Lima Ketua Bahagian Umno Kelantan
Mungkin Tidak Dicalon?
Nasib lima ketua Umno bahagian di Kelantan dalam keadaan penuh tanda tanya sama ada mereka akan dicalonkan atau tidak untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Ketua-ketua bahagian itu ialah, Abdullah Yassin (Rantau Panjang), Ramzi Abdul Rahman (Kuala Krai), Che Alwi (Pasir Puteh), Annuar Musa (Ketereh) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang).
Mereka dikatakan kabur.. besar kemungkinan tidak disandarkan oleh Umno Kelantan untuk menjadi calon pada pilihan raya akan datang sama untuk kerusi Parlimen atau pun Dun.
Bagaimana pun nama-nama mereka dikatakan termasuk dalam senarai calon yang dihantar oleh peringkat bahagian ke perhubungan Umno negeri tetapi 'gagal' apabila dibawa ke presiden Ha Najib Razak sebagai kuasa pemutus.
Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan tidak bermasalah untuk menerima mereka sebagai calon tetapi ada pihak-pihak tertentu yang lebih tinggi mempersoalkan ketua-ketua bahagian ini dan berharap agar mereka tidak dicalonkan. Protes secara senyap juga dilakukan di peringkat bahagian agar mereka tidak menjadi calon.
Kesemua mereka dikatakan bermasalah dan menjadi libaliti kepada Umno kawasan masing-masing, di mana penyertaan mereka boleh menyebabkan calon-calon lain juga terjejas dan paling parahnya boleh menjadi penghalang kepada cita-cita Umno untuk merampas Kelantan.
Selain itu blog MT difahamkan apa menjadi halangannya setengah mereka terlibat dengan skandal tempatan yang teruk di mana kalau mereka dicalonkan ia memberi kesan negatif kepada parti itu.
Misalnya Ramzi Abdul Rahman yang berhajat untuk bertanding di Parlimen Kuala Krai diberitakan melalui jalan sukar kerana wujud penentangan dari kalangan AJK Bahagian yang mahukan calon lain yang dianggap lebih berpeluang untuk menang.
Sebelum ini Ramzi bertanding di Dun Dabong memang dalam tahun 2004 tetapi kalah dalam pilihan raya umum lalu. Isu Ramzi bukan anak tempatan juga dikemundangkan untuk menafilkan pencalonan Ramzi.
Kehadiran Ramzi ke Kuala Krai juga dianggap sebagai menganggu Umno bahagian itu. Ramzi adalah berasal dari Kubang Batang Tumpat di bawa oleh bekas PM Abdullah Badawi untuk memimpin Umno Bahagian Kuala Krai. Oran yang disebut-sebut untuk diletak bertanding di kerusi Parlimen ialah Tuan Aziz bekas calon UBN yang kalah di pilihan raya kecil Manik Urai.
Annuar Musa yang merupakan ketua Umno Ketereh walaupun berminat besar untuk bertanding tetapi disebabkan rekod perkhidmatannya semasa menjadi menteri dulu buruk bagi kacamata orang Kelantan menjadikan penghalang untuknya dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Ketereh.
Dalam pilihan raya dulu beliau kalah ditangan Abdul Aziz Kadir anak buahnya sendiri semasa Aziz dalam Umno untuk merebut kerusi Ketereh. Sebelum ini Anwar pernah tewas kepada Mohammad Mustafa dan pernah kalah ditangan Mohamad Sabu di Parlimen Peringat (Kubang Kerian).
Sebagai mengganti Annuar kerusi parlimen Ketereh mungkin diserahkan kepada Adun Kok Lanas Mohamad Alwi Hji Che Ahmad yang juga timbalan ketua Umno Ketereh.
Kedudukan ketua Umno Pasir Puteh Alwi juga terumbang ambing dan besar kemungkinan tidak akan dicalonkan. Umno Pasir Puteh khabarnya sedang menimbang beberapa nama lain untuk diletak di kerusi Parlimen Pasir Puteh.
Tawaran jawatan senator katanya dijanjikan kepada ketua Umno bahagian ini.
Selain itu Awi juga dikatakan sukar untuk menang di mana-mana empat kerusi Dun di dalam Pasir Puteh termasuk di kampungnya sendiri di Semerak. Latar belakang dan kelulusannya dijadikan alasan kenapa beliau tidak berkelayakan menjadi calon. Stail politiknya ala-ala samseng juga menyebabkan Umno Pasir Puteh menilai sejauh mana penerimaan politik Alwi diterima rakyat.
Begitu juga dengan Abdullah Yassin yang sebelum ini kalah di Meranti besar kemungkinan tidak akan dicalonkan apabila Umno sudah mengenal pasti calon lebih berwibawa serta bersih untuk diletakkan di Meranti.
Abdullah pernah kalah di Parlimen Rantau Panjang dan Dun Meranti. Antara masalah menyebabkan Abdullah hilang peluang untuk bertanding ialah ekoran karektor beliau yang kurang disenangi di Rantau Panjang.
Berlainan dengan Tengku Razaleigh Hamzah walaupun beliau masih berpengaruh di Gua Musang dan harapan Umno untuk menang cerah kalau parti itu meletakkan Razaleigh tetapi disebabkan beberapa tindakan Ketua Umno Gua Musang itu tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan menjadi penghalang untuknya menjadi calon.
Tengku Razaleigh yang masih sayang kepada Umno tidak gemar dengan pendekatan dan hala tuju perjuangan Umno yang sudah lari jauh dari perjuangan asal. Tindakan protes beliau dalam hal ini serta sependapat dengan pembangkang (Pakatan Rakyat) mengenai isu-isu tertentu khsusnya yang berkepentingan rakyat Kelantan menjadikan pucuk pimpinan kurang senang kepadanya.
Gerakan bawahan juga dilakukan untuk mencabar Tengku Razaleigh. Hasrat Tengku Razaleigh untuk terus mencabar kedudukan Najib sebagai presiden dalam pemilihan parti akan datang juga menjadi faktor kenapa Tengku Razaleigh kemungkinan tidak akan dicalon.
Tindakan itu walaupun seakan Umno melakukan harakiri di Gua Musang tetapi ia adalah tektik untuk mengurangkan gah Razaleigh sebagai pemimpin Umno apabila beliau tidak lagi menjadi ahli Parlimen. Adalah dipercayai Umno rela mengorbankan kerusi parlimen Gua Musang demi menghalang Razaleigh mencabar Najib.
Dalam perkiraan Najib, Tengku Razaleigh akan sulit untuk dicalonkan sebagai presiden Umno apabila beliau sudah tidak memegang apa-apa jawatan di dalam parti khasnya ketua bahagian dan ahli parlimen. Jelas kalau Tengku Razaleigh disingkirkan sebagai calon ia adalah tektik menghalang Razaleigh bertanding merebut jawatan presiden Umno.Tindakan itu diambil bukan untuk kepentingan parti tetapi kepentingan presiden. [wm.kl.9:35 am 13/02/12]
No comments:
Post a Comment