Friday, August 14, 2009

Sebelum Sahur

Apa Yang Boleh Dipelajari Dari Penduduk Kampung Buah Pala?

SERONOK dan saya angkat tangan kepada penduduk Kampung Buah Pala, Pulau Pinang kerana kental, degil dan berani mempertahankan kampung halaman mereka dari diroboh. Semalam sepatutnya kampung itu sudah pun musnah dan hari ini 23 keluarga di kampung itu sudah pun tidak berumah. Tetapi kerana semangat dan kedegilan mereka mempertahankan hak mereka kerja-kerja merobohkannya terhalang.

Katanya sempat juga berlaku keributan. Mungkin ada kes seorang dua penduduk yang emosional kerana terlalu sayangkan kampung mereka sanggup berdiri di hadapan 'kereta sodok' menghalang kerja-kerja meruntuhkan kampung mereka. Iya.. untuk mempertahankan tanah air dan rumah, mereka sanggup lakukan apa saja, hatta terpaksa menggadaikan nyawa.

Sekiranya mereka tidak bertindak begitu sudah pasti kampung Buah Pala itu sudah tinggal nama saja. Apa yang menariknya, penduduk kampung itu juga khabarnya telah mengumpul tahi lembu untuk digunakan sebagai senjata mengekang para 'penceroboh' daripada meruntuhkan kampung mereka.

Rupa-rupa ada gunanya juga ternakan itu dan di sinilah saya nampak penduduk kampung berkenaan bijak dan menyediakan apa saja untuk mempertahankan kampung mereka. Selain tahi lembu mereka juga menggunakan lawyer untuk bertindak dari segi perundangan. Kumpulan Hindraf juga turut sama campur tangan untuk berhadapan dengan pihak berkuasa politik. Saya fikir kalau tidak ada sokongan dari pelbagai pihak bukan senang untuk penduduk kampung itu mempertahankan kampung mereka.

Jadi kerana berbagai senjata dan persediaan itu tidak hairanlah kalau pekerja pihak pemaju yang datang dengan pelbagai kelengkapan untuk merobohkan kampung itu terpaksa balik dengan tangan kosong dan berputih mata.

Semangat yang dimiliki oleh penduduk kampung itu (yang kesemuanya India) perlu dicontohi oleh para setinggan lain, terutamanya orang Melayu. Sudah banyak setinggan Melayu di pinggir Kuala Lumpur kampung halaman mereka dirobohkan tanpa ada apa-apa halangan. Mereka hanya panas pada permulaan saja lepas itu sejuk jadi macam tahi air moner.

Berbeza dengan penduduk kampung Buah Pala itu. Sejak awal hingga akhir mereka bangkit mempertahankan 'hak' mereka. Mereka bukan saja angkat sepanduk tetapi turut berhimpun di depan pejabat 'Umur Ibnu Aziz' (Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng). Dengan kejadian semalam sudah tiga kali ia ditangguhkan.

Semangat itulah yang sepatutnya ada kepada orang Melayu dalam mempertahankan hak dan kepentingan mereka. Kental dari mula sampai akhir tidak luyup di saat akhir. Ini tidak, bila ada tawaran atau janji mulalah mengendur dan lemah. Selalunya berlaku dalam masyarakat Melayu (setinggan) mereka tidak kerjasama dan kekurangan sifat degil alias biadap. Tidak sepakat dalam mempertahankan hak mereka serta lebih bersikap individualistik.

Sebagai contoh setinggan di Kampung Puah, Kuala Lumpur. Mereka menduduki kawasan itu sejak hampir 100 tahun mewarisi pusaka nenek moyang mereka. Mulanya mereka bersatu mempertahankan kampung itu. Tetapi kesatuan itu akhirnya lerai dan relai. Ia ranap apabila ada dua tiga setinggan yang jadi ketua mula menerima tawaran ataupun mengaku kalah. Parti Umno yang menjadi tunggak memperjuangkan kampung berkenaan juga tidak dapat berbuat apa-apa. Umno hanya jadi tunggul dan pantong saja.

Sikap inilah menyebabkan kelompok setinggan Melayu jarang mendapat hak mereka. Orang Melayu cepat mengalah dan berputus asa. Berbeza dengan masyarakat India seperti di kampung Buah Pala itu. Mereka akan bermati-matian mempertahankan apa yang mereka merasakan itu hak mereka. Mereka tidak peduli kepada undang-undang apa yang penting nasib mereka.

Berbalik kepada kampung itu selama manakah ianya akan kebal? Apakah penduduk kampung itu akan mendapat ganjaran setimpal dengan apa yang mereka lalukan? Itu tidak penting, yang pentingnya mereka sudah berjaya menjadikan hak milik tanah Koperasi Pegawai Kerajaan itu sebagai hak mereka setidak-tidaknya untuk beberapa hari lagi. Semua itu ialah kerana kegigihan, kesungguhan dan kedegilan mereka dalam mempertahkan bumi yang mereka merasakan hak mereka itu.

Sesungguhnya setinggan Melayu dan orang Melayu negara ini patut belajar daripada penduduk Kampung Buah Pala itu dalam menuntut dan menjaga hak yang jelas menjadi milik Melayu sejak turun temurun. Orang Melayu juga perlu merasa malu dengan apa yang dilakukan oleh masyarakat India di kampung Buah Pala itu. [d'kota kl 2:35 am 14/08/09]

4 comments:

Anonymous said...

Assalammualaikum Pak MSO,
Nak tambah sedikit.
1) Kampung Berembang (kes mahkamah masih tertangguh semasa dirobohkan, keputusan mahkamah mengatakan penduduk ada hak, jadi bagaimana dgn rumah mereka?) Gambar Majlis perbandaran menendang perempuan, kanak2 masih terpahat diingatan saya. Majlis perbandaran berbuat demikian hanya kerana diberikan sebungkus nasi ayam? Dimanakan nilai kemanusiann?
2) Kampung Pletong (Johor),
3) Kampung Sg Penchala yang bertebaran akibat pembangunan yang tidak menguntungkan orang melayu
4) Kampung Abullah Munsyi (kampung pertama di Kuala Lumpur tak silap saya)
5) Kampung di Hulu Kelang berdepan dengan Zoo Negara. Orang Islam tidak ada sensitiviti bila mana surau dirobohkan dan tapak tersebut dijadikan tapak used car, kini dibangunkan menjadi barisan kedai bernilai jutaan ringgit.
6) Kuarters kerajaan di Jalan Ampang dan tempat lain dijual oleh "kelicikan" TDM dan Daim dengan nilai jutaan ringgit. Duit mudah, bukannya satu bentuk perniagaan.

Tuan Khemah said...

Keazaman dan semangat kental sahaja tidaklah cukup sebagai benteng dalam mempertahankan hak tempat dan tanah kehidupan.Sejarah setinggan moden yang seingat saya dengan nama terkenal Hamid Tuah pun tewas walaupun benteng pertahanan disokong olih ribuan mahasiswa pada sekitar tahun 1970an.Beberapa penempatan juga tewas menjelang PRU ke12 walaupun semangat dan keazaman mempertahan hak begitu tinggi.
Jelas bahawa peristiwa diatas dan Kg Buah Pala memerlukan lebih daripada semangat dan keazaman.Begitu juga aktiviti lain yang bersifat penentangan terhadap mereka yang punya kuasa.
Dari lapuran akhbar kita diberitahu penangguhan robohnya Kg Buah Pala buat sementara apabila pehak berkuasa,iaitu polis secara bijaksana masuk campur dengan menngadakan perundingan bagaimana,bila dan siapa yang perlu mengosongkan kawasan ini.
Di Malaysia sudah menjadi andaian bahawa dalam kes yang begini besar,polis tidak akan bertindak dalam apa cara sekalipun tanpa ada tangan tangan lain dibelakangnya.Politik penguasa tidak bolih lari daripada menggunakan segala kepayahan dan kesmpatan yang ada menunjukan kekuatan masing masing.
Bernasib baik Kg Buah Pala kali ini kerana ia berada dinegeri yang dikuasai pembangkang diperingkat pusat.Akulah jaguh rakyat kini berjaya ditunjuk olih mereka yang selama ini bersama penduduk bertempek mempertahankan Kg Buah Pala,dan mereka tentulah dari kerabat UBN.Tambah pula beberapa media online melapurkan,tiada orang kerajaan negeri sewaktu mereka masih diperlukan.

AlHadi Tok Ayah Su (atas) said...

salam hormat !

Persaolannya siapa yang berhak dan siapa pula yang menafikan hak ? mengikut ajaran agama islam mengatakan "barang siapa yang menghidupkan tanah yang mati maka dialah berhak keatasnya" (maksud hadith).

Disamping itu orang islam bolih membahagi bahagikan untuk mempersakai harta pusaka kepada keturunan selepasnya.Jika pada orang yang bukan islam pula bagaimana?

Kita bukannya rasis atau perkauman?kita lihat apa yang dilakukan kepada penduduk penduduk bukan islam mekah setelah islam memerintah? adakah hak atau harta mereka mereka itu dirampas?

akan tetapi ada juga hujah agama islam mengatakan harta dari orang orang kafir zimmi bolih diambil mengikut kadar kadar tertentu walau bagai mana pun tidaklah sehingga bolih menyusah dan membebankan mereka... jadi fikir fikir kan !

john said...

hah..kesimpulannya ginilah..kalau setinggan tu orang melayu, dah lama dah kena..tapi ini kaum lain di negeri bukan umno sebab tu lah dia tak berani..tapi kalau bercakap pasal pembela melayugolongan inilah yang berlebihan. soalan? namakan golongan itu?..cuba hayati lagu 'warisan' btn anda akan jumpa pengkhianat sebenar iaitu golongan melayu yang menjual melayu.