Monday, September 26, 2011

Sesudah Subuh

Kekeliruan Mengenai Hudud Dan Penyelesaiannya

RABU ini pimpinan Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat rutin mereka untuk membincangkan beberapa perkara berbangkit dan juga menyelaraskan isu-isu yang timbul baik oleh rakyat maupun oleh musuh mereka, UBN. Sudah tentu agenda utama dalam mesyuarat itu nanti membincangkan mengenai hukum hudud yang meledak kembali sehari dua ini.

Pertikaian menerusi kenyataan ex-parte oleh DAP terhadap penjelasan dan pengakuan Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tetap mahu melaksanakan hudud di Kelantan akan menjadi agenda utama. Ada kebimbangan di kalangan orang ramai khususnya mereka yang pro Pakatan Rakyat ekoran pertikaian DAP terhadap hasrat Nik Aziz untuk laksanakan hudud itu.

Sebenarnya mereka yang mempertikaikan kenyataan Nik Aziz itu tidak begitu faham atau buat-buat tidak faham mengenai status hudud dan juga status Nik Aziz sebagai orang Islam dan pemimpin. Kalau mereka faham nescaya cabaran sehingga memutuskan untuk meletak jawatan seperti mana kata Lim Guan Eng tidak akan berlaku. Sebuah laporan dipetik Guan Eng berkata pemimpin DAP akan melepas jawatan kalau hudud dilaksanakan.

Karpal Singh sendiri yang satu masa memperakui sudah tahu dan faham mengenai perjuangan Pas dan Islam, juga jadi keliru semula atau tergugah dengan permainan musuh yang berjaya mengheret isu hudud ke tengah padang politik. Keceluparan Karpal Singh dalam menyanggah Nik Aziz dalam keadaan buta maklumat dan rabun kefahaman mengenai isu itu telah menimbulkan masalah.

Bukan payah untuk memahami mengenai hukum hudud ini. Di sini saya menyimpukkan intipati apa yang berlaku seperti mana berikut;

1. Hudud terus dipolitikkan oleh Umno untuk memburukkan Pas dan mahu orang Cina membenci Pas dan dalam masa sama juga mahukan supaya orang Melayu kembali memberi sokongan kepada Umno. Umno tahu akan realiti mengenai hudud dalam konteks negara ini, sebab itu Udin anak Yassin mengakui dia (Umno) juga pada dasarnya menerima hudud. Tetapi kerana mereka mengira dengan mempertikaikan hukum Islam itu dapat memberi untung laba kepada mereka, maka mereka buat-buat lupa akan kewajiban sebagai umat Islam.

2. Nik Aziz sebagai orang Islam wajib membuat penegasan begitu, berhasrat melaksanakan hudud kerana kalau tidak beliau akan berdosa atas kedudukannya sebagai seorang Islam, tambahan lagi dia pemimpin. Setiap orang Islam wajib berazam melaksanakan hukum Islam di atas muka bumi ini. Azam paling rendah ialah dengan berdoa. Bagi Nik Aziz perjuangan bagi menegakkan hukum Allah adalah jihad fisabilillah. Apa lagi dalam usia yang sudah lanjut beliau tidak mahu cita-cita utama beliau itu terus disembunyikan kerana semata-mata untuk kepentingan material - kuasa politik. Paling dielakkan beliau tidak mahu menutup matanya tanpa menyebut perkara itu.

3. Hukum hudud bukan menjadi agenda dalam Pakatan Rakyat. Dalam persefahaman komponen itu hudud tidak dimasukkan sebagai agenda yang wajib dilaksanakan. Hudud tidak ada termaktub dalam Buku Jingga yang menjadi kitab muktabar Pakatan Rakyat. Kalau Karpal Singh dan pemimpin DAP lain membaca buku itu mereka tidak akan menemui perkataan hudud. Kebimbangan pemimpin DAP tentang hudud oleh masyarakat bukan Melayu adalah kesalahan mereka juga kerana tidak memberi penjelasan kepada bukan muslim.

4. Dengan apa yang berlaku maka jelas pemikiran pemimpin Pakatan Rakyat tidak matang, tidak masak dalam mengunyah beberapa isu tertentu. Mungkin di sinilah ada kebenaran tuduhan UBN mengatakan Pakatan Rakyat adalah perikatan yang rapuh dan tidak ada tunjang dan sendi yang kuat. Keadaan ini mencurigakan pakatan itu akan terus bercakaran dari masa ke semasa disebabkan ianya tidak matang.

5. Kekecuhan hukum hudud ialah kerana pemimpin Pakatan Rakyat tidak tahu mengunci mulutnya dan akan bercakap kepada sesiapa saja hatta kepada pihak musuh. Kelemahan dan sikap gatal mulut inilah menyebabkan isu hudud yang tenggelam timbul ini terus-terusan dijadikan isu. Wajar sekali kalau para pemimpin Pakatan Rakyat yang tidak lumat mengenai sesutau perkara mendimakan diri saja.

Makanya mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat Rabu depan patut mengambil konsensus yang tegas mengenai perkara ini agar ia tidak berbelit menjadi masalah sehingga menjejaskan sokongan orang ramai kepada Pakatan Rakyat. Sia-sia orang ramai memupuk dan membelai Pakatan Rakyat tetapi di saat-saat akhir ianya boleh dicaritkan dengan satu isu lapok saja iaitu hukum hudud.

(Catatan: Lapok di sini bukan hukum hudud tetapi fahaman Islam yang ekstrem).

Mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat nanti diharap dapat mengunci isu berkenaan agar ianya jangan diungkit-ungkitkan lagi. Kalau pimpinan Pakatan Rakyat gagal menguncinya maka selama itulah ia akan terus diungkit dan dibangkitkan, dan tidak mustahil kalau hudud itu menjadi punca kepada relainya pakatan itu satu hari kelak.

Untuk menyelesaikan perkara ini semua pihak harus rasional, terutamanya pihak bukan Muslim tidak mudah prejudis hasrat untuk melaksanakan hudud itu sebagai satu usaha menafikan hak mereka. Hukum hudud kalau boleh dianologikan ia tidak ubah seperti makanan tradisi yang menjadi kegemaran orang Melayu Islam, di mana kalau orang Kelantan ianya tidak ubah seperti budu, di mana makanan atau perasa ini kalau tidak ada ia menyebabkan hilang selera untuk makan. Kandatipun dia tidak makan budu tetapi kalau ada orang mempersendakan budu mereka akan 'murih'.

Kalau keadaan ini boleh difahami saya fikir hukum hudud tidak menjadi masalah. Dan sememangnyalah cabaran kepada orang beriman itu untuk menegakkan apa yang diyakininya dan menentang mereka yang cuba memusuhinya. Selamanya di antara muslim dan kafir tidak akan dapat duduk bersama kerana mereka mempunyai agenda yang bertentangan di antara satu sama lain. [wm.kl.8:07 am 26/09/11]

2 comments:

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum tuan. Agaknya di manalah silapnya dakwah kita pada non-muslim dan mungkin muslim juga.

Amalan solat, puasa, zakat dan haji serta amalan-amalan lain boleh diamalkan oleh orang Islam tanpa halangan dan larangan sama ada dari kalangan orang Islam terdiri dari UMNO dan PAS dan bukan Islam. Yang menghairankan bila sampai ke hudud orang UMNO dan bukan Islam cukup menentangnya dengan kenyataan-kenyataan separuh gila.

Kalau puasa, solat, zakat dan haji boleh diterima oleh orang bukan Islam kerana ia tidak terkena ke atas mereka maka sama juga kedudukannya dengan hudud dan ta'zir. Hudud dan ta'zir hanya terkena ke atas orang Islam sahaja dan langsung tidak melibatkan orang bukan Islam.

Ayat-ayat yang menyuruh perlaksanaan hudud juga bermula dengan "Wahai orang-orang yang beriman, ..." dan bukan "Wahai manusia, ..."sama seperti ayat-ayat untuk melaksanakan solat, puasa dan zakat.

Jadi, soalan saya, di mana silapnya dakwah kita sehingga keadaan ini terus berlaku dan mungkin tak sesuai kalau kita asyik menyalahkan UMNO semata-mata kerana kita memang tahu UMNO memang jahat. Kala kita hanya menyalahkan orang jahat maka bodohlah kita.

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum tuan.

Pembetulan. Dalam ulasan saya sebelum ini saya telah menyebut perkataan "ta'zir". Sebenarnya yang saya maksudkan adalah "qisas". yakni "hukum hudud dan qisas".

Terima kasih.