Sunday, April 6, 2008

Di Bawah Bayu 1

Orang Sabah Tunggu Anwar Angkat Sumpah!

SEKEJAP tadi saya baru selesai menemui seorang penulis buku dan juga penganalisa politik Sabah yang tidak asing lagi, sdr Musli Haji Oli. Beliaulah antara dua orang penulis buku politik yang saya kenal dan sering juga berhubung untuk mendapatkan maklumat atau perkembangan politik di bumi Bawah Bayu ini.

Sdr Musli kerap menghadiri perhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur dan siap dengan membawa buku-buku tulisan terbarunya untuk dijual. Beliau juga seorang ahli Umno dan ikut sama menjadi perwakilan persidangan agung Umno.


Beliau memiliki restoran di kawasan Asia City di bandar Kota Kinabalu ini. Menu utama restorannya ialah nasi lemak. Boleh tahan juga nasi lemak berlaukkan udang galah. Hidangan nasi lemak sdr Musli menarik dan memecahkan liur untuk menjamahnya.

Sambil makan banyaklah cerita politik Sabah keluar dari mulutnya tanpa diminta. Biasalah kalau penulis berjumpa penulis, macam tidak cukup mulut untuk mencerita dan bertukar maklumat yang masing-masing tahu. Dan untuk malam ini saya lebih banyak mendengar daripada bercakap.

“Kalau mahu tahu politik Sabah, tanya saya!,” begitulah muqadimahnya seakan sudah merasai tujuan saya mencarinya di kedai makannya itu.

Sumber sahih

Memang dialah paling layak berceritakan mengenai politik Sabah. Musli mengetahui dari luar hingga ke dalam mengenai politik Sabah serta karektor tokoh-tokohnya. Maklumat yang beliau perolehi bukan dari tepi jalan tetapi sumber yang sahih atau dialami sendiri. Kalau denyut nadi politik Kelantan berada dalam tangan saya, maka denyut nadi politik Sabah berada dalam tangan Musli.

Dalam banyak cerita ada dua tiga perkara yang menarik perhati dan benar-benar merujakan minda saya. Antaranya ialah mengenai senario Umno Sabah hari ini yang baginya dalam keadaan haru biru dan goncang. Saya kurang faham mulanya apa maksud beliau itu.

Menurut Musli ahli Parlimen Sabah sekarang ini dalam keadaan siap sedia untuk menyertai Pakatan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim. Sebaik Anwar Ibrahim angkat sumpah menjadi ahli Parlimen semua mereka akan bersama Anwar.

Merinding bulu roma saya apabila Musli mengatakan begitu. Saya kruang yakin ingatkan beliau seloroh. “Takkan begitu sekali?” tekan saya inginkan kepastian. “Iya ustaz, tengoklah nanti. Semua mereka menanti masa sahaja untuk meninggalkan Umno dan bersama Anwar,” katanya serius.

“Kan sudah diselesiakan?”, tukas saya tidak puas hati.

“Mana selesai ustaz, keadaannya bahkan semakin celaru lagi,” tekannya. (Musli memanggil saya ustaz).

Saya tidak faham kenapa kalau kejadian itu akan berlaku. Memang di Semanjung sudah terdengar berita kononya ahli Parlimen Sabah akan bersama pembangkang (Anwar) untuk menumbangkan kerajaan BN. Tetapi tidak mengerti sebab dan alasannya. Saya kurang percaya dengan apa yang diceritakan mengenai Sabah di Kuala Lumpur itu. Al maklumlah banyak gimik politik yang hanya sedap di telinga saja namun realitinya pahit.

Menuru Musli, ada beberapa sebab mengapa ahli Parlimen BN akan bersama Anwar. Yang jelas kata Musli ia bukan atas pelawaan atau ajakan Anwar atau mana-mana pihak tetapi atas kerelaan dan kesedaran mereka sendiri. Bukan dibeli. Menurut Musli, Anwar mempunyai pengaruh besar di Sabah., rakyat Sabah sudah lama minat dan menyakini Anwar akan jadi pemimpin Malaysia.

Tidak yakin Abdullah

Sejarah dan nostalgia lama itulah yang memungkin segala itu akan berlaku, ujarnya.
Justeru katanya apabila rakyat Sabah sudah tidak yakin dan kecewa dengan Abdullah mudahlah untuk mereka kembali memberi sokongan kepada Anwar. Ada beberapa sebab kenapa rakyat Sabah kecewa dan terkilan dengan Abdullah.

Misalnya mengenai perlantikan ahli Parlimen Sabah dalam jemaah Kabinet yang diumumkan Abdullah baru-baru ini. Rakyat Sabah merasakan mereka dianaktirikan bila mana hanya tiga orang saja dipilih menjadi menteri. Dari tiga itu hanya seorang dari kalangan Umno, iaitu Shafei Afdal. Mereka kecewa kerana BN Sabah memang besar 24 kerusi daripada 25 kerusi Parlimen.
Perlantikan itu tidak adil bagi orang Sabah dan mereka merasakan dipermainkan oleh Umno Kuala Lumpur.

Selain itu dakwa sdr Musli orang Umno Sabah juga tidak senang dengan tindak tanduk dan budaya politik Ketua Menteri, Musa Aman. Musa dikatakan mengamalkan politik cantas dan mengutamakan korni dalam memberi projek. Semua projek mewah disapu oleh anak buahnya.
Bukan itu saja paling menyedihkan lagi, Musa lebih akur dan mendengar pandangan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin daripada padangan pemimpin Umno di Sabah. Sebagai buktinya, Musa sanggup melayani permohonan kawasan balak kelas A sebanyak 17,000 hektar di mana 9,000 hektar dilulsukan kepada Khairy.

Musa dikatakan bersedia meluluskan tanah itu Khairy sebagai kontra apabila Khairy bersetuju memilih orangnya sebagai calon dalam pilihan raya lalu.

Projek tukar menukar kepentingan antara kedua mereka ini sudah menjadi cerita umum di Sabah ini. Dan inilah yang menimbulkan kemarahan kalangan Umno Sabah kepada Musa dan Khairy.

Selain daripada itu, sokongan rakyat Sabah kepada Anwar juga kerana janji yang ditawarkan Anwar dalam manifesto Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu. Dalam manifesto itu menyebut royalti minyak 30 peratus akan diberikan kepada Kerajaan Sabah. Manakala Sabah dan Sarawak juga akan diberikan peruntukan jawatan Timbalan Perdana Menteri. Mana-mana ahli Parlimen pertama yang menyeberang menyertai Anwar, beliau akan dilantik menjadi TPM.

Tawaran itu sebenarnya bukan perkara pokok menyebabkan Umno Sabah celaru dan menjadi haru-biru. Sebaliknya perkara pokok kerana mereka merasakan Abdullah Ahmad Badawi dan barisan kepimpinan Umno gagal memperjuangkan nasib orang Melayu Sabah. Orang Sabah yang sebelum ini mengharapkan Umno yang diterima masuk bagi menggatikan Usno, Berjaya dan lain-lain dapat menyelamatkan mereka, sebaliknya lain jadinya.

Rasa hilang kepercayaan orang Sabah kapada Umno sungguh tinggi sekali bilamana seperti kata Musli, walaupun siapa dari kalangan Umno datang untuk mengubati Sabah ia tidak mungkin akan sembuh lagi. Satu-satu tokoh yang dipercayai dan dinanti, ialah Anwar Ibrahim. [kk sbh. 00:15 am 06/03/08]

No comments: