NOTA PETANG
Pandangan yang dilontarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multi Media Salleh Said Kruak (foto) yang mengatakan sesetengah ahli politik menggunakan agama sebagai momokan politik tujuan menakut-nakut dan memecahkan rakyat adalah tepat.
Tegasnya juga tindakan itu boleh mengagalkan usaha pembentukan perpaduan rakyat.
Beliau juga mengatakan ahli politik bersikap begitu sebagai orang yang bankrup idea yang secara tidak langsung juga menjadi pemecah perpaduan yang berselindung di sebalik doktrin agama.
Betapa sikap sebegini mendatangkan kerugian kepada negara sesuatu yang tidak boleh disangkal. Penggunaan doktrin agama untuk politik sangat merbahaya kerana ia bukan sahaja memberi kesan takut (phobia) kepada rakyat tetapi natijah perpecahan itu yang sangat parah kepada pembangunan negara seluruhnya.
Apabila rakyat berpecah, di sinilah anasir luar akan meresap masuk dimana ia boleh mengancam usaha untuk membangunkan negara yang dibina sejak berdekad lalu menjadi sia-sia.
Lantas orang seperti itu beliau membuat anologi seperti seperti musang yang menawarkan diri untuk menyelamatkan ayam.
Mungkin Salleh merujuk perkara itu terhadap apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak waktu ini. Katanya di Sabah dan Sarawak tidak mengalami masalah itu namun kini terdapat individu yang meningkatkan sentimen agama sebagai sebahagian dari strategi politik mereka. Apakah beliau maksudkan kepada pihak yang cuba memanaskan isu Kristianisasi di sana?
Salleh tidak menyebut individu berkenaan dan memberi gambaran jelas. Itu tidak penting namun tindak tanduk perbuatan itu sangat merbahaya yang perlu diberikan tumpuan serius.
Sehubungan itu bertolak daripada pandangan Salleh itu kerajaan perlu mengambil perhatian serius dengan mengambil kira apa yang berlaku di Malaysia amnya di Semenanjung kini.
Betapa sikap begini, menggunakan doktrin agama untuk politik mendatangkan masalah kepada negara. Sudah sampai masanya perbuatan ini dihentikan, pelakunya dikenakan tindakan tegas. Mungkin suatu akta mencegah penggunaan doktrin agama untuk tujuan politik perlu digubal.
Atau pun jika tidak perlu diwujudkan akta, beberapa akta sedia ada untuk tujuan keselamatan negara boleh digunakan terhadap waima individu, golongan atau parti-parti politik yang cenderong melakukan jenayah itu.
Sebenarnya perbuatan menggunakan agama sebagai modal politik sangat bahaya dan ia sudah pun merebak luas di negara ini. Misalnya untuk beberapa waktu parti Pas sejak awal-awal kemunculannya di tahun 1950an telah menggunakan agama untuk kepentingan siasahnya. Mungkin ketika parti itu menggunakan dogma agama untuk melawan penjajah dan fahaman dan gerakan komunis ia relevan, tetapi menjadi sebaliknya apabila ia ikut sama menyerang Umno.
Macam mana para ustaz-ustaz dan Tuan Guru ortodoks Pas menghukum perjuangan Umno sebagai sekular, pemimpinnya dituduh kafir dan perjuangannya bathil. Kemuncak kepada penggunaan agama sebagai alat oleh Pas ialah apa dinamakan Amanat Haji Hadi yang digubal daripada suatu ucapannya di Banggul Peradong 1981 diguna pakai meluas dan efektif dalam Pas.
Amanat itu masih terkesan sampai kini. Seperti mana disebut dalam Kertas Putih mengenai tragedi Memali 1985 dibentang di Parlimen ia ada mengaitkan kejadian itu ada dipengaruhi oleh amanat berkenaan.
Hari ini Umno sudah cease fire dengan Umno. Namun aktiviti mentakfir masih berlaku dari kalangan pemimpin parti itu. Jenguklah ke media-media sosial kita akan menemui dengan mudah segala tuduhan dan tundingan mengenai perkara itu. Puak yang menjadi mangsa kini ialah rakannya sendiri yang kini menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) sebabnya, hanya kerana mereka tidak menerima pendekatan dan cara politik presiden parti itu kini yang dianggap mundur ke belakang.
Walaupun sudah berlaku kesedaran dari generasi baharu doktrin agama itu sesuatu yang bertentangan dengan ajaran dan semangat Islamiyah sebenar, tetapi sisa-sisanya masih ada. Di kampung-kampung tuduhan terhadap sesuatu golongan yang tidak bersama Pas sebagai kafir masih aktif. Bahkan kejadian sembahyang dua imam, pulau memulau ekoran "Amanat Haji Hadi" itu masih berterusna di Terengganu. Masih terdapat sekurang-kurang empat buah kampung di Besut penduduknya sembahyang berlainan surau atau masjid gara-gara dokrin amanat berkenaan.
Justeru saya sangat setuju dengan kebimbangan disuarakan Salleh itu, agar membenteras elemen menggunakan agama sebagai senjata berpolitik kerana tidak syak lagi tindakan itu boleh merusak dan mengagalkan usaha perpaduan negara apabila disebabkannya berlaku perpecahan di kalangan masyarakat.
Tepat sekali kalau Salleh berpendapat mereka menggunakan agama sebagai alat berpolitik adalah mereka yang bankrup idea dan sudah terjempit. [wm.kl.6:34 pm 27/11/17]
6 comments:
Amat dangkal sekali jika tuduhan-tuduhan dimedia sosial diambil kira sebagai bukti yg kredibel...cybertrooper bersepah menyamar sehingga sukar dikesan mana ayam mana musang...apapun saranan salleh yg diterima secara perpaduan oleh saudara mso wajar diambil kira dengan langkah pertama iaitu mengharamkan perkataan Islam pada parti yg mso gelar parti agama...rasa2nya dahulu pernah dicuba zaman tun M memerintah dan sekarang mso sudah agak lunak dengan tun M yg dulu mso gelar manusia yg perasan paling bagus dan paling tahu semuanya...mungkin boleh bisik sekali lagi ke telinga tun untuk berpadu dengan umno untuk haramkan agama dalam politik...wasalam
Apa disebut tuduhan atau apa yang ada di media sosial itu adalah contoh macam mana suburnya elemen berkenaan yang lahir daripada politik menggunakan agama. Saya rasa saya tahu, apa yang dilempar di media sosial itu bukan bukti konkrit, tetapi tujuan ia disebut adalah sebagai contoh shj. Dan saya rasa juga pihak berkuasa tidak akan bertindak hanya berpandukan kepada apa yang saya sarankan meereka juga ada mekanisme sendiri. Kita hanya membuka jalan memberi idea.
Akta tidak menyelesaikan keseluruhan salahguna ugama dan di peralatkan lebih lebih lagi kalau dikawal oleh politik pemerintah.
Definasi salahguna juga kepelbagaian dan kadang² definasi itu senduri disalahguna.
Akta SPRM contoh terbaik..derma masuk ke akaun peribadi bukan rasuah ?!
Sekarang, Ketua Pesuruhjaya nya yang dikaitkan dengan "akhlak" sendiri diam dan masih bertugas.
Satu dunia termasuk orang kapir ketawakan orang Melayu Islam Malaysia.
Al Quran itu sendiri satu akta, pertingkatkan didikan Islam supaya rakyat berilmu dan dapat membezakan mana mana parti politik berasaskan Islam atau satu lagi ajaran sesat.
Contoh terdekat PAS atau mana mana individu tidak akan lagi diterima semborono segala fatwa mereka kerana rakyat sudah berilmu.
Baguslah jika kita boleh mengakui yg medan media sosial itu tidaklah semurni yg dilihat...tahniah mso...dimalaysia ini tanpa sedar parti2 politik tidak kira dibahagian mana pon akan cuba mencari milage politik melalui agama...pas itu memang lahir atas sifat agama nama pun parti agama tetapi jangan kita nafikan parti2 lain pun cuba menjadi juara agama masing2...sebagai contoh ruu355 dan oktoberfest...kedua2nya dimainkan sentimen agama...apabila pas cadang ruu355 mca dap dan sebagainya bangkit membantah dan apabila oktoberfest cuba dianjur bangkit pula pas membantah...mengapa jadi begitu?adakah kita akan amalkan sikap double standard dalam isu ini?dua set kecaman?pada saya kita tidak perlukan akta yg baru untuk mengekang isu agama dalam politik..akta yg sedia ada untuk hasutan sudah ada cuma perlu diperbaiki agar tidak disalah guna..kita tahu mengapa suara kebimbangan salleh itu terkeluar dari mulutnya dengan situasi yg berlaku di sabah sekarang pilihanraya makin dekat dan dengan berbagai kaum dan agama yg menghuni sabah sudah ada politician di sana yg menjanjikan bulan dan bintang jika berkuasa ini termasuk juga isu agama dengan sabah diketahui dulu sebuah negeri yg tidak ada agama rasmi tetapi diubah perlembagaannya oleh USNO untuk menjadikan Islam sebagai agama negeri dan sekarang ini dijadikan modal politik...akta hasutan yg tersedia sudah ada...maka inilah yg patut digunakan...sekadar padangan...wasalam
Dasar politik dan panduan berpolitik dalam islam adalah cantik dan membawa kerahmatan kapada manusia dan seluruh alam.
Yang menjadi permasaalahan sekarang adalah individu individu yang berpolitik @politikus yang menjadikan emosi dan tafsiran/pendapat peribadi sebagai sumber hukum seterusnya mahu memaksakan tafsiran/pendapat peribadi keatas orang lain. Kalau tidak dituruti maka dilabel sebagai pengkhianat, jebon, barua, taghut dll. Sikap berlapang dada dan politik daawah telah mati selepas kematian almarhum Dato Fadhil Nor dan almarhum TGNA.
Alhamdulillah, perbincangan dalam ruangan ini nampaknya sihat dan ada sikap saling menghormati. Berkaitan hantaran (posting) Ayahanda MSO kali ini, saya melihatnya dari sisi ketekalan dan kejujuran dalam pelaksanaan. Bagi saya, peruntukan undang-undang yang sedia ada sudah memadai. Kerosakan dalam sistem kehidupan kita berlaku kerana peruntukan peraturan itu dilaksanakan mengikut kayu ukur yang berbeza. Jika A yang melanggar peraturan, kayu ukur 1 dijadikan parameter proses tindakan. Jika B yang berbuat demikian, kayu ukur 2 pula diguna pakai. Islam dan Melayu terus menjadi umpan politik sempit pada hal falsafah Islam dan Melayu seharusnya diluaskan bukaannya kalau kita mahu mencapai keredaan Ilahi. Maka berlakulah keadaan ini - Melayu terus wujud di negara ini namun Melayu telah kehilangan kemelayuannya.
Post a Comment