MERENUNG KATA
[kemaskini] Barang kali saya tidak perlu membongkar 'rahsia' Dr Mohd Asri Zainal Abidin seperti dijanjikan dalam catatan awalnya kerana apa dimaksudkan rahsia itu sudah terbongkar. Beliau terlebih dahulu mendedahkan rahsianya di dalam twiternya kemudian sudah di
highlightkan oleh beberapa protal berita.
Yang saya
maksudkan sebagai rahsia bukan penegasannya tidak akan bertanding di dalam pilihan raya akan datang, tetapi perjumpaannya dengan Najib Razak. Bagi saya perjumpaan itu menarik dan memberi (mungkin) idea menjadikan beliau membuat keputusan tidak mahu terlibat dalam pilihan raya.
Secara peribadi saya setuju kalau beliau tidak terlibat dalam pilihan raya. Biarlah dia kekal berada, berstatus seperti sekarang ini. Harga dirinya lebih mahal dan dia akan menjadi 'hak' semua. Ilmunya tidak dikotori dengan unsur dan elemen politik. Kalau beliau menyertai politik hanya segolongan saja akan menerimanya dan dia juga akan terkena najis siasah yang sukar untuk disamak.
Malaysia politiknya masih belum matang lagi. Kalau kita menyertai sesebuah parti kita akan dikeji dan dikecam sampai ke akhirnya oleh parti yang menjadi musuh kita. Dari segi ilmu mungkin boleh tetapi sosial politik sukar dipraktikan. Maksudnya kita boleh berada di satu pentas wacana tetapi tidak di bawah satu wadah membawa kebajikan kepada rakyat.
Jadi keputusan Asri itu tepat. Cuma apa yang hendak saya sunggungkan - kalau boleh beliau menulis, mendedahkan apakah isi pertemuan beliau dengan Najib tempoh hari. Tentu percakapan beliau dengan Najib ada perkara dan sudut yang boleh dimanfaatkan tanpa merendahkan sesiapa.
Saya tidak fikir pertemuan itu tiada ole-ole dari Najib untuk Asri. Setidak-tidaknya diberi masa dan bahan untuk difikirkan. Semoga sahaja bahan itu ada, dan ianya memberi faedah kepada kita semua. Asri akan menatijahkan juga itu suatu hari nanti.
(ii)
Rupanya catatan saya mengenai Asri itu bukan saja mendapat perhatian oleh pemerhati politik dan peminat Asri. Tetapi ia juga menjadi perhatian ahli-ahli ISMA atau Ikatan Muslimim Malaysia. Sekurang-kurang ada tiga orang (ahli?) ISMA membuat teguran dan penjelasan berhubung sentuhan secara tidak langsung mengenai seperti mana saya catatkan. Satu teguran saya publish dan satu lagi saya buang.
Seorang menasihat saya agar tidak memfitnah dan mengambil kira bahawa setiap butir huruf di
keyborad akan dikira dan dihitung akan dosa dan pahalanya. Terima kasih kerana mengingatkan itu. (Inilah baru saya tahu bahawa mengetuk
keyboard itu juga termasuk dalam dosa dan pahala). Betapa pun kita akan terlupa dengan hal-hal begitu. Surah
al Ashr memberi pernyataan jelas akan perkara ini. Mungkin saya tidak pernah membaca suruh itu di sepanjang hidup saya?
Beliau lalu menghuraikan satu persatu apa yang saya fitnahkan itu. Apa yang dapat saya fahamkan dia tidak faham dengan bentuk penulisan saya, mengenai dialog saya dengan Asri itu yang berbentuk agakan dan spekulasi. Saya bertanya Asri siapakah wakil ISMA yang menjadi panel? Saya agak Abu Zaik (presiden) ke atau Aminruddin (setiausaha)? Saya hanya mengagak dan bukan mengatakan salah seorang mereka yang menjadi ahli panel.
Terus terang saya kata saya hanya kenal dua nama itu saja dalam ISMA. Adapun nama Hazizi yang menjadi ahli panel itu hanya baru itu pertama kali mengenalinya.
Ahli ISMA itu beranggap saya membuat fitnah hal itu lantas mengingatkan saya. Macamlah dia alim sangat dan terlindung dari dosa kecil dan dosa besar. Inilah sikap dan perangai pendakwah kita yang merasakan dirinya sudah
perfect. Tidak mengapa saya terima. Saya anggap teguran itu ikhlas walaupun teguran itu sebenarnya tidak berasas dan dari seorang yang tidak faham penulisan saya.
Teguran dan penjelasan ahli ISMA bernama Dr Nizam Zakaria di bawah ini saya kira lebih bermutu dan ikhlas.
Salam tuan MSO,
Saya pembaca tulisan penulis sejak tahun 98 lagi.
Tapi inikali pertama terpanggil untuk meninggalkan komen. Terutama
apabila penulis menulis tentang ISMA. Benar, saya seorang ahli ISMA dan
terpanggil untuk menjawab apa yang penulis lakarkan dalam entry ini.
Saya meraikan perbezaan pandangan dan kebebasan akan dan pendapat. Namun
ia wajar diikuti dengan tanggungjawab dan kejujuran. Tudahan penulis
terhadap ISMA menerima duit dari UMNO adalah tidak benar. Tidak wajar
dikaitkan semua yang tidak bersama dalam pakatan sebagai agen UMNO. Ia
adalah kesilapan yang merendahkan akal manusia. Ia juga berbau fitnah
yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah. Menerima bantuan
kewangan dari JAKIM dan sebagainya sebagai sebuah NGO bukan seerti
dengan suapan UMNO. ISMA adalah NGO yang menggunakan manhaj tarbiyah
mendidik manusia. politik hari ini hanyalah sebahagian kecil dari projek
dakwah kami. Boleh berkenalan dengan kami lebih lanjut sekiranya mahu.
Terima Kasih, Wallahu a'alam.
Saya tidak mahu mengulas teguran Dr Nizam ini dan anda boleh nilai sendiri dengan membaca balik dialog saya dengan Asri dalam intry terdahulu serta mengintai kegiatan dakwa dilakukan oleh ISMA dan mengkaji sejauh mana serius tuduhan saya itu. Kalau kita bertanya dan mengkaji apakah tujuan ISMA mengambil Berjasa untuk bertanding dalam pilihan raya sudah dapat diketahui ke mana hujung jatuh dan niat ISMA ini. ISMA sudah berjeluah dengan politik?
Orang menilai kita bukan apa yang ada dihati kita atau nawaitu kita, orang menilai dan menghukumnya terhadap apa yang kita buat dan kita ucapkan. Saya lebih melihat ISMA dari perbuatannya bukan niat. Kecewalah kalau Nizam mengharapkan orang menilai ISMA menerusi niatnya. Niat ada sesuatu yang bersifat ghaib.
Saya menghormati dan sanjung kalau ISMA berdiri sebagai sebuah wadah untuk menjernihkan politik orang Islam di negara ini. Saat sesetengah cerdik pandai hilang kepercayaan kepada PAS dan Umno parti Melayu dan Islam kehadiran ISMA merupakan satu rahmat. ISMA boleh jadi penjernih politik walaupun mustahil boleh jadi penyatu hubungan politik. Apabila ISMA melibatkan diri dalam politik nawaitu asal tadi sudah tercemar.
Apabila ia juga ikut terlibat dengan politik, apa lagi penyertaannya dengan tujuan menganggu sesuatu pihak dalam mengaut undi Melayu dan Islam, maka ISMA tidak dapat mengelakkan dirinya menjadi alat kepada mana-mana pihak dan menjadi musuh kepada pihak lain. Pasti bagi PAS yang juga berjuang atas nama Islam merasakan kehadiran itu sebagai pengacau.
Saya yakin apabila ada ahli ISMA bertanding atas Berjasa ia akan menyebabkan orang PAS khasnya, terasa hati. Mereka mengetahui siapa dan apa Berjasa itu. Berjasa ditubuhkan tahun 1978 menjadi alat dan perkakas kepada Umno untuk menumbangkan PAS. Dengan mengambil Muhammad bin Nasir (tokoh yang dijulang jujur oleh Umno sebaliknya pengkhianat bagi PAS) sebagai tokoh Berjasa meranapkan kerajaan PAS di Kelantan.
Nah, sifat dan peranan Berjasa itu masih kekal sampai ke hari ini cuma dalam konteks berbeza. Ahli ISMA tidak boleh berbohong akan nawaitu politik ini. Kalau pimpinan ISMA menafikan ia adalah satu penipuan besar kepada ahli-ahlinya.
Mengenai tanggapan saya menuduh ISMA mendapat duit dari Umno yang sangat dikesali itu, sukacita saya jelas ia dalam hubungan politik. Kalau ahli ISMA sudah bergabung dengan organ politik, tidak boleh tidak masalah kewangan tetap akan timbul dan terkait sama.
Pilihan raya memerlukan kewangan besar. Saya tidak fikir ISMA mempunyai kewangan yang cukup. Dalam hal ini kerana Berjasa itu 'berkerja' untuk Umno maka bantuan kewangan tidak dapat tidak akan disalur. Kalau bukan direct dari ibu pejabat Umno tetapi dari orang Umno tertentu. Rasanya saya boleh tunjuk siapa individu yang sedia membantu.
Mungkin ahli ISMA akan berkorban mengeluarkan duit, tetapi apakah ia cukup mencapai maksud melalui strategi itu? Dan kalau bertanding setakat nak jual lambang Berjasa rasanya tidak payah. ISMA harus menetapkan ia boleh menarik 10 atau 20 peratus undi Melayu untuk mengalahkan calon bukan Melayu. Bagaimana pula kalau pertandingan itu berlaku di antara PAS dengan MCA yang didokong oleh Umno?Di mana garis tengah ISMA kalau ini berlaku?
Kita harus jujur dan terbuka dalam soal ini. Adalah lemah akalbudi kalau ISMA menyertai politik, meletak calon menerusi Berjasa untuk pecah undi sedang ianya membelanjakan wang ringgit sendiri. Apakah ini dikatakan manhaj dakwah ISMA? Rasanya ISMA lagi terhormat kalau mengecualikan diri dari para 'berjois' politik seperti dilakukan Mohd Asri Zainal Abdin. Harap ISMA fikir kembali untuk meletak calon penganggu dalam pilihan raya akan datang. Saya bimbang nama baik dan penghormatan ISMA selama ini tiba-tiba menjadi hamis pula.
Masa masih ada untuk bermahasabah! [wm.kl.4:40 pm 19/03/13]
5 comments:
Apakah tujuan isma hendak bertanding? Memerintah Malaysia? Bilangan kerusi x cukup pula.
Jadi bagaimana nak mencapai matlamat kalau bertanding sekadar dgn bilangan kerusi tertentu dan di tempat tertentu pulak spt sudah di khas kan pulak.
Dalam politik nombor ialah segalanya. Maka kalau nombor atau bilangan kerusi pun spt hidup tak nak, mati pun segan, apa rasionalnya nak memecahkan undi?
Itu membawa kpd perpecahan. Apakah isma ini bertujuan utk memecah belahkan?
- Kalau bukan, x perlu lah menjadi alat Pihak tertentu utk bertanding sekadar memecah belahkan.
- Kalau iya, maka nilaian isma ini sekadar berharga najis ayam semata.
Maaf apakah sumbangan isma kpd Islam setakat ini? Tak pernah terdengar langsung ttg isma sblm ini. Itu sudah cukup menunjukkan kegagalan isma utk mempromosikan gerakan mereka yg membawa jenama Islam (?).
2 soalan untuk ISMA....
1) Apakah ISMA bersetuju prioriti pertama di dalam Pilihanraya di Malaysia ialah untuk menjatuhkan hegemoni Barisan Nasional di dalam setiap sistem kehidupan di Malaysia?
2. Jika jawapannya ialah "YA", maka sedarkah ISMA bahawa penglibatan ISMA di dalam pilihanraya ke 13 ini telah mengganggu, membantut, menghalang dan seterusnya berusaha untuk menggagalkan kesepaduan strategi Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan Barisan Nasional?
3. Jika jawapannya ialah "TIDAK" untuk soalan pertama di atas, maka jelaslah ISMA seperti bermimpi lantas keliru dengan mimpinya, sementara keikhlasan perjuangannya, Malaikat pun tidak tahu, hanya Allah swt yang Maha Mengetahui.
Sayang seribu Kali Sayang, ahli isma tidak tahu sejarah. Mereka juga seolah menutup mata kepada siapakah Berjasa yang sebenarnya.
Saya percaya anak-anak muda dlm jemaah ISMA ini tidak tahu pun ttg Berjasa. Kalaupun pemimpin atasan mereka tahu, mereka takkan membocorkan rahsia itu kerana kelak Bakal mengundang fitnah yg dahsyat kepada diri sendiri.
ISMA dari dulu menyeru Pas Dan UMNO bergabung membentuk kuasa melayu dlm politik. Seperti yg kita tahu Seruan ISMA itu menunjukkan betapa naïf ISMA memahami kekuatan suara Islam di Msia. Sedarkah ISMA, untuk menjamin kekuatan Dan survival Islam di Msia, pas Dan Umno sesekali tidak boleh bersama kerana ia makin membawa pepecahan Dan pergolakan. Buktinya apa yg pernah terjadi di Kelantan pada tahun 1978 sehingga tahun 1990. Apa yg terjadi di Kelantan sepanjang 12 tahun itu patut menjadi kajian ahli-ahli ISMA yg cintakan Islam Dan melayu. Kalaupun betul kita nak berpakat pun biarlah kita tahu siapa umno ini.
Walaupun Saya setuju byk dengan Pak MSO dlm byk Hal, tetapi dlm Hal dr Maza tidak bertanding, Saya punya pandangan lain. Mungkin pandangan ini masih mentah untuk dinilai berbanding fikiran Pak MSO yg Saya kenal amat kritikal orgnya. Bagi Saya, sebagai org muda, Saya tertunggu kepimpinan baru Dari seorg agamawan seperti Dr Maza. Kebanyakan kepimpinan yg ditonjolkan Pas Dari Kumpulan agamawan masih Belum menyerlah. Kita bukan hanya mahu org yg boleh bercakap ttg manhaj Islam dlm masyarakat. Tetapi kita ingin melihat kepimpinan pas yg yg boleh mengimplementasikan the essence of Islam dlm masyarakat. Pas Ada tuan guru sahaja yg menyerlah dlm Hal ini. Dr Maza pada pandangan Saya, setelah membaca tulisan Dan mendengar pidato/ceramah beliau Ada kredibiliti Dan kelebihan ini utk ditawarkan utk masyarakat Islam Dan bukan Islam dlm negara ini.
Salam, bagi kes Dr Asri, saya harap beliau dapat meneruskan kelangsungan teguran beliau sebagai orang yg non partisan supaya nasihat beliau tidak dilihat sebagai nasihat politik.. bagi kes ISMA, andai mereka ikhlas dan mahu berdakwah, maka mereka boleh belajar dgn Dr Asri bagaimana untuk berhujah dan berdakwah melangkaui batasan politik. Dengan mengambil keputusan untuk bertanding pilihanraya, jelas sekali mereka telah mengganggu kerja dakwah PAS. Saya tidak mahu menuduh, tapi rasanya, ISMA=JATI...Bapa tentu lebih arid...
Salam! Apa yang dimaklumkan kepada saya, ISMA nie akan bertanding di kawasan yang dimenangi oleh ADUN-ADUN atau MP-MP bukan Islam. Alasan mereka, untuk bantu kaum Melayu Islam yang pada pandangan mereka tidak diurus dengan betul. Bila disanggah, kenapa diutamakan bangsa Melayu dulu dan tidak Islam? Jelas, ISMA nie sama aje dengan umno ...
Post a Comment