DALAM blog jinggo dipostingkan beberapa keping foto sekumpulan orang Melayu beragama Islam telah mengadakan tunjuk perasaan membantah pembinaan kuil Hindu. Tidak jelas di mana berlaku tunjuk perasaan itu. Banyak banner dipaparkan dengan macam-macam tulisan dan kata-kata sinis yang ditujukan kepada pihak mana, tidak juga berapa jelas.
Melihat kepada sebahagian orang yang menunjuk perasaan itu semacam selepas solat Jumaat saja. Tunjuk perasaan sudah menjadi perkara biasa di negara ini. Sudah jadi macam Indonesia pula. Begitu juga dengan sepanduk dan kata-kata nesta dan protes yang beraneka ragam. Tetapi dalam tunjuk perasaan oleh sekumpulan Melayu beragama Islam ini ada kelainannya.
Selepas beberapa orang memberi ucapan upacara mengusung kepala lembu di lakukan. Melihat paparan ini macam dalam satu acara keagamaan orang Asli di Afrika pula. Ke mana ia hendak dibawa kurang jelas sebab tidak ada catatan dalam posting berkenaan. Mengenang kepada lembu ini juga teringatlah saya kepada kepala babi yang digantung di pintu pagar rumah orang dan juga kepada kepala babi yang diletakkan di dalam surau di sebuah universiti tidak lama dulu.
Apakah tindakan mengusungkan kepala lembu itu diambil ilham atas perbuatan mempermain-mainkan kepala babi itu? Apapun sebagai orang Melayu yang sudah pasti beragama Islam rasanya kurang manis bermain dengan kepala haiwan itu. Apa lagi meniru perbuatan yang menjijikkan dan sangat terkeji itu.
Bukan kerana haiwan itu merupakan haiwan suci bagi satu agama, tetapi kepala lembu yang disembelih itu juga sebahagian daripada makanan manusia (Islam) yang halal apakah elok kalau makanan diperlakukan begitu? Apakah sudah tidak ada cara lain untuk dibawa bersama tunjuk perasaan itu? Diharap mereka dapat memikirkan semula tindakan mereka.
Di bawah ini dipostingkan salah satu daripada beberapa keping foto yang dipaparkan dalam blog jinggo berkenaan untuk tonton penjenguk blog merah tinta. Fikir dan renunglah sendiri apakah perbuatan ini bertepatan dengan akal budi Melayu beragama Islam dan sesuaikah ia dilakukan dalam bulan Ramadhan al mubarak ini.
Harapnya para ulama terutamanya Mufti Perak, Harussani Zakaria dan penceramah Ridhuan Tee Abdullah atau Mohamad Ravi Abdullah dapat memberi pandangan mengenai hal ini seperti mana sepatutnya. [wm.kl 6:00 am 29/08/09]
Kepala lembu ini dibawa bergilir-gilir dan diletakkan di hadapan pagar sebuah bangunan yang tidak jelas.
3 comments:
Dibawah ini komen dari Ketua Pemuda UBN Sdr. Khairy Jamaludin mengenai isu ini. Pada saya ulasan cukup bernas. Walaupun kita berlainan anutan politik tetapi kalau ianya baik untuk masyarakat sejagat, tidak salah untuk kita menerimanya.
-Nh Shah Alam-
**********************************
Pemuda Umno, BN kutuk perarakan kepala lembu
Aug 28, 09 10:02pm
Pemuda Umno dan BN mengutuk sekeras-kerasnya perarakan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor, dalam demonstrasi membantah cadangan pembinaan kuil Hindu dekat Seksyen 23, Shah Alam, petang tadi.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan tersebut tidak langsung menyerlahkan sensitiviti dan penghormatan wajar terhadap agama dan kepercayaan orang lain yang perlu demi keharmonian antara kaum.
"Sebaliknya, tindakan emosional dan menghina sebeginilah yang boleh membawa kemudaratan kepada keamanan negara," kata Khairy yang juga pengerusi Pemuda BN, dalam satu kenyataan hari ini.
"Sekiranya mereka yang melakukan perarakan ini tidak senang dengan cadangan pembinaan kuil di kawasan perumahan mereka pun, mereka sepatutnya menggunakan saluran yang sedia ada untuk meluahkan ketidakpuashatian sejajar dengan semangat sivik atau kemasyarakatan.
"Saya sedar bahawa memorandum membantah cadangan tersebut yang dihantar oleh Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Kuil Seksyen 23 kepada ADUN Batu Tiga barangkali tidak mengubah keputusan kerajaan Selangor untuk meneruskan rancangannya membina kuil tersebut, berdasarkan kenyataan menteri besar.
"Namun, ini bukan satu alasan untuk wakil-wakil penduduk berdemonstrasi dengan cara menghina seolah-olah negara kita tidak bertamadun. Kalaupun kemahuan mereka tidak tercapai, sensitiviti terhadap agama dan kaum lain tidak boleh sekali-kali diketepikan," katanya.
Yang menyedihkan, kata Khairy, ialah demonstrasi itu diadakan atas nama NGO Melayu selepas solat Jumaat di bulan Ramadhan al-Mubarak.
"Saya percaya ini bukanlah tindakan yang diterima di sisi Islam, agama yang memuliakan kesederhanaan dan menghormati kepercayaan orang lain," tambahnya.
Boleh bangkit kemarahan
Sebaliknya, tegas Khairy, tindakan tersebut barangkali akan mengakibatkan kemarahan orang Hindu.
"Orang Melayu Islam yang menganjur dan terlibat dengan demonstrasi ini sepatutnya fikir sejenak, apa perasaan mereka jika cadangan membina masjid di kawasan bukan Melayu - yang memang pun berlaku - membawa kepada golongan bukan Melayu membakar dan memijak al-Quran?
"Tidakkah orang Melayu akan bangkit dengan kemarahan membara?
"Jika ya, tidakkah perarakan kepala lembu yang dipenggal itu tidak serupa hina? Di manakah semangat 1Malaysia yang wajar dipraktikkan terutamanya oleh orang Melayu Islam sebagai golongan majoriti negara ini?" soalnya.
Sehubungan itu, katanya, beliau mendoakan agar kelakuan petang tadi tidak akan membawa kepada sebarang insiden yang lebih serius.
"Jika ada yang menganggap agama Islam dihina atau diperlekehkan sepertimana yang berlaku dengan isu jualan arak di negeri Selangor baru-baru ini, saya akan bangkit mempertahankan maruah agama Islam.
"Tetapi saya juga akan bersuara sekiranya agama lain dihina. Islam mengajar kita untuk mengenali dan membuat baik dengan bangsa lain, sepertimana firman Allah SWT dalam surah Al-Hujarat, ayat 13:
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal."
Dan surah Al-Kafirun, ayat 6: "Untuk kamu agama kamu, untuk aku agama aku". Maka budaya menerima kepelbagaian agama ini termaktub dalam kitab suci al-Quran."
"Kepada umat Islam, marilah sama-sama kita menghayati ajaran agama yang sebenar. Janganlah kita mencemari bulan Ramadhan al-Mubarak ini dengan tindakan dan perbuatan yang menghina orang lain. Salah tetap salah. Benar tetap benar," tegas Khairy.
Salam pak mso...itulah dia golongan yg menagku kononnya pembela melayu dan islam..tapi kalau nak tahu golongan mana kita boleh tahu dengan tindakan polis je...kalau polis biakan sahaja maknanya golongan itulah..yg syoknya pak mso kejadian tu berlaku depan SUK selangor dan berhampiran dengan balai polis..teruskan perjuangan melayu..perbuatan in secara tak langsung memperbodohkan usaha 1 m'sia!
Saya setuju dgn Khairy...cumanya skrg ni sy trtanya2 blk apa respon kita waktu kepala babi diletakkan dalam surau ari tu? Adakah sehangat ini?
Post a Comment