Berapa Butir Peluru Yang Akan Diterima MCA
KONGRES Ekonomi Cina semalam telah meminta supaya ekuiti 30 Bumiputera dalam semua sektor dikurangkan. Permintaan itu merupakan salah satu dari 12 deklarasi yang diluluskan dalam kongres berkenaan. Begitulah laporan sebuah portal berita. Rujuk sini: Tidak ada ulasan atau laporan penuh dalam akhbar-akhbar arus perdana dan juga televisyen Malaysia hari ini. Kenapa?
Apakah akhbar arus perdana atau televisyen Malaysia bimbang laporan itu boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu kepada MCA. Ianya sensitif. Begitukah?
Kalau iya, sekali lagi akhbar tidak bersikap profesional dan cuba melindungi gajah di balik daun lalang kering. Akhbar menyiarkan laporan dan bahan-bahan terpilih saja walaupun perangai itu tak ubah seperti menyembunyikan demam denggi dari pengetahuan umum.
Saya membaca Mingguan Malaysia yang ditebitkan oleh Utusan Melayu Sdn Bhd pagi ini. Selalunya akhbar terbitan Utusan Melayu cepat latah jika desakan itu dibuat oleh pemimpin DAP atau PKR atau Pas. Tetapi nampaknya MM jadi lembab atau terlepas pandang kalau desakan itu datang dari MCA. Mata wartawan mereka jadi kabur dan tangan editornya lemah untuk menggarap cerita. Kenapa?
Kini saya sedang menanti komen dari jaguh-jaguh pejuang dan pembela Melayu berperut buncit dan kepala botak. Mungkin esok mereka akan mengeluarkan kenyataan, menyelar MCA dan presiden, Chua Soi Lek. Saya juga sedang menunggu berapa butir peluru lagi yang akan dihantar kepada MCA. Tentu banyak butir peluru yang sedang dibungkus untuk dikirimkan kepada lebih 500 para perwakilan kongres. Mungkin persis para ahli Bakti membungkus kueh raya untuk dikirimkan kepada polis dan tentera.
Juga saya tunggu apakah esok atau petang ini ada laporan polis terhadap MCA atas tuduhan menghansut? Saya tunggu. Saya pasti kalau permintaan itu dibuat oleh Lim Kit Siang atau anaknya Lim Guan Eng, beratus laporan polis telah dibuat hari ini. Dari Perlis hingga ke Kalimatan lah.. Berderet anak muda Melayu yang diupah sebungkus kotak kurma akan berhimnpu dihadapan balai polis. Siap dengan kain lilin wara merah tercatat perkataan Peribumi Perkasa.
Jelas sekali desakan dan permintaan MCA itu tidak diperbuat apa-apa. Walhal desakan itu adalah mesej jelas dari kaum Cina terhadap kerajaan pimpinan Najib berslogankan 1 Malaysia. Mungkin perbuatan mereka tidak salah kerana menepati slogan 1 Malaysia. Tetapi yang menjadi persoalannya kenapa kalau DAP desak atau Cina di luar BN desak Melayu Umno jadi pening seperti kucing kehilangan anak dan kemabukan darah? Jadi begitu berani sekali tak ubah macam Jebat derhaka?
Orang Cina sangat berterus terang dalam politiknya. Hanya orang Melayu saja masih berhati-hati dan berfikir panjang dan menimbang itu dan ini, malu alah dan takut untuk membaca sejarah bangsa dan negara. Semuanya dilakukan demi persahabatan. Kadang orang Melayu tidak sedar beliau memelihara musuh dalam selimut. Orang Melayu hanya tahu berkata, biadap, jangan bermain api, jangan usik sarang tebuan dan macam-macam lagi tanpa tahu erti dan takrif tindakannya.
Sepatutnya orang Melayu juga bersikap seperti orang Cina. Bukan saja berterus terang dalam menuntut hak tetapi juga harus bersatu padu. Apakah pernah kita dengar kongres ekonomi Melayu meminta supaya kelonggaran berlebihan kepada kaum Cina ditarik balik?
Penguasaan kekayaan kaum Cina dikawal dan sebagainya. Tidak! Sebaliknya kalau ada orang kita tersalah cakap yang hakikatnya fakta sejarah mengatakan Cina adalah pendatang, Melayu itu akan diherdik dan dimarah dan dinyahkan dari jawatan secara muslihat. Melayu itu akan dibunuh. Zaman raja bodoh membunuh Hang Nadim nampaknya kembali semula ke dalam politik orang Melayu.
Melayu harus belajar bagaimana orang Cina berpolitik. Tengok bila MCA atau Gerakan membuat tuntutan, DAP akan mendiamkan diri dan tidak membatahnya. Atas kepentingan bersama (kaum) DAP hanya mendiamkan diri saja dan menjawab no comment. Begitu juga kalau ada DAP membuat tuntutan demi kepentingan bersama MCA dan Gerakan tidak berkata apa. Itulah politik untuk membela kaum dan bangsa.
Untuk melihat sejauh mana keakraban orang Cina tengoklah pada majlis Hari Raya Cina. Mereka akan saling kunjung mengujungi antara satu sama lain. Tidak macam pemimpin Melayu (Umno dan Pas) yang terus meletakkan tembak Berlin di hati masing-masing dalam keadaan apa juga. Saking berpolitik orang Pas dan Umno terlupa bahawa tembok Berlin yang memisahkan dua ideologi di Jerman sudah lama dirobohkan, 8 November 1989.
Saya nak tengok juga berapa berani pemimpin Melayu berperut buncit menyanggah permintaan Cina itu. Apakah mereka jadi seberani menyerang pemimpin DAP. Ataupun hanya akan akur saja sebab kongres itu dirasmikan oleh perdana menteri, Najib Razak. Apa yang berlaku kelak akan diperhatikan umum dan mengenal kita sifat politik mereka sebenarnya.
Politik orang Melayu yang diwarisi oleh Pak Kadok menang sorak kampung tergadai hendaklah ditamatkan. Begitu juga politik Pak Pandir yang bodoh tetapi merasa cerdik hendaklah dibuang jauh jauh. Begitu juga dengan politik Lebai Malang yang tamak sana lepas sini buang, perlulah dilupakan. Dan begitu juga dengan politik Mat Jenin yang berangan-angan tinggi tetapi tidak ukur dengan kebolehan sendiri hendaklah dikambus.
Politik Melayu harus mencari nilai-nilai baru dalam dunia politiknya dan tidak terus terikut dengan corak dan stail politik Pak Kadok, Lebai Malang, Pak Pandir ataupun Mat Jenin. Buanglah, buang. Sayang KLCC puncaknya tinggi, tak tergapai tangan Melayu. Huh....huh.[wm.kl.11:00 15/08/10]
2 comments:
Salam.
Pedih, tajam, bisa yang menyengat bila baca pemikiran tuan ini. Tapi, inilah kenyataan yang terjadi. Pemimpin melayu tetap tidak berubah. Baik pemerintah mahupun pembangkang. Kita gagal untuk bersuara dengan benar. Tambah menyakitkan, pengikut2 pemimpin melayu ini pula menjadi terlalu taksub kepada pemimpin. Arah tujuan hanyalah untuk memastikan pemimpin mereka menjadi pemerintah. Pengikut2 ini lupa asal tujuan perjuangan adalah untuk agama, bangsa dan negara. Mereka lupa bahawa UMNO, PAS, Najib, Nik Aziz, Hadi Awang dan Anwar hanyalah alat untuk memastikan kesinambungan perjuangan mendaulatkan maruah bangsa dan Islam. Akhirnya alat2 ini pula yang ditaksubkan. Hairan sungguh dengan gelagat melayu melayu ini.
Kita la Melayu itu.Kita nak heran ke hape?..sbb kalau kita sendiri tidak mahu berubah maka Melayu2 lain akan sama mcm kita...kalau kita heran dgn gelagat Melayu maka kitalah tu.Apa yg dilontarkan oleh Tuan MSO perlu difikirkan baik oleh NGO, PERKASA, dan sesiapa juga yg pernah menyanggah idea DSAI sebelum ini.So bila adik PM melontarkan buah fikiran sebegitu maka jika tidak benar,PERKASA,
UMNO,NGO dan individu yg lantang membela DEB dan mempertahankan 30% ekuiti Bumiputera perlu segera bersuara.MCA telah bersuara menyatakan pendirian mereka/permintaan mereka. JANGAN jadi jaguh kampung..bila pihak pembangkang bersuara dgn nada yg serupa maka bertali arus repot polis dibuat,berduyun2 berbaris membuat bantahan,pihak polis tidak menghalang pun tetapi kalau 'time' pembangkang yg membantah,berarak mcm2 pulak halangan.Yg bantah itu Melayu,yg suh halang itu pun Melayu. Mana Berahim Ali,mana PERKASA, mana NGO jgn jadi ngo [ bengong] bila bersuara sekadar utk kepentingan pihak tertentu tetapi bila melibatkan sekutu sendiri semuanya menikus.PERKASA yg lantang mnegaskan membela Melayu kenapa diam mcm ayam berak kapur?..buat la perarakan,buatlah bantah utk menunjukkan mereka perjuangkan hak bumiputera...sebenarnya rakyat sudah lama sedar dan faham apa tujuan pihak2 tersebut berpiket,berdemontrasi,membuat laporan polis,tidak lebih daripada ingin menonjol diri dan menjaga populariti puak dan individu tertentu sahaja.bukan ikhlas utk membelas rakyat pun..
Org Cina dlm mendesak mcm2 mereka progresif membangunkan ekonomi bangsa mereka tetapi kita org Melayu cuma membangunkan ekonomi kelompok dan kroni sahaja.Bila pembangkan bersuara dan seolah2 mengancam kepentingan puak tertentu,kroni tertentu makan ramailah ingin jadi jaguh...bukan jaguh utk kepentingan rakyat tetapi membodek dan mmengipas bontot bos masing2..alaahaaiiiii Melayu.
Post a Comment