Saturday, December 13, 2014

Majlis Presiden perlu mantapkan Pakatan Rakyat

RENCANA KHAS                                                                                            

Setelah sedikit tergendela disebabkan kurang persefahaman, menyebabkan Majlis Presiden Pakatan Rakyat sudah lama tidak mengadakan mesyuarat. Kenyataan-kenyataan bersifat saling menunduh dan menunding jari dan menafikan antara satu sama lain menyebabkan majlis itu dilihat dalam keadaan longgar dan terburai. Sejajar itu juga ia memberi gambaran majlis itu seakan tidak berfungsi.

Abdul Hadi Awang
Anwar Ibrahim
Keadaan itu sudah pasti memburukkan reputasi Pakatan Rakyat apabila orang ramai meragui apakah Pakatan Rakyat ada iltizam atau pun cita-cita mahu mengambil alih pemerintahan negara ini daripada UBN. Perbalahan kecil dan tuduh menuduh antara sesetengah pimpinan Pakatan Rakyat menjadikan orang ramai sangsi akan kemampuannya.


Justeru jaminan diberikan oleh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yan
g majlis itu akan bersidang pada Januari depan memberi kelegaan kepada mereka yang mencintai Pakatan Rakyat dan mengharap pakatan itu membentuk kerajaan suatu hari kelak. Menurut Anwar mesyuarat Januari itu nanti akan membincang dan merangkakan agenda Pakatan Rakyat.

Keperluan mengadakan mesyuarat juga penting kerana sudah enam bulan majlis presiden tidak mengadakan mesyuarat. Ketiadaan mesyuarat agak lama itu menyebabkan timbul keraguan oleh penasihat DAP Lim Kiat Siang apakah Pakatan Rakyat akan valid sehingga pilihan raya ke-14.

Tempoh tanpa diadakan mesyuaat selama itu sesuatu yang sangat tidak patut memandangkan majlis itu adalah badan tertinggi Pakatan berkenaan. Tiada mesyuarat bermakna tiada rangka tindakan semasa politik. Kerenggangan itu jugalah menyebabkan hubungan sesama anggota majlis presiden juga kurang intim. Laksana saf sembahyang yang berlubang (renggang) maka mudahlah syaitan untuk masuk mencelah.

Baru-baru ini berlaku sedikit "polemik" antara DAP dengan Pas mengenai kedudukan Majlis Presiden itu. DAP menegur Pas atas kegagalan mesyuarat itu diadakan kononnya presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang jarang menghadiri mesyuarat. Sepatutnya perkara itu tidak berbangkit kerana dalam Pas ia bukan hanya ada Abdul Hadi seorang sahaja, tetapi masih ramai pemimpin lain. Pas bukan ditadbir secara diktator tetapi secara berjemaah,

Kalau pun Abdul Hadi tidak dapat hadir kerana keuzuran, kegaduhan dan sebagainya, beliau perlu mewakilkan kepada orang lain. Dalam Pas masih ada timbalan, Mohamad Sabu dan naib-naib presiden, Salahuddin Ayub, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Husam Musa, yang sihat dan tidak uzur. Dan sekiranya Abdul Hadi sudah keuzuran, maka wajar untuk beliau mewakilkan kepada pemimpin lain. Dalam Islam salah satu perkara yang tidak melayakkan seseorang menjadi pemimpin ialah apabila berlaku keuzuran atau hilang kewarasan.

Benar kata Musyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat mana boleh paksa orang uzur hadir mresyuarat.

Adalah diharap apabila majlis itu bersidang pada Januari ini ia boleh mengemaskan kembali hubungan sesamanya. Peluang untuk para pimpinan duduk dalam majlis itu boleh menenangkan keadaan dan mengurangkan prejudis antara satu sama lain. Selain merangka agenda parti, mesyuarat itu juga akan memberi gambaran kepada umum bahawa Pakatan Rakyat ia masih berfunsgi dan menjadi alternatif kepada UBN. Kelangsungannya nanti akan dapat menimbus persepsi orang terhadap majlis itu yang timbul ekoran teguran DAP kepada Pas, khasnya presiden parti itu.

Perasaan sangka buruk kepada presiden Pas, rasanya tidak perlu ditimbulkan lagi. Jaminan diberikan oleh beberapa pemimpin Pas yang Abdul Hadi akan hadir mesyuarat jika dipanggil cukup untuk dijadikan bukti dan titik tolak kepada memupuk persefahaman yang jitu.

Adalah sayang kalau Pakatan Rakyat menjadi longgar dan tidak padu di saat pilihan raya umum ke -14 semakin hampir. Semua pihak harus ketahui bahawa pilihan raya umum ke-14 akan menjelma sekitar dua atau tiga tahun lagi. Tempoh itu bagi sebuah perjuangan bukanlah panjang sangat.

Pakatan Rakyat khasnya perlu diwacanakan mencari pendekatan dan strategi baru dalam Majlis Presiden itu. Majlis itu juga perlu mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku dalam Umno hari ini. Unjuran atau pun bayangan (simulasi) mengenai kekuatan Umno yang dibuat oleh Muhyiddin Yassin semasa perhimpunan agung Umno baru-baru ini patut diambil kesempatan sebaik yang boleh oleh Pakatan Rakyat.

Menurut Muhyiddin parti itu dalam keadaan nazak waktu ini. Dari kajian yang dibuat hasil pencapaian pilihan raya umum ke-13 lalu, Umno - BN menang sekitar dua peratus sahaja. Menurut Muhyiddin kalau pengaruh Umno merosot dua peratus sahaja bermakna UBN akan kehilangan kerajaan. Sebab itu Muhyiddin menggesa do or dia; buat, melakukan perubahan atau pun mati.

Isyarat jujur yang diberikan Muhyiddin itu sangat baik bagi Pakatan Rakyat. Secara tidak langsung Muhyiddin dan Umno memberi bola tanggung kepada Pakatan Rakyat. Sepatutnya semua pimpinan Pakatan Rakyat bersepadu bagai mana untuk mengurangkan dua peratus undi popular UBN bagi membolehkan Pakatan Rakyat menguasai kerajaan. Peluang yang ada seperti hari ini adalah terbaik belum pernah berlaku. Sebaliknya kalau para pimpinan majlis presiden asyik bercakaran sesama sendiri bola tanggung atau peluang itu akan sia-sia sahaja.

Majlis Presiden khasnya dan ahli Pakatan Rakyat amnya seharusnya tahu dan sedar akan kenazakan Umno hari ini. Pergeseran sesama sendiri dalam parti itu, di mana ada usaha hendak menyingkirkan Najib Razak adalah aset terbaik mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Umno selaku kerajaan bukan sahaja berdepan dengan tahakisnya kepercayaan kepada pucuk pimpinan tetapi perkembangan semasa juga membawa masalah kepada Umno.

Najib sendiri hari ini diserang malam dan siang oleh mereka yang mahu menukarkannya sebagai perdana menteri. Isu 1MDB telah dijadkan peluru hidup bukan untuk menggeletek Najib tetapi membebankan pemikiran perdana menteri itu hingga jatuh tertungging. Tindakan atau olahan isu 1MDB yang ditimbulkan oleh Pakatan Rakyat mendapat sokongan dari kalangan Umno sendiri. Ini satu kemujuran dan kepelikan.

Masa depan Najib makin tidak menentu. Ampang perlaksanaan GST pada tahun hadapan yang diterjemahkan bakal membebankan rakyat diculai dengan perkembangan ekonomi yang tidak baik. Kejatuhan nilai ringgit berbanding dengan mata wang mewah lain, menyokong proses dan menekan pemikiran Najib untuk berundur.

Makanya Pakatan Rakyat perlu berfikir sekiranya Najib berundur dan dia diganti dengan orang lain, perubahan itu menguntungkan Pakatan Rakyat. Jadi kesempatan dan peluang yang terbuka kini seharusnya diambil sebaik mungkin oleh Pakatan Rakyat.

Hendaknya mesyuarat Majlis Presiden Januari depan akan meletakkan titik dan keyakinan baru kepada parti-parti gabungan Pakatan Rakyat. Tidak salah kita berteori tetapi adalah salah kalau kita meninggalkan apa yang sudah dipratik dan pratikal dan memberi hasil lumayan. Untuk meninggalkan Pakatan Rakyat atau berpisah dengan DAP, atau berpisah dengan Pas, ia adalah teori yang tidak semestinya menjadi jika dipratikan.

Adapun gabungan Pakatan Rakyat telah terbukti berhasilnya sehinggakan kerajaan UBN kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen dan meletakkan UBN seperti telor di hujung tanduk. Sayanglah kalau kejayaan itu tidak dipertahankan. [wm.kl.11:15 am 13/12/14]

No comments: