Thursday, March 29, 2018

Peluncuran buku "Amanah Parti Negara" penghormatan untuk Lutfi

PERISTIWA

Menerima naskah ikhlas daripada Lutfi.
SEMALAM (27 Mac 2018) telah berlangsung peluncuran buku baru sdr Ahmad Lutfi Othman, "Parti Amanah Negara - Cabaran, Halangan dan Potensi Sebagai Parti Islam Berpengaruh, Berintegriti" yang disempurnakan oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Walaupun tersekang dengan masa, tetapi saya hadir juga semata-mata untuk memberi sokongan dan menzahirkan kebanggaan atas kejayaan Lutfi menerbit buku tersebut.

Walau pun dalam keuzuran, sehingga terpaksa menyiapkan penutupnya di pembaringan, tetapi buku itu tetap dilahirkan juga. Kejayaan itu menunjukkan bahawa semangat Lufti begitu tinggi dan membuktikan beliau meletakkan perjuangannya mengatasi dirinya sendiri. Sejak dari kampus hingga dari atas kerusi dialisis beliau terus menggerakkan pena perjuangannya tanpa henti.

Apa dialami Lutfi itu realiti kesulitan dan masalah seorang pejuang menerusi pena saya sangat memahaminya.


Sebahagian yang hadir di peluncuran buku Lutfi.
Seperti dinyatakan dalam muqadimahnya, buku yang diterbit itu bukan buku aliran tintanya seratus peratus kerana ia adalah kombinasi catatan penulis lain dan daripada para tetamunya, tetapi idea atau konsep buku itu lahir dari pemikiran dan inisiatifnya.

Selagi ada buku-buku baru lahir dari tangannya itu menunjukkan beliau masih gagah dan tidak endah kepada tribulasi dihadapi, kini dimaki hamun dek setengah mereka dulu penyanjungnya yang sekarang bertukar menjadi musuh kerana perubahan iklim politik dan juga perubahan ijtihad politik. Tahniah untuknya kerana masih cekal menulis dan berkarya.

Saya berdoa semoga beliau tabah menghadapi dua situasi itu, diri dan tribulasi itu beliau tidak perlu peduli kepada semua itu kerana menjadi sunah seorang penulis akan berhadapan dengan mereka yang anti apabila dakwat kita tidak lagi mengalir lunak kepada mereka. Pena penulis tidak boleh diwarnai dengan warna lain kerana ia ada jisim-jisim tersendiri.

Sebenarnya saya juga turut diundang untuk menulis, bagi terbitan buku berkenaan. Tema yang diminta mengenai Parti Amanah Negara di Kelantan. Saya menjanji untuk menyiapkan, tetapi kerana kekangan masa dan hambatan lain, tulisan itu tidak dapat dimuatkan. Kebetulan juga pada masa itu saya sedang "berembah" dengan penerbitan buku saya, Piraum 14: Kelantan Milik Siapa?

Liew Chin Tong dan Saifuddin sedang berwacana
mengenai buku Lutif moderatosnya Nik Abdul Razak.
Atas kegagalan memenuhi permintaan beliau itu saya terkilan sangat. Keterkilanan kedua ialah apabila berjanji untuk mengambil senaskah untuk dibawa terbang bersama ke Makkah dan Lebanon sebagai teman di sepanjang permusafiran itu dua minggu lepas.

Saya berhajat benar untuk membawa buku itu untuk dijadikan bekalan dan teman perjalanan. Malangnya saat saya ke rumahnya, di pertengahan Jalan Ampang jem teruk menyebabkan terpaksa berpatah balik untuk buru-buru ke airport, untuk mengejar kapal terbang jam 4:30 petang.

Namun perlu disebut buku Lutfi itu turut sama ke negara tempat saya rantaui apabila Ustaz Ahmad Awang membawanya ke Lebanon, Penasihat Amanah itu ke Lebanon menghadiri persidangan Solidariti Untuk Palestin ke 4, berama Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Kerana dua kegagalan itu, menyebabkan saya rasa bersalah dan kesalahan itu bertambah kalau saya gagal menghadiri majlis peluncuran semalam. Apa lagi beliau mengundang saya dan memberi mesej peringatan majlis itu lebih daripada sekali. Saya faham dan untuk menebus "dosa" itulah saya hadir peluncuran semalam dengan meninggal dua temujanji lain.

Penghormatan buat Lutfi.

Sesuatu yang tidak dijangka majlis semalam hebat dan meriah sungguh, bagi saya sewajarnya kalau Lutfi diberi penghormatan sebegitu. Bahkan bila dilihat kepada pengorbanan dan kejayaannya  selama ini, yang telah menulis berpuluh buku menentang kemungkaran kerajaan dan mengangkat politik Islam (Pas), beliau seharusnya diberi penghormatan lebih besar daripada itu. Apakah parti yang didokong Lutfi pernah memberi apa-apa anugerah dan penghormatan kepadanya yang boleh dirasakan setimpal dengan cacian waktu ini apabila beliau tidak bersama Pas lagi?

Sebagai aktivis media massa dan bekas Pengarang Harakah yang pernah meletakan Harakah suatu ketika setanding dengan akhbar arus perdana, sepatutnya beliau mendapat penghormatan itu. Sudah lama mereka mengenali dan mengetahui kehebatan Lutfi; keberanian dan keuletannya, dalam jalur ini betapa perlu beliau dinobat sebagai tokoh wartawan alternatif. Bagi saya beliau adalah wira media massa kerana berfungsi juga sebagai kilang mengeluarkan pelbagai surat khabar alternatif di Malaysia.

Alhamdulilah sambutan diberikan peluncuran bukunya semalam sesuatu yang sangat bermakna buatnya. Mengejutkan bagi saya kerana hampir semua pemimpin besar Parti Amanah Negara hadir. Saya tahu mereka hadir adalah untuk memberi penghormatan kepada Lutfi, setidak-tidaknya penghormatan itu menjadikan penawar buat Lutfi yang uzur untuk terus "bengkeng" menulis.

Antara pemimpin Amanah yang hadir semalam, selain Presiden Mohamad Sabu dan Penasihat Ustaz Ahmad Awang yang dijemput untuk menyampaikan ucapan dan meluncurkan buku berkenaan, ada sama, Timbalan Presiden, Salahuddin Ayub, Ketua Pengarah Komunikasi, Abdul Khalid Samad, Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir.

Turut sama ada Pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim, Dr Dzulkifli Ahmad, Hanifa Maidin, dan beberapa lain termasuk juga pengasas ABIM Dr Razali Nawawi, Timbalan Presiden UNISEL, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman, bekas Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang UIA, Dr Abdul Aziz Bari dan lain-lain.

Majlis semalam dilengkapi pula dengan wacana buku berkenaan yang menampilkan dua ahli panel, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan ahli parlimen Kluang, Li Chin Tong yang dipengerusikan (moderator) sdr Nik Abdul Razak.

Secara peribadi saya berpuas dan bangga dengan majlis semalam. Sudah ada rasa peka dan hormat tokoh-tokoh politik kepada penulis seperti Lutfi. Yang patutnya juga bagi saya mengucapkan tahniah dan berterima kepada kepada rakan-rakan Lutfi semasa di kampus yang mengambil iniasitif menganjurkan majlis semalam. Katanya mereka menubuhkan sebuah badan khas bernama KEJAR untuk menguruskan peluncuran itu. Keprihatinan rakan-rakan seperti itu sangat bermanfaat dan membantu Lutfi untuk terus berkarya.

Berkenaan buku tersebut, saya belum habis membacanya dan tidak adil kalau segera membuat penilaiannya. Buku tidak boleh dinilai dari kulit dan tajuk, melainkan mengorek isi dan kandungan. Dari sepintas lalu saya melihat ia merupakan sebuah buku bakal menjadi dokumen cukup penting untuk masa depan khasnya bagi Parti Amanah Negara. Buku berkenaan akan menjadi bahan rujukan untuk sesiapa yang ingin mengenali Amanah dari dekat.

Beberapa catatan baik temuramah Lutfi dengan Mohamad Sabu, Ustaz Ahmad Awang mampu membawa pembaca mendekati Amanah dan mengenali akan lurah politik Islam progresif yang diperjuangkan oleh Amanah. Penjelasan itu menampak akan perbezaan di antara Amanah dengan induknya Pas.

Manakala dari catatan oleh beberapa orang penulis tamunya, pembaca dapat mengetahui sejarah awal kenapa dan mengapa tertubuhnya Amanah. Catatan dari berbagai penulis dan ragam ini menarik dan ia dapat melengkapi di antara satu sama lain. Bagi saya buku ini sempurna untuk menceritakan perihal Parti Amanah Negara.

Ada seorang teman Facebook saya bertanya, apakah buku Lutfi itu dapat dijadikan bahan untuk tesis Phd berkaitan Amanah, saya ingin katakan begini; sebahagian besar pengenalan parti Amanah baik sejarah penubuhannya, rangka dan matlamatnya ada dalam buku ini. Tidak salah untuk sesiapa memilikinya apa lagi mereka yang sinis kepada Amanah untuk memiliki buku ini untuk tujuan mengenali Amanah dengan seadil-adilnya.

Cuma seperkara (mungkin saya teralpa) tidak ada sebarang spekulasi atau pun tinjauan ke depan mengenai Amanah dalam buku ini bagi membaca nasib dan perjalanannya dalam berhadapan dengan ombak dan gelombang politik, maksudnya apakah ramalan atau halangan kepada potensinya yang disebutkan itu.

Saya difahamkan buku ini tidak dijual di kedai-kedai terbuka melainkan ada wakil-wakil mengikut zone tertentu. Sesiapa berminat boleh menghubungi Lutfi atau Luqman Hakim di telefon 019 2903291.  [wm.kl.8:11 pm 29/03/18]

1 comment:

Unknown said...

pada saya,AMANAH akan muncul,sebagai parti yg dapat membentuk ahli2nya dgn 'SIFAT'2 dituntuntut dlm agama,walaupun sebagai makhluk yg tak sempurna,tetapi sebagai menjalankan politik asebab dunia,structure susunan kepimpinannya dapat bezakan di antara politik 'ASEBAB DUNIA & AGAMA',Kepimpinan ulama dlm amanah diberi kedudukan yg cukup tinggi dlm bidang mereka,'walaupun mereka tiada jawatan besar,tingi dalam parti asebab dunia.

1.segala keputusan yg dibuat oleh ulama,'TIADA BERPILIH',ini geng aku,geng dia!hanya berpandukan 'tuntutan/perintah allah.
2.bila ulama diberi kedudukan jawatan dunia,segala 'perks''kesenangan/kemewahan..akan menjadi rebutan,jika bukan mereka yg berebut2,mungkin mgenantu,anak2,rakan2,ahli2 yg mengundi mereka,jika pilihan diberi,kesenangan/kemewahan dan tuntutan allah...mana pilihan?.
3.Amanah dah beri bukti,baru2 ini konvensyen di shah alam,ulamak2 dlm amanah,memberi teguran kepada kepimpinan amanah dan ahli2nya supaya berhati-hati, dgn 'SIFAT-SIFAT' hasad,maki hamun pada pehak lawan dan menjaga ahklak.
4..jika kita perhatikan,di sebelah sana,ulumak memegang politik asebab dunia,adakah mereka berani menegur ahli2nya ada sifat2 keji,itu! kebanyakkan tidak,sebabnya mereka lebih takut kehilangan pengaruh,bila ada pengundian di muktamar nanti.
jika amanah konsistent dgn amalan yg mereka lakukan,sya percaya,5,10 thn mendatang,amanah akan menjadi wadah politik aasebab dunia di malaysia ini,di mana semua bangsa dapat berteduh di bawah payung 'RAHMATAN ALLAMIN'.

wallah'ualam