Saturday, September 29, 2018

Pirake Port Dickson catat perarakan calon terbesar

CATATAN JAUH

TIDAK seperti biasa, kali ini saya tidak turun menjenguk proses penamaan calon Pirake Port Dickson walaupun membabitkan Anwar Ibrahim.

Seperti di tiga Pirake lalu di Selangor saya juga tidak pergi. Hambatan usia mungkin menjadi penyebabnya, selain merasakan pilihan raya itu tidak mustahak.

Tetapi berbeza dengan di Port Dickson, ia penting kerana pilihan raya itu untuk membawa Anwar mencapai cita-citanya dan cita-cita kita bersama, Anwar untuk jadi PM.


Lebih 20 tahun lalu rakyat mendoakan agar Anwar menjadi perdana menteri. Rakyat bukan sahaja berdoa tetapi berjuang, berkorban harta, masa dan nyawa. Cita-cita besar Anwar itu menjadi cita-cita seluruh rakyat. Anwar menjadi pilihan kerana beberapa faktor yang berbeza-beza. Bagi saya, Anwar adalah pemimpin paling sesuai dalam suasana masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama ini. Anwar adalah simbol Malaysia.

Bondongan perarakan Anwar ke Pusat Penamaan calon.
Sejarah hitam dan luka dilaluinya menjadikan orang bersimpati kepadanya. Sejarah itu secara tidak langsung pula menjadi modal untuk beliau dinobatkan di tempat itu. Dengan segala tribulasi dan ragam politik dihadapinya, maka jawatan PMlah sebagai imbuhannya.

Pemanggungan beliau di situ kelak adalah harga yang setanding dilunasi atas kegigihan, dan nilai pengorbanannya selama ini. 

Kita berharap dan berdoa biarlah beliau berada di situ. Kita mahu saksikan beliau merealisasikan cita-cita dan idealismenya yang kesekian lama untuk rakyat dan negara. Tang digagaskan sejak remaja hingga dari kampus hingga ke dalam penjara. Atas keinginan itu juga menyebabkan saya tidak pernah menganggap penjara yang ditempuhinya  sebagai pusara mematikan nawaitu perjuangannya.

Mengenai Pirake Port Dickson, walaupun saya tidak pergi, tetapi dapat melihat dari jauh dari semua sudut apa yang berlaku di sana menerusi kecanggihan IT yang ada kini. Dari mula tempat berhimpun untuk bergerak ke pusat penamaan calon hinggalah ke saat pencalonannya disahkan. Saya mengikut dengan cerat dan rapat.

Ramai yang mengiringi beliau ke pusat penamaan calon. Melihat itu terkenang saya kepada himpunan menzahirkan sokongan kepadanya di perkarangan Masjid Negara 19 tahun lampau. Relai air mata saya menyaksikan bondongan manusia itu. Dari rekod saya yang pernah menghadiri ratusan perarakan calon inilah perarakan paling ramai yang pernah berlaku.

Jika dalam siri-siri perarakan calon sebelum, perarakan di pihak Pas dan BN paling ramai, tetapi tidak kali ini. Bahkan BN atau Umno langsung tidak meletakkan calon. Secarit bendera BN atau Umno tidak kelihatan. Anwar khasnya dan PH amnya telah mencatat rekod perarakan terbesar terbaharu. Kejadian ini sesuailah dengan kehebatan sambutan rakyat kepadanya.

Kenapa orang ramai berpusu-pusu untuk mengiringi Anwar. Mereka datang bukan sahaja di sekitar Port Dickson, atau Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur, tetapi nun dari Utara, Timur dan Sabah Sarawak juga.

Saya ternampak muka-muka yang lama memalingkan diri daripada Anwar dan menyinis Anwar semasa beliau dalam penjara, ada bersama Anwar. Salah seorang mereka tukang membaca doa pula. Muka-muka ini yang berpasang surut dengan dengan Anwar semacam mengambil alih mereka yang selama ini sepanjang masa dengan Anwar. Melihat lagak itu juga antara sebab kenapa saya melepaskan perarakan hari ini kepada mereka. Bagi saya apabila Anwar sudah bebas, sebahagian perjuangan untuknya telah selesai.

Saya menyimpulkan perarakan besar, berbondong bondong itu memberi gambaran betapa mereka mahukan Anwar menjadi PM. Saya membayangkan mereka bukan berarak menghantar Anwar ke pusat penamaan calon tetapi mereka menghantar Anwar ke Puterajaya. Itu yang terbetik dalam hati.  Tidak syak kerinduan dan harapan mereka untuk melihat Anwar menjadi PM begitu lama tersekang di jiwa. Dan hari ini mereka zahirkan sebesar-besarnya.

Dengan sambutan yang diterima hari ini Anwar tidak perlu ragu bimbang lagi. Bahawa beliau akhirnya akan sampai ke destinasi terakhir itu. Beliau tidak perlu diulik bayang ketakutan atau lembaga "orang-orang" yang dibikini oleh pihak tertentu. Insya-Allah pada 15 Oktober beliau akan mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen. Apabila sumpah itu sudah dilafaz dan beliau akan berada dalam parlimen, bermakna hanya selangkah lagi untuk beliau menyempurnakan perjalanan jauhnya berpuluh tahun itu.

Di Pirake itu Anwar akan berhadapan dengan calon Pas dan lima calon bebas lain. Calon yang bagi saya sedikit agar tercabar selain Pas ialah Mohd Isa Samad. Pun begitu berdasarkan kepada sambutan pada majlis perarakan itu dan harapan besar seluruh rakyat yang mahu melihat Anwar berjaya, saya menjangkakan semua calon lain akan hangus wang deposit.

Selamat kepada Anwar selamat juga kepada rakyat. Sesudah 20 tahun maka marilah kita kafan harapan kita bersama Malaysia baharu. [wm.kl.12:22 pm 29/09/18]

4 comments:

abahturon said...

Ini bukan Permatang Pauh.. Ini Port Dickson.. banyak bezanya,tak boleh terlalu yakin.. ramai lawan yg menyerupai kawan. Seluruh Malaysia menyokong,hanya pengundi PD boleh tentukan.

Unknown said...

Semoga Anwar menang PRK ini dan membewa diri sebagai PM malaysia...Anwar ada lah watak yg paling tepat sebagai pemimpin malaysia

azhar rangkuti said...

Ramai yg terjun dari kapal setelah bahtera UMNO mula dirasakan hampir karam.

Sekarang sedang mencari bahtera baru untuk terus belayar mencapai matlamat peribadi.

Begitulah ragam orang politik, ahli korporat, professional, peniaga, orang media, artis & penulis spesis opportunis yg terus mendukung selagi boleh didukung

Akhirnya yg tercicir ialah mereka yg berjuang atas dasar PRINSIP.

Begitulah kesudahan kisahnya...

Anonymous said...

Terbaik Tuan Admin. Saya berharap Tuan dapat terus memberi nukilan proDSAI begini selang sehari hingga hari penggundian PRK PD bagi mengimbangi propa2 palsu, berniat jahat dan batu api dari bloggers ABAI dlm PH spt OTSB, Shahbudin, Kadir Jasin dan Tukar Tiub dan pengomen setia mereka yang menyerang buta tuli peribadi DSAI. Lupa daratan siapa yg berkorban penjara utk kejayaan PH.

Ini semua batu api yg punyai dendam kesumat dgn DSAI atau memang hati2 busuk legasi UMNO lama yg berkonspirasi mempenjarakan DSAI dulu spt pengakuan Shafee Abdullah.

Terus hentam Tuan.