Monday, January 15, 2018

Walaupun lembu dah jumpa pencuri tetap kena ditangkap

ULAS ISU

Sudah lebih dua kali Isa disiasat tetapi belum juga sangkut?
HARI ini ada orang seronok dan gembira dan ada yang sedih dan terkilan apabila Pengerusi Felda, Abdul Shahrir Samad mengumumkan 16 lot tanah kepunyaan Felda di Jalan Semarak yang telah bertukar milik secara gelap(?) telah dikembalikan semula kepada institusi itu.

Yang seronok dan gembira tentulah mereka yang cemas serta bimbang isu penjualan tanah itu akan dijadikan isu dalam pilihan raya akan datang. Paling menggerunkan nanti timbulnya bantahan dan kemarahan dalam kalangan lebih 112,000 keluarga peneroka Felda.

Dengan pengumuman Shahrir itu mereka mengira isu itu tidak akan jadi modal pilihan raya. Pembangkang telah kehilangan satu modal besar dalam sekelip mata sahaja? Itu yang dikira oleh  kelompok yang menerima apa sahaja yang dihadapkan kepada mereka.

Manakala yang terkilan ialah mereka yang mahu penjualan tanah milik Felda secara senyap itu terus disiasat dan mereka terlibat mengatur penjualannya dibawa ke muka pengadilan. Penjualan tanah itu satu pengkhianatan terhadap harta rakyat dan negara. Mereka perlu ditangkap. Umpama pencuri lembu yang gagal melarikan lembu, walaupun lembu telah dijumpai tetapi pencuri harus diburu dan ditangkap kemudian dihukum.


Shahrir Samad
Pengumuman Shahrir itu tidak menamatkan sunggutan umum. Katanya siasatan tetap diteruskan. Pun begitu ia tetap meragui orang ramai, kerana sejarah lama menunjukkan, apabila sesuatu kes besar memberi kesan kepada parti pemerintah atau melibatkan individu ada kaitan dengan pemerintah ia akan dihentikan tanpa sebab.

Sejarah klasik ialah mengenai siasatan terhadap skandal 1MDB. Peguam Negara boleh dengan mudah menggunakan kuasa yang ada kepadanya menyucikan Najib Razak tidak "ternajis" dengan skandal itu. Siasatan ditutup begitu sahaja. Laporan audit yang boleh menyokong siasatan tidak diguna pakai. Segala dokumen sokongan di capkan sebagai Rahsia Negara.

Pengumuman pengembalian tanah Felda itu menurut Shahrir atas persetujuan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) syarikat yang terbabit dalam pemindaan tanah hak milik Felda itu.

Jelasnya juga,  pengembalian itu tidak melibatkan sebarang kos. Sebagai bukti pengembalian itu satu perjanjian ditandatangani oleh SPSB tengah hari tadi.

Isu menggemparkan negara

Isu penjualan tanah milik Felda bernilai RM270 juta itu menggemparkan negara. Rakyat marhaen yang diasuh dan dikempen supaya berjimat cermat, sayangkan kepada negara, jadi "terperagah" beruk. Mungkin sekiranya tidak ada pendedahan, tanah Felda yang bernialai itu akan lenyap dan menjadi milik orang asing dengan Felda.

Mazlan Aliman
Pihak pembangkang sudah menjadikan penjualan tanah itu sebagai isu politik. Peneroka Felda yang berasakan tanah itu hak milik mereka juga sudah termakan dengan isu berkenaan. Justerus kawalan ketat pintu masuk ke tanah Felda dilakukan oleh pihak berkuasa kerana bimbang isu pembelian tanah itu dimaklumkan kepada peneroka.

Misalnya percubaan Presiden ANAK, Mazlan Aliman untuk memasuki ke sebuah kawasan Felda di Perlis disekat dan dihalang.

Sehingga kini belum dipastikan siapa menjadi dalang di sebalik pemindahan itu. Siasatan belum selesai? Cuma Isa Samad bekas Pengerusi Felda dan Pengerusi Felda Global (FGV) dikaitkan mengetahui maklumat penjualan tanah itu telah dipanggil polis. Memang mengikut logiknya Isa Samad seharusnya tahu dengan terperinci segala butiran pemindahan milik tanah itu dan juga teknikalnya.

Isa telah pun dipanggil polis berhubung kes itu. Beliau telah disiasat. Namun apakah butiran percakapan dan siasatan beliau dengan polis, tidak diumumkan. Polis hanya memberi tahu ada individu lain terlibat tetapi nama dan maruah mereka dibungkus dalam SOP Polis. Selagi nama-nama yang dikaitkan dengan jenayah itu tidak dimaklumkan orang ramai tetap akan menyoal dan tidak berpuas hati.

Orang ramai berharap semoga polis tidak menjadi pelindung penjenayah walaupun siapa mereka. Siasatan polis perlu diumumkan dan tidak menggunakan alasan siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara yang kemudian akan menguburkannya.

Persoalan kini apakah dengan dengan pengembalian balik tanah itu menyebabkan siasatan akan dihentikan? Shahrir memberi tahu siasatan forensik akan diteruskan. Sejauh manakah ia akan diteruskan masih ditunggu dan menjadi persoalan. Apakah ia senasib dengan kes disebut di atas tadi? Ini yang merisau dan mengilankan orang banyak dan mereka memerlukan jaminan.

Tegasnya pengembalian semula tanah itu tidak boleh menamatkan isu penjualan tanah itu. Sama ada Felda tidak kehilangan apa-apa dan tidak mengalami apa-apa kerugian, yang penting jenayah sudah dilakukan. Suka atau tidak, pahit atau masam ia perlu disiasat dan Isa hendaklah dipertanggungkan sehinggalah ke "waktu Subuh".

Dalam pada itu kita bersyukur. Jika tidak ada pendedahan oleh pihak Felda sudah tentu tanah bernilai ratusan juta ringgit itu lesap begitu sahaja. Dalam hal ini kita perlu tabik dan ucap tahniah kepada Shahrir yang membongkarnya. Pembongkaran dan penyelamatan harta Felda itu akan menjadi jasa terbesar Shahrir untuk negara khasnya para peneroka Felda. Diharap juga pengerusi agensi atau Pengerusi syarikat GLC kerajaan yang lain jadi seberani dan setulus Shahrir Samad.

Mengenai kes itu, apa yang orang ramai ingin tahu kenapa penjualan itu boleh berlaku. Apakah ia tidak sampai ke pengetahuan menteri dan juga perdana menteri sendiri. Ada orang berpendapat Isa Samad hanya kambing hitam (bukan sahaja pendek tetapi yang gemuk) sahaja. Orang ramai beranggapan PM mesti mengetahuinya apa lagi beliau sangat mengambil berat terhadap Felda yang katanya mempunyai sentimental value buatnya.  Mustahil tanah bernilai ratusan juta ia tidak dalam pemakluman beliau.

Atas hujah itu pihak pembangkang membuat andaian Najib Razak tentu mengetahui dengan pindah milik itu. Najib sendiri tidak boleh mendiamkan diri atau pun beliau diketepikan begitu sahaja. Kedudukan dan kuasa prerogatif perdana menteri yang dimilikinya tidak menghalalkan tindakan untuk mengasingkan dia dari kes sebesar itu.

Jika Najib benar-benar tidak mengetahui apa yang berlaku itu ia menyebabkan orang akan terfikir mungkin masih banyak lagi insiden sedemikian terlepas dari pengetahuan Najib. Juganya, kalau Najib memang tahu mungkin banyak lagi kes-kes begitu melibatkan ratusan bahkan ribuan juta masih banyak lagi belum terbongkar. [wm.kl.8:26 pm 15/01/18]

4 comments:

Quantum Metal Consultant said...

Drama terbaru TV3 BIAR AKU JADI PENUNGGU arahan Michael Ang ada 28 episod..
Pelakon Asraf Muslim dan Janna Nick

Drama MISTERI TANAH FELDA nampaknya lebih cepat berakhir..mungkin kerana pelakon lebih berbakat..
Shahril dan Isa ..dua dua terselamat, happy ending
Pengarah: Najib Razak.

Tok Ki said...

Semua peneroka dijadikan lembu oleh si rambut putih Shahril Samad dan Sibibir merah Najib... Hahaha

arai said...

Macam skrip filem bolywood, tak salah jadi salah. Penyangak berselindung disebalik wajah pak menteri dan terus berkarya selagi terkaut bergunung harta bagai menimbus bangkai yang hidup penuh kepuraan.

awang kualaberang said...


assalamualaikum pak sayuti,

ambo beraso ni semuo wayeng politik natang opra ja