Sunday, September 6, 2009

Selepas Tarawih

Aceh: Anak Yatim & Ibu Tunggal

DUA hari saya tidak up date blog ini kerana ke Aceh, petang Jumaat kelmarin. Maaflah kepada penjenguk kerana tidak dibekalkan dengan apa-apa maklumat dan ulasan. Saya percaya ramai yang menanti ulasan ataupun pandangan saya mengenai pilihan kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan yang bakal diadakan ekoran kematian Adunnya, Azman Mohd Noor.

Insya-Allah esok saya akan membuat ulasan mengikut perspektif saya mengenai pilihan raya berkenaan. Bukan soal siapa calon yang akan diturunkan oleh parti-parti bakal bertanding tetapi mengenai signifiken pilihan raya itu nanti. Bagi saya pilihan raya kecil itu adalah paling menarik dan penting berbanding dengan beberapa siri pilihan raya kecil yang lalu.

Tidak elok sebenarnya untuk kita memperkatakan mengenai pilihan raya itu dalam keadaan keluarga atau balu Adun itu masih berdukacita. Tahziah saya ucapkan dan sama-samalah kita sedekahkan al-Fatihah.

Saya ke Aceh saja untuk menikmati suasana Ramadhan di sana. Suasana puasa di Aceh bagi saya sesuatu yang menarik, unik dan istimewa. Ia satu bulan yang istimewa sekali kerana pada bulan inilah terserlahnya Aceh sebagai negeri yang kuat Islam. Walaupun di sana tidak ada majlis sembahyang tarawih di lapangan seperti di Qaryah Ramdhan di Kota Bharu, namun ia tetap menarik dan dan ceria. Julukan Aceh sebagai Serambi Makkah masih terserlah dan keasilainnya jelas kelihatan. Mereka menghayati Ramdhan dengan penuh ukhwah dan kesedarhanaan!

Semua masjid dipenuhi dengan jemaah. Yang hadir pula bukan warga emas yang sudah luruh separuh giginya seperti di kampung-kampung di negara kita, tetapi juga warga muda. Kaum remaja malahan mendominasi sesetengah tempat di Aceh.

Keadan ini bukan saja selepas berlakunya tsunami, 26 Disember 2004, tetapi sejak berkurun dulu. Ada beberapa faktor yang saya nampak kenapa ini berlaku kerana Aceh masih murni dengan nilai-nilai sosialnya. Kekurangan atau ketiadaan tempat-tempat hiburan dan berpeleseran seperti kompleks membeli belah dan sebagainya menyebabkan remaja menjadikan masjid sebagai tempat tumpuan dan bersantai.

Dalam erti kata lain kekurangan itu memberi kebaikan kepada remaja Aceh untuk tidak liar dan mereka begitu hampir dengan surau dan masjid. Kebetulan semalam malam 16 Ramadhan. Di kebanyakan masjid di Aceh mempergiatkan aktivti ibadat bulan Ramdhan dengan menganjurkan tadarus dan juga qiamulail.

Dalam kesempatan kunjungan ke Aceh kelmarin saya sempat meninjau ke sebuah perkampungan yang dilanda tsunami agak dahsyat iaitu di kampung Kahju kira-kira 40 km dari Bandar Aceh dan berbuka puasa dengan anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Sedikit sumbangan wang raya dan juga makanan kueh mueh disediakan oleh Badan Peduli Rakyat (BPR) Kelantan dibawah pimpinan Rushdan Mustapa dari Rantau Panjang dan sebuah syarikat multi lebel disampaikan kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Kampung ini merupakan salah satu kampung yang hampir lumat dilanda tsanumi. Tiga perempat daripada penduduknya seramai 18,000 maut dilanda tsunami. Mereka kini sedang membangunkan semula kampung mereka atas bantuan beberap NGO dari luar negara. Pun begitu rata-rata kehidupan mereka masih lagi jauh dari selesa.

Sementara anak-anak yatim piatu dan ibu tunggal yang datang menerima sumbangan itu ada yang masih belum mempunyai tempat berlindung dan menumpang di rumah-rumah jiran atau sanak saudara lain. Keperihatinan dari semua sangat diperlukan untuk membantu kehidupan mereka. Paling mendesak ialah kepada ibu tunggal yang antaranya mempunyai anak antara tiga hingga tujuh orang. Mereka ini sangat memerlukan pembelaan! [wk.kl 10:30 pm 06/09/09]

3 comments:

akmal... said...

MasyaAllah.. mendengar cerita tuan, teringin saya utk menjejak kaki ke acheh.. walaupun dah hampir empat tahun saya bermusafir di jakarta, tapi masih belum berpeluang utk ke sana... Suasana Ramadhan di jakarta kurang lebih sama seperti di Malaysia... tapi agak kurang meriah bagi kami anak2 muda sebab tak ada bazar ramadhan!!.. hehe segala kuih muih hanya menjadikan kasih sayang dan kerinduan kami kepada emak dirumah semakin terasa... Apapun tazkirah, dan pengajian2 ilmu menjadi nilai tambah bagi kami.. kerana di kampung saya di Perak tak ada tazkirah langsung...
Kepada MSO, selain artikel2 politik ulasan saudara... saya cadangkan saudara memperbanyakan kisah2 jatuh bangun kehidupan saudara2 kita seperti ini... Alangkah indahnya persaudaraan Islam, malangnya faktor geografi, sempadan, bangsa dan negara memisahkannya!

Masterzizoul said...

Berjalan, bermusafir dan berkelana meluaskan pandangan saujana, melihat keagungan Allah juga menambah ilmu dan kenalan. Entry kali ini menunjukkan yang kita sepatutnya senantiasa menghulurkan tali persahabatn dengan memahami penderitaan sesama Islam khususnya dan sesama manusia amnya.

Hero said...

mso, buat le pakej lawatan.. bukan suma org ada kawan sana sini mcm mso.. saya percaya ramai yg teringin nak ke sana menziarahi saudara seIslam (dan membantu setakat termampu)..