Friday, March 29, 2013

Demi Kemenangan UBN di Sabah, Rakyat Filipina Perlu Pulang

TAZKIRAH JUMAAT                                                                                                        

Sebahagian besar peniaga dalam pasar ini orang Filipina.
Kalau kita menerima pandangan dan analisa sesetengah orang dan pemerhati politik, tragedi pencerobohan Lahad Datu yang membawa pertumpahan darah sesama serumpun dan segama, ianya sebagai satu tektik atau sandiwara orang akan marah. Kerajaan akan melenting 'murih' kepada penuduhan demikian. Pasukan keselamatan juga marah kerana anggota mereka sudah terkorban, tinggal anak dan isteri, masakan ia satu sandiwara. Nyawa bukan barang boleh dimain-mainkan walaupun nyawa Altantuya dilayan seperti nyawa seekor semut hitam.

Apa yang berlaku di Lahad Datu itu, pencerobohan, serangan, pembunuhan dan kematian adalah realiti. Ia sesuatu yang betul-betul berlaku akibat nafsu dan kurang bijaknya manusia dalam menguruskan kehidupan atau pun terlupa dengan kata-kata sendiri.

Polis mati.. sahih. Penceroboh mati... sahih. Orang awam berpindah randah dan ketakutan.. sahih. Kedamaian di Sabah Timur yang dikecap dan dinikmati selama ini terganggu dan tercemar adalah sahih. Semuanya sahih belaka.

Pengeboman sahih, sekat jalan raya sahih, balai polis bergelap waktu malam juga sahih. Jadi mana yang dikatakan sandiwara? Sesuatu yang menghiriskan jiwa kalau ia dianggap sandiwara sedangkan banyak nyawa yang hilang. Yang merasai dukacita atas kematian akibat tragedi itu bukan saja dari kita dan keluarga anggota kita yang terkorban juga di sebelah sana. Mereka juga manusia yang ada hati dan perut sama dengan kita.

Iya bukan sandiwara yang bermula dengan sebuah skrip, seorang pengarah dan sebuah pentas yang mengenakan tempo tertentu untuk bermula dan ditamatkan. Ia bukan opera. Ia suatu hakikat yang menggerun dan menyesalkan. Apa yang dinamakan sandiwara ialah pengeksploitasian politik atas tragedi itu. Yang disandiwarakan ialah selepas berlaku tragedi itu bukan tragedi itu disandiwarakan. Bodoh dan bahlol sangatlah kalau pengarah atau produser menjadikan itu sandiwara kerana ia sampai meragutkan nyawa.

Kita akui Najib Razak, Hishmuddin Hussein atau Ahmad Zahid Hamid belum gila lagi untuk menjadikan nyawa sebagai modal politik. Mereka tidak akan tergamak untuk meletakkan nyawa manusia sebagai mendapat benefit politik. Memang celakalah kalau itu berlaku dan kalau ada orang beranggapan demikian.

Apa yang dapat dilihat dan makin terasa ialah kesempatan diambil atas kejadian itu. Apakah Tuhan mentakdirkan kejadian itu untuk memberi kesempatan kepada Umno? Itu yang kita tertanya-tanya hari ini. Kerajaan UBN telah mengambil kesempatan atas apa yang berlaku untuk mengukuhkan kedudukannya. Kronologi ini dapat dilihat dari masa ke semasa dan seterusnya. Makin lama direnungi dan dilihat tragedi itu nampak semakin tidak begitu realistik?

Cuma yang tidak dapat dipertikaikan semua kesempatan diambil itu ada logik dan munasabahnya. Dengan kekacauan yang berlaku dan kebimbangan puak Sulu akan membalas dendam terus menyerang dan menceroboh Sabah wajar kalau langkah keselamatan lebih ketat diambil. Pengezetan 10 kawasan sebagai kawasan keselamatan khas adalah wajar dan tepat. Itulah langkah bijak dari sudut pertahanan negara.

Sesiapa pun tidak boleh menolak keperluan dan kepentingan itu atas alasan dan tanggungjawab soal keselamatan negara yang tidak boleh dimain-mainkan. Tetapi apabila kita melihat atau menyedari di dalam kawasan itu mempunyai tujuh kawasan parlimen dan 15 kawasan Dewan Undangan Negeri, menyebabkan semacam pengezetan itu untuk kelabaan politik Umno. Kerajaan UBN persis ada kepentingan tersendiri di sebalik pelaksanaan kawasan keselamatan khas itu.

Bila kawasan itu diletakkan dalam kawasan keselamatan khas, pergerakan masyarakat, aktiviti sosial dan politik dan sebagainya tidak sebebas dahulu. Pasti Jawatankuasa berkenaan mengawasi kawasan itu dengan mengenakan tindakan atau pun sekatan-sekatan tertentu. Parti kecuali UBN tidak akan dibenarkan menjalankan aktiviti mereka di situ. Manakala UBN pula bebas menjalankan aktiviti mereka atas nama program keselamatan dan kerajaan.

Dengan menggunakan SPR sebagai alatnya SPR pasti akan menggariskan syarat-syarat luar biasa di kesemua kawasan itu semasa berlangsung pilihan raya kelak. Sebelum ini pun pengerusi SPR menyatakan mereka ada cara tersendiri (alternatif) untuk melaksanakan pilihan raya di kawasan bergolak. Apakah maksud dan makna di sebalik kenyataan itu?

Terbaru pula dilaporkan setakat hari ini sebanayak 4,771 orang rakyat Filipina yang berada di Sabah sama ada yang memperolehi Kad Pengenalan menerusi Projek IC  atau tidak telah kembali ke Filipina. Mereka lari menyelamatkan diri menuju ke Basulta, iaini pulau-pulau Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi. Pulau-pulau ini berdekatan atau bersempadanan dengan Lahad Datu, Semporna dan Sandakan.

Perangkaan ini menurut laporan Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) Filipina. Angka ini boleh dianggap rasmi. Daripada jumlah itu, seramai 2,861 orang dewasa dan 1,860 lagi kanak-kanak.

Menurut laporan itu jumlah itu dijangka akan meningkat selagi krisis pencerobohan tidak akan diselesai. Ironinya penyelsaaian krisis itu tampaknya makin meruncing bahkan lebih serious apabila kerajaan Malaysia telah menghantar atau menambahkan anggota pasukan keselamatan di Sabah serta menghantar peralatan perang lebih canggih. Amat mustahil kawasan tersebut kembali tenang dan damai dalam tempoh terdekat ini atau sebelum pilihan raya diadakan.

Dipercayai bilangan rakyat Filipina di Sabah lebih banyak lagi akan kembali ke negara mereka. Mereka tidak akan tinggal di bumi Sabah lagi kerana bumi itu tidak lagi menjamin kemanan kerana pasukan keselamatan Malaysia akan memburu mereka siang dan malam.  Sesiapa yang enggan meninggalkan Sabah akan ditangkap dan didakwa atas apa-apa kesalahan dan tuduhan. Ini menakutkan mereka.

Perkembangan itu - perlarian pulang rakyat Filipina itu menjawab beberapa persoalan sebelum ini, apa sebenar yang berlaku di sebalik pencerobohan itu dan apa yang diharapkan darinya. Maksudnya apakah agenda sampingan yang telah dilakukan. Bolehlah disimpulkan disini tindakan-tindakan susulan atas nama keselamatan negara itu diambil adalah untuk memastikan rakyat Sabah yang diberi kad pengenalan menerusi Projek IC tidak akan mengundi dalam pilihan ke-13 ini. Mereka harus dihalau atau pulang kerana UBN bimbang kalau mereka diberi peluang mengundi undi mereka akan berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Umno Sabah khasnya sudah mengetahui akan gejala ini. Rakyat Filipina yang dianggarkan sebanyak 80,000 hingga 130,000 yang diberikan kad pengenalan tidak akan akur kepada kehendak Umno dan mula memprotes apabila janji-janji mereka tidak dipenuhi oleh parti itu setelah melalui dua kali pilihan raya. Dalam kata lain janji-janji yang dicurahkan ke telinga mereka tidak ditepati sebaliknya dikhianati.
Sebagai manusia waras dan terdesak untuk hidup senang mereka akan menagih segala janji-janji itu. Ia menjadi lebih menarik lagi apabila Najib melaungkan slogan 'janji ditepati'.

Jadi bagi memastikan undi mereka tidak memberi kesan buruk kepada masa depan UBN, maka pengusiran secara tektikal untuk keselamatan negara perlu dilalukan. Nah, hari ini apabila ribuan rakyat Filipina termasuk dipercayai memilik kad pengenalan sudah pulang ia boleh mengurangkan risiko menghadapi kekalahan. UBN sangat berharap kepulangan rakyat Filipina yang layak mengundi ini seoptimun yang boleh.

Baru-baru ini juga seorang pemimpin BN Sabah beragama membuat gesaan supaya semua kad pengenalan yang diberikan kepada rakyat Filipina dirampas balik. Sekali lagi ia dibuat atas 'maslahat' keselamatan. Tetapi apakah pengertian disebalik gesaan itu? Sekiranya rakyat Filipina tetap akan mengundi UBN mereka tidak akan menggesa agar berbuat demikian. Sebaliknya mereka akan dipelihara dan diberi perlindungan.

Dari sudut keselamatan negara dan atas semangat patriotisme wajar kalau pemberian kad pengenalan itu dimansuhkan atau dirampas balik. Mereka memang tidak berhak untuk membuat apa-apa keputusan atau terlibat dengan apa-apa juga hal ehwal rasmi dalam negara ini termasuk dalam proses pemilihan pemimpin. Biarlah rakyat negara ini menentukan nasib dan masa depan negara mereka sendiri.

Timbul persoalan di sini kerana pemilihan kepimpinan di Sabah (pilihan raya) telah melibatkan rakyat Filipina, sehingga jatuhnya kerajaan PBS kira-kita 25 tahun lalu apakah tidak boleh dikatakan bahawa kerajaan Umno Sabah itu adalah kerajaan haram atau bukan kerajaan genuine yang dipilih oleh rakyat Sabah?

Kalau inilah realitinya maka Umno harus meminta maaf di atas perbuatan keji dan tidak patriotismenya sebelum ini kerana membenarkan rakyat Filipina menentukan nasib dan masa depan negeri itu. Umno kena bertangungjawab didalam hal ini. Makanya adalah wajar kalau rakyat Sabah baik Bumiputera Islam, atau bukan Islam, Kadazan, Dusun atau Cina dan lain-lain menghukum Umno dalam pilihan ke-13 atas kesalahan dan dosa-dosa besarnya di negeri Bawah Bayu itu. Ini kalilah. [wm.kl.12: 30 t/hari 12/03/13]

3 comments:

hah! said...

Dari segi keuntungan pada Islam: Beri IC kpd pdtg muslim Filipina, untung atau tidak?
Fikirkan, apakah tggjawab kita kpd sdra semuslim yg minoriti di ngra2 jiran......

firdaus said...

Kalau disini dalam politik di malaysia sesama muslim sudah biasa fitnah menfitnah video lucah sex liwat dan byk lagi..bagaimanakah isu pemberian ic ini benar benar membantu sesama umat sesama islam
dikatakan agbimudin bekas ADO Kudat mengapa dia bekas org kerajaan khianati negara

Unknown said...

Adakah ianya relevant???

Pernah kah anda ke dunia arab??? mudahkah anda mendapat kerakyatan disana????? atau senangkah anda mendapat pemastautin sementara???
Lebeh² lagi negara Kuwait, Lebnon, Syria dan lain².

Jika anda memasuki negara² berkaitan sebagai tenaga Pro. anda dikehendaki memperbaharui segala macam persuratan bila sampai tempohnya. Nak minta jadi rakyat???? Haram. sama sekali.

Tambahan Kuwait .....pendatang dah tiga empat keturunan masih di beri permit dan dokuman pendatang, yg perlu di kemaskini.

1Mesia nih lainlah......senang nak jadi rakyat......habis orang champa burma, mat banggla, mat indon dan mat pilipin boleh jadi rakyat dan boleh ngundi pulak.......itu lah baiknya hati "penganut² mazehab umno". biar mampoih.....asal spesis umno senang lenang.