Saturday, May 6, 2017

Lubang besar Pas hampir siap?

KABINET PAS

Umpama perjalanan rombongan membawa anak teruna (pengantin) menuju ke pelamin untuk dipersandingkan, semakin lama ia semakin dekat menghampiri pelamin yang dibina bersebelahan kamar tidur. Pembawa bunga manggar dan penjunjung pulut kuning dan segala macam barangan (mahal hantaran) atas "par" juga bersemangat mengiringi perjalanan pengantin.

Mustapa dibuang ke laut.
Tuan Ibrahim bersedih?
Kompang juga semakin rancak dibunyikan. Tum tum tum... bertalu-talu diselang dengan tepuk tangan bergemuruh. Dibantu pula dengan cuaca dan suasana yang "ceria-mera" sekali. Perjalanan sang pengantin lurus dan lawas tiada tersekat-sekat lagi apabila setelah segala onak dan duri menghalang jalan laluan sudah ditebas tebang dan dibuang lempar jauh.


Begitulah anologi boleh dibuat terhadap parti agama (Pas), yang sudah dibayangkan akan bernikah dengan Umno; kedua pengantin kini sedang menanti saat manis penuh bahagia itu. Si pengantin perempuan sudah lama menanti "gelenyer geledik" di pelamin, manakala pengantin lelaki segak bergaya sedang menuju menghampirinya.

Sekejap sahaja lagi akan berlangsung upacara pembatalan air sembahyang diikuti dengan
merenjis air mawar dan makan beradat. Lagu Selamat Pengantin Baru nyanyian biduwanita Saloma sudah lama dikemundangkan.

Pengumuman pelantikan pegawai eksekutif (kabinet) parti dibuat hari ini yang menyaksikan perubahan tidak disangka-sangka itu bolehlah dianggap sebagai penyempurnaan segala kerja yang dirancang selama ini. Perkembangan ini -- pembentukan eksekutif itu menyebabkan sesiapa yang tahu kilasan ikan di air dapat meneka jantan atau betina, tidak dapat menafikan yang Pas akan bersanding dengan Umno.

Dua tahun lepas Pas telah membuang 18 orang hulubangnya dalam muktamarnya di Kuala Selangor. Mereka itu boleh dianggap sebagai adik abang yang menentang percintaan haram Pas dengan Umno. Kerana penentangan itu maka mereka dibuang atau dihalau dari rumah Pas menerusi muktamar. Dengan pemergian para penentang itu ia menyenangkan kerja-kerja untuk mempersandingkan Pas dengan Umno.

Dan pembentukan kabinet Pas hari ini sesungguhnya mengemaskan lagi "pintu pagar" rumah pengantin itu agar tidak dicerobohi oleh mereka yang tidak mahu lihat perkahwinan itu berlaku. Mereka yang dicurigai akan kesetiaan kepada Pas menjadi penghalang semuanya diketepikan, dan ada yang diikat tangan dan kaki serta disumbat mulut dan disandarkan di jerung dinding. Penentangan semuanya kena dibuang.

Mereka yang tidak menunjukkan restu perkahwinan itu adalah Mustapa Ali, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas. Semasa dalam muktamr baru lalu ketika menyampaikan ucapan penggulung, beliau membayangkan akan ketidak-setujuannya dengan perkahwinan Pas - Umno dengan memberi sedikit ingatan dan nasihat penuh ikhlas. Antara lain katanya parti yang berpecah biasanya akan lemah dan kalah pilihan raya.

Dipercayai beliau merujuk kepada perpecahan Pas sehingga tertubuh Amanah dan Pas pula bermusuh sampai sudah dengan Amanah, DAP dan PKR.

Kesan dari keberanian dan anti kerjasama yang beliau pamerkan itu, nah hari ini beliau sudah menerima akibatnya dipenggal daripada menjadi Pengarah JPP dan tempatnya diganti dengan Ahmad Samsuri Mohkhar, yang sebelum ini adalah Setiausaha Politik Presiden Pas. Sesiapa pun yang waras dalam Pas dan sayang kepada Pas, juga yang berada di luar terkejut dengan perubahan berkenaan. Pembuangan dan penggantian penjawat jawatan itu sangat tidak praktikal.

Bagi saya tindakan itu suatu tindakan berani yang terpaksa dibuat. Mustapa adalah satu-satu veteran yang boleh dianggap sebagai Bendahara tua dalam Pas yang penuh pengalaman ditukar dengan Juragan muda yang pengalamannya masih cetek, darah baharu setampok pinang. Samsuri semua orang kenal tidak pernah terlibat dengan sebarang pilihan raya sebelum ini, namun mempunyai peranan dan "kerja besar" dalam Pas.

Apakah dengan pengalaman yang kering itu dia mampu untuk mengendalikan jabatan yang dianggap nadi dalam Pas itu? Itulah kalau tidak ada mengadakan untuk apa beliau dilantik menduduki jabatan itu. Apakah Samsuri sedang mengatur untuk menguruskan pilihan raya nanti bersama rakan dalam Umno? Mereka yang sayang tanpa usul periksa dalam Pas patut menilai dan memikir perubahan ini. Pokok tidak akan bergoayang kalau tidak ada angin.

Sebenarnya bukan Mustapa sahaja boleh disifatkan dibuang dan tidak diingini. Kedudukan atau pun pembahagian porfolio kepada Tuan Ibrahim Tuan Man yang dihantar untuk menguruskan pelajar dan masyarakat Malaysia di luar negeri juga satu pembuangan. Tugasan itu adalah simbolik untuk difahamkan oleh Tuan Ibrahim, bahawa beliau tidak diperlukan dalam negeri.

Seharusnya sebagai timbalan presiden beliau diberi potfolio yang memerlukan dia berada hampir dengan presiden bagi memudahkan membuat tindakan dan keputusan. Tugas menguruskan pelajar dan masyarakat Malaysia di luar itu boleh diberikan kepada mana-mana Naib Presiden atau ahlijawatankuasa lain. Tetapi kenapa dihantar Tuan Ibrahim ke luar negeri?

Demikian juga pertukaran Pesuruhjaya Pas Selangor kepada Sallehen Mukhyi juga satu tindakan ke belakang yang dibuat kerana motif tertentu. Perubahan itu dilihat sebagai mengemaskan pagar Pas agar tidak diceroboh. Seperti mana Tuan Ibrahim, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor (lupa nama) itu juga dilihat kurang bersetuju dengan aggenda hendak mempersandingkan Pas dengan Umno.

Kenyataan-kenyataanya yang mengulas tindakan Pas untuk bersendirian di Selangor selepas berpisah dengan pakatan oposisi sebagai satu tindakan tidak menguntungnya dilihat sebagai bekas Pesuruhjaya itu tidak sekepala dengan pucuk pimpinan tertinggi Pas. Maka wajar kalau ia diketepikan dengan mengatakan dia mempunyai tugas lain dan dinaikkan pangkat. Tindakan membuangnya agar beliau tidak menjadi penghalang dalam diam.

Pangkat apa yang dinaikan kepada beliau kerana sebelum ini beliau juga adalah naib presiden? Bukankah apa yang dilakukan ke atasnya menurunkan pangkat dan membuang kuasa? Alasan diberikan oleh Taikyuddin Hassan itu tidak boleh melenakan tidur orang Pas Selangor dengan pertukaran Pesuruhjaya itu. Mereka yang inteligen tentu dapat menghidu motifnya.

Jadi untuk melincinkan segala usaha maka orang-orang yang tidak mengangkat tangan mengaminkan doa persandingan Pas - Umno seperti Mustapa Ali, Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas pesuruhjaya Selangor itu harus ditolak ke luar.

Sebenarnya usaha untuk menyingkirkan bekas Persuruhjaya Pas Selangor itu sudah dibuat semasa muktamar lalu. Kenafsuan Nasaruddin Hassan merebut jawatan itu adalah untuk menyingkirkan persuruhjaya berkenaan. Kalau tidak apa tujuan dan maksudnya dia ikut bertanding? Malangnya beliau tewas.

Kegagalan ahli parlimen Temerloh itu dan kejayaan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor mengekalkan kedudukannya itu menunjukkan tidak semua yang berada dalam muktamar sedia untuk "makan gulai" perkahwinan parti mereka dengan Umno.

Nasaruddin memang individu yang dipelihara dalam Pas. Kerana itu walaupun tewas, beliau dilantik semula menjadi Ketua Penerangan kandatipun tugasan itu tidak berapa cemerlang. Pengemasan pagar Pas untuk membanyakkan tangan mengaminkan doa perkahwinan juga dapat dilihat apabila Pesuruhjaya Pas Perak dibawa masuk ke dalam Dewan Harian Pas dengan dilantik menjadi Bendahari Pas.

Perkembangan dan perubahan ini semua adalah ke arah melangsungkan perkahwinan Pas - Umno. Dan semua orang jangan terkejut dan bersedih lagi kerana seperti mana dianologikan di atas tadi, rombongan pengantin sudah pun menghampiri pelamin dan persandingan akan dilakukan segera.

Segala persiapan telah pun dibuat. Ikan juga sudah ditangguk dan dijala untuk dijamu kepada "pengelen" tetamu. Dua tiga hari lepas Tuan Presiden dengan mengenakan terendak tradisi turun sendiri ke laut bersama Menteri Pertanian Ahmad Shabery Chek untuk menangkap ikan bagi digulai pada hari penkendurian itu. 
Idris Ahmad yang juga Naib Presiden Pas sudah membaca hadith-hadith baharu berbunyi apa salahnya kalau Pas berkerjasama dengan Kerajaan. Ah banyak lagi dalil dan takwil bahawa Pas sedang menunju ke lubang besar. Penyusunan eksekutif parti itu dan "penyingkiran" beberapa individu menjelaskan lubang besar untuk Pas sudah hampir siap.

Buat mereka yang degil tidak mahu mempercayai dan menganggap ramalan ini bersifat fitnah, tunggulah melihat apa yang terjadi. Kalau pun marah dengan agenda itu, sudah pasti sebaik pengantin disandingkan, nasi dan gulai ikan akan dihidang semua orang yang lapar akan makan dan tidak akan berkata apa-apa lagi apabila dapat merasai keenakan gulai dan kueh mueh disajikan dalam majlis itu.  [wm.kl.6:02 pm 06/05/17].

28 comments:

matakanan said...

Allahuakbar allahuakbar allahuakbar
keyakinan hakikat politik tuan selalunya nyata.
Hanya detik menetukan masa.
Iman bukan pada namanya islam,
Islam sebenarnya terletak pada kuat nya iman.
Hakikat keimanan al quran dan hadis hadis rasulullah saw, nur nya memancar disetiap jiwa, perubahan maksudnya kelancaran perjalanan duniawi.

Ccvggh said...

Baik dari bebaik atau kawin dengan dap, lihat lah pemimpin mereka rasuah moral dan menentang agama islam. Zakir naik yang banyak mengislamkan orang digelar syaitan oleh dap... adai mereka memerintah malaysia, maka barahnya lagi bahaya dari bn....

amd duron said...

Tak sangka begitu dramatiknya 'lakonan2' org atasan PAS ni..

Ainul Basirah said...

Kemuncak UG......ulamak ghanimah

Unknown said...

Bahaya budaya politik timur tengah dibawa kedalam jemaah...

Aku Pemerhati said...

Saya bersetuju dengan pandangan tuan dlm semua isu yg tuan tuliskan di atas. Dgn tiadanya Chegu Pa yg diganti oleh orang itu, boleh dikatakan umno terlalu dekat utk mencaturkan Pas dlm Peraum 14 nanti.

Myshah said...

Seperti tuan juga. Satu ketika dulu adalah pendekar tinta Pas. Tapi sayangnya tuan juga telah melarikan diri dari Pas. Lihat saja tulisan tuan ini penuh dengan perasangka.
Apa hajat tuan.. memang saja pembangkang boleh menang jika semua bersatu menetang BN. Tapi mana maruah kita bila kepentingan Islam tidak dianggap penting berbanding dengan hal2 lain. Kita hidup bukan semata2 untuk memenuhi isi perut.

Unknown said...

Salam Tuan MSO, adakah benar Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz ada penghalang utama kepada penyatuan PAS & AMNO. Kerana melalui pembacaan saya, sudah lama usaha ini dirancang tetapi tersentot dek kerana penentangan Almarhum Tuan Guru

aminsihat said...

Masa rombakan kabinet PAS pada penggal yang lalu, Tuan MSO telah mempertikai tindakan PAS pada masa itu kerana masih mengekalkan Dato' Mustafa Ali dalam kabinet pas dengan melantiknya sebagai Pengarah Pilihan Raya, sekarang bila PAS mengugurkan Dato' Mustafa Ali Tuan MSO juga mempertikaikannya. Rupanya PAS ini terlalu huduh dan busuk dimata tuan sehinggakan kasturi yang dicalit memalui tangan PAS pun akan berbau hapak dihidung tuan.

mohd sayuti omar said...

Salam saya nak jawab dan jelas komen sdr Aminsihat, saya harap dia sihat segala-galanya. Betul saya setuju kenapa saya dulu tidak mahu Mustapa berada dalam kabinet Pas tetapi hari ini menyesali bila parti agama itu membuangnya. Ketika itu Mustapa menggunakan kedudukannya (sebagai SUA) untuk mengagalkan agenda untuk menumbang UBN menerusi projek 19 September. Bagi saya orang seperti beliau tidak memberi untung kepada Pas, menganggu cita-cita PR sedangkan ketika itu agenda berkenaan diterima oleh Pas khususnya Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dan hari ini kenapa saya tidak bersetuju dengan Pas ialah kerana, Mustapa yang sudah memahami agenda dahulu yang tidak mahu diteruskan oleh Hadi Awang hari ini, sebaliknya dia pula berusngguh menentang "penggabungan Umno - Pas" dipecat bagi melincinkan perjalanan Hadi dan Pas. Itu perkaranya. Terima kasih.

mohd sayuti omar said...

Kepada pertanyaan Partime dirumah: betul Allahyarham adalah penghalang utamanya, sehingga saya sendiri kecewa dengan sikapnya. Beliau halang beralasan, antaranya kerana serit dengan Umno yang pernah menganiaya Pas menerusi BN. Dalam pada itu beliau tegaskan dia sedia bubarkan Pas sekiranya Umno menerima Quran sebagai perlembagaan.
Kisah atau bagai mana dia tegas menolak kerjasama Pas dengan Umno ada saya rakamkan dalam sebuah buku saya berjudul: Pilihanraya ke-11 Suatu Tragedei. Wassalam.

PokAmid said...

Bila cakap pasal umno, meluat sungguh bila ada orang berbicara tentang maruah.
Maruah apa yang ada pada umno? Jaga agama? Menebalkan iman rakyat? Bela bangsa? Memberi kesenangan kpd bangsa?
Kesian tak terhingga kpd pentaksub kpd hadi kerana dipesongkan minda mereka!!!

ahmadyani said...

Memetik kata Guruji dalam filem Singham Return, "kita berjuang sendiri dan kita menang dengan cara kita sendiri". Saya secara peribadi mahu PAS memegang prinsip sebegini.

lenups said...

macamana dap nk memerintah malaysia...cer crita...

azamiabubakar said...

Tuan trlalu buruk sangka n pendendam. Suka buat ramalan tanpa rujuk pd tuan punya diri. Apa faedahnya kira itu adalah fitnah.Tuan sanggup menanggung dosa memfitnah.

mohd sayuti omar said...

Merujuk kepada komen Azmamabubakar, sdr belum layak untuk berkecimpung dalam dunia politik. Perlu belajar dan mendalami politik lebih mendalami lagi. Politik bukan boleh difaham secara harfiah. Saya tidak salah sdr kalau mempunyai perasaan marah dan "benci" begitu kepada saya. Masa akan mendewasakan sdr dalam politik dan menjadikan sdr akan memahaminya nanti.

Lan said...

MSO nama besar dalam penulisan politik tanah air . Pandangan , kritikan dll mengenai hal2 politik wajiblah di hormati . Buruk sangka , fitnah dll dari Jurangan Muda ( pinjam ayat MSO ) sebanarnya hanya membalikkan ayat2 tersebut ke muka sendiri .

matakanan said...

setuju saudara sharin din..jawab saudara anuar ridzuan.. kita jangan pandai berzikir semata, berzikir diatas pendengaran. ..berzikir lah dengan hakikatnya zikir tu baru sampai kepada tujuannya.

Bosan said...

Bagi saya bukan buruk sangka tetapi lebih pada mendapat keuntungan yg lebih. Saya dah mula berhenti membeli bukunya.

Quantum Metal Consultant said...

Raikanlah perbezaan pendapat sesama kita tanpa permusuhan..

unkwon said...

puak2 ni faham ker maksud perbeza pendapat... yg tahu semua pimpinan kata betui walaupun salah..

Unknown said...

"Sebenarnya yang patut ditakuti oleh UMNO dan orang Melayu ialah Najib sebagai Perdana Menteri, bukan Kit Siang. Rekod Najib sebagai Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia, terutama orang Melayu. Sebaliknya rekod DAP di Pulau Pinang tidak seburuk Kerajaan BN di pusat."Petikan terbaru tulisan Che Det di dlm blognya.

Miji said...

Begitulah penulis politik,lupakan soal pahala atau dosa dulu,yg penting pastikan musuh politik tuannya dipandang hina oleh pembaca.politik sekarang begitu menakutkan.boleh pusing 360 darjah.

mssod said...

mso menulisb melalui firasat.gerak hatinya bersandarkan info bercampur baur dgn emosi.jarang sekali penulisanya merujuk kajian . perlu ingat mso penulis buku politik.sprt penulis buku cerita.bukan bersifat akademik kajian.

mssod said...

dan orang tua tidak semua betul.

mssod said...

kalau penulis kitab hadis aku hormat.kalau setakat penulis buku poltik supaya laris d pasaran belom tentu betul. kalau semua betul mso boleh isytihar semua di tulis betul dan tao bedosa kata katanya terhadap arwah ustaz azizan

faizal said...

saya folo tuan mso ni sejak 1993...pertama kali saya baca buku dia 'antara tradisi dan tragedi' ..masa tu isu besar anwar dan ghafar baba...since tumemang saya nampak tuan mso professional...anwar pernah mengherdik dia secara berdepan...tetapi jika perjuangan anwar betul selepas dipecat tuan mso sokong...masa tu para pengkritik mso la ni ade di mane...saya juga baca tulisan yahaya ismail..satu buku dia hentam anwar..'antara nawaitu dan pesta boria' ..lepas anwar kena pecat pun dia tetap belasah anwar...sedangkan isu liwat anwar tu nampak sgt mcm kartun..saya x respek pakya..pak habib saya folo..profesional...tarmizi jam pun kemas...ahmad lutfi konsisten....haters mso ni kena dalami dulu bab politik...anda di mana masa zaman dulu...sperti mana puak ostad pas ni ...where were are you all di kala geng18 yg kononnya pengkhianat tu la yg berjuang bermatian..disepak diterajang dipenjara...tanya diri sendiri dulu...

mohd sayuti omar said...

Respons sikit kepda pengomen, nanti kata tak layan pula. Terima kasih kerana membaca catatan saya, ada berbagai reaksi daripada penjengok. Baik dan buruk ia adalah biasa. Kita tidak dapat memenuhi kehendak hati semua orang yang berbagai ragam. Tetapi penjengok yang tidak emosi dan sentimen dapat mengutiknya mana-mana yang baik, sesuai... yang sampah tinggalkan sahaja.

Yang marah dan maki hamun saya, iya teruskan sahaja sebab kita masing2 mempunyai tugas tersendiri.

Sudah 10 tahun saya bloging, saya sudah teramat masak dengan kerenah manusia. Seperti saya catatan dalam catatan Satu Dekad itu. Saya hormat yang berani tanpil dengan identiti sebenar tetapi kurang hormat kepada yang berwajah hantu. Harap semua dapat menilai diri sendiri. Terima kasih.