RENCANA KHAS
Bhg Pertama Dari Dua Bhg.
Allahyarham Mohd Asri dan Yusog Rawa. |
Dua orang Yang diPertua atau presiden Pas meninggal
ketika memimpin Pas. Mereka Dr Burhanuddin Helmi dan Fadzil Mohd Noor. Dr
Burhanuddin memimpin Pas selama 13 tahun manakala Fadzil juga selama 13 tahun.
Seorang presiden Pas tertakdir akhirnya keluar meninggalkan Pas dan menubuh
parti baru Hizbul Muslimim Malaysia (Hamim) kemudian menyertai Umno. Beliau
ialah Mohd Asri Muda yang memimpin Pas selama 13 tahun.
Musibah menimpa Asri ini sama dengan apa yang dialami
oleh Yang DiPertua pertama Umno Onn Jaaffar yang keluar parti itu menubuhkan
parti baru IMP (Parti Negara).
Meneliti latar belakang pendidikan dan sosio budaya bekas
pemimpin nombor wahid Pas mereka terdiri dari ulamak (ustaz) dan profesional.
Ahmad Fuad dan Abdul Hadi Awang boleh digolongkan sebagai ustaz manakala
Burhanuddin Hilmi, Yusof Rawa, Fadzil Mohd Noor dan Mohd Asri, profesional
agamis dan nasionalis dan juga pedagang. Yusuf Rawa misalnya walaupun dipanggil
ustaz tetapi beliau seorang ahli ekonomi dan aktivis gerakan Islam.
Hampir kesemua mereka sebelum aktif dan menjadi pemimpin
Pas terlibat dalam gerakan atau badan siasah, kecuali Abdul Hadi Awang.
Burhanuddin pernah menjadi anggota Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) manakala
Asri menganggotai Angkatan Pemuda Insaf (API). Manakala Fadzil Noor merupakan
bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) begitu juga dengan Abdul
Hadi Awang.
Dr Burhanuddin Hilmi |
Dalam catatan ringkas ini hamba hendak flash back sedikit sejarah pemimpin dan
kepimpinan para pemimpin nombor satu Pas itu serta wawasan atau hala tuju yang
mereka cuba bawa semasa periode mereka memimpin Pas.
Dalam enam dekad ini hamba bahagi kepada dua bahagian;
tiga dekat pertama dan tiga dekad kedua. Tiga dekad pertama ialah dari tahun
1951 hingga 1982 di mana dalam tiga dekad pertama ini Pas dipimpin oleh empat
orang pemimpin; Ahmad Fuad, Abbas Ilias, Burhanuddin Helmi dan Mohd Asri Muda.
Yang menonjol dalam tiga dekat pertama ini ialah
kepimpinan Burhanuddin dan Asri. Burhanuddin dan Asri dilihat paling berjaya
jika diukur dari sudut politik kuasa, kerana mereka mampu membawa kemenangan
kepada Pas dalam pilihan raya 1969 menawan dua buah negeri Kelantan dan
Terengganu serentak di samping membenihkan Pas di seluruh negara.
Manakala dalam tiga dekad kedua pula Pas dipimpin oleh
tiga orang tokoh, Yusuf Rawa, Mohd Fadzil Noor dan Abdul Hadi Awang. Tokoh
paling menonjol maksudnya berjaya membawa perubahan dalam Pas menjadi wadah
diminati umum dalam tiga dekad ini adalah Fadzil Noor. Pas semasa dibawah
kepimpinan Fadzil Noor berjaya meletakan parti itu menjadi sebuah parti
alternatif kepada orang Melayu dan kaum lain dari memilih Umno. Umno sebagai
parti tunggal memerintah negara ini benar-benar rasa tercabar kepada Pas semasa
dibawah kepimpinan Fadzil Mohd Noor. Boleh dianggap kehijauan Pas berlaku di
era Fadzil Noor.
Dalam enam dekad itu Pas mengalami pasang surut dan
berbagai kerenah sesuai dengan lumrah sebuah perjuangan. Ia juga mengalami
pertukaran tektik dan strategi, pendekatan, stail serta tagline dan slogan
perjuangan. Sebagai parti yang progresif Pas sering menukar pendekatan dan
memenuhi kehendak massa tanpa mengorbankan prinsip dan dasarnya. Pas juga ikut
berkembang mengikut arus dan liku-liku perjalanan masa. Tidak kurang juga Pas
dibesarkan dengan pengaruh peribadi tokoh yang memimpinnya.
Hamba (insya-Allah) akan cuba menggariskan perubahan atau
stail kepimpinan di dalam Pas dalam dekad-dekad berkenaan sesuai dengan
kepimpinan Yang Dipertua atau presidennya.
Dalam tiga dekad pertama Pas dilihat mempunyai dua
matlamat asasnya. Peringkat awal iaini sebelum merdeka (1951 – 1956) Pas
memperjuang hak-hak kepentingan Melayu yang utamanya mengenai kedudukan agamanya,
Islam. Dalam masa sama Pas juga berjuang menentang panjajah dan menolak fahaman
sekularisme, sosialisme dan komunisme. Dalam kata lain Pas muncul menjadi wadah
perjuangan orang Melayu nombor wahid menegakkan Islam di negara. Disamping
menjadi badan siasah Pas bertindak sebagai badan dakwah. Politik dan dakwah
bergerak berirangan.
Pas Pasca Merdeka
Bagaimana pun sifat atau bentuk kepimpinan Pas pasca
merdeka mengalami perubahan sedikit, namun masih utuh dengan idealisme
perjuangannya untuk menegakkan Islam. Pas dilihat kontradik dengan Umno sebuah
parti berasaskan semangat kebangsaan (nasionalisme) dan dilihat sebagai dua
buah parti Melayu yang bertentangan. Pengaruh semangat untuk mencapai atau
membentuk Melayu Raya yang diperjuangkan oleh sesetengah pemimpinnya terutama
Burhanuddin Hilmi masih terbawa-bawa dalam Pas. Tetapi semangat itu seakan terhenti
apabila Malaya mencapai kemerdekaan tahun 1957.
Sehinggalah berlaku peristiwa 13 Mei 1969, kerenggangan
Pas dengan Umno yang dibezakan ideologi parti masing-masing dapat dikendurkan,
akhirnya disatukan dalam satu barisan bernama Barisan Nasional (BN). Tragedi
itu menyedarkan Pas dan Umno betapa peri pentingnya persatuan demi survival
Melayu serta menjana pembangunan negara yang masih muda usia kemerdekaanya.
Malangnya penyatuan dan kerjasama Pas dengan Umno menerusi
Barisan Nasional (BN) bermula tahun 1971 sehingga pembentukan kerajaan bersama
tidak kekal lama apabila tahun 1974 Umno khasnya (BN) menilai semula kehadiran
Pas di dalam komponen BN. Umno lebih mementingkan keuntungan peribadinya dari
sudut politik dari maslahat ummah. Penenandangan keluar Pas dari BN
meninggalkan impak besar kepada kepimpinan Pas masa itu, Mohd Asri Muda dan
tentu juga kepada politik orang Melayu.
Kemalangan nasib Pas itu ialah disebabkan terlalu
mempercayai dengan kata-kata manis Umno atas dasar kepentingan bersama. Pas lupa
bahawa sifat politik itu tidak akan berubah walaupun ia dimamah masa atau
berada diceruk mana jua. Ekoran tindakan BN itu Pas kehilangan kerajaan
Kelantan yang sudah dipegang selama 18 tahun. Implikasi kekalahan itu menimpa
Mohd Asri. Asri diletakkan sebagai orang bertanggungjawab. Lanjutan itu Asri usaha
dilakukan bagi mecat Asri sebagai Presiden Pas.
Ledakan revolusi Islam di Iran awal tahun 80-an turut
memberi semangat dan obor kepada golongan muda di dalam Pas bagi menukar
kepimpinan. Kekalahan Pas di Kelantan dijadikan kayu ukur kelemahan Asri
tanpa menyuluh ke dalam mencari makrifat peristiwa berkenaan. Mereka merencana
untuk menumbangkan Asri sebagai presiden. Tektik yang sangat memalu dan
melukakan hati Asri dilakuan dalam muktamar tahunan Pas ke 29, di mana dalam
muktamar itu Asri dilaungkan dengan ‘marakhabar Asri’ yang membawa maksud ‘mampus
Asri’. Ucapan dasar presiden juga ditolak oleh perwakilan dan ia adalah sejarah
belum pernah terjadi dalam Pas.
Era Baharu Pas
Pertukaran kepimpinan
daripada Asri kepada Yusuf Rawa tahun 1982 membuka era baru kepada Pas. Ahli
Pas yang sudah mencemuhi dengan stail politik Asri yang mementingkan kroni
serta mengambil pendekatan sedarhana (rasional) dalam politik mengalu-alukan
atas apa yang berlaku tanpa pun mengetahui punca terjadi sebenarnya. Golongan
muda khasnya dari Dewan Pemuda Pas pula telah memperkenalkan satu semangat dan
era baru dalam politik Pas yang dikenali dengan era kepimpinan ulamak. Mereka
mendokong Yusuf Rawa sebagai presiden yang baru.
Mungkin bagi mereka mengenali latar belakang presiden
baru Pas itu agak konfius bagaimana Yusuf boleh diletak dan diharap memandu
kepimpinan ulamak. Sebabnya beliau bukan seorang ulamak atau tok guru besar,
sehebat Nik Abdul Aziz hari ini. Yusuf Rawa adalah ahli perniagaan dan seorang
aktivis gerakan Islam. Namun kepada mereka yang memahami apa itu politik, dapat
memahami (escape) bahawa penjelamaan
kepimpinan ulamak itu sebagai satu peralihan angin dari Pas saja – dari
kepimpinan profesional bersifat nasionalis sedarhana oleh Asri kepada kepimpinan
yang mahu menjadikan Pas sebagai sebuah gerakan Islam haraki.
Usaha ini dilihat sebagai satu langkah surut ke belakang
oleh Pas manakala dalam tilikan pihak musuh Pas pula, Pas mula bersifat
revolisional dan ekstremis yang cukup baik diambil kesempatan bagi memburukkan
Pas?
Suasana ini dipengaruhi oleh fahaman politik Islam yang
berlaku di Timur Tengah khasnya Iran. Seperti dikatakan tadi revolusi Iran yang
menjatuhkan kerajaan monarki Shah Iran dan diganti dengan mullah Khomeini turut
mempengaruhi ruang dan individu di dalam Pas.
Jika boleh disebut Pas di zaman Asri adalah zaman yang
mengerhanakan Pas dan boleh juga dianggap sebagai zaman gelap buat Pas.
Pengunduran terhadap Asri secara paksa itu juga menjadikan Pas kegelapan selama
enam tahun sehinggalah Pas diambil oleh Fadzil Noor. Apa yang hamba mahu
bangkitkan di sini cara ahli Pas menjatuhkan Asri menggambarkan Pas bukan
sebuah parti bercirikan Islam yang sepatutnya berakhlak dan berhemah tinggi.
Pelemparan Asri dari umbi profesional itu yang mahu diganti dengan mullah satu
tragedi buat Pas.
Mengenang peristiwa itu tidak mustahil kalau hal itu akan
berulang pada masa akan datang. Ia bisa saja terjadi apabila ada sebahagian
ahli sudah mabuk dan tergila-gila kepada bentuk perjuangan yang idealis dan
penuh ilusi (Syurga) serta mudah menganggap orang lain tidak Islamik. Timbulnya
kecuakan di dalam hati disebabkan perbezaan latar belakang pendidikan
memudahkan lagi pertentangan ini berlaku.
Yusuf Rawa tidak membawa banyak perubahan di dalam Pas.
Beliau adalah presiden sementara sebelum berlaku transisi sebenar perubahan
pimpinan dalam Pas. Yusuf hanya memegang enam tahun saja (1982 – 1989). Ia
boleh dianggap masa untuk menenangkan gelora dalam Pas setelah berlaku
‘pengkhianatan’ ke atas Asri.
Tragedi yang menimpa ke atas Asri menyebabkan Pas
berpecah, sebahagian besar golongan profesional atau nasionalis dalam Pas
keluar parti dan menubuhkan parti baru bernama Hizbul Muslim (Hamim). Tindakan
Asri membina wadah baru ini bagi hamba satu luahan rasa atau dendam kekecewaan
di atas apa yang berlaku ke atas dirinya, di mana tidak sepatutnya berlaku
dalam sebuah parti yang menggunakan perkataan Islam sebagai namanya. [wm.kl.11:24 am 15/08/13]
No comments:
Post a Comment