Sunday, June 7, 2015

Telatah di hari akhir muktamar

ULAS MUKTAMAR                                                                       

Macam-macam gelagak yang dipamerkan pada hari akhir muktamar Pas khasnya pada masa penangguhan dan penggulungan perbahasan. Beberapa orang mengambil peluang bercakap di hari akhir itu, terutamanya mereka yang tewas, menelurkan berbagai emosi. Ada yang sedih dengan kekalahan, ada yang sebak sehingga tidak dapat berucap dan menitiskan air mata.

Ada yang melarikan rasa sedih dan sebak dengan menyanyi lagu penuh sindiran dan makna. Lagu yang memberi gambaran dan mesej bahawa kalau si penyanyi itu tiada lagi selepas ini atau berada di pihak lain jangan ditangisi.


Paling nakal lagi ada yang membawa sekotak tisu kepada yang menangis semasa berucap. Timbul pertanyaan apakah kelakuan itu satu ejekan atau pun ia suatu simpati ikhlas? Nampak ia berlaku spotan sahaja kejadian itu. Tetapi si pelakunya menimbulkan tanda tanya apabila dilihat dialah salah seorang orang yang menyebabkan orang yang menangis itu menangis.

Dalam pada itu tidak kurang juga yang seakan terkejut dengan kemenangan dan mempamerkan bayangan kebimbangan. Takut dengan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya. Ada yang menyifatkan kemenangannya sebagai tidak diingini. Pelik juga macam mana tidak ingin kerana dia bertanding dan awal-awal lagi menyatakan keinginannya. Setiap orang bertanding pastilah mahukan kemenangan, kecuali orang gila. Bukankah itu sebagai munafik.

Paling melucukan lagi orang ini sampai bernazar kalau kalah mahu makan kambing. Kenapa begitu? Kalau benar, dia ingin kalah seharusnya dia tidak bernazar makan kambing tetapi patut makan gajah. Dengan meletakkan nazar itu dengan nilai yang besar mungkin kekalahan itu menjelma. Untungnya juga kepada orang ramai yang beleh makan hasil nazarnya.

Selebihnya ada juga yang bergembira, tidak terkena dengan apa-apa emosi sedih dan sebak. Malahan rasa bangga sehingga terpamer rasa agah yang meluat mendengarnya. Dia berasakan kemenangan itu berjaya menumbangkan musuh yang kesekian lama dihadapinya. Menerusi ucapan yang sinis memberi gambaran kesukaan yang amat sangat kerana orang tertentu yang kalah. Ertinya kekalahan di satu pihak disambut sedemikian rupa.

Selain itu juga yang agah itu sampai menyebut di dalam jubahnya ada siku dan lutut. Mujur setakat mendedahkan rahsia keberanian itu setakat itu saja, tidak sampai tersebut di dalam poketnya dan di rumahnya ada duit atau parang dan golok untuk berhadapan dengan rakan yang kini sudah dianggap musuh.

Manakala penggulungan dari presiden tidak banyak berubah, seperti penggulungan 11 tahun lalu juga. Beliau sedikit pun tidak tersentuh dengan apa yang berlaku. Tetap bermain dengan politik besi. Ternyata jiwa dan perasaan keras dan nada memujuk tidak ada, simpati dan rasa sedih kepada yang tewas tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Ia bukan seorang pemimpin berdiplomasi yang baik.

Presiden tetap presiden, beranggapan dia benar dan semua kesalahan yang berlaku dalam Pas termasuklah kekalahan seraga pemimpin itu disebabkan kerana musuh. Ia tidak sedikit pun mengakui ada faktor songsang yang berlaku dalam parti, misalnya mengenai kerakusan ahli atau sifat ahli yang lebih firaun daripada Umno.

Penyalahan kepada pihak lain itu tanpa mengakui kesilapan dalam parti menggambarkan ego dan agah seorang presiden.

Tidak ada sepatah nasihat daripada presiden terhadap apa yang berlaku. Ilmu orang tua dan lama yang ada kepadanya tidak dikeluarkan. Apabla dia tidak menyentuh itu, presiden seolah-olah berkenan dan memberi restu ke atas apa yang berlaku. Lambaian tangan yang diberi kepada penunjuk perasaan secara "komunis" di hadapan pejabat Pas tidak lama dahulu adalah signal kepada sikapnya hari ini yang suka dengan apa yang ada.

Sementara ada pembahas lain yang terus mahu mencari keadilan dalam apa yang berlaku. Suara dan desakan itu tidak ke mana, kerana presiden seperti tidak mendengarnya. Jawaban yang diberikan setiausaha agung pula, bukan membuka ruang perbincangan sebaliknya menutup harapan itu bila dia kata siasatan ke atas tuduhan tidak berbangkit lagi kerana keputusan sudah berakhir.

Itulah lagak dan telatah pada hari akhir masa penggulungan perbahasan. Bersambung. [wm.kl.5:21 pm 07/06/15]

No comments: