Tuesday, April 10, 2018

Bara kebangkitan rakyat Muar merebak ke Temerloh

PERISTIWA 

Kebangkitan masyarakat Peneroka di sekitar Temerloh.
BARA kebangkitan rakyat Johor khususnya di Muar telah merebak ke Temerloh negeri Pahang Indrapura pula. Pergerakan rakyat kini persis air deras yang akan merempuh benteng.

Malam tadi bertempat di Taman Cengal Temerloh, ribuan rakyat keluar untuk berhimpun di program Jelajah Peneroka untuk mendengar syarahan dan amanat dari para pemimpin PH menjelang pilihan raya.

Saya bersama sdr Zulaimi Kazin bergagah ke Temerloh sebelum Maghrib untuk menyaksikan apa yang bakal berlaku di Temerloh. Semangat dan keberanian ditunjuk oleh rakyat Pasir Gudang dan Muar dua atau tiga hari lepas memanggil saya untuk melihat perkembangan di Temerloh.

Beberapa siri perjumpaan pemimpin PH di Pahang yang menerjah ke kawasan Felda di Pahang sebelum ini tidak kesempatan untuk saya menyaksikan dengan mata kepala sendiri. Saya seorang yang tidak mudah percaya kepada cerita dan kiriman-kiriman gambar yang ditangkap dari lensa orang lain. Justeru untuk mendapat maklumat sahih saya akan menjejak kaki sendiri ke himpunan berkenaan dengan mengorbankan masa dan kepenatan kian menjadi veteran!

Saya mengira himpunan di Temerloh malam tadi adalah himpunan pertama PH selepas parlimen dibubarkan. Perkiraan itulah juga yang memancing saya ke sana untuk melihat apakah ada gelora besar di negeri asal Najib Razak itu. Sebaliknya himpunan semalam adalah dalam siri Jelajah Peneroka sebagai sambungan kepada siri-siri "meredah" kawasan peneroka yang diadakan sebelum ini.

Jikalau himpunan semalam adalah himpunan perdana PH, saya mengira ia mengecewakan dan masih belum cukup power untuk gugat negeri Najib.

"Himpunan ini dikhas kepada para peneroka. Kami membuat di luar kawasan Felda, kerana bagi memudahkan mereka berhimpun di sini, lagi pun di luar mereka tidak tertakluk dengan terma-terma kawalan tertentu," demikian jelas seorang pemimpin PH yang menjadi penganjur majlis malam tadi.

Saya tidak mahu memberi jumlah angka mengenai kehadiran malam tadi. Tetapi apabila diberitahu himpunan itu adalah Jelajah Peneroka, saya boleh simpulkan ia berjaya, amat berjaya. Memang dari perhatian saya lebih separuh yang hadir adalah peneroka. Di lihat kepada cara mereka bercakap, berpakaian dan menunjukkan keterujaan apabila dapat berjumpa dan bersalam dengan pemimpin menunjukkan mereka perlu pembelaan.

Satu lagi petunjuk kepada saya bahawa mereka adalah peneroka apabila semasa diarahkan memasang lampu di telefon bimbit masing-masing bagi menunjukkan "cahaya sokongan" ada sebahagian yang hadir tidak memasang lampu kerana mungkin telefon mereka tidak berlampu atau pun tergaman untuk membuat demikian dalam keadaan cepat.

Dan mereka yang hadir meraikan majlis itu seperti majlis kenduri, bila mana datang bersama keluarga, isteri dan anak-anak kecil ada yang ketiduran di atas dukung.

Perkembangan menarik juga dalam himpunan semalam kehadiran masyarakat Cina dan India. Dalam pemerhatian saya 30% terdiri daripada masyarakat Cina dan 5% masyarakat India. Masyarakat Cina lebih berani mereka berada di depan, membawa sama anak-anak muda mereka berbanding dengan masyarakat India yang berada di seberang jalan dalam gelap.

Apa yang berlaku di Temerloh malam tadi ia memberi isyarat jelas kepada UBN dan suasana hangat dengan laungan Reformasi.. Reformasi itu boleh menyebabkan UBN dalam kegelisahan. Sebelum majlis bermula anak-anak muda melaksanakan tugas dan menunjukkan komitmen mereka dengan mengadakan flashmob atau demontrasi mini di tepi jalan sambil mengangkat plakad tertulis kata-kata mengkritik kerajaan seperti rayuan menolak GST.

Majlis malam tadi dihadiri pemimpin tertinggi PH, Dr Mahathir Mohamad, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamad Sabu serta Presiden ANAK Mazlan Aliman, Setiausaha Sekretrait PH Saifuddin Abdullah dan lain. Sempena himpunan semalam juga beberapa nama calon PH dari fraksi Parti Amanah Negara diumum oleh Dr Mahathir. Amanah meletakkan 12 calon di Pahang.

Anuar Tahir di Parlimen
Temerloh
.
1. Adnan Abdul Manaf bertanding di DUN Kerdau.
2. Norhaizan Abu Hassan di DUN Pelangai.
3. Ahmad Majidi Fauzi Abdul Aziz di Guai.
4. Nor Addin Ibrahim di Dun Lepar.
5. Sabrina Mat Yusuf di Dun Tanjung Lupur.
6. Jelani Ludin di DUN Jengka.
7. Syed Hamid Syed Muhamad di DUN Sementan.
8. Dr Jamaluddin Abdul Rahim di DUN Pulau Tawar.
9. Ahmad Sazeli Mohd Noor di DUN Tioman.
10. Zulkifli Muhamad di DUN Indra Mahkota.
11. Dr Hamzah Jaafar di DUN Dong.
12. Mohd AnuarTahir di Parlimen Temerloh.

Menyimpulkan himpunan di Temerloh malam tadi, ia adalah permulaan yang baik dan membentuk momentum yang menyakinkan bagi pihak PH. Dan calon-calon dikemukakan PH dari fraksi Amanah berwibawa apabila mereka terdiri daripada golongan profersional yang berlatar belakangkan pendidikan yang baik.

Secara jujur saya katakan, bagaimana pun jumlah kehadiran dan sambutan masih belum mencukupi untuk meletakkan PH akan dapat menguasai Pahang dalam pilihan raya akan datang. Semangat dan suasana ghairah ditunjukkan oleh mereka yang hadir semalam belum mencukupi dan menjadikan petanda yang absah bahawa PH mampu merampas Pahang. Pun begitu sekiranya Pas bersama PH impian untuk menukar kerajaan Pahang mungkin telah bertukar menjadi realiti.

PH memerlukan suasana dan himpunan seperti di Temerloh itu di kawasna-kawasan lain juga seperti di Pekan, Kuala Lipis, Jerantut, Raub dan Kuantan. Sekiranya PH dapat membentuk semangat juang seperti di Temerloh itu merebak ke daerah lain, tidak syak lagi Pahang juga akan termasuk dalam senarai negeri bakal ditakluki PH dalam Piraum akan datang.

* Malam tadi saya sempat merakam beberapa sudut pandangan di majlis itu dengan iPad untuk dikongsikan bersama penjengok. Maaf kalau gambar tidak memuaskan. [wm.kl. 8:06 am 10/04/18]

Sebahagian masyarakat Tionghua yang hadir dan berada
dibarisan depan. 
Semua menumpukan perhatian mendengar ucapan
pemimpin. 
Ruang di kiri kanan pentas sepanjang 200 meter penuh sesak. 
Yang kurang berani berdiri di pinggir jalan dalam gelap. 
Bendera Keadilan berlambangkan Mata
megah berkibar apabila ia dipilih menjadi simbol PH.

1 comment:

Unknown said...

Berbanding cuma 200 orang dulu-dulu, kehadiran ini
di kira ALHAMDULLILAH, berjaya. Jumlah yang hadir,
boleh mempengaruhi 10 orang yang tak hadir!!!!!