingga ianya kemudian diikuti oleh semua sahabat.

Antara perubahan awal yang dilakukan Nik Abdul Aziz pada tahun-tahun awal beliau menjadi MB ialah;

i. Tidak menerima sebarang pemberian hadiah atau cenderamata sewaktu mengadakan lawatan. ii. Tidak membeli kereta rasmi yang baru dan terus gunakan yang telah sedia ada.
iii .Memotong elaun MB sebanyan 45 peratus iaitu 40 peratus untuk kerajaan dan 5 peratus untuk parti.iv. Menghapuskan elaun berbuka puasa sebanyak RM15,000 setahun.
v. Menghapuskan elaun hari raya sebanyak RM30,000.
vi. Menjimatkan elaun keraian kedua timbalan MB sebanyak RM18,000.

Manakala mengenai polisi dan dasar kerajaan untuk menjamin keadaan sosial yang harmoni dan menepati kehendak agama tindakan hapuskan judi dan maksiat dilakukan dengan segera. Sebulan selepas menjadi MB, beliau mengumumkan bahawa perjudian toto, loteri dan nombor ekor dan apa juga bentuk perjudian dan maksiat diharam.

Selain itu beliau juga merombak tradisi sebelum ini dengan melantik bukan Islam / Melayu dalam PBT dan mengundang bukan Islam menghadiri majlis anjuran kerajaan atau parti. Cara ini adalah dakwah secara tidak langsung kepada bukan Islam untuk melihat keindahan, keadilan dan kesyumulan Islam.

Tindakan ini kecil dan bukan memerlukan proposal yang berjela-jela namun ia memberi impak besar dan menyebabkan orang melihat perubahan besar dalam pentadbiran. Dengan pendekatan itu juga menyebabkan masyarakat Kelantan dan diluar mengenali diri dan akhlak Nik Abdul Aziz. Pemotongan elaun keraian, hari raya, pengharaman judi, maksiat, arak dan sebagainya tidak dibuat oleh mana-mana MB tetapi dilakukan oleh beliau.

Sudah pasti dengan teladan itu menyebabkan ia memberi kesedaran atau menjadikan orang lain malu untuk berlebih-lebih dalam soal itu. Hasil dari tindakan itu hasratnya untuk membawa kebaikan kepada rakyat ternyata tercapai. Jika diperhatikan tindakan beliau berhikmah dan mempunyai mesej agar ia menjadi ikutan orang lain.

Adilnya Nik Abdul Aziz sebelum beliau melakukan perubahan ke atas diri orang lain beliau terlebih dahulu mengubah dirinya sendiri. Perubahan di luar dilakukan ke atas pemimpin Pas atau wakil rakyat kemudaian kepada kakitangan Kerajaan yang seterusnya akan terlaksanakan dalam komuniti.

Tarbiayah ke dalaman diusahakan. Pembentukan modal insan ataupun pembangunan insan telah lama diterapkan beliau malahan menjadi keutamaanya. Seperti mengadakan tazkirah di pejabat, majlis tadarus Quran di jabatan-jabatan atau agensi kerajaan, progam Ihya Ramadhan, sembahyang Terawih di lapangan terbuka dan sebagainya adalah program membersih dan menyucikan jiwa.

Nik Abdul Aziz seorang yang berkeyakinan kepada falsafah kebersihan perbuatan seseorang itu bermula dari jiwa yang bersih.

Dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan dan hubungan beliau sebagai pemimpin politik dan selaku MB dengan rakyat beliau senantiasa turun ke bawah. Lawatan demi lawatan bukan saja dalam waktu rasmi pejabat tetapi di luar pejabat. Jika dihitung waktu beliau berada di luar rumah (berjuang) lebih banyak daripada waktu di rumah. Hakikat ini jelas apabila setiap kali beliau keuzuran, demam, sakit dan sebagainya beliau merungut atau terkilan kerana tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang hamba.

Sikap ini menjelaskan beliau seorang yang konsisten kepada tugas dan tanggungjawabnya. Beliau juga jarang sekali mengambil cuti untuk berihat dan menggunakan peruntukan untuk melancung ke luar negeri. Kalau pun beliau mengambil cuti hanya untuk menunaikan umrah.

Beliau seorang juga tidak suka kepada protokol. Tidak ada protokol untuk menemuinya melainkan protokol itu ditetapkan oleh para pegawainya atas tujuan tertentu atau sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Kerana itu pintu pejabatnya terbuka seperti mana terbukanya pintu rumahnya. Dan pintu rumahnya pula terbuka seperti mana terbukanya pintu suraunya yang berdepetan (berhampiran) dengan rumahnya. Datanglah pada bila-bila masa beliau akan memberi ruang dan kesempatan menemui sesiapa saja atas apa juga tujuan. Ada kalanya mereka yang ke pejabat bukan saja untuk urusan kerajaan dan parti tetapi urusan peribadi seperti untuk mengambil air tawar (air doa) daripadanya.

Itulah antara rahsia ataupun fatwa mengapa beliau disenangi, pengaruhnya terus hijau melebar dan sekaligus dapat bertahan sehingga kini sebagai MB Kelantan.[d' kota kl 2:00 am 16/11/08]

5 comments:

Anonymous said...

persembahan terbaik
artikel tentang MB Kelantan TGNA serta kewibawaan beliau selaku pentadbir Negeri Di Bawah Bulan itu meyakinkan lagi sokongan massa Malaysia kepada kepimpinan ulama yang Membangun Bersama Islam.
Jika ada orang yg mencela TGNA dan kepimpinan beliau... saja aje lah. Mereka tu anti-Islam.

bagi hamba... rakyat negeri yg tidak menyokong kepimpinan TGNA kini (sementara dia hidup ni)..memang menempah soalah di akhirat nanti..." Kenapa kamu tidak menyokong jemaah Islam dan kepimpinan Nik Aziz?"

Susah juga nak jawab !

FathiMZ said...

meme susoh nak cari pemimpin lagu nie lonie....seorang ulamak yang mampu mentadbir dengan baik ... dunia dan akhirat.....track record yang bersih....utk jangka masa yang lama...

hazril said...

Salam saudara mso,

"Bila sudah jadi satu barulah boleh sepakat. Tetapi ini tidak mungkin berlaku. Orang Pas dan Umno masing-masing degil dan keras kepala."

ini petikan dari tulisan saudara..
Sudi kiranya saudara berkongsi pandangan,bagaimana caranya kita hendak satukan melayu ber'agama'Umno dan Pas ini..

Sudah menjadi kelakar pabila melihat mereka bertelingkah saban hari.

Masing2 hanya mengutuk & mengkritik apabila ianya sudah tidak berada di dalam parti,sedangkan ketika masih berada di dalam parti, maksum dan tidak boleh disentuh.Cth- Anwar di mata Puak Umno dan Ezam di mata puak PR.

Anonymous said...

Salam MSO...

Satu kupasan yang cukup menarik dari MSO untuk tatapan kita semua..

Bukan nak puji tapi ini lah reality penulis yang memahami erti sebuah perjuangan seseorang. Benar tetap benar dan salah tetap salah.

Menegur bukan bererti kita benci tapi kita sayang kepada seseorang itu dan Puji bukan bererti kita bodek tetapi puji adalah kebenaran yang harus diketahui oleh seseorang.

sebab itu "Hanya Kita Memahami Diri Kita".

Tahniah sdr MSO, teruskan menulis semoga apa yang sdr coretkan menjadi inspirasi orang ramai untuk terus mendekati Kempimpinan Ulama' dan PAS Khususnya.

NH Shah Alam.

khadijah said...
This comment has been removed by the author.