Friday, October 7, 2011

Ulasan Dan Analisa Bajet 2012

Bajet 2012 Realistik Dari Najib

KIRA-KIRA jam 4:14 minit petang tadi Najib Razak muncul di parlimen dengan mengenakan baju merah hati untuk membentangkan bajet 2012. Kemunculan beliau yang berbaju sedondong dengan timbalannya Udin anak Yassin mungkin tidak begitu menjadi tumpuan dan renungan. Apa yang yang ditunggu-tunggukan orang ramai apakah bonos ataupun insentif-insentif baru yang bakal diumumkan Najib.

Pada saya kemunculan Najib yang berbaju sedondong merah hati dengan Udin anak Yassin itu membawa mesej tersendiri. Ia ada makna tersirat yang hendak disampaikan kepada umum. Ia mungkin untuk menunjukkan mereka serasi dan sejiwa. Mempunyai naluri dan keinginan yang sama. Lebih jauh untuk menunjukkan mereka adalah pasangan yang ideal.

Secara tidak langsung kalau mesej itu difahami ia akan menolak persepsi buruk terhadap mereka; kononnya mereka bermasalah. Udin anak Yassin mula berjalan kengkang dan tidak sehaluan dengan Najib akhir-akhir ini. Dia ke hilir Najib ke hulu. Ada beberapa polisi yang diumumkan atau pendekatan drastik Najib dalam politik kurang disenangi oleh Udin anak Yassin.

Pengenalan slogan 1 Malaysia oleh Najib adalah cerita awal menunjukkan Udin anak Yassin tidak berapa suka. Udin tidak setuju pendekatan liberlisme Najib yang dianggap mrenjejaskan kedudukan orang Melayu. Udin pula lebih obes kepada keMelayuan. Lama juga Udin anak Yassin belajar untuk menyematkan lencana 1 Malaysia di bajunya bagi menyesuaikan konsep, prinsip dan pendekatan dengan kehendak Najib.

Begitu juga pemansuhan akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), khabarnya Udin anak Yassin tidak begitu gembira. Pemansuhan itu bukan saja tidak dirunding dengannya tetapi dimaklumkan pun tidak. Najib telah membuat 'becara' sepenuhnya dengan sepupunya Hishamuddin Hussein.

Bak kata orang kalau hati sudah tidak sehaluan, destinasi berbeza, betapa diusahakan untuk menampakkan mereka secocok, secara halusnya ia akan tersilau juga dek mata musuh. Dengan pengenaan baju sedondong yang katanya sudah dirancang awal-awal itu menjelaskan bahawa Najib dan Udin ada problem. Ada kudis yang sudah tumbuh di salah sudut hati di antara mereka yang bakal menjadi barah.

Saya percaya bila saya membuka rahsia ini dan mendedahkan mereka ada masalah, Najib dan Udin tidak akan lagi mengenakan pakaian sedondong selepas ini. Atau mereka tidak lagi akan mengambil apa-apa eksesori sama bagi mengelakkan mereka disuluh sebagai mempunyai masalah. Kebiasaanya dalam kehidupan manusia kalau mereka ada masalah mereka akan cuba bersandiwara agar ia tidak terkesan oleh umum.

Maka Najib dengan pakaian merah hati itu membentangkan bajet tahun depan selama hampir dua jam. Peruntukan sebanyak RM232.8 billion diecer dan diperincikan satu persatu. Dari jumlah itu sebanyak RM181.6 untuk perbelanjaan mengurus, dan sebanyak RM51.2 untuk perbelanjaan pembangunan.

Daripada RM181.6 billion pula diperuntukan untuk emolumen, sebanyak RM52 billion, dan RM30.5 untuk perkhidmatan dan pembekalan. Manakala RM9.5 diuntukan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap.

Manakala RM1.1 billion untuk pembelian aset dan baki sebanyak RM1.5 untuk pembelanjaan lain.
Untuk pembangunan pula sebanyak RM29 billion untuk sektor ekonomi bagi menampung infrastruktur pertanian luar bandar.

Berbagai insentif dan kemudahan untuk rakyat yang mencakupi semua golongan diumumkan. Berbagai-bagai pemberian bantuan secara one-off. Jumlahnya berpuluh-puluh juta. Meleleh air liur rakyat mendengarnya. Rakyat yang mendengar pengumuman itu ada yang gembira dan seronok. Ulasan di tv pula penuh retorik, tidak ada cerita lain melainkan cerita kerajaan prihatin dan mendahului keinginan rakyat. Ini menyebabkan rakyat terlupa bahawa bukan semua angka-angka yang disebut itu sampai keribaan mereka dengan sejahtra.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada Najib dalam pembentangan bajet kali ini. Pertama kerana beliau tidak banyak mengkritik dan menyindir pembangkang. Najib berjaya menjadi seorang perdana menteri untuk semua rakyat. Beliau tidak begitu sentimen dan emosional dengan pembangkang. Sepanjang ucapannya mesra dan ceria.

Apa ditunjukkan Najib adalah satu sifat ahli politik yang profesional. Najib tidak mengambil peluang dalam tempoh itu untuk merendah-rendah keupayaan Pakatan Rakyat dan mengkritik bajet angan-angan Anwar Ibrahim. Tidak seperti mana Dr Mahathir yang mengatakan bajet Pakatan, bajet poket kosong. Nampaknya Najib kali ini jauh lebih cerdik dan kurang 'bengong' campur nyanyuk berbanding dengan Mahathir Mohamad.

Kalau Mahathir tidak bengong dia tidak akan kata bajet Pakatan bajet poket kosong. Sebagai pembangkang bukan parti memerintah, tentulah Anwar Ibrahim hanya boleh berangan-angan tidak seperti Najib. Tetapi angan-angan itu adalah satu keazaman dan akan menjadi realiti kalau Pakatan sudah menjadi kerajaan.

Kedua saya ingin memuji Najib kerana dalam bajet kali ini tiada peruntukan khas untuk isterinya. Maksudnya untuk program Permata Negara. Najib sedar bahawa tindakannya memberi peruntukan khas kepada Rosmah sebelum ini mendapat kritikan ramai. Apakah beliau telah memberi cara lain kepada Rosmah, walahu'alam?

Ternyata banyak juga perkara dan sudut yang memberi kegembiraan kepada rakyat yang Najib sifatkan bajet yang bersejarah kerana pertama kali beberapa pendekatan dan peruntukan diberikan kepada rakyat. Antaranya penghapuskan yuran sekolah, penghapuskan cukai jalan untuk teksi, dan lain-lain. Selain itu semua golongan termasuk penjawat awam menerima habuan masing-masing mengikut kemampuan negara waktu ini.

Kepedulian Najib menyeluruh, hatta ahli parlimen juga bakal mendapat habuan bila mana kemudahan untuk mereka akan dikaji semula. Bersorak macam beruk para ahli Parlimen termasuk Khairy Jamaluddin bila mana Najib mengatakan mereka juga akan mendapat habuan sama. Ini memalukan dan bagi saya sikap ahli parlimen yang bersorak itu tak ubah macam budak Tadika Kemas yang melaung kegirangan bila mana cikgunya menyebut akan memberi gula-gula.

Jumlah yang diperuntukan untuk membantu rakyat luar bandar juga membanggakan. Ini menunjukkan keprihatinan pentadbiran Najib. Beberapa insentif itu saya lihat sedarhana dan berpatutan dengan kemampuan dan unjuran pendapatan negara di tahun depan yang dijangka di sekitar 5 hingga 6 peratus. Sekiranya pembangkang menganggap ia adalah bajet pilihan raya, saya kurang setuju.

Saya boleh simpulkan bajet Najib itu bajet realistik dan berpijak di bumi nyata atau bajet menyeluk poket sebelum mengambil barang dirak kemudian diletakkan di konter kaser. Tetapi apa yang saya bimbangkan sejauh manakah peruntukan untuk membangun rakyat luar bandar dan rakyat yang memerlukan itu akan sampai ke sasarannya. Jumlah yang disebutkan itu sudah mencukupi sebenarnya kalau ia diatur dan diurus dengan baik dan jujur. Tetapi apakah sasarannya sampai?

Makanya ada baik kalau dalam perbahasan bajet itu nanti wakil rakyat cuba memberi pandangan dan idea mereka bagaimana untuk memastikan peruntukan rakyat itu sampai ke sasaran dan tidak akan tiris di tengah jalan. Pengalaman lalu sudah kita ketahui banyak peruntukan untuk rakyat dirompak dan disamun tengah jalan oleh kalangan kronis. Misalnya kalau RM100 diperuntukan kepada rakyat yang sampai hanya RM10 sahaja manakala RM90 lagi hangus dan lesap ditengah jalan.

Justeru, satu mekanisme perlu digarapkan untuk memastikan ketirisan ini tidak akan berlaku. Apa yang ditekankan oleh Anwar untuk mewujudkan 'tata kelolaan' yang telus dan baik pentadbiran penting diusahakan. Selagi tidak ada tatakelola yang bersih, bertanggungjawab dan orang politik tidak takut kepada dosa, maka bagilah peruntukan seberapa banyak pun ianya tidak dapat mencapai niat baik perdana menteri itu.

Dalam ucapan bajet tadi Najib tidak menekankan soal tetakolela yang baik, atau good governance. Sepatutnya Najib tegas dan memberi amaran keras kepada agensi pelaksana baik kerajaan, NGO, individu politik khasnya dari Umno bertanggungjawab mengagihkan wang untuk rakyat ini menjalankan tugas dengan jujur dan amanah. Sepatutnya satu pasukan khas dibentuk bagai menjamin segala peruntukkan itu disempurnakan dengan baik di samping agensi lain seperti SPRM dan sebagainya.

Para ahli parlimen boleh mengambil peluang semasa dalam perbahasan bajet itu nanti mengemukakan mekanisme bagaimana untuk memastikan dan menjamin setiap sen wang yang diperuntukan kepada yang berhak itu sampai ke tangan mereka tanpa pengurangan yang ketara.

Pandangan atau formula itu nanti pula Najib perlu menerima dengan baik walaupun ianya dicadangkan oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat. Apa yang penting perbelanjaan bernilai ratusan billion itu sampai kepada semua golongan dan bukan saja segelintir mereka yang rapat dan dengan pihak kerajaan, para menteri, ketua bahagian dan lain-lain saja.

Peruntukan yang akan diagihkan kepada wakil rakyat - mengikut kawasan Dun dan Parlimen juga pastikan wakil rakyat pembangkang - Pakatan Rakyat juga berhak untuk menjadi agen pengagihnya dan bukan saja diserahkan kepada wakil rakyat BN sahaja. Selagi Najib masih membezakan dalam melaksanakan ini maka transformasi politik yang baru yang beliau sebutkan itu tidak akan menjadi kenyataan. Mat (Mat Maslan) kenapa butang baju Melayu dipakai tadi tidak cukup korum? [wm.kl.9:59 pm 07/10/11]

2 comments:

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum tuan. Sebagai seorang kaki tangan swasta saya merasa agak terhempit dengan pembentangan belanjawan (budget adalah dari perkataan penaung/penjajah dan saya tak senang menggunakannya) petang semalam. Saya tak tahu rasa itu datang kerana saya tak faham akan kandungan belanjawan itu atau memang kami dari kaki tangan swasta bawahan akan sentiasa terpinggir dari arus transformasi yang menjadi teras pentadbiran Najib.

Benar, banyak yang diberi kepada rakyat seperti pemansuhan yuran sekolah, pemberian-pemberian dalam bentuk one-off dan beberapa subsidi yang lain.

Jika Kaki tangan awam mendapat bonus pada hujung tahun ini yang kemudiannya diikuti dengan pelarasan gaji baru dengan kenaikan antara rm80 ke rm300 yang dalam erti kata lain mendapat kenaikan melebihi tiga puluh peratus, di manakah nasib kami pekerja swasta.

Setiap pemberian yang nampaknya diberi kepada rakyat yang bersifat menyeluruh juga dinikmati oleh kaki tangan awam yang mendapa durian runtuh sedang kami akan pasti terbeban dengan kesan negatif dari imbuhan kaki tangan awam itu.

Kerajaan dengan mudah menaikan gaji kaki tangan awam, memberi bonus, wang tambahan kepada pesara kerajaan yang pastinya dana itu akan diambil dari kutipan cukai yang sebenarnya ditanggung oleh kami pekerja swasta. Jumlah pekerja swasta di Malaysia bukan sedikit dan dari yang bukan sedikit inilah yang akan membayar cukai untuk menampung keperluan dana bagi menjayakan belanjawan 2012 ini termasuk elaun tambahan kepada para wakil rakyat.

Dalam pembangungan negara dan menjayakan transformasi Najib, kami pekerja swasta punya peranan yang bukan sedikit. Masa kami bekerja yang turut bergelot dengan kesesakan, kelayakan akademik kami yang sama taraf dengan kaki tangan awam, beban kerja yang kani lakukan mungkin lebih banyak dari kaki tangan awam atau mungkin sama, peranan mengurus keluarga pun sama dengan kaki tangan dan banyak lagi seakan tidak langsung diambil peduli dalam belanjawan ini.

Beberapa tuntutan kami dari sektor swasta langsung tidak disebut dalam belanjawan tadi. Sehingga kini kami masih menunggu dan mengharap akan perlaksanaan gaji minima, skim persaraan yang lebih saksama dengan kaki tangan awam, kemudahan kesihatan yang lebih menyeluruh dan beberapa tuntutan lagi langsung tidak mendapat bayangan dalam belanjawan semalam.

Apa pun pasti kami yang masih tak dapat gaji minima dan bonus pada hujung tahun ini akan menghadapi kenaikan harga barang dengan kenaikan gaji dan bonus kaki tangan awam. Cukai kami kena tanggung, harga barang naik kami keana pikul tapi kerajan seolah memandang sebelah mata terhadap kesempitan kami. Kerajaan dalam banyak keadaan lebih menyebelahi pihak majikan yang memerah kami.

Bagi kami macam biasa, hanya menelan air liur mendengar rakan kami di sektor awam dapat itu dan ini pada setiap kali pembentangan belanjawan kerana kami kaki tangan swasta, petani, nelayan dan penjaja adalah rakyat kelas dua dalam negara ini tanpa mengira kaum.

Jashamsulnizam said...

Tak ada ape yg menarik dlm Belanjawan kali ni, balik2 bunyi yg lebih kurang sama, lebih mengecewakn tiada apa yg boleh menggembirakn kami pekerja2 disektor swasta terutamanya berkaitan tuntutan perlaksanaan gaji minimum sektor swasta ditambah lg dgn pindaan Akta Pekerjaan 1955 yg bakal memberikn lebih kuasa kpd majikan untuk tidak menyerap pekerja ke status tetap dr status kontrak serta bakal mengurang hak2 golongan pekerja dlm mendpt manfaat berupa kenaikan gaji, kesihatan, cuti, bonus dan tabung pelidungan. Nampak nasib golongan pekerja2 sektor swasta makin kelam selagi Umno-BN masih memerintah...