Malam tadi saya jadi ahli panel satu Bualbicara di Taman
Melawar, Gombak. Majlis itu anjuran PAS Kawasan Batu. Sebenarnya sdr Tarmizi
Mohd Jam yang juga Timbalan YDP PAS kawasan itu sudah kerap mengundang saya
untuk ikut sama berpartisipasi dalam program politik di kawasannya dengan
memberi pandangan dan ulasan perkembangan politik semasa. Tetapi beberapa
undangan terpaksa ditolak kerana tidak kebetulan dengan masa saya lapang.
Perlu saya sebut kerajinan Tarmizi dan YDPnya Cikgu Ishak
Surin boleh dipuji. Mereka kerap mengadakan aktiviti kepartian. Kandatipun
mereka tahu tidak akan dapat bertanding kerana parlimen Batu dikhaskan kepada
PKR, namun mereka tidak jemu menganjurkan program. Sikap seperti inilah wajar
dipuji oleh penggerak atau aktvis lain.
Kita mengadakan program atau aktiviti bukan mengharap
untuk bertanding dalam pilihan raya tetapi satu kewajiban dan komitmen kepada
parti. Syabas. Wajar juga kalau PAS kawasan Batu diberikan hadiah?
Biacara semalam dibawah tajuk “Pakatan Rakyat selepas
pilihan raya-13”. Memahami kepada tajuk itu penganjur mahu wacana yang
membicarakan soal masa depan Pakatan Rakyat. Apakah persiapan-persiapan yang
perlu dibuat untuk memastikan PRU-14 akan datang membuahkan hasil lebih besar –
menawan Putrajaya.
Saya menyediakan beberapa poit untuk dikemukakan dan
mendapat respon mereka yang hadir. Tetapi kerana masa terlalu pendek disebabkan
majlis bermula jam 10:00 malam, saya hanya sempat memberi dua point sahaja.
Mood majlis semalam lebih tertumpu untuk mendengar apakah bentuk-bentuk
penipuan dilakukan oleh SPR dan mengetahui apakah sebab musabab Pakatan Rakyat
kalah.
Saya bercakap diluar kemahuan hadiran, tetapi ia masih
berlegar dalam permasalahan yang tidak kurang pentingnya. Saya tidak suka untuk
mengatakan PR kalah kerana penipuan berlaku. PR masih menang sebenarnya
walaupun ada penipuan. Jadi penipuan bukan faktor pokok kenapa PR kalah.
Ann Wang Seng yang bercakap awal daripada saya
menyenaraikan soal dakwat dijari yang tidak kekal sebagai faktor kalah atau
bentuk penipuan. Saya menyanggah faktor itu dengan mengatakan PR kalah bukan
soal dakwat kekal atau tidak. Belum ada kajian menunjukkan PKR gagal untuk ke
Putrajaya kerana masalah dakwat. Bagi saya dakwat bukan masalah sebenarnya.
Dakwat hanya perkara remeh yang sengaja diperbesar-besarkan walaupun ia jelas
ada kecacatan di situ.
Apa yang saya timbulkan semalam, PR harus melihat ke
dalam. Mahasabah diri sendiri. Kekalahan PR bukan semata-mata disumbang oleh
penyelewengan dan kejahatan UBN. Tetapi ia juga disumbang oleh kelemahan PR
sendiri. Saya menyebut mengenai ketidak selarasan di kalangan pimpinan PR.
Misalnya mengenai pembahagian kerusi. Berlakunya pertandingan tiga penjuru
melibatkan sesama sendiri seperti di Sungai Aceh, Pulau Pinang, Semenyih dan Kota
Damansara Selangor adalah salah satu kelemahan PR yang sangat janggal.
Begitu juga mengenai ketidak selarasan dalam
kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah pimpinan PR ia menunjukkan
parti Pakatan Rakyat tidak selari. Paling jelas ialah kenyataan di kalangan
ulama’ PAS yang bertentangan bukan saja dengan kenyataan pimpinan PKR dan DAP
tetapi sesama sendiri juga.
Saya menekankan perkara ini perlu diberi perhatian.
Pastikan pertidihan kerusi tidak akan berlaku di masa-masa akan datang. Bagi
mengelakkan itu PR perlu menetapkan kouta kerusi awal-awal lagi. Manakala untuk
merealisasikan bahawa PR kental dan sepadu usahakan agar dalam pilihan raya
akan datang PR bertanding menggunakan satu lambang sahaja seperti komponen BN
yang bertanding menggunakan lambang dacing.
Cadangan oleh Syed Shahir supaya PR mengadakan transition
plan atau rancangan penggantian pemimpin juga sesuatu yang baik. Untuk pilihan
raya ke-14 nanti perlu ia diserahkan kepada anak-anak muda. Sehubungan itu saya
memberi cadangan agar pemimpin yang ada hari ini, yang sudah terlebih matang
dan lemak, seperti Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang atau Karpal
Singh hendaklah berundur dan mereka menjadi advisor
kepada parti masing-masing saja. Mereka perlu menjadi pengawal kepada polisi
dan dasar parti bukannya penggerak utama yang berceramah di lapangan. Kekerapan
penampilan mereka dengan membawa modal dan gaya sama mencemuhkan khalayak.
Mereka ini perlu diganti dengan pemimpin pelapis yang
kini sudah mula mengepak dan menunjukkan talent
dan kematangan masing-masing, seperti Nurul Izzah Anwar, Mohd Rafizi Ramli, Lim Guan Eng, Tony
Phua, Anthony Loke, Husam Musa, Sallahuddin Ayub, Mujahid Yusuf Rawa, Shamsul
Iskar Md Akin, Nasaruddin Hassan dan lain-lain. Alasan saya untuk lima tahun
akan datang, remaja yang kini berusia 17 tahun ke atas mereka sudah menjadi
seorang pemilih. Sudah pasti dengan tambahan itu peratus golongan muda sebagai
pemilih akan meningkat dan sudah mengatasi pemilih yang berusia 60 tahun ke
atas pada hari ini. Pemilih muda akan mencari citaranya sendiri.
Jadi kesesuaian pemimpin pada masa itu ialah pemimpin
yang hari ini berusia 45 tahun 60 tahun. Manakala pemimpin yang hari ini sudah
berusia 60 tahun ke atas sudah tidak relevan lagi, kecuali mereka yang masih
mempunyai aura dan dapat mengikut perkembangan kontanporari.
Dibawah ini saya turunkan poit-poit yang hendak saya kemukakan
semalam tetapi tidak kesamapaian.
Faktor kekalahan:
1. Persepakatan
PR tidak padu dan mantap. Pengaihan kerusi, berbalah sampai ke saat pilihan
raya. Ada perbezaan nada dan komitment di antara pemimpin Pakatan Rakyat.
Pertikaian siapa PM awal-awal lagi. Ini semua menjejaskan kepercayaan dan
keyakinan rakyat.
2. Kekalahan
di beberapa buah negeri seperti NS, Kedah, Terengganu kerana individu atau
lewat bangkit. Penonjolan individu berkenaan berlebih sangat sedang mereka
sudah menjadi liabiliti kepada rakyat. Contoh, Kamarul Baharin di NS, Azizan
Razak di Kedah, Mustapa Ali di Terengganu.
3. Pemilihan
calon dari kalangan PKR, tidak tepat dan Anwar Ibrahim sendiri berkeras mahukan
calon yang dikenali dan menjadi kawannya. Misalnya di Tanah Merah, Nik Mahmod,
di Ketereh Abdul Aziz Kadir. Awal-awal kita sudah memberi nasihat dan ramalan
mereka ini kalah maka perlu pertukaran kerusi dengan PAS, tetapi dipandang
dingin dan tidak serius menyelesaikannya.
4. Kurang
sokongan Melayu sebab gagal membalas isu-isu agama dan bangsa yang dimainkan
Umno. Kalimah Allah, Kristian yang akan mengusai dan sebagainya. PAS pula tidak
sekata, tidak ada kesepaduan dalam menyerang dan tegas dalam hal ini. Ada
pemimpin PAS yang berbolak balik. Atau mereka sesama mereka tidak sekata. Dalam
satu banner di Facebook mempamirkan baner golongan ulama’ di mana gambar-gambar
ustaz dimasukkan dan pemimpin PAS lain tidak ada. Sikap ini menggambarkan
ketidaksekataan di dalam minda PAS atau penyokongnya.
5. Kegagalan
di Johor, sebab tidak ada plan khusus dari Pusat untuk tawan Johor. Kecuali DAP
dengan hantar Lim Kit Sing bertanding di Gelang Patah. PAS pula menyerahkan
100% kepada pimpinan PAS Johor. Mungkin juga kerana PAS Johor ada cara dia
tersendiri, “Menjohorkan PAS”. Slogan atau tag line ini kena ubah, bila “Menjohorkan
PAS”, maka PAS jadi seperti Johor yang melihat soal agama agama itu hanya dalam
bidang munakad, mualamat bukan jihad. Orang Melayu melihat Johor akan jadi
seperti Singapura, mereka akan hilang. Persepsi dan keyakinan baru kena
diberikan kepada orang Johor. Dengan adanya wakil DAP di Johor dan wakil PAS
mereka dapat memainkan peranan menyakinkan rakyat Johor khasnya di kalangan
Melayu menerusi Dewan Undangan Johor.
6. Penerangan
dan penjelasan terhadap dakyah yang dibuat oleh golongan tertentu kononnya
kalau Pakatan Rakyat memerintah Johor negeri itu akan jadi seperti Singapura.
Dakyah ini menimbulkan ketakutan kepada masyarakat Johor khasnya orang Melayu
yang senantiasa cemburu dan membenci dan pesimis kepada Singapura. Pemilikan
hartanah oleh warga Singapura ke Johor yang diberi sendiri oleh kerajaan UBN
Johor menjadikan mereka bimbang. Keadaan ini wujud terutama di kalangan Melayu
Johor yang tidak celik IT. Serangan
ke atas Johor juga berkurangan, maksudnya media tidak meluas sedangkan mereka
masih menjadikan Utusan dan BH sebagai hadith pagi. Orang Johor masih
bernostalgia dengan mitos-mitos dan kurafat dalam Umno.
7. Kegagalan
Pakatan Rakyat sudah kelihatan apabila berlaku tragedi Lahad Datu. Sama ada ia
kebetulan atau dirancang itulah titik mula menghentikan momentum kebangkitan
rakyat di Sabah. Tragedi Lahad Datu memberi impak kepada seluruh Sabah. Ini
pula ditambah dengan berlaku pertandingan tiga, empat dan lima penjuru. Dalam
erti kata lain orang Sabah belum sejiwa untuk menjatuhkan kerajaan UBN. Ini bertitik
tolak kepada stail orang Sabah berpolitik, menjadikan politik sebagai barang
dagangan dan bukan peluang untuk berkuasa bagi membina negara.
Perubahan dan
persiapan Pakatan Rakyat untuk pilihan raya ke-14.
1. Pengundi
harus diberi kefahaman awal-awal yang Umno selalu mengubah tektik dan strategi
setiap kali pilihan raya. Walaupun kita tidak dapat meneka apakah strategi
tetapi ia perlu di agak awal-awal agar rakyat berhati-hati. Dalam PRU-13, BR1M
dan pemberian wang insentif lain dan tragedi Lahad Datu memberi kesan besar.
Jika ini didedahkan rakyat tidak akan terkejut dan panik.
2. Pembahagian
kerusi hendaklah dilakukan awal-awal tidak tunggu pada saat akhir. Kefahaman
perlu diberikan kepada rakyat mengenai hal ini. Apabila kerusi sudah diputuskan
janganlah ada bantahan terutamanya pemimpin sendiri harus tegas dan berpegang
kepada keputusan asas. Sikap tidak tegas ini menjadi faktor timbul kekeliruan
menyebabkan berlaku perbalahan sesama sendiri.
3. Persiapan
dari daftar pemilih, dalam tempoh lima tahu gerak kerja mendaftar pemilih
hendaklah diadakan. Ia bukan saja dilakukan secara sukarela memandang parti
Pakatan Rakyat sudah ada kerajaan, molek juga petugas diberi elaun atau
insentif khas. Parti politik perlu mengadakan dana khas untuk tujuan ini.
4. Pakatan
perlu juga mewujudkan suasana kebangsaan di kalangan mereka. Misalnya dalam
program peringkat negeri, kalau ianya program DAP sesekali orang PAS atau PKR
boleh hadir begitu sebaliknya. Dengan adanya amalan ini menampakkan kerjasama
negeri atau kerajaan Pakatan Rakyat mantap dan kemas. Persefahaman dan
kerjasama bukan saja diwujudkan dalam pilihan raya tetapi dalam gerakan atau
aktiviti sosial lain juga.
5. Isu
Melayu hendaklah ditangani sebaik mungkin. Penjelasan kepada orang Melayu perlu
dilakukan dalam berbagai bentuk dan mekanisme. Misalnya apa dilakukan kerajaan
Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang menambah peruntukan atau dana untuk
perkembangan dan aktiviti Islam adalah satu tindakan baik.
6. Bagi
menguatkan jalinan maklumat di antara parti Pakatan Rakyat sebuah media dalam
talian perlu diwujudkan. Ia juga bertindak sebagai penyalur maklumat secara
berintegrasi. Cara inlah baru dapat menzahirkan kerjasama antara parti-parti
Pakatan Rakyat bersifat menyeluruh. Lagi pun saluran maklumat yang disediakan
oleh parti-parti secara bersendirian dan terpisah seperti Roket oleh DAP, Suara
Keadilan oleh PKR atau Harakah Dialy atau Cetak oleh PAS nampak ia terpisah.
Dengan adanya sebuah media bersama ia menampakkan akan kepaduan kerjasama dan
secara tidak langsung menjadikan parti Pakatan Rakyat ada saluran rasmi seperti
mana Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star untuk Umno dan MCA.
7. Pemimpin
yang sudah tua dan susah untuk menerima perubahan mengikut perkembangan semasa
sudah tidak relevan. Mungkin Anwar
Ibrahim, Karpal Sing, Lim Kit Siang, Abdul Hadi Awang, dan lain-lain boleh
menjadi penasihat kepada Pakatan Rakyat. Peluang hendaklah diberikan kepada
pemimpin pelapis seperti Nurul Izzah Anwar dalam PKR, Lim Gua Eng atau Anthony
Loke dari DAP, Husam Musa, Sallahuddin Ayub dari PAS.
Kuala Lumpur,
19 Mei 2013.
[wm.kl.1:50 pm 20/05/13]
11 comments:
Salam tuan MSO,
Pandangan tuan sangat bernas, non-bias dan praktikal...diharap pemimpin2 lama tidak sayang jawatan dan rela dgn ikhlas mewariskannya kpd tenaga2 muda yg lebih fokus dan agresif...
Saya kira ini adalah posting terbaik dari MSO. Ia bukan saja ilmiah malah bersifat intelektual.
Harap ada lagi post seperti ini.
tenaga muda da ambil alih kt pkr, dap and some extent kt pas... tok guru da bersara..
mb baru kltn... rafizi ramli, tony pua, nurul izzah, lim guan eng..
tapi kalau utk lim kit siang dan anwar patut stay dulu untuk membantu mengalahkan UMNO BN.... mahthir masih bergerak disebalik UMNO, kenapa di pakatan perlu beredar dahulu...
mahthir ni licik dan merbahaya, biar dia tewas dulu sama ada dari segi politik atau di atas katil...
majoriti malaysia menunggu public holiday, da lama sejak zaman tunku...
Bagi saya,Kekalahan PR hanya satu sebab sahaja, isu isu yang dimainkan tidak terkesan oleh penduduk luar bandar, isu tol, isu harga barang, isu harga petrol, ptptn semua ini tidak terasa oleh masyarakat luar bandar, jika dilihat umno/BN menang kebanyakan di kawasan luar bandar, kawasan bandar hampir kesemua dimenangi oleh PR.
Tuan MSO,
Secara peribadi saya melihat slogan 'Pas Ganti Umno' adalah tidak realistik. Ini kerana di dalam PR, Pas tidak mampu menjadi parti dominan, jadi bagaimana untuk ganti Umno?
Sebagai contoh, jika terdapat sesuatu isu berkaitan Pas, Dap dan Pkr, kelihatan seperti Pas selalu 'mengalah' atas dasar setiakawan.
Maka, saya menyokong 100% saranan supaya mengantikan kepimpinan baru dari golongan muda yang lebih agresif, dinamik dan berwawasan. Insya-Allah, kemenangan akan menjadi milik kita.
Tuan...mungkin pd posting akan datang, huraikan bagaimana proses pengundi pos dan awal....saya rasa ini satu faktor penting kemenangan ubn...tq
Sdra. MSO, Pemimpin-pemimpin PR perlu menjalani kursus intensif bagaimana hendak menjawab pertanyaan wartawan. Pada masa ini terlalu mudah bagi wartawan media arus perdana untuk mencuit pemimpin-pemimpin PR dengan soalan-soalan provokatif, sehinggakan ramai pemimpin PR yang melatah memberi komen yang tidak sepatutnya dikomen. Kerja-kerja untuk melaga-lagakan pemimpin PR dan untuk mengelirukan penyokong-penyokong PR amat mudah dilakukan.
Kursus ini perlu diadakan sekerap mungkin supaya pemimpin muda PR menjadi masak dengan tingkah laku para wartawan. Bagi pemimpin berumur seperti Karpal, Hadi dan Harun Din perlu kursus yang lebih mendalam kalau boleh diberikan oleh tokoh-tokoh seperti A.Kadir Jasin atau Ahmad Nazri Abdullah.
Komen Pak MSO amat bagus. Cuma saya cadangkn kpd Pak MSO ke depan selangkah lg dgn membuat satu group think tank utk memanaskan isu2 yg ditimbulkan krn kadang2 demo2 politik ni agak tertutup. Paling ketara kelemahan Presiden PAS dlm menangani isu2 seperti perbalahan dlm PAS Kedah misalnya. Begitu juga isu2 perebutan kerusi di antara PR. Sepatutnya hal2 ini tidak timbul dah. Pendaftaran PR sebagai satu parti dan logo perlu diberi keutamaan. Harp agrsif sikitlh Pak MSO untuk kebaikan Malaysia. Nanti kelebihan Malaysia akn terus dinodai B end Umnok.
Tuan Hj. MSO,
Kekalahan PAS di kerusi DUN dan Parlimen boleh kita simpulkan dlm perimeter yg lebih kecil dan mewakili, iaitu PAS Kedah.
PAS Pusat seolah-olah membiarkan masalah dlm PAS Kedah self-inflict tanpa sebarang campur tangan drastik untuk penambah-baikan. Bila PAS (Kedah) gagal mengubah diri mereka, maka kini mereka telah diubah oleh pengundi.
Rasakan!
Salam, tuan mso,
Saya suka entri blog tuan ini. Sgt analitikal. Saya setuju dgn semua point yg tuan kemukakan terutama yg muda ganti yg tua..
Hrp point2 ini dapat disampaikan kepada pemimpin pr..
Tp Jgn lupa ada kesnya wp yg diletak calon muda dh tiga kali berturut2 pru kalah jgak calon pr ni...kelihatan pr espcially pkr mcm kekurangan calon yg layak dr semua segi...jd unt The nxt pru...calon berwibawa yg muda perlu d cungkil dr skrg...persiapkan drp segi penampilan, ilmu, public relation, soft skill n kemahiran berhujah n berdebat...
Post a Comment