Tuesday, September 4, 2012

Filem Klasik Melayu - Arab Di Tayang Di Kedah Pula

CATATAN TENGAH MALAM

Saya baru lepas menyaksikan klik video mengenai serangan dan gangguan sekumpulan manusia terhadap Anwar Ibrahim yang sedang memberi tazkirah di dalam sebuah masjid atau surau di Kedah. Peristiwa ini berlaku malam semalam semasa Anwar ke negeri itu dalam rangka jelajah merdeka dan berhari raya dengan rakyat. Jangka hayat kilik video lebih kurang 20 minit.

Menarik dan mendebarkan. Itu apa yang dapat saya simpulkan apabila sesudah menyaksikan klik video berkenaan. Ia ada iras-iras dengan sebuah filem Melayu klasik yang dilakukan oleh Haji Mahadi kalau tidak salah judulnya, Isi Neraka.

Dalam filem itu Haji Mahadi menjadi seorang lebai yang datang dari Arab dan mengajar agama kepada penduduk kampung di Melaka yang jahil. Kemunculannya tidak disukai oleh penduduk kampung. Mereka memerangi Haji Mahadi. Pada satu hari ketika Haji Mahadi sedang mengajar beliau dilontar telur busuk oleh budak-budak nakal kampung berkenaan.

Puak pengacau melaung mengutuk Anwar.
Klik video itu juga mengingatkan saya kepada filem klasik Arab mengisahkan mengenai kesabaran dan mehnaj dihadapi Nabi Muhammad s.a.w. semasa menjalankan dakwah. Beliau diserang dan dikecam oleh Arab jahiliah. Setiap kali cuba menyampaikan risalah Allah baginda dihina, dikutuk dan dikata dengan berbagai-bagai kata-kata nesta. Muhammad penipu, Muhammad pembohong, Muhammad pereka cerita dan sebagainya.

Mereka cuba hendak redah masuk tetapi dihalang.
Jadi apabila saya melihat kilik video itu fikiran saya terhimbau kepada peristiwa di dalam filem klasik Melayu dan Arab itu. Saya merasakan filem itu kini dilakonkan semula dengan wajah-wajah dan watak baru yang lebih realistik. Bezanya lokasinya di Kedah bukan di Arab atau Melaka di zaman dahulu. Apa yang berlaku di surau di Kedah itu bukan filem lagi tetapi sebuah peristiwa yang benar-benar berlaku.

Anwar terus memberi tazkirah tanpa peduli gangguan.
Di sini saya ucapkan terima kasih banyak kepada sekumpulan orang yang memakai baju hitam yang menjadi atau memegang watak-watak hidup dalam filem klasik itu. Tentu terima kasih juga kepada pengarah dan penulis skripnya.

Ia dramatik dan realistik sekali. Apa tidaknya sewaktu Anwar membaca ayat-ayat Qur'an golongan baju hitam dan bertopi kuning itu melaung-laungkan kata-kata nesta dan buruk ke atas Anwar. Terdengar ada yang menjeri ... Anwar penipu...bohong... dan ada juga yang meminta Anwar berhenti.

Itu perempuan bertudung merah minta Anwar balik,
Bahkan perkataan paling memalukan untuk saya sebutkan di sini pun dihembur juga oleh puak pengacau itu. Mendebarkan apabila sesekali mereka membuat acahan untuk menyerbu masuk ke dalam surau atau masjid itu tetapi dihalang oleh hadirin didalam.

Seorang peserta yang bergaul dengan pengacau itu berpakaian tudung merah melaungkan - "baliklah tak usah jual minyak angin...." Manakala yang lain pula melaung, baiki diri sendiri dulu baru boleh ajar orang lain.

Anwar diiringi balik selepas selesai tazkirah.
Namun di celah-celah sorak sorai dan asakan untuk memasuki ke masjid itu ada juga yang menyilang kata meyenangkan dengan berkata; mereka syarah agama, biarkan. Kalau mereka cakap politik baru kita bertindak. Ah rupanya dalam kumpulan itu ada juga yang masih berfikiran rasional.

Yang bagusnya hadirin di dalam masjid yang sedang mendengar tazkirah Anwar berjumlah sama ramai dengan pepuak itu tenang sahaja. Mereka seakan tidak pedulikan dengan jerit pekik diluar. Seolah-olah sudah faham dengan gelagat kumpulan berkenaan. Melihat kepada galagat  dan sling cakap mereka, mereka adalah dari kampung berhamnpiran masjid berkenaan.

Tenang dan syukur saya, debaran dada saya berhenti setelah selesai menonton kilik video berkenaan dan tiada berlaku apa-apa kejadian yang buruk terjadi. Bahkan lontaran selipar atau kasut ke dalam masjid yang dibesar-besarkan sebelum ini tidak pun ternampak di dalam video berkenaan.

Saya percaya kalau mereka yang berada di dalam masjid ikut bertindak mengikut perasaan dan retak serta iramal dipalu di luar masjid mungkin kejadian buruk akan berlaku. Mungkin ada yang bengkak muka dan darah akan menitis. Sebaik tazkirah selesai yang diringi dengan salawat ke atas nabi, puak pengacau pun perlahan-lahan berundur sama. Walaupun awalnya mereka memberi amaran keras (tetapi tidak dipatuhi) berundur secara aman. Melihat cara mereka berundur seperti berundurnya jemlang dan syaitan tatkala azan dibunyikan.

Ternampak juga ada anggota kumpulan itu turut sama bersalaman dengan Anwar sebaik Anwar diiringi keluar dari surau atau masjid itu.

Yang menghairankan saya, kenapa gangguan itu dibiarkan berlaku. Apakah peranan anggota polis? Saya nampak ada mereka yang memakai uniform polis berada dalam kumpulan itu. Kenapa merka tidak bertindak menyuraikan keadaan? Ini menganihkan saya.

Meyimpulkan apa yang berlaku menerusi klik video berkenaan, ia adalah gangguan biasa yang belum sadis dan lasak lagi. Tetapi laungan kata-kata kesat dilempar ke atas orang yang berada di dalam masjid oleh orang berada di luar masjid sesuatu yang tidak wajar. Sudah tentu orang akan membuat kesimpulan orang diluar masjid itu sebagai jahat dan pengecut. Perbuatan mereka juga menyalahi adat agama dan juga ajuaran Islam.

Kalau saya menjadi pemimpin Umno Kedah saya akan merasa malu dengan kejadian itu. Umno Kedah perlu bertanggungjawab atas insiden berkenaan. Kerana walaupun mereka mengakui diri mereka adalah ahli pertubuhan sebuah Ngo, tetapi mereka adalah penyokong dan ahli Umno. Saya cukup yakin hakikat  itu.

Kalau saya jadi Mukhriz, atau Ahmad Bashah atau sesiapa pemimpin Umno Kedah akan merasa malu yang amat dan akan mengambil tanggung jawab berhenti menjadi ahli pertubuhan Umno serta merta. Ini kerana apa yang terjadi itu ia mencerminkan begitulah sifat dan fiil ahli Umno. Tetapi apakah pemimpin Umno ada muka? Muka mungkin ada tetapi air muka tidak ada. [wm.kl.1:06 t/malam 03/09/12]

No comments: