ULASAN
SUDAH pasti kedatangan Dr Mahathir Mohamad bersama barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) ke Kelantan Sabtu ini -- 10 Mac ditunggu-tunggu oleh segenap rakyat Kelantan dan juga para pemerhati politik di negeri itu. Dr Mahathir dijangka menghadiri dua majlis semasa di Kelantan. Pertemuan dengan badan-badan bukan kerajaan (Ngo) di Tanah Merah dan berintraksi dengan rakyat di hadapan Pejabat Tanah dan Jajahan, Bachok dalam majlis penerangan perdana.
Kedatangan Dr Mahathir itu tidak terkecuali akan diberi perhatian dan penilaian oleh Umno dan juga Pas Kelantan. Mereka akan menilai sejauh mana sokongan dan semangat rakyat bersama PH. Kunjungan Dr Mahathir itu akan memberi petanda sejauh mana kekuatan dan kesediaan PH untuk menghadapi pilihan raya ke 14.
Himpunan itu akan menjawab dakwaan sebelum ini mengatakan rakyat Kelantan sedang bergerak untuk berubah bagi menubuhkan kerajaan baru.
Kali terakhir kedatangan Dr Mahathir ke Kelantan ialah di Machang semasa melancar pembentukan Pakatan Harapan Kelantan. Jadi kedatangan kali ini setelah wujudnya Pakatan Harapan. Sudah pasti aura dan sambutan yang diharap lebih daripada sebelum terwujudnya PH Kelantan. Kita percaya Dr Mahathir sendiri tidak sabar untuk melihat sejauh mana kekuatan PH Kelantan sejak penubuhannya.
Sambutan sesama majlis pelancaran PH di Machang dahulu tidak cukup untuk menggugat dan memberi tentangan baik kepada Pas maupun Umno di Kelantan.
Adun Salor yang juga bekas pemimpin tertinggi Pas Kelantan. Husam Musa diberi tanggung jawab untuk menakhodai bahtera PH di Kelantan. Beliau bertanggungjawab mengerakkan bahtera PH bersama Abd Aziz Kadir daripada PKR dan Kamaruddin Md Noor daripada PPBM. Husam dibantu oleh beberapa ahli politik veteran di Kelantan seperti Cikgu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Nordin Salleh, Tahir Aziz dan lain-lain berserta beberapa profesional gabungan veteran dan muda dari berbagai bidang.
Tidak dapat dinafikan majlis ceramah atau dialog kedai kopi (Dikeko) anjuran PH mendapat sambutan hangat. Rakyat semakin berminat dengan PH dan tertarik dengan pelbagai tawaran yang dibuat. Boleh dikatakan semua kawasan parlimen sudah pun menubuhkan struktur PH masing-masing. Bagaimana pun kekuatan dan kepaduan PH peringkat kawasan itu tidak sekata, ada yang mantap ada yang kelihatan "laaih".. bergerak seakan antara hendak dengan tidak hendak sahaja.
Membimbangkan lagi ada di sesetengah kawasan kewujudan PH itu tidak terserlah langsung disebabkan kerana kurang kerjasama di antara parti-parti komponen PH sendiri. Misalnya ada majlis dianjurkan PH tidak menampak kesemua wakil fraksi (parti) berada di dalam majlis itu. Masih berlaku ada yang bergerak secara bersendirian dan mengasingkan diri. Contoh paling jelas di Pasir Mas, di mana PKR khabarnya tidak begitu mesra dengan PH di kawasan itu.
Kunjungan Dr Mahathir sebagai pengerusi PH itu diharap dapat menyelesaikan beberapa perkara tetek bengik yang membawa kelemahan dan ketidak "sumaringahan" PH seperti disebut itu. Selain masalah kurang kesepaduan PH di beberapa kawasan, juga dilaporkan berlaku pertindihan dan perebutan calon sesama sendiri. Urusan pengagihan kerusi dalam PH masih berkecamukkan.
Dalam kata lain keadaan PH di Kelantan masih belum lendik lagi. Mengenai kerusi walaupun parti komponen sudah mendapat kouta masing-masing dan telah ada formula penyelesaiannya, tetapi kedudukan kerusi masih belum ditentukan. Penentuan atau pembahagian kerusi mengikut kouta sedang berjalan. Khabarnya masih ada 10% lagi masalah ini berlarutan.
Perebutan kawasan atau kerusi ini berlaku juga kerana ada mereka terperasaan mempunyai pengaruh kuat sehingga berangan-angan untuk bertanding di dua kerusi, parlimen dan state. Selepas penarikan gelaran Datuk daripada Husam Musa, keinginan mengila-gila pula, ada yang berangan-angan untuk menjadi MB Kelantan. Perebutan ini memberi masalah kepada PH Kelantan.
Sebenar prebutan kerusi ini tidak perlu berlaku. Semua pihak dalam PH tidak patut meletakkan soal kepentingan diri sebaliknya mengutamakan kepentingan dan kejayaan PH itu lebih afdal. Mereka harus menunjukkan integriti dan wibawa sebagai pemimpin pakatan baru bukan terus mempraktikan apa yang berlaku dalam parti mereka sebelum ini.
Justeru sempena kunjungan Dr Mahathir ke Kelantan beliau akan memberi perhatian dan menyelesaian masalah ini. Mungkin penyelesaian sesama mereka di Kelantan sukar dicapai kerana masing-masing beranggap aku yang lebih, aku yang hebat. Penghormatan kepada Husam sebagai pengerusi juga seperti tidak diberikan apabila tidak ada rasa malu kepada Husam apabila sanggup berebut sesama sendiri.
Sepatutnya soal kerusi dan kawasan, semua pihak kena patut kepada keputusan yang dibuat. Setelah parti masing-masing membuat cadangan dan pandangan, keputusan hendaklah diserahkan kepada kebijaksanaan pengersui PH negeri. Dan bagi mereka yang hendak menjadi calon sepatutnya mengukur baju dibadan sendiri dan jangan sesekali membeli baju secara on line.
Oleh kerana penghormatan itu tidak ada, maka elok kalau Dr Mahathir sendiri bertindak memberi kata putus berhubung dengan pembahagian kerusi dan kawasan. Dan apabila Dr Mahathir sudah membuat keputusan berpandukan kepada laporan berbagai pihak ia hendaklah diakur jangan ada apa-apa pertikaian lagi.
Berbalik kepada kunjungan Dr Mahathir ke Bachok nanti, PH perlu memastikan ia mendapat sambutan hebat. Sekurang-kurang 10,000 hadir di majlis tersebut. Sekiranya kehadirannya kurang daripada itu ia masih belum dapat mengikhtiraf PH Kelantan mantap dan bersedia untuk berhadapan dengan UBN dan Pas.
Majlis di Bachok itu cukup penting menentukan masa depan dan potensi PH di Kelantan dalam pilihan raya akan datang.
Sudah pasti kegagalan untuk menghimpun orang ramai sebanyak itu, kelemahannya nanti akan diletakkan kepada kepimpinan PH Kelantan. Kegagalan itu nanti akan dijadikan modal oleh Pas terutamanya untuk terus mempersendakan PH khususnya Amanah di Kelantan.
Sekali lagi ditegaskan, semua pihak dalam PH kena pentingkan kemenangan PH daripada "kemenangan" dan kelabaan peribadi. Letakkan kemenangan PH itu lebih utama daripada segala kepentingan lain. Kalau ada yang cuba mencari keuntungan peribadi sudah pasti angan-angan PH untuk menumbangkan kerajaan kleptokrasi dan menubuh kerajaan hanya sia-sia sahaja. [wm.kl.10:36 am 07/03/18]
No comments:
Post a Comment