Tuesday, January 7, 2020

Kita tunggu Salahuddin 2020 apakah ada beza

ULASAN

Salahuddin: menanamkan azam 2020.
SEMALAM Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub telah memberi dan menyampaikan amanat tahun baru 2020 kepada para pegawai dan pengerusi semua agensi di bawah kementeriannya.

Kejayaan majlis semalam dan menjadi kementerian pertama berbuat demikian,  menjelaskan kesungguhan dan iltizam besar Salahuddin yang menerajui kementerian berkenaan.

Suatu yang menarik dan menggembirakan saya  dan menunggu-nunggu, apabila beliau menjanjikan mahu mengubahkan pembawaan diri dan sikap apabila menyebut "Salahuddin tahun 2020 bukan lagi seperti Salahuddin tahun 2019."

"Salahuddin hari ini adalah Salahuddin 2020 bukan lagi Salahuddin 2019," begitulah katanya bersungguh. Bicara ini menunjukkan Salahuddin sudah mendapat semangat baru yang penuh dengan azam dan optimistik.

Pernyataan beliau itu mempamerkan beliau sedia berubah daripada keadaan sebelum ini yang mungkin dirasakan belum mantap, kurang berani, boleh dipermainkan, dipersendakan atau pun digelar dengan hal-hal negatif yang meletakkan dirinya dalam keadaan dalam  inferiority  complex kerana baru menjadi menteri. Tetapi tahun 2020 ini beliau sudah berubah, kalau pun tidak sudah jadi macam Sazali.

Kesediaan dan keseriusan Salahuddin ini jelas apabila beliau menyebut, masa setahun lapan bulan, sudah berakhir. "Masa saya mencuba-cuba dan terkial-kial mencari hala tuju MOA sudah berakhir. Pengalaman yang ada sudah cukup menyakinkan," tegasnya.

Selain bercakap mengenai dirinya, beliau berharap semoga semua pegawai dan pengerusi agensi di bawah MOA juga melaku dan merasakan hal sama. Apa ditekankan beliau semua pihak perlu menginsafi tugas dan tanggungjawab demi rakyat. Azam dan harapannya kepada semua warga MOA mahu menjadi MOA sebagai kementerian terbaik.

Untuk ini katanya pegawai hendaklah serius dan merancang serta berfikir untuk rakyat. Misalnya beliau mengarahkan untuk tahun 2020 semua agensi perlu merancang dan melaksanakan dua projek besar yang bukan biasa-biasa, tetapi yang luar biasa. Arahan ini pasti akan ditunggu umum.

Amanat disampaikan itu seharusnya ia dijadikan azimat oleh semua pegawai MOA dan ia tidak dianggap sebagai tradisi tahunan semata-mata. Semua pihak kena hayati dan mencatat setiap apa dipesankan itu dalam sanubari masing-masing dengan iltizam untuk menjayakan MOA bersamanya.

Amanat berkenaan perlu diterima bukan sahaja azam beliau sebagai menteri, tetapi semua pegawai, pengerusi agensi khasnya dan para petani, peladang dan penternak juga perlu mengambil dan menerimanya sebagai satu tanggungjawab bersama.

Apa ditekankan Salahuddin semalam, perkara sangat merujakan saya apabila beliau menzahirkan perasaan dan komitmen beliau yang akan bersikap tegas dengan kerenah pegawai kerajaan atau mana-mana pihak cuba meremehkan arahnya. Sebelum ini akuinya ada minit daripadanya tidak diendahkan oleh pihak tertentu.

Tampaknya frasa ini sering diucapkan Salahuddin sebelum ini. Ia seperti selama ini beliau berhadapan dengan kerenah birokrasi dalam MOA. Nampaknya Salahuddin sudah keluar dari belenggu inferiority  complex itu sehingga memberi peringatan kepada mana-mana pegawai yang tidak serasi dengannya, boleh keluar daripada MOA.

Kehadiran KSU baru mungkin memberikannya kekuatan dan keyakinan walaupun pertukaran KSU itu bukan boleh menyelesaikan semua masalah kerana sebahagian besar masalah MOA terpanggung atas bahu menteri.

"Mana-mana pegawai yang tidak serasi dan berminat dengan MOA, boleh jumpa KSU dan minta ditukarkan," tegasnya. Ini nada keberanian yang terserlah dalam amanat itu.

Hal lain disebut Salahuddin dan menjadi azam tahun 2020 ialah, beliau tidak lagi akan banyak di pentas tetapi akan turun ke bawah menemui rakyat. Sehubungan itu katanya, publisiti dan pemujaan terhadapnya dengan mempamerkan banner dan poster tidak diperlukan lagi.

"Saya tidak mengharapkan pujian, tidak perlu lagu hari jadi untuk saya, anak dan isteri, tetapi yang penting adalah kebajikan untuk rakyat,"

"Tidak perlu buat poster besar-besar puji saya, orang pun menyampah," katanya. Cantik kalau Salahuddin menyedari fenomena yang sudah menimpa kebanyakan menteri ini.

Ini satu komitmen baik oleh Salahuddin. Sehubungan itu selepas ini kita mahu lihat beliau tidak lagi senantiasa dilihat segak bergaya persis "peragawan" tetapi biarlah dia tampil sebagai seorang pemimpin rakyat marhaen memakai terendak, seluar lasak, but dengan parang atau golok terselit dipinggang bukannya pen di poket dengan telefon bimbit tergenggam kemas ditangan.

Kita mahu tengok imej baru Salahuddin tahun 2020 sebagai menteri membawa imej seorang petani, peladang dan penternak bukan korporat ala-ala pegawai bank yang bojen berjel dan bersikap rapi.

Selain itu apa ditekankan Salahuddin ialah, meminta segala urusan dengan MOA perlu dipercepatkan tidak ada lagi surat-surat yang dialamatkan kepada MOA dipendam tidak dijawab dan sesuatu proposal dikemukakan mengambil masa berbulan-bulan.

Untuk ini mudah sahaja untuk Salahaddin mengatasinya, hanya beliau perlu lebih berani dan tidak begitu apologetik dengan para pegawai termasuk pegawai di pejabatnya sendiri. Banyak aduan diterima surat-surat yang sepatutnya dijawab oleh Salahuddin tetapi tidak diuruskan oleh pegawainya yang berkenaan dengan baik dan sistematik. Elok kalau pegawai itu dihantar menjalani kursus intensif dalam bidang pentadbiran dan diplomatik.

Apa juga perlu dilakukan Salahuddin selain memberi amaran dan teguran kepada pegawai kerajaan di bawah MOA, beliau juga kena tegur pegawai di pejabatnya sendiri. Kalau beliau tergamak memberi warning secara terbuka kepada pegawai kerajaan yang tidak serasi dengan MOA keluar daripada MOA, maka begitu juga sepatutnya dilakukan kepada pegawainya. Tukarlah pegawai yang lembab.

Sama-sama kita tengok dan nanti apakah Salahuddin mampu memenuhi segala azam yang ditanamkan dalam ucapan amanat itu. Apakah beliau berjaya melakukannya atau ia sekadar retorik semata-mata, kerana ada frasa dan janji-janji dilapazkan itu sudah kerap kali disebut sebelum ini, ia berulang kali macam lagu-lagu klasik nyanyian Mat Tenggok di radio klasik,  dah naik mual kita mendengarnya namun kesannya nol. [wm.kl. 7:53 am 07/01/20]

No comments: