Selagi Rosmah Tidak Tutup Jambul
ORANG yang seronok digelar sebagai wanita pertama Malaysia, Rosmah Mansor mencadangkan supaya diadakan tilawah Quran di kalangan orang buta menggunakan braille. Katanya, tujuan diadakan tilawah itu bagi meningkatkan martabat Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Sebagai penganut agama Islam saya bersetuju apa saja usaha untuk memartabatkan Islam di negara ini. Tidak kiralah ia melibatkan orang cacat penglihatan ataupun cacat pendengaran. Tuhan jadikan manusia dengan kesempurnaan tidak boleh dipertikaikan, dan setiap manusia ada fungsi dan peranan masing-masing.
Kebetulan saya adalah ahli kehormatan kepada persatuan orang buta di negara ini. Saya tahu kekurangan orang buta dan kedaifan mereka dalam mencari rezeki untuk hidup. Secara umumnya orang buta di negara ini masih belum terbela sepenuhnya. Nasib mereka tidak selari dengan kemajuan dicapai negara ini.
Untuk pengetahuan Rosmah dan sesiapa juga, masih ada orang buta yang tidak memiliki tempat tinggal. Malang lagi masih ramai yang meminta sedekah dan mengemis. Pad saya Rosmah kena tumpukan kepada aspek ini daripada cuba mengambil kesempatan atas orang buta untuk menggambarkan kita peduli kepada orang buta.
Cadanagn Rosmah itu tidak melibatkan ramai orang buta hanya beberapa kerat saja. Program itu saya nampak lebih untuk menjaja akan keperihatinan Malaysia kepada orang buta. Bagi menggambarkan Malaysia mendahului rakyat. Tidak lebih dari itu dan bukan usaha yang serius untuk memberi kelegaan kepada orang buta atau memertabatkan peranan Islam oleh negara.
Saya fikir masih ramai orang buta khasnya di kampung yang tidak tahu menggunakan braille. Masih ada yang buta huruf. Elok kalau mereka ini diberi pendidikan, celekkan hati mereka untuk mempelajari braille daripada mengambil mereka untuk menjadi perserta tilawah Quran yang tidak lain hanya kosmetik bagi menunjukkan Rosmah mengambil berat kepada agama. Pada saya lebih penting kalau diberikan kemendirian hidup mereka.
Sepekara lagi, kalau kita ingin memertabtkan Islam, apa yang harus diutamakan ialah martabatkan diri kita dulu. Dalam konteks ini Rosmah perlu menjadikan dirinya sebagai ibu mithali, dan Wanita Pertama yang mantap Islamnya.
Kalau Islam pada diri kita sendiri boleh dipertikaikan, macam hendak diharapkan cadangkan mengenai Islam akan dituruti oleh orang lain. Apa lagi hendak memantapkan Islam ke atas negara. Selalunya rakyat akan mengikut cara, stail dan juga akhlak pemimpin mereka. Perkara mudah saya ambil misalnya kalau Rosmah menutup kepalanya dengan kain pasti isteri menteri lain juga akan menurutinya.
Tetapi kerana Rosmah membiarkan jambulnya, maka yang lain yang sebelum ini sekali sekala menutup jambul ikut sama membukanya. Jangan salah faham saya tidak fanatik dalam soal ini, dengan menganggap keadaan kepala Rosmah hari ini dalam maksiat. Tidak.
Tetapi apa nak ditegaskan kebaikan yang hendak kita laksanakan itu selain dipancarkan oleh hati ianya perlu diaurakan oleh syaksiah kita. Barulah niat yang baik itu akan disertai dengan perbuatan yang baik juga dan disinilah baru natijahnya tercapai. [ttdi. kl. 2:00 pm 18/12/10]
4 comments:
Salam Tuan MSO
OKU di Malaysia masih terbiar. Apa salahnya jika diutamakan kebajikan OKU yang memerlukan celek huruf
saya amat bersetuju dengan apa yang tuan tuliskan...sebelum ini najib razak berkata ketika merasmikan masjid saidina ali di Melaka supaya syiar Islam ditingkat bukan hanya pada slogan aje seperti membangun bersama Islam...lepas rosmah mansur pulak menyarankan supayan diadakan tilawah al quran dlm braile...tapi tidak pastilah org yang bercakap ini faham atau tidak apa yang dia cakap...itu la bezanya org yang buta tapi celik hati dengan org celik mata tapi buta hati....selalunya org yang celik mata tapi buta hati ini kalau bercakap susah org nak terima apa dia cakap melainkan mereka2 yang sewaktu dengannya....
Salam MSO
Ulasan dan cadangan saudara MSO memang tepat. Nak tunjukan beliau prihatin terhadap Islam. Tapi kehidupan beliau seharian pun bukan mengambarkan ciri-ciri wanita solehan. Rosmah Ibarat seekor Ketam Untuk Mengajar Anaknya Berjalan dengan lurus..
Assalamu alaikum tuan. Sebenarnya Rosmah telah terlambat dalam mengemukakan cadangannya sama ada dia tak tahu kerana tidak mahu merujuk kepada pihak-pihak yang berkenaan terlebih dahulu atau sengaja ingin membuat cadangan agar kelihatan perhatin dan mendahului orang lainh.
Untuk makluman umum, majlis tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan telah pernah diadakan beberapa tahun dulu oleh Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) lebih dari sekali. Majlis ini telah mendapat kerjasama dari JAKIM dan pernah dirasmikan oleh orang-orang besar dalam kerajaan.
Namun begitu, sewaktu saya memimpin persatuan berkenaan, program ini telah ditangguhkan kerana bagi kami program ini tidak benar-benar memenuhi matlamat ke arah pendidikan Islam kepada ahli-ahli persatuan khususnya dan orang buta umumnya. Ia juga terhambat oleh masalah kewangan persatuan ketika itu dan kesukaran mendapat sumbangan.
Hakikatnya benarlah kata-kata tuan. Kalau diadakan majlis seumpama ini ia hanya akan memberi manfaat kepada segelintir kecil sahaja golongan orang buta sedang majoriti kami masih berada dalam keadaan daif sama ada dari segi ekonomi mahu pun ilmu. Golongan ini amat memerlukan program-program yang boleh meningkatkan tahap pemahaman dan penghayatan terhadap ajaran Islam.
Kemajuan yang kononnya dicapai oleh negara ini tidak begitu dirasai oleh golongan ini khususnya peluang untuk melanjutkan pelajaran di sama ada IPTA atau IPTS. UITM sendiri sering menolak permohonan dari pelajar-pelajar buta hanya kerana dengan alasan tiada kemudahan. Pembaziran dilakkukan di sana sini tapi nak bina prasarana pendidikan tinggi untuk orang buta begitu berkira. Setakat ini hanya UM sahaja yang menyediakan peluang untuk golonganini dan sudah tentu UM tidak mampu memenuhi keperluan orang-orang buta dalam mendapatkan pendidikan tinggi.
Saya juga ingin mencadangkan agar jawatan telefonis di jabatan kerajaan dan swasta hendaklah diisi oleh orang buta kerana kerja ini sahajalah yang boleh dilakukan oleh orang buta secara berdikari tanpa perlu pertolongan orang lain. Dengan jawatan telefonis yang ada dalam jabatan-jabatan kerajaan dan sektor swasta yang banyak jika boleh dilakukan seperti cadangan saya ia amat membantu ekonomi orang buta. Ia juga sejajar dalam menuju matlamat 1 peratus golongan OKU dalam sektor awam.
Post a Comment