Friday, June 30, 2017

Husam tegur Hadi elak jadi macam Ahok

SESUDAH SUBUH 
Husam: Hadi langgar ayat Quran?

Kenyataan Husam Musa yang dibuat semasa berucap di majlis hari raya anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) di Kota Bharu malam tadi mengaitkan Abdul Hadi Awang sedikit agak keras, tetapi tepat.

Ia tentu akan menjungkitkan ekor mereka yang taksub kepada pemimpin utama parti agama (Pas) dan akan meledakkan api kemarahan kepada Husam. Ekoran kenyataan Husam semalam mungkin selepas ini ia akan menjadi polemik berpanjangan dan Husam akan diserang habis-habisan.

Sebalik kalau ia dilihat dari sudut positif kenyataan itu membawa kebaikan kepada Hadi dan juga partinya.
Kerana selalu berlaku pedukung Hadil khasnya dan Pas amnya mereka bersikap mudah nampak kuman di seberang laut tetapi terlindung gajah di depan mata -- tanpa mahu menghening cipta melihat ke dalam diri sendiri, mereka akan menuduh pernyataan Husam malam tadi sebagai melampau dan perlu diserang.

Sikap inilah mencerminkan kejumudan dan minda terlindung orang-orang tergolong dalam golongan itu, fanatik. Inilah fenomena atau pun budaya mundur yang ada dalam parti agama itu kini yang bertentangan dengan semangat Islam yang progresif.

Padahal kalau dibuka minda, dan kenyataan Husam itu diperhati dari termalogi agama dan asbabu nuzul, ia adalah kebenaran dan ketepatannya. Malahan kenyataan Husam itu wajar diterima sebagai pengisalahan mencari kejernihan dan kebenaran. Hadi orang kena tegur itu sendiri sepatutnya berterima kasih kerana mengingatkannya.

Kenyataan Husam semalam berhubung langsung dengan presiden Pas Abdul Hadi Awang di mana beliau menyifakan Abdul Hadi sebagai melanggar ayat 188 dalam surah al Baqarah. Keras bunyi kenyataan Husam itu, tetapi benar dan Abdul Hadi ada peluang untuk menjawabnya.

Kenyataan Husam itu ada asasnya dan sebagai seorang yang juga memahami ilmu agama yang sebahagiannya hasil didikan para murabbi Pas sendiri tentu beliau tidak berani berbuat begitu tanpa nas dan dalilnya. Beliau tidak menyebut (sengaja) terjemahan ayat 188 dalam suruh berkenaan. Apa lagi dalam majlis sama ada ulama atau mereka yang arif mengenai Al Quran, yakni Ustaz Ahmad Awang dan Abdul Ghani Shamsuddin selaku penasihat agama Amanah.

Sekiranya kenyataan Husam malam tadi melampau sudah pasti kedua pemimpin ini akan membuat teguran langsung kepada Husam.

Apakah bunyi terjemahan ayat 188 surah al Baqah itu. Dikutip terjemahan dalam Tafsir Al Azhar karangan Prof Dr. Hamka, cetakan 1984 di muka surat 114 terbitan Nurul Islam ayat itu berbunyi:

"Dan janganlah kamu makan harta benda antara kamu dengan jalan yang batil dan kamu bawa ke muka hakim, kerana kamu hendak memakan sebahagian daripada hartabenda manusia dengan dosa, padahal kamu mengetahuinya."

Ayat atau penghuraian ayat berkenaan dikategorikan atau diberikan judul sebagai "Harta Tak Halal". Ayat demikian dengan jelas dan nyata Allah melarang (orang beriman) daripada memakan harta yang tidak halal. Dilarang mencuri, atau bersubahat atau mengecong (tipu) menerima harta yang tidak halal.

Kenyataan Husam terhadap Hadi itu dilihat dari sudut tanggungjawab dan peranan Abdul Hadi sebagai pemimpin parti agama yang sepatutnya peka dan prihatin kepada penyelewengan atau penyonglapan wang negara. Hadi perlu berani menegur bukan menikus.

Apa yang dikaitkan Husam, beliau melihat Hadi melanggar ayat berkenaan apabila beliau tidak berani menegur dan beliau tidak sedia mematuhi atau mengikut anjuran ayat berkenaan supaya menasihat (pemimpin Umno) daripada memakan harta yang tidak halal.

Perkara yang berputar dari ayat itu yang hendak dijelaskan Husam ialah mengenai sikap dan pendirian Hadi berkenaan dengan skandal 1MDB, penyelewengan dan penggunaan dana SRC untuk kepentingan individu. Husam menzahirkan rasa kesal kepada Hadi kerana seolah-olah bersubahat dengan skandal berkenaan apabila Hadi bersikap mendiamkan diri dari menegur bahkan pada ketika lain Hadi membela Najib Razak dalam kes itu.

Hadi juga tidak menegur atau kaku atau bersunyi macam tikus jatuh ke dalam genak dengan beberapa kenyataan dikeluarkan pemimpin Pas yang membela Najib dalam kes itu dimana tujuannya dilihat membela perdana menteri.

Misalnya ada pemimpin parti berkenaan mengambil sikap mendiamkan diri daripada bercakap mengenai skandal berkenaan dan menganggap Najib tidak bersalah kerana tidak ada keterangan empat orang saksi mengenai perkara itu. Malahan mereka langsung tidak menerima pendedahan dibuat oleh Audit Negara serta pengakuan Najib sendiri yang beliau menerima wang sebanyak RM2.6 billion yang dipercayai diceduk dari dana 1MDB. Dua keadaan itu tidak diterima sebagai saksi atau barang bukti.

Saya yakin kenapa Husam hilang sabar dan sanggup menyifatkan Hadi melanggar firman Tuhan itu apabila Hadi bukan sahaja tidak mengkritik Najib mengenai skandal berkenaan sebaliknya membela Najib apabila beliau menyifatkan tindakan Department of Justice (DoJ) Amerika Syarikat yang menyaman beberapa indvidu (Jho Low dan Rizal Aziz) untuk merampas barangan dan hartanah yang dibeli oleh mereka dengan menggunakan wang dicuri dari dana 1MDB.

Bagi Husam dan seluruh rakyat Malaysia lain melihat tindakan individu yang disaman DoJ itu adalah penyamunan ke atas harta rakyat negara ini, tetapi Abdul Hadi tidak melihatnya begitu. Sikap diam dan bisunya memberi gambaran beliau menghalalkan tindakan itu. Apabila orang seperti Hadi mendiamkan diri, tidak menggunakan ilmu agama untuk menegur Najib kesan sangat buruk sekali kerana ia dianggap Najib berada dalam situasi "halalun tayaibah".

Paling dikesalkan apabila Hadi beranggapan tindakan DoJ itu sebagai usaha campur tangan asing ke atas negara ini yang akan merugikan negara ini dan tindakan saman itu untuk mendapat keuntungan politik, perbuatan yang tidak "beriman dan budiman".

Apakah tindakan untuk menyelamatkan harta benda rakyat dan negara sebagai tindakan tidak beriman kerana ia dilakukan oleh orang Amerika? Nyata sekali kenyataan Hadi itu senada dan seirama dengan kenyataan dan pandangan para pemimpin Umno yang membela Najib dan berlindung di bawah naungan kuasanya. Apakah Hadi juga sudah mula mendapat bayang perteduhan di bawah ketiak Najib? Justeru tuduhan mengatakan ada wang curian dari 1MDB mengalir masuk ke dalam Pas kerana sikap Hadi ini.

Sepatutnya sebagai pemimpin parti agama, Hadi tidak membuat kenyataan serapuh itu kerana sebagai pemimpin agama beliau tahu hukum haram dan membetulkan keadaan. Beliau perlu memberi pandangan berupa nasihat kepada Najib atau sesiapa terlibat memakan harta tidak halal itu memulangkan semula kepada yang berhak, negara Malaysia. Itu sewajarnya bukan ikut bersubahat.

Apabila Hadi bersikap sebaliknya, kontradik dengan ilmu dan kefaqehan agamanya. Di sinilah menyebabkan Husam tidak boleh menahan diri lalu menyifatkan Hadi melanggar ayat berkenaan. Kerana dalam ayat berkenaan jelas, Allah melarang dan memberi peringatan orang beriman daripada memakan harta yang tidak halal, termasuknya bersubahat menyokong dan mendiamkan perbuatan yang keji itu.

Menurut Hamka dalam tafsir Al Azhar, perkataan "harta benda kamu di antara kamu" bermaksud harta itu adalah harta sebahagian daripada kamu -- kita semua. Maksudnya harta yang diceduk dan dimakan itu harta rakyat dan harta kita semua yang mana kita wajib bertanggungjawab membelanya. Ertinya kita menipu diri sendiri dan membawa kerugian kepada diri sendiri kalau tidak berbuat sesuatu.

Hamka mentafsir frasa "kamu memakan harta kamu sendiri", samalah dengan kita menganiayaan diri sendiri. Benar, tidak syak lagi kalau kita memakan atau membenarkan orang mengambil dana 1MDB, itu bererti kita membenarkan mereka memakan harta kita, harta rakyat di mana yang menanggung kerugian adalah kita juga.

Disebut dan diperincikan lagi oleh Hamka Rahimullah, memakan harta yang batil itu dilakukan dengan berbagai cara, termasuk penipuan, pemalsuan, atau pun penyonglapan atau pun make-up harga (adpertensi) yang berlebih-lebihan.

Seperti mana dijangka tadi, selepas ini Husam akan diserang berapi-api oleh pentaksud Hadi dan pendukung parti agama. Apa yang akan terjadi itu tidak sepatutnya begitu. Kenyataan Husam itu tidak seharusnya dilawan atau dibalas secara samborono melainkan dibawa ke meja perbincangan. Mereka yang sayangkan Hadi perlu menilai dan mengkaji kenyataan Husam berlandaskan kepada ayat 188 surah al Baqarah itu serta dikaitan dengan ayat-ayat sebelumnya ayat 186 dan ayat 187. Lihat kenyataan Husam itu secara positif dan rasional untuk menjaga maruah Hadi dan juga Pas.

Kalau dirasakan perlu untuk mendapat penjelasan dan penjernihan terhadap tuduhan Husam itu elok para ulama Pas memanggil Husam duduk semeja mendebatkannya. Saya percaya Husam sedia untuk hadir menjelaskan atau menghurai serta memberi dalil-dalil dan fakta menunjukkan Hadi telah melanggar ayat berkenaan dari sudut pengetahuannya.

Mungkin senario pelanggaran ayat Tuhan itu oleh Hadi berbeza dengan apa yang berlaku di Indonesia oleh bekas calon Gebenur Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok yang dituduh sebagai menghina ayat 51 surah al Maidah. Namun jika diperhalusi ada signifikannya, tindakan Hadi yang katakan melanggar ayat 188 itu juga boleh disifatkan sebagai menghina al Quran.

Apabila kita tahu membacanya, mentafsir memperingatkan kepada orang lain akan erti dan maknanya serta kesan baik dan buruknya tetapi kita sendiri tidak sedia akur dan patuh, bagi saya itu juga menghina. Sikap sebegitu adalah sifat-sifat munafik.

Apakah pelanggaran ayat 188 surah al Baqarah oleh Abdul Hadi itu menyebabkan beliau akan menerima nasib sama dengan Ahok yang dikecam oleh umat Islam kemudian tewas dalam pemilihan Gebenur Jakarta? Yang jelas dan nyata bagi saya Husam dalam konteks ini telah menjalankan amanah dipikulnya sebagai muslim mengkritik sesiapa sahaja yang dianggap telah melanggar ayat-ayat Allah. Husam telah berkata benar walaupun pahit sesuai dengan maksud sebuah hadih Nabi s.a.w. Walahu'alam. [wm.kl. 7:01 am 30/06/17]

3 comments:

Anonymous said...

"Jangan undang beruang tampar nyamuk dimuka kancil"..haha ketua penerangan PAS dah bersuara..

Unknown said...

jangan undang beruang tampar nyamuk di muka badak sudah..nanti naya kedua dua kena hempap dek sang badak

Unknown said...

Muka kancil siapa agaknya....Tak faham. Kita.