Tuesday, June 7, 2011

Menyimpul Harapan

Husam Perlu Mengemudi Jentera Pilihan Raya Pas

PENAKA musafir di padang pasir yang kehausan air, begitulah perumpamaan boleh dikatakan kepada Husam Musa apabila sebaik menang sebagai naib presiden Pas beliau terus mencampakan idea dan harapannya untuk mengatur pelan bagi memajukan Pas. Katanya (Pas) akan merancang dan menyusun program di semua sudut untuk meletakkan Pas dalam keadaan kondusif bagi menghadapi pilihan raya. Begitulah kira-kiranya dan diharap saya tidak tersalah mentafsir!

Dua tahun Husam meninggalkan Jalan Raja Laut, meninggalkan bangunan Pas yang pembelian diusahakan olehnya. Nasib kata orang, sebaik rumah siap dia terpaksa berada di luar, menikmati keindahan dari jauh dengan penuh kekangenan membelai jiwa.

Pejabat naib presiden yang baru siap dan dilengkapi dengan kemudahan terpaksa ditinggalkan apabila kalah dalam pertandingan merebutan jawatan timbalan presiden dua tahun lepas. Walaupun tidak ada siapa yang menghalang untuknya berkontor di situ, tetapi Husam semacam merasakan kekalahan itu satu ruang untuk dia bermahasabah dan mengungsi dari situ untuk mencari ketenangan jiwa.

Dan kemenangannya untuk menduduki semula kerusi naib presiden seolah-olah membawa pulang semula beliau ke rumah asalnya. Dia kembali kini saya percaya sesudah melakukan mahasabah dan istikharah yang banyak. Pengembalian kini samalah dengan kembalinya Hang Tuah yang ke istana raja Melaka selepas disembunyikan di Hulu Melaka oleh Bendahara Tun Ali.

Tidak dapat dibayangkan apakah yang sudah dilakukan dan kejayaan yang sudah dicapai dalam tempoh itu kalau dia memenang jawatan timbalan presiden dua tahun lepas. Mungkin sudah banyak perubahan dan kemajuan untuk Pas. Iya, walaupun dilantik menjadi Ajk dan memegang lunjnah pembinaan bangunan Pas, tetapi kerja itu tentulah tidak sepenuh jiwa dilakunya. Kata orang semangat untuk bekerja tidak begitu penuh bila mana tewas dalam sesuatu pertandingan yang dibumbui harapan menggunung.

Keadaan itu ditimpa pula dengan suasana politik Pas di Kelantan yang berombak dingin atau bertiup bagaikan angin semilir. Walaupun tidak kencang tetapi kedinginan angin semilir yang meliang lintuk turun dari bukit ke lembah cukup menyejukkan badan dan menikam ke sum-sum. Walaupun Pas Kelantan tidak berkedut sangat, tetapi suasananya tidak begitu lendek. Masalah kedutan halus yang boleh dianggap seni dan mencabar permain politik Kelantan perlu segera dilendek dan diuraikan kerana pilihan raya umum sudah menggamit tiba.

Di sini sejajar Exco kanan kerajaan Kelantan itu menyebut fasal menyusun pembangunan dan kemajuan untuk Pas, ingin saya mengongsikan sedikit idea bersama 'bekas' kawan saya ini. Mudah-mudahan didengarnya dan mendapat restu pula daripada Pas pusat. Apa yang saya perkatakan ini adalah dari kepingan hati yang jilah dan tulus.

Pada 12 Jun ini kepimpinan baru Pas - Dewan Harian akan buat pertama kali bermesyuart bagi membentuk barisan kempimpin sessi 2011 - 2013. Dalam mesyuarat itu presiden akan mencadangkan beberapa orang ahli jawatankuasa tambahan untuk dipersetujui oleh Dewan Harian. Selepas itu penyusunan dan pengemasan lunjnah akan dilakukan.

Serentak itu juga lantikan pesuruhjaya Pas negeri-negeri akan dibuat. Di sini saya tidak mahu bercakap fasal Pesuruhjaya tetapi ingin memberi fokus kepada satu cabang penting dalam Pas iaini mengenai pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pilihan raya adalah penting. Pilihan raya adalah destinasi terakhir kepada segala gerak kerja yang dilaksanakan oleh Pas. Dari sudut atau kaedah untuk mendapat kuasa bagi merealisasikan cita-cita Pas, pilihan raya adalah penentunya. Walaupun Pas kini mendapat sokongan rakyat, tetapi kalau jentera pilihan raya masih ditakak lama dan tidak ada pembaharuan baik teknik dan strategi gerakannya ia tidak menjamin kemenangan. Jentera pilihan raya sangat memainkan peranan penting dan utama. Dalam hal jentera pilihan raya ini harus dimantapkan lagi dengan idea-idea baru yang bernas dan bersifat kontemporari.

Iya memerlukan seorang kreatif dan tahu membaca masa depan olakan politik. Sorang yang strategis dan pakar perundingan yang pintar dan cemerlang. Seorang yang bijak memintas perangkap dan jerat musuh. Yang arif membaca tektik dan muslihat lawan. Dalam masa sama seorang yang pandai mengumpankan musuh untuk terjerut dalam perangkap sebelum diserahkan kepada sang algojo.

Apabila melihat keperluan ini, di sini saya melihat Husam adalah antara orang yang memiliki beberapa keistimewaan itu dan layak diberikan tanggungjawab untuk mengemudikan jentera pilihan raya. Sekali lagi disebut jentera pilhan raya bukan saja setakat membuat penculaan ala stail lama itu tetapi teknik-teknik lain yang lebih canggih, sistemetik dan juga memerlukan pembiayaan yang banyak. Untuk merealisasi ini saya yakin Husam mampu mencapainya kalau diberi kerjasama mantap oleh semua pihak.

Bukan bermakna Pengerusi JPP kini Abdul Halim Abdul Rahman sudah tidak laku dan diperlukan lagi. Tetapi pendekatan atau strategi yang digunapakai Abdul Halim sudah tidak relevan pada masa ini. Ianya sudah out of dated. Kalau kita insaf kegagalan dalam beberapa pilihan raya kecil lalu adalah disebabkan stail atau strategi yang lama yang diguna pakai sejak tahun 60-an lagi. Bagi memanfaatkan Abdul Halim beliau bolehlah dilantik sebagai penasihat JPP atau pun pengendalian kurus kepada pengawai JPP.

Sebenarnya banyak kalau hendak diperkatakan perubahan atau pendekatan yang perlu beralih dalam aspek ini dan saya yakin kalau ianya diserahkan kepada orang yang berkebolehan seperti Husam ia akan dapat meningkatkan martabat dan keberkesanan jentera pilihgan raya Pas. Kalau Mat Sabu penggerak massa biarlah Husam menyusun dan mengatur massa itu secara sistemetik menerusi JPP. Perlu diingat tidak ada guna sokonngan ramai kalau undi tidak jatuh ke kebok undi. Kombinasi antara dua kepakaran ini tentu akan memberi impak kepada Pas.

Saya rasa penyerahan jawatan itu bukan merugikan sesiapa apa lagi untuk menurunkan pangkat dan mengurangkan peranan sesiapa, tetapi atas satu tujuan dan matlamat meningkatkan daya kerjanya. Dalam hubungan ini apa yang sangat diharapkan, perlantikan itu nanti akan turut sama membawa perubahan kepada JPN Kelantan yang saya kira perlu diberikan tumpuan khusus.

Dalam hal ini Husam boleh memanggil semula rakan-rakan sebaya yang menjadi pemimpin pelapis di Kelantan, seperti Mohd Amar Nik Abdullah, Takiyuddin Hassan, Zulkefli Mamat serta adik-adik pemimpin muda Dr Mohd Fadzli Hassan, Nik Abdul Nik Abdul Aziz, Mohd Zaki Abdul Rahaman, Arifahmi Abdul Rahman dan lain-lain. Tenaga ini perlu digemblengkan untuk memastikan Kelantan dapat dipertahankan. Tidak molek kalau ada di antara tenaga di Kelantan di kesampingan kerana untuk berdepan dengan lawan semua perlu selangkah sederap. Zaman kita bergaduh atau ingin menunjuk akulah hebat ataulah hero rasanya sudah berlalu. Jadilah orang yang bijak di mana mencari masa cerlak waktu musuh rihat untuk bergaduh.

Saya berharap cadangan ini akan diberi perhatian oleh Prersiden khususnya dan Dewan Harian yang akan bersidang pada 12 Jun ini. Dan janganlah pula apabila saya mencadang Husam dan tidak yang lain ada menganggap tempua sudah bersarang rendah. Saya sesungguhnya berbuat sesuatu bukan untuk kebaikan diri tetapi untuk kepentingan bersama. Untuk mengenali saya dalam hal ini tanya diri anda jangan tanya diri orang di luar diri anda. [wm.kl. 11:00 pm 06/06/11]

7 comments:

hashim said...

Salam MSO<
Cadangan yang sungguh molek dan bernas.

Harap pimpinan tertinggi PAS dapat mengambil idea MSO ini untuk kebaikan
PAS juga.

Jangan disia-siakan sumber yang ada ini.

Juraimi Zainal said...

harapan agar saf kepimpinan baru ini lebih efektif & dinamis.. Kepelbagaian idea & kreative juga sgt2 diperlukan..

Abdul Razak said...

Mso mmg cukup profesional bila mmbincangkan hal hal dato husam...mmg kita tau hubungan mso & dato husam agak tegang (rujuk hikayat baju petak merah)...apa pon tuan peminat husam akan sronok mmbaca saranan tuan..!

Nor Hasin said...

Ulasan dan cadangan yang cukup baik dari MSO...

Saya tahu ramai pimpinan dan penyokong Dato' Paduka Husam membaca blog MSO sebagai rujukan politik. Saya harap mereka semua mengambil pendekatan yang positif demi kebaikan parti.

Ingat! Jalan ke Putrajaya bukan semudah apa yang dicakapkan, ianya memerlukan tenaga kerja dan kepakaran yang jitu untuk bersaing dengan UMNO/BN.

Sewajaranya Datuk Paduka Husam diberi tugas yang mencabar ini bersama Timbalan Presiden serta Naib2 Presiden yang lain untuk merialisasikan agenda Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya dalam PRU-13 nanti seterusnya menjadikan Slogan "Negara Berkebajikan" dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin..

abuhalipah said...

Itulah tanda kematangan Pak MSO dan sayang Pak MSO kepada PAS.

mnhisham said...

Saya sangat setuju sangat dengan cadangan ini. Betul...dunia sudah berubah, strategi lama tidak lagi boleh dipakai. Husam adalah terbaik untuk Pengarah Pilihanraya. Tenaga masih banyak, fikiran masih kreatif. Saya juga berpendapat jurufikir yang bagus di Kelantan hendaklah dipertimbangkan untuk menganggotainya. Saya setuju benar dengan cadangan MSO..

Abu said...

Salam..

Walaupun Husam 'bekas' kawan tuan MSO, tetapi cadangan beliau berjaya mengenepikan 'sengketa' antara mereka demi perjuangan yang lebih besar.

Setuju sangat dengan cadangan tuan MSO dan berharap pimpinan Tertinggi PAS bukan saja dapat menimbang cadangan ini tetapi merealisasikannya juga.

Ini lah juga harapan penyokong PAS pada keseluruhannya.