Tuesday, May 9, 2017

Demam pilihan raya di Kelantan mulai merebak

CATATAN PERJALANAN

Bendera Amanah megah berkibar.
Minggu lepas saya berada di Kelantan empat hari, bermula 26 hingga 29 April 2017. Jarang saya ke Kelantan mencecah tiga malam. Paling-paling lama pun dua malam. Selepas menemui ibu, merasa masakan, melihatan tanamannya di belakang rumah atau bermanja dengannya serta bertanya khabar waris warah saya akan balik ke Kuala Lumpur bergelumang dengan dunia rutinan saya.

 Saya tidak betah di Kelantan akhir-akhir ini. Semacam sudah hilang keseronakan yang ada selama ini. Kelantan seakan tidak berseri lagi, bau wangi cempaka suntingan Cik Siti Wan Kembang seakan sudah sirna entah ke mana. Terasa juga diri terasing. Keadaan itu menyebabkan berada di negeri itu penuh dengan kesunyian dan keterkilanan.


Pengembalian hari itu, saya memaksa diri untuk berada di Kelantan melebihi 80 jam.  Semasa di Kelantan saya sempat memasuki tujuh kawasan parlimen. Bermula di Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan berakhir di Pasir Puteh.



Perjalanan santai sahaja bersama isteri dan seorang anak lelaki bongsu yang sedang menanti untuk menempuh hidup baharu selepas tamat SPM. Seperti biasa kalau memandu jauh saya suka berhenti beberapa kali untuk makan dan minum. Setiap 100 km saya akan beradu atau lebih kerap kalau ternampak kedai makan atau tempat-tempat menarik untuk dirakam gambar dikongsi dengan rakan media sosial.

Sepanjang perjalanan ke Kelantan keadaan atau panorama yang menyentuh deria lihat sudah tidak ada lagi kerana sudah acap sangat. Alah bisa tegal biasa, kata bidalan orang tua-tua. Sesuatu itu kalau berkali-kali dilalui dan dilihat menyebabkan keindahannya menghilang dan bosan.

Orean menguasai lapangan.
Apa yang menjadi tumpuan kali ini ialah melihat perkembangan politik yang berlaku di Kelantan. Umum tahu penerimaan -- kegilaan orang Kelantan dalam politik berbeza dengan masyarakat negeri lain. Sebab itu Kelantan dianggap jaguh atau pun madrasah politik. Bagi orang Kelantan politik bukan tanggungjawab setiap lima tahun sekali, tetapi ia merupakan suatu budaya yang dihayati sepanjang jam berdetik.

Orang Kelantan macam orang Eropah.

Orang Kelantan tegar dalam politik. Politik bagi mereka persis orang Eropah yang menggilai bolasepak sehingga bola sepak dianggap sebagai satu pemujaan. Demikian bagi orang Kelantan politik menjadi "nasi makan air minum" bagi mereka. Mereka akan bercakap politik di mana-mana sahaja; kedai kopi, kedai gunting, setesen teksi hatta terbawa ke dalam surau-surau atau balaisah juga di tempat-tempat kenduri.

Mereka juga berani dan suka menunjukkan parti mana yang mereka sokong. Bagi saya orang negeri saya tidak, atau kurang hipokrit dalam berpolitik. Mereka tidak main secara sembunyi-sembunyi. Mereka benar-benar jantan dan berterus terang. Walaupun cara itu boleh dianggap melampau, tetapi itulah cara Kelantan. Ini keunikan dan kegedebelannya.

Selain itu orang Kelantan juga mempunyai sikap berani serta mempunyai pemikiran tersendiri. Mereka tidak mudah terpengaruh dengan keadaan atau pegangan politik orang di negeri lain. Merek payah bergoyang. Jika mereka rasakan perlu bertindak mereka akan bertindak tanpa sepakat dan terikut dengan masyarakat di negeri lain. Sebagai bukti tindakan (kesedaran) untuk menukar kerajaan Kelantan, mereka akan lakukan walaupun negeri lain kekal dengan kerajaan lama. Sebab itu Kelantan menyaksikan negeri yang berlaku pertukaran kerajaan.
Kerana sikap inilah menyebabkan kita mudah untuk melihat arah dan aliran politik semasa di Kelantan. Orang Kelantan tidak reti berdiplomasi dan suka "mengecong". Bila mereka menyokong sesuatu parti mereka nyatakan dengan jelas begitu juga kalau mereka menolaknya. Banyak indikator menjelaskan kedudukan atau sikap itu selain bersembang dengan mereka, ianya dapat dilihat dengan pemasangan bendera parti atau pun pembelian bahan bacaan untuk mengetahui perkembangan politik.
Oren dan hijau bertarung sama gagah.

Suatu masa dahulu di zaman belum ada media sosial, media cetak atau akhbar menjadi petujuk untuk kita mengenali warna politik orang Kelantan. Kalau mereka mengelek Utusan Melayu atau Utusan Malaysia jelas mereka orang Umno totok. Kalau mereka beli Harakah, mereka adalah Pas berkarat hijau berlumut. Manakala kalau mereka beli tabloid Watan, Mingguan Bumi atau terakhir sekali Siasah mereka adalah orang atas pagar.

Salah satu majlis Amanah di Pasir Puteh.
Begitulah budaya dan "eksesosi" yang diperagakan oleh orang Kelantan. Kalau pakai kopiah putih jelas mereka orang Pas. Kalau mereka pakai songkok hitam nyata mereka orang Umno. Dan kalau pakai topi atau berkepala dogol, mereka orang atas pagar. Manakala yang pakai serban dan semutar tok lebai belum tentu Pas atau Umno.

Suatu yang menarik berlaku di Kelantan sebelum ini. Disebabkan negeri itu dikenali dengan kubu Pas di mana rakyat lebih ramai memakai kopiah berbanding songkok menyebabkan sebuah kedai menjual songkok di Jalan Temenggong Kota Bharu akhirnya terpaksa tutup kedai. Peniagaan songkok di Kelantan bukan perniagaan yang selaris peniagaan kopiah.

Jadi cukup senang untuk mengenali citarasa dan kecenderungan politik orang Kelantan. Selain daripada petunjuk itu, bendera adalah salah satu lagi indikator untuk melihat parti mana yang berpengaruh dan mendapat sokongan di Kelantan. Parti yang banyak cacak bendera itulah parti yang mendapat sokongan terkini. Lagi tinggi kedudukan bendera itu menunjukkan lagi kuat pengaruh sesebuah parti itu.

Menaikkan bendera parti ini juga dianggap satu perlumbaan di Kelantan. Pendokong parti akan berlumba dan bertewas di antara satu sama lain. Disamping kekentalan semangat orang Kelantan berpolitik, kedudukan dan suasana bendera memberi petunjuk semasa akan kekuatan atau sokongan kepada sesebuah parti.

Dihiasa bendera.

Dan senario ini sudah kelihatan di Kelantan kini. Pergilah ke jajahan mana, bendera parti sudah pun mula berkibar. Ia dipasang di pokok-pokok tinggi, di persimpangan jalan serta tempat strategik lain. Setengahnya ada dibina tiang khas, podium yang lumayan. Dalam pemerhatian saya dua tiga hari itu, jelas bendera berwarna Oren setanding dengan bendera warna Hijau. Di sesetengah tempat bendera Oren melebihi bilangan bendera Hijau.  Ini mengkagetkan sebab parti itu baharu. Salah satu kawasan ialah di Meranti.

Dialog di kedai kopi (1).
Di sepanjang jalan dari Lubuk Jong menuju ke Chabang Pak Kok bercacangan tiang bendera Amanah. Ia dipasang mengikut jarak tiang eletrik. Kibarannya tidak berhenti kerana dirempuh angin datang dari arah bendang padi kiri kanan kalan.  Keadaan di situ sungguh meriah sekali laksana sebuah pesta sedang berlangsung. Di celah antara lima bendera Amanah itu baharu terdapat bendera Pas itu pun saiz kecil sahaja.

Dialog kedai kopi (2).
Secara keseluruhan di Kelantan bendera biru muda (PKR) dan biru tua (BN) kedapatan di kawasan tertentu sahaja. Bendera warna merah (PPBM) sama banyak dengan bendera biru air laut, bahkan di tempat tertentu bendera merah mengatasi bendera biru air laut. Kemunculan atau perang bendera antara tiga parti itu, PKR, PPBM dan BN masih belum rancak. Yang jelas dan ekstremnya bendera Oren berada di mana-mana.

Tegasnya bendera Amanah sama gagah dengan bendera Pas. Kewujudan bendera Orean menjadi satu fenomena dan sekaligus memberi gambaran akan berlaku pertarungan sengit di antara Oren dengan Hijau dua parti asal benih sama dalam pilihan raya akan datang.

Apa yang merujakan saya juga dalam melihat pemasangan bendera ini ialah di kawasan Pengkalan Chepa yang dianggap kubu Pas paling kuat di dunia. Mulanya saya mengira di sini bendera Orean tidak dapat masuk sama sekali. Tetapi ia mengejutkan saya apabila hampir seluruh kawasan di Pengkalan Chepa kedapatan bendera Oren di pasang tinggi atas pokok kayu.

Sewaktu melalui ke jalan Panchor ke Sabak, berhampiran rumah Mohd Amar Nik Abdullah, ternampak sebuah bendera Amanah terpampang gagah di sepohon pokok. Melambai-lambai bendera itu bagaikan memberi isyarat atau mengajak TMB itu bertarung. Walaupun di kawasan itu dipenuhi dengan signboard berlatar belakangkan gambar Nik Amar, namun untuk Orean  mampir di situ tidak sedikit pun menjadi masalah. Apakah ertinya, ertinya Pengkalan Chepa juga susah dicerobohi.

Keadaan di Kota Bharu terutamanya dalam kawasan Kubang Kerian, tidak perlu diceritakan lagi. Dua kawasan ini, Kota Bharu dan Kubang Kerian telah menjadi kawasan tawanan Amanah. Pusat operasi Amanah di Kota Bharu ialah di Dun Bunut Payung. Di sini terdapat belon gas gergasi Amanah yang diangkat menjulang langit. Ia menjadi lambang Amanah sedang membesar.

Dalam Kota Bharu di mana-mana ceruk dan jerung sahaja nampak kibaran bendera. Bahkan di sesetengah tempat berlaku pertukaran bendera, atau pun rampasan tiang bendera. Dulu tiang bendera dipasang dengan bendera Pas, tetapi kini bertukar kepada bendera Amanah. Berlakunya rampasan panji-panji ini menunjukkan seriusnya kegilaan politik di Kelantan.

Di Jalan Kebun Sultan, sudah bertahun bendera bulan dinaikkan di situ, menandakan kekuatan dan semangat Pas. Tetapi dua tiga minggu lepas bendera Pas diturunkan dan diganti dengan bendera Amanah. Satau upcara simbolik menaikan bedera Pas dilakukan. Khabarnya Pas tidak berpuas hati dengan kejadian itu dan menuntut tiang benderanya dibayar.

Begitu juga di tempat-tempat lain ada berlaku penggantian bendera atau pun pemadaman papan tanda lama berlambangkan bulan diganti dengan simbol baharu. Di Pasir Mas sebuah papan tanda besar berlambangkan bulan purna disapu dan diganti dengan lambang Bunga Raya.

Selain perkembangan politik dan semangat sesebuah parti itu dapat dilihat kepada pemasangan bendera ia juga boleh dikesan kekuatan atau populariti sesuatu parti itu apabila kita memasuki kedai-kedai kopi. Di sini menjadi dewan atau ruang bercakap mengenai politik.

Saya sempat singgah di beberapa buah kedai kopi di luar kawasan Kota Bharu, di Machang, Kuala Krai dan juga Rantau Panjang. Kedai-kedai ini suatu masa dulu dikenali dengan kedai Pas. Ketegarannya sehinggakan orang Umno tidak berani untuk menjejak kaki kerana bimbang akan disinis. Memang pekedai di Kelantan yang menganut parti politik bersifat fanatik. Misalnya tuan kedai tidak sedia melayan orang parti lain masuk ke kedainya. Kalau masuk juga pelanggan parti berbeza itu akan dihidang dengan kopi pakai garam bukan gula.

Di sebuah kedai kopi di Rantau Panjang misalnya dahulu menjadi markaz Pas. Selepas Subuh jemaah surau berdekatan akan berbondong-bondong ke kedai berkanaan. Di situ mereka akan bersembang politik, mengulas isu semasa sesama sendiri. Menghentam dan memaki hamun pemimpin Umno dan mengangkat dan memuji Allahyarham Nik Aziz Nik Mat.  Hampir 90% pelanggannya terdiri daripada orang-orang parti hijau.

Pagi itu saya sengaja ke kedai berkenaan untuk meninjau keadaan semasanya. Apakah ia masih lagi menjadi dewan kepada penyokong Pas? Mulanya gerun juga untuk memasukinya, kerana maklumlah politik Rantau Panjang adalah politik cowboy. Semua manusia jadi berani dan gedebe belaka. Kawasan ini bersempadan dengan Siam, pengaruh Siam mempengaruhi orang-orang di sini.

Saya bersama isteri mengambil satu sudut agak berselang seli dengan beberapa meja lain yang sedikit tersudut. Saya sengaja kerana mahu "bang" dengar apa yang dipertuturkan dalam kedai itu. Di beberapa buah meja tercatuk pelanggan dengan pinggan makanan dan air masing-masing. Mereka berborak sesama sendiri.

Kerana ralik berborak mereka tidak sedar saya memasuki ke kedai itu. Beberapa minit kemudian seorang anak mudah melangkah ke meja saya sambil bertanya bila saya balik. Anak muda usia sekitar 30 an ke atas itu memperkenalkan diri dan mula berborak dengan. Cara dia bertanya dan menunjukkan kemarahan dia memang kenal dengan saya dan tahu perkembangan saya.

Sejulung (sejurus) kemudian dia memanggil beberapa rakannya yang lain mengerumini saya. Mulanya seorang kemudian tiga kemudian jadi lebih daripada 10. Saya berasa gerun dengan keadaan. Apa terdetik di fikiran mereka mengerumini mungkin untuk beradu akal dengan saya, menyerang saya kerana saya yakin mereka (terutama pemuda itu) membaca facebook saya yang skeptikal kepada Pas. Tetapi saya bersiap sedia menghadapi apa-apa sahaja.

Jangkaan saya meleset sama sekali. Semua yang mengerumin saya rupanya sudah bertukar bendera dan mengalin kiblat sokongan. Saya diperkenal seorang demi seorang oleh pemuda itu. Seorang demi seorang saya bersalaman. "Yang itu dahulu Umno kini menjadi ahli Amanah, dan yang itu pula dahulu Pas kini menyertai Amanah," kata pemuda itu. Dan paling memeranjatkan saya ialah, apabila salah seorang daripada mereka yang menjadi tukang kempen kepada calon Pas di Parlimen Rantau Panang juga sudah bertukar parti kepada Pas.

Mungkin apa yang digambarkan dalam kedai kopi di Rantau Panjang itu bukan menunjukkan gambaran tepat di tempat-temmpat lain. Tetapi apa yang boleh saya simpulkan keadaan itu berlaku di mana-mana. Senario sama juga dapat disaksikan semasa saya singgah di di Machang dan Kuala Krai. Buah butir percakapan pelanggan ialah meluahkan rasa kesal kepada pentadbiran negeri Kelantan selepas ketiadaan Tokguru Nik Aziz.

Percakapan orang dalam kedai mengenai kelemahan kerajaan negeri Kelantan sekarang ini tidak ditusuk selindung lagi. Dapat saya simpulkan segala kelemahan dan kepincangan kerajaan yang didedah benar-benar telah mengusik minda orang ramai, masyarakat bawahan. Manakala yang mengejutkan disamping mereka mengeji pemimpin Pas mereka memuji orang bernama Husam Musa kerana berani menegur kerajaan negeri sampai dia terlempar keluar. Bersambung kalau ada masa. [wm.kl.8:48 am 09/05/17]

9 comments:

Mali Bin Muyung said...

Alhamdullillah, tumpang gembira kalau org Kelantan dpt mberi Amanah peluang jaga Kelantan.
Pernah ke KB berapa tahun yg lpas.
D Tuaran, Sabah dulu ada cabang Amanah. YB Khalid dtg ari tu tapi memandangkan Pengurusinya sakit dan dlm koma, Amanah Tuaran mcm x berfungsi lagi.
Anyway, terbaik buat Amanah dan PH.

matakanan said...

Alhamdulillah...
perubahan akan terjadi di negeri ku in shaa allah

as-s said...

Insyaallah

ahmadyani said...

PAS jika selesa di tampuk kuasa tanpa buat apa-apa, mereka akan diitimpa celaka..selepas itu jangan menyalahkan sesiapa. Sebabnya tidak buat kerja. Tidak boleh mengharapkan yang ESA sahaja. Mesti disulam dengan usaha.

Unknown said...

ambo awal lagi dah jadi ahli, amanah kubang kerian dun demit

Unknown said...

Semoga AMANAH dapat memerintah Kelantan & Malaysia lepas PRU kali ni

Unknown said...

saya ingin brtanya kpd tuan mso.knp tuan menulis artikel mengenai pas.sdgkn tuan tdk lg myokong pas.apakah niat tuan sbnrnya.adalah lbh baik tuan mnulis artikel tntg ph.smoga tuan tak trgolong dgn golongan munifik.brpura2 mnsihatkan pas sdgkn tuan mmg nk mmburukkn pas

mohd sayuti omar said...

Menjawab komen dan pertanyaan Haniffa Ismail. Sdr harus menyedari saya sebagai penulis, tidak menjadi petaksub kepada mana-mana parti. Jadi terpulang kepada saya untuk mengkritik dari sudut pandangan saya. Kalau pandangan saya tidak tepat ia boleh dicanggah. Sdr misalnya boleh jadi penulis untuk pertahankan Pas walaupun ada kesilapan dan ketahyulan dalam parti berkenaan. Walahu'alam.

Unknown said...

terima kasih tuan kerana mnjawab prtanyaan saya.saya msh kurang memahami pnulisan berbentuk politk.wlaupun saya ada mmbaca byk blog politik ulasan tuan amat berbeza dgn blog yang lain.saya hormati pandangan