Kemunafikan Pemimpin Melayu Islam
DI DALAM biara atau masjid, surau, atau pun bila berbicara di majlis-majlis berbau keagamaan, pemimnpin politik tampil sebagai jaguh agama. Muncul sebagai pejuang Islam nombor wahid. Dibacalah berangkaian hadith-hadith dan ayat-ayat al-Quran untuk menunjukkan betapa kuatnya keimanan mereka. Begitu menyinarnya iltizam mereka kepada agama, iras-iras seakan rela syahid di medan juang adden. Seakan kalau mereka terpanah musuh ketika itu darah yang mengalir membentuk kalimah Lailahaillah macam cerita-cerita sufi dalam filem Hindustan.
Maka bersoraklah para pendengarnya, banggalah dan kembanglah dada dan merindinglah bulu roma di lengan dan bulu tengkuk sampai ke janggut. Jika dikerah para pendengar itu, saat itu juga mereka turun ke medan jihad fisabilah. Maka bersahutan takbir yang dikemudikan oleh seorang juru tempik yang berada di hadapan penceramah, yang menempik takbir....!
Tokoh yang bercakap dan bersyarah bersembur air liur tadi pun dipuji dan diusung dan dinobatkan sebagap muhyiddin (pebela agama). Jika berkesempatan bersalaman, dipeluk dan dicium tokoh itu dan air serban dan jubahnya pun turut diminum untuk jadikan penawar menguatkan jiwa dan mengebalkan kulit tubuh untuk menghadapi pedang kuffar. Sebelum melangkah ke kereta pancuan empat roda akan dihulur sampul yang di dalamnya ada beberapa keping nota RM50 atau RM100.
Itulah warna dan senario yang dapat dilihat bila pemimpin berada di pentas syarahan mereka. Tetapi bila turun ke bawa lain sekali jadinya. Bila berhadapan dengan ujian dan masalah, dengan mehnaj, berbeza jauh dengan ketika berada di pentas. Mereka jadi macam anak ayam kesejukan disimbah hujan. Jiwa kental mereka untuk menegakkan Islam, menentang kemungkaran ghuyup dan lunyai.
Usahkan berdepan dengan Yahudi, tetapi bila berdepan dengan rakan politik yang yang bukan sesama Islam pun sudah cukup melemahkan mereka. Nada cakapnya tiba-tiba jadi berubah, dari suara rimau sebelum ini kepada suara burung hantu bisu.. Mereka bukan pun mengeluarkan senjata tetapi cukup setakat meninggikan suara saja, akan diakur dan dituruti atas alasan kemanusiaan. Iya kemanusiaan politik gilakan kuasa.
Topik perbicaraan pun bertukar daripada menceritakan soal-soal agama kepada soal-soal dunia semasa, soal perpaduan membina masa depan negara dan sebagainya. Soal untuk angkat pedang sudah tidak ada lagi. Apa lagi bila sesekali rakan Islam menjadi tiong meniru-niru membaca ayat Quran ataupun berkokok memberi salam dan berhipokrit dengan selendang di kepala dirai dengan menyembelih tujuh ekor unta dari padang pasir.
Inilah hakikat yang berlaku? Hakikat yang perlu disedari dan difahami oleh semua orang Islam dan Melayu. Bukan baru, fenomena ini dah lama dah. Apakah tokoh-tokoh seperti ini yang boleh diharapkan untuk membela Islam? Menjadi muhyiddin? Apakah dalam keadaan iman lemah dan senang digemulaikan itu yang boleh mereka perlakukan? Dan apakah tidak berdosa bagi mereka yang memberi undi untuk menaikan mereka?
Bukankah memberi undi itu memberi kuasa? Dengan kuasa itu sebagai wali untuk mereka melaksanakan apa yang dipersetujui? Dalam konteks ini ialah melaksanakan perintah Allah s.w.t. dan melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w. Jadi kalau mereka gagal melaksana itu apakah hukum dan tindakan yang harus dilakukan? Bukankah Allah mengecam mereka yang melakukan persubahatan?
Ringkas ceritanya, analogi ini untuk melihat apa yang berlaku di Selangor sekarang ini mengenai larangan penjualan arak secara terbuka di negeri berkenaan. Bukan maksud saya ingin menyatakan larangan atau tindakan itu kurang bijak, tetapi dilihat dari konteks orang yang memimpin hari ini ialah bangsa Islam. Pemimpin ini diberikan harapan dan kepercayaan untuk mendaulatkan Islam kerana dia Islam tindakan dan keputusan itu adalah satu yang sangat kontras dan menyakitkan jiwa.
Bagi orang Islam mereka memberi kuasa untuk pemimpin bukan saja menegakkan keadilan, tetapi kebenaran juga. Keadilan satu hal kebenaran satu hal. Dalam beragama, ia bukan sahaja mesti adil, tetapi wajib benar, haq. Keadilan tanpa kebenaran adalah batal. Kebenaran tanpa keadilan adalah zalim. Islam itu bukan zalim dan hampa. Islam itu padat dan realitas.
Menjual arak untuk keperluan bukan Islam, adalah keadilan sosial sebagai memenuhi budaya mereka. Tetapi tidak melarang dan membiarkannya atas kehendak penjual dan pembelian bukan yang haq, dan itu satu kesalahan dan dibenci dan dilaknat Allah. Salah bila perbuatan bertentangan dengan hukum Tuhan. Haq di dalam Islam ialah menegakkan kebenaran dalam keadaan apa sekalipun bukannya memberi keadilan sehingga dibenci Allah.
Mencegah ianya dijual samalah cegahan atau larangan Tuhan menghampiri zina (maksiat). Kerana maksiat itu membawa kecelakaan maka undang-undang (pencegahan) telah ditekankan. Begitulah dengan arak walaupun dijual bukan untuk Islam tetapi membiarkannya atas nama keadilan itu ia mendedahkan kecelakaan kepada orang Islam.
Sikap memberi kuasa kepada penjual itu telah memberi kesempatan kepada peminumnya. Apa yang patut difikirkan bila benda itu sudah tersedia (dijual bebas) ia mengundang pembeli yang tidak sepatutnya membeli. Fitrah manusia macam fitrah kucing dengan ikan tawar yang pantang melihatnya. Filsafat kucing jika ia tidak membaham ikan tawar itu maka ia sudah tidak menjadi kucing lagi.
Jika kucing memakan ikan tawar yang terdedah itu bukan salah si kucing tetapi tuan yang tidak melindungi ikan tawar itu. Jadi di sini salahnya mereka yang berkuasa dan diberikan kuasa untuk melindunginya tetapi sengaja tidak mahu melindungi rakyatnya. Kerajaan seperti ini samalah orang yang sengaja mendedahkan ikan tawar kepada si kucing itu.
Tindakan penguasa yang menyerahkan kepada penjual dan pembeli membuat keputusan mengenai minum keras itu adalah tindakan paling lemah sekali dan tidak menujukkan kesungguhan dalam membenteraskan maksiat dan kegiatan haram. Dari segi keimanan, imannya sangat lemah dan naif. Tiada kekuatan adden dalam dirinya. Jiwa agamanya sudah longlai.
Iya kita sering berbalik kata, inikan negara majmuk? Iya.. ini negara majmuk tetapi apakah kemajmukan ini menyebabkan kita harus bertolakansur tetapi tidak dipihak lain? Apakah kerana kita digembar gemburkan berkuasa dan menjadi tuan maka kita syok atas dendangan itu dan perlu bertolak ansur. Kita sudah berlebih-lebih dalam soal ini. Satu hakikat yang perlu diingati bahawa tidak semua majoriti itu berada dalam keadaan selesa. Majoriti bukannya segala-galanya. Majoriti bukan tanda kehebatan dan kemenangan!
Umat Islam yang memberi undi dan kuasa kepada pemimpin demikian tentu rasa kesal dan bersalah. Wajar mereka merasakan begitu kerana hasil kelonggran itu ia memberi kesan dan saham dosa buat mereka. Seorang yang merindui keimanan yang jernih tidak akan relah mendedahkan diri mereka terendam dalam lopak subahat yang kekeruhan.
Dari sudut lain, kegagalan menangan isu-isu bersabit dengan soal keimanan dan akidah (seperti arak, judi dsbnya) umat Islam dalam sesebuah negeri yang ada raja, dimana raja pula berkuasa dalam bidang agama menunjukkan kuasa sudah tidak memberi apa-apa erti lagi. Kuasa itu hanya berkuasa ats kertas saja. Maka eloklah kalau kuasa-kuasa mutlak turun temurun itu difikirkan untuk dicabut. Sebab kalau ia ada tetapi tidak digunakan tak ubah seperti keris pusaka yang tersarung tergantung di dinding rumah.
Jika ia sudah tidak berguna dan digunakan ia meyerabutkan mata memandang saja. Sebenarnya dalam hal ini kita tidak merasa kesal dengan kekuatan dan usaha musuh berbagai itu kerana kita sendiri tidak melindungi diri dan agama dengan kuasa yang terbekal kepada kita! [wm.kl. 7:45 am 09/08/09]
7 comments:
bila diberi kuasa di selangor, ini merupakan ujian paling getir untuk Pakatan dan PAS, orang melayu nak tengok macamana dua parti ni menjaga kepentingan semua kaum tanp[a menghakis kepentingan orang melayu dan juga kedudukan agama Islam
Pas yang kerap menyatakan kehendak untuk melaksanakan hukum Hudud sepatutnya mengambil inisiatif untuk memperjuangkan pengharaman jualan arak di kawasan majoriti melayu, barulah ada nampak putik hudud
kalau perkara sekecil ini tak boleh diperjuangkan dalam kerajaan campuran kerana asyik diherdik, dikutuk, dihina dan dicaci, saya rasa lebih elok PAS berusaha memenangi pilihanraya dengan sendiri dan membentuk kerajaan PAS tanpa campur aduk
jelas mereka yang tidak berpaksikan Islam tidak langsung menunjukkan walau sedikit minat untuk memberi ruang kepada perkembangan umat dan agama
inilah pendapat saya
Bila Tuan MSO sentuh perkara ini, teringat syair Abuya Ashaari yang dinyanyikan oleh kumpulan Qatrunnada bertajuk apakah benar engkau pejuang...
Apakah Benar Engkau Pejuang
Engkau ingin berjuang
Tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang
Tapi rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan
Engkau ingin berjuang
Tapi tidak begitu setia kawan
Engkau ingin berjuang
Tapi tidak sanggup berkorban
Engkau ingin berjuang
Tapi ingin jadi pemimpin
Engkau ingin berjuang
menjadi pengikut agak segan
Engkau ingin berjuang
Tolak ansur tidak engkau amalkan
Engkau ingin berjuang
Tapi tidak sanggup terima cabaran
Engkau ingin berjuang
Kesihatan dan kerehatan tidak sanggup engkau korbankan
Engkau ingin berjuang
Masa tidak sanggup engkau luangkan
Engkau ingin berjuang
Karenah isteri tidak kau tahan
Engkau ingin berjuang
Rumah tangga lintang pukang
Engkau ingin berjuang
Diri engkau tidak engkau tingkatkan
Engkau ingin berjuang
Disiplin diri engkau abaikan
Engkau ingin berjuang
Janji kurang engkau tunaikan
Engkau ingin berjuang
Kasih sayang engkau cuaikan
Engkau ingin berjuang
Tetamu engkau abaikan
Engkau ingin berjuang
Anak isteri engkau lupakan
Engkau ingin berjuang
Engkau ingin berjuang
Ilmu berjuang engkau tinggalkan
Engkau ingin berjuang
Kekasaran dan kekerasan engkau amalkan
Engkau ingin berjuang
Pandangan engkau tidak diselaraskan
Engkau ingin berjuang
Rasa bertuhan engkau abaikan
Engkau ingin berjuang
Iman dan taqwa engkau lupakan
Yang sebenarnya apa yang engkau hendak perjuangkan.
MB S'gor lupe BN pernah guna kaedah yg sama utk kempen JGN JUAL ROKOK PD REMAJA BWH UMUR oleh peniaga/kedai. Semua org pun setuju kempen tu tak berjaya walau dah berusia puluhan tahun.
Org yg belajar dari kesilapan itu bijak tapi org yg terus melakukan kesilapan walau dah nampak hasilnya itu pula namanya bodoh sombong! buta tuli!
Inilah masanya PAS menggunakan kuasa yang ada ditangan untuk "JUAL-BELI" dengan PKR dan DAP.......tiada guna memegang jawatan EXCO tetapi suara tidak didengar langsung.......sudah tiba masanya PAS menjadi menteri besar diSelangor.........ada caranya....fikirkan.....
Kesimpulannya Pak MSO, jangan terlalu percaya orang Pas dan Umno itu sangat berbeza. Saya sejak dulu tidak percaya adanya perbedaan ini sebab semua mereka lahir dari lubuk yang sama dan dibesarkan dengan cara yang sama. Kerana hendak berpolitik, konon satu mengatakan pejuang melayu satu lagi pejuang Islam. Konon saja..
sebagai tindak balas, saya mengesyorkan supaya semua exco pas ugut tarik diri dari kerajaan pr... tak guna kita di dalam tapi tak dapat bersuara.. kena ambil kira majoriti rakyat di selangor dan shah alam adalah muslim.. jadi isu penjualan arak perlu mengambil kira pandangan ramai..tka timbul soal toleransi kalau majoriti dah tak setuju..kenapa babi yang diharamkan kita boleh pandang jijik sehinggakan tidak boleh dijual di pasar terbuka.. sedangkan dengan arak kita tak merasa jijik sama..buatlah pasaraya khas jual arak jer...senang tak payah muslim masuk.. ini jual kat 711 seme orang boleh masuk...
Salam Tuan MSO...,
Ada yang bijak bersyair, tapi natijahnya entah apa-apa.
Yang pentingnya berjuanglah seikhlasnya kerana Allah. Berjuanglah dengan penuh keimanan terhadap ilmu wahyu yang Allah kurniakan kepada kita.
Berkenaan dengan Selangor ini, PAS perlu membuang "MELAYU" nya. Ambil dan berpegang teguhlah kepada "ISLAM" nya.
Kuasa di dunia tidak terbanding dengan "kuasa" Allah yang menurunkan wahyu agar kita patuh kepadanya.
Tiada gunanya kita berkuasa dengan kuasa yang berpaksikan "syaitan" kerana kerana Allah telah menjanjikan neraka jahannam kepada mereka yang berpaksikan syaitan itu.
Kalau akhirnya kita dihumban ke neraka jahannam...., tiada maknanya kotak undi itu walau sebanyak mana pun bilangannya.
Walahuaa'lam
Post a Comment