Tuesday, May 2, 2017

PAS perlu ambil pengajaran dari kehadiran angin ribut

MUKTAMAR PAS KE 63 

Ucapan penggulungan oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, satu detik yang sangat ditunggu-tunggu tetapi sayang tidak dapat atau sempat diikuti oleh saya dan orang lain juga yang mengikuti muktamar berkenaan menerusi siaran langsung streamyx itu. Tiba-tiba sahaja talian streamyx  terputus apabila saat untuk mendengar ucapan presiden itu tiba. Saya harap ia bukan sabotaj sebaliknya kelemaan dihadapi parti itu kerana kemiskinannya?

Sebahagian khemah expo dibaham ribut.
Jadi tidak dapatlah saya membuat ulasan atau sorotan ucapan penanggulungan Abdul Hadi itu. Untuk mengelak kejadian berulang diharap Pas lebih bersiap di masa akan datang sesuai dengan "kematangan" usianya 63 tahun. Secara berseloroh saya menyarankan agar Pas mengadakan muktamar di tempat "selamat" dan lebih selesa seperti di Dewan Merdeka di masa-masa akan datang, apabila parti itu sudah menguaai Malaysia kelak. Parti itu patut menggunakan kesempatan daripada hubungan baiknya dengan Umno dewasa ini.

Pun begitu apa yang dapat disorot di sini, hanya berkisar kepada selama mana saya mengikuti muktamar berkenaan menerusi siaran langsung itu. Mungkin sedikit sebanyak dari sumber-sumber bebas yang lain, yang maklumatnya boleh dipertanggungjawabkan dan sahih. Malang juga saya tidak sempat mengikuti ucapan perasmian Abdul Hadi kerana waktu beliau menyampaikan ucapan saya berada dalam perjalanan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dari Kota Bharu.

Di akhir muktamar hari ini sejak ia bermula pada jam 9:20 pagi, hinggalah ke saat streamyx  terputus jam 4:00 petang, saya sempat mengikut perjalanan muktamar berkenaan dalam skop dapat disuluh oleh kamera dan dipancar dalam skrin komputer. Beberapa penggulungan dari pengerusi-pengerusi lujnah dapat diikuti dengan baik. Manakala semalam dapat saya mengikut pembentangan usul dan pembahasanya.

Apa yang dapat saya kesani perjalanan muktamar ke 63 ini khasnya di hari akhir, ia tanpa break, mungkin kena mengajar masa. Tidak ada break time untuk Zohor, menyebabkan para muktamirin bergilir-gilir keluar untuk menunaikan Zohor atau bagi yang berada di luar daerah -- "marhalah", berniat mengqasarkan atau jemakkan solat.

Usul jadi perhatian.

Daripada beberapa usul yang dibentangkan, yang menjadi perhatian saya ialah usul tahaluf syiasi, pemutusan hubungan politik parti itu dengan PKR. Betapa semangatnya usul itu dibawa oleh wakil Dewan Ulama. Nampak sekali geram dan "metanya" pembawa usul berkenaan, mencerminkan kebencian dan kemurihannya kepada PKR.

Pembentang gemuk pendek berkaca mata pakai serban dan berbaju kot itu menyudahi pembentangan itu dengan suara yang saya kira bertentangan dengan saksiah dia sebagai orang bergelar atau menggelarkan dirinya ulama yang sepatutnya soft, sopan dan berhemah. Kalau pun membenci PKR tidak seharusnya kebencian itu dilaung-laungkan kerana itu bukan akhlak muslim.

Saya tidak mahu komen panjang lagi kepada pembahasan usul berkenaan. Muktamar menerima sebulat suara usul berkenaan yang dikemukakan oleh 23 Pas kawasan dan termasuk juga Dewan Ulama dan Dewa Pemuda. Bagi saya dari segi moral politiknya, hubungan Pas dengan PKR sudah khalaf -- habis, sebelum usul itu dibentang dan diterima lagi. Sikap ditunjukkan oleh sesetengah para pemimpinnya terutama presiden kepada PKR menjelaskan situasi itu.

Memang hujah dikemukakan untuk memutuskan hubungi itu agak janggal dan boleh dipertikaikan, tetapi biarlah. Alasan yang janggal itu semisalnya ia diambil kerana PKR mengkhianati tahaluf syiasi, tidak menyokong calon Pas dalam Pirake -- pilihan raya kecil, Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang menyebabkan kedua calonnya tewas.

Walhal kalau itulah alasannya, PKR juga sepatut mengambil tindakan sama sebab dalam Piraum -- pilihan raya umum ke-13 tindakan Pas lagi buruk dan teruk apabila turut meletakkan calon dikerusi yang dikhas kepada PKR, di Sungai Aceh dan juga Bukit Besi Terengganu sedang tahalus syiasi baru dilaksanakan. Namun PKR hanya mendiamkan diri sahaja dengan menganggap apa yang berlaku itu kesilapan yang boleh diperbaiki.

Rengkas cerita muktamar menerima usul berkenaan tetapi pemuktamadannya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama (MSU). Sepeti mana di akui oleh Setiausaha MSU semasa menggulung ucapan, majlis itu akan bersidang segera mengambil tindakan terhadap usul berkenaan.

Kini masih ada sejuring penantian lagi berhubung status usul berkenaan. Namun saya yakin MSU dan pihak PKR secara peribadi dengan Azmin Ali, mungkin masih ada perkiran-perkiraan atau formula lain yang bakal dibuat berkaitan usul berkenaan sebab itu ia diserahkan kepada MSU walaupun muktamar sudah memutuskannya.Dari segi tektikalnya ia masih berkira-kira macam mana untuk tangani usul berkenaan.

Kalau pun ada yang bersikeras untuk menerima pemutusan tahalul syiasi itu mungkin pihak presiden dan beberapa pemimpin lain dalam PKR yang tidak "sepapan" dengan MB Selangor yang juga timbalan presiden itu dimana beliau tidak seronok dengan usul tersebut. Dalam hal ini saya tidak berhasrat untuk mengulas beberapa khabar angin yang negatif berlaku ekoran usul berkenaan, kononnya Dewan Undangan Negeri Selangor akan dibubarkan dan ada kejadian lompat parti? Iya, walaupun Azmin bertanggungjawab untuk menasihat Sultan bagi mebubarkan DUN bagi diadakan pilihan raya, tetapi kuasa mutlak ia terletak kepada PKR.

Pembahasan yang menarik.

Dr Najihatussalehah sedang menggulung.
Semasa mengikuti pembentangan usul dalam muktamar itu, selain usul tahaluf syiasi, usul yang menarik dan perlu diberikan perhatian oleh semua orang ialah, usul antarabangsa membebaskan Masjid al Aqsa. Usul ini bagi saya sangat relevan dan menyerlahkan komtimen tinggi Pas kepada pemeliharaan masjid berkenaan.

Usul ini patut sudah lama diperjuangkan Pas. Namun ia masih belum lewat yang jelasnya Pas menjadi sebuah parti yang berani dan bertanggungjawab berbanding dengan parti-parti lain. Inilah keistimewaan yang ada kepada Pas yang concern kepada apa-apa mengenai atau berkaitan dengan Islam dan ummahnya.

Tepat kalau parti "gemulah Cik" saya itu mengambil inisiatif untuk membebaskan masjid mulia itu dengan menganjurkan pelbagai lawatan, membentuk kempen dan sebagainya. Sewajarnya juga fatwa diberikan oleh Yusuf Qardhawi yang melarang umat Islam daripada mengujungi Baitumaqdis kononnya untuk tidak membantu Israel dibatalkan.

Bagi saya fatwa berkenaan sangat bertentangan dengan jaminan dan anjuran Allah agar masjid itu dipelihara. Tidak seharusnya masjid yang penuh berkat dan dijamin kemuliannya oleh Allah itu dibiarkan kesepian, tidak diumarakkan dan terus dirantah Yahudi.

Manakala semasa penggulungan oleh pengerusi-pengerusi lujnah, saya seronok mendengar penggulungan daripada Pengerusi Lunjnah Perpaduam Nasional (LPN), Dr Najihatussalehah Ahmad. Beliau menarik perhatian betapa para pemimpin atau pendakwah Pas yang bergerak untuk mengembangkan Pas perlu melengkapkan diri dengan berbagai ilmu termasuk menguasai bahasa asing.

Katanya, para pendakwah Pas perlu tahu dan kena belajar bahasa Mandrain, Inggeris atau bahasa Orang Asal termasuk juga bahasa (dialek) orang-orang Sabah dan Sarawak kerana dengan menguasai bahasa masyarakat berkenaan ia memudahkan untuk mendekatinya bagi menyampaikan risalah Allah. Penguasaan bahasa ini katanya bukan sesuatu yang perlu dipandang remeh.

Alasannya macam mana kalau Pas hendak meletakkan calon di kawasan-kawasan ramai masyarkat, Cina, India dan lain-lain kalau tidak tahu berbahasa Cina, India dan sebagainya? Ertinya beliau mahu pendakwah dan pemimpin Pas memahami sisiol budaya dan bahasa sesuatu masyarakat yang hendak diajak ke dalam Islam.

Sepanjang penggulungan juga, Dr Najihahtussalehah mencerminkan kerasionalannya, tidak ada sinikal dan kritikan kepada mana-mana pihak semasa berhujah, melainkan mengeluarkan apa yang tersimpul dalam hatinya menunjukkan kematangan selari dengan slogan Pas, Matang dan Sejahtra. Bagi saya pengerusi LPN ini sangat rasional dan matang dalam politik, kompeten dan wajar kalau anak-anak atau pemuda Pas lain mengikutnya dan menjadikan beliau sebagai ibu guru siasah.

Penggulungan oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas (JPP) Mustapa Ali juga saya kira menarik dan rasional. Sesuai degan posisinya sebagai tokoh veteran -- orang tua dalam Pas beliau bercakap penuh dengan rukun-rukun politik dan menyatakan apa yang pernah dilaluinya. Beliau tidak memuji melampau pimpinan Pas sebaliknya menyampai apa yang ada dalam fikirannya. Pengalamannya yang terhimpun dalam dirinya sejak berdekad lalu diluahkan dengan penuh berhemat.

Ada dua subjek yang diperkatakan oleh Mustapa. Pertama mengenai kebimbangannya dengan sikap dan pendekatan yang diambil Pas kini. Apa yang berlaku terhadap Pas kini, perpecahan sangat dibimbanginya. Beliau memberi ibrah apabila sesuatu parti itu berpecah menyebabkan parti itu akan lemah dan kalah dalam pilihan raya.

Secara cermat beliau menyatakan keraguannya kepada kekuatan dan kemampuan Pas untuk menguasi pilihan raya nanti seperti mana didakwa sesetengah pihak. Menurutnya ada dua perkara yang menjadi penentunya menang dan kalah dalam pilihan raya bagi sesebuah parti. Pertama ialah kekuatan yang ada kepada sesebuah parti politik itu. Dan yang kedua sejauh mana sokongan rakyat kepada parti itu. Kalau pun Pas kuat berbanding musuhnya, tetapi kalau rakyat tidak sokong, Pas tidak boleh menang.

Lantas itu Mustapa bertanya apakah nilai tambah yang ada kepada Pas untuk meraih kemenangan nanti. Sekiranya Pas tidak ada nilai tambah tegasnya jangan mengharap Pas boleh menang dalam pilihan raya nanti. Perkara ini tekannya perlu disedari oleh ahli dan pendokong Pas. Mustapa adalah antara pemimpin yang kurang senang dengan langkah dan pendekatan Pas waktu ini yang ingin bersendirian dan tidak bersama oposisi.

Penggulungan oleh kedua mereka ini, Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas bagi saya sungguh menarik dan sangat rasional. Sementara itu pembahas lain setengah masih bermain dalam guri retorik tidak berpijak di bumi nyata.

Berbicara mengenai muktamar Pas yang ke-63 ini, ia mencatatkan beberapa peristiwa yang akan dikenang selama-lamanya di sepanjang helaian kitab sejarah parti itu. Pertamanya tentulah tentang keberanian (yang bagi saya secara membuta tuli Pas) memutuskan hubung politik dengan PKR yang sebelum ini telah membawa hasil besar kepadanya. 

Kedua ialah mengenai peristiwa yang menimpa kawasan muktamar itu, angin ribut yang melanda dan memusnahkan khemah expo di muktamar berkenaan. Bukan sahaja para peniaga kerugian kerana kerosakan barangan jualan tetapi ada yang sampai dikejar ke rumah sakit kerana mengalami kecederaan. Sepanjang hayat parti itu belum pernah berlaku petaka seburuk itu disaat ia bermuktamar.

Mungkin baik bagi Pas untuk mengambil pengajaran dan merenung jauh ke dalam makrifat kejadian itu, apa dan kenapa musibah itu berlaku. Atas prinsip tidak berlaku sesuatu itu melainkan untuk diambil pengajaran, maka angin ribut yang melanda kawasan muktamar itu juga tentu ada hikmah dan rahmat di sebaliknya. Apakah angin ribut itu adalah salam dan isyarat buat Pas untuk difikirkan apa nasibnya dalam Piraum akan datang. Apakah Pas akan dilanda ribut lebih besar kelak?

Peristiwa atau moment lain dalam muktamar itu ialah, buat pertama kalinya juga dalam masa 43 tahun para pemimpin dan para muktamirin tidak mengecam dan menyerang musuhnya Umno. Tidak ada sepotong ayat yang keluar dari pemimpin baik, para perwakilan baik yang memaki hamun dan menyumpah Umno seperti sebelum ini. Bahkan ada pemimpin yang berterima kasih kepada Umno kerana jasa-jasa dan budinya.

Isu-isu membelenggu Umno dan presidennya Najib Razak seperti skandal 1MDB, kejatuhan nilai ringgit, hubungan perdagangan dengan China, kebanjiran pendatang haram langsung tidak disentuh dan semacam ianya dibisukan kerana sebab-sebab tertentu.

Kondisi ini sesuatu yang anih yang dicatat dalam muktamar ini. Dari sudu pengurusan dan perjalanan muktamar itu juga bagi saya yang di luar ini, jelas ianya kurang bersemangat dimana para perwakilan seakan-akan berasakan mereka kehilangan sesuatu. Perpecahan dialami oleh parti itu dengan terwujudnya Parti Amanah Negara (Amanah), memberi impak besar dan seakan merampas kegembiraan dan suasana harmonis yang tergambar dalam siri-siri muktamar sebelum ini.

Mengenai kelemahan atau petaka dihadapi Pas kini jelas seperti mana dibangkitkan oleh seorang perwakilan dari Kedah semasa membantah satu usul yang mahu Pas memperketatkan pelantikan pegawai-pegawai parti bagi memastikan parti itu diuruskan oleh mereka berkemampuan dengan cara ditemuramah dan dilihat resume, menceritakan ada kawasan-kawasan Pas di Kedah untuk melantik ahli jawatankuasa Pas kawsan pun susah, tidak cukup ahli.

Pendedahan perwakilan itu menjelaskan hakikat yang berlaku dalam Pas kini bahawa parti itu menghadapi masalah ekoran peristiwa dan tindakan membuang pemimpin profesional di muktamar di Kuala Selangor dahulu.

Gambaran parti itu kini berhadapan dengan masalah sokongan juga jelas apabila pemerhati ke muktamar yang berlangsung di Kompleks Pas Kota Sarang Semut Kedah itu jauh berkurangan berbanding dengan kehadiran pemerhati di muktamar sebelum ini. Sepatutnya kerana muktamar itu melibatkan pemilihan dan merupakan muktamar akhir sebelum Piraum ke-14 ia mendapat sambutan hangat untuk menyuntik semangat berpilihan raya.

Apakah kekurangan dan kelemahan ini menggambarkan pendokong Pas merasai kecewa dan kurang bersemangat dengan parti itu? Mereka yang baharu berjinak dengan Pas dan mahu menjadikan parti itu sebagai alternatif kepada Umno setelah parti nasionalis itu sudah rosak mengendurkan semula langkahnya kerana perkembangan-perkembangan negatif dialami Pas itu?

Kita semua boleh menjawabnya dengan penuh keikhlasan berpandukan kepada fakta yang sebenarnya. Mudah-mudahan janganlah Pas mencatat suatu sejarah sedih paling trajis selepas ini. [wm.kl.7:16 am 02/05/17]

8 comments:

D'BETA said...

Jelas dan terbaik...

amd duron said...

Terbaik tuan MSO...saya akui 3 pru saya memangkah PAS..tapi pru14 takkan lagi..saya juga golongan profesioanal yg ada sedikit diberi Allah ilmu agama..

as-s said...

Dun Kubang Rotan saya follow Mat Nasir, Amirudin & Mahfuz sajalah....nak kata apa pon x pa, jangan kata saya kapior sudah :) undi tetap undi tapi bukan bulan dan dacing dahhh.....kompom.

Unknown said...

Tak seronok nak undi PAS lagi..takde seri

Anonymous said...

Eloklah kalau PH kalah..hati busuk..

al-faqir ilallah said...

5x PRU aku pangkah PAS, PRU 14 haram aku pangkah PAS

PokNik said...

Kenapa semua org nak salahkan PAS??,
Lupakah kita segala kata nista DAP kepada PAS sebelum PAS bertindak balas?
Lupakah kita segala cercaan sesetengah pemimpin PKR sebelum ini?
Secara peribadi saya gembira dalam kecewa di atas tindak balas PAS terhadap
bekas rakan-rakan tahalluf

Jiwa Kacau said...

PokNik oooooooiiii, mu ni nampak buruk orang ja sendiri punya buruk tak nampak. Sorry bro tak pangkah PIS doh. Kompom