Friday, October 29, 2010

Bidasan & Bilihan Jumaat

Antara Fatmi Dan Ramzi
Dalam Mata Umno

KETIKA berada di tempat di lokasi persiapan perarakan calon Umno di Galas tempoh hari saya kesempatan memerhati lagak dan gaya para ahli dan pemimpin Umno. Paling ketara ialah bagaimana pemimpin Umno yang berkedudukan dan ada kuasa dihormati dan dikerumuni macam burung ketut (pungguk) dihurungi oleh sang burung-burung lain.

Mereka yang ada kuasa atau talian terus dengan sang penguasa ini nampak sekali dirai dan disanjung. Semua datang bersalam ataupun bertepuk bahu, bercanda menunjukkan kemesraan dengannya.

Berlainan dengan mereka yang tidak ada kuasa atau pun hubungan langsung dengan menteri atau perdana menteri. Atau lebih tepat dikatakan bekas. Mereka ini tidak dipedulikan lagi. Kalau bersalaman pun ala kadar sahaja dan tidak berlama-lamaan untuk bertanya khabar dan bergurau senda seperti mana dengan orang yang ada kuasa. Kalau bersalam dengan orang ada kuasa lama dan mahu pula menunjukkan yang mereka akrab dan rapat. Jika ada jurukamera lalu mereka akan bertengek dekat orang berkuasa itu untuk diambil gambar.

Untuk memberi gambaran ini saya mengambil contoh macam mana perbezaan layanan orang Umno kepada dua orang yang keduanya saya kenal dan baik dengan saya, Fatmi Che Salleh dan Ramzi Abdul Rahman. Dari segi pencapaian politik di Kelantan mereka ini lebih kurang saja. Fatmi adalah ketua bahagian Umno Kota Bharu, manakala Ramzi ketua bahagian Kuala Krai. Mereka kini hanya dibezakan oleh kedudukan, Fatmi selaku setiausaha politik perdana menteri manakala Ramzi pula bekas setiausaha politik perdana menteri.

Sebenarnya kehebatan dan kegahan yang dirasai Fatmi kini sudah dilalui oleh Ramzi. Aura ataupun sanjungan orang terhadap Fatmi kini sudah dikecapi Ramzi. Bagaimana kuasa yang ada kepada seorang setiausaha politik sudah dilaluinya. Tetapi ternyata sekali di antara penyandang dan bekas penyandang jawatan yang sama itu bezanya seperti Kutub Utara dengan Kutub Selatan, atau seperti ikan selayang dengan ikan aya.

Di lokasi itu saya memerhatikan tanpa di sedari kedua mereka. Sebaik saja Fatmi muncul di tempat perarakan itu semua orang berebut-rebut untuk bersalaman dengannya. Beliau diikuti macam anak ayam yang mengejar ibunya melarikan seekor cacing. Tidak cukup tangan Fatmi untuk bersalaman dengan setiap orang yang mendekatinya.

Kemunculan Rais Yatim di situ juga diatasi oleh kemunculan Fatmi. Saya nampak Rais tidak begitu dikerumuni oleh orang Umno.

Sebentar kemudian masuk pula Ramzi bersendirian. Tiada sesiapa mengekori sebagai pengawal atau pun jong dondangnya. Tidak ada siapa menyambut beliau. Seolah kemasukan atau kehadirannya tidak disedari. Mereka yang mengerumini Fatmi tidak beralih pandangan. Paling jelas Ramzi pula yang terkayan-kayan untuk mencari kawan ataupun cuba menyelitkan diri dalam kelompok itu elit itu, tetapi tidak begitu dipedulikan.

Setelah menyedari beliau tidak penting, Ramzi berjalan bersendirian. Dari kejauhan saya dapat merasakan betapa dia merasa tidak berguna dalam keadaan itu. Apa yang dilalui itu amat berbeza semasa beliau menjawat jawatan setiausaha politik. Ketika memegang jawatan itu, keadaanya samalah seperti Fatmi hari ini, tidak cukup tangan beliau bersalaman dengan para peminat yang semuanya menyimpan 'anak kerengga' dalam baju.

Apa yang saya saksi itu menjelaskan keadaan di dalam dunia Umno. Bahawa begitu sekali maruah dan darjat seseorang itu akan jatuh ke bumi kalau dia tidak lagi ada kuasa. Keadaan begitu hina sekali serolah-olah itik tidak sudu ayam tidak patut.

Kenapa ini berlaku? Jawabnya tidak lain kerana Umno tidak mengajar budaya menghormati sesama manusia sebagai hamba Allah. Tidak menghormati sesama manusia sebagai ahli Umno. Sebaliknya Umno membawa budaya, seseorang itu perlu dihormati bila ia ada kuasa dan kedudukan. Semua itu boleh ditafsirkan bahawa Umno adalah pertubuhan yang mengajar manusia menghormati orang kerana kuasa dan kedudukan bukan menghormati orang kerana darjahnya sebagai manusia atau ahli parti.

Jadi tidak hairanlah kalau ramai kalangan ahli Umno yang sudah tidak berkuasa merasakan mereka disisih dan dilupakan kemudian perlahan-lahan akan menginsutkan langkah mendeakti parti lain ataupun mengambil sikap bermain dengan cucu dan cicit di kebun belakang rumah. [wm.kl. 7:00 am 29/10/10]

5 comments:

ANAFAKIR said...

Budaya yang diamalkan dalam UMNO ialah "disanjung,dipuja,ditakuti lagi dihormati bila pemimpinnya ada kuasa,ada wang,ada pengaruh,dijauhi,dikeji,dicaci, dihina dan dipinggirkan sesuka hati bila tidak ada apa2.." Tengok sahaja kepada 2 bekas PM dari UMNO tu,Tun M dan Tun Abdullah.Mereka berdua tu sape heran?.Cakap2 mereka pun langsung tidak membekas kepada pemimpin yg sedang berkuasa..UMNO dah 'penganutnya' lebih melihat kepada kebendaan,kemewahan,kuasa dan kedudukan semata-mata.Soal agama,halal haram,rasuah dan sebagainya tidak seperti diamalkan PAS.Jauh beza..umpama langit dengan bumi.

Ryzal72 said...

Assalamualaikum Tuan,
BENAR sekali apa yg tuan perkatakan. REALITI antara yg di puncak dengan yang di rumput kering.
Wlauapapu, mcm dgn Mat Maslan?...hehehhe...
p/s: Jika boleh kita make nasi belauk sekali pada mana2 pagi...

ahmadyani said...

Aura pemimpin umno ialah pada kerusi [pangkat] yang didudukinya, bukan berada dalam dirinya. Bila kerusi atau pangkat itu diambil darinya, auranya juga hilang.
Aura pemimpin PAS ada dalam hatinya, tidak ada sangkut paut dengan kerusi yang didudukinya. Bila ada pangkat, auranya bergemerlapan. Bila pangkat hilang, auranya tidak padam.

mohd sayuti omar said...

Ryazal72 terima kasih. boleg saja... call saya.

Ustaz Haji Fikri Awang Al-Kelantani said...

Salam kepada semua mukmin...khususnya Tuan Haji MSO. Tidaklah salah dan mengaibkan jika demikian keadaannya. Sikap dan keperibadian itu sambung menyambung dan silih berganti. Hormat menghormati jika ada dan menguntungkan kepentingan diri. Hormat menghormati adalah dasar dan ajaran Islam. Mereka terdidik atas dasar, ajaran dan kefahaman kebendaan. Siapa yang boleh memberi dan menguntungkan kebendaan maka perlu dihormati, disanjungi dan diampui. UMNO adalah kelab elit atau kelab orang-orang kaya. Penyertaan rakyat miskin adalah alat untuk meraikan 'perlembagaan' semata tapi ternyata rakyat tanpa disedari adalah 'kasta' kelas terendah yang menjadi alat untuk menyampai tujuan dan matlamat pemimpin. Ingat !...hati-hati !...kebendaan boleh mengancam sesiapa, terutama kepada mereka yang mempunyai kuasa dan keRAJAan....juga yang sedang mengejar kekuasaan dan keRAJAan. Jika golongan Islam terperangkap dengan kebendaan maka tunggulah kehancuran yang lebih teruk dari golongan yang didakwa berkebendaan itu. Islam adalah matlamat. Kebendaan adalah alat. Hanya yang berjiwa dan berkefahaman mukmin haqqan saja yang selamat dengan adunan ISLAM dan BENDA. Tanpa kekuatan kemukminanlah yang menyebabkan hormat-menghormati, saling merendah diri dan sayang menyayangi kepada sahabat dan saudara jadi bermusim dan berada dalam kepura-puraan sepertimana yang digambarkan oleh Tuan Haji MSO. Semuga semua ini tidak berlaku dalam jamaah Islam kini dan masa depannya. Wallahu A'lam.