Wednesday, October 28, 2009

Membelai Rimas

Pandangan Dewan Pemuda Wajar Dipandang Serius

KURANG 12 jam Dewan Pemuda Pas telah mengadakan mesyuarat
di pejabat Pas di Jalan Raja Laut malam tadi. Mesyuarat berkenaan dikira penting juga memandangkan pemuda turut sama membincangkan perkembangan terbaru dalam parti itu.

Tidak ada kenyataan terbuka (media massa) oleh pemuda mengenai hasil atau keputusan mesyuarat malam tadi. Tetapi dipercaya pemuda sepakat dalam mengambil keputusan berhubung apa yang berlaku dalam Pas kini.

Dari maklumat diketahui dewan Pemuda bersepakat mahukan supaya kedua tokoh penting dan ulama dalam Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang tidak terus bertelagah antara satu lain. Dalam konotasi lain mereka berdua diminta berdamai demi kebaikan parti dan mententeramkan keresahan ahli dan penyokong.

Manakala saya bersetuju saranan dewan itu yang meminta supaya Jawatankuasa Tatatertib parti berkenaan diaktifkan semula seperti mana disebut oleh Setiausahanya, Kamaruzaman Mohamad. Mungkin masalah yang berlaku sekarang sehingga meletakkan Pas kadang-kadang dalam keadaan cemas ekoran badan berkenaan tidak berfungsi.

Hari ini kalau diperhatikan pemimpin Pas bebas bercakap apa saja dan dimana saja. Tidak kira apakah isu itu membabitkan parti atau kerajaan mereka cakap saja apa yang hendak cakap tanpa merasa gerun dan bimbang akan diambil tindakan. Walhal dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat separa official ini ia ada batas dan had tersendiri dan bukan semua orang (wakil rakyat) boleh cakap untuk mengelakkan berlaku kekeliruan.

Misalnya isu-isu membabitkan polisi dan dasar kerajaan yang hanya wajar diperkatakan oleh MB atau Exco berkenaan saja, wakil rakyat boleh bercakap selepas penjelasan dan penerangan diberikan dan diterima dengan jelas.

Begitu juga masalah dalam parti, semua berebut-rebut hendak bercakap dan mengulas bila timbul sesuatu isu. Lagaknya macam anak ayam berebut cancing. Adakalanya mereka bukan saja tidak layak, tetapi tidak mempunyai kepakaran pun ikut sama bercakap.

Itu tidak menjadi masalah lagi. Yang merewelkan bila ada yang bercakap menghentam antara satu sama lain. Menuduh si anu pro itu dan pro ini. Mungkin kalau pengulas politik atau blog bebas berbuat demikian dan ia tidak menjadi masalah. Tetapi bila ianya melibatkan orang parti inilah menjadi masalahnya kerana dianggap sebagai rasmi dan berautoriti.

Kenapa keadaan berlaku ialah kerana mereka dibiarkan bebas. Badan tatatertib tidak pernah mengenakan apa-apa larangan dan hukuman ke atas mereka. Walhal dalam Fasal 17 Perlembagaan Pas jelas menyebut peranan dan kuasa badan ini.

Perkara (5) Kuasa jawatankuasa tatatertib itu ialah:

a. Memberi amaran.
b. Melucutkan hak-hak dalam parti.
c. Menggantungkan keahlian.
d. Memecat dari menjadi ahli.

Peraturan atau hukum ini sudah jelas tetapi kurang digunakan. Apakah Pas bimbang disifatkan sebagai parti komunis maka ia sedia memberi kebebasan kepada ahli tanpa kawalan?

Justeru saya rasa tepat pada masanya saranan Dewan Pemuda itu diberikan perhatian dan diambil kira. Jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man patut memainkan peranan bagaimana untuk mendisplinkan ahli-ahli Pas khasnya kalangan pemimpin.

Mungkin peringkat awal jawatankuasa berkenaan perlu mengeluarkan pekeliling khas berhubung kebebasan bercakap dan bersuara dalam parti itu yang menyentuh parti, kerajaan dan kritikan sesama sendiri. Pekeliling itu bolah dijadikan panduan bagi mengelakan berlaku keterlanjuran dalam bermedia massa yang akhirnya mendatangkan masalah kepada parti.

Apa yang saya kira penting pekeliling itu mengenai tatacara ataupun sejauh mana boleh dan tidak boleh seseorang pemimpin itu mengeluarkan kenyataan atau pandangan mereka baik kepada media massa atau pun dalam blog dan sebagainya. Harus diperinchikan butir-butir atau topik yang boleh didedah dan apa yang boleh didedahkan.

Cadangan ini bukan bermakna menafikan kebebasan media atau pun menafikan kecanggihan dunia IT, tetapi apa yang jelas kebebasan dan kecanggihan IT kini tidak digunakan secara bijaksana menyebabkan timbullah kesan sampingan yang memigrainkan banyak orang. [wm.kl. 4:12 pm 29/10/09]

2 comments:

Bang Aji said...

Salam MSO,
Menghayati teknologi tanpa sempadan bukan bermakna kebebasan mutlak bagi semua pimpinan mengambil peluang menyatakan pandangan peribadi disebabkan ahli gerakan Islam PAS terikat dengan aturan parti sebagaimana yang termaktub dalam pelembagaan...juga Al-Quran, Sunnah & Ijmak Ulama' yang menjadi pegangan PAS.
Pemuda PAS sebenarnya perlu lebih proaktif dalam menangani sebarang isu bukan sekadar melibatkan parti tetapi turut memberi keutamaan yang bersifat global. Maksudnya berada di saf hadapan dalam setiap perkara malah perlu menjadi pemacu dalam mengutarakan isu atau menyelesaikan isu...Baru akan timbul kegerunan pada pihak musuh atau lawan sebagaimana kehebatan tokoh ulama' pimpinan PAS hari seperti TGNA & TGHH...
Memetik memori sekitar tahun 1981...
“Saudara-saudara sekalian!”
“Percayalah, kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional (BN) bukan kerana nama dia BN. Kita menentang dia kerana dia menegakkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir.”
“Oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka. Percayalah saudara-saudara, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana itulah kita berjuang dengan puak-puak ini. Kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam.”
“Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Kristian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Budha tetapi kita akan menjadi kafir dengan mengatakan politik suku (asing) agama suku.”
Kehebatannya memang terserlah dan menjadi igauan kepada musuh...
Adalah kelompok begini dikatakan pro-UBN? Selami dan fahamilah maksud yang tersurat & tersirat...

abu muaz said...

Haji Hadi kenal UMNO niiii lebih dulu dari kita.