Kenang Tok Kenali, Tok Janggut Dulu
Baru Cheng Ho
SEBUAH berita dari Kota Bharu yang dilaporkan oleh portal parti Pas, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat cadangkan supaya pihak pemaju menamakan sebatang jalan dalam kawasan bandar baru Tunjung yang sedang dibangunkan kini sebagai nama 'Haji Cheng Ho'. Cadangan itu sebagai kenangan atas jasa-jasa laksamana Cina berkenaan yang berjaya mengadakan hubungan persahabatan, perdagangan dan menyebarkan agama Islam di Nusantara ini termasuk Kelantan.
Tidak salah kalau Kelantan mengenang ataupun menghimbau kembali akan eksepidisi dakwah serta jalinan perdagangan berlandaskan Islam dilakukan Cheng Ho. Kerana itu langkah kerajaan Kelantan mengadakan expo Cheng Ho baru-baru ini disokong dan merupakan satu pandangan jauh kerajaan Kelantan dalam mengembang agama Islam dan sekaligus memberi kesedaran sejarah kepada rakyat Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia seluruhnya betapa penting hubungan humaniti untuk mensejahtrankan dunia ini.
Tetapi apabila Tok Guru begitu bermurah hati untuk menamakan sebatang jalan dengan nama Cheng Ho rasanya kurang bersesuaian. Kenapa kita harus begitu murah untuk memacakkan ingatan dan sejarah orang lain di negeri kita? Walhal masih banyak orang berjasa di Kelantan yang tidak dikenang sebagai sepatutnya.
Mungkin Tok Guru atau Pas Kelantan merasa jijik untuk menyebut nama Mohd Asri Muda Muhammad Nasir ataupun Ishak Lotif. Ketiga-tiga nama itu adalah bekas Menteri Besar Kelantan. Asri Muda adalah bekas presiden Pas. Nama-nama lain Amaluddin Darus, Ahmad Yatim yang merupakan orang pertama terlibat dalam penubuhan Pas di Kelantan. Tidak dapat dinafikan jasa dan bakti mereka besar terhadap pengembangan Pas Kelantan. Mereka itu semua laksana Cheng Ho Kelantan.
Sebelum tahun 1990 nama mereka adalah harum dan menjadi sanjungan. Merekalah antara orang yang bergadai bergolak untuk menghidupkan Islam (nasionalis) di Kelantan. Seharusnya jasa mereka dikenang. Kalaupun tidak mahu mengenang jasa mereka selepas mereka membuat onar - keluar parti dan masuk Umno (hanya Asri), tetapi kenanglah jasa mereka sebelum itu. Apakah salah?
Mengenang seseorang berjasa, penting. Mendedahkan pengorbanan mereka juga penting. Biarlah orang muda mengetahui bagaimana perit dan pedihnya jalan dilalui mereka untuk mengolahkan sebuah perjuangan. Mungkin bagi mereka yang dianggap tidak istiqamah dengan parti, tetapi harus diingat mereka ada anak, cucu dan cicitnya. Tentu anak, cucu dan cicit mereka akan merasa bangga kalau keturunan mereka dihargai. Generasi mereka diharap akan bersama Pas.
Tak mengapa kalau Pas tidak mahu mengenangkan mereka untuk menamakan mana-mana lorong atau denai dengan nama mereka. Tetapi Pas masih ada berlambak nama-nama tersohor dan mereka yang telah menggadaikan nyawa dalam memperjuangkan Islam menerusi Pas, yang akhirnya menghembus nafas terakhir dalam Pas. Salah seorang dari mereka yang besar pengorbanan ialah Abdul Samad Gul Ahmad Miaji, ahli parlimen Pasir Mas Hulu (Rantau Panjang). Beliau syahid kerana dikapak oleh musuh.
Nama-nama lain Khidir Khatib, Muhammad Amin Yaacob, Bunyami Yaacob, Wan Jamil dan lain-lain. Apakah jasa dan budi mereka kecil untuk tidak dikenang. Rasanya elok kalau nama mereka diabadikan pada apa-apa monumen sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mereka.
Ataupun kalau nama orang politik hanyir untuk diabadikan, masih ada nama lain yang lebih sesuai dan 'paten' untuk diabadi dan disanjungi. Tok Kenali dan Tok Janggut adalah dua nama hebat di Kelantan. Namanya wangi bukan saja di Kelantan tetapi di seluruh Malaysia malahan disebut hingga ke segenap Nusantara.
Tok Kenali selamanya dirujuk kepada bidang agama sebagai guru tasauf terhebat di Kelantan. Manusia yang berjaya melalui mujahadah nafsu dan berjaya mencapai peringkat 'khuwah' sehingga dapat memecahkan wajahnya menjadi tujuh bayangan? Manakala Tok Janggut pula sebagai seorang penentang kolonial di Kelantan. Dia digantung songsang oleh Inggeris dan mayatnya diseret berbatu-batu.
Rasanya jasa dan budi mereka besar kepada pembangunan agama dan politik di Kelantan. Bukan tidak boleh kalau hendak menamakan mana-mana jalan dengan nama Cheng Ho, ataupun kalau ada yang memasang niat untuk mengahwini anak cicit Puteri Hang Lipo sekali pun, tetapi dahulukan anak negeri dulu. Masih ramai janda dan anak dara Kelantan yang belum disunting.
Nama Cheng Ho rasanya boleh diabadikan sebagai kenangan atas 'kedatangan' beliau ke Kelantan baru-baru ini (expo) dengan membina replika armada beliau di Pantai Cahaya Bulan (PCB). Sebuah monumen berupa replika boleh dibina di PCB untuk mengenangkan beliau. Katanya kira-kira 600 tahun lalu armada dagang dan dakwahnya pernah berlabuh di situ. Bahkan Cheng Ho didakwa sampai di Kelantan 93 tahun dulu sebelum bermukim di Melaka.
Rasanya pembinaan replika itu lebih sesuai dan afdal daripada menamakan sebatang jalan di Tunjung itu. Pada masa sama juga replika itu boleh dijadikan daya tarikan pelancong untuk mengujungi pantai berkenaan yang makin malap kerana tidak ada usaha untuk menceriakannya. [wm.kl. 6:50 pm 06/12/10]
7 comments:
Salam Tuan Hj MSO,
Saya bersetuju dengan ulasan dan cadangan Tuan Hj. Inilah sikap orang kita yang agak terlalu menyanjung jasa orang luar sehingga terlupa akan jasa orang tempatan sendiri.
Tok Janggut, Tok Kenali adalah sebesar-besar ikon kepada negeri Kelantan. Pengabadian jasa-jasa mereka bakal mencetus epilog kepada negeri Kelantan sebenarnya yang mana ia boleh dijadikan suatu medium pembelajaran kepada anak-anak muda masa kini betapa besar perjuangan mereka dalam mempertahankan kedaulatan negeri daripada anasir penjajah serta menegakkan syiar Islam.
Cadangan membina monumen replika armada di PCB sebagai bukti kedatangan Cheng Ho sememangnya menarik dan ia bakal memacu sektor perlancongan sekitar PCB khasnya dan Kelantan amnya daripada mengabadikan nama Cheng Ho di Tunjong.
Wasalam.
Rasanya nama Tok Janggut sudah diabadikan kepada sebuah sekolah di Pasir Putih.SMK Tok Janggut,kalau tidak silap saya.Itu lebih mulia sbb namanya diabadikan pada sebuah institusi ilmu [ pendidikan ] berbanding dengan nama sebatang jalan.Nama Tok Kenali pun rasanya sudah diabadikan..apa pun mungkin ada perkiraan dan rasionalnya nama Cheng Ho diabadikan pada sebatang jalan.Lagi pun banyak lagi jalan akan dibina di Kelantan..jgn risau,pasti nama-nama tokoh tersohor dari Kelantan akan diabadikan sebagai tanda ingatan dan mengenang jasa.
salam tuan,
kadang tu KITA terlalu lebih2....bkn ikon tok janggut & tok kenali tu lebih berjasa kepada kita....
kadang tu angan2 melebihi segalanya.........lepas tu.......hilang jer...
dah banyak dah projek/program sekerat jalan ni
ketepikan sentimen orang luar dan orang dalam.
Nanti sentimen ini akan menjerat kita bila akan ada pula manusia berkata Rasulullah juga bukan orang luar, mengapa perlu kita ikut dia. Na'uzubillah.
Tok Janggut dan Tok Kenali memang kita tak boleh nafikan jasa dan peranan mereka bukan sahaja untuk Kelantan malah di peringkat nasional.
Menamakan jalan dengan nama Laksamana Hj Chengho sebenarnya bukan mengagungkan bangsa asing tetapi ia menunjukan kehebatan Islam yang merentasi sempadan bangsa dan agama.
Apabila mempelajari sejarah, Anak anak muda mengenali Ceng Ho sebagai laksamana hebat dari negara China tetapi mereka jarang tahu laksamana yang hebat ini, adalah seorang muslim yang berpegang teguh pada ajaran Islam.
Langkah Kelantan ini sebenarnya akan membuatkan kami anak-anak muda berbangga dengan agama kami ISLAM
Sekadar pandangan
Sekolah Tok Janggut ada di Pasir Puteh. Jalan Tok Janggut dah ada ke?
Saya cadangkan Jalan Gajah Mati di KB tu di tukar menjadi Jalan Tok Janggut, kerana Tok Janggut mati meninggalkan nama manakala gajah mati tu rasanya tak signifikan sangat.
Laksmana Cheng Ho itu pun pelayar tersohor yg tidak diwarwarkan oleh dunia, walaupun lebih power kalau nak dibandingkan dgn Christopher Columbus atau Vasco Da Gama.
Jadi elok juga kita semadikan namanya di pesada sejarah kerana dia seorang tokoh Islam yg hebat. Patut sangat kita bangga punyai tokoh muslim sebegitu. Tidak kita siapa lagi? Tidak Kelantan kat mana lagi?
Salam Tuan Haji MSO... Perjuangan Cheng Ho bukan untuk menaikkan nama dan dirinya tetapi untuk menaikkan ISLAM. KITA berjaya buat Ekspo Cheng Ho, merasa berjaya menaikkan ISLAM atau diri KITA ?. Dengan dasar MEMBANGUN BERSAMA ISLAM saya lebih bangga memaktubkan nama sahabat Rasulullah S.A.W. di Kelantan. Dimanakah nama Jalan Saidina Umar Al-Farouk ? dll di Tanah Melayu ini ?. Kalau Barat atau non muslim buat kajian tentang Umar R.hu. ia lebih dekat untuk menerima hidayah kerana dekatnya Umar dengan Rasulullah S.A.W. Wallahu A'lam. Mohon mengutara pandangan...Terima kasih Tuan H. MSO.
Assalamualaikum Tn MSo,
Sememangnya satu ulasan yang kritikal. Nama2 seperti Mohd Asri Muda Muhammad Nasir ataupun Ishak Lotif, Amaluddin Darus, Ahmad Yatim SEHARUSNYA LEBIH PENTING DIKENANGKAN oleh pihak kerajaaan negeri. Saya tidak melihat sumbangan besar Cheng Ho selain daripada gimik politik semata-mata TETAPI nama-nama besar tadi sememangnya telah memainkan peranan besar kepada wujud tubuh negeri Kelantan. Nama Tok Kenali di Sekolah di pasir puteh ialah kerana inisiatif kerajaan pusat, jadi mana inisiatif kerajaan negeri. Cheng Ho tiada implikasi apa2 kepada rakyat Kelantan, percayalah.
Post a Comment