Sunday, July 16, 2017

Secebis kenangan bersama Ma

BELASUNGKAWA

Allahyarham Ma,
bersama isteri saya di 1 Syawal.
Sejurus azan Isyak malam Jumaat 19 Syawal 1438 bersama 13 Julai 2017 Yang Maha Mencipta telah memanggil pulang ke rehdaan-Nya, ibu mertua saya Hajjah Che Gayah Abdul Hamid dalam usia 82 tahun. Kepulangan Allahyarham (kami memanggilnya Ma), adalah sesuai dengan dengan keesaan-Nya dalam segala kun fayakunNya, setiap apa yang dikehendaki itu tidak boleh ditahan walaupun sesaat sama ada lewat atau bangat (cepat).

Apa yang bisa kami lakukan melainkan pasrah dan berdoa atas pemergiannya. Menginsafi "setiap yang hidup itu akan mati, dan dari Tuhan kita datang kepada-Nya jualah kita kembali."

Apa-apa mengenai nasib diri seseorang, ditakdir oleh-Nya sejak di azali lagi. Lahir, juduh pertemuan mati dan tanah kubur, semuanya dalam genggaman-Nya. Pemergian Ma sangat mulia kerana ia meninggalkan alam fana ini pada malam Jumaat. Jenazahnya dikebumikan selepas Zohor, seusai Jumaat oleh ratusan para sanak saudara dan juga jemaah jumaat di masjid Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan.

Sesungguh pemergiannya suatu kehilangan besar bagi saya dan seluruh keluraga. Tiada tolak banding dengan apa-apa gantian atas kehilangan itu kandati dengan apa sekali pun. Pemergian Ma adalah mennyusuli suami tercintanya Haji Yaakob Awang Besar yang mendahuluinya 12 tahun lampau.

Bersama Ma pada Syawal tiga tahun lepas. 
Kehidupan Ma dengan gemulah Abah sangat sedarhann dan bahagia. Qanaah adalah sifat mereka dalam membina keluarga dan berumah tangga. Mereka bukan dari kalangan bangsawan. Ma adalah anak kepada seorang penghulu kampung sahaja, Abdul Hamid bin Awang. Manalaka Abah pula seorang aktvis dan pejuang parti Islam yang istiqamah. Untuk membesarkan anak-anak dan keperluan hidup mereka sekeluarga menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Di samping itu Abah berkhidmat sebagai penghulu sebagai mengganti bapa mertuanya.

Menurunkan jenazah Ma lahad.
Alhamdulilah atas yakin dan tabah, Ma dan arwah Abah berjaya mendidik anak-anak menjadi manusia sempurna. Kelapan-lapan anak-anaknya boleh dianggap berjaya dalam hidup dan melalui kehidupan sumpurna seperti juga anak-anak orang lain juga. Lapan anak Ma terdiri dari lima perempuan dan tiga lelaki. Isteri saya, Naimah Yaccob adalah puterinya yang ke tiga.

Dengan mengira anak-anak adalah harta termahal, dengan jumlah itu Ma sebenarnya kaya. Selain mempunyai lapan anak, Allahyarham setakat ini mempunyai 36 cucu dan 14 cicit hasil perkahwinan dengan gemulah Abah. Insya-Allah selepas ini akan menyusul pula piat dan generasi seterusnya.

Di samping itu Ma juga mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan Abah dengan isteri pertamanya. Kedua anak itu tinggal bersamanya sedari kecil. Sedozan cucu dan cicitnya hadir dari sebelah sana.


Pusara Ma berdekatan dengan pusara Abah.
Walaupun saya baharu menjadi keluarga rasminya sudah 33 tahun, tetapi saya sebenarnya menjadi keluarganya lebih awal dari itu. Sejak remaja lagi aya sudah mengenali, dengan ibu mertua saya itu. Lagi pun kami kebetulan ada hubungan bau-bau bacan. Allahyarham dari sebelah ibunya, Siti Hawa adalah masih berstatus tiga pupu dengan gemulah ayah saya, Omar Othman dari sebelah ibu Fatimah Pandak.

Tahun 1983 saya mengahwin anaknya. Sejak itu rasmilah saya menjadi anggota keluarganya. Terasa walaupun lebih tiga dekad, semacam baharu tiga bulan bersamanya. Masa begitu mengilat berlalu, ini semua kerana keindahan dan kebahagiaan berada dalam lingkungan keluarganya. Sifat penyayang dan prihatinnya kepada anak-anak dan anak menantunya menjadikan masa berjalan begitu pantas dan menjadikan pemergiannya persis terpadam bulan menerangi keluarga ini sesudah ketiadaan Abah yang dilaksanakan sebagai mentari. Dua cakrawala kami sudah tiada.

Ibu yang prihatin.

Arwah sangat mengambil berat kepada anak-anak menantunya. Bila pulang ke kampung beliau akan "bergaduh-lorat" (bersusah payah) bertanya makan minum dan akan terus ke dapur menyiapkan apa-apa makanan apa yang ada. Ma bagi saya seorang ibu yang pandai memasak. Darjatnya 100% dengan darjat ibu kandung saya sendiri, Hajjah Mek Thom Salleh yang masih sihat walafiat.

Demikian juga dengan menyediakan tempat tidur. Ada kalanya sebelum penat hilang setiba dari mana-mana ke rumahnya beliau sudah menghamparkan toto atau tilam untuk saya. Saya memahami tindakannya menyegerakan menghampar tempat tidur itu berharap agar saya bermalam di rumahnya. Dia sangat memahami akan "kesibukan" hidup saya yang selalu bergerak. Jadi caranya untuk memasung saya ialah menyiapkan tempat tidur awal-awal.

Sebenarnya banyak kenangan untuk dicatat bersamanya, yang semua menyerlahkan akan keprihatinan beliau sebagai seorang ibu mertua yang baik. Antara kenangan terindah ialah macam mana suatu hari ketika saya mengunjungi rumahnya. Ketika itu saya belum menjadi menantunya.

Hari itu saya pulang dari memacing bersama seorang kawan dan membawa pulang seekor ikan kakap rumput. Entah macam mana tersinggah pula di rumahnya. Kalau tidak silap kerana saya ada sesuatu urusan dengan gemulah Abah, suaminya. Saya memang mesra dengan gemulah Abah dari awal lagi. Minat saya dalam politik menjadikan kami akrab dan bersahabat. Allahyarham bertanya saya, sudah makan ke belum kerana ketika saya singgah kebetulan waktu tengah hari, ketika orang mengambil lunch. (Ai..kecek orang putih sikit).

Saya menjawab belum dan menceritakan yang ada membawa seekor ikan. Saya kuang pasti bagaimana terjadi sampai ikan itu dimasakkan olehnya. Mungkin disebabkan beliau memberi tahu, di rumahnya lauk tak ada, maka saya menyebut fasal ikan itu. Allahyarham masak asam pedas ikan yang saya bawa itu. Kebetulan sedang makanan dihidang, arwah Abah pulang dan kami makan bersama.

Pandai memasak.

Apa yang hendak dinukilkan di sini ialah mengenai masakan asam pedas itu yang sangat enak sekali. Kelazatan dan nikmatnya wah, terlekat di lidah sampai kini. Ibu mertua saya, bolehlah di kelaskan sebagai seorang suri rumah yang pandai memasak dan bakat ini ada yang jatuh kepada anak-anaknya.

Allahyarahm juga pernah menjalani peniagan kedai teh yang turut menjual mee rebus dan roti canai. Saya masih ingat mee rebutnya ringkas sahaja, berulamkan kobis. Biasanya kalau makan mee rebut kampung (saya panggil mee rebus bodoh), berulamkan kangkung. Tetapi beliau menggunakan kobis dan sedikit udang kering serta daging lembut sebagai percahnya disamping sambal air lada ditumbuk. 

Hampir setiap minggu atau dua hari sekali saya akan ke kedainya untuk menikmati mee rebus "special" bikinannya. Untuk menambahkan kesedapan ada kalanya diminta masukkan telor. Harga usah ceritalah, hanya 60 sen sahaja. Waktu-waktu tertentu beliau tidak mengambil bayaran untuk air sirap yang dipesan bersama mee. "Air sirap tidak payah bayar," katanya atas alasannya saya adalah anak beranak.

Sampai kini keenakan mee bikinanya masih terlekat di lidah saya.

Peristiwa indah.

Selain kenangan itu, tentu apa yang tidak dapat saya lupai juga macam mana saya datang ke rumahnya untuk menyampaikan hajat menyunting anak daranya, (sietri saya). Inilah peristiwa atau kejadian yang tidak mungkin terlupa buat saya selama-lamanya dan ia terlalu indah sekali. Peristiwa ini lah bagi saya suatu hadiah paling mahal darinya untuk saya.

Malam itu saya mendatangi ke rumahnya untuk memuktamadkan sutau perkara mahal penting. Saya mahu beliau dan arwah Abah menyatakan dari hati ke hati kepada saya apakah mereka mengizinkan saya untuk memperisteriknya anaknya ataupun tidak.

Saya datang dalam keadaan saya yang asli. Anak kampung yang ringas dan sifat semula jadi yang orang sukar untuk memahami diri saya. Saya masih belum bekerja dan menjadi seorang bercita-cita besar untuk jadi penulis, dalam kata lain saat itu tiada jaminan hidup lagi apa lagi keyakinan orang untuk menyerahkan anaknya. 

Menjadi cara saya sesuatu mengenai diri saya, saya akan urus sendiri dengan berprinsipkan berterus terang itu lebih baik dari segalanya. Saya seorang manusia yang jenisnya tidak mudah mempercayai kepada orang dan yakin dengan diri sendiri. Saya juga jenis manusia tidak hairan kepada sesiapa dan menghormati orang yang tahu menghormati diri saya. Saya akan tunduk hormat seribu kali kepada orang hormat sekali kepada saya.

Malam itu mereka suami isteri sahaja di rumah. Anak-anak tidak ada, termasuk isteri saya juga. Mulanya menggeletar juga saya untuk meluahkan hasrat terbuku di hati. Tetapi selepas beristighfar panjang dan dalam-dalam akhirnya saya membuka mulut.

"Makcik.." kata saya. Saya memanggil arwah sebagai makcik sebelum ini. "Kita mari ni nak menyatakan sesuatu hajat kepada makcik..," sambung saya sambil menatap wajahnya. Rasanya peluh dingin sudah meruap di dahi. Abah berada di sebelah kanan saya, sambil menghisap rokok selamba sahaja. 

Wajah Ma tenang sahaja sambil senyuman memekar dibibirnya. Sesekali ketawa kecil bergerekek kemanjaan seakan melucu. Ma bersifat kemanjaan ini kerana dia anak tunggal dan baharu mendapat adik setelah lebih dua dekad kemudian selepas arwah ayahnya, kawhin baru. "Gapa..?" tanya.

Dalam gemetar saya terus meluah isi hati; "kita mari ni nak tanya makcik, kita nak (mahu) kepada Naimah ... nak ambil buat jadi bini kita..," luah saya seakan dalam tidak sedar. Kata-kata lancar dan cepat sekali. Seluruh tubuh jadi kedinginan.

Allahyarham terus ketawa seperti tadi dan menampak reaksi sedikit terkejut dengan apa yang saya nyatakan. Selepas Allahyaram mendiamkan diri seketika saya mengulang lagi; "Macam mana makcik buvi (beri) ke dak?"

"Aumm... Makcik tak pa belaka, tanya Pakcik Kob lah...," katanya melepas tangan sambil memaling wajah kepada gemulah Abah. Gemulah Abah lebih dikenali dengan panggilan Pak Cik Kob. Abah kelihatan tenang sahaja.

Luahan kata-kata Allahyarham itu sangat mengembirakan saya. Permisinya kepada saya untuk menanyakan arwah Abah itu bagaikan terjatuhnya bulan purnama ke ribaan saya. Bagai saya apabila arwah memulangkan persoalan itu kepada Abah bermakna, berjayalah saya malam itu.

Itulah kenangan terindah dan saya berterima kasih kepada arwah. Dalam merisik untuk menyuntingkan kuntumasmara saya kepada anaknya, Naimah saya memohon keizinan daripadanya dahulu. Sebab bagi saya bagi Abah, ibarat macam lulus kelindan maka luluslah jarumnya. Saya tahu seorang ibu bukan mudah untuk melepaskan anaknya kepada orang lain.

Kenangan itu dan semua kenangan lain kini telah jadi nostalgia abadi buat saya. Selamanya akan saya kenang dan ingat. Segala kebaikan dan kepercayaannya menyerahkan puterinya buat saya tidak akan terbalas sampai kapan pun. Sebagai lelaki biasa nan marhaen, hanya apa yang dapat saya zahirkan kecintaan dan terima kasih itu adalah dengan menzahirkan lima anak sebagai pewarisinya. Saya sangat berharap doa anak-anak saya untuk kedamaiannya adalah setitik balasan dari saya untuknya.

Dan kelamrin Ma sudah tiada lagi. Jasadnya sudah terabadi dibumi, berdekatan dengan pusara sang pahlawannya, namun budinya tetap tertusuk di hati saya. Hanya sebagai penghormatan terakhir buatnya, dan anggaplah ia budi kecil dari saya, saya telah menurunkan jenazah Ma ke liang lahad. 

Saya pegangan dan peluk jasadnya penuh sopan kemudian meletakkan di lahad ternganga tenang. Saya memalingkan wajahnya bersandar ke lahad menghadap kiblat. Saat untuk menutup lahad dengan papan long, hati dipenuhi bunga-bunga sebak, pilu terharu. Di kolam mata penuh dengan takungan air, namun saya tahan dan tahan kerana apa yang tertakdir itu adalah kerana kehendak Allah jua.

Selamat tenang di sana Ma bersama arwah Abah yang tidak penah saya lupa walaupun sekelip mata. [wm.kl.9:49 am 16/07/17]

1 comment:

azhar rangkuti said...

إنا لله وإنا إليه راجعون

Takziah Pak Sayuti