Bila orang bertanya saya mengenai kedudukan dan peluang Pas di Kelantan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang saya menjawab begini; setakat hari ini Pas masih mampu membentuk kerajaan tetapi bukan dengan majoriti lebih 2/3 tetapi dengan majoriti tipis.
Abdul Fatah Haron |
Di atas kertas bagi Pas mereka mempunyai 15 kerusi yang betul-betul sedap duduk. Ini berdasarkan kepada jumlah majoriti yang diperolehi dalam pilihan raya lalu. Kalau pun undi wakil-wakil berkenaan merosot hingga 20 persen mereka masih dapat mengawal kerusi mereka.
Kerusi-kerusi itu ialah; Kelaboran (2,212), Pasir Pekan (4,516), Chempaka (4,249), Panchor (3,437), Tanjung Mas (6,112), Kota Lama (5,206), Bunut Payung (4,341), Pengkalan Pasir (2,348), Chetok (2,670), Meranti (3,135), Salor (3,232), Pasir Tumbuh (3,403), Demik (4,799), Tawang (3,278) dan Bukit Panau (4,148).
Kerusi-kerusi ini boleh disifatkan sebagai kerusi paling selamat untuk Pas dan tidak mungkin dapat digugat oleh BN dengan perkembangan dan bentuk-bentuk kempen BN yang ada hari ini. Pas juga tidak perlu menukar atau menyalin calon-calon untuk kerusi ini kecuali ada sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.
Wan Ismail Wan Jusoh |
Terdapat 12 kerusi yang dimenangi Pas dengan majoriti antara 1,000 hingga 2,000. Kerusi itu ialah Tendong (1,656), Jelawat (1,022), Melor (1,616), Kadok (1,802), Gual Ipoh (1,663), Kemahang (1,833), Limbongan (1,633), Pulai Chondong (1,535), Temangan, (1,239), Mengkebang (1,903), Manek Urai (1,352) dan Perupok (1,270). Sebuah kerusi milik PKR, Guchil (1,000) boleh juga diambil kira.
Berdasarkan status itu Pas dengan mudah akan dapat mempertahankan kerajaan Kelantan. Ertinya paling busuk sehingga hari ini Pas akan memperolehi 25 kerusi ke atas. Sekiranya Pas dapat merampas sekurang-kurangnya tiga dari enam kerusi dimenangi Umno ini bermakna Pas akan berkedudukan selesa memperolehi 28 kerusi.
Terdapat tiga kerusi Umno yang menang dibawah 1,000 undi. Kerusi itu ialah Bukit Bunga (348), Pengkalan Kubur (100) dan Kok Lanas (550).
Pun begitu Pas tidak boleh bersedap hati. Pas perlu juga insaf dan sedar bahawa parti itu mempunyai 10 kerusi yang dimenangi dibawah 1,000 undi di mana kerusi-kerusi ini menjadi idaman utama Umno. Kerusi-kerusi berkenaan ialah; Wakaf Baharu (660), Gual Periok (733), Bukit Tuku (456), Galas (646), Selising (783), Semerak (831), Gaal (323), Kemuning (916), Air Lanas (795) dan Dabong (552). Kerusi-kerusi ini merupakan kerusi 'senak' buat Pas dan diletakkan dalam lingkungan warna kelabu.
Seandainya Umno dapat merampas kerusi-kerusi ini tanpa kehilangan enam kerusi dimiliki kini bermakna Umno akan memperolehi 15 kerusi. Pencapaian ini merupakan peningkatan kepada Umno di dalam pilihan raya nanti dan merupakan angka yang cukup munasabah buat masa ini.
Muhammad Awang |
Justeru Pas perlu bertindak segera mengambil langkah bagi memperkukuhkan kerusi-kerusi berkenaan. Salah satu tindakan yang patut dilakukan Pas perlu menukar wakil rakyat yang ada kini kepada muka baru yang lebih dinamik dan komited dengan parti. Pas tidak perlu takut untuk mengorbankan mereka walaupun mereka dari latar belakang ustaz dan senantiasa berjubah dan tasbeh ditangan. Dalam dunia politik tasbeh tidak banyak membantu.
Wakil-wakil rakyat yang mewakil 10 kerusi 'senak' berkenaan ialah; Che Abdullah Mat Nawi (Wakaf Baharu), Abdul Fatah Haron (Bukit Tuku), Muhammad Awang (Gual Periok), Arifabillah @ Mohd Asri Ibrahim (Dabong), Wan Hassan Wan Ibrahim (Semerak), Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Gaal), Drs Saiful Baharin Mohamad (Selising), Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (Kemuning) hendaklah ditukar dengan muka baru.
Kebetulan pula mereka itu semua bermasalah (kecuali Wan Ahmad Lutfi dan Che Abdullah), jadi elok kalau yang lain itu diusahakan tukar atau pun mereka sendiri mengangkat bendera putih untuk berundur dengan terhormat. Ternyata mereka gagal menunjukkan performance sebagai wakil rakyat yang sesuai dengan zaman ini. Sesetengahnya masalah dihadapi adalah masalah melibatkan moral.
Nik Mazian Nik Mohamad |
Misalnya Adun Melor Wan Ismail Wan Jusoh dan Drs Zainuddin Awang Hamat yang sakit dan bermasalah wajar dirihatkan. Abdul Halim Abdul Rahman (Chetok), Rohani Ibrahim (Tanjung Mas) yang kurang berfungsi perlu difikirkan untuk dirihatkan sama. Mereka ini perlu diberi kefahaman, agar berfikir meletakkan kepentingan parti melebihi dari kepentingan peribadi.
Kebetulan juga mereka ada yang sudah dua penggal atau lebih berkhidmat, seperti Wan Ismail, Abdul Halim, Drs Saiful Baharin, Rohani Ibrahim, Dr Nik Mazian dan Abdul Fatah Haron.
Tidak keterlaluan dikatakan kalau Pas sedia melakukan muhasabah dan membuat pembaiki ke atas calon dan wakil rakyat untuk menstabilkan Pas. Dan sekiranya gelombang ke Putrajaya melantun sampai ke segenap kampung dan ceruk di Kelantan, Umno tidak payah bermimpi untuk merampas Kelantan, kemungkin juga parti itu akan ditimpa sejarah seperti tahun 1990 di mana Umno akan gagal memperolehi satu kerusi pun di Kelantan.
Sejarah dalam kehidupan dan politik juga selalu berulang. Sebaliknya kalau Pas masih merasa complacent dengan keadaan yang ada dan terus mengambil calon berdasarkan laporan dan rekomen dari kawasan (atau dipilih secara dalaman berdasarkan kroni) tidak mustahil juga Pas boleh menangis tidak berirama dan akan berlaku istidraj politik. [wm.kl.12:33 t/hari 13/11/12]
4 comments:
ambo sebagai pengundi, mohon saudara MSO royak ko pas pusat supaya abdul fatah jangan di beri menjadi calon di bukit tuku, kerana selama menjadi wakil rakyat, fatah hanya menjaga kepentingan orang kuatnya, tadak menabur bakti kepada semua pengundi di bukit tuku. Kalau ada bantuan pun, hanya di beri kepada orang tertentu. Ramai yang tak berpuas hati, dan mungkin pada pilihan raya yang terdekat, dun bukit tuku akan jatuh ke bn. Masa mesyuarat, dah di beri teguran tapi mungkin di tong sampah kan olehnya, dan perkara ini mungkin tak sampai ke pas pusat. harap saudara dpt tolong pengundi di bukit tuku. sekian terima kasih, wassalam..
Ambo pun setuju dengan komen amirul. Minta MSO ghoyak ko PAS pusat atau Mursyidul Am supaya ambik calon yang cergas,proaktif dan responsif. Calon kali ni biarlah proaktif pergi kesegenap cerok kampong dan cari masalah rakyat dan jange dok cokoh kat pejabat atau dirumah tunggu rakyat maghi mengadu masalah! Wakil rakyat hok manggok dan nggo kerana dok dengar tukang kipah patut dijauhi.Tak perlu sangat kepiah, berjubah,dan janggut berserabut kalu kerja tak jalan! Kadang kadang hok berjanggut dengan tasbeh ni payah nok wak kecek kigho dan kupit bab duit ni!
bagaimana pula dengan Dun Kijang
dun kijang tak termasuk dlm perkiraan sebab tak ada statistik.. untuk pru 12... dun ini menang tak tanding.
Post a Comment